Kata pujangga: “Rindu itu amat menyakitkan.”
Benar sekali.
Entah kenapa kebelakangan ini, saya amat rindukan hari-hari yang telah berlalu. Kerinduan yang menyebabkan saya jadi sebak. Jiwa saya sakit merindui hari-hari itu. Kadang-kadang ada air mata yang menitis keluar. Rindu yang keluar dari kenangan itu kadang-kadang amat menekan jiwa.
Saya dan rindu pada sesuatu
Saya sering terkenang desa saya yang dahulu. Desa yang belum terusik dengan kemajuan yang rakus, menukar anak-anak kampung menjadi cacat budi dan tidak pandai berbahasa. Di saat semak dan belukar masih luas, ketika paya menerung masih berair, tempat saya meranduk bersama rakan mencari secebis kedamaian dekat dengan alam.
Tatkala desa diserkup kelam malam, ditemani cahaya andang daun kelapa, kami berduyun-duyun ke rumah tuan guru belajar mengaji, berzanji, marhaban dan seribu satu ilmu bekalan kehidupan. Indahnya zaman itu. Biarpun ketika itu zaman hitam putih, namun perjalanan hidup ketika itu dipenuhi lorekan warna. Di sana ada secebis damai diri yang telah hilang hari ini.
Kadang-kadang saya merindui zaman kehidupan di asrama dahulu yang penuh disiplin dan menjaga masa. Makan berjadual, solat lima waktu berjemaah dan ada kumpulan mengulangkaji pelajaran. Saya teringat di antara maghrib dan isya` wajib berada di musolla sekolah, berlumba-lumba menghafal surah-surah pilihan jika tiada kuliah yang disampaikan.
Sebelum tidur mendengar cerita daripada abang-abang senior yang bertandang, selalunya katil saya yang menjadi mangsa berkumpul. Kerapkali mereka akan bercerita kisah-kisah hantu di kawasan asrama untuk menyakat dan menakut-nakutkan kami semua. Walaupun kisah yang disampaikan tidaklah semuanya benar, tetapi waktu itu kami amat mempercayai. Rupa-rupanya cerita tersebut diriwayatkan dari satu generasi ke satu generasi. Malahan saya turut melakukan perkara yang sama tatkala tiba masanya saya pula mengambil tempat abang-abang senior.
Teringat juga kepada teman-teman seperjuangan yang sama-sama mewakafkan diri di medan menuntut ilmu. Tanpa jemu menadah kitab sebagai persedian diri guna hari mendatang. Besarnya erti persahabatan dan ukhuwwah fillah, tanpanya persahabatan tiada nilai, kosong dan suram.
Semua itu bagaikan baru semalam berlalu, kadang-kadang ia bertamu di alam mimpi.
Adakalanya untuk mengubati kerinduan ini, saya akan membelek-belek majmu` hitam yang sederetan di dalam almari. Menyelak halaman demi halaman, lebih terasa tatkala tersua dengan nota-nota kusam yang banyak kedapatan pada Qamus al-Marbawy yang banyak berjasa. Begitu juga dengan lakaran yang lebih kepada contengan di dalam Mukhallis Qawaid al-Lughatul `Arabiyyah dan Matan Ajrumiah. Kebosanan barangkali atau mereda pening kepala yang melanda tatkala ber-`irab dalam subjek Lughah al-`Arabiyyah.
Akan terubatkah rindu ini?
Hari-hari yang telah berlalu mencetuskan kenangan yang tersendiri. Ada bau rindu di situ, rindu itulah yang membasahkan perasaan saya hari ini. Saya tahu kesedihan, menangisi hari semalam adalah sesuatu yang sia-sia. Kerana hari-hari yang telah berlalu tidak mungkin berulang kembali. Semuanya telah menjadi kisah dan sejarah, yang telah disimpan di dalam lipatan memori.
Seandai kita bertanya adakah kita bahagia pada kehidupan yang lalu berbanding hari ini? Tentunya kita ada seribu satu sebab untuk berkata demikian. Sesungguhnya semalam telah pun berlalu, hari ini untuk kita corakkan bahagia atau sengsara dan esok belum tentu kepunyaan kita. Mungkin telah tersurat untuk kita tidak sempat menjengah matahari hari esok.
Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti. Namun, kenangan semalam yang menjenguk dijiwa selepas perjalanan masa, itulah yang mematangkan fikiran. Nostalgia itulah yang mengajar erti kehidupan, ukhuwah, cinta dan kasih sayang.
Saat ini saya masih lagi bertanya, AKAN TERUBATKAH RINDU INI?