Sahabat Sejati

Saturday 16 June 2018

Pagi pertama Aidilfitri 1439H


Gema takbir di subuh hari 
Menjelang sudah aidil fitri..

Ayah ibu lamalah pergi 
Pergi menyahut seruan Ilahi..

Pusara ayah dan juga ibu 
Di pagi bahgia hamba kunjungi.. 
(S.Jibeng ~ Musafir di Aidilfitri) 

"Ya Allah, ampunkan dosa dan kesilapan kami zahir dan batin. Ampunkan juga kedua ibu bapa kami. Rahmatilah dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil dahulu. Ya Allah, Engkalulah Tuhan yang melimpah-ruah kasih sayang dan belas ehsan."

Friday 15 June 2018

Eid Mubarak 1439H


Assalamualaikum warahmatullah.

Pertama dan selamanya, segala ucapan tahmid dan takbir dipanjatkan kepada Tuan empunya dunia dan akhirat, Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk menjalani ibadah puasa di bulan barokah Ramadhan sehingga ke penghujungnya. Sesungguhnya ibadah puasa adalah satu perjalanan spiritual, mentarbiah rohani dan menguji fizikal.

Kini Ramadhan telah pun melabuhkan tirainya. Berlalu meninggalkan kita semua tanpa menoleh ke belakang dan akan kembali lagi pada tahun seterusnya dengan izin-Nya. Namun yang pastinya apakah kita masih diberi peluang untuk mendakap Ramadhan yang akan datang? Allah jua yang mengetahui.

Apabila Ramadhan telah berakhir, lalu Syawal pula memunculkan diri yang disyariatkan untuk kita menyambutnya. Justeru, sambutlah Syawal ini dengan penuh kegembiraan dan keinsafan persis meraikan satu  kemenangan setelah bermujahadah  dan mengekang nafsu keinginan pada bulan Ramadhan.
    
Namun, dalam kegembiraan kita menyambut aidilfitri janganlah kita berlebihan sehingga melewati batas syariat. Sebagaimana kita berpuasa mengikut syariat kerana ia adalah ibadah, maka sambutlah aidilfitri dengan mengikut syariat, kerana ia juga adalah ibadat.

Akhir kalam, Eid Mubarak Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair... 

Saudara kalian,
Abu Ikhwan dan keluarga
Kuantan, Pahang.

Thursday 14 June 2018

Tarawih terakhir Ramadhan tahun ini

Masjid Tengku Mahkota Abdullah al-Haj (sumber foto)

Solat tarawih yang terakhir bagi Ramadhan tahun ini.

Saya bertarawih di Masjid Tengku Abdullah al-Haj yang letaknya berhampiran dengan taman perumahan saya. Ia adalah sebuah masjid baru, seingat saya baru diimarahkan dalam dua tahun selepas siap pembinaannya.  Alhamdulillah, malam ini bilangan jemaah yang bersolat tarawih masih konsisten. Jika berkurang pun tidaklah terlalu ketara.

Sebelum terbinanya masjid ini, kami semua berjemaah di Masjid Qaryah Balok selain daripada surau di taman perumahan masing-masing. Masjid ini dibina dalam tahun 60-an. Kiranya sudah lama masjid ini dan telah menerima beberapa kali sentuhan pengubahsuaian.

Oleh kerana pertambahan ahli jemaah pada setiap masa ekoran banyak taman perumahan baru dibuka, maka pihak pemerintah telah meluluskan pembinaan sebuah masjid baru yang diberi nama Masjid Tengku Abdullah al-Haj.

Malam ini solat tarawih dipimpin oleh Syeikh Mustafa Zaidan rahimahullah. Saya 'tenggelam' menghayati kefasihan dan kemerduan bait-bait kalamullah yang dilantunkan. Bagaikan terlupa lamanya berdiri kerana asyik melayani bacaan maqam Nahawand yang bernuansa kesedihan yang menembusi gegendang telinga. Bagai menzahirkan kesedihan di atas perpisahan dengan Ramadhan yang bakal berakhir.   

Syeikh Mustafa Zaidan berasal dari Syria. Beliau di antara individu yang menjadi pemegang sanad al-Quran di Syria. Seringkali menyampaikan kuliah ilmu di sekitar Kuantan selain menjadi imam tarawih jemputan pada bulan Ramadhan.

Alhamdulillah seronok bertarawih berimamkan orang 'alim. Lain macam serasa aura dan perasaan hati, Namun demikian terbit kesayuan dan kesedihan kerana akan berpisah dengan Ramadhan tahun ini. Tahun hadapan belum tentu ada kesempatan kerana taqdir kehidupan adalah milik mutlaq-Nya. Moga Allah mengizinkan lagi, ameenn...

   Syeikh Mustafa Zaidan rahimahullah

Wednesday 13 June 2018

Alhamdulillah, sehingga saat ini..

Alhamdulillah, malam yang indah. Taburan bintang di dada langit mengiringi langkah kaki yang diatur untuk pulang ke rumah seusai solat tarawih. Sesekali angin dingin bertiup perlahan membangkitkan detik rasa. Hari ini telah 27 hari umat Islam menjalani ibadah puasa yang difardhukan. Maknanya dalam beberapa hari lagi kita semua akan meninggalkan gerbang Ramadhan yang diberkati ini. 

Hati dan perasaan saya berbunga, Tuhan dengan kemurahan-Nya masih lagi mengurniakan Ramadhan hingga ke saat ini untuk saya nikmati. Bagaimana dengan puasa yang telah dijalani setakat ini. Alhamdulillah, setakat ini cukup. Namun, baik sempurna atau cacat celanya saya serahkan kepada Allah SWT untuk memberi penilaian. Hakikatnya puasa saya hanyalah puasa orang awam. Puasa yang bernilai lapar dan dahaga sahaja (mungkin). Moga puasa ini diterima dengan rahmat dan belas ehsan-Nya, insya-Allah.

Kedatangan Ramadhan mempunyai hikmah yang besar dan tersendiri. Malahan suasana tarbiah Ramadhan memberi ketenangan kepada manusia untuk beribadah. Lihatlah, tangan-tangan yang pemurah di bulan ini. Kaki-kaki yang ringan melangkah menuju ke masjid dan musolla. Manakala lidah-lidah yang tanpa jemu mengalunkan zikir dan kalamullah. Semuanya adalah kerana tarbiah Ramadhan yang diberkati.

Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mendirikan solat dan berpuasa di bulan Ramadhan, maka adalah satu kebenaran atas Allah memasukkannya ke syurga." (Riwayat Bukhari)

Moga ibadah puasa yang disempurnakan di bulan Ramadhan ini menambah rasa syukur atas segala nikmat kurniaan-Nya. Syukur yang bukan sekadar dilafazkan di bibir tetapi dibuktikan dengan amalan-amalan yang makin mendekatkan diri kepada-Nya. Seterusnya meraih taqwa yang dijanjikan, insya-Allah.    

Friday 8 June 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 109

Salam Jumaat.


"Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disirami air mata dan juga darah" (Buya Hamka)

Bulan menggandakan ibadah semakin dipenghujung

Kita telah pun berada di gerbang terakhir Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu meninggalkan hari-hari yang dilewati. Bagaikan masih terasa baru lagi hari pertama, kedua dan ketiga menjalani ibadah puasa, dan kini kita semua telah pun berada di ambang akhir-akhirnya. Kemudian kita akan mengucapkan selamat tinggal Ramadhan.

Berjayalah sesiapa yang dicuit hatinya untuk mengisi kehidupannya di dalam bulan ini dengan menambah amal kebaikan. Sebaliknya kerugian yang besar bagi sesiapa yang menyia-nyiakan kesempatan ini, tanpa berusaha memenuhkan kantung amalan dengan sebanyaknya.

Ramadhan bukanlah bulan ibadah, bukanlah bulan solat, bukanlah bulan membaca al-quran,  bukanlah bulan memakmurkan masjid atau surau dan sebagainya. Sebaliknya, beribadah samada solat, membaca al-Quran dan memakmurkan masjid masanya adalah sepanjang tahun. Tidak benar jika kita katakan Ramadhan adalah bulan ibadat. 

Tepatnya Ramadhan adalah bulan untuk mengganda-ganda atau menambah-nambah ibadah. Jika di bulan lain kita solat fardhu, maka di bulan Ramadhan kita tambahi dengan solat sunat dengan sebanyaknya. Jika di bulan lain kita membaca al-Quran sekadar satu mukasurat, maka di bulan Ramadhan kita gandakan. Begitulah dengan ibadah-ibadah lain.

Allah memuliakan Ramadhan untuk kita. Sambutlah kedatangannya. Syukurilah kesempatan memasukinya. Moga beroleh taqwa yang didambakan.

Wednesday 6 June 2018

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (32)

sumber foto: FB

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (37)


foto hiasan ~ sumber

Maksud Dakwah Yang Tersirat

Ayat-ayat tersebut (Al-Muddaththir: 1-7) juga mengandungi perintah dakwah dan tabligh. Memberi peringatan sangat perlu kerana terdapat tindakan yang memberi kesan kepada pelakunya. Semua manusia tahu bahawa dunia tidak mungkin membalas semua perbuatan manusia. Maka, peringatan perlu diberikan mengenai terdapat hari khusus untuk membalas semua amal perbuatan manusia dan adanya kehidupan lain di luar kehidupan yang sedang kita jalani di dunia ini iaitu hari akhirat.

Keseluruhan ayat menuntut semua manusia untuk mentauhidkan Allah secara tegas, menyerahkan sepenuhnya segala urusan hanya kepada-Nya, meninggalkan keinginan untuk menyenangkan diri sendiri mahupun orang lain, lalu memurnikan amal semata-mata untuk meraih redha Allah SWT.

Ringkasnya, matlamat dakwah yang terkandung dalam keseluruhan ayat adalah:

1. Tauhid.

2. Iman kepada hari akhirat.

3. Penyucian jiwa, iaitu dengan menjauhi segala kemungkaran dan perbuatan keji yang boleh menjerumuskan manusia ke dalam keburukan, kemudian berusaha bersungguh-sungguh untuk menggapai keluhuran diri dan mengerjakan amal kebaikan.

4. Menyerahkan sepenuhnya segala urusan kepada Allah SWT.

5. Semua itu dapat terlaksana setelah mengimani risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad serta mengikuti kepimpinannya yang agung dan menuruti arahan-arahannya.

Permulaan ayatnya mengandungi seruan yang amat agung (dengan suara yang besar dan meninggi) dalam melimpahkan sebuah mandat kepada nabi, iaitu, "Hai orang yang berselimut! Bangunlah dan berilah peringatan." Seakan-akan Allah mengatakan kepada nabi, "Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sendiri selalu menikmati hidup dengan bersantai. Sedangkan kamu, adalah orang yang memikul tanggungjawab yang besar ini. Maka mengapa kamu tidur? Mengapa kamu bersantai? Mengapa kamu menikmati segala kesenangan yang melenakan? Banguklah untuk menyambut urusan agung yang telah menantimu dan tanggungjawab berat yang telah disiapkan untukmu.

Bangkitlah untuk berjuang dan berkorban, bekerja keras dan menempun letih. Berdirilah! Waktu tidur dan istirehat telah habis. Hari-hari di hadapan adalah terus berjaga dengan mata terbuka, juga jihad panjang yang penuh kepenatan. Ayuh, bangunlah, persiapkan dirimu untuk memikul urusan ini."
 
(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Tuesday 5 June 2018

Minggu-minggu akhir

'Nak pergi bazar Ramadhan, ummi tak sempat masak'

Pejam dan celik kita telah pun berada di semester terakhir Ramadhan. Bagaikan tidak terasa, cepat benar masa berlalu. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat-Nya, begitu juga mudah-mudahan kita terpilih termasuk dalam golongan yang mendapat keampunan-Nya. 

Tinggal lagi satu ‘ijazah’ yang perlu kita rebut iaitu pembebasan daripada api neraka, setelah kita melewati ijazah rahmat dan pengampunan dosa. Kemudian yang menjadi kemuncaknya, apabila kita keluar dari madrasah Ramadhan ini dengan pangkat taqwa.  Sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT natijah kepada puasa yang dilakukan adalah menjadi hamba yang bertaqwa.

Namun apa yang ketara ialah berkurangnya ahli jemaah sepuluh akhir Ramadhan ini, tidak seperti awalnya dahulu. Jika di awal Ramadhan pengerusi masjid dan ahli jawatankuasa mungkin berkira-kira untuk membesarkan masjid atau surau pada tahun hadapan, tetapi bila tiba akhir Ramadhan... 

“Tak jadi nak besarkan masjid kalau macam ni,” kata pengerusi masjid kepada timbalannya. 

Demikianlah senario biasa bulan Ramadhan, yang sepatutnya 10 malam terakhir itu menjadi kemuncak pesta ibadat. 

Ketika Rasulullah saw menaiki tangga-tangga mimbar untuk berkhutbah, tiba-tiba baginda mengucapkan “Amin” sehingga menyebabkan para sahabat kehairanan. Lalu diterangkankan mengapa baginda menyebut begitu. Rasulullah saw bersabda: 

“Jibril mendatangiku seraya berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat keampunan, kemudian mati, maka ia masuk neraka serta dijauhkan Allah (dari rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi, “ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin”. Tidakkah ucapan Rasulullah saw menggerunkan kita. Apakah kita berhasil menjana diri di dalam bulan Ramadhan ini untuk mendapat keampunan Allah SWT dan seterusnya mendapat pangkat Taqwa, seperti yang disebut di dalam al-Quran “Mudah-mudahan kamu bertaqwa”. Apakah ketaatan atau kepatuhan kita kepada Allah SWT berkekalan iaitu dengan mengekalkan ibadah-ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan?. 

Jika di dalam bulan Ramadhan kita mampu datang setiap hari ke masjid untuk solat Tarawih yang sunat, apakah mampu untuk datang solat fardhu lima waktu selepas Ramadhan. Jika bulan Ramadhan kita mampu untuk membaca al-Quran setiap hari, mungkinkah mampu kita teruskan selepas Ramadhan, begitu juga dengan zikir dan suara-suara memuji Allah SWT. 

Mampukah kita menundukkan pandangan serta mengekang mulut dari berkata sesuatu yang buruk selepas Ramadhan? Hanya kita sendiri yang dapat menjawab dan menilainya, tepuk dada tanya iman. Mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita semua, insya-Allah. 

“Dan beribadahlah kamu kepada Tuhanmu sehingga datang kepada kamu sesuatu yang pasti (al-Yaqeen, iaitu maut)”. (al-Hijr: 99). 

Melepaskan Ramadhan pergi 

Seorang ahli syair Arab bermadah ketika melepaskan Ramadhan: “Mudah-mudahan Allah mencurahkan kesejahteraan di setiap waktu atas sebaik-sebaik bulan dan masa yang telah berlalu. Kesejahteraan atas puasa kerana puasa itu satu keamanan dari ar-Rahman Yang Maha Tinggi. Walaupun hari-hari engkau wahai bulan puasa dibawa cepat oleh arus masa, namun rinduku tetap bergelora di hatiku kepadamu.” 

Diriwayatkan dari Saiyidina Ali krm bahawa beliau berseru pada malam penghabisan Ramadhan: “Dapatkah kiranya aku mengetahui, siapakah gerangan yang telah pasti diterima puasanya supaya aku dapat mengucapkan tahniah dan berbahagia? Siapakah gerangan yang bernasib malang supaya aku dapat menyenangkan hatinya? 

Diriwayatkan dari Ibnu Mas`ud bahawa beliau berseru pada akhir Ramadhan: “Wahai saudara-saudara yang diterima Allah puasanya, bersenang gembiralah engkau dan selamat berbahagialah engkau. Tetapi wahai orang yang ditolak amal puasanya, mudah-mudahan Allah akan menutup bencana yang telah menimpa engkau.” 

Bersama kita mengambil peringatan..

Friday 1 June 2018

Anakanda Ikhwan selamat sampai di bumi tercinta

Teman-teman menghantar along Ikhwan pulang ke Malaysia. Mereka bertiga pula pulang pada minggu hadapan

Alhamdulillah.

Anakanda Ikhwan telah pun selamat menjejakkan kakinya di bumi Malaysia tercinta. Walaupun pada asalnya perancangan untuk tidak pulang bercuti pada tahun ini. Di dalam grup whatsapp keluarga kami, dia menyatakan untuk balik pada cuti tahun depan. Kami sekeluarga akur dengan keputusannya, walaupun sebenarnya hasrat kami mahukan dia pulang agar dapat menyambut lebaran bersama.

Tidak disangka dan tidak terdetik di fikiran, pada hari Jumaat lepas, kira-kira jam 10 malam anakanda Ikhwan terpacul memberi salam di hadapan pintu. Terperanjat dan terpaku seketika ummu Ikhwan tatkala melihat anak sulung di depan mata. Bergenang juga air mata ummu Ikhwan sambil memeluk anak sulung yang telah setahun di perantauan.  Rindu, serindu-rindunya..

Saya pula kebetulan masih berada di masjid menunaikan solat tarawih. Sesampai di rumah, along Ikhwan terjongol di depan saya, niatnya mahu membuat 'surprise'. Mujurlah saya sempat 'mengontrolkan' diri, berlagak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tersenyum saya mendengar rungutan along Ikhwan kepada umminya, "abi langsung tak terkejut.." Hehehe, tengok oranglah!

Cerita along Ikhwan, pada asalnya memang dia tidak mahu pulang bercuti ke Malaysia pada tahun ini, sebaliknya mahu pulang pada cuti tahun hadapan. Tetapi setelah mendapat makluman bahawa cuti pada tahun hadapan jatuh sama seperti tahun ini, iaitu bermula pada akhir bulan Mei hingga Ogos. Akhirnya dia mengubah fikiran setelah mencongak-congak, cuti tersebut jatuh selepas sambutan aidilfitri. Setelah difikir-fikir, elok balik tahun ini, dapat juga beraya bersama keluarga.

Kami menurut sahaja keinginannya samada mahu balik tahun ini atau tahun hadapan, yang penting dia selesa dengan keputusan yang dibuat. Cuma setelah keputusannya untuk balik bercuti pada tahun ini, tidak pula dimaklumkan kepada saya maupun ummu Ikhwan. Hendak buat kejutan kepada semua katanya. Hmm, bertuah punya anak!

Apa pun, saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas taqdir-Nya ini. Along Ikhwan pun telah selamat sampai ke depan pintu rumah. Walaupun bersendirian menempuh perjalanan panjang, (rakan-rakan yang lain ada yang pulang lebih awal, dan ada yang pulang lewat sedikit. Tetapi masing-masing berteman samada berdua, bertiga atau lebih) Cuma along Ikhwan balik berseorangan, tapi tak mengapalah, anak jantan!

Menurutnya lagi, perjalanan bermula pada hari Khamis dari Kaherah langsung transit di Abu Dhabi, kemudian meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur. Sampai di KLIA menggunakan pula perkhidmatan LRT untuk sampai ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Seterusnya dari situ menaiki bas ekspres menuju ke Kuantan. Manakala dari Kuantan 'carter' pula perkhidmatan Grab untuk sampai di depan pintu rumah pada hari Jumaat kesesokannya. Alhamdulillah, telah pun selamat sampai.