Sahabat Sejati

Thursday 30 September 2010

Mimpi Malik bin Anas r.a.

Pada satu malam Imam Malik bin Anas bermimpi melihat Malaikat Maut. Kemudian dia bertanya kepada Malaikat Maut itu, “Ya Malaikat Maut, masih tinggal berapa lagi usiaku?”

Malaikat Maut memberi isyarat dengan kelima jarinya. Imam Malik tidak mengerti maksud Malaikat Maut itu. Maka dia bertanya lagi, “lima apa wahai Malaikat Maut? Apakah 5 tahun? 5 bulan? 5 minggu? 5 hari?” Belum sempat mendengar jawapannya, beliau terjaga dari tidurnya.

Esok paginya beliau pergi berjumpa dengan seorang ahli ta`bir mimpi iaitu Imam Ibnu Sirin untuk menanyakan tentang mimpinya itu.

Kata Imam Ibnu Sirin, “Wahai Malik, mimpi mu itu baik-baik sahaja. Malaikat Maut tidak bermaksud mengatakan 5 tahun, 5 bulan, 5 minggu atau 5 hari. Tetapi ia hendak mengatakan kepadamu bahawa pertanyaanmu itu termasuk ke dalam 5 rahsia ilmu ghaib Allah SWT yang tidak diketahui oleh sesiapapun selain Allah SWT sendiri.”

Firman Allah SWT”

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Luqman: 34)

(Himpunan kisah malaikat)

Monday 27 September 2010

Jambori Amal Indera Mahkota ke - 2

Alhamdulillah, demikianlah selayaknya pujian saya panjatkan pada Ilahi di atas kasih sayang dan belas kasihan-Nya. Walaupun dalam serba kekurangan pada awalnya, tetapi dengan pertolongan Yang Maha Kasih, jambori ini dipermudahkan dan dapat diadakan mengikut jadual.

Mudah-mudahan segala apa yang dilakukan ini mendapat perhatian dan ganjaran pahala dari-Nya. Sesungguhnya dunia ini adalah medan bercucuk-tanam untuk mendapat tuaian di sana nanti. Kepada-Nya kami harapkan...


Banner Jambori Amal Kawasan IM kali ke 2.



Ceramah motivasi oleh YM Cikgu Raja Ismail Raja Shahdan atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Engku'. Beliau adalah pengerusi rumah anak-anak yatim Tengku Ampuan Fatimah di Kuantan, cukup terhibur dengan penyampaiannya.

Elhamdulillah. Sarapan pagi bersama Ustaz Suhaimi Saad, KP DPP Pahang. Juga bersama saudara Anuar.

Riadhah pagi yang dipimpin oleh abuikhwan.

Ini pula saudara Aidil Firdauz sedang menunjukkan demonstrasi kawad kepada adik-adik pelajar. Beliau juga bertanggungjawab dalam hal-hal keselamatan.

Tazkirah di mana-mana. Ustaz Hasan Azhari sedang menyampaikan tazkirah ringkas di perkarangan rumahnya. Beliau adalah mudir pondok as-Salikin, Beserah.

Di antara tenaga yang menggerakkan jambori kali ini. Terima kasih di atas sumbangan tenaga, masa dan sebagainya yang tak mampu disebutkan.

Latihan menggunakan alat pemadam api. Satu pelajaran dan pengalaman yang amat berguna kepada mereka.


Bergambar sebelum masing-masing pulang menuju destinasi.




Semoga bertemu di jambori yang akan datang....

Sunday 26 September 2010

Ceramah Aidilfitri

Semua dijemput hadir...


Wednesday 22 September 2010

Reformasi Ramadhan


Ramadhan telah berlalu hampir 2 minggu. Bagaimana prestasi pencapaian kita ketika ini? Tentunya kita mempunyai masa untuk menilai dan mengukur kembali prestasi pencapaian kita dengan Ramadhan yang lalu.

Apakah dalam masa 2 minggu ini kita dapat mengekalkan istiqamah seperti dalam bulan Ramadhan yang lalu? Jika ya, Alhamdulillah, maka tambahi lagi dengan kebaikan dan kebajikan serta perbanyakkan rasa syukur kepada Allah atas nikmat-Nya itu. Namun jika prestasi sekadar sama atau semakin menurun maka masih ada masa dan ruang untuk memperbaiki diri. Selagi nyawa di kandung badan maka selagi itulah masih ada kesempatan untuk mengislah dan bertaubat kepada Allah SWT.

Jadikanlah Ramadhan yang lalu sebagai reformasi untuk menyucikan jiwa serta membentuk akhlaq yang mulia, mudah-mudahan ia sebagai tanda puasa diterima oleh Allah SWT.

Dambaan kita semua...

Tuesday 21 September 2010

Jambori Amal Kaw Indera Mahkota 2010

Jom....


Saturday 18 September 2010

Kenapa PAS pilihan saya

1 . Islam sebagai dasar perjuangan

Seperti yang temaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal 3. Dasar PAS ialah Islam, hujah ini diperkuatkan lagi melalui muqaddimah Perlembagaan PAS.

“Bahawa sesungguhnya adalah diisytiharkan demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dengan kebaktian sesama manusia yang dijadikan dengan menegakkan al-Amru bil Ma`ruf wa al-Nahyu `anil Mungkar dalam kehidupan masyarakat dan bernegara yang dinamakan Parti Islam Se-Malaysia.”

Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah Islam yang lengkap (syumul), merangkumi semua perkara sama ada ibadah, politik, ekonomi, akhlaq. Dalam erti kata yang lain yang merangkumi urusan hidup dan mati. PAS mahu memperjuangkan Deen wa Daulah (agama dan negara).

Justeru itu perbezaan Umno dan PAS bukan perkara solat, puasa, zakat dan haji. Tetapi perbezaannya, Umno mengamalkan Islam yang sempit. Islam pada perkara yang berhubung dengan solat, puasa dan zakat. Sedangkan penghayatan Islam oleh PAS luas merentasi daripada hubungan dengan Allah hatta dengan manusia. Islam yang diperjuangkan oleh PAS mengajar supaya semua perkara yang diamalkan di dunia akan dihitung di hadapan Allah SWT, justeru itu tidak ada pemisahan hidup dengan akhirat.

2 . PAS dipelopori oleh gerakan Ulama`

3 . PAS mementingkan dakwah dan tarbiah. Ia bukan semata-mata parti politik bergerak musim pilihanraya sahaja.

4 . PAS mampu untuk memerintah dan membawa kemajuan. Kepimpinan PAS di Kelantan dan Kedah sudah teruji.

5 . Kepimpinan yang menggabungkan ulama`, profesional dan aktivis.

6 . PAS memperjuangkan perpaduan berteraskan Islam, bukan perkauman.

7 . PAS sesuai dalam masyarakat majmuk. Buktinya peristiwa 13 Mei 1969, tidak ada pertumpahan darah di Kelantan, walaupun orang bukan melayu minoriti.

8 . PAS juga memperjuang dan mempertahankan kemerdekaan.

9 . PAS memperjuangkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

10. Memimpin PAS satu amanah bukan kebanggaan.

11. PAS mementingkan kebajikan kepada rakyat supaya kekayaan hasil bumi diagih kepada rakyat yang memerlukan.

12. PAS mengambil berat kepada pembentukan akhlaq kerana ia adalah kekuatan tamaddun sebuah negara.

13. PAS berusaha mendidik rakyat celik ilmu dan tidak buta agama.

14. Perjuangan PAS menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Friday 17 September 2010

Cerita Ustaz


Semalam ustaz bercerita di dalam kuliah maghrib, aku mendengar dengan penuh minat. Harap-harap ada sesuatu yang aku dapat bawa pulang, dan seterus dapat aku kongsi dengan sahabat yang lain. Begini ceritanya...

Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerah dengan bintang-bintang kehormat.

Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya, “minyak wangi apa ni…busuk sangat baunya..” Sambil berkata begitu, raja menghulurkan botol itu kepada mufti disebelahnya. Mufti itu menghidunya, “ya benar. Terlalu busuk minyak wangi ini.” Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir disebelahnya. Wazir itu berkata, “betul tuanku! Minyak wangi ini memang busuk.” Begitulah seterusnya botol itu diedarkan kepada semua jemputan yang ada di balairong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaiamana didakwa oleh raja.

Akhirnya sampailah giliran seorang memanda menteri. Sebaik sahaja mencium, dia terus berkata, “tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan.”

Mendengar kata-kata memanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, “benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Memanda menteri yang berkata benar beta lantik menjadi penasihat diRaja.”

Pengajaran

Sesungguhnya seorang pemimpin yang benar-benar sedar tentang peranannya sebagai khalifah Allah dimuka bumi sentiasa berusaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Mereka bersedia menerima teguran membina daripada rakyat dan orang bawahan meskipun pahit didengar. Sebaliknya mereka benci kepada orang-orang yang suka mengampu dan memuji tanpa hak.

Manakala pemimpin yang zalim suka mempunyai penasihat-penasihat yang berkata manis kepada dirinya walaupun tidak benar.

Semoga tidak begitu di negaraku yang tercinta ini!

Thursday 16 September 2010

Setengah Berisi, Setengah Kosong?


Ternyata kemuncaknya kesukaran daripada sesuatu masalah yang menimpa seseorang itu seringkali disebabkan kita tidak mampu berfikir secara positif. Orang yang tidak mampu berfikir secara positif biasanya cenderung memandang segala sesuatu dengan penuh syak wasangka dan sengaja mereka-reka segala apa yang belum terjadi. Malangnya, rekaan-rekaan itu tidak pernah berupa perkara yang menyenangkan. Sebaliknya, apa yang mereka bayangkan adalah perkara-perkara yang sukar dan menyusahkan.

Akibatnya, hati dan fikiran tidak pernah berasa tenteram. Belum apa-apa mereka sudah berasa resah, gundah, gelisah, mudah curiga dan tegang. Padahal, peristiwanya belum terjadi dan segala yang dibayangkan oleh fikirannya itu pun belum tentu terjadi. Pendek kata, kehidupan ini jauh daripada keindahan dan ketenangan. Hidup yang pada hakikatnya penuh dengan keindahan ini menjadi tidak lagi indah kerana salah memasang hati dan fikiran.

Pada hakikatnya, kebahagiaan yang kita cari-cari itu bergantung pada sikap kita sendiri. Oleh sebab itu, apabila satu masalah menimpa, carilah penyebabnya dalam diri kita terlebih dahulu. Lihatlah ke dalam diri kita sendiri, kerana disitu kita dapat menghurainya sehingga penyelesaian untuk masalah itu dijumpai.

Sebagai manusia, kita berhadapan dengan realiti perubahan emosi yang tidak dapat dijangka apabila berhadapan dengan satu situasi. Adakalanya kita bersemangat dan adakalanya murung. Adakalanya kita ceria, gembira dan adakalanya sedih. Adakalanya kita optimis dan adakalanya pesimis.

Apakah faktor yang menentukan respons kita pada situasi itu?

Jawapannya adalah PERSPEKTIF.

Tajuk buku : Setengah Berisi, Setengah Kosong?
Penulis : Parlindungan Marpaung
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
M/S : 272
Harga : SM: RM25 / SS: R28

Setengah Berisi, Setengah Kosong? menyajikan kisah-kisah inspirasi yang mampu membetulkan perspektif kita terhadap apa jua situasi yang dihadapi. Lebih daripada itu, kisah-kisah inspirasi yang dimuatkan di dalam buku ini dapat membangunkan dan memacu rasa optimistik dalam hidup. Rasa optimistik yang membangkitkan kesedaran bagi mengenali masalah dan respons terbaik kepada masalah itu. Rasa optimistik yang membangkitkan rasa percaya, setiap cabaran dan masalah dapat diatasi. Rasa optimistik yang membina kekuatan untuk berhadapan dengan perkara negatif secara positif. Rasa optimistik yang apabila berhadapan dengan situasi buruk, namun masih mengharapkan yang terbaik. Mempunyai alasan untuk rasa geram, tetapi memilih untuk tersenyum.

Setengah Berisi, Setengah Kosong? adalah ungkapan yang patut menjadi bahan renungan dalam melakukan penerobosan yang dapat menghasilkan perbezaan. Berbuat lebih baik adalah baik, namun membuat perbezaan atau kelainanlah yang menjadi seseorang itu lebih menonjol dalam sesuatu organisasi ataupun dalam persekitaran masyarakat.

Setengah Berisi, Setengah Kosong? adalah ungkapan yang mempunyai pelbagai kisah yang penuh dengan makna. Ibarat sebuah gelas yang setengahnya berisi air, sebahagian orang mungkin mengatakan gelas itu setengah kosong dan sebahagian yang lain mengatakan ia setengah berisi. Sekiranya dilihat daripada ‘kebenaran’ berdasarkan fakta, kedua jawapan itu adalah benar. Tetapi, disebalik semua itu, apa yang menarik adalah cara kita memandang ataupun memahaminya.

Berbahagi cara pandang! Itulah yang akan disajikan di dalam buku ini. ataupun dengan lebih tepat, bagaimana kita memandang ataupun menerima sesuatu dengan cara yang berbeza. Perbezaan di sini tentulah tetap mengacu pada standard etika dan moral yang ada dan berlaku dalam sesuatu masyarakat itu. Anda mampu mengubahnya...

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Wednesday 15 September 2010

Aidilfitri tahun ini


Entah mengapa perasaan saya ketika ini, bagaikan ada yang tidak kena. Banyak yang bersarang, sarat membungkam fikiran.

Hati bagaikan digigit sayu, sebak sehingga menyesakkan dada. Saya kehilangan perencah kata, hanya pandangan mata suram dan kelam pengganti bahasa. Semuanya kabur.

Sesungguhnya jiwa saya resah tatkala melambai Syawal yang kian berlalu. Resah dan gelisah yang bertandang menerjah rongga hati.

Tidakkah aidilfitri itu meraikan kemenangan? Berjaya menundukkan nafsu yang meronta-ronta, keluar dari madrasah Ramadhan dalam keadaan suci dan bersih sebagai insan fitrah.
Bukankah aidilfitri itu hari kegembiraan? Berkumpul sanak dan saudara, sahabat handai jauh dekat. Menikmati juadah yang beraneka, yang tidak kedapatan di hari lain… tidakkah ini boleh menjadi 1001 sebab mengapa saya mesti bergembira. Benar, saya tidak kehilangan itu semua. Semuanya masih yang sama, manusia yang sama, juadah yang sama. Tetapi bukan disitu letak resahnya, jauh sekali itu ratap tangisnya...

Lalu mengapa saya harus berduka...

Saya cuba untuk menyelami perasaan hati ini. Saya mencari-cari dimanakah silapnya, dimanakah kekurangannya. Tiba-tiba saya tersentak dan tersedar, rupa-rupanya aidilfitri semakin hilang serinya, tahun demi tahun semakin tawar dan hambar. Mengapa tidak terasa meriahnya aidilfitri. Jika dulu, kemeriahannya menusuk sanubari, hati kembang berbunga, sukar diungkap dengan kata-kata.

Di sini resah hati bersarang

“Jom ikut ayah pergi rumah pak long kat baruh sana,” kata seorang ayah kepada anaknya yang sedang terbungkang di hadapan televisyen.

“Malaslah ayah, nak tengok tv ni,” jawab si anak tanpa menoleh ke arah ayahnya.

Tiada apa-apa istimewanya aidilfitri. Mungkin sama seperti hari biasa bagi si anak. Cuma hari raya rancangan televisyen lebih istimewa dan berbeza. Mungkin itu yang ada di dalam kepala si anak, jadi jangan lepaskan peluang menontonnya.

“Kamu buat apa dalam bilik ni, pergilah jumpa pak ngah dan mak ngah kamu tu,” tegur seorang ibu kepada anak perempuannya yang sedang asyik menekan butang telefon bimbitnya.

“Nantilah dulu,” jawab anaknya sambil lewa.

Aidilfitri lebih selesa berkurung di dalam bilik.

“Laa.. kamu buat apa kat dapur ni? Pergilah ke depan sana, keluarga pak lang kamu dari Kuantan datang, masa nilah nak kenal saudara-mara,” tegur seorang ibu kepada anaknya yang rancak bersembang di dapur dengan rakannya melalui facebook. Tidak berkedip mata sambil jari laju menekan butang laptopnya.

Rupa-rupanya disini letaknya resah saya. Aidilfitiri bagaikan sudah tiada rohnya. Amalan kunjung mengunjung semakin pudar di telan arus masa. Kebanyakan tempat hanya golongan tua sahaja yang masih meneruskan tradisi kunjung mengunjung serta beramah mesra melayan tetamu. Manakala golongan muda atau golongan iPod, facebook serta golongan PSP sibuk melayan dunia mereka sahaja. Dunia sendiri-sendiri.

Jika ini berterusan maka saya bimbang hari raya tinggal nama dan ucapan sahaja. Hari raya hanya sebagai satu acara makan di siang hari tanpa apa-apa makna. Kosong. Sedangkan aidilfitri adalah kesempatan yang terbaik untuk berkunjungan, yang mungkin tidak dilakukan pada hari biasa tanpa sebab musabab yang tertentu. Menghulur salam bermaaf-maafan, berpelukan sehingga mengalirkan air mata, sesuatu yang mungkin agak janggal untuk kita lakukan di hari lain. Nah! Ambillah kesempatan ini untuk merapatkan kembali tali persaudaraan dan persahabatan yang mungkin telah longgar. Aidilfitri adalah hari yang paling mudah untuk memohon dan memberi maaf.

“Maka hendaklah kamu (wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah rang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Hud: 112)

Marilah kita semua bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat Ramadhan dan Syawal yang mulia ini. Manfaatkanlah ini dengan sebaiknya. Isilah ia dengan semangat juang yang tinggi sebagaimana kita mengisi semangat juang pada bulan Ramadhan. Hindarkanlah dari melakukan perkara-perkara yang mencacatkan aidilfitri ini. Semoga kita semua termasuk dalam keredhaan serta beroleh keampunan-Nya. Demikianlah dambaan kita.

Sebak ini masih bersarang bersama hujan di petang aidilfitri 1431 hijrah ini.

Tuesday 14 September 2010

Masih selamatkah...


Ya, benar-benar saya maksudkan pertanyaan tersebut. Masih selamatkah? Masih selamatkah wahai negaraku yang tercinta ini. Saban hari berita-berita yang menyesakkan dada terpampang. Tua muda, kecil besar, lelaki dan wanita yang kian tergugat keselamatannya.

Sedar tak sedar masyarakat kita mengalami tekanan mental yang amat membarah. Pelbagai masalah menghantui kita. Saban hari semakin menjadi-jadi, fenomena yang menjadikan kita rasa tidak selamat. Ketakutan menyelubungi kiri kanan, depan dan belakang. Tiada jaminan. Berjalan di negara sendiri terasa seperti berjalan di negara asing.

Samun, rogol, bunuh, rompak, ragut dan bermacam-macam lagi sarat menghiasi dada-dada akhbar. Terbaru apa yang berlaku pada akhir Ramadhan lalu, kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati bersama tiga individu yang lain. Kes yang mendapat liputan meluas di kebanyakan dada akhbar kini. Sungguh tragis dan mengejutkan, sedih dan kasihan.

Entahlah, mengapa kini nyawa menjadi terlalu murah bagaikan barang mainan yang boleh diperkotak-katikkan. Kemana hilangnya nilai moral dan kemanusiaan...

Telah bersabda Rasulullah saw: “Jarak waktu akan saling mendekati, amalan akan berkurangan, kekikiran akan menjadi-jadi, akan muncul fitnah-fitnah (cubaan-cubaan) dan akan banyak “al-Haraj”, mereka bertanya: “Apakah al-Haraj itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Pembunuhan, pembunuhan. (Diriwayatkan oleh Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 7061 dari Abu Hurairah. Dan dalam Sahih Muslim (157) Sunan Abu Daud (4088).

Wednesday 8 September 2010

Sampaikah kita kepada darjat TAQWA

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan hari berpuasa dan hendaklah kamu mengagungkan Allah kerana Dia telah memberi petunjuk kepada kamu. Dan mudah-mudahan kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185)

Ramadhan telah hampir ke penghujungnya, kini Syawal menjelang tiba. Mudah-mudahan kita semua menjadi insan yang berjaya mengharungi dan menghadapi ujian Allah SWT dan bakal dianugerahkan ijazah taqwa setelah menamatkan latihan di puncak menara gading Ramadhan.

Taqwa. Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sebaik-baik bekalan untuk bertemu Allah adalah taqwa. Ramadhan hadir membawa natijah taqwa. Berpuasa kerana mengharapkan darjat taqwa. Sebelum mengharapkan darjat taqwa, marilah kita berfikir sejenak, bertanya kepada diri sendiri, adakah kita berpuasa sekadar memenuhi budaya bulan Ramadhan, atau kerana semua orang disekeliling berpuasa, atau kerana di penghujung puasa kita boleh berhari raya? Jika itu yang kita mahukan kita akan mendapatnya. Tetapi jika kita inginkan lebih dari menahan lapar dan dahaga iaitu sebagai satu latihan untuk memperbaiki diri, maka kita juga akan mendapatnya.begitu juga bukan sekadar berbuka dan berhari raya.

Sahabat sekelian, Ramadhan bukan sekadar berpuasa dari makan dan minum tetapi berpuasa dari segala keburukan dan amalan yang tidak baik. Kita bukan sahaja meninggalkan perbuatan keji, sebaliknya bermesra dengan amalan yang terpuji. Kita bersolat Tarawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan sedekah dan sebagainya. Kita jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan menghimpunkan amal kebajikan dan mengisytiharkan perang kepada segala amal mungkar.

Sahabat sekelian, marilah kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah roh dan semangat Ramadhan yang telah kita pupuk selama sebulan dapat menjana kekuatan untuk dibawa selepas Ramadhan. Apakah kita akan menjadi manusia biasa dan meninggalkan watak baik selepas Ramadhan, sedangkan kita telah pun menjadi manusia luar biasa serta berwatak ‘malaikat’ selama sebulan. Alangkah baik dan beruntungnya jika Ramadhan dihayati dan disemarakkan dengan peningkatan amal soleh. Barulah Ramadhan mencapai fungsi dan kesan kepada diri.

Ramadhan berlalu pergi Syawal setia menanti

Syawal seharusnya ia disambut dengan penuh kesyukuran kerana kejayaan melawan hawa nafsu selama sebulan. Tetapi perjuangan tersebut bukanlah terhenti setakat itu sahaja, ia mestilah diteruskan pada bulan-bulan yang lain. Jika hanya sebulan berjaya menahan hawa nafsu, tetapi selepas Ramadhan kembali kepada tabiat lama bermakna kita telah gagal untuk mendapat natijah puasa iaitu “TAQWA” kepada Allah.

Dalam kegembiraan menyambut aidilfitri, kita semua diingatkan agar menjaga batas-batas yang ditetapkan agama. Kita bimbang jika hari raya yang mulia ini menjadi pesta untuk membalas dendam sebulan apa yang tidak dapat dilakukan pada bulan Ramadhan. Lalu hari raya dirayakan dengan semahunya. Hari yang sepatutnya meraikan kejayaan, menjadi hari menghimpunkan dosa dengan pembaziran, hiburan yang melampau, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya. Alangkah eloknya jika aidilfitri diraikan dengan tetap memelihara roh Ramadhan. Tidakkah aidifitri itu bermakna kembali kepada fitrah, iaitu fitrah manusia yang suci dan bersih? Sesungguhnya hari raya sepatutnya disambut dengan syukur iaitu memperbanyakkan takbir, tahmid san tasbih kepada Allah SWT. Memperkukuhkan ukhuwah di antara umat Islam dengan ziarah-menziarahi serta bermaaf-maafan.

Mudah-mudah Ramadhan yang berlalu memberikan natijah taqwa dan Syawal yang menanti adalah satu kesinambungan yang dilaksanakan dalam memenuhi arahan Ilahi. Semoga kita memperolehi darjat dari madrasah Ramadhan. Kita harapkan...

Monday 6 September 2010

Salam Aidilfitri 1431H

Satu hari di hari raya....

Hadirnya syawal yang mulia ini, saya mengambil kesempatan menyusun hamparan sepuluh jari memohon kemaafan kepada semua sahabat handai, rakan taulan pengunjung pondok kecil abuikhwan jika ada kecelaruan kata-kata, tulisan maupun garisan yang bisa menyentak hati dan perasaan...

Sesungguhnya hidup manusia sentiasa berada di atas jurang kesilapan dan kesalahan, justeru itu marilah kita sama-sama ingat-mengingati agar kita menjadi insan yang saling lengkap melengkapi. Matlamat kita semua adalah sama iaitu menuju keredhaan Allah yang akhirnya dihujung jalan adalah syurga idaman...

Oleh itu, bersih dan sucikanlah hati ketika menyambut syawal ini, sebagaimana ia telah bersih dan suci dalam sebulan Ramadhan yang lalu.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Friday 3 September 2010

Ngomelan penghujung Ramadhan


“Kajian sains telah berjaya membuktikan bahawa ibadah puasa mempunyai hikmah yang tersendiri terhadap kesihatan malah terhadap keseluruhan hidup manusia. Demikian juga sains telah membuktikan bahawa selain daripada manusia, haiwan dan tumbuhan juga melakukan puasa. Ayam misalnya berpuasa apabila mengeramkan telur-telurnya. Ia perlu menetaskan telur-telurnya dengan kualiti yang baik melalui kesesuaian suhu panas badannya. Untuk memastikan badannya sentiasa panas sesuai untuk mengeramkan telur ia tidak makan sebagaimana ia makan pada hari-hari lainnya kerana ini boleh menyebabkan perutnya sejuk.

Demikian juga halnya dengan tumbuh-tumbuhan. Musim luruh menyebabkan ia tidak melakukan proses fotosintesis. Puasa yang dilakukan bertujuan untuk memastikan ia tidak akan mengalami ketidak sempurnaan berbuah pada musim bunga akan datang.

Begitulah rupa rutin dan hayat alam haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Sudah pasti manusia yang dikira sebagai bertamadun tinggi, tidak percuma melakukan segala amal perbuatannya, apa lagi jikalau amal perbuatan itu berdasarkan kepada mentaati perintah Allah SWT seperti puasa dalam bulan Ramadhan.”


Petang ini surau di taman perumahan saya mengadakan majlis berbuka puasa. Sebelum itu, diadakan tazkirah ringkas yang telah disampaikan oleh Dr Fadzly Yazid dari HTAA. Tajuk tazkirahnya amat menarik iaitu “Puasa dari perspektif perubatan”. Banyak info berguna yang beliau kongsikan bersama.

Tetamu yang hadir mendengar dengan penuh minat.

“Cuba lihat di hospital,jika sesuatu pembedahan ingin dijalankan, mesti pada malamnya pesakit tersebut di suruh berpuasa, mengapa?” Dr Fadzly melontar soalan.

“Sebenarnya dengan berpuasa, tekanan darah akan berkurangan maka kuranglah risiko pendarahan yang teruk”, jawabnya memberi penerangan.

Ada yang mengangguk-anggukkan kepala, tidak kurang pula yang tunduk diam memikirkan sesuatu agaknya.

Manakala pada sebelah malamnya pula, solat tarawih telah dipimpin oleh imam jemputan iaitu Ustaz Nuri Ali bin Arbain, yang merupakan peserta realiti TV IMAM MUDA ASTRO. Sungguh baik bacaannya, saya bagaikan larut dalam kemantapan suaranya. Beliau telah memberikan tazkirah di pertengahan empat rakaat tarawih.

Semester akhir

Pejam dan celik kita telah pun berada di semester terakhir Ramadhan. Bagaikan tidak terasa, cepat benar masa berlalu. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat-Nya, begitu juga mudah-mudahan kita terpilih termasuk dalam golongan yang mendapat keampunan-Nya. Tinggal lagi satu ‘ijazah’ yang perlu kita rebut iaitu pembebasan dari api neraka. Dan kemuncaknya, apabila kita keluar dari madrasah Ramadhan ini dengan pangkat taqwa.

Namun apa yang ketara ialah berkurangnya ahli jemaah sepuluh akhir Ramadhan ini, tidak seperti awalnya dahulu. Jika di awal Ramadhan pengerusi masjid dan ahli jawatankuasa mungkin berkira-kira untuk membesarkan masjid atau surau pada tahun hadapan, tetapi bila tiba akhir Ramadhan...

“Tak jadi nak besarkan masjid kalau macam ni”, kata pengerusi masjid.

Demikianlah senario biasa bulan Ramadhan, yang sepatutnya 10 malam terakhir itu menjadi kemuncak pesta ibadat.

Ketika Rasulullah saw menaiki tangga-tangga mimbar untuk berkhutbah, tiba-tiba baginda mengucapkan “Amin” sehingga menyebabkan para sahabat kehairanan. Lalu diterangkankan mengapa baginda menyebut begitu. Rasulullah saw bersabda:

“Jibril mendatangiku seraya berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat keampunan, kemudian mati, maka ia masuk neraka serta dijauhkan Allah (dari rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi, “ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin”.
Tidakkah ucapan Rasulullah saw menggerunkan kita. Apakah kita berhasil menjana diri di dalam bulan Ramadhan ini untuk mendapat keampunan Allah SWT dan seterusnya mendapat pangkat Taqwa, seperti yang disebut di dalam al-Quran “Mudah-mudahan kamu bertaqwa”. Apakah ketaatan atau kepatuhan kita kepada Allah SWT berkekalan iaitu dengan mengekalkan ibadah-ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan?.

Jika di dalam bulan Ramadhan kita mampu datang setiap hari ke masjid untuk solat Tarawih yang sunat, apakah mampu untuk datang solat fardhu lima waktu selepas Ramadhan. Jika bulan Ramadhan kita mampu untuk membaca al-Quran setiap hari, mungkinkah mampu kita teruskan selepas Ramadhan, begitu juga dengan zikir dan suara-suara memuji Allah SWT. Mampukah kita menundukkan pandangan serta mengekang mulut dari berkata sesuatu yang buruk selepas Ramadhan? Hanya kita sendiri yang dapat menjawab dan menilainya, tepuk dada tanya iman. Mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita semua, insya-Allah.

“Dan beribadahlah kamu kepada Tuhanmu sehingga datang kepada kamu sesuatu yang pasti (al-Yaqeen, iaitu maut)”. (al-Hijr: 99).

Melepaskan Ramadhan pergi

Seorang ahli syair Arab bermadah ketika melepaskan Ramadhan: “Mudah-mudahan Allah mencurahkan kesejahteraan di setiap waktu atas sebaik-sebaik bulan dan masa yang telah berlalu. Kesejahteraan atas puasa kerana puasa itu satu keamanan dari ar-Rahman Yang Maha Tinggi. Walaupun hari-hari engkau wahai bulan puasa dibawa cepat oleh arus masa, namun rinduku tetap bergelora di hatiku kepadamu.”

Diriwayatkan dari Saiyidina Ali krm bahawa beliau berseru pada malam penghabisan Ramadhan: “Dapatkah kiranya aku mengetahui, siapakah gerangan yang telah pasti diterima puasanya supaya aku dapat mengucapkan tahniah dan berbahagia? Siapakah gerangan yang bernasib malang supaya aku dapat menyenangkan hatinya?

Diriwayatkan dari Ibnu Mas`ud bahawa beliau berseru pada akhir Ramadhan: “Wahai saudara-saudara yang diterima Allah puasanya, bersenang gembiralah engkau dan selamat berbahagialah engkau. Tetapi wahai orang yang ditolak amal puasanya, mudah-mudahan Allah akan menutup bencana yang telah menimpa engkau.”

Bersama kita mengambil iktibar..

Thursday 2 September 2010

RUMAH TERBUKA DAN HIMPUNAN ANAK MUDA DI PERANTAUAN

Semoga dapat meluangkan masa untuk mendengar amanat dari Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pesurujaya PAS Pahang)


(Klik gambar untuk lebih jelas)