Sahabat Sejati

Wednesday 30 April 2014

Bicara santai: Cakap-cakap bola

Liverpool (sumber)

Kelmarin pasukan yang saya minati Liverpool tewas kepada pasukan Chelsea. Terasa juga sedikit ‘bengang’ dengan keputusan tersebut. Alahai macamana boleh tewas pula, ingat baru nak meraikan awal kemenangan juara liga. Tapi nak buat macamana, sedikit kesilapan Steven Gerrard, si budak kreatif tu, mengundang padah. Senang-senang Demba Ba menjaringkan gol pertama Chelsea. Kemudian di minit-minit akhir pintu gol The Reds bolos lagi untuk melengkapkan kekalahan 2-0. Aduh!

Saya sebenarnya minat sangat dengan sukan bolasepak. Zaman sekolah dulu selalu bermain. Tiap-tiap petang turun ke padang sekolah. Sekarang ini pun jarang-jarang turun juga, tetapi ke padang futsal sahaja. Tak bertenaga mahu turun ke padang rumput macam zaman muda-muda dahulu. Niat turun untuk beriadhah, insya-Allah dapat pahala tetapi aurat kena jaga. Begitu juga masa, jangan sampai tinggal sembahyang. Tetapi saya tidaklah pandai main bola seperti si Steven Gerrard tu, jauh ‘kakloh’ la kata orang Kelantan. Tetapi setakat tendang bola tu tahulah.

Saya melihat bolasepak di antara sukan yang boleh menyatukan orang ramai. Pertama, ia melibatkan ramai pemain dan ramai penonton. Masuk stadium, hilang seketika serabut dan rungsing dengan bersorak, bertepuk dan sebagainya. Empat tahun sekali penduduk dunia dilanda demam. Bukan demam denggi atau demam kura-kura, tetapi demam Piala Dunia. Selepas itu ada pula pertandingan kedua terbesar iaitu Piala Eropah. Masyarakat dunia bersatu memberi sokongan kepada pasukan mereka. Betapa meriah dan harmoninya situasi tersebut. (Saya mengimpikan pertandingan bolasepak Piala Dunia dilangsungkan di Malaysia)

Apa pun tahniah kepada pasukan Liga Super Pahang. Tahniah bukan kerana menjuarai liga kerana ia belum tamat lagi. Ucapan tahniah kerana masih mengungguli tahta liga biarpun cuma berbeza satu mata dengan pasukan handal, Selangor. Nampak gayanya pasukan Pahang terpaksa memenangi baki perlawanan yang masih ada untuk menjadi juara liga. Seterusnya, harap dapat mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada tahun lalu.  Insya-Allah.

Hogoh Pahang hogoh!

 Stadium Darul Makmur, Kuantan

Saturday 26 April 2014

Cetusan rasa: Kehidupan adalah pelayaran

 'Kehidupan di dunia umpama satu pelayaran menuju satu destinasi'

Esok adalah perjalanan yang masih panjang, biarpun perkiraannya cuma 24 jam. Seminit dari saat ini pun kita tidak akan mampu meneka, apakah bahagia atau derita. Pastinya semua yang datang tidak jelas dan nyata. Apatah lagi mahu memikirkan hari esok.

Perasaan itulah yang sering menjenguk, lalu berpintal-pintal mencuit di fikiran. Apakah ada kesempatan untuk kita menjengah sinar mentari esok? Sedangkan kebimbangan sentiasa menyelimuti diri, kerana merasakan masih belum mencukupi bekalan yang mahu dibawa bertemu DIA.

Pasrah. Segala gelaran dan kebesaran, malah segala apa milik insan akan hilang pada saat dia dianugerahkan darjah pingat ‘kematian’ oleh Malaikat Maut. Semuanya umpama mimpi. Segala kenikmatan atau kesakitan berlalu hilang.

Kata Abdullah bin Umar r.a: “Rasulullah saw memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari).

Benar, inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) “dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)”. (al-‘Ankabut: 64).

Menanti hari esok bukan sekadar berlalu dengan pejam dan celik, ia bukan hanya kerlipan mata, tetapi lebih daripada itu. Masa adalah usia, ia adalah nikmat yang tidak terperi.

Hargailah...

Saturday 19 April 2014

Kenangan masih basah: Jika masa itu mampu kurangkul, akan kudakap seeratnya...


Saya diserkap kerinduan yang mendalam. Semua kenangan menggamit sanubari. Merenung wajah-wajah yang dirakam pada foto itu, mengundang sebak dan sayu. Ada di antaranya sudah pulang menemui Penciptanya. Mungkin bagi sesetengah orang, ia bukanlah sesuatu yang perlu disedihkan. Ia proses kehidupan yang biasa. Dari tanah kita berasal, kepada tanah jua kita kembali. Sesiapa pun pasti akan menempuh keadaan ini tanpa kecuali. Demikian taqdir yang telah tersurat oleh Sang Pemilik kehidupan.

Adakalanya perasaan itu sukar untuk difahami. Terasa ada kerinduan yang terlalu sulit mahu diungkapkan dengan kata-kata. Kadang-kadang ia menusuk sehingga menyesakkan dada. Sukar untuk saya gambarkan, seperti saya terkurung di dalam penjara batu yang sempit dan gelap-gelita. Semuanya kelam dan suram tanpa sedikit cahaya.

Pandangan saya kembali merenung. Pemandangan berbeza dengan pandangan puluhan tahun yang lalu. "Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dilahirkan dan dibesarkan. Benar sungguh peribahasa ini. Terlalu banyak kenangan yang terukir di sini. Kampungku tidaklah seindah mana, malahan mungkin bagi sesetengah orang tiada apa yang istimewa. Tetapi bagi saya yang lahir dan membesar di sini, ia sentiasa mendamaikan hati yang resah. Namun, rasanya hari demi hari, kampung tercinta ini semakin lenyap dari diari hidup saya. Apabila ayah dan emak sudah meninggal dunia, adik-beradik semua berpindah membina kehidupan masing-masing, tiada siapalah lagi yang tinggal di kampung.

Denai kecil di belakang rumah bonda ada memori yang terpahat padanya. Saya sering melaluinya untuk ke rumah jiran atau menuju ke sungai untuk melabuhkan joran. Sungai tidaklah lebar mana, cuma suasananya yang redup dilingkungi pokok-pokok hijau sentiasa mengamankan perasaan. Sambil memancing saya dihiburkan dengan suara burung dan nyanyian mergastua, hati menjadi girang tatkala melihat telatah sang tupai yang lincah meniti dari satu dahan ke dahan yang lain.

Boleh dikatakan setiap petang saya ke situ. Jika tidak memancing, saya akan memanjat pokok yang banyak kedapatan di sepanjang tebing sungai. Saya memanjat perlahan-lahan sehinggalah ke cabang yang paling atas. Saya dapat melihat panorama yang indah. Merenung di kejauhan puncak bukit, awan yang bak kapas memutih dan kawanan burung yang berterbangan. Selalu saya menjerit dari atas pokok kepada burung-burung agar membawa saya terbang bersama mereka. Biarpun jeritan saya tidak pernah bersahut, namun saya senang melakukannya. Hampir santak senja barulah saya pulang dengan seribu kepuasan. Ia seakan terapi kepada jiwa dan perasaan.

Namun, sekarang pokok-pokok tersebut sudah banyak yang menyembah bumi dek kerana telah berusia. Tidak kurang juga yang tumbang ditolak jentera besi untuk diganti dengan hutan batu. Demikianlah tiada yang kekal di dunia ini kecuali DIA yang Maha Hidup. Sungai itu juga sudah tidak seperti dulu. Terkejut saya melihat airnya yang dulu cukup dalam, kini mengalir separas keting sahaja. Apakah saya yang semakin tinggi atau sungai itukah yang semakin berkurangan airnya?


Pohon kuini misteri 

Berhampiran denai itu pula terdapat dua batang pokok kuini yang ada sejarahnya tersendiri. Tidaklah sejarah besar, cuma ada kenangan pada diri saya yang menyebabkan seringkali saya tersenyum tatkala mengingatkannya. Sebenarnya di sekeliling rumah arwah ayah terdapat banyak pokok kuini yang berdaun lebat serta pokok buahan yang lain. Tetapi, pokok kuini yang di tepi denai ini unik sedikit. Ia tumbuh berdekatan dan kedua-dua batangnya condong ke arah bertentangan. Jika dilihat dari jauh seakan bercantum seperti huruf ‘V’.

Setiap kali melintasi pokok kuini ini saya akan memecut laju tanpa menoleh ke kiri atau kanan kecuali jika berteman. Cerita orang tua-tua pokok kuini tersebut ada penunggu. Di tengah-tengah ‘V’ pokok ini ada hantu yang duduk di situ. Entahlah hantu apa, tidak pernah pula ada yang cuba memberitahu, saya pula tidak pernah bertanya. Tidak pasti dari mana cerita itu bermula. Yang saya tahu ia diriwayatkan dari mulut ke mulut sehinggalah kepada generasi saya. Zaman itu, apa sahaja yang datang daripada mulut orang tua diterima tanpa sebarang bantahan. Jika orang tua kata ‘A’, maka ‘A’lah kata kami. Kalau budak-budak zaman sekarang, orang tua kata ‘A’, mereka akan jawab ‘A sampai Z’. Hebatnya budak-budak zaman sekarang.

Masih segar di mata saya, pemandangan kami adik-beradik melalui denai tersebut ketika pulang daripada menonton televisyen di rumah jiran. Waktu itu peti televisyen hanya dimiliki oleh beberapa buah rumah, itu pun dikalangan mereka yang agak berada sahaja. (Beberapa tahun selepas itu arwah ayah membeli sebuah peti televisyen versi hitam putih, tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan saya merasa ‘kembang’)

Pernah sekali, satu malam ketika pulang daripada menonton televisyen di rumah jiran, arwah ayah menarik kami semua ke pokok kuini tersebut untuk menunjukkan apa yang ada. Terbayang bagaimana kami semua menjerit ketakutan persis tersampuk histeria. Entahlah betapa lucunya wajah masing-masing ketika itu apabila arwah ayah menyuluh ke tengah-tengah di antara dua batang kuini tersebut. Kalau ketika itu mudah dengan teknologi kamera seperti hari ini...

“Hah, tengok! Berapa banyak hantu yang ada!” Kata arwah ayah kepada kami semua yang masih dalam ketakutan. Sebenarnya arwah ayah ingin membuktikan kepada kami semua bahawa cerita yang kami dengar itu hanyalah sekadar cakap-cakap sahaja.  Banyak yang ditokok-tambah untuk menyedapkan cerita. Tetapi nak buat macamana pemikiran budak-budak, cepat percaya.

Dalam takut-takut saya turut mencuri pandang. Apa yang saya lihat? Tiada apa-apa pun, hanya tanah yang berwarna hitam dan sedikit rumput yang tumbuh di celah kedua batangnya. Selepas daripada itu, sedikit demi sedikit kepercayaan turun-temurun itu terhakis walaupun ketakutan masih belum reda.


Sekarang pokok kuini itu telah pun tiada, denai kecil juga telah pun hilang tanda. Namun yang masih kekal ialah nostalgia yang sentiasa basah di dalam lipatan kenangan. Sudah pasti kenangan kepada kedua orang tuaku yang telah lama mendahului. Mudah-mudahan Allah SWT berkenan melimpahkan rahmat dan redha-Nya kepada mereka. Andai ada perkiraan amal kebaikan daripada pondok kecil abuikhwan yang tidak seberapa ini, mohon dihadiahi kepada keduanya. Bukan membalas jasa kerana tidak mungkin jasa mereka mampu dibalas selamanya. Tetapi sebagai tanda tulus kasih seorang anak kepada orang tuanya.

Sesungguhnya hati ini sering berbisik: “Jika masa itu mampu kudakap kembali, pastiku rangkul seeratnya.”

Friday 18 April 2014

HUKUM BERAMAL DENGAN PETUA DAN PANTANG LARANG MELAYU

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar".

Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?

Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?

Jawapan:

Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya:

1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui RasulNya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65)

2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)


3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.

4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.

5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi: "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)." (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah.” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut:

1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu

2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)

3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.

Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran maupun as-Sunnah mengesahkannya.

Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang), pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercayai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.

Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama, sama ada secara sedar atau tanpa sedar. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa sama ada besar atau kecil- wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.

Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya. Wallahu a'lam.

Sumber: Ilmu dan Ulama

Wednesday 16 April 2014

Kita mungkin telah melupakannya, tetapi tidak bagi mereka...


Islam sangat melarang melakukan kezaliman. Bukan sahaja kezaliman sesama manusia, bahkan juga larangan berlaku zalim kepada makhluk yang lain. Larangan ini adalah larangan yang tiada batasan. Ini kerana, perbuatan zalim boleh menyebabkan kerosakan di atas muka bumi ini.

Dalam sirah diceritakan, Rasulullah saw pernah berpesan kepada 3000 tentera Islam yang akan berangkat ke medan Mu`tah. Peperangan Mu`tah berlaku pada bulan Jamadil Awal, tahun ke 8 Hijrah. Mu`tah merupakan sebuah kampung di pinggir Syam. Sekarang ia dinamakan al-Karak, letaknya di pinggir Tenggara Laut Mati. Sebab terjadinya peperangan ini ialah kerana seorang utusan baginda saw yang bernama al-Harith bin Umair al-Azdi telah dibunuh oleh salah seorang raja Arab Ghassan yang tunduk kepada Caesar Rom.

Pesan Rasulullah saw kepada angkatan perang Islam: “Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah dan berbuat baik kepada orang Islam yang bersama kamu. Perangilah sesiapa yang kufur kepada Allah dengan nama dan demi jalan Allah. Jangan kamu belot (jika diadakan perjanjian) atau mencuri rampasan perang (sebelun diagih-agihkan). Jangan kamu membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua yang tak berdaya dan pendeta yang memencilkan diri di gereja. Jangan kamu memusnahkan pokok kurma, memotong pokok atau meruntuhkan binaan.”

Perbuatan zalim biasanya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh. Manakala orang-orang yang dizalimi adalah dari kalangan mereka yang jahil, lemah, miskin, lurus dan tidak berdaya.

Mereka tidak lupa, Allah juga tidak lupa


Saya menulis perkara ini kerana baru sahaja mendengar satu kisah yang sangat menginsafkan. Saya mendengarnya di dalam klip pendek youtube. Ustaz tersebut menceritakan: “Satu hari selesai kuliah, datang seseorang yang telah berusia berjumpa saya. Katanya, dia merupakan seorang bekas anggota keselamatan. Tujuan dia berjumpa adalah untuk meminta doa agar diberikan keselamatan kerana akan menjalani pembedahan. Sekarang ini dia berulang-alik ke hospital membuat rawatan akibat penyakit tulang kakinya reput.”

Namun, kata ustaz lagi, apa yang mengharukan ialah katanya: “Ketika bertugas dahulu saya pernah melakukan satu perkara yang saya rasa ada kaitan dengan apa yang berlaku ke atas diri saya pada hari ini. Sebenarnya saya pernah menahan seorang budak muda atas satu kesalahan. Saya menjadi berang kerana dia bermati-matian tidak mengaku tuduhan ke atasnya. Akhirnya, akibat hilang sabar saya menendangnya hingga terperosok ke dinding. Saya mendengar budak muda itu berkata yang dia tidak bersalah dan berdoa semoga Allah menjadikan kaki tuan yang menendang saya reput.”

“Walaupun peristiwa itu berlaku 15 tahun yang lalu dan saya sudah pun pencen, tetapi apabila saya disahkan menghidap penyakit tulang kaki reput, tiba-tiba saya teringatkan peristiwa ini, saya takut ini adalah kemustajaban doa budak itu dahulu.”

Kata ustaz: “Boleh jadi ia ada kaitan, boleh jadi tiada kaitan, semuanya dalam pengetahuan Allah SWT. Apa pun banyakkanlah memohon ampun kepada Allah.”

Kita memang boleh melupakan kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain. Hari-hari yang berlalu memadamkan episod kezaliman itu daripada ingatan kita. Namun, apakah orang yang dizalimi itu boleh melupakannya. Mereka tidak lupa. Masakan mudah mereka melupakannya. Mereka tidak lena tidur teringatkan kezaliman kita, disaat kita lena tidur. Allah SWT juga tidak pernah lupa perbuatan orang yang zalim. Mana mungkin ia berakhir begitu sahaja. Setiap perbuatan zalim pasti ada balasan biar pun orang yang dizalimi telah mati, atau tidak mampu membalasnya. Allah SWT akan membalas perbuatan si zalim dengan cara yang dikehendaki-Nya. Tidak kira samada balasan di dunia atau pada hari akhirat kelak.

Sekalipun dia terlepas semasa berada di dunia, tetapi pembalasan yang sebenar tetap menantinya ketika dia berada di akhirat kelak. Orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Bahkan, sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambilnya darinya dengan kadar kezalimannya. Jikatiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Insafi diri

Saya termenung panjang. Berfikir, apakah saya pernah melakukan sebarang bentuk kezaliman terhadap orang lain. Tidak kira samada kezaliman yang kecil atau besar. Ternyata saya tidak dapat mengingatinya, lalu saya merumuskan bahawa saya tidak pernah melakukannya. Namun, adakah orang yang pernah dizalimi turut melupakannya jika kita pernah menzalimi mereka, sebagaimana kita telah melupakannya. Mereka mungkin tidak mampu membalas seperti yang kita lakukan, tetapi mereka dianugerahkan Allah SWT doa yang mustajab atau akan dimakbulkan terhadap yang menzaliminya.


Dalam riwayat Ahmad, Rasulullah saw bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguhnya antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya).” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani)

Demikianlah kelebihan golongan yang dizalimi atau ditindas. Doa mereka didengari oleh Allah SWT. Syeikh Syihabuddin ar-Ramli, seorang ulama silam yang terkenal daripada mazhab Syafie ketika ditanya kepadanya: “Adakah doa orang kafir yang dizalimi oleh Allah?” Beliau menjawab: “Doa orang yang dizalimi boleh diperkenan oleh Allah sebagaimana doa iblis juga diperkenankan oleh–Nya.”

Kadang-kadang kita merasa hairan, mengapa kebelakangan ini kehidupan kita sentiasa ditimpa kesusahan atau tidak habis masalah datang bersambung-sambung. Kita tertanya-tanya: “Ya Allah, mengapalah hidupku susah, mengapalah hidupku begini dan begini...” Tanpa kita sedari rupa-rupanya kita telah terkena doa orang yang pernah kita zalimi, mana tahu. Sedangkan kita telah pun lupa akannya. Wal`iya zubillah.

Oleh itu, berhati-hatilah...

Tuesday 15 April 2014

Muhammad SAW: Peperangan di zamannya


Banyak sudah kita menelaah buku berkisar riwayat Nabi saw, namun buku ini amat menarik kerana menampilkan suatu kelainan. Semasa membaca buku ini, seakan terasa ada kesan sampingan; baik dari rohani ataupun emosi. Derap perjuangan ketika Nabi saw memimpin para sahabat seakan terhidu keringan debu yang terhambur.

Buku yang memuatkan sikap Rasulullah SAW yang membayangkan sikap Islam dalam pelbagai situasi sama ada genting ataupun tenang. Menghayatinya seakan-akan samalah seperti kita dijemput untuk bersedia di tengah-tengah medah jihad dalam Perang Ahzab, Khaibar, Hunain ataupun mungkin juga berada di tengah-tengah meja bundar di mana Perjanjian Hudaibiyah dimeterikan.

Gaya ianya ditulis cukup istimewa kerana sesuai dengan tajuknya yang menyentuh persoalan sirah. Buku ini cukup detail. Teknik penceritaannya cukup tersendiri. Ia bias menyirap darah pejuang, menghiris hati simpati dan boleh menimbulkan kecintaan kepada Rasulullah SAW yang membuak-buak. Terasa benar betapa kurangnya kita berkorban untuk fisabilillah.

Semoga buku yang ditulis daripada dakwat kesedaran ini mampu mengetuk hati kita untuk memberikan sesuatu yang benar-benar memberi bekas kepada kebangkitan semula Islam. Moga usaha memunggah dari khazanah milik Tok Guru ini bermanfaat untuk umat Islam.

Tajuk : Muhammad SAW: Peperangan di zamannya
Penulis : Tuan Guru Dato` Nik Abd Aziz Nik Mat
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Muka surat : 395
Harga : SM 27.00 / SS 30.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

Friday 11 April 2014

Satu catatan: 08 April, mengetuk pintu emosi


Saya tidak mampu untuk menulis sesuatu tentang ayah. Saya tidak tahu siapa ayah suatu ketika dahulu kerana perginya terlalu awal. Saya sedih kerana saya tidak sempat bersama ayah apabila tiba masa untuk saya mula mengorak langkah juang. Ayah, perginya ketika usia saya masih bertatih mengenal dunia dan kehidupan.

Namun, tidak pernah saya terkilan dan kecewa dengan suratan taqdir ini. Seperti yang sentiasa saya coretkan, apa jua yang dilalui dalam kehidupan ini, pasti ada hikmah yang terkandung kebaikannya. Tetapi, jauh tertanam lubuk hati ini, kerinduan yang sangat mendalam. Mudah-mudahan dapat jua wajah ayah kutatapi di depan mata ini suatu hari nanti, dengan izin-Nya...



Salam sejahtera buat ayah di persinggahan sementara. Dari anak-anakmu yang masih rindukan belaian kasih itu. Tiada apa yang mampu kami kirimkan melainkan secebis doa buat penemanmu di sana. Moga saat dibangkitkan nanti telah ada penolakmu ke syurga Allah yang abadi. Kami memohon dengan izin dan rahmat-Nya.

Thursday 10 April 2014

Cetusan rasa: Sedikit buat diri


Lebih 3 dekad menumpang jasad di bumi Tuhan. Dalam tempoh itu banyak sekali kenangan yang tercipta. Ada pahit dan ada manis, ada suka dan ada duka. Setiap satunya menjadi kisah dan sejarah. Ada yang tercurah di atas kanvas untuk dikongsi bersama teman. Tiada apa yang diharapkan, mudah-mudahan ada sesuatu yang berputik menjadi teladan. Sebaliknya, ada pula yang hanya menjadi rahsia hati. Bukannya apa, kerana merasakan ia terlalu peribadi. Biarlah ia bersemadi di dalam diri untuk dibawa bertemu Ilahi.

Mencoret sesuatu dalam perjalanan panjang kehidupan seumpama menulis travelog diri. Tentu sekali saya tidak mampu untuk mencatatkan segala cerita kehidupan, biarpun saya sendiri yang melaluinya. Ingatan pada kehidupan lampau tidak bermula ketika tangisan pertama yang memecah keheningan. Bukan ketika mata mula melihat atau ketika telinga mula mendengar. Malahan ia bermula lewat daripada itu, sememangnya ketika akal mula berputik memahami hijab yang dibuka Tuhan.

Perjalanan hidup adalah anugerah Allah yang tidak dapat dinilai harganya. Setiap yang dilalui ada hikmah yang dapat ditafsirkan dengan akal dan lebih banyak pula yang menjadi rahsia ilmu qada dan qadar Tuhan. Bahkan, yang pasti di dalamnya sentiasa terkandung teladan dan pengajaran.

Kehidupan bukanlah milik abadi setiap manusia. Kehidupan kita adalah di bawah aturan Allah SWT. Hakikatnya, kita tidak mampu mengawal skrip lakonan kehidupan secara mutlak. Ia bergantung kepada taqdir aturan-Nya. Kita hanya mampu berdoa agar aturan-Nya terhadap kehidupan kita sentiasa indah dan bahagia.

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (al-Baqarah: 286)

Tuesday 8 April 2014

Tak patut, tak patut...

Poster ini terpaksa saya sensorkan, kerana mungkin 
ada yang tidak berapa senang dengannya (sumber FB)

Betul ke?

Terkejut saya sambil menggelengkan kepala beberapa. Takkan ini dibenarkan untuk diadakan di sebuah negara yang pernah diisytiharkan ‘negara Islam’ oleh seorang bekas pembesar negara beberapa tahun yang lalu.

Saya melihat poster ini di dalam FB.

TOPLESS FRIDAY BEACH PARTY.

Bayaran masuk RM35 tetapi wanita masuk percuma.

Pakaian untuk wanita bikini, manakala lelaki seluar pendek malahan digalakkan lagi kurang berpakaian lagi bagus. Maknanya kalau berpakaian secolet sahaja lagi memenuhi cita rasa penganjur barangkali.

Akan diadakan pertandingan tarian paling kotor dengan tawaran hadiah yang ‘kotor’ juga.

Terus-terang, penganjuran parti ini sangat memalukan masyarakat Malaysia dan pasti mengundang kepada perlakuan gejala sosial yang teruk. Tidakkah ‘mereka’ mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ketika penganjuran konsert Future Music Festival Asia (FMFA), kita dikejutkan dengan 6 kematian akibat dadah di dalam program tersebut. Apakah masih mahu mengulanginya?

Ternyata pihak penganjur langsung tidak sensitif dengan suasana masyarakat yang masih berdukacita dengan kejadian kehilangan pesawat MH370 dengan mengadakan parti bebas yang tidak bersesuaian langsung dengan nilai moral dan budaya negara ini serta tidak sensitif dengan ajaran Islam. Dalam keadaan kita berdepan dengan gejala sosial yang sukar dikawal, hari ini masih ada pihak yang mahu membuka ruang kepada penyebaran keruntuhan moral.

Harap pihak yang berkenaan mengambil tindakan tegas atas penganjuran parti ini serta membatalkannya serta-merta tanpa kompromi.

Pray4#MH370

Monday 7 April 2014

BERUBAT DENGAN BOMOH SIAM


Soalan:

Assalamualaikum Ustaz. Apakah salah dan dianggap syirik jika seseorang itu telah berusaha banyak kali dengan cara Islam untuk berubat membuang sihir tetapi tidak sembuh. Dia ambil keputusan untuk melalui cara Siam untuk membuang sihir tersebut dan mendapatkan bantuan seorang yang bukan Islam yang berubat dengan cara Siam setelah dia mengetahui sihir ke atasnya adalah menggunakan cara Siam TETAPI yakin dan percaya sepenuh hati perawatan yang beliau akan lalui dan alami adalah Allah yang akan membantu dan mengizinkan. 

Jawapan: 

Keyakinan kepada Allah mesti diterjemahkan melalui keyakinan hati, lidah dan juga anggota (yakni amalan, perbuatan dan tindakan). Yakinlah kepada Allah dan berikhtiarlah tanpa mendatangkan kemurkaan Allah dengan bertandang ke tempat yang tidak diredhai-Nya. 

Rasulullah pernah ditanya tentang hukum berubat dengan arak. Lalu baginda menjawab: “Arak bukan ubat, tetapi penyakit.” (Riwayat Imam Muslim dari Wail al-Hadrami). 

Perhatikan, walaupun di sisi manusia arak mungkin boleh menjadi ubat menyembuhkan setengah penyakit, namun kerana ia di sisi Allah adalah haram, maka Rasulullah bertegas mengatakan; Ia bukan ubat tetapi penyakit. 

Jika benar kita yakin kepada Allah, kita perlu yakin juga bahawa Allah tidak akan menjadikan penyembuhan ada pada perkara yang Ia murkai apatahlagi yang mensyirikkan-Nya. Berikhtiarlah dengan cara yang halal, jangan berputus asa, Insya-Allah kesembuhan akan diberi Allah; kesembuhan badan dan pada masa yang sama aqidah juga selamat. Tiada guna tubuh sihat tetapi aqidah kita sakit. 

Wallahu a'lam. 

Sumber: Ilmu dan Ulama

Sunday 6 April 2014

Jangan jemu meminta kerana DIA tidak pernah jemu mendengar...


“Allah SWT tidak pernah jemu mendengar doa dan permohonan kita. Tetapi yang pelik mengapa kita pula yang merasa jemu untuk berdoa dan meminta kepada-Nya.” Kata Ustaz Tuan Ibrahim di dalam kuliah maghrib semalam.

Nasihat ini ringkas tetapi benar-benar mengesankan. Otak ligat berputar memikirkan betapa benarnya ungkapan ini. Ya, kebenaran yang tidak dapat disangkal. Allah SWT sangat kasih kepada orang yang selalu meminta dan berharap kepada-Nya. Di dalam al-Quran Allah SWT menyebut berkenaan sifat pemurah-Nya dalam memperkenankan doa: 

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Ghafir: 60) 

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka sentiasa berada di atas kebenaran.” (al-Baqarah: 186) 


Doa adalah penawar kekecewaan, harapan dan kekuatan. Adanya doa bermakna masih ada tempat pergantungan iaitu kepada Allah SWT. Setelah habis daya dan upaya, usaha dan ikhtiar, maka di sana ada satu lagi kekuatan yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja iaitu menadah tangan dan berdoa. Inilah kekuatan yang tidak ternampak oleh pancaindera tetapi kita boleh merasakannya. 

Doa bukan milik eksklusif individu atau golongan tertentu, tetapi ia adalah milik setiap orang. Sesiapa sahaja boleh berdoa, mintalah, pasti Allah akan menerimanya jika permohonan itu disertakan dengan keikhlasan, bersungguh-sungguh dan selagi ia masih dalam batasan syariat. Maka, berhina dirilah dengan sentiasa memohon kepada-Nya. 

Namun peliknya, setelah Allah SWT memberi jaminan bahawa doa hamba-Nya tidak akan disia-siakan, lalu ada segolongan yang tidak mengendahkan tawaran istimewa ini. Ya, ada yang tidak mahu berdoa kepada Allah SWT. Mungkin kerana merasakan sudah cukup sempurna dalam kehidupan. Ada pula yang merasakan kejayaan yang diperolehi, kesenangan yang dimiliki, adalah hasil daripada usaha sendiri. Tidakkah kelihatan seperti satu kesombongan? Bagaimana kita tergamak beranggapan demikian. Hakikatnya tidak bergerak satu zarah melainkan dengan izin Allah SWT. Di dalam al-Quran, Allah SWT menyebut contoh orang yang menyangka apa yang dimilikinya hasil daripada kepandaiannya sendiri. Allah SWT berfirman:

“Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (al-Qasas: 78) 

Oleh itu, sentiasa beringat. Jangan sombong diri. Hidup ini tidak selamanya menongkat langit. Kita tidak selalu berada di atas. Bila-bila masa kita boleh tersungkur ke bawah. Mengingati Allah pada waktu senang, maka pasti Dia akan mengingati kepada kita pada waktu susah. 

Allahu al-musta`an...

Friday 4 April 2014

Maafkan saya, bukan menghina...

'Tiada kelebihan melainkan dalam perkara taqwa'

Tiada sedikit pun niat mahu menghina. Apakah layak untuk manusia menghina sesama manusia? Tentunya tidak! Apatah lagi jika penghinaan tersebut disertakan dengan perasaan sombong dan bangga diri. Sememangnya perbuatan menghina datangnya daripada sifat sombong kerana merasakan diri memiliki kelebihan berbanding orang lain.

Kita adalah sama sahaja di sisi-Nya. Sabda Rasulullah saw:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). 

Lihat kisah pengusiran iblis daripada syurga. Hanyalah kerana ada sedikit sifat kesombongan asal kejadiannya. Tatkala ia diperintahkan sujud iaitu menghormati Nabi Adam as, maka ia engkar kerana kejadiaannya daripada api sedangkan Nabi Adam as daripada tanah. Maka kerana sifat sombong dengan kejadiannya itu, ia dilaknat oleh Allah SWT sehingga hari kiamat.

Dimanakah kita melihat letak duduknya kemuliaan seseorang itu? Pada rupa paras? Pengaruh dan pangkat? Atau pada longgokan harta? Jika kita mengakui keadaan ini, maka kita telah memandang dengan pandangan mata manusia yang silap dan jahil.

Tidak! Hakikatnya, kemuliaan bukan terletak pada semua itu. Tetapi kemuliaan itu hanyalah terletak pada nilai taqwa yang dimiliki. Taqwa adalah satu konsep yang terbuka, sesiapa pun boleh mengambilnya. Walau siapa pun dia, hatta orang biasa atau raja, orang papa atau berada, orang cantik atau jelek, orang jahil atau cerdik. Dia mulia jika bertaqwa. Bahkan, Semakin tinggi ketaqwaan maka semakin mulia ia dalam pandangan Allah SWT.

Firman Allah SWT:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (al-Hujurat: 13)

Bukan menghina


Sebenarnya saya menjadi keliru dan kehairanan.

Apa yang berlegar di benak anda jika seseorang menawarkan produk menghilangkan sakit-sakit sendi sedangkan dalam masa yang sama anda dapati dia sendiri dalam keadaan bertongkat kerana sengal-sengal sendi. Atau ada yang menawarkan ubat melangsingkan badan, tetapi anda lihat badannya sendiri tidak berapa hendak langsing. Tentu anda tidak akan percaya samada pada produk, atau pada si penawar produk tersebut.

Itulah kisahnya, tak serupa tetapi hampir sama.

Ketika saya sedang berjalan-jalan di pasar minggu bandar Kuantan, tiba-tiba saya disekat oleh seorang perempuan muda yang menawarkan sejenis krim kecantikan yang berfungsi untuk menghilangkan bintik-bintik hitam, jeragat dan sebagainya. Dalam hati saya berkata: "Alamak, kulit muka aku tak cantiklah ni, banyak jeragat dan bintik-bintik hitamke? Padan pun dipilihnya aku..." Yalah, dalam ramai-ramai yang lalu-lalang saya yang dipilihnya. Tentu kulit muka saya tidak berapa hendak cantik yang menyebabkannya menawarkan produk tersebut. Saya agaklah.

“Kecil hati pula rasanya...” sambil tersenyum.

Beliau meminta saya menghulur tangan untuk menyapu krim tersebut. Secara lembut saya menolak dengan memberinya alasan yang boleh diterima. Takkanlah saya mahu membiarkan dia memegang tangan saya sambil menyapu krim tersebut. Ahh, bikin malu, jatuhlah reputasi dan kredibiliti. Lagipun saya bukan jenis yang suka pakai itu ini, tempek sana dan tempek sini. Setakat pakai minyak atar bolehlah.

Tiba-tiba dia memanggil rakannya seorang lelaki untuk menyapu krim tersebut. Aduyai, macam tu pula. Kena sapu juga ke? Macam tadi juga saya menolak dengan baik sambil berulang kali mengucapkan terima kasih. Bukannya apa, sebenarnya saya jadi keliru. Antara tidak percaya kepada produk yang ditawarkan dengan si penawar produk tersebut. Sebabnya, sudah saya terangkan di atas tadi.

Sengaja saya memuqaddimah tulisan ini dengan panjang lebar. Bimbang jika ada yang tersalah erti. Manalah tahu jika ada yang beranggapan saya mahu menghina seseorang. Sedangkan saya tiada langsung niat menghina seseorang melalui tulisan ini. Tidak sekali-kali! Saya sekadar mahu memberikan pandangan, menyatakan sesuatu yang saya rasa satu kesilapan yang tidak patut dilakukan.

Saya tahu, mungkin dia seorang yang jujur dan berusaha sendiri mencari rezeki. Cuma apa yang saya mahu sampaikan ia adalah satu strategi pemasaran yang sangat silap. Betul-betul silap. Kalaulah dia dibayar komisyen berdasarkan jumlah krim yang terjual, entahlah. Berapakah yang akan diperolehi. Bukan tidak boleh berniaga, tetapi carilah yang sesuai yang tidak boleh mendatangkan fitnah dan penghinaan kepada diri sendiri.

Kadang-kadang kita terlupa, memang berdosa orang yang membuat fitnah, tetapi lagi berdosa jika kita sendiri yang membuka jalan fitnah tersebut. Sama juga, kita dilarang menghina tetapi kita juga dilarang membuka ruang penghinaan terhadap diri kita. Itukan maruah kita!

Maafkan saya...

Wednesday 2 April 2014

Kuliah Maghrib 02 April 2014

Jangan lupa, kepada yang berdekatan dijemput hadir mendengar kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tarikh : 02 April 2014
Tempat : Masjid Qaryah Balok, Kuantan


Pray4#MH370

Tuesday 1 April 2014

Jangan 'FOOL'kan diri anda!

 (sumber foto: fattabiounimalaysia)

APRIL FOOL sudah semestinya bukan daripada ajaran Islam. Bergurau tidak salah, Islam membenarkan gurauan. Bahkan Rasulullah saw sendiri ada masa-masanya bergurau dengan para sahabat. Namun, gurauan Rasulullah tidak ada unsur penipuan dan keterlaluan.

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau bergurau dengan kami?" Maka Rasulullah saw menjawab dengan sabdanya, "Tetapi aku tidak berkata-kata kecuali yang benar." (Riwayat at-Tirmidzi)

Di antara gurauan Rasulullah saw, satu ketika, Rasulullah saw dan para sahabat sedang makan buah kurma, biji-bijinya mereka sisihkan di tempatnya masing-masing. Beberapa saat kemudian, Ali menyedari bahawa dia memakan terlalu banyak kurma. Biji-biji kurma sisa mereka berkumpul lebih banyak di sisi Ali dibandingkan di sisi Rasulullah saw

Maka Ali pun secara diam- diam memindahkan biji-biji kurma tersebut ke sisi Rasulullah. Kemudian Ali ra dengan tersipu-sipu mengatakan, “Wahai Nabi, engkau memakan kurma lebih banyak daripada aku. Lihatlah biji-biji kurma yang berkumpul di tempatmu.”

Nabi pun tersenyum dan menjawab, “Ali, kamulah yang memakan lebih banyak kurma. Aku memakan kurma dan masih menyisakan biji-bijinya. Sedangkan engkau, memakan kurma berikut biji-bijinya.” (Riwayat Bukhari)

Rasulullah saw bersabda: "Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman sehinggalah dia meninggalkan penipuan dalam gurauan." (Riwayat Ahmad)