Sahabat Sejati

Monday 30 November 2020

Usai 'meeting' KM

Usai meeting

Alhamdulillah, selesai mesyuarat pertama KHIDMAT MALAYSIA (KM) kawasan parlimen saya, khusus bagi menghadapi bencana banjir. Ekoran hujan yang kerap kali turun serta amaran air pasang besar dari pihak meteorologi, menyebabkan notis panggilan mesyuarat pun dikeluarkan. 

Sepertimana tahun-tahun sebelumnya, perbincangan berkisar lokasi yang kerap dinaiki air, lokasi pusat pemindahan, bantuan makanan yang telah dimasak, pengangkutan, sistem komunikasi dan sebagainya. Semuanya dibincang selumatnya. Maklumlah, benda yang sama dihadapi setiap tahun. 

Tahun ini ada sedikit perbezaan dan kerumitan dalam menguruskan bantuan banjir ini. Sebagaimana sedia maklum, ekoran penularan pandemik Covid 19, memaksa beberapa perkara perlu diubah. Tentunya arahan pihak kerajaan agar mematuhi SOP yang telah digariskan, selaras dengan amalan norma baharu. 

Apa pun diharapkan agar banjir tidak berlaku pada tahun ini, sebagaimana tahun lalu. Lenalah sedikit tidurnya (senyum). Biasa terjadi air naik pada waktu tengah malam, tidak dapat tidak terpaksa juga turun ke pusat operasi untuk tindakan selanjutnya. Doakanlah agar semuanya dipermudahkan.   

Saturday 28 November 2020

HUKUM MENGUBAH FOTO WAJAH MENGGUNAKAN FACEAPP

SOALAN: 

Assalammualaikum, Saya ingin bertanya pandangan berkaitan aplikasi mengubah wajah (FaceApp). Aplikasi tersebut boleh mengubah wajah kepada tua mahupun muda dan menukar kepada berlainan jantina. Hal tersebut semakin tular di mesia sosial sejak akhir-akhir ini. Persoalannya, apakah hukum mengubah wajah melalui aplikasi (FaceApp). Mohon pencerahan, Terima Kasih. 

RINGKASAN JAWAPAN: 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda saw, sahabat baginda saw serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda saw. 

-Mengubah foto wajah menggunakan aplikasi wajah (FaceApp) dan menyebarkannya adalah dilarang. 

-Penggunaan aplikasi FaceApp seolah menggalakkan mengubah ciptaan Allah walaupun bukan secara hakikat fizikal. Justeru, larangan tersebut bagi membendung kecenderungan perbuatan mengubah ciptaan Allah secara hakikat berdasarkan kaedah sadd al-zariah (menutup pintu kerosakan). 

-Fungsi aplikasi tersebut yang mampu menukar foto wajah kepada berlainan jantina boleh mengelirukan identiti sebenar. Bahkan foto gambar tersebut mengaibkan diri sendiri sekaligus boleh menjatuhkan maruah. 

-Adapun, mengubah kepada wajah tua mahupun muda turut dilarang kerana mempunyai unsur penipuan terhadap fitrah kejadian asal serta memperdayakan manusia terhadap wajah yang tidak menunjukkan keaslian. Bahkan, meramal wajah tua adalah perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya kerana manusia tidak dapat mengetahui kejadian pada masa akan datang. 

HURAIAN JAWAPAN:

FaceApp ialah penyuntingan foto dan video untuk iOs dan Android yang dibangunkan oleh Wireless Lab. Aplikasi ini menghasilkan transformasi wajah manusia yang sangat realistik dalam gambar dengan menggunakan rangkaian saraf berdasarkan kecerdasan buatan. Aplikasi tersebut dapat mengubah wajah untuk menjadikan tersenyum, kelihatan lebih muda, kelihatan lebih tua atau menukar jantina wajah. [1] Berdasarkan penelitian kami, aplikasi tersebut menukar foto wajah wanita kepada wajah lelaki yang bermisai mahupun berjanggut serta berambut pendek. Sementara, foto wajah lelaki berubah menjadi wanita yang seakan wanita asli yang berambut panjang. Situasi tersebut boleh mengelirukan identiti kerana wajah bertukar secara total kepada berlainan jantina dan kelihatan sangat realistik. Selain itu, pemilik aplikasi juga boleh menggunakan foto sesiapa sahaja yang disimpannya untuk diubahsuai dan disebarkan bagi tatapan umum. Hal tersebut turut mengundang bahaya kerana boleh menyalahguna foto wajah orang lain serta mendedahkannya tanpa kebenaran. 

Secara umumnya, merujuk kepada fungsi aplikasi wajah (FaceApp) yang bertujuan untuk mengubah foto wajah. Ianya dilihat seperti mempersendakan firman Allah ﷻ yang melarang hamba-Nya mengubah fitrah ciptaan asal. Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT tetapkan pada makhluknya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:

 فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ 

Maksudnya : Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu,Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu. Surah al-Rum ( 30) 

Mengubah ciptaan Allah turut termasuk dalam tipu daya syaitan. Ini berdasarkan dalil berikut:

 وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ 

Maksudnya: Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Surah an-Nisa’ (119) 

Menurut Abu Jaafar al-Thabari Rahimallullah makna yang paling tepat mengubah ciptaan Allah فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّه ialah mengubah pada agama (Islam) kerana ayat lain memberi makna agama daripada surah al-Rum ayat 30. لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ . Jika makna ayat demikian, maka perbuatan yang dilarang oleh Allah termasuk dalam mengubah ciptaan Allah. (Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari (9/222). 

Seterusnya, bagi memperincikan hukum penggunaan FaceApp tersebut, kami membahagikan kepada dua perbahasan iaitu hukum mengubah foto wajah kepada berlainan jantina (tasyabbuh) dan hukum mengubah foto kepada wajah tua mahupun muda. 

Hukum menukar foto wajah kepada berlainan jantina melalui aplikasi FaceApp 

Hukum lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya adalah haram. 

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkisar isu menukar foto wajah kepada berlainan jantina hanya melalui aplikasi FaceApp. Maka, kami berpandangan menukar foto wajah berlainan jantina walaupun hanya sekadar gambar tanpa melibatkan perubahan fizikal secara langsung adalah dilarang. Hal ini kerana penggunaan aplikasi tersebut hanya sia- sia selain mengaibkan diri sendiri kerana menzahirkan foto wajah yang berlainan jantina. 

Allah ﷻ melarang mencela diri (mengaibkan) sebagaimana Firman-Nya:

 وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم 

 Maksudnya: dan janganlah setengah kamu menyatakan celaan (keaiban) setengahnya yang lain. Surah al-Hujurat ( 11) 

Celaan pada ayat tersebut turut membawa maksud keaiban. Imam al-Thabari Rahimahullah menyatakan celaan (keaiban) boleh berlaku melalui tangan, mata, lisan dan isyarat. Sementara maksud “أَنفُسَكُم” merupakan peringatan bagi orang berakal supaya tidak akan mengaibkan dirinya sendiri, Begitu juga mengaibkan orang lain seperti mengaibkan diri sendiri. (Rujuk al-Jaami’ li-Ahkam al-Quran, al-Qurtubi ( 16/327). 

Seterusnya, menyebarluas foto wajah yang telah ditukar jantina untuk tatapan umum telah mengelirukan hakikat identiti sebenar mereka. Bahkan,ia turut memberi kesan kepada mereka yang melihat kerana dikhuatiri mengundang tohmahan daripada masyarakat. Umat Islam perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada menimbulkan sebarang fitnah terhadap dirinya. Ini juga berdasarkan satu kaedah:

 اتَّقُوا مَواضِع التُّهَمِ 

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”. 

Seterusnya, implikasi menyebarluas foto yang diubahsuai untuk tatapan umum dibimbangi akan mempengaruhi masyarakat sekaligus menjadi trend ikutan terhadap perkara yang sia-sia. 

Selain itu, penggunaan aplikasi menukar foto wajah berlainan jantina secara tidak langsung menunjukkan seolah tindakan tersebut menyokong dan menggalakkan perbuatan tasyabbuh (menyerupai berlainan jantina) seperti golongan “ mak nyah” mahupun “ tomboy” tanpa kita menyedarinya. Sewajarnya, masyarakat Islam perlu memainkan peranan untuk memberi kesedaran membentuk semula keperibadian identiti golongan tersebut agar kembali kearah fitrah kejadian asal, bukannya berjinak-jinak terhadap mukadimah untuk menggalakkan perbuatan tasyabbuh walaupun bukan secara hakikat fizikal. 

Firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ 

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Surah al-Ma’idah (2) 

Seterusnya, larangan penggunaan aplikasi tersebut kerana dibimbangi ianya sebagai mukadimah untuk terjerumus kekancah tasyabbuh secara fizikal walaupun pada awalnya hanya sekadar permainan suka-suka. Maka penggunaan aplikasi tersebut dilarang bagi menyekat kecenderungan naluri individu kearah penyerupaan (tasyabbuh) mengubah jantina yang sebenar. Hal tersebut berdasarkan kaedah sadd al-zarai’ untuk mencegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada yang haram. Hal ini turut bertepatan kaedah fiqh berikut  

ما أدى إلى الحرام فهو حرام M

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram. 

Hukum mengubah foto kepada wajah tua mahupun muda. 

Aplikasi wajah (FaceApp) juga boleh berfungsi untuk mengubah foto wajah menjadikan tersenyum, kelihatan lebih muda atau lebih tua. Sekiranya, foto wajah tersebut tersebar luas, maka perbuatan tersebut menyebabkan manusia terperdaya terhadap wajah yang bukan menunjukkan keaslian selain terdapat unsur penipuan. Amaran yang keras terhadap penipuan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahawa Nabi bersabda:

 وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا 

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.” Riwayat Muslim (101) 

Selain itu, aplikasi yang mengubah wajah tua seperti meramal kejadian penciptaan wajah manusia pada masa akan datang yang pastinya tidak mungkin dapat diketahui oleh semua manusia. Firman Allah SWT: 

  قُلْ لاَّ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَٰوَٰتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ 

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah! Surah al-Naml (65) 

Sehubungan itu, mengubah wajah kepada kepada berlainan jantina mahupun kepada wajah tua dan muda dengan penyuntingan daripada aplikasi tersebut telah menafikan fitrah penciptaan asal berdasarkan kehendak-Nya. Setiap penciptaan-Nya pasti mempunyai hikmah yang tersendiri. Firman Allah SWT

 لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیم 

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya." Surah At-Tin: (4) 

Penutup 

Konklusinya, setelah meneliti dalil dan hujah yang dibentangkan, penggunaan aplikasi menukar foto wajah (FaceApp) adalah dilarang. Larangan tersebut kerana terdapat unsur penipuan terhadap wajah yang bukan asli, mengelirukan identiti sebenar dan mengaibkan individu tersebut sekaligus boleh menjatuhkan maruah dan ancaman fitnah. Kami akhiri dengan menyatakan pesanan terhadap masyarakat agar bijak memilih sebarang aplikasi teknologi untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Namun, penggunaan aplikasi FaceApp ternyata hanya sia-sia dan lebih mengundang mudarat kepada agama. Justeru, kami menegaskan agar umat Islam tidak menggunakan aplikasi tersebut apatah lagi menyebarluas foto wajah yang telah diubahsuai mahupun menukar gambar wajah kepada berlainan jantina. 

Semoga kita dapat menjalani kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar. Ameen

Friday 27 November 2020

Terima kasih daun keladi, jazakillah...

'Terima kasih daun keladi ` berlatarbelakangkan Kitab Muhimmah untuk talaqqi malam ini'


Cuaca nyaman sekali hari ni, mendung dan berangin lembut. Sebelum ini, dua hari berturut-turut hujan menerjah bumi di tempat saya. Sekejap lebat, sekejap renyai-renyai. Walaupun demikian, belum ada lagi tempat yang dinaiki air. Mudah-mudahan begitu hendaknya. 

Saat berpulang dari tempat kerja, ‘sikecil Haikal yang istimewa’ meluru seraya ditangannya memegang satu sampul surat berwarna putih. Dengan senyuman meleret, dia menggoyang-goyang sampul tersebut. 

Tanpa menyempat-nyempat anak syurga ini menghulurkan sampul tersebut, saat saya masih lagi terkial-kial menongkat motosikal tua yang banyak berjasa. Teruja sekali rona wajahnya. Begitulah keadaannya, sentiasa teruja apabila ada barangan yang diterima daripada syarikat penghantar barang. 

Oh, rupa-rupanya ia adalah cenderahati kiriman dari sahabat blogger Dana {http://misshamakeupstore.blogspot.com}. Seorang blogger yang aktif menulis. Alhamdulillah, seutas tasbih yang amat menarik warnanya bersama 2 face mask extender yang juga menarik. 

Haa, 2 face mask extender itu pula secara automatik menjadi hak milik dua anak perempuan saya. Awal-awal lagi mereka meminta dengan abi mereka. Cantik katanya.

Alhamdulillah, dengan ucapan, “Jazakillah khairun jaza’ terima kasih daun keladi, saya berbesar hati menerima cenderahati tersebut. Moga ada kesempatan untuk saya membalasnya. Bahkan dipermudahkan juga untuk saya menghadiahkan cenderahati kepada sahabat-sahabat blogger yang lain.  

Sememang saya suka berkunjung dan menatap kandungan di laman blognya setiap kali melayari internet, termasuk juga blog sahabat-sahabat yang lain. Tidak menghampakan, blognya sentiasa menghidangkan titipan tulisan yang baru, segar dan menceriakan. Paling saya suka ialah perkongsian resepi. Ada juga resepi yang saya meminta izin untuk menyimpannya, manalah tahu ada masa-masa terluang untuk dicuba. 

Sahabat-sahabat bolehlah berkunjung ke blognya (yang terbaru resepi membuat maruku) dan membaca titipan yang terhidang. Ceria!

Monday 23 November 2020

Hikmah larangan sihir

foto hiasan ~ sumber

Soalan:

Apakah hikmah Islam melarang keras pekerjaan atau amalan sihir? 

Jawapan: 

Pekerjaan dan amalan sihir adalah sesuatu yang pada kebiasaannya mengagungkan makhluk halus sama ada yang bernama iblis, jin, syaitan dan sebagainya. Makhluk ini sememangnya bertugas sepenuh masa menyesatkan anak Adam dan menjauhkan mereka dari rahmat Allah SWT. 

Mereka telah dilaknati Allah SWT maka mereka berusaha untuk menyesatkan manusia supaya dijauhkan rahmat Allah. Salah satu caranya adalah menggunakan sihir sebagai satu profesion mereka mengajar manusia melakukan kerja jahat tersebut. 

Manusia akan mudah terpengaruh apabila seorang manusia mampu melakukan perkara yang ganjil pada pandangan manusia lain. Atau seolah-olahnya ada kelebihan khusus kepada orang tertentu, yang mengetahui penyakit orang lain tanpa diberitahu. Atau mungkin boleh membaca fikiran orang lain. 

Hal sedemikian ini ada kemungkinan boleh berlaku dengan bantuan makhluk halus, dapat mengagak atau makhluk halus mengetahui daripada percakapan mereka kepada diri atau kawan-kawan. 

Perkara ini merangsang manusia mendampingi dan mendapatkan khidmat ahli sihir untuk menyampaikan sesuatu maksud mereka. 

Bila sihir dilakukan, maka berlaku perkara negatif, yang paling besar sekali adalah kerosakan aqidah. Dalam beberapa hadis Rasulullah saw (mafhumnya),"Sesiapa yang mendatangi ahli sihir maka sesungguhnya dia telah mensyirikkan Allah SWT." (Riwayat Imam Muslim). 

Hadis lain menyebut (mafhumnya), "Sesiapa yang mendatangi seorang yang mendakwa mengetahui perkara ghaib, lalu mempercayai dakwaan tersebut, sesungguhnya dia telah kufur dengan al-Quranul Karim yang diturunan kepada Nabi Muhammad." 

Dengan amalan sihir juga membuka jalan kepada seseorang mempercayai apa sahaja yang dikatakan ahli sihir kepadanya. Kata-kata seperti, 'penyakit itu berpunca daripada orang yang terdekat kepadanya', kadang-kadang menamakan orang tertentu (sama ada ahli keluarga atau kawan karibnya), terus dipercayai tanpa menyiasat dengan terperinci. 

Hal ini boleh menimbulkan permusuhan yang berpanjangan sehingga perkara yang tidak sepatutnya berlaku, dilakukan. Lebih buruk apabila, dibalas balik dengan sihir juga. 

Dalam al-Quran, Allah SWT menyebut (mafhumnya), "Sesungguhnya syaitan-syaitan itu mengkehendaki supaya berlakulah di kalangan kamu, permusuhan dan benci-membenci." (Surah ali-Imran, 91). 

Jelas bahawa peluang yang terbuka kepada orang yang mendatangi ahli sihir ini, syaitan mengambil kesempatan menimbulkan permusuhan antara dua orang yang berkasih, menimbukkan kebencian yang amat sangat antara anak beranak. 

Ilmu sihir merupakan perantaraan yang boleh menimbulkan caca merba dalam masyarakat. Peluang ini digunakan oleh orang yang bukan ahli sihir, tetapi mendakwa boleh melakukan hal-hal sedemikian untuk mendapat keuntungan duniawi sehingga mengenakan bayaran yang tidak tertanggung oleh pesakit. 

Oleh kerana itu maka Islam sebagai agama salam sejahtera, menyelamatkan manusia dari hal-hal yang tidak baik, khasnya menjaga aqidah supaya tidak rosak, memelihara harta benda dari pemerasnya dan untuk manusia kembali kepada pertolongan Allah SWT. 

Islam melarang dengan sekeras-kerasnya menggunakan sihir sebagai medium menyampaikan sesuatu maksud.

Wallahu a`lam.

Thursday 19 November 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (52)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (51) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA 

foto hiasan ~ sumber

Pelbagai cara untuk Melawan Dakwah 

4.  Usaha tawar-menawar yang cuba diajukan oleh orang Quraisy untuk mempertemukan Islam dengan jahiliah pada suatu jalan tengah, dengan syarat orang musyrik rela meninggalkan sebahagian tradisi mereka dan Nabi pun mesti meninggalkan sebahagian ajarannya. Hal ini dikisahkan dengan indah oleh Allah:

"Maka mereka menginginkan agar kamu bersikap lunak, sehingga mereka pun bersikap lunak." (al-Qalam: 9)

Ada riwayat daripada Ibnu Jarir dan Tabrani yang menyatakan bahawa orang musyrik menawarkan kepada Rasulullah saw agar baginda menyembah tuhan-tuhan mereka selama satu tahun dan mereka pun akan menyembah tuhan baginda selama satu tahun. Sementara riwayat lain daripada Abd bin Humaid memuatkan kenyataan mereka, "Jika kamu menerima tuhan-tuhan kami, kami akan menyembah Tuhanmu."(1)

Ibnu Ishaq meriwayatkan dengan sanadnya bahawa ketika Rasulullah saw sedang tawaf di Kaabah, baginda mendapat tawaran daripada Aswad bin Mutalib bin Asad bin Abdul Uzza, Walid bin Mughirah, Umayyah bin Khalaf dan Ash bin Wail yang merupakan tokoh tertua dalam kalangan kaum mereka. Mereka berkata kepada baginda,

"Hai Muhammad, bagaimana jika kami menyembah apa yang kamu sembah dan kamu menyembah apa yang kami sembah? Dengan begitu, kami dan kamu boleh bersatu dalam urusan ini. Jika memang apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami sembah, maka kami telah mengambil bahagian kami daripadanya. Sebaliknya, jika ternyata apa yang kami sembah lebih baik daripada apa yang kamu sembah, maka telah mengambil bahagianmu daripadanya."

Maka tentang mereka, Allah menurunkan ayat, "Katakanlah (kepada mereka hai Muhammad), "Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah," hingga akhir surah al-Kafirun.(2)

Demikianlah, Allah membalas tawaran mereka yang menggelikan dengan penolakan yang tegas. Perbezaan yang terdapat pada riwayat-riwayat di atas mungkin disebabkan mungkin disebabkan orang musyrik cuba mengajukan tawaran tersebut hingga berkali-kali.    

Rujukan: 

(1) Abu A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. VI, hal. 501-502 
(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jilid II, hal. 362

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Monday 16 November 2020

Mari belajor loghat Pahang (4)

 Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, sudah dua hari cuaca cerah. Jika tidak, pagi atau tengahari, petang atau malam pasti hujan turun membasahi di tempat saya. Biasalah sudah pun memasuki permulaan musim tengkujuh walaupun sebenarnya ia agak lewat. Jika sebelum ini di pantai timur musim hujan seawal bulan Oktober. Apa pun, mudah-mudahan tidak berlaku banjir pada tahun ini. 

Dalam santai-santai, moh kita belajar beberapa perkataan loghat Pahang. Moga ia dapat menambah dan meperkayakan perbendaharaan kata.


Contoh Ayat: Hah?? Goner buleh jadi gini... sampei terkelewok tayar te? Tu la.. lain kali kala nok bawok besika te, jangan la bawok lelaju... ni deme bantei merempit pulok.. sekali jatuh terpukang.. habih terkelewok belake... tak pasei-pasei kena beli besika baru.

Terkelewok: bengkok


Contoh Ayat: Balerrr... Baru 2 minggu keh beli kasut bolo ni.. dah longkoh dah.. Tak dan nok lawan ngan rimo mude... Kena beli baru lagi laaa.... 

Buah rambutan lekang juga biasa disebut sebagai 'Buoh mutan longkoh'


Contoh Ayat: Goner ni? Belum makan lagi dah taih eskrem nih... Panaih sangat ke cuaca ari ni? Kena beli se lagi la jawaknyer....

Taih: Cair


Contoh Ayat: Biasa la tu Buntat... Kala dah nampok bunga2 nak kaloh tu... Aokme main beria-ia pun takde maknenyer... Pangkoh jer la sorang berdua... Nok mujur berusung keluor padang..

Pangkoh: Bentes, terjah, 'tackle', peteh..


Contoh Ayat: Kala terserempok dengan rodong-rodong yak tepeghelos kaki dengan tayar vespa dalam lubang cenggini... pakat-pakat la tulung. Ni tidok.. pakat tulung tengok ngan tulung gelok jer.... semer nyer pakat kabor... Biorrr ke lantokkkk!! ........:

Tepeghelos: terperosok

Friday 13 November 2020

Aduh, sibuk sokmo lening..

 Assalamualaikum warahmatullah, salam Jumaat yang diberkati.

Hmm, lebih seminggu tidak meninggalkan apa-apa bekas di pondok kecil abuikhwan ini. Bukan sahaja tidak sempat mencoret, malahan untuk melayarinya pun tidak mampu. Apatah lagi laman sahabat-sahabat, pun tidak berkesempatan untuk saya jejaki. Tentunya ia sesuatu yang agak tidak menyamankan.  

Tumpuan dan komitmen dengan pebagai urusan dan gerakerja bersama Yayasan Amal Malaysia kebelakangan ini amat membataskan saya untuk menuangkan apa-apa perkongsian di blog kesayangan ini. 

Bantuan untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat pandemik Covid19 adalah fokus utama kami buat masa ini. Ditambah lagi dengan kedatangan musim sejuk yang pastinya lebih menyulitkan keadaan. 

Alhamdulillah, dalam kepayahan ada kesenangan. Rakyat Malaysia sangat pemurah, terbukti. Apa-apa kempen infaq, waqaf dan sebagainya, berpusu-pusu yang mahu memberi. Walaupun kita juga sedang 'bergelut' berdepan kesulitan akibat pandemik ini, 

Gerakerja tetap diteruskan walau apa cabarannya, bantuan mesti disalurkan semampunya, kepada Allah jua dipanjatkan pertolongan agar dipermudahkan jalan. 

Teringat kalam murabbi, "Sifir memberi adalah sifir yang tidak terduga. Selepas memberi, bukan sekadar si pemberi menerima kembali pemberian, ada kalanya muncul bantuan tidak terduga asbab pemberian itu. Ia menjadi pendorong untuk terus memberi walau tidak dihargai jauh daripada menerima balasan kebaikan daripada si penerima."

Allahu al-Musta`an.

'Beberapa bantuan untuk Palestin'

Thursday 5 November 2020

AMALAN PERLINDUNGAN DAN MEMAGAR RUMAH

Soalan: 

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang amalan perlindungan seperti ‘memagar’ rumah. Adakah ia dibenarkan atau tidak. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi saw, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. 

Dalam hal melindungi diri dan rumah daripada gangguan makhluk halus ini, Nabi saw telah mengajar kita beberapa panduan yang boleh diamalkan. Antaranya adalah dengan membacakan surah al-Baqarah dan ayat al-Kursi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

 لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ 

Maksudnya: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” Riwayat Muslim (780) dan al-Nasa’ie (10735) 

Menurut Ibnu Mas’ud R.A pula, kata beliau:

 إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.” Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir (8642) dan al-Darimi (3422) 

Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ubai ibn Ka'ab, bahawa beliau mempunyai tempat pengeringan kurma yang di dalamnya berisi kurma yang sedang dijaganya. Beliau kemudian mendapati kurma tersebut berkurangan. Tiba-tiba terdapat seekor binatang sebesar anak yang baru baligh. Dia berkata padanya: “Apakah engkau jin atau manusia?” Dia menjawab: “Aku adalah jin”. 

Dalam riwayat ini jin tersebut mengatakan padanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa engkau suka bersedekah. Maka aku ingin mendapat sebahagian daripada makanan yang engkau hendak sedekahkan itu.” Lalu Ubai bin Ka’ab bertanya:

 فَمَا الَّذِي يُجِيرُنَا مِنْكُمْ؟ قَالَ : هَذِهِ الآيَةُ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ، ثُمَّ غَدَا أُبَيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَ الْخَبِيثُ 

Maksudnya: “Apakah yang dapat melindungi kami daripada gangguanmu?” Jin tersebut berkata: “Ayat ini, iaitu Ayat Kursi.” Keesokan harinya, Ubai menceritakan apa yang dikatakan oleh jin tersebut kepada Nabi saw, maka Nabi saw bersabda: “Jin itu benar.” Riwayat al-Nasa’ie (10796) 

Nabi saw juga mengajar kita untuk membaca doa ketika ingin masuk ke dalam rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah r.anhuma, Nabi saw bersabda:

 إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ 

Maksudnya: “Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap’.” Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765) 

Almarhum Dato' Dr. Haron Din ketika mengulas berkenaan isu memagar rumah dan kediaman, menyebut: "Sebaik-baik cara bagi memagar rumah adalah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dalam rumah itu." (Lihat Kaedah Merawat Susuk, hlm. 48) 

Selain itu, ibadah-ibadah seperti solat sunat juga perlu dilakukan juga di rumah selain daripada di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.anhuma, Nabi saw bersabda:

 اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا 

Maksudnya: “Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.” Riwayat al-Bukhari (432) dan Muslim (777) 

Apa yang dimaksudkan dengan solat di sini ialah solat sunat yang dilakukan secara sendiri. Ini sepertimana disebut dalam hadis daripada Zaid bin Thabit R.A, Nabi SAW bersabda:

 فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ 

Maksudnya: Sesungguhnya sebaik-baik solat bagi seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat fardhu. Riwayat al-Bukhari (7290) dan Muslim (1861) 

Oleh itu, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dan tempat tinggal dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

 قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ 

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal". (Surah al-Taubah: 51) 

Ibn Kathir berkata: Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214) 

Penutup 

Sebagai kesimpulan, Islam membenarkan memagar rumah selagi mana dengan dibacakan ayat-ayat ruqyah daripada al-Quran dan sebagainya yang boleh menjadi pendinding daripada gangguan syaitan. 

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas bahawa perlindungan diri dan tempat tinggal boleh dilakukan dengan mengamalkan ayat-ayat seperti Surah al-Baqarah dan ayat Kursi sepertimana disebut dalam hadis Nabi SAW. 

Oleh itu ajaklah ahli keluarga untuk melazimi membaca al-Quran setiap hari serta mengamalkan zikir-zikir yang ma’thur seperti himpunan zikir al-Ma’thurat, Hisnul Muslim dan sebagainya. Mudah-mudahan ia dapat menjadi pelindung diri kita dan ahli keluarga kita daripada sebarang gangguan.