Sahabat Sejati

Sunday 29 April 2018

Cerita gunting rambut 'si Haikal'


Dek kesibukan yang menghimpit di tahap ‘gaban’ dalam 2 bulan ini, selama tempoh itulah ‘si kecil Haikal yang istimewa’ tidak bergunting rambut (termasuk saya kerana selalunya kami bergunting sekali). Sementelah lagi rambut si Haikal jenis lebat dan kasar, Jadi, jika dibiarkan panjang, nampak besar kepalanya dengan rambut tebal tersebut.

Dulu, dalam sibuk-sibuk ke hulu dan hilir, ada anakanda along Ikhwan mengambil alih tugas membawa adiknya ke kedai gunting. Tidaklah perlu saya fikirkan sangat hal rambut si Haikal ini. Tetapi along Ikhwan sudah pun berangkat ke Mesir menyambung pengajiannya. Genap setahun di sana pada 21 April baru-baru ini.

Jumaat kelmarin, sekembali dari tempat kerja, tanpa bertangguh saya membawa si Haikal ke kedai gunting. Tidak jauh mana, berhampiran taman perumahan saya juga. Kebetulan pula saya pulang awal sedikit dan tidak singgah di mana-mana. Jadi, kelompangan masa yang ada perlu dimanfaatkan. Bimbang juga jika bertangguh lagi, entah bila pula masanya.

Terdapat beberapa buah kedai gunting di sini, tetapi yang biasa saya kunjungi hanya dua buah sahaja. Satu milik anak muda tempatan, manakala sebuah lagi milik seorang berketurunan Melayu-Siam. Selalunya saya bertukar-tukar bergunting rambut dengan dua kedai tersebut. Kalau bulan ini di kedai A, bulan seterusnya di kedai B pula. Ekoran sering bergunting di kedua kedai tersebut, akhirnya menjadi mesra dan bersahabat baik pula. 

Asalnya saya selalu bergunting rambut di kedai milik anak muda tempatan. Tetapi ada sedikit 'ragamnya', iaitu tatkala selesai bergunting rambut si Haikal, berlakulah dialog: "Tak apa bang, tak perlu bayar saya belanja.." Kalau sekali sahaja tak apa, tetapi ia berlaku setiap kali membawa si Haikal bergunting. 

Saya tidaklah menyalahkan tukang gunting tersebut, tidak sekali-kali. Niat baiknya ingin membuat amal. Cuma dari satu sudut terbit juga rasa segan pada diri saya, terutama apabila ramai pelanggan di dalam kedai. Terasa semua anak mata melirik ke arah saya. Pernah satu kali saya berkeras menghulur juga duit bayaran bergunting, dengan keras juga beliau menolak sambil memasukkan kembali duit tersebut ke dalam poket baju kemeja yang saya pakai. 

Selepas itu saya beralih pula ke kedai gunting satu lagi milik orang Melayu-Siam. Ingatkan selepas ini tidaklah berlaku lagi adegan demikian. Rupa-rupanya jangkaan saya tersilap. Sahabat yang ini juga melakukan perkara yang sama. Tidak mahu menerima duit bayaran bergunting rambut si Haikal. Alasannya sama, mahu beramal. Hmm, memang murah rezeki sungguh si Haikal. Tetapi saya pula dalam dilema yang bersangatan.

Sekarang ini saya membuat giliran apabila bergunting rambut si Haikal (selalunya saya turut bergunting sekali). Jika bulan ini di kedai A, maka dua bulan lagi di bulan B. Begitulah seterusnya. Mengapa tidak ke kedai lain pula? Bukan tidak mahu, tetapi kedai lain tidak berapa nak 'sekong' (sesuai). Lain yang dipinta lain pula yang jadi. Hilang kehenseman..(senyum)

Sesekali jika bersua dengan mereka, saya akan mengajak mereka 'ngetea' dan membayarnya sekali. Bukan apa untuk mengimbangi keadaan tersebut. Dia belanja kita, kita belanja diorang pula. Sama-sama beramal.     

Tuesday 24 April 2018

Selamat kembali ke sekolah!

 'Menanti giliran'

Alhamdulillah, selamat kembali ke sekolah menyertai rakan-rakanmu yang lain. Ucapan kata hati persis doa saya lantunkan kepada ‘si kecil Haikal yang istimewa.’ Hmm, telah seminggu dia tidak ke sekolah kerana batuk dan selsema yang menyerang. 

Naik kasihan saya melihat keadaannya. Sepanjang tempoh seminggu tersebut, si Haikal banyak menghabiskan masanya dengan ‘melepek’ di atas sofa. Makan pun kurang berselera, suaranya pula bertukar menjadi serak ala-ala 'itik serati' akibat batuk yang menyerang. Ekoran itu, si Haikal terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertai rombongan kelasnya ke pameran Petrosains di Perpustakaan Awam Negeri Pahang. Apakan daya..

Pada hari kedua selsema dan batuk, saya membawanya ke klinik untuk menerima rawatan. Bimbang juga jika terdapat penyakit lain. Alhamdulillah, ia hanya sakit yang biasa ujar sang perawat. Memang anak ini mudah dijangkiti penyakit. Selsema, batuk serta demam adalah suatu yang biasa untuk anak ini. Malahan, dalam sebulan atau dua bulan pasti akan diuji dengan masalah kesihatan.

Bukan anak saya seorang sahaja, malah di dalam grup whatsapp kelas PPKI (kelas istimewa) sudah menjadi perkara biasa ibu bapa memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah. Setiap hari pasti ada yang tidak hadir ke sekolah. Ada yang demam, cirit-cirit, selsema, batuk dan sebagainya. Sekolah pula memberi 'lesen' kepada anak-anak ini. "Tidak perlu datang ke sekolah jika kurang sihat, bimbang berjangkit kepada kawan-kawan yang lain". Pesan GPK PPKI kepada ibu bapa.

Tentunya kondisi mereka yang berstatus 'istimewa' mudah dihinggapi penyakit kerana ketahanan tubuh tidak sama dengan kanak-kanak biasa. Demikianlah, keistimewaan mereka adalah anugerah buat kami semua.

Friday 20 April 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 106

Salam Jumaat.


"Harta merupakan sebahagian dari rezeki, akan tetapi di sana terdapat rezeki sihat, rezeki anak-anak, rezeki makanan, rezeki keberkatan. Dan semua nikmat dari Allah Taala merupakan rezeki dan bukan terhad pada harta sahaja" 

~Syeikh Mutawalli Asy-Sya'rawi, seorang Ulama' Kontemporari, Penafsir al-Quran di Mesir (Meninggal dunia tahun 1998M) yarhamhullah.

Tuesday 17 April 2018

39 tahun..

"Moga Allah SWT berkenan mengampuni segala dosa dan kesalahan ayahanda, serta menerima semua amal kebaikannya... aamiin."




Sunday 15 April 2018

Di Dalam Lembah Kehidupan


"Sesungguhnya kumpulan gubahan yang saya (Hamka) beri nama " Di dalam lembah Kehidupan" ini adalah kumpulan airmata, kesedihan dari rintihan yang diderita oleh segolongan manusia di atas dunia ini. 

Airmata mereka itu sudah mengalir ke tanah dan hilang lenyap dalam pasir. Seorang pun tidak peduli akan hal itu. Bagaimana orang akan peduli, padahal orang sedang dibayangi kesenangan dan kemewahan? 

Moga-moga hikayat-hikayat pendek ini terbaca juga oleh orang yang senang hidupnya. Moga-moga mereka insaf, bahawa disebalik tabirnya adalah orang yang susah dan sulit keadaannya; bahawa tidak sedikit makhluk yang kecewa dan melarat, yang sudah patah sayapnya sebelum terbang, terkulai dan jatuh, sehingga tidak dapat berbangkit lagi. 

Bagi orang yang melarat itu pun mudah-mudahan cerita ini berfaedah pula. Agak kurang duka hatinya apabila diketahuinya, bahawasanya ada juga orang lain yang senasib dengan dia. 

Dan bagi mereka yang bersedih hati itu karangan ini ku jadikan persembahan dan peringatan, bahawa saya pun turut meratap dalam ratapnya." (Petikan kata pengantar oleh Hamka)

********* 

Sebuah kumpulan kisah kisah pendek buah karya Hamka yang disatukan menjadi sebuah buku dan diberi judul didalam lembah kehidupan. Ada 12 kisah dalam buku ini dan semuanya merupakan kisah yang sangat menarik. 

Semua kisah yang dihadirkan dalam buku ini memang menceritakan penderitaan, kesedihan, kemalangan dan ketidak beruntungan yang setiap manusia berharap hal itu tidak akan pernah terjadi pada dirinya. 

Buku ini perlu dibaca, banyak pelajaran yang bisa kita ambil. Selain sebagai pengingat agar kita yang saat ini masih diberi karunia berupa harta dan semacamnya untuk selalu bersyukur dan juga untuk memberi tahu bahwa di luar sana banyak saudara-saudara kita yang tidak beruntung dan kita punya kewajiban untuk membantunya.

Judul: Di Dalam Lembah Kehidupan
Penulis: Prof. Dr. Hamka
Penerbit: Pustaka Dini
Cetakan: 2010
Harga: RM19.50
Muka surat: 258

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Saturday 14 April 2018

Dekat dah raya!

foto hiasan ~ sumber

Raya datang lagi! Opss, bukan raya yang itu. Bukan raya fitrah atau raya adha kerana raya yang ini bukan di bulan syawal, sebaliknya  pada tahun ini taqdirnya berlaku pada sya`ban. Lazimnya ia berlaku tidak kira samada bulan muharram, sya`ban, zulkaedah dan sebagainya. ia bergantung pada 'firasat dan ilham' pak PM kita.  

Namun begitu, raya yang ini tidak kurang meriahnya berbanding dengan raya yang dua itu. Kemuncak kemeriahannya bermula dari pagi sehinggalah ke santak tengah malam sewaktu menanti keputusan penuh. Malahan sebulan sebelum daripada itu lagi meriahnya dengan seni dan kreativiti bahan kempen. 

Raya yang saya maksudkan ialah pilihan`Raya`. Parlimen sudah pun dibubarkan, Dewan Undangan Negeri pun sama. Maka bergemalah gendang PRU 14 yang dipalu. Di tempat saya di kiri dan kanan jalan telah mula perang kibaran bendera parti-parti yang akan bertanding. Saya percaya di tempat sahabat-sahabat juga sama sahaja keadaannya.

Namun demikian, dalam keghairahan kita semua berkempen untuk memenangkan parti yang diwakili, janganlah dilupakan ukhuwwah yang terbina sesama kita. Tiada masalah, kita boleh berbeza pandangan politik, berbeza pilihan platform politik, tetapi silaturrahim adalah paling utama yang perlu dijaga. Membuang undi hanya satu hari sahaja, tetapi ukhuwwah tetap selamanya. 

Sunday 8 April 2018

Kembalilah..

foto hiasan ~ sumber

"Bumi mana tidak ditimpa hujan", begitulah pepatah Melayu yang menceritakan sifat manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Islam telah memberi panduan kepada mereka yang terlanjur melakukan dosa supaya tidak berputus asa memohon rahmat dan keampunan Allah. Bertaubatlah sebelum terlambat, kerana jalan pulang masih selamat sebelum ajal datang menjemput. 

Firman Allah SWT: "Katakanlah (wahai Muhammad):"Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." (az-Zumar: 53-54) 

Kita hamba-Nya yang sangat lemah. Kesilapan dan kesalahan seringkali mengekori. Besar atau kecil kesilapan, banyak atau sedikit kesalahan, ianya berkeliling memutik dan memayuti tiap waktu dan ketika. Tanpa petunjuk-Nya bergelumanglah insan dalam dosa yang bertitik hitam. 

Allah, Tuhan kita yang Maha Penyayang, dengan rahmat-Nya ditutupi kesilapan dan kesalahan kita. Maka tampillah kita di hadapan manusia dengan wajah yang suci dan bersih. Sedangkan DIA menutupi kesilapan kita kerana memberi peluang untuk kita bertaubat dan kembali menginsafi diri. Binasalah diri andai ini juga tidak dimengertikan. Pasti binasa... 

Berkata Sayyidina Ali ra.: "Tidaklah musibah itu turun melainkan kerana dosa. Oleh kerana itu, tidaklah boleh musibah itu hilang melainkan dengan taubat." (Al-Jawabul Kafi, hal 87) 

Kembalilah kepada-Nya dengan sebenar penyesalan (peringatan buat aku..)

Thursday 5 April 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (36)


foto hiasan ~ sumber

PERINTAH DAKWAH

Memahami Perintah Dakwah

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!" (Al-Muddaththir 74:1-7) 

Rangkaian perintah ini secara zahir kelihatan begitu singkat dan sederhana. Namun hakikatnya, ia mempunyai jangkauan dan tujuan yang jauh, pengaruh yang kuat serta tuntutan kerja yang berat. Hakikat perintah ini dapat difahami seperti berikut:

1. Tujuan bangkit untuk memberi peringatan supaya nabi tidak membiarkan seorang pun di dunia ini yang menyelisihi jalan keredhaan Allah. Maka, baginda mesti memberinya peringatan berkenaan ancaman buruk yang bakal menimpanya sehingga hati dan jiwa orang itu bergetar dan bergoncang oleh rasa takut.

2. Tujuan membesarkan Allah supaya nabi tidak membiarkan kesombongan dipertontonkan oleh satu makhluk pun di muka bumi. Maka, baginda perlu membuka mata manusia bahawa makhluk itu lemah dan tidak bernilai apa-apa sehingga tiada lagi tersisa kesombongan di muka  bumi kecuali kesombongan Allah semata-mata.

3. Tujuan membersihkan pakaian dan meninggalkan dosa supaya nabi mencapai puncak kesempurnaan dalam usaha baginda membersihkan diri secara zahir dan batin. Juga usaha baginda menyucikan hati daripada pelbagai noda dan kelemahan. Ini adalah kerana dengan mencapai puncak tersebut, jiwa manusia dapat bernaung di bawah rahmat, penjagaan, perlindungan, petunjuk dan cahaya Allah.

Oleh itu, dirinya dapat menjadi teladan tertinggi bagi masyarakat manusia. Orang yang berhati mulia akan tertarik untuk mendekati dan mengambil manfaat daripadanya. Sementara itu, orang yang berhati kotor akan mengakui kemuliaan dan keluhurannya (walaupun pengakuan tersebut tidak disampaikan secara lisan dan walaupun mereka tetap juga berkeras untuk menentangnya) sehingga perhatian seluruh dunia tertuju kepadanya samada yang mengikutinya maupun yang menentangnya. 

4. Tujuan melenyapkan keinginan untuk meminta balasan lebih banyak ketika memberi supaya nabi tidak menganggap kerja dan kesungguhannya suatu prestasi besar. Sebaliknya, baginda mesti tetap berjuang untuk beramal dan terus beramal tanpa kenal letih dan mengerahkan segenap kesungguhan dan pengorbanan menggunakan setiap kekuatan yang dimiliki oleh baginda lalu melupakan semua itu dan tidak lagi mengingatinya. Bahkan, baginda perlu "membunuh" rasa berjasa di hadapan Allah sehingga baginda tidak lagi berasa bahawa baginda telah berjuang dan berkorban.

5. Pada ayat yang terakhir (ketujuh) terdapat isyarat bahawa nabi akan diganggu oleh gangguan daripada orang yang keras kepala berupa penentangan, ejekan dan cemuhan, hingga mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membunuh baginda dan para sahabat serta melenyapkan populasi kaum beriman yang ada di sekeliling baginda. Maka, Allah menyuruh nabi untuk bersabar dengan sekuat-kuatnya dan seteguh-teguhnya, bukan untuk memperoleh keuntungan bagi dirinya, melainkan semata-mata demi keredhaan Allah.

Allhu akbar! Betapa singkat perintah-perintah ini dilihat daripada lafaz zahirnya. Betapa lembut pun iramanya yang mengalun nyaman dan memikat hati. Namun di sebaliknya, terdapat tuntutan kerja yang teramat berat serta kesan yang sangat dahsyat hingga mendatangkan badai taufan di seluruh bumi.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Wednesday 4 April 2018

Sunday 1 April 2018

Jangan jadi 'fool'


"April fool......! Haa..ha..ha." 

Diselangi dengan hilai ketawa. Puas hati dapat mengenakan orang lain.

Demikianlah sesuatu yang biasa dengan kedatangan 1 April.

Teringat semasa di sekolah rendah dahulu, pernah seorang cikgu berkata: "April fool ni hari untuk kita mengenakan orang lain, dan orang yang dikenakan itu tidak boleh marah. Tetapi sampai pukul 12 tengahari sahaja, selepas pada itu dah tak boleh April fool dah."

Mendengarkan tersebut, kami apa lagi, mula 'mendajalkan' rakan-rakan. Ada yang tampal kertas di belakang, ada yang ikat tali di belakang seluar, ada yang menyorokkan barang milik rakan dan macam-macam lagi. Semuanya atas gurauan April fool. Nak marah tak boleh sebab, April fool!

Sehinggalah naik ke peringkat  menengah. Mengaji di sekolah agama, barulah mengerti sedikit demi sedikit April fool itu apa. Oh, April fool tu, begini..begini.. dan begini (Bicara santai: April fool memang fool). Berasa insaf, akhirnya April fool terus dilupakan dalam kotak minda.  

Berguraulah, tetapi..

Manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan interaksi dan komunikasi. Manusia memiliki perasaan, naluri dan emosi. Manusia bukan seperti robot yang tiada perasaan sedih, gembira, gementar, teruja dan sebagainya.   

Islam bukanlah satu agama yang jumud yang memaksa umatnya sentiasa serius 24 jam. Tidak begitu. Islam membenarkan umatnya bergurau-senda dan berlucu-lucu, kerana dengan bergurau hubungan akan bertambah mesra. Namun, gurauan mestilah  dalam perkara kebenaran dan tidak melampau-lampau sehingga ada yang berkecil hati.

Rasulullah saw sendiri ada masa-masanya bergurau dengan para sahabat. Namun, gurauan Rasulullah tidak ada unsur penipuan dan keterlaluan. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau bergurau dengan kami?" Maka Rasulullah saw menjawab dengan sabdanya, "Tetapi aku tidak berkata-kata kecuali yang benar." (Riwayat at-Tirmidzi)

Di antara gurauan Rasulullah saw, satu ketika, Rasulullah saw dan para sahabat sedang makan buah kurma, biji-bijinya mereka sisihkan di tempatnya masing-masing. Beberapa saat kemudian, Ali menyedari bahawa dia memakan terlalu banyak kurma. Biji-biji kurma sisa mereka berkumpul lebih banyak di sisi Ali dibandingkan di sisi Rasulullah saw

Maka Ali pun secara diam- diam memindahkan biji-biji kurma tersebut ke sisi Rasulullah. Kemudian Ali ra dengan tersipu-sipu mengatakan, “Wahai Nabi, engkau memakan kurma lebih banyak daripada aku. Lihatlah biji-biji kurma yang berkumpul di tempatmu.”

Nabi pun tersenyum dan menjawab, “Ali, kamulah yang memakan lebih banyak kurma. Aku memakan kurma dan masih menyisakan biji-bijinya. Sedangkan engkau, memakan kurma berikut biji-bijinya.” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, berguraulah. Namun, berpadalah dalam bergurau. Semaklah sirah junjungan mulia bagaimana gurauan baginda dengan para sahabat. Mudah-mudahan dengan gurauan tersebut akan memutikkan lagi kemesraan dan kebahagiaan. 

Ingatlah, ‘April Fool’ hanyalah sambutan untuk mereka yang ‘fool’ sahaja. Jadi janganlah kita meng’fool’kan diri kita, walaupun pada sangkaan kita telah meng’fool’kan orang lain. Tepuk dada tanya iman. Wallahua`lam.