Sahabat Sejati

Friday 30 August 2019

Terima kasih..

Salam Jumaat


Salam Kemerdekaan yang ke-62. Moga aman makmur Malaysiaku tercinta.

Thursday 29 August 2019

Selesai sudah misi bagi 1440..

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang sekali lagi berkesempatan menjayakan program Korban dan Aqiqah bagi tahun yang ke-15. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakannya. 

Ibadah korban merupakan satu ibadah sunnah yang diangkat kemuliaannya oleh Rasulullah saw. Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya menjadikan ibadah yang sangat mulia ini sebagai ibadah tahunan untuk dilaksanakan. 

Ini kerana program ini membolehkan kita untuk berkongsi dengan golongan yang kurang berkemampuan. Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini. 

Manakala di pihak yang menyumbang pula, akan terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan yang menimpa saudara seakidah. Apatah lagi fokus lokasi korban ialah kawasan pedalaman, negara minoriti umat Islam dan yang ditimpa musibah.

Rasulullah saw menjelaskan dengan sabdanya: 
“Seseorang Muslim adalah saudara kepada saudara seorang Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh menyerahkan (kepada si zalim) dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah menunaikan hajatnya, sesiapa yang melepaskan seseorang Muslim daripada satu kesusahannya, nescaya Allah melepaskannya daripada satu kesusahan daripada banyak kesusahan di hari akhirat, dan barangsiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah saw juga bersabda: 
"Allah SWT akan sentiasa membantu hambanya selama mana hambanya itu membantu saudaranya yang lain.” (Muslim) 

Selain itu, Yayasan Amal Malaysia juga menyempurnakan penyerahan waqaf al-Quran kepada madrasah dan masjid yang memerlukan. Mudah-mudahan memberi keselesaan kepada pihak yang menerimanya.

Semoga semua pihak yang terlibat samada secara langsung maupun tidak langsung dalam melaksanakan misi korban kali ini mendapat keberkatan dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat. 

Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1441 kepada semua umat Islam. Semoga dengan pelaksanaan ibadah korban dan ketibaan tahun baru ini kita akan sentiasa bersatu untuk membangun ummah yang sejahtera. 

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh 

Berkhidmat untuk Kemanusiaan - Beramal kerana Allah

Monday 19 August 2019

Definisi Tauhid?

Soalan: 
Apakah definisi Tauhid?

Jawapan:

Tauhid dari segi bahasa berasal daripada perkataan وَحَّدَ yang memberi maksud tunggal atau satu. Kemudian, dari perkataan tersebut, maka terbitlah kalimah . Antara makna kalimah Tauhid ialah: 

· Menurut Qamus al-Muhit, Tauhid bererti menjadikan sesuatu itu satu. 

· Menurut Hasyiah al-Bajuri iaitu kitab syarah kepada kitab al-Jauharah, yang bermaksud mengetahui bahawa sesuatu itu adalah satu. 

Tauhid dari segi syarak pula ialah: · Meng-Esakan Allah dengan ibadat serta meyakini ke-Esaan tersebut pada zat, sifat-sifat dan perbuatan-Nya. 

· Pengertian yang lain pula ialah: Menetapkan ke-Esaan zat yang tidak menyamai segala zat yang lain, tanpa melakukan penafian terhadap segala sifat-sifatnya. 

· Al-Syeikh al-Iji pula telah mendefinisikan ilmu Tauhid sama seperti definisi ilmu Kalam. Katanya: “Ilmu Kalam itu ialah ilmu yang mampu memberi ketetapan pada kepercayaan dan keyakinan agama berdasarkan hujah-hujah serta menolak sebarang kesamaran.” Beliau menghasilkan sebuah buku tentang aqidah yang bernama al-Mawaqif fi `Ilmi al-Kalam. 

· Syeikh Junaid al-Baghdadi berkata: “Tauhid ialah meng-Esakan yang (bersifat dengan) Qidam dari yang baru.” · 

Dalam syarah Jauharah al-Tauhid menyatakan: “Suatu ilmu yang mampu memberi kefahaman dan penjelasan aqidah agama, yang diambil dari dalil-dalil yang diyakini.” 

Di dalam Jauharah al-Tauhid, pengarangnya menyebut tiga perkara asas yang dibincangkan dalam ilmu Tauhid, iaitu: 

· Ilmu mengenai Ketuhanan iaitu ianya meliputi ilmu Uluhiyyah, Rububiyyah dan nama serta sifat-sifat Allah SWT. 

· Ilmu mengenai Kerasulan iaitu sifat yang wajib bagi para Rasul, sifat yang mustahil dan sifat yang harus serta semua perkara yang berkaitan dengannya. 

· Perkara-perkara sam’iyyah (iaitu perkara ghaib) seperti azab kubur, nikmat kubur, mizan, hisab dan lain-lain. Maksud sam’iyyah ialah perkara yang tidak mungkin diketahui melainkan melalui pemberitahuan oleh al-Quran dan Sunnah, dan perkara itu di luar dari kemampuan akal manusia. 

Kesimpulannya, tauhid ialah ilmu yang mampu menetapkan kepercayaan beragama dan menyumbang kepada ketetapan keyakinan, hasil dari dalil dan bukti yang benar-benar meyakinkan. Ilmu tauhid lebih tertumpu kepada skop mencerita dan membahaskan ke-Esaan Allah SWT. Ilmu ini juga dikenali dengan nama ilmu Kalam, ilmu Aqidah, dan ilmu Usuluddin.

sumber: Irsyad fatawa

Friday 16 August 2019

Rehat Minda: Pesan Murabbi 117

Salam Jumaat.

`Moga Allah merahmati almarhum Tuan Guru Dr Haron Din`

Sunday 11 August 2019

Salam 'Idul Adha 1440H


Assalamualaikum warahmatullah.

“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya”. (Surah Al-Hajj: 37)

Marilah kita menghayati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as serta isterinya Hajar. Bagaimana pengorbanan yang mereka tunjukan kerana patuhnya kepada perintah Allah SWT. Sifat ini wajib diikuti oleh seluruh umat Islam yang ingin mencapai darjat ketaqwaan disisi Allah SWT.

Justeru, Aidiladha yang diraikan bukan sekadar menyempurnakan sembelihan qurban, bahkan perlu diterjemahkan dari sudut ketaatan dan kepatuhan mutlak hamba terhadap Khaliknya. Kita mesti mengambil ibrah daripada sifat ketaatan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as dalam memenuhi perintah Allah.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan keluarganya demi Islam merupakan contoh yang perlu diambil perhatian bagi orang Islam yang bertaqwa. Diperintahkan berhijrah dari Babylon ke Palestin, diperintahkan pula berpisah dengan anak isteri ditempat yang kering kontang tidak berpenghuni, diperintahkan pula untuk menyembelih anaknya sendiri, lalu diperintahkan pula untuk membangunkan Baitullah bersama anaknya Ismail as. 

Hanya dengan meletakkan perintah Allah di hadapan, setiap perintah yang zahirnya tidak dapat diterima akal akhirnya menampakkan kebijaksanaan & kekuasaan Allah. Di sinilah hikmah pengorbanan, tatkala dihujani godaan syaitan ingatlah, إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ sesungguhnya Allah hanya menerima korban orang-orang yang bertaqwa.

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ 

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim." (al-baqarah: 124)

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as dan disambung oleh nabi akhir zaman, Muhammad SAW ke seluruh pelosok dunia. 

Akhirnya, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1440H kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada, khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!
Walillahil hamd..

Friday 9 August 2019

Doakan..

Allahu.. mendapat arahan daripada pihak pengurusan Yayasan Amal Malaysia bahawa misi qurban di Kashmir terpaksa dipindahkan ke tempat lain. Ini berikutan laporan berita yang diterima mengesahkan berlaku ketegangan di wilayah tersebut.

Mujurlah para relawan belum lagi bertolak ke sana dan masih berada di bumi Malaysia. Jika tidak tentu bertambah sulit dan menimbulkan banyak masalah. Tentunya kami tidak mahu memperjudikan keselamatan diri para relawan yang ke sana.

Akhirnya, setelah perbincangan oleh pihak pengurusan, keputusan telah dibuat untuk menggantikan lokasi qurban dari Kashmir ke Delhi. 

Demikianlah, di antara perkara yang seringkali berlaku dan terpaksa kami hadapi. Belum masuk karenah birokrasi negara-negara terbabit dan berbagai lagi. Namun, ini semua dihadapi dengan dada yang terbuka. Ia adalah asam garam dalam kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan.

Apa pun, saya memohon doa daripada sahabat-sahabat agar segala gerakerja yang dilakukan berjalan dengan lancar. Mohon doakan juga keselamatan para relawan semua. Allahumm ameen..      

Wednesday 7 August 2019

Koreksi diri..

Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang mengatur perjalanan hidup setiap makhluk.

Justeru itu tiada siapa yang mengetahui ketentuan masa bilakah ‘kita’ akan keluar dari jasad ini. Semuanya tersimpan di dalam rahsia Allah SWT. Jika jasad ini kita hiasi dengan kesombongan, yang akan menjadi tanah jua akhirnya, kitalah yang akan menanggung akibatnya. Di akhirat pasti kita termasuk di kalangan mereka yang rugi dan menyesal.

Kita dikurniakan akal. Dengannya kita dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan indah dan sempurna. Akal berfungsi sebagai pengimbang, pembeza dan pemilih. Akal yang sihat mampu berfikir dengan waras dan rasional, maka kita dapat membezakan mana satu yang baik serta memberi manfaat dan mana satu yang buruk serta memudaratkan.

Malanglah jika akal yang dikurniakan ini kita sia-siakan dengan merosakkan fungsinya. Sebab itulah Islam melarang merosakkan akal dengan pengharaman arak dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan kewarasannya.

Kita adalah makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Kita dijadikan dalam keadaan fitrah dan bersih. Sekiranya fitrah yang suci itu telah kita cemari dengan dosa dan maksiat, maka mohonlah rahmat keampunan-Nya. Sesungguhnya rahmat keampunan-Nya seumpama air bersih yang mengalir membawa pergi segala kotoran.

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam.”