Sahabat Sejati

Monday 31 December 2018

Entry penutup 2018

Alhamdulillah thumma innal Hamdalillah.

Puji-pujian yang tertentu buat Tuhan semesta alam, dengan izin-Nya saya masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk mencoret sesuatu di pondok kecil abuikhwan ini. Hampir seminggu saya menyepikan diri tanpa mampu berkunjung ke sini. Dalam tempoh tersebut banyak perkara yang telah berlaku. Semuanya adalah penyebab yang memungkinkan saya melupakan sejenak pondok kecil ini.

Pertama, kesibukan dalam program Back 2 School (B2S) bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Kesibukan dan kelelahan yang menggembirakan. Hari ini program B2S melabuhkan tirainya. Siang tadi 20 orang pelajar di Dun Luit telah diraikan dan menerima sumbangan persiapan persekolahan. Moga Allah SWT membalas kebaikan para dermawan sekelian.

Kedua, diuji dengan masalah kesihatan yang pastinya tidak menyamankan. Masa banyak dihabiskan di tempat pembaringan. Ujian kesakitan yang mengingatkan agar sentiasa menghargai nikmat sihat yang diberikan. 

Ya, kadang-kadang sakit itu perlu agar kita menginsafi akan nilai dan harga sebuah nikmat yang dinamai sihat! Hampir seluruh kebahagiaan dan kenikmatan hidup bergantung dengan kesihatan. Ya, kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Jadi, sesekali diuji dengan kesakitan barulah kita tahu dan sedar akan nikmatnya sihat.

Ketiga, mendapar perkhabaran sedih daripada teman sekampung. Berita pemergian empat orang penduduk kampung yang amat saya kenali dan setiap mereka mempunyai kaitan dalam perjalanan hidup saya. Selama empat hari berturut-turut sahabat di kampung menggali liang. Menambah perisa kesedihan, saya tidak dapat pulang untuk memberi penghormatan terakhir. Moga Allah SWT memberikan kerehatan kepada mereka semua daripada kesibukan dunia. Dan dengan kasih sayang-Nya, maka diampunkan semua kesalahan mereka.

Demikianlah, kematian tiada pernah memilih, tua atau muda, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Tidak pernah peduli terhadap raja atau rakyat biasa. Ia melenyapkan kemegahan, memutuskan manusia dari kehidupan yang dilalui. Mengeluarkan seseorang dari istana, dari pondok buruk kemudian membenamkan ke dalam liang lahad yang sempit dan gelap gelita.

Moga tahun 2018 yang ditinggalkan mencatat segenap kebaikan ..

Wednesday 26 December 2018

Sunday 23 December 2018

Sambutlah hidayah..

foto hiasan: sumber

Saat hidayah mula menjengah, 
Suara hati merintih penuh keinsafan, 
Sendu tangisan lontaran iman, meraba-raba di mana jalan pulang, 
Sesungguhnya di dalam jasad ini ada fitrah
yang sering memanggil-manggil, 
Ayuh! Bersegera kembali memaut cinta-Nya... 

Sesungguhnya hati nurani kita sentiasa mahu menghubungi Allah dengan cinta, beribadat dan taat, kerana ia mengetahui bahawa Dialah yang mentadbir urusan-Nya dan urusan tiap-tiap sesuatu di sekeliling-Nya menurut hikmah dan tadbir-Nya. Itu adalah fitrah. Tiada siapa yang dapat membantah. Namun sampaikah kita kepada-Nya, andai diri masih seronok dalam gelumang dunia yang tiada sudahnya. 

Sambutlah hidayah itu andai ia datang bertamu...

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kami ke (syurga) ini, dan kami tidak akan mendapat hidayah (ke syurga) kalau sekiranya Allah tidak menunjukkan kami” (al-A’raaf: 43).

Wednesday 19 December 2018

Diam seketika, merawat rasa

foto hiasan: sumber

Dalam suasana yang penuh serabut ini, saya memerhatikan dunia sekeliling. Membuka mata dan fikiran tetapi memaksa diri mengunci kata-kata dari berbicara. Namun diam bukan diam seumpama menjeruk pekasam, tetapi diam mencari akal merawat rasa.
 
Seribu satu macam gawat. Mahu disebut satu persatu?  Cukuplah sebahagiannya sahaja.

Wabak gejala sosial yang kian membengkak dan membarah..
Persendaan terhadap bangsa dan agama..
Belum masuk politik negara yang makin 'berkuca-lana'..
Pemergian wira negara.. 'Mohd Adib' yang amat menyentuh perasaan. (moga beroleh keadilan)

Ada lagi..

Kecelaruan pemikiran masyarakat hari ini semakin di luar norma-norma kemanusiaan. Lihat pula kegawatan yang berlaku di dalam diri, mana noktahnya. Yang tidak baik dilihat baik, yang tidak baik dilihat baik. Yang salah dianggap pejuang, yang benar itulah dianggap pengkhianat.

Gawatnya hari ini.

Sesaknya nafas memerhati semua yang berlaku, lalu saya jernihkan dengan merenung ungkapan mulia seorang Nabi:

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Pada suatu masa ketika Rasulullah saw sedang berada di dalam satu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A`rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw, “Bilakah akan terjadinya hari kiamat?” Maka Nabi saw pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan,tetapi pertanyaan itu tidak disukainya.” Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu.” Sehingga apabila Nabi saw selesai dari percakapannya beliau bersabda, “Dimana orang yang bertanya tentang hari kiamat itu tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut, “Ya, saya wahai Rasulullah”. Naka Nabi saw bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat.” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi saw menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.” (Riwayat Bukhari).

Mengapa begini Malaysiaku yang tercinta....

Monday 17 December 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (43)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (42) di bawah tajuk utama: DAKWAH TAHAP PERTAMA: SEBUAH JIHAD TERSEMBUNYI

foto hiasan: sumber

Tatkala Berita Solat Sampai ke Telinga Quraisy

Melalui pengamatan yang adil terhadap pelbagai peristiwa, dapat disimpulkan bahawa meskipun dakwah pada tahap ini dijalankan secara sembunyi-sembunyi dengan sasaran perseorangan, namun pelbagai berita tentang dakwah ini juga didengari oleh Quraisy. Namun, pada waktu itu mereka tidak terganggu olehnya.

Muhammad al-Ghazali berkata, "Berita tentang dakwah Islam sejak awal telah berkembang dalam kalangan Quraisy, namun mereka tidak terlalu mempersoalkannya. Ini adalah kerana pada awalnya Nabi Muhammad dianggap sama sahaja seperti orang yang mengamalkan suatu ajaran agama, yang bercakap tentang ketuhanan berserta hak-haknya menurut pandangan dia, seperti yang dilakukan oleh Umayyah bin Abu Shalut, Qus bin Saidah, Amru bin Nufail dan yang lainnya.

Namun begitu lama-kelamaan orang Quraisy mulai khuatir melihat Islam berkembang, dianuti banyak orang serta membentangkan pengaruhnya. Sejak itu, mereka mula mengawasi setiap pergerakan dan dakwah baginda."(1)

Tiga tahun berlalu, dakwah dijalankan secara sembunyi-sembunyi dan perseorangan. Sepanjang tempoh ini, terbentuk satu jemaah orang beriman yang saling bersaudara dan tolong-menolong antara satu sama lain. Mereka mula menyampaikan risalah (ajaran Islam) dan mengukuhkannya. Selepas itu, turunlah wahyu kepada Nabi Muhammad untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan kepada kaumnya, melawan kebatilan mereka sekaligus menyerang berhala-berhala mereka.

Rujukan: 

(1) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 76

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Friday 14 December 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 116

Salam Jumaat.


"Aku telah merasakan semua kemanisan dalam hidup, dan tiada perkara yang lebih manis aku temui melainkan nikmat KESIHATAN''.

"Aku telah merasakan semua kepahitan dalam hidup, dan yang paling pahit adalah BERHARAP KEPADA MANUSIA''.

''Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada HUTANG''.

Buntil-buntil memori anak penoreh getah..

 foto hiasan: sumber fb

Sungguh, tatkala saya kenang-kenangkan waktu itu, terasa benar-benar penat jerihnya. Saya melihat di depan mata, malah merasai sendiri kehidupan seorang penoreh getah. Realitinya tidak dapat disangkal, dahulu saya pernah bergelar anak kepada penoreh getah. Ya, hakikatnya begitulah. 

Kampung saya ketika itu masih lagi luas kebun getahnya. Justeru, rata-rata penduduk bekerja sebagai penoreh getah. Manakala sebilangan kecil pula menjadi pekebun sayur atau penternak. Boleh dikatakan juga kebanyakannya melakukan dua kerja, sebelah pagi menoreh getah kemudian sebelah petang melakukan kerja lain pula. Termasuklah orang tua saya. 

Masih melekat di kotak minda, memori kebun getah yang nun meluas, sayup mata memandang di hujung kampung, menganjur dari timur ke barat. Semuanya bagaikan subur menghijau di pelupuk mata dan sering juga mengusik perasaan. Kadang-kadang jika terlalu asyik mengenangkannya hingga bertamu di alam mimpi. 

Masih ada bongkah-bongkah memori 

Arwah bonda pernah bercerita, seawal usia saya 3 tahun, saya telah dibawa ke kebun getah. Alasannya, tiada siapa yang mahu menjaga di rumah. Turut sama kakak saya yang berusia dalam lingkungan 6 tahun. Dialah yang menjadi ‘mangsa’ menjaga saya sewaktu bonda sedang menoreh. Dialah yang menyorongkan kereta tolak (buatan sendiri daripada kayu) dan dialah juga yang baik hati mengibas-ngibas menghalau nyamuk yang rakus mahu menghisap darah. 

Bongkah-bongkah memori kebun getah tidak terhenti di situ sahaja. Ketika di sekolah rendah, setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah tiba, kebun getah adalah destinasi wajib yang mesti dikunjungi.  Dan saya menuruti 'kerahan' bonda tanpa berbasa-basi, kerana ia memang termasuk dalam kesukaan saya iaitu mendekatkan diri dengan alam.

Seawal pagi, di saat matahari masih belum menampakkan wajahnya, kami sudah mengatur langkah. Sama juga seperti kebanyakan penduduk kampung yang lain. Kata bonda pokok getah perlu ditoreh pada awal pagi kerana susunya yang banyak pada waktu itu. Lagipun jika pergi awal, boleh disiapkan awal kerja-kerja menoreh tersebut.

Saya tidak pandai menoreh walaupun beberapa kali pernah mencuba, jadi saya menolong bonda apa yang patut sahaja. Rutinnya, saya membersihkan pot getah daripada cawannya, membawa baldi susu getah, membantu membuat getah keping serta menyorongkan basikal yang dimuatkan guni getah sekerap di atas pelantarnya untuk dibawa pulang. 

Getah sekerap tersebut saya bawa ke kedai Pak Rani, seorang pemborong getah sekerap kampung kami. Hasil jualan getah sekerap tersebut bonda bagi upah sebanyak lima puluh sen. Nilai yang cukup besar ketika itu.


Ada masanya saya melilau dan menjarah di segenap ceruk kebun getah. Maklumlah sejak dari kecil sudah akrab dan mesra dengan pepohon getah yang tegak merimbun. Berada di suasana redup dikelilingi pohon-pohon, suara burung dan mergastua tingkah-meningkah, manakala angin yang berhembus dari arah bukit menciptakan kedinginan dan kedamaian yang tersendiri. Semuanya amat dekat dengan jiwa saya. 

Ah, saya ketawa sendirian. Masih ada buntil-buntil memori yang masih panas untuk dikenang. Masih saya ingati, saat bonda dan sahabatnya yang menoreh di kebun getah sebelah berehat melepaskan lelah sambil menikmati bekal yang dibawa, saya pula menapak sambil mengutip buah-buah getah banyak kedapatan di lantai bumi. Adalah nanti menjadi permainan nanti buah-buah getah tersebut. 

Selalu juga saya memanjat pokok-pokok getah yang sederhana besar batangnya. Saya memanjat hingga ke pucuk yang paling atas. Di ketinggian tersebut saya melorongkan pandangan di kejauhan sambil menikmati kepuasan di pelupuk mata. 

Kemudian tanpa rasa malu dan segan saya menyanyi-nyanyi pelbagai lagu. Puas menyanyi saya menjerit-jerit pula tanpa biji butir sehingga mengejutkan mergastua yang sedang berdamai-damai. Itulah keseronokan yang tidak dapat digambarkan dengan bual bicara. 

Setelah selesai memproses getah keping, sebelum pulang, ada lagi tugasan yang perlu dilakukan. Kadang-kadang kami mengumpul dahan-dahan kering yang jatuh untuk digunakan sebagai kayu api. Setelah dikumpul lalu diikat dan dibawa pulang dengan basikal. Nanti bolehlah diguna sebagai bahan bakar.

Jika diikutkan banyak lagi nostalgia yang mahu saya coretkan. Tetapi biarlah dulu, insya-Allah ada sambungannya. Bimbang juga jika dicoret panjang-panjang tiada yang mahu menatapnya.   

Hari ini.. 

Di kedewasaan ini, kenangan di kebun getah terus bersemadi di lubuk memori saya. Masakan saya dapat melupakannya kerana darah yang mengalir di dalam tubuh ini datangnya dari busuknya getah sekerap dan getah keping. Ianya pernah berjasa menyara dan menampung kehidupan kami sejak sekian lama. 

Tatkala pulang ke desa, saya akan membawa anak-anak menjarah dari satu lorong ke satu lorong untuk menunjukkan kepada mereka kebun-kebun getah yang masih bersisa. Walaupun sudah tidak banyak, namun cukuplah agar mereka dapat mengenali dan mengerti akan apa yang pernah melingkungi kehidupan bapa mereka suatu ketika dahulu.

Thursday 13 December 2018

Yayasan Amal Malaysia cawangan Pahang: Back 2 School 2.0

Alhamdulillah wa tabarakallah, program Bantuan Persekolahan 2019 anjuran YAMCP diteruskan lagi. Kali ini seramai 20 orang pelajar yang terpilih dari Dun Sungai Lembing diraikan dalam program tersebut. 

Kami  telah membawa pelajar-pelajar ini ke sebuah pusat membeli-belah dan mereka memilih sendiri apa yang mahu dibeli. Dana bagi program bantuan ini semestinya hasil sumbangan orang ramai, manakala YAMCP hanyalah menguruskan bagi memudahkan pelaksanaan agihan bantuan ini. 

Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan dengan lafaz jazakallah khairan jaza' kepada semua dermawan yang telah menyumbang. Moga Allah SWT membalas dengan sebaik-baik ganjaran kepada mereka semua. 

Insya-Allah, dalam masa terdekat ini beberapa program B2S 2019 akan diteruskan lagi di beberapa lokasi terpilih.









poster B2S 2019

Friday 7 December 2018

'Haikal yang istimewa' di angka 13


Selamat ulang tahun kelahiran buat anakanda 'Haikal yang istimewa' pada hari ini. Dalam pejam dan celik, silih hari yang bergulir, telah genap 13 tahun usianya. Dengan belas kasihan-Nya telah menyampaikan kami sehingga ke saat ini. Syukur, terima kasih Tuhan atas nikmat ini, yang sentiasa tercurah tanpa berkira-kira sedangkan amat sedikit yang kami panjatkan di dalam doa.

Terlalu banyak kenangan yang tercipta di sepanjang hidup bersamanya. Memoir silamku di tahun-tahun awal kelahirannya menari-nari diminda tuaku. Ada suka dan duka, ada manis dan jerih serta capek kelelahan bergaul sebati. Semuanya telah menjadikan diriku semakin kuat dalam menongkah terowong kehidupan. Benar-benar anak ini satu anugerah yang tidak ternilai.

Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak abi dan ummi ke syurga Ilahi yang abadi. 

Moga 'anakanda Haikal yang istimewa' sentiasa di dalam limpahan rahmat Ilahi.

Tuesday 4 December 2018

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Bantuan Persekolahan 2019

Alhamdulillah, kelmarin sempat menyantuni pelajar-pelajar terpilih dalam program "Bantuan Persekolahan 2019" bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Program ini adalah program komuniti tahunan YAMCP bertujuan untuk membantu persediaan para pelajar yang kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah.



Program ini memberi tumpuan kepada kepada anak-anak yatim dan fakir miskin. Penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi uniform sekolah, kasut, stokin, beg sekolah dan juga alat tulis.Apa yang diharapkan dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka.



Dana program ini sudah tentu hasil daripada sumbangan orang ramai. YAMCP hanya mengurus dan mempermudahkan urusan berkaitan. Malahan selama ini, dalam semua program kebajikan termasuk sumbangan ramadhan dan aidilfitri, musibah, bencana alam dan sebagainya, ia adalah daripada sumbangan para dermawan.




Apakah kemuncak yang kami rasakan? Kemuncak itu adalah tatkala melihat senyuman yang terukir di ulas bibir mereka. Tentunya senyuman mereka adalah satu kegembiraan bagi kami yang tidak mampu untuk diterjemahkan dengn kata-kata melainkan getarnya pada detak rasa. Kegembiraan dan kemanisan yang dihayati dan dikenyam lalu menusuk ke dalam jiwa yang paling dalam.



Mengapa perlu  ditunjukkan semua ini? Bukankah kebajikan itu perlu disembunyikan? Oh, ini hanyalah sekadar satu perkongsian. Benar, perkongsian dalam setiap gerakerja kebajikan adalah semata-mata dengan niat mahu merangsang dan menjentik hati sahabat sekelian untuk sama-sama menyedari bahawa kita hidup bukan untuk kehidupan kita sahaja.

Teringat kata guru saya: “ Tidak ramai orang yang menjadikan hidupnya untuk orang lain. Sedangkan Rasulullah saw sentiasa menjadikan seluruh kehidupannya untuk orang lain. Dicerca, dipulau, diusir dan diancam bunuh semata-mata untuk memberikan kegembiraan hidup kepada orang lain.”

Benar, biarlah kegembiraan hidup ini kita kongsi bersama dengan manusia lain. Mudah-mudahan di akhirat nanti ia akan menjadi sumber kegembiraan pula kepada kita. Insya-Allah.  



Ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya para dermawan yang tidak henti-henti menyumbang serta para relawan yang tidak mengenal erti penat dalam menjayakan apa jua program kebajikan. Moga setiap sumbangan tidak kira wang ringgit, tenaga, masa, buah fikiran dan sebagainya, beroleh ganjaran yang sebaiknya daripada Allah SWT.

Saturday 1 December 2018

Batuk dan selsema yang berkunjung lagi..

Sudah seminggu menghidap selsema dan batuk yang mengokoh. Kata orang batuk dan selsema adalah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan. Jika batuk, tidak lama kemudian datanglah pula selsema. Benar sekali, tetapi selsema yang saya hidapi sudah pun sembuh sejak lima hari yang lalu. Hanya batuk yang masih belum berkurangan. 

Siang atau malam apabila batuk datang menjengah, serta-merta mewujudkan kondisi yang sangat tidak selesa. Dan ketidakselesaan ini makin ketara tatkala berada di khalayak ramai. Justeru, mengobrol (berbual) dan bercanda sesama teman-teman pun sedikit terjejas.

Apabila tekak mula terasa miang meremut-remut, di waktu itulah terhambur batuk tanpa simpati sehingga bisa menegangkan urat perut dan leher. Aduh sungguh menyakitkan. Suara pula sudah bertukar menjadi ala-ala suara itik serati. Mujurlah bukan penagih candu (rokok), jika tidak tentu lebih sadis lagi halnya. 

Sebenarnya, perkara biasa saya diserang batuk dalam 4 atau 5 bulan sekali, atau jangkamasa kurang daripada itu. Malahan perkara biasa juga saya menghidap batuk dalam jangkamasa yang agak lama. Pernah hampir dua bulan saya batuk-batuk, sehingga ditegur oleh sahabat-sahabat. 

Saya memang malas ke klinik jika batuk tidak berapa kuat. Memadai hanya dengan mengamalkan madu lebah yang dicampur dengan perahan limau nipis. Ternyata saya selesa dengannya. Madu lebah memang diakui akan banyak kegunaannya di dalam bidang perubatan. Justeru, saya sentiasa memastikan stok madu lebah sentiasa tersedia di rumah. Kata orang "bersambung beli".

Stok madu diperolehi melalui sahabat-sahabat yang menjualnya. Saya tidak membeli sembarangan, terutama daripada orng yang tidak dikenali. Bukan apa, tidak kena gaya terbeli madu yang dicampur dengan air gula. Huh, taktik biasa menipu. Sama juga dengan tempoyak yang dicampur dengan isi pisang.

Jika ke Chenor, saya membeli pula madu lebah dengan sahabat di sana. Salah seorangnya yang saya panggil Pak Din Chenor. Dia sendiri masuk ke hutan mencari madu lebah bersama beberapa orang lagi sahabatnya. 

Tetapi jika batuk yang agak teruk dan lama, saya pergi juga membuat pemeriksaan. Bimbang juga jika tersangkut penyakit lain. Alhamdulillah, setakat ini semuanya dalam keadaan baik.

Ujian-Nya

Sesungguhnya sakit adalah di antara ujian Allah SWT kepada hamba-Nya. Apabila kita berdepan dengan ujian kesakitan ini, kita ada dua keadaan yang perlu dilakukan. Pertamanya, kita mesti berikhtiar mengubatinya. Jangan terbitkan rasa jemu dan berputus asa walaupun kesakitan itu mengambil masa yang lama untuk sembuh. Keduanya, disamping kita berikhtiar, kita mesti ada rasa menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT. Kita amat memerlukan kekuatan emosi dan spiritual, semuanya adalah dengan merujuk kepada-Nya.

“Tidaklah mengenai akan seorang muslim daripada penyakit, kesusahan, penderitaan, dukacita, rasa sakit, termasuk duri yang mengenainya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian kesalahannya disebabkan kesusahan itu.” (Bukhari dan Muslim).

Friday 23 November 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 115

Salam Jumaat.


"Janganlah bersedih kepada budak yang dipukul. Pukulan itu akan sembuh, yang kekal itu ILMU dan ADAB. Pukulan akan memberi faedah, ilmu akan mengangkat darjat mereka. Kalau bukan kerana takut, mereka tidak akan membaca dan tidak akan menulis. Kalau bukan kerana guru, semua orang seperti binatang tiada ILMU dan tiada ADAB."

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (42)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (41) di bawah tajuk utama: DAKWAH TAHAP PERTAMA: SEBUAH JIHAD TERSEMBUNYI

 foto hiasan: sumber

Solat Secara Sembunyi-Sembunyi 

Antara wahyu yang paling awal turun adalah perintah mengerjakan solat. Muqatil bin Sulaiman menyatakan, "Pada masa awal Islam, Allah mewajibkan solat dua rakaat pada pagi hari dan dua rakaat pada waktu petang, Allah berfirman:

"Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang." (Ghafir: 55)

Ibnu Hajar mengatakan, "Adalah pasti bahawa sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah saw sudah biasa melaksanakan solat. Demikian pula sahabat-sahabat baginda. Namun begitu yang masih diperselisihkan adalah, adakah solat yang wajib sebelum diwajibkannya solat lima waktu itu? Ada yang mengatakan bahawa diwajibkan pada waktu itu (sebelum Israk Mikraj) solat sebelum matahari terbit dan solat sebelum matahari terbenam."

Haris bin Usamah meriwayatkan daripada jalan Ibnu Luhaiah secara maushul daripada Zaid bin Harisah, bahawa ketika pertama kali solat diwajibkan, Rasulullah saw didatangi Jibril yang kemudian mengajar baginda berwuduk. Selesai berwuduk, baginda mengambil secedok air lalu memercikkannya ke kemaluan baginda. Ibnu Majah juga membawakan riwayat yang semakna dengan ini. Riwayat dengan makna yang sama juga dibawakan oleh Barra' bin Azib dan Ibnu Abbas. Dalam riwayat Ibnu Abbas ada tambahan, "Itu merupakan kewajipan solat yang pertama."(1)

Disebutkan oleh Ibnu Hisyam bahawa Nabi Muhammad dan para sahabatnya apabila datang waktu solat, mereka bergegas menuju tempat tersembunyi, lalu mereka mengerjakan solat dengan sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui kaumnya. Pernah suatu ketika Abu Talib mendapati Nabi Muhammad dan Ali mengerjakan solat. Maka dia bertanya kedua-duanya tentang hal itu. Setelah mengetahui urusan solat secara jelas, Abu Talib menyuruh mereka berdua untuk berteguh hati.(2)  

Rujukan: 

(1)  Abdullah bin Muhammad an-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 88.

(2) Lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 247. 

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Wednesday 21 November 2018

Tuesday 20 November 2018

Maulid ar-Rasul 1440H/2018M


"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" (al-Ahzab: 21)

Indahnya peribadimu duhai Rasulullah bagaikan pancaran mata air yang tidak pernah kering, untuk diteguk oleh umatmu. 

Sempurna akhlaqmu memancarkan kejernihan budi di atas hamparan kemuliaan. 
Engkau bagaikan permata yang menyinari diri dan umat dengan cahaya kebenaran. 
Umpama pembawa obor penerang hidayah ketika berhala-berhala dijadikan tuhan sembahan. 
Engkau membawa rahmat dan keberkatan di saat dunia gelap diserkup kejahilan. 

Engkau tinggalkan dunia ini setelah lengkap risalah dan aturan. 
Sedangkan kami sentiasa mendakap sebuah kerinduan. 
Syafaatlah kami duhai Rasulullah, di saat gelap-gelita menghadang. 
Sedangkan kami pula tiada kuat untuk menahan... 

Semoga Allah SWT melimpahimu salam kesejahteraan, selama roda kehidupan dunia berjalan. 
Juga kepada ahli keluargamu, beserta seluruh sahabat dan pendukungmu sekelian.

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Ali-Imran: 31)

Salam Maulid ar-Rasul
12 Rabiul Awwal 1440H
20 November 2018

Monday 19 November 2018

Ada bibit-bibit bahagia (zaman itu)

'Sebelah kiri letaknya kedai syarikat dan  kedai kopi pakcik Nik Moh. Manakala di tempat semak menjalar letaknya kedai runcit Abah dan rumah kayu di hujung adalah rumah pak Usop' 

Sewaktu kecil dulu, abang long selalu bawa aku bergunting rambut di kedai gunting Pak Usop. Tetapi mahu disebut kedai gunting pun tidak sesuai rasanya, kerana tempat bergunting sekadar di sebelah beranda rumahnya dengan atap yang dilebihkan sedikit untuk berlindung daripada hujan dan panas. 

Di bawah lebihan atap itu ada sebuah kerusi kayu yang dibikinnya sendiri. Pak Usop tidaklah sepenuh masa kerjanya sebagai tukang gunting, hanya mengisi masa lapang di sebelah petang selepas balik dari menoreh getah atau menebas kebun. 

Kadang-kadang sambil menanti rambut siap digunting aku terlentok lena di kerusi apabila disapa angin petang yang dingin mendamaikan. Sedar-sedar Pak Usop mengejutkanku setelah rambut siap dipotong. Bayaran bergunting yang Pak Usop kenakan semurah satu ringgit. Bahkan, jika tiada duit pun tidak mengapa. Pergilah bergunting, tak perlu bayar, Pak Usop tidak kisah. Begitulah suasana kampung yang mungkin sulit untuk ketemu hari ini.

Jika tiada pelanggan yang mahu bergunting, Pak Usop selalu duduk di kedai kopi Pakcik Nik Moh di seberang jalan berhadapan rumahnya. Bersama beberapa penduduk yang lain mereka bermain dam aji dengan secawan teh tarik. Dari situ dia dapat melihat kalau-kalau ada pelanggan yang mahu bergunting. 

Kedai kopi bagaikan satu pusat utama untuk bersilaturrahim dan melepaskan penat setelah hampir seharian membanting tulang di ladang getah atau di kebun sayur. Apa sahaja topik menjadi bualan dalam suasana yang sangat harmoni.

Oh ya, pemandangan yang biasa aku lihat dahulu, rata-rata penduduk kampungku ke mana-mana dengan tersisip parang di pinggang. Tidak kira sambil menunggang basikal maupun motosikal atau juga sambil menghirup kopi di kedai. Ia adalah perkara yang sangat biasa. Sangat janggal jika tiada parang tersisip di pinggang jika mahu keluar menjarah. 

Mungkin sekarang ini situasinya sama dengan telefon bimbit yang tidak ada orang yang tidak memilikinya. Hatta budak sekolah rendah pun sudah memilikinya. Realiti.

Di sebelah kedai kopi Pakcik Nik Moh pula terdapat bekas tapak kedai yang kami panggil kedai syarikat. Mengapa digelar begitu? Entahlah aku pun tidak tahu, kerana saat aku mengenal dunia ia sudah mendapat jolokan tersebut.  Tetapi pada fikirku, kedai syarikat tersebut adalah kedai yang didirikan oleh pihak kerajaan memerintah untuk kemudahan penduduk. Mungkinlah.

Dahulu, pemiliknya sebuah keluarga cina yang mengusahakan kedai runcit yang kami panggil kedai Nyah. Seingat aku itulah satu-satunya keluarga cina di kampung kami. Mereka sekeluarga sangat fasih berbahasa melayu. Cerita arwah bapaku, anak lelaki sulung Nyah yang dipanggil Ajuwak pun boleh mengaji kerana masa kecil-kecil seringkali mengikuti anak-anak kampung ke rumah tuan guru. 

Setelah kedai syarikat diruntuhkan, mereka telah berpindah dari kampung kami. Tetapi sesekali si Ajuwak datang berkunjung ke rumahku ketika orang tuaku masih ada. Sangat akrab hubungan mereka.  

Di sebelah kedai Nyah, di sinilah letaknya kedai mee calong yang sangat sedap rasanya. Pemilik kedai tersebut bernama Pak Aziz. Kami menggelarnya Pak Aziz calong. Sebut sahaja nama tersebut, seisi kampung mengenalinya. Aku selalu singgah dalam perjalanan sebelum ke kelas mengaji.

Seingat aku tiada lagi mee calong yang seenak buatan Pak Aziz. Harga pada masa itu cukup murah kira-kira 30 sen semangkuk. Jika dibungkus harganya 40 sen. Setiap kali menikmatinya, kami menghirup hingga ke titsan kuah yang terakhir dek kerana kesedapan yang menguasai anak tekak. 

Sekarang, kedua-dua kedai syarikat yang berhimpitan itu telah tiada. Hilang tandanya tidak bersisa. Malahan pokok belimbing yang berdiri tegak di belakang kedai tersebut, yang biasa aku dan rakan-rakan memetik buahnya juga telah tiada. Tidak dibayangkan kami menikmati buah belimbing tersebut walaupun tidaklah semanis mana. 

Di bawah runtuhan kedua kedai tersebut kini telah didirikan rumah sewa yang entah berapa kali bersalin penghuni. 

Kedai kayu dua tingkat

Berhampiran rumah Pak Usop, ada sebuah kedai kayu dua tingkat. Seingat aku ia wujud lebih awal daripada rumah Pak Usop. Pakcik Sheikh Wahid mengusahakan kedai runcit tersebut. Sebelah bawah dijadikan kedai runcit yang menjual pelbagai barangan kegunaan penduduk, manakala sebelah atas berfungsi sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga. 

Kedai pakcik Sheikh Wahid atau lebih mesra dengan panggilan kedai Abah adalah rumah kayu pertama dua tingkat pada masa itu di kampung kami.  Mengapa digelar kedai Abah? Entahlah aku tidak dapat menjawabnya, dan aku tidak pernah pula bertanya kepada sesiapa. Cuma setahu aku, Pakcik Sheikh Wahid ini berketurunan arab Yaman, tetapi sudah jauh nasab generasinya. 

Pakcik Sheikh Wahid atau Abah ini pernah menjadi bualan penduduk kami dahulu. Sebabnya, beliau adalah orang pertama yang membeli kereta proton saga di kampung kami. Jakunnya kami melihat Abah memandu kereta proton saga hijau miliknya di sekeliling kampung. Kata anaknya yang menjadi sahabat baikku, nombor pendaftaran kereta tersebut adalah tarikh lahir ayahnya. 

Masih aku ingati nostalgia membeli air batu di kedai Abah. Air batu di dalam takung dikeluarkan dan dipotong dengan gergaji apabila ada yang mahu membelinya. Pada masa itu tidak ramai yang memilik peti ais di rumah. Jadi, untuk menikmati air batu tidak kira samada di hari biasa atau bulan Ramadhan, maka kedai Abah yang menjadi tumpuan. Manakala aku pula automatik menjadi tukang ke kedai membeli air batu. 

Jika dikenang semua itu aku tersenyum sendirian. Ada bibit-bibit bahagia yang sukar digambarkan. Kini semuanya telah berubah. Aku percaya, semuanya semua deretan kedai sepi pupus tiada kena mengena denganku. Tapi aku cukup terasa 'hilang' dalam siang dan malamku. Segala imaginasi, aku bawa ke tidur. Realitinya desaku semakin berubah wajah dan citranya.

Moga Allah SWT cucuri rahmat buat mereka yang telah pergi, abang long, Pak Usop tukang gunting, Pak Aziz calong, Pakcik Nik Moh dan Abah Sheikh Wahid.

Saturday 17 November 2018

Seronok!

Seronok sungguh! 

Demikianlahlah gambaran apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat sekampung. Sahabat segenerasi dari sekolah rendah yang sama-sama mewarnai wajah dan citra desa. 

Kebetulan pula cuti sekolah sempena perayaan Deepavali, salah seorang warga kampung kami mengadakan majlis perkahwinan anaknya. Maka ramailah sahabat yang tinggal di luar pulang, termasuk saya. Tetapi yang tidak dapat pulang pun ramai juga kerana masing-masing mempunyai komitmen dengan tugasan dan sebagainya. 

Apa pun mereka bertanya khabar juga melalui aplikasi whatsapp grup ‘desa tercinta’. Sekurang-kurangnya hubungan tersebut masih mekar walaupun tidaklah seperti dulu-dulu. Walaupun jasad berjauhan namun hati tetap bersatu. 

Alhamdulillah, teknologi moden yang memudahkan banyak urusan. Semuanya termasuk dalam perkara yang seharusnya disyukuri. Tidak salah memanfaat teknologi yang ada, asalkan digunakan pada jalan yang betul. Begitulah sebaliknya. 

Seperti sahabat saya ini, menyampaikan undangan ke majlis walimah anaknya melalui grup whatsapp. Maklumlah masing-masing tinggal berjauhan. Kalau dulu-dulu terpaksalah dihubungi melalui talian telefon seorang demi seorang. 

Saat berkumpul begini, bermacam-macam perkara yang dibualkan. Cerita tentang keluarga, kerja, isu politik dan macam-macam lagi. Lepas satu bab beralih kepada bab yang lain pula. Peluang meng’update’ perkembangan diri masing-masing tidak dilepaskan. Sesekali pula berswafoto lalu ditumpahkan ke dalam whatsapp grup buat tatapan sahabat-sahabat yang lain yang tidak dapat bersama. 

Kemudian beralih pula kepada kisah-kisah lama, zaman anak-anak hingusan. Bermula dengan seorang sahabat yang membuka cerita, sudahnya yang lain-lain turut tumpang semangkuk menjadi nasi tambah. Yalah, boleh dikatakan setiap orang menjadi watak dalam cerita tersebut. 

Ada kisah lucu yang mengundang gelak dan hilai tawa. Kisah dikejar kerbau, ditanduk kambing, jatuh perigi, bergotong-royong memetik buahan di kebun tanpa pengetahuan tuannya dan seribu satu macam perangai budak-budak. 

Tatkala bercerita mengenai sahabat-sahabat yang dulunya sama-sama nakal, yang telah pun ‘mendahului’. Menyebut nama mereka satu persatu, tiba-tiba suasana menjadi hening. Masing-masing terdiam seketika, bercampur sebak yang menggigit rasa. Saya perasan, ramai sahabat segenerasi telah meninggalkan kami semua. Ada yang disemadikan di sini, tidak kurang yang di luar desa tercinta ini. 

Mereka semua telah pergi. Saya dan sahabat-sahabat lain juga pasti akan menyusul untuk memenuhi janji yang telah termaktub di azali. Di mana? Bagaimana? Semuanya di dalam rahsia Ilahi.. 

Al-Fatihah buat mereka semua.

Wednesday 14 November 2018

Monday 12 November 2018

Lemahnya kita kerana kasih sayang-Nya

 Anakanda Haikal yang istimewa (foto hiasan)

Setiap kita menginginkan kebaikan yang bertambah untuk menampal segala kelemahan yang sentiasa tidak lekang daripada diri yang serba lemah ini. Walau siapa pun kita, setinggi mana pangkat dan darjat, tentunya kita hanyalah hamba abdi Tuhan yang lemah. Tidak mungkin sedetik kita dapat melalaikan kasih-Nya yang Maha Luas itu. 

Benar, Kita adalah manusia yang lemah, tidak berdaya dan tidak berkemampuan. Kita semua berhajat kepada-Nya. Hendak atau tidak, setuju atau engkar, manusia memerlukan Allah SWT dalam setiap saat kehidupannya. Tiada siapa yang dapat menafikannya. Walau siapa pun dia. 

Manusia perlu kepada Tuhan. Justeru itu mereka perlu mengenal Tuhan. Kenal dengan merenung dan memerhati ayat-ayat Allah yang dibaca. Begitu juga kenal dengan memerhati dan berfikir akan kejadian alam ini. Semua ini akan memutikkan rasa kehebatan Allah SWT dan begitu kerdil dan lemahnya diri kita. 

Mengapa kita diselimuti dengan bermacam-macam kelemahan, sedangkan kita diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Mengapa ya? Pernahkah kita memikirkan sebabnya? Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jawapannya.

يُرِيدُ اللّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً 
“Allah (sentiasa) hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia dijadikan bersifat lemah.”(an-Nisa’: 28) 

Benar, Allah mahu memberi keringanan kepada kita, maka diciptakan kita dengan banyak kelemahan. 

Begitu juga seorang hamba yang tahu dirinya serba lemah dan kerdil, maka dia akan sentiasa memohon dan merintih kepada-Nya. Dia akan sentiasa meletakkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah SWT. Bukankah ini juga satu nikmat yang terbesar, bersungguh dengan penuh keikhlasan mengharap kepada-Nya. 

Sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan apabila merasa diri cukup dan sempurna. Maka janganlah kita bersedih dan kecewa dengan kelemahan yang dimiliki. Ingatlah setiap apa yang Allah SWT jadikan atau taqdirkan tidak akan ada yang sia-sia, melainkan ada nilainya yang mungkin tidak kita sedari..

Sunday 11 November 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (41)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (40) di bawah tajuk utama: DAKWAH TAHAP PERTAMA: SEBUAH JIHAD TERSEMBUNYI
 
foto hiasan: sumber

Kumpulan Orang Islam yang Pertama

Sangat wajar Rasulullah saw menyampaikan Islam buat permulaannya kepada orang yang terdekat dengan baginda dan juga keluarga baginda serta teman-teman karib baginda. Baginda mendakwah mereka untuk memeluk Islam. Baginda juga mendakwahkan Islam kepada orang yang baginda pandang berpotensi menyambutnya dengan baik, iaitu mereka yang telah baginda kenal dan mereka pun mengenali baginda dengan baik. Baginda mengenali mereka sebagai orang yang mencintai kebenaran dan kebaikan, sementara mereka megenali baginda dengan sejumlah fakta kejujuran dan kesolehan. 

Maka, daripada orang yang tidak ragu sedikit pun terhadap keagungan dan keluhuran jiwa Rasulullah saw serta kebenaran berita yang baginda bawa ini, tampillah sekumpulan manusia yang menyambut seruan Islam. Dalam sejarah Islam, mereka dikenali dengan sebutan as-Sabiqun al-Awwalun (para pendahulu yang memeluk Islam).

Orang pertama yang menyambut dakwah Islam ialah isteri Nabi, Ummul Mukminin, Khadijah binti Khuwailid. Kemudian diikuti oleh bekas hamba baginda, Zaid bin Harisah bin Syarahbil al-Kalby.(1) Seterusnya sepupu baginda, Ali bin Abu Talib (yang waktu itu masih kanak-kanak dan dalam asuhan baginda) serta sahabat terdekat baginda, Abu Bakar as-Siddiq. Mereka orang yang paling awal memeluk Islam ketika bermulanya dakwah Islam.(2)

Selepas itu, Abu Bakar rajin berdakwah kepada orang ramai supaya memeluk Islam. Dia seorang yang murah hati, penyayang, lembut, berakhlak mulia dan gemar melakukan kebaikan. Dia merupakan tokoh terkenal dalam kalangan kaumnya. Mereka sering mengunjung dan turut menyukainya kerana dia mempunyai ilmu yang luas, pedagang yang berjaya serta cara berinteraksi yang baik terhadap orang lain.

Maka dia pun mendakwahkan Islam kepada kaumnya yang mempercayainya, iaitu mereka sering datang dan berinteraksi dengannya. Melalui dakwahnya, beberapa orang memeluk Islam, antaranya ialah Usman bin Affan al-Umawi, Zubair bin Awwam al-Asadi, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi  Waqqas al-Zuhriyan dan Talhah bin Ubaidillah al-Taimi. Lapan orang inilah yang mula-mula memeluk Islam. 

Selepas lapan orang tadi, menyusul pula Bilal bin Rabah al-Habasyi, seterusnya bintang kepercayaan umat ini(3) iaitu Abu Ubaidah Amir bin al-Jarrah daripada Bani Haris bin Fihr, kemudian Abu Salamah bin Abdul Asad, Arqam bin Abu Arqam al-Makhzumi, Usman bin Mazh`un berserta dua saudaranya iaitu Qudamah dan Abdullah, Ubaidillah bin Haris bin Muthalib bin Abdul Manaf, Said bin Zaid al-`Udawi berserta isterinya iaitu Fatimah binti Khattab al-`Udawiyah (saudara perempuan Umar bin Khattab), Khabab bin al-Arats, Abdullah bin Mas`ud al-Hudzali dan lain-lainnya. Mereka semua tergolong dalam as-Sabiqun al-Awwalun.

Mereka berasal daripada seluruh suku Quraisy (masing-masing suku ada pemeluk Islam terawal). Ibnu Hisyam mengira jumlah mereka lebih daripada 40 orang.(4) Namun begitu, yang mesti dicatat, masih perlu dikaji lebih mendalam lagi apakah sebahagian daripada mereka juga layak  mendapat sebutan as-Sabiqun al-Awwalun seperti lapan orang pertama.

Ibnu Ishaq mengatakan, "Seterusnya semakin banyak orang memeluk Islam, Samada lelaki maupun perempuan sehingga Islam mula disebut-sebut di Mekah dan menjadi buah mulut penduduknya.(5)

Mereka semua memeluk Islam secara sembunyi-sembunyi. Rasulullah saw mengumpul dan mengajar mereka agama Islam secara sembunyi. Waktu itu wahyu turun sedikit demi sedikit, bahkan sempat berhenti turun setelah ayat awal Surah al-Muddathir. Ayat-ayat atau potongan surah yang turun pada masa ini berupa ayat-ayat pendek yang indah dan menarik. Iramanya yang mengalun lembut dan memikat hati sangat sesuai dengan iklim yang lembut pada waktu itu.   

Ayat-ayatnya berisikan sanjungan terhadap penyucian jiwa dan sebaliknya berisi celaan terhadap tindakan mengotori jiwa dengan debu dunia. Syurga dan neraka pun disajikan gambarannya sehingga orang beriman dapat melihat dunia yang berbeza dengan dunia tempat hidup manusia pada waktu itu. 

Rujukan:
(1) Dahulunya dia adalah seorang tawanan perang yang kemudian dijadikan hamba. Dia dibeli oleh Khadijah dan diserahkan kepada Rasulullah saw. Ayah dan bapa saudaranya pernah datang untuk menebus dan menjemputnya pulang kembali kepada kaumnya. Namun begitu, dia memilih untuk tinggal bersama-sama Rasulullah. Zaid kemudian diangkat menjadi anak, berdasarkan aturan pengangkatan anak yang berlaku dalam bangsa Arab saat itu. Namanya menjadi Zaid bin Muhammad. Setelah Islam datang, tradisi pengangkatan anak dilarang. 

(2) Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. 1, hal. 50.

(3) Penyebutan Abu Ubaidah dengan gelaan ini dapat dilihat dalam Sahih al-Bukhari, jil. 1, hal. 530

(4) Lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 245-262.

(5) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 262.   

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Thursday 8 November 2018

Sekadar celoteh

Cuti persekolahan sempena perayaan Deepavali telah pun berakhir.  Bermulalah rutin harian menghantar dan mengambil 'sikecil Haikal yang istimewa' di sekolahnya. Awal pagi bergulinglah roda motosikal tua yang banyak berjasa ini melanyak aspal jalan bersaing dengan deretan kenderaan yang bernafsu muda dan garang. Jika hari hujan terpaksalah menggunakan khidmat 'si tua' beroda empat pula. Pemandunya juga sama sedang menuju hari-hari tua. 

Semalam saya menghantar anakanda acik Adawiyah pulang ke asramanya. Hujan rengai-renyai dan sesekali lebat mengiringi perjalanan kami menuju ke sekolahnya. Pada sebelah paginya cuaca cerah dengan matahari memancarkan cahaya kekuningan. Melihat gaya cuacanya, saya bermonolog sendirian, mungkin cuaca cerah hari ini berlanjutan sampai ke petang. Namun, telahan saya silap, "kusangka panas hingga ke petang, tapi hujan di tengahari..." Alhamdulillah..

Pada hari Selasa sebelum itu pula, kami ke Kemaman. Buat apa ke sana? Oh, menghantar anakanda angah Irsalina pulang ke asramanya. Negeri Terengganu memulakan sesi persekolahan pada hari Rabu. Maklumlah, mereka bercuti awal sehari kerana negeri tersebut cuti hujung minggunya pada Jumaat dan Sabtu. Bergeraklah kami petang itu membelah aspal jalan yang sibuk dengan kenderaan yang berpusu-pusu menuju destinasi masing-masing. Ditambah dengan hujan yang turun sejak daripada pagi lagi, menjadikan pemanduanagak perlahan. 

Oh ya, anakanda angah Irsalina menduduki peperiksaan akhir tahun peringkat Thalis Sanawi pada hari ini (Rabu). Saya panjatkan doa agar dia beroleh ketenangan dan kefahaman dalam menghadapi medan tempur ini. Seterusnya mendapat kejayaan yang cemerlang, sebagaimana yang diimpikan oleh setiap orang. Amiinn.

Cepatnya masa berlalu, sedar tak sedar hampir dua tahun anakanda along Ikhwan bermukim di Perlembahan Nil. Alhamdulillah, setakat ini tiada apa-apa kesulitan yang besar yang dihadapinya melainkan isu visa tempohari. Hanya doa dan tawakkal yang sentiasa dipanjatkan, moga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan di sepanjang perjalanan hidupnya di sana. Amiinn.

Demikianlah, anak-anak semakin membesar. Akhirnya tinggallah kami berdua menyulam hari-hari tua setelah mereka semua membina kehidupan sendiri. 

Friday 2 November 2018

Wednesday 31 October 2018

Merasa gusar dan bimbang

Bagaikan sudah menjadi satu 'trend' di tempat saya kebelakangan ini, hujan turun pada waktu malam. Turun sekitar jam 9 atau 10 malam, kemudian membawa ke santak tengah malam. Kadang-kadang berlanjutan sehingga ke waktu subuh. Kadang-kadang turun menyimbah bumi pada waktu petang  sampai ke malam.

Hujan yang turun adakalanya lebat diikuti dengan guruh dan kilat, dan adakalanya sekadar renyai-renyai tetapi dalam jangkamasa yang lama. Demikianlah, ia tetap menggusarkan hati-hati penduduk di kawasan yang mudah dinaiki air. Tentunya, kerana pemulaan musim tengkujuh kian menghampiri.

Beberapa hari lepas pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah mengeluarkan notis hujan lebat bermula November ini. Di tambah pula dengan fenomena air pasang besar, maka kebimbangan tersebut semakin menebal.

Saya sendiri tidak terkecuali, ada sedikit berperasaan demikian. Perasaan cuak apabila hujan turun dengan lebat. Maklumlah, kawasan ini ada sejarah pernah dinaiki air. Walaupun hanya sekali ketika banjir besar tahun 2014, yang turut menenggelamkan beberapa kawasan lain yang tidak pernah dinaiki air. Tidak mustahil ia mungkin boleh berulang kembali. 

Kebimbangan

Allah SWT menjadikan manusia. Dia juga membekalkan manusia dengan berbagai-bagai perasaan. Ada perasaan suka, gembira, sedih, takut, runsing, kecewa dan sebagainya. Kesemua perasaan tersebut digaul sebati untuk melengkapi kehidupan manusia. Tidak ada manusia yang hanya ada perasaan gembira, suka, bahagia tanpa ada perasaan sedih, berduka, kecewa, dan begitulah sebaliknya. 

Tidak salah untuk merasa gusar dan bimbang dengan musibah yang menimpa. Ia adalah suatu yang normal dan sesuatu yang  biasa dalam kehidupan seorang manusia. Mahu merasa sedih, bimbang, susah hati, silakan. Namun, perlu diingat, biarlah ia berada di dalam batas-batas yang dibenarkan. Jangan sampai bertindak sehingga menyalahkan taqdir, bahkan sehingga menyalahkan Tuhan. 

Sesungguhnya Allah SWT telah mengajar hamba-Nya dalam menerima musibah. Sebagaimana firman-Nya:
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al-Baqarah: 155-156)

Allahu al-Musta`an.

Sunday 28 October 2018

Perubahan kepada kebaikan itu pasti...


Allah SWT menganugerahkan kekuatan dan akal budi kepada manusia, sehingga manusia dapat bertindak sendiri dan mengendalikannya dirinya sendiri di bawah naungan-Nya. 

Dalam erti kata, manusia berkuasa ke atas dirinya dalam batas-batas yang ditentukan oleh Allah SWT. Oleh itu, manusia wajib berusaha menentukan garis hidupnya, jangan hanya menyerah kepada taqdir semata-mata. 

Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menyerah semata-mata kepada taqdir, tetapi kita yakin dan percaya adanya taqdir. Kita juga tahu Allah SWT tidak akan merubah nasib kita, sekiranya kita sendiri tidak berusaha merubahnya. Kita juga percaya bahawa dalam perjalanan hidup yang dilalui, tidak mustahil akan menemui kegagalan dan kecelakaan yang tidak disangka-sangka, walaupun telah dibuat persiapan yang rapi. 

Sebab itulah, dalam setiap kegiatan atau pekerjaan yang dilakukan kita tidak boleh sesekali melepaskan ingatan kepada-Nya. Maka, jika kita ditimpa musibah atau dugaan, jiwa kita telah bersedia menghadapinya dan sentiasa ingat bahawa pelindung kita hanyalah Allah SWT. Nah! Disinilah letaknya kekuatan, sehingga jiwa sesekali tidak merasa sepi, bimbang, goyah dan putus asa. 

Berubahlah wahai diri! 

Firman Allah SWT: “...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sesekali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (ar-Ra`du: 11) 

Di dalam ayat di atas dapatlah kita fahami bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, jika mereka sendiri tidak mengubah sikap dan akhlaq yang ada pada mereka. Contohnya satu kaum atau bangsa yang suka berpecah-belah dan bermusuh-musuhan sesamanya, mereka pasti akan lemah dan mundur dalam segenap hal, baik dalam ekonomi, pemerintahan, pendidikan dan sebagainya. 

Ingatlah! Hal keadaannya itu tidak akan diubah oleh Allah SWT, jika mereka sendiri tidak mengubah sikap dan akahlaq mereka yang suka berpecah-belah dan bermusuhan. Seumpama orang yang malas, nasibnya akan menjadi miskin dan sentiasa hidup dalam kesusahan. Nasibnya tidak akan diubah oleh Allah SWT, selagi dia sendiri tidak membuang sifat pemalas itu terlebih dahulu. 

Kata seorang ahli hikmah: “Janganlah meminta kepada Allah, “kayakanlah aku” sedangkan dia sendiri tidak suka berusaha kerana langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.” 

Usahakanlah untuk berubah... 

Jangan ditangguh perubahan itu andai ianya menjurus ke arah kebaikan. Bimbang ia adalah peluang datang yang hanya sekali. 

Berubahlah wahai diri!

Thursday 25 October 2018

Moga Allah permudahkan..

Sudah seminggu tidak berkunjung ke 'pondok kecil abuikhwan' ini, sekaligus tidak dapat menumpahkan tulisan untuk tatapan sahabat-sahabat (jika ada yang mahu menatapnya). Bahkan laman milik sahabat-sahabat juga tidak mampu untuk saya kunjungi. Sudah pasti banyak coretan sahabat-sahabat yang saya terlepas untuk menatap, seterusnya mengambil manfaat daripadanya.

Kebelakangan ini kesibukan saya dan sahabat YAMCP berkisar kepada persiapan mengumpul dana bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu Sulawesi. Saya yakin sahabat-sahabat sedia maklum musibah yang telah menimpa bumi Palu. Sungguh tragis dan sangat menyayat hati. 

Sebelum ini kami bertungkus-lumus mengumpul dana untuk rakyat Lombok yang diuji juga dengan musibah gempa bumi. Takdir Ilahi, belum sempat kami 'membereskan' semampunya apa yang berlaku di Lombok, kemudian menyusul pula tragedi di Palu. Walaupun buat masa ini kami memberi tumpuan yang lebih kepada Palu, Lombok semestinya tidak dilupakan. Sudah ada di dalam senarai perancangan bantuan untuk dibawa ke Lombok nanti. 

Insya-Allah, November ini akan berlepas rombongan YAMCP ke Palu. Sebelum ini kami cuma mengirim bantuan melalui YAM Wilayah yang telah awal-awal berangkat ke sana. Mereka jugalah yang menyalurkan maklumat-maklumat penting berkenaan situasi di sana. Termasuk maklumat mengenai sesekali masih lagi berlaku gegaran-gegaran kecil.

Tempohari telah keluar arahan daripada YAM Pusat agar setiap negeri menghantar wakil bagi tujuan tersebut. Justeru, November ini kami akan menyusul. Allahu al-Musta`an..


Sunday 21 October 2018

Ayam masak kicap


#Ceria-ceria hujung minggu,,,

Monday 15 October 2018

Alhamdulillah, Dia yang ar-Razzaq

 
 foto hiasan: Santai di rumah rakit YAMCP

Allah ar-Razzaq, Dia yang memberi rezeki. Dia juga yang menciptakan rasa enak dan rasa kenyang. Tentunya, kerana ada orang yang di hadapannya segala macam jenis lauk-pauk yang baik dan hebat, tetapi lidahnya tidak enak berbanding orang yang hanya makan satu dua mata lauk tetapi ia lebih enak dan selesa makannya. 

Ya, lihatlah nikmat Allah yang amat luas itu. Dengan lafaz ‘Bismillah ar-Rahman ar-Rahim’, maka terkandung sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tanpa kasih sayang Allah kita tidak akan mampu menyuap makanan ke mulut, biarpun ia berada di depan mata. Kita tidak akan mampu mengunyah, menelan dan merasai lazatnya makanan jika tiada kasih sayang Allah. 

Sesungguhnya makanan bagi orang yang beriman itu boleh mengingatkan kepada Allah SWT. Semua makanan terasa enak dan sedap di hujung lidah. Tetapi yang paling penting ialah sentiasa bersyukur dengan apa yang dimakan. 

Pernahkah tatkala kita menyuapkan makanan kita sertakan dengan kesyukuran di atas nikmat yang diperolehi daripada Allah SWT? Dengan kasih sayang-Nya diberikan kita berbagai-bagai rezeki yang kadang-kadang tidak pernah kita pinta di dalam doa. Atau kita hanya pantas menyuapkan ke mulut tanpa berfikir siapakah yang memudahkan aku menyuapkan makanan ini. 

Bahkan, pernahkah kita terfikir siapakah yang memberikan rezeki dalam kehidupan ini dengan tanpa berkira-kira. Amat malanglah jika semua ini tidak pernah kita fikir dan rasai. 

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

Sunday 14 October 2018

Masih adakah...?

 'Menyambut kami'

“Ok dah siap semua, jom!” 

Hari ini kami sekeluarga merancang untuk ke Sungai Lembing. Maklumlah hujung minggu, kebetulan pula saya tidak ada apa-apa program yang perlu dihadiri. Manakala angah Irsalina dan acik Adawiyah pun ada di rumah setelah pulang dari asrama pada hari Jumaat kelmarin. 

Mahu memanfaatkan masa yang terluang, lalu saya mencetuskan rancangan untuk ke sana. Anak-anak tiada masalah, mengikut sahaja asalkan dapat berjalan-jalan, semuanya beres. Ummu Ikhwan pun sama mengikut sahaja. Sebelum ini pun kami sudah beberapa kali berjalan-jalan ke sana. 

Teringat semasa anak-anak masih kecil dahulu. Selalu saya bertanya setiap kali mahu bermusafir ke mana-mana. 

“Kita nak pergi ni, siapa jadi ketua?” 

“Abi…” serentak mereka menjawab. 

“Kalau abi tak ada, nak dengar cakap siapa?” Saya bertanya lagi. 

“Ummi…” 

“Dengar cakap ummi sepertimana dengar cakap abi, ok?” 

“Ok!” Petah sahaja mereka menjawab. Semuanya ok, tetapi apabila sampai masa, macam-macam pula ragamnya. 

Sekarang anak-anak sudah besar. Terasa cepat pula masa berlalu. 

Perjalanan ke Sungai Lembing 

Roda kenderaan meluncur tenang melanyak aspal jalan. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang, sesekali berselisih dengan 2 atau 3 buah kenderaan. Seronok betul memandu seperti ini. Pengalaman saya yang sudah berkali-kali melalui jalan ini, memang beginilah keadaannya. Tiada macet (jem). 

Di tambah dengan hari cuti begini, makin kuranglah kenderaan. Walaupun sepatutnya tidak begitu. Agaknya mereka lebih suka berjalan-jalan ke tempat lain daripada datang ke Sungai Lembing. Kalau ada pun 3 atau 4 biji bas yang membawa pelancong dari luar. Maklumlah tidak banyak yang dapat dilihat di sini melainkan beberapa lokasi sahaja. Demikian getus hati saya mengagak. 

Namun, bagi saya tentunya sesuatu yang menyeronokkan memandu dalam keadaan situasi begini. Pedal minyak ditekan lancar, dengan sesekali pedal brek ditekan tatkala melewati selekoh. Ditambah dengan pemandangan di kiri dan kanan dengan rimbunan hutan hijau serta aliran sungai di bawah sana. Semuanya menjadi hidangan anak mata saya. Terasa sejuk dan sungguh mendamaikan. 

 'Desaku yang semakin berubah citra dan wajahnya'

Pernah saya berseloroh kepada ummu Ikhwan, “Selepas pencen nanti kita balik kampung, buat rumah di sana. Kita buat rumah kayu, macam rumah arwah ayah. Kita tanam sayur, pokok buah-buahan. Kemudian bela ayam dan itik, bela lembu dan kambing.” 

“Itu pun kalau di kampung masih lagi ada suasana kampung.” ummu Ikhwan menjawab sambil melirik senyum. Penuh makna yang tersirat. 

Saya termenung panjang. Memang benar, itu pun jika kampung saya masih ada lagi suasana kampung. Melihat kepada apa yang berlaku sekarang, saya rasa tidak mungkin begitu. Sekarang ini pun sudah banyak hutan hijau yang ditolak, bukit-bukau yang ditarah sedikit demi sedikit. Tali air yang pernah saya rasai kesejukan airnya bersama rakan-rakan dahulu pun sudah lenyap tidak bertanda. 

Rakusnya jentolak meranapkan semuanya sehingga tidak bersisa. Kemudian dinaikkan pula cerucuk besi untuk dibina perumahan. Akhirnya, satu demi satu tanda yang menjadi kenangan hilang dan lenyap ditelan arus pembangunan. 

Orang-orang tua yang baya-baya dengan ayahanda dan bonda saya seorang demi seorang telah pulang ke mengadap-Nya. Begitu juga generasi yang seangkatan dengan saya. Tinggallah generasi baru yang merubah citra dan wajah kampungku seperti hari ini. 

Kadang-kala hati saya merintih mengenangkannya. Air mata titis menyaksikan kampung nan damai semakin hilang hati dan budi kekampungannya. Apa daya yang ada..

Dari kejauhan pintu gerbang yang menjadi mercu tanda pekan Sungai Lembing menyambut kami dengan senyum mesra.

Saya pula masih menyulam rasa dengan pertanyaan yang berlegar-legar di benak, “Masih adakah ‘desa’ lagi buat generasi kami seterusnya?”