Sahabat Sejati

Wednesday 30 September 2020

Monday 28 September 2020

Tua yang bagaimana..

`Semakin menuju tua' (foto hiasan)

“Dan Allah menciptakan kamu, kemudian kamu diwafatkan-Nya. Dan di antara kamu ada yang berusia lanjut (tua bangka) sehingga tidak tahu apa-apa lagi (sudah nyanyuk). Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (an-Nahl: 70) 

Tua? 

Mungkin sampai...mungkin tidak. 

Sampai jika panjang umurnya. 

Maka jadilah si tua yang mulia. Sebagaimana yang diisyaratkan Rasulullah saw, panjang umur dalam ketaatan kepada Allah SWT. 

Si tua yang telah tiada tetapi masih disebut orang namanya. 

Si tua yang sentiasa dicerita akan kebaikan, dikenang segala pengorbanan. 

Si tua yang menjadi kebanggaan anak, cucu serta keturunan. 

Jangan jadi si tua yang berhati muda. Tidak sedar hakikat diri, sedangkan rumah kata pergi kubur kata mari. Anak cucu pun dah meluat tidak mahu ambil peduli. 

“Kami berlindung kepada-Mu dari penghujung hidup yang sedemikian.” 

Salam buat warga tua yg taatkan ALLAH, dan kasihkan Rasul-Nya.......

Friday 25 September 2020

SYAITAN MAKAN BERSAMA TUAN RUMAH

SOALAN: 

Adakah syaitan masuk dalam rumah jika tuan rumah makan tidak baca bismillah. Saya ingin tahu adakah hanya baca bismillah saja? Kalau tidak baca adakah syaitan masuk sahaja dalam rumah atau dia makan sekali? 

JAWAPAN: 

Kita lihat dulu hadith yang menjadi sandaran persoalan ini. 

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah r.a. katanya Nabi saw bersabda:

 إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قالَ الشَّيْطَانُ: لا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وإذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ المَبِيتَ، وإذَا لَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قالَ: أَدْرَكْتُمُ المَبِيتَ وَالْعَشَاءَ 

Ertinya: “Apabila masuk seseorang ke dalam rumahnya lalu dia menyebut nama Allah pada ketika masuknya dan pada ketika makannya nescaya berkatalah syaitan : Tiada tempat tidur bagi kita malam ini dan tiada makan malam. Dan apabila seorang itu masuk ke dalam rumah tanpa menyebut nama Allah maka berkatalah syaitan : Kamu semua sudah ada tempat bermalam. Dan apabila seorang itu tidak menyebut nama Allah ketika dia makan maka berkata pula syaitan : Kamu sudah ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadith Riwayat Muslim) 

Maka hadith ini menjadi dalil bahawa syaitan akan menunggu apabila seorang kamu hendak masuk ke dalam rumahnya setiap kali dia pulang kerana syaitan hendak masuk ke dalam rumahnya. Tetapi apabila dia menyebut nama Allah seperti Bismillah ketika masuk maka syaitan tidak akan dapat masuk. 

Begitu juga syaitan akan menunggu untuk makan bersama tuan rumah apabila dihidangkan makanan tetapi apabila tuan rumah menyebut nama Allah ketika makan maka syaitan tidak dapat makan bersama. 

Ada pun orang yang masuk ke rumahnya tanpa menyebut nama Allah maka syaitan yang menunggu itu akan memanggil syaitan-syaitan yang lain supaya masuk bersama ke dalam rumahnya dan apabila tuan rumah tidak menyebut nama Allah ketika makan maka syaitan akan memanggil syaitan-syaitan yang lain untuk makan beramai-ramai bersama tuan rumah dan makanan yang dimakan bersama syaitan itu adalah tidak berkat. 

Ada pun kaifiat kelakuan makan syaitan itu adalah sesuai mengikut tabiat kejadiannya. 

Dan apabila masuk syaitan ke dalam rumah seseorang maka dihasutnya isi rumah itu kepada melakukan dosa dan perkara sia-sia. 

Dan yang afdhal ketika hendak masuk ke dalam rumah ialah membaca doa yang diajar oleh Rasulullah saw iaitu :

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Malik Al-As’ary r.a. katanya Rasulullah saw telah bersabda :

 إِذَا وَلَجَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا، ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ 

Artinya : “Apabila masuk seseorang ke dalam rumahnya maka bacalah : Ya Allah aku memohon kepada Mu akan masuk yang baik dan keluar yang baik. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan atas Allah Tuhan kami yang kami berserah. Kemudian hendaklah dia memberi salam atas keluarganya di dalam rumah.” 

Kesimpulan 

Disunatkan ketika hendak masuk seorang ke dalam rumahnya membaca Bismillah sekurang-kurangnya kemudian memberi salam dan apabila hendak makan membaca juga sekurangnya akan Bismillah. 

Rumah yang tidak disebut nama Allah ketika masuk akan di masuki sama oleh syaitan. 

Hidangan yang tuan rumah tidak menyebut nama Allah ketika memakannya akan turut dimakan oleh syaitan. 

Wallahua’lam

Thursday 24 September 2020

10 Sebab murah rezeki

foto hiasan (sumber)


1. Iman 

"Sekiranya penduduk suatu negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami (Allah) bukakan kepada mereka pelbagai keberkatan dari langit dan bumi" (al-A'raf; 96).

2. Takwa 

"Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan memberinya jalan keluar (dari kesulitan) dan memberi rezki kepadanya dari arah yang tidak disangkanya" (Al-Talaq; 2 & 3). 

3. Istighfar 

"Beristighfarlah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepada kamu, dan Dia akan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu serta menjadikan untuk kamu kebun-kebun tanaman dan sungai-sungai" (Nuh; 10-12). 

4. Silaturrahim

Sabda Nabi saw; "Sesiapa ingin dilapangkan rezki dan dipanjangkan usia, huhungkanlah silaturrahim" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Doa

Allah berfirman (dalam hadis Qudsi): "Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah kelaparan kecuali orang yang Aku beri makan, maka mohonlah makanan dariKu, nescaya Aku akan beri kamu makanan" (Riwayat Muslim).

6. Infak

"Apa yang kamu infakkan dari suatu harta, Allah akan menggantinya, dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki" (Saba'; 39). 

7. Usaha sendiri

Ditanya kepada Nabi saw; apakah perolehan terbaik? Baginda menjawab; hasil usaha tangan sendiri dan perniagaan yang mabrur (Riwayat al-Bazzar & al-Hakim). 

8. Berniaga

Hadis di atas dan sabda Nabi saw; "Hendaklah kamu berniaga kerana 9/10 rezki adalah dalam perniagaan" (Riwayat Ibnu Abi al-Dunya, mursal, dhaif).

9. Bersyukur 

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku (Allah) akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu". (Ibrahim; 7).

10. Nikah

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui" (al-Nur; 32). 

#Mutiara Al-Quran dan Sunnah

Thursday 17 September 2020

ADAB MEMANGGIL TUAN RUMAH

SOALAN : 

Saya ada dengar kalau pergi ke rumah orang kita hanya boleh beri salam sebanyak tiga kali sahaja. 

Soalan saya apakah haram kalau beri salam lebih dari tiga kali? 

JAWAPAN : 

Hukum memberi salam sebanyak tiga kali ketika ziarah ke rumah seseorang itu adalah sunat hukumnya. Jika tetamu itu memberi salam lebih dari tiga kali maka tidaklah haram hanya sunat yang sebanyaknya ialah tiga kali sahaja. Selepas tiga kali memberi salam tuan rumah masih tidak menjawabnya maka eloklah pulang dahulu dan datang semula pada waktu yang lain. 

Tersebut pada kitab Al-‘Aziz :

 وإذا قصد باب إنسان وهو مغلق، فالسنة أن يسلم، ثم يستأذن فيقول: السلام عليكم، أأدخل، فإن لم يجبه أحد، أعاد ذلك ثانياً وثالثاً، فإن لم يجبه أحد، انصرف 
Artinya : “Dan apabila seorang hendak pergi ke rumah seseorang dan pintunya tertutup yakni tuannya tidak ada di luar maka yang sunnah ialah memberi salam kemudian meminta izin untuk masuk seperti dikatanya : Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk? Maka jika tuan rumah tidak menjawab hendaklah dia ulangi salam yang kedua dan ketiga. Maka jika tidak dijawab juga salamnya maka bolehlah dia pulang.” (Kitab Al-‘Aziz Syarah Al-Wajiz) 

Ada pun jika sangat perlu berjumpa dengan tuan rumah atau seumpamanya maka tidak mengapa diteruskan memberi salam lebih dari tiga kali. 

Tersebut pada kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

 آدَابُ الاِسْتِئْذَان ِ: إِذَا اسْتَأْذَنَ عَلَى إِنْسَانٍ، فَتَحَقَّقَ أَنَّهُ لَمْ يَسْمَعِ الاِسْتِئْذَانَ، فَلَهُ أَنْ يُكَرِّرَ الاِسْتِئْذَانَ حَتَّى يَسْمَعَهُ. أَمَّا إِذَا اسْتَأْذَنَ عَلَيْهِ فَظَنَّ أَنَّهُ لَمْ يَسْمَعْ، فَقَدْ ذَهَبَ الْجُمْهُورُ إِلَى أَنَّ السُّنَّةَ أَلاَّ يُكَرِّرَ الاِسْتِئْذَانَ أَكْثَرَ مِنْ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ. وَقَال مَالِك ٌ: لَهُ أَنْ يَزِيدَ عَلَى الثَّلاَثِ، حَتَّى يَتَحَقَّقَ سَمَاعَهُ 
Artinya : “Adab-Adab meminta izin. Apabila seorang meminta izin untuk masuk ke rumah seseorang dan yakin ia tidak didengar oleh tuan rumah maka harus dia mengulangi meminta izin sampailah didengar. Ada pun jika berat sangkaannya tidak didengar maka jumhur ulamak berpendapat sunat tidak diulangi minta izin itu lebih dari tiga kali. Dan berkata Imam Malik dia boleh melebihkan dari tiga kali meminta izin sampailah yakin didengari

Tuesday 15 September 2020

Buku sejarah dah sampai!


Awal bulan ini saya telah membeli tiga buah buku lagi. Ketiga-tiga buku bergenre sejarah, dibeli secara atas talian kerana setahu saya ia tiada dijual di kedai. Alhamdulillah, ia telah sampai dengan selamatnya tengahari kelmarin. Teruja sangat tatkala menerima bungkusan daripada kakitangan pos laju. 

Terima kasih kepada pihak penerbit yang mengambil langkah proaktif dalam aspek pembungkusan dan pelabelan untuk memastikan ia sampai dalam keadaan baik. Terima kasih juga kepada pos laju dengan khidmat cemerlangnya. 

Ketiga-tiga buku tersebut:

1) RAHSIA PENAKLUKAN MELAKA 1511

Penulis: (Tun) Suzana (Tun) Othman dan Hasanuddin Yusof


Kota Melaka adalah tempat pertama di Alam Melayu yang berjaya dikuasai penjajah Barat. Sebelum penaklukan Portugis 1511, Kesultanan Melaka adalah antara kerajaan terkaya dunia disebabkan perdagangan serta kepentingan pelabuhannya. 

Namun kedatangan Portugis ke Alam Melayu secara amnya, dan ke Melaka secara khususnya, bukanlah semata-mata ingin menguasai perdagangan di Melaka. Ada maksud dan matlamat yang lebih besar dari itu yang telah dipasang oleh Portugis. Maksud dan matlamat inilah yang menjadi RAHSIA PENAKLUKAN MELAKA pada tahun 1511. 

Apa Maksud dan Matlamat besar tersebut sehingga robohnya KOTA MELAKA? Misteri yang terlalu banyak kenapa MELAKA sangat menjadi dambaan penjajah.

2) TEKNOLOGI KESULTANAN MELAKA - MEMBONGKAR KEAGUNGANNYA BERDASARKAN CATATAN PORTUGIS 

Penulis: Hasanuddin Yusof


Kesultanan Melaka memiliki perlabuhan yang terkaya di dunia di zaman kegemilangannya. Pedagang-pedagang dari segenap penjuru dunia telah datang berdagang di Melaka. Maka, selain dari memiliki teknologinya tersendiri, Kesultanan Melaka juga terdedah dengan peradaban asing seperti peradaban Islam (Arab, Parsi, India dan Turki), dari barat serta Peradaban China dan Jepun dari Timur. 

Ini menyebabkan Melaka tidak ketinggalan dari segi sains dan teknologi dari taamdun-tamadun luar yang sezaman dengannya. Malangnya, sebahagian dari masyarakat hari ini menyangka bahawa Kesultanan Melaka hanyalah sebuah kerajaan yang kuno dan jauh ketinggalan dalam kemajuan teknologi. Malah yang lebih malang bahawa kewujudan Kesultanan Melayu Melaka hanyalah mitos semata-mata. 

Ini disebabkan peninggalan Kesultanan Melaka telah dimusnahkan oleh Portugis ketika mereka menawan Melaka pada tahun 1511. Namun, kebenaran sememangnya tidak dapat disembunyikan. Berdasarkan catatan-catatan sejarawan portugis sendiri, Kesultanan Melaka memiliki peradaban dan teknologi yang boleh dibanggakan. Oleh itu, buku ini menyajikan tentang teknologi-teknologi dan peradaban yang terdaoar dalam Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan catatan-catatan Portugis.


3) MENJEJAK HUBUNGAN DAULAH UTHMANIYAH & KESULTANAN MELAKA

Penulis: Hasanuddin Yusof

Selama ini, kebanyakan daripada kita hanya mengetahui bahawa kerajaan Islam di alam Melayu yang paling awal menjalinkan hungan diplomatik dengan Daulah Uthmaniyah ialah kerajaan Aceh Darussalam. 

Namun begitu, dalam catatan Portugis, dinyatakan dengan jelas kedatangan pedagang-pedagang dari Turki Uthmaniyah ke Kota Melaka untuk membeli rempah ratus dari pelabuhan Melaka. Malah, sumber Portugis juga menyatakan bahawa terdapatnya tentera Turki Uthmaniyah dalam angkatan tentera Melaka ketika berlakunya perang antara Portugis dan Melaka pada tahun 1511. 

Lebih menarik lagi, beberapa penulis Turki dan Arab menukilkan bahawa terdapatnya hubungan langsung antara Sultan Daulah Uthmaniyah iaitu Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah. 

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!"

Wednesday 9 September 2020

Belajor loghat Pahang (3)

 Assalamualaikum warahmatullah.

Semalam mencatatkan kes penularan pandemik covid-19 sebanyak tiga angka. Jika kondisi begini berterusan, tidak mustahil pihak kerajaan akan menguatkuasakan kembali PKP. Apa pun marilah kita semua berdoa agar keadaan ini tidak berlarutan. Dan dalam masa yang sama marilah kita mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan.

Sambil-sambil itu apa kata kita layan/belajar loghat Pahang. Mudah-mudahan dapat menambah lagi perbendaharaan kata. 


Contoh ayat : Keh dah kabor kan.. kala nok turun tangga ter... turun la memolek.. jangan nok buat 'cat walk' pulok... Sekali tersempat anok tangga te, jatuh terjerembok cenggini... habih la muka...


Contoh Ayat : Pepalih aok... Keri amat aok nengok duit belabok gitume... sampei nok terjeluo biji mate... Yer la... orang tua pon keri jugek kala duit bertambun gitu... Tak ketahuan nok buat mende dah...


Contoh ayat : Weeehhh dimeh.. Mat nyer condir ngat nyer letok bekas ikan te? Eeee... coper ngat duduknyer... Serio bulu tengkok keh nengok nyer.. Buatnyer ikan dalam te, nyer bantei menggelatat pulok karang.... mboh belempung ke bawoh.....


Contoh ayat :  Alahai Tipoh... Kala nak letok gambo dalam pesbuk tu, letok la gambo memolek sikit... tak payoh la letok gambo yak terjuih-juih, temuncung-muncung gitu... dah serupa beruk orang nengok.....


Contoh ayat : Ingatkan handei ngat belake... sekali beruang jerkoh, menciput lari... bebadi sape laju la... lambat nasib la...

Ok, nanti kita sambung lagi..



    

Sunday 6 September 2020

Potret hari minggu (060920)

Menemani 'sikecil Haikal yang istimewa' bermain air. Manakala kami hanya basah-basahkan kaki sahaja. 

Anakanda Haikal cukup obses dengan air. Selagi tidak disuruh naik, biarpun sudah merah mata, sampai ketar-ketar bibirnya, makin seronok dia berendam. Tak apalah, asalkan dia gembira, kami pun turut gembira.

 Air adalah khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Ia juga adalah sumber kehidupan. 

"..dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup, maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (al-anbiya': 30)

Semoga air bersih akan sentiasa 'hidup' untuk kita semua nikmati.. 

Dah sampai!


Alhamdulillah, buku yang di'order' telah pun sampai. Terima kasih kepada pihak penghantar barang yang telah menjalankan khidmat cemerlangnya sehingga di hadapan pintu pagar. 

Sukar untuk digambarkan perasaan ini. Sebagai peminat tegar sejarah, juga seorang yang suka membaca, ia adalah suatu yang amat mengujakan. Tentunya. Tidak sabar-sabar mahu membelek-belek lembarannya sehingga ke noktah yang terakhir, serta menyuap minda dengan isi yang terkandung di dalamnya.  

Sejujurnya, kebelakangan ini saya amat kurang membeli buku. Tidak seperti dulu-dulu, saya akan pastikan setiap bulan ada buku baru yang dibawa masuk ke dalam rumah. Terutama lagi ketika fasa PKP serta PKPP tempohari, tiada buku yang dibeli. 

Justeru, dengan keadaan yang sedikit longgar ini, saya akan cuba untuk istiqamah membeli buku setiap bulan samada secara atas talian ataupun dengan berkunjung ke kedai buku. Dan mudah-mudahan diri ini mempunyai banyak masa terluang dan dihindari sifat malas untuk membaca. Insya-Allah. 

Ringkasnya, buku ini membongkar tentang kewujudan Laksamana Hang Tuah semasa zaman kegemilangan Empayar Melaka. Kajian ini telah dilakukan oleh dua orang penulis yang juga pensyarah di Universiti Putra Malaysia, di Okinawa dengan bantuan Kementerian Pendidikan Jepun. 

Watak Hang Tuah merupakan seorang adiwira bangsa Melayu yang sudah sekian lama terpahat dalam hati budi orang melayu yang melambangkan keperwiraan, kesetiaan, keberanian, ketabahan, kebaktian dan kebijaksanaannya dalam memberi sumbang bakti kepada raja dan bangsanya.

Penulis buku ini telah ke Okinawa, Jepun untuk menjalankan kajian serta mendapatkan bukti sejarah yang tercatat dalam sebuah manuskrip Jepun yang dipanggil Rekidai Hoan. Dan lebih menarik lagi terdapat sebilah keris berukuran 22.1 cm dari ulu hingga hujung yang ditemui tanpa pemegang dan sarung, kerana bahagian-bahagian yang diperbuat daripada kayu rosak. Keris berlok 9 tersebut dijumpai diperkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran dengan istana Shunji abad ke-15 Pulau Ryukyu. Kini tersimpan dengan baik di Pusat Arkeologi Okinawa, Jepun.   

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"