Sahabat Sejati

Showing posts with label iklan. Show all posts
Showing posts with label iklan. Show all posts

Monday, 24 November 2025

InsyaAllah, tahun ketiga jadi "Geng Sedut Darah'

Medal gangsa 'ADIWIRA PAHANG' daripada HTAA untuk penderma darah kali ke 48. Sahabat saya punya, bukan saya

“HTAA dah bagi tarikh kosong untuk derma darah Ramadan nanti..”
ujar seorang sahabat saya, pagi tadi. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak Unit Tabung Darah HTAA menghantar senarai tarikh kosong kepada kami untuk ditawarkan kepada masjid-masjid yang berminat menjadi tuan rumah. Bagi Ramadan tahun 2026 nanti, ada 10 tarikh semuanya, cukup untuk kami susun satu perjalanan kecil sepanjang Ramadan nanti. 

2025 - Di MTBZ

Ramadan yang bakal tiba ini menandakan masuk tahun ketiga kami di Yayasan Amal Malaysia berkolaborasi dengan HTAA dan masjid-masjid sekitar Kuantan dalam kempen derma darah Ramadan. Dan ya.. ini juga tahun ketiga saya officially menyertai Geng “Sedut Darah”, nama manja kami bagi memudahkan cerita. 

Selalunya, bukan sahaja masjid di sekitar Kuantan yang berminat. Ada juga satu dua masjid dari daerah lain yang akan menghantar permohonan untuk turut serta menjadi tuan rumah. Bila semangat rakyat Malaysia untuk beramal bertemu dengan Ramadan, memang cepat saja jadual penuh. 

2025 - Di MTAA

Kempen Derma Darah Ramadan ini salah satu ikhtiar kecil kami membantu pihak Unit Tabung Darah HTAA menampung bekalan darah yang sering kritikal, terutama bila tiba musim perayaan. Ramai yang bercuti, banyak kes kecemasan, dan keperluan darah meningkat. 

Jadi, apa yang kami buat ini mungkin nampak sederhana.. tapi besar maknanya untuk mereka yang memerlukan. 

2025 - Di MSAS

Setiap Ramadan, selain ibadah dan amal peribadi, kami harap usaha kecil ini menjadi sebab lebih ramai orang dapat diselamatkan. Semoga tahun ketiga ini lebih lancar, lebih meriah, dan lebih banyak pahala yang mengalir untuk semua yang terlibat.

** Kempen derma darah ini diadakan pada sebelah malam. Tahun lalu 8 buah masjid di daerah Kuantan dan 1 di Temerloh.  

Saturday, 19 December 2020

Peristiwa Tiupan Sangkakala

Tiupan sangkakala ini telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:

 وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ 

Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah - gerun gementar - makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh. Surah al-Naml (87) 

Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul, ingatkanlah kepada mereka keadaan yang amat mengerikan ketika sangkakala ditiup. Saat itu, semua makhluk yang ada di langit dan di bumi berada dalam ketakutan melihat hari kebangkitan dan hari dikumpulkan seluruh makhluk kecuali orang yang mempunyai hati yang teguh terhadap Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/5085) 

 Perkataan الصُّور yang disebutkan di dalam ayat ini telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda saw yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:

 جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ "‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏"‏ 

Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi saw, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.” Riwayat al-Tirmizi (2430) 

Sebahagian ulama’ menafsirkan tanduk dengan terompet. Para ulama’ berpendapat, alat tiupan tersebut ditaklifkan kepada malaikat Israfil untuk meniupkannya tanpa diketahui kadar besarnya alatan tersebut. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 78) 

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368) 

Malaikat Israfil sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT sejak detik penciptaan lagi. Hal ini telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hulaimi secara ijma’. Begitu juga berdasarkan hadith Wahab bin Munabbih yang menyebut secara nyata. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 79) 

Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’, iaitu: 

Pertama, tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali. 

Kedua, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya:

 وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ 

Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). Surah al-Zumar (68) 

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat di atas berkata: Ibn Abbas r.anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama ialah ketikamana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27) 

Kemudian, perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

 مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ ‏"‏‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً‏.‏ فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ 

Maksudnya: “Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah SWT menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.” Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955) 

Imam al-Nawawi mengatakan sebab Abu Hurairah ra mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. (Lihat al-Minhaj, 18/91) 

Baginda Nabi saw turut mengkhabarkan bahawa Baginda adalah orang pertama yang akan dibangkitkan pada tiupan yang kedua, seperti yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda:

 إِنِّي أَوَّلُ مَنْ يَرْفَعُ رَأْسَهُ بَعْدَ النَّفْخَةِ الآخِرَةِ 

Maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang terawal yang mendongak kepalaku setelah tiupan yang terakhir” Riwayat al-Bukhari (337) 

Al-Qastalani menyebut: Hadis di mana Rasulullah saw mendapati Nabi Musa sedang bergantung di Arasy maka sabda Nabi, aku tidak ketahui adakah keadaan itu berlaku sebelum dia mati ketika tiupan pertama atau dia masih hidup selepas tiupan kedua sebelumku. Inilah yang dinyatakan oleh al-Karmani. Al-Dawudi berkata sebagaimana dihikayatkan daripada al-Safaqisi ucapannya, adakah demikian itu hingga akhir adalah waham. Ini kerana Nabi Musa telah dikuburkan dan akan dibangkitkan selepas tiupan. Maka bagaimana mungkin berlaku sebelumnya. Lantas dijawab bahawa hadis Abi Hurairah yang terdahulu berkenaan beberapa orang, maka manusia semua mati pada hari Kiamat dan aku juga mati bersama mereka kecuali akulah orang yang pertama bangkit. Maka didapati Musa memegang di tepi Arasy. Aku tidak ketahui sama ada dia juga mati dan bangkit sebelumku atau termasuk di kalangan yang dikecualikan oleh Allah. Perkataan sa'iq dimaksudkan dengan pengsan tatkala mendengar suara atau melihat sesuatu yang menggerunkan. Dan inilah yang berlaku dengan jelas berdasarkan riwayat ini berkaitan jaga atau sedar selepas tiupan kedua. (Lihat Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/30) 

Sebahagian ulama’ berpendapat, tiupan sangkakala sebanyak tiga kali. Antaranya Ibn al-‘Arabi dan Ibn Kathir. Mereka menghujahkan nas:

 وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ 

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah - gerun gementar - makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah.” Surah al-Naml (87) 

Ayat ini menunjukkan tiga tiupan: 

- Tiupan al-faza’ 
- Tiupan al-sa’iq 
- Tiupan al-ba’s 

Akan tetapi, hadis-hadis menunjukkan secara nyata bahawa ia dikira dengan dua tiupan sahaja iaitu tiupan al-Sa’iq (tiupan mematikan) dan keduanya tiupan al-Ba’s (tiupan membangkitkan manusia) daripada kubur. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 80) 

Siapakah yang Dikecualikan oleh Allah Daripada Menerima Kematian Ketika Tiupan Sangkakala? 

Para ulama’ telah khilaf, siapakah yang dikecualikan oleh Allah kepada beberapa pendapat: 

Imam Ahmad berpendapat, mereka yang di dalam syurga dari kalangan bidadari dan al-wildan. Sebahagian muridnya menambah, penjaga syurga iaitu Ridhwan dan penjaga neraka, iaitu Malik. 

Muqatil dan sebahagian ulama’ berpendapat, mereka adalah Jibril, Mika’il, Israfil dan Malakul Maut. Sebahagian mereka menambah, malaikat yang menanggung Arasy. 

Abu al-Abbas al-Qurtubi memberi pendapat yang berlainan dengan katanya: Dikehendaki (dengan yang dikecualikan ialah) semua orang yang telah mati kerana mereka tiada kesan dan rasa. Justeru, mereka tidaklah ada lagi kematian ketika itu. 

Tarjih: Imam al-Qurtubi berpendapat dengan menukilkan pandangan gurunya Abu al-Abbas, bahawa yang sahih adalah tiada sebarang nas yang sahih yang menentukan mereka yang terselamat daripada tiupan sangkakala dengan kebinasaan. Semua nas menunjukkan sifat muhtamal (andaian). (Lihat al-Tazkirah oleh Imam al-Qurtubi, hlm. 167)

Saturday, 19 May 2018

Himpunan Soal-Jawab Puasa


Setiap amalan anak Adam itu ada ganjaran pahala yang ada hadnya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan memberikan balasannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Puasa adalah sebahagian daripada ibadah. Puasa ada berbagai-bagai jenis. Ada puasa wajib seperti puasa di bulan Ramadan, puasa qada, puasa kafarah, puasa nazar dan ada juga puasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa hari putih iaitu 13, 14 dan 15 haribulan qamari dan banyak lagi. Puasa sebenarnya cukup sinonim bagi umat Islam dan antara ibadah yang paling disukai Allah. 

Walau bagaimanapun, sebelum berpuasa, penting bagi umat Islam mengetahui syarat-syarat mencapai matlamatnya, bermula dari sah dan batal hingga kepada perkara yang remeh seperti perkara-perkara sunat yang dibuat tetapi mencapai ganjaran yang cukup besar. 

Buku Himpunan Soal Jawab Puasa adalah himpunan soal jawab daripada kebanyakan soal jawab yang sering menjadi persoalan di kalangan umat Islam. Setiap soalan diambil dan ditapis baik daripada pandangan ulama tradisional mahupun persoalan-persoalan yang terkini dan kontemporari. 

Tajuk: Himpunan Soal-Jawab Puasa
Penyusun: Ahmad Adnan Fadzil & Zulkarnain Dollah
Penerbit: PTS Media Group
Mukasurat: 112
Harga RM4.50

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Sunday, 15 April 2018

Di Dalam Lembah Kehidupan


"Sesungguhnya kumpulan gubahan yang saya (Hamka) beri nama " Di dalam lembah Kehidupan" ini adalah kumpulan airmata, kesedihan dari rintihan yang diderita oleh segolongan manusia di atas dunia ini. 

Airmata mereka itu sudah mengalir ke tanah dan hilang lenyap dalam pasir. Seorang pun tidak peduli akan hal itu. Bagaimana orang akan peduli, padahal orang sedang dibayangi kesenangan dan kemewahan? 

Moga-moga hikayat-hikayat pendek ini terbaca juga oleh orang yang senang hidupnya. Moga-moga mereka insaf, bahawa disebalik tabirnya adalah orang yang susah dan sulit keadaannya; bahawa tidak sedikit makhluk yang kecewa dan melarat, yang sudah patah sayapnya sebelum terbang, terkulai dan jatuh, sehingga tidak dapat berbangkit lagi. 

Bagi orang yang melarat itu pun mudah-mudahan cerita ini berfaedah pula. Agak kurang duka hatinya apabila diketahuinya, bahawasanya ada juga orang lain yang senasib dengan dia. 

Dan bagi mereka yang bersedih hati itu karangan ini ku jadikan persembahan dan peringatan, bahawa saya pun turut meratap dalam ratapnya." (Petikan kata pengantar oleh Hamka)

********* 

Sebuah kumpulan kisah kisah pendek buah karya Hamka yang disatukan menjadi sebuah buku dan diberi judul didalam lembah kehidupan. Ada 12 kisah dalam buku ini dan semuanya merupakan kisah yang sangat menarik. 

Semua kisah yang dihadirkan dalam buku ini memang menceritakan penderitaan, kesedihan, kemalangan dan ketidak beruntungan yang setiap manusia berharap hal itu tidak akan pernah terjadi pada dirinya. 

Buku ini perlu dibaca, banyak pelajaran yang bisa kita ambil. Selain sebagai pengingat agar kita yang saat ini masih diberi karunia berupa harta dan semacamnya untuk selalu bersyukur dan juga untuk memberi tahu bahwa di luar sana banyak saudara-saudara kita yang tidak beruntung dan kita punya kewajiban untuk membantunya.

Judul: Di Dalam Lembah Kehidupan
Penulis: Prof. Dr. Hamka
Penerbit: Pustaka Dini
Cetakan: 2010
Harga: RM19.50
Muka surat: 258

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Saturday, 27 January 2018

Prinsip-Prinsip Islam Dalam Berinteraksi Dengan Non-Muslim


Sesungguhnya tugas berdakwah bukan sahaja dipikul ke atas pundak golongan ulama` semata-mata, tetapi juga diamanahkan ke atas setiap individu muslim. Samada mereka terdiri daripada golongan karyawan, sasterawan, hartawan, wartawan dan apa pun pengkhususan mereka, kerana berdakwah adalah menyeru manusia kepada Islam.

Umum mengetahui, Islam bukanlah hak milik total bangsa Arab di timur tengah, atau khusus untuk umat melayu di Malaysia, akan tetapi Islam adalah hak semua bangsa manusia di dunia ini kerana ia adalah ciptaan Allah SWT. Maka seruan untuk mengajak manusia seluruhnya kepada Islam adalah tanggungjawab semua pihak untuk mempromosi Islam, terutama golongan non, muslim yang juga berhak menerima Islam.

Walau bagaimanapun tugas dakwah kepada golongan non-muslim ini bukanlah semudah seperti yang disangkakan. Ia mempunyai peraturan, kaedah agar seruan yang disampaikan kepada mereka tidak menyinggung perasaan apatah lagi membuatkan mereka semakin benci kepada Islam.

Justeru, kehadiran buku 'Prinsip-Prinsip Islam Dalam Berinteraksi Dengan Non-Muslim' menepati waktu pada ketika ramai pendakwah yang semakin bercambah dewasa ini kemungkinan kurang pengetahuan, pengalaman ataupun pendekatan yang menyebabkan golongan berkenaan tidak dapat menerima Islam dengan baik.

Maklumat, pendekatan serta Sembilan prinsip yang terdapat dalam buku ini amat membantu pendakwah dalam meniti kejayaan dalam dakwah mereka kepada non-muslim, kerana prinsip-prinsip yang dikemukakan adalah yang terbaik yang pernah diteladankan oleh baginda Rasulullah saw sesuai dengan konsep `Rahmatan lil Alamin'.

Tajuk: Prinsip-Prinsip Islam Dalam Berinteraksi Dengan Non-Muslim
Penulis: Nasir Muhammadiy Muhammad Jad
Penterjemah: Azhar Yahya dan Nizamuddin Isemail
Penerbit: Lajnah Penerbitan Dewan Ulama` PAS Pusat
Harga: RM10.00
Muka surat: 116

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Thursday, 4 January 2018

100 Tokoh Wanita di sisi Rasulullah saw


Sesungguhnya setiap apa yang berlaku dalam sejarah hidup Nabi Muhammad saw adalah contoh teladan yang mesti diteladani oleh segenap muslim jika mahu mengharungi hidup dengan lebih baik, itulah yang ditegaskan Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik."

Ini menunjukkan bahawa setiap ruang dalam sirah Nabi itu adalah petunjuk kepada kebenaran, begitulah juga saat baginda bermuamalah dengan para muslimat di zamannya yang dikenali dengan 'Sohabiyyat' / sahabat-sahabat perempuan yang ramai ketika itu, yang menampilkan keperibadian unggul dalam segenap aktiviti harian hidup mereka yang mencecah angka ratusan individu.

Dalam buku "100 Tokoh Wanita di sisi Rasulullah saw" ini adalah antara golongan Sohabiyyat yang merupakan tulang belakang kepada kekuatan Islam pimpinan Rasululah saw, yang banyak memberi input kejayaan dan kemenangan Islam di balik tabir peperangan yang disertai oleh baginda Rasulullah saw.

Jarang sekali kisah atau penceritaan mengenai mereka dibukukan secara terperinci menampilkan nama-nama besar Sohabiyyat samada dalam kalangan Ummahatul Mukminin (isteri-isteri baginda) berdasarkan huruf abjad bagi memudahkan pembaca melakukan pencarian atau individu yang dikira sebagai tokoh penting dalam perjuangan Islam.

Antara nama besar dalam kalangan 100 tokoh wanita ini yang ditampilkan oleh penulis dalam bukunya ini ialah isteri-isteri baginda seperti Saidatina Khadijah binti Khuwailid, Hafsah binti Umar al-Khattab, Zainab binti Jahsy, Juwairiyyyan binti al-Haris dan lain-lain yang boleh disifatkan 'role model' bagi muslimat hari ini yang mendambakan rahmat Allah SWT.

Mudah-mudahan dengan terbitnya buku genre sejarah tamadun manusia ini, menjadi rujukan penting terutama dalam kalangan muslimat hari ini yang sebenarnya sudah ketandusan teladan hingga menjadi wanita-wanita kafirat sebagai 'role model' dalam segenap aktiviti yang sebenarnya terdedah kepada kemurkaan Allah SWT.

Tajuk buku: 100 Tokoh Wanita di sisi Rasulullah saw
Penulis: Hepi Andi Bastoni
Penerbit: Kemilau Publika Sdn Bhd
Harga: SM 33.00 / SS 36.00
Muka surat: 554
Format: Kulit Nipis
Kategori (utama): Rujukan Agama
Kategori (sub): Wanita / Kekeluargaan / Munakahat

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Tuesday, 19 April 2016

Kembara Ilmu KUANTAN 2016

Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada sahabat-sahabat yang berkelapangan, khususnya warga Kuantan dijemput menghadiri program Kembara Ilmu Kuantan 2016. Program yang akan berlangsung selama 4 hari di beberapa lokasi terpilih menampilkan suami isteri, Prof Muhd Kamil Ibrahim dan Puan Raudzah Roslan. Kedua-dua pasangan penulis buku ini telah bermastautin di Madinah kerana bertugas di sana, dan dalam rangka bercuti di Malaysia. 

Oleh itu, kepada sahabat sekelian, jangan lepaskan peluang untuk menimba ilmu daripada mereka. Rugi jika tak datang! 



*20 April 2016 (Rabu)
# Kuliah Maghrib - Surau al-Mukmin Taman Impianku Kampung Padang, Kuantan



*21 April 2016 (Khamis)
# Kuliah Subuh - Masjid Kampung Padang, Kuantan

# 8.30 Pagi - Sek Men Keb (P) Methodist, Kuantan (Puan Roza)

# 3.00 Ptg - Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang

# Kuliah Maghrib - Masjid Fatimah az-Zahra Indera Sempurna, Kuantan


*22 April 2016 (Jumaat)
# Kuliah Subuh - Surau al-Ikhwan Bukit Setongkol, Kuantan

# 8.00 Pagi - Sek Men Keb Hajah Kalsom, Kuantan

# 12.15 Tghari - Masjid Tepian Putra, Kuantan

# 3.00 Ptg - Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (Puan Roza)


# Kulliah Maghrib - Masjid Sementara Bukit Sekilau, Kuantan

*23 April 2016 (Sabtu)
# Kuliah Subuh - Masjid Bukit Setongkol, Kuantan

# 9.00 Pagi - Majlis Pelancaran Buku (Disempurnakan oleh Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Maimunah Iskandariah)

Monday, 14 March 2016

Jelajah ilmu Syeikh Nuruddin al-Banjari di sekitar Kuantan


Assalammualaikum warahmatullah.

Perhatian kepada semua khususnya warga Kuantan yang berkelapangan, dijemput untuk bersama-sama mendengar bicara ilmu bersama pendakwah yang tersohor, Fadhilat as-Syeikh Nuruddin al-Banjari. Beliau akan berada di bumi Kuantan selama tiga hari dalam program jelajah ilmu di beberapa masjid terpilih. Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dirahmati oleh-Nya.   

15 MAC 2016 / SELASA
: Kuliah ZOHOR - Masjid Tepian Putra
: Kuliah MAGHRIB - Surau ar-Rayyan Indera Mahkota 15

16 MAC 2016 / RABU
: Kuliah MAGHRIB - Masjid Sultan Ahmad Shah, Sg Isap

17 MAC 2016 / KHAMIS
: Kuliah DHUHA - Universiti Malaysia Pahang, Gambang
 
#Semarakkan budaya menuntut ilmu!

Wednesday, 16 December 2015

SOLAT HAJAT: Memohon Kesejahteraan Rakyat Daripada Risiko & Musibah Akibat Kerakusan Pengusaha Bauksit


Isu bauksit: Pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak untuk memohon pihak kerajaan supaya menghentikan aktiviti perlombongan bauksit sekitar Kuantan semenjak 2 tahun lalu. Namun malangnya sehingga hari ini tidak ada sebarang perubahan dilihat malahan keadaan semakin tidak terkawal. 

Oleh itu, Pas Pahang bersama dengan GERAM dan KRT Taman Impianku, mengambil inisiatif melalui program kerohanian dengan memohon kepada Allah SWT supaya melindungi rakyat dan kawasan sekitar Kuantan daripada sebarang musibah. Di samping itu kita juga memohon agar Allah SWT membuka hati pihak berkuasa supaya memberhentikan segala kegiatan yang merosakkan alam sekitar dan menyusahkan rakyat. Kita juga amat bimbang dengan keadaan cuaca hari ini yg memungkinkan satu musibah besar akan berlaku. 

Justeru, kami menyeru semua penduduk sekitar Kuantan untuk hadir beramai-ramai, bersama-sama kita bermunajat dan berdoa ke hadrat Allah SWT. Usaha ini amat penting khususnya kepada orang Islam supaya banyak berdoa dan bergantung harapan hanya kepada Allah SWT. 

Program akan bermula dari jam 7.30 malam dan dijangka tamat jam 9.30 malam, akan diketuai oleh Pesuruhjaya Pas Pahang YB Ustaz Rosli Abdul Jabar. 

 'Keratan akhbar Sinar Harian'

Tuesday, 26 May 2015

Zulmat dan Kehitaman Talmud: Kekarutan dan Songsangnya Kitab Yahudi yang Dirahsiakan


“...Sebahagian teks yang ada dalam Talmud adalah keterlaluan, sebahagiannya lagi menjijikkan, dan sebahagian lagi berisi kekufuran...disebabkan itu banyak raja, penguasa negara dan penguasa agama (Paus) di Eropah mengharamkan kitab ini.” (Joseph Barcley, Ilmuan dan Pengkaji Talmud) 

Bukan saja sebagai kitab suci, ‘kitab lama' ini menjadi landasan agung ideologis kaum Zionis dalam hidup mereka. ‘TALMUD', sebenarnya apa yang tak kena dengan kitab ini? Jelas lagi bersuluh, intipati kitab ini sahih mengariskan panduan sesat dan kabur kepada penganut Yahudi, sehinggakan pelaksanaan ajaran itu menjadikan mereka unggul dalam mendera kaum ‘binatang atau najis' dengan sesungguhnya, tidak ubah seperti binatang buas yang lahap melapah mangsanya! 

Lantaran menganggap mereka sebagai ‘Anak Adam yang terpilih dan disayangi Tuhan', silibus kebenciannya mengizinkan penderitaan yang tidak singkat dalam sejarah manusia, dan masih belum berakhir sehinga kini khususnya di tanah Palestin. Dengan dasar ini, terbinalah tamadun Yahudi baru demi membina sendiri dunia mereka. 

Mudah bicara, dengan mengetahui intisari ‘Talmud' kita akan faham matlamat Zionis, memahami kitab tua ini kita akan jelas tentang cita-cita mendatang mereka. Kitab sesat lagi menghitamkan, dan itulah talmud! 

“Sebaik-baik petunjuk ialah Kitabullah (al-Quran), serta sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Rasulullah, iaitu sunnahnya, dan seburuk-buruk perbuatan dan perkataan ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan ialah bidaah dan setiap kebidaahan itu sesat serta setiap kesesatan itu ialah tempatnya di dalam Naar (Neraka).” (Hadis riwayat Muslim) 

Tajuk : Zulmat dan Kehitaman Talmud: Kekarutan dan Songsangnya Kitab Yahudi yang Dirahsiakan
Penulis : Shahriman Wahap & Aeril Zafrel
Penerbit : Hijjaz Records Publishing
Harga : RM39.90

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!


Tuesday, 31 March 2015

(01 April) Aku Tunggu Mu Datang!

Senyum selebarnya...


##Tiada kena-mengena dengan April fool.

Sunday, 28 December 2014

Perniagaan ajaib yang tiada risiko kerugian, ayuh! (Peringatan buat diri saya)

 Banjir di LPT Temerloh (sumber: whatsApp)

Hujan itu rahmat,tetapi bila berlebihan ia akan mengundang banjir. Cuaca panas itu rahmat, jika berlebihan ia boleh menjadi kemarau. Angin yang bertiup nyaman itu rahmat, jika berlebihan akan bertukar menjadi puting beliung. Hatta, makanan yang disuap ke dalam mulut pun, jika berlebihan akan mengundang penyakit. Apa sahaja jika ia berlebihan akan mengundang musibah. Sama-sama kita merenungi dan menginsafi diri akan semua yang berlaku. 

Bencana banjir yang berlaku di penutup tahun 2014 ini, benar-benar menguji keimanan. Baik yang ditimpa musibah tersebut ataupun sebaliknya. Bagi yang diuji dengan musibah ini, ianya benar-benar mengukur sejauhmana kesabaran dan ketabahan menghadapinya. Tidak mudah untuk melihat harta benda yang dimiliki musnah serta kehilangan ahli keluarga sekelip mata. Tentunya segenap kekuatan diperlukan untuk menerimanya dengan berlapang dada. 

Manakala bagi yang tidak terkesan dengan musibah banjir ini, ia menguji pula kesediaan untuk sama-sama menghulurkan bantuan menurut kesanggupannya. Harta, tenaga, masa dan sebagainya sangat diperlukan ketika ini. Oleh itu, dalam kita bermuhasabah akan segala musibah dan ujian yang berlaku, janganlah pula kita lupa akan fadhilat dan kebesaran ganjaran membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan. Setiap amal yang dilakukan akan menjadi lampu yang menerangi kegelapan kubur yang menyeramkan itu. 

Jom berniaga yang tiada risiko kerugian 

Firman Allah SWT: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi pedihnya.” (as-Saff: 10) 

Lihatlah. Allah menyeru dan bertanya. Allah SWT tidak menyeru kepada semua orang, tetapi Dia menyeru kepada segolongan sahaja iaitu orang-orang yang beriman. Dia bertanya apakah orang-orang yang beriman ingin melihat satu perniagaan yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Mengapa orang-orang yang beriman. Tentunya orang-orang yang beriman sahaja yang percaya akan adanya azab api neraka yang sangat dahsyat itu. Maka sudah semestinya seruan ini akan disahut oleh orang-orang yang beriman. Oleh itu mahukah kita menyahut seruan yang datangnya daripada Penguasa langit dan bumi? 

Lalu kita tertanya-tanya apakah perniagaan tersebut. 

Allah SWT menyambung lagi firman-Nya: 
“(Iaitu) Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (as-Saff: 11)

Nah! Inilah perniagaannya. Allah menyatakan ‘barang dagangan’ dalam perniagaan tersebut ialah beriman kepada Allah, beriman kepada Rasul-Nya dan berjuang dengan harta dan diri.

Imam Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: “Jihad atau berjuang dengan harta dan diri yang dinyatakan dalam ayat 11 surah as-Saff bukanlah terikat kepada jihad peperangan sahaja. bahkan ia mencakupi seluruh perjuangan dalam kehidupan.”

Imam ar-Razi pula menulis di dalam tafsirnya: “Perniagaan adalah pertukaran sesuatu dengan sesuatu yang daripada pertukaran itu mengharapkan keuntungan. Berniaga hendaklah melepaskan si saudagar daripada kerugian dan berniaga memerlukan kesabaran, maka perniagaan yang ditunjukkan oleh Tuhan ini sangat memerlukan kepercayaan dengan seluruh sikap hidup dan ucapan dengan lidah. 

Sebagaimana perniagaan yang mengakibatkan untung atau rugi, demikianlah pula perniagaan dengan Tuhan ini, barangsiapa yang bermodal dengan iman dan amal yang soleh dia pasti mendapat ganjaran dan laba yang berlipatkali ganda. Dan barangsiapa yang tidak mahu percaya dan tidak pula beramal soleh, jelaslah dia akan menyesal dan mendapat kerugian yang besar.”

Sanggupkah kita mengeluarkan harta benda dan meluangkan masa kita semata-mata mahu menggapai redha Allah dan termasuk orang-orang yang ‘berniaga’ dengan Allah? Kita sendiri mempunyai jawapannya. Tepuk dada tanya iman.

Susah? Sukar?

Tentunya. Sebab itulah Allah menyeru hanya kepada orang-orang yang beriman. Kerana sukarnya lalu Allah SWT mengganjarkan sebaik-baik keuntungan kepada sesiapa yang mahu menyahut seruan itu. Apakah yang diperolehi kepada yang menyahutnya?

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya:
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” (as-Saff: 12)

Demikianlah ganjarannya. Itulah kemenangan yang agung dan besar. Allah akan mengampunkan dosa-dosa. Kemudian dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan serta dijauhkan daripada azab neraka yang pedih (lihat as-Saff: 10).

Apakah yang lebih bernilai selain daripada keampunan daripada Allah SWT. Tentunya kita tidak akan dapat menilai akan harganya. Setiap daripada kita sangat mendambakan keampunan Allah. Demikianlah yang sentiasa kita panjatkan di dalam doa yang terlafaz. Pengampunan dosa bererti mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Pengampunan dosa juga memberi erti berjaya memasuki syurga Allah SWT.

Belum habis lagi keberuntungan tersebut, kerana ia adalah kejayaan di akhirat. Allah SWT memberitahu pula akan ganjaran yang diperolehi daripada laba dunia iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang yang telah dekat.

Firman Allah SWT:
“Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Peniagaan ini sangat sukar tetapi mahal harganya. Apakah kita mahu menyambutnya. Bukankah perniagaan ini tiada risiko kerugian. Semuanya keuntungan sahaja. Sekali lagi ditegaskan semuanya keuntungan. Marilah kita menyahutnya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Ada yang mahu ‘berniaga’ dengan Allah?

Hanya yang beriman sahaja mampu menyambut pelawaan ini.

“..Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Ayuh teman-teman. Ringankan tangan, hulurkanlah sumbangan kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah bencana banjir. Hadirkan senyuman di setiap wajah mereka, Allah pasti menghadirkan senyuman kepada kita pula suatu hari nanti. 









Saturday, 6 December 2014

Kunci Kejayaan Minda


Buku ini merumuskan kunci-kunci untuk kejayaan disampaikan dalam format yang mudah dan ringkas tetapi tepat. Rasulullah saw dan para sahabat dijadikan role model yang unggul. Dr. Abdullah ‘Aidh al-Qarni seolah-olah berkata kepada anda:

“Jika mereka yang hidup ribuan tahun dahulu boleh cemerlang, kenapa anda pada hari ini yang hidup dalam 100% kemewahan dan kemudahan tidak mampu menghasilkan 10% pun daripada usaha mereka.”

Analogi yang digunakan sungguh tepat dan dekat dalam kehidupan seharian. Kerendahan hati hamba meletakkan pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Kita merasakan kehidupan ini sungguh berharga dan tidak mungkin akan mensia-siakannya lagi. Semangat kita dirobek dari lubuk hati untuk terbang tinggi melangit ke angkasa.

Penulis adalah Dr. Aidh Abdullah al-Qarni, pengarang buku La Tahzan, antara buku yang mendapat jualan tertinggi di peringkat antarabangsa.

Buku ini membawa pemikiran al-Quran dan Hadis dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Garapan contoh-contoh yang menarik juga turut termuat di dalamnya. Kalau anda rasa anda sudah hebat, anda akan jumpa orang yang lebih hebat di dalam buku ini. Apabila anda selesai membaca buku ini anda akan rasa diri anda di angkasa dan melihat bumi ini kecil seperti sepinggan nasi yang sedia untuk disantap dengan sekali suap.

Selain itu, fakta yang terdapat di dalam buku ini juga bakal membuatkan pembacanya tersenyum memikirkan kebenaran yang cuba diterjemahkan oleh penulis menerusi kata-kata indah bersulam madah. 

Beberapa kunci dan panduan dikhaskan untuk pelajar, pendakwah, guru, mufti, ibu bapa, penulis dan sebagainya. 

Tajuk : Kunci Kejayaan Minda
Penulis : Dr `Aidh Abdullah al-Qarny
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd 
M/surat : 168
Harga : RM25.90

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

Wednesday, 22 October 2014

Kuliah Maghrib : Ma`al Hijrah


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua warga Kuantan yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk memeriahkan majlis ilmu kuliah iaitu maghrib bersempena dengan kedatangan Ma`al Hijrah tidak lama lagi. Kuliah ini akan diadakan pada 22 Oktober 2014 dan akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Rosmaini Abd Rahman, seorang pendakwah yang tidak asing lagi di sekitar negeri Pahang. Bertempat di Surau Perumahan Balok Permai, Balok  Kuantan, berhampiran Pasaraya Jaya Gading.

Mudah-mudahan kehadiran semua akan memeriahkan lagi majlis ilmu ini dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

  

Saturday, 4 October 2014

PANDUAN QURBAN, AQIQAH DAN KHITAN - IBADAH YANG AMAT DIGALAKKAN


Tajuk : PANDUAN QURBAN, AQIQAH DAN KHITAN - IBADAH YANG AMAT DIGALAKKAN
Penyusun : Muhammad Husnan Karim
Penerbit : Berlian Publications Sdn Bhd
Mukasurat : 256
Harga : RM14.00

Dalam buku ini dihuraikan secara terperinci segala masalah yang berkaitan dengan tiga bentuk amalan yang telah menjadi kelaziman kaum muslimin dari dahulu hingga sekarang. Tiga ibadah yang kami maksudkan ialah: ibadah qurban, aqiqah dan berkhitan. Walaupun ketiga-tiga ibadah ini sunat hukumnya, tetapi ketiga-tiganya mempunyai hikmah yang besar dan ganjaran yang hebat.

Benar, mereka mengkhitankan anak-anak mereka, tetapi hal itu mereka lakukan tidak disertai dengan penghayatan terhadap makna khitan. Mereka merasa cukup dengan membawa anak mereka ke klinik dan membayar upah sekian ringgit, lalu selesai. Mereka tidak pernah mencuri tahu makna apa yang ada di sebalik khitan itu, sehingga mereka tidak peduli dengan aspek spiritual dan sosial dari berkhitan itu.

Demikian pula halnya dengan aqiqah. Bahkan mungkin ada sesetengah orang yang menganggap aqiqah sebagai sesuatu yang melanggar prinsip ekonomi, sebagai penghamburan wang untuk sesuatu yang tidak nyata manfaatnya. Atau ada pula orang malah mengganti aqiqah itu dengan berpesta ria menyambut kelahiran bayi yang tidak boleh kita temukan dasarnya dalam agama.

Buku ini disusun berdasarkan keperluan praktikal tersebut. Yakni di samping memberi gambaran tentang berkhitan dan aqiqah juga seboleh mungkin mengungkap hikmatut tasyri' berkhitan dan aqiqah. Namun demikian, kami berusaha untuk tidak melupakan dimensi keilmuan dengan tetap menampilkan khazanah pemikiran Islam dalam masalah berkhitan dan aqiqah. - Penyusun 

KANDUNGAN BAHAGIAN 1: SEJARAH QURBAN
- Asal-Usul Qurban
- Qurban Pada Masa Nabi Adam A.S.
- Qurban Pada Masa Nabi Ibrahim A.S.
- Qurban Pada Masa Nabi Musa A.S.

TUJUAN BERQURBAN

BAHAGIAN 2: QURBAN, FADHILAT DAN HUKUMNYA
- Pengertian Qurban
- Fadhilat Berqurban
- Hukum Berqurban

HAIWAN QURBAN
- Buta Sebelah Matanya
- Pincang
- Sakit
- Kurus
- Berkudis
- Taula'
- Tanggal Giginya

MENUNGGANG HAIWAN QURBAN PENYEMBELIHAN
- Dasar Penyembelihan
- Rukun Dan Syarat Menyembelih
- Waktu Penyembelihan
- Hal-Hal Yang Disunatkan Ketika Menyembelih
- Alat Menyembelih
- Penyembelihan Dengan Alat Moden
- Sembelihan Janin

DAGING QURBAN

BAHAGIAN 3: BEBERAPA KEMUSYKILAN TENTANG QURBAN
- Haiwan Yang Boleh Dijadikan Qurban
- Manakah Yang Lebih Afdhal?
- Haiwan Qurban Yang Gemuk, Cantik Dan Bertanduk
- Boleh Berqurban Dengan Haiwan Jantan Atau Betina
- Haiwan Qurban Tidak Boleh Yang Bercacat
- Umur Haiwan Yang Dapat Dijadikan Qurban

BAHAGIAN 4: MATLAMAT BERQURBAN
- Dasar Berqurban
- Mengikhlaskan Niat Kerana Allah
- Haiwan Qurban Yang Memenuhi Syarat
- Tidak Mencukur Bulu Dan Tidak Memootong Kuku
- Menyembelih Mengikut Syariat
- Cara Menyembelih Qurban
- Dilarang Menjual Daging Qurban
- Berbuka Puasa Dengan Daging Qurban

BAHAGIAN 5: BILANGAN HAIWAN QURBAN
- Satu Qurban Untuk Satu Keluarga
- Qurban Atas Nama Orang Yang Sudah Mati
- Qurban Gotong Royong
- Berqurban Dengan Cara Menabung

BAHAGIAN 6: AQIQAH
- Pengertian Aqiqah
- Dalil Disyariatkan Aqiqah
- Hukum Aqiqah
- Haiwan Untuk Aqiqah
- Pesta Aqiqah

BAHAGIAN 7: 'ATIRAH, FARA' DAN NAZAR
- Pengertian 'Atirah
- Pengertian Fara'
- Hukum Penyembelihan 'Atirah Dan Fara'

NAZAR
- Pengertian Nazar

BAHAGIAN 8: BERKHITAN
- Pengertian Khitan
- Dalil Pensyariatan Berkhitan
- Hukum Berkhitan
- Yang Dipotong Ketika Mengkhitan Anak Lelaki
- Yang Dipotong Ketika Mengkhitan Anak Perempuan
- Waktu Berkhitan
- Orang Yang Mengkhitan
- Pesta Berkhitan

BAHAGIAN 9: HIKMAH BERQURBAN SETIAP PERISTIWA BERLAKU ADA HIKMAHNYA
- Qurban Yang Dibakar
- Qurban Penebus Dosa
- Qurban Untuk Keselamatan

BAHAGIAN 10: HIKMAH AQIQAH DAN BERKHITAN

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Friday, 19 September 2014

Kuliah Maghrib Perdana UAI


Pengumuman!

Kepada semua warga Kuantan, jangan lupa untuk menghadiri KULIAH MAGHRIB PERDANA, yang akan disampaikan oleh daie sejuta ummah @ al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Majlis ilmu ini akan diadakan pada hari Ahad, 21 September 2014. Bertempat di Masjid Al-Imam Ash-Shafie KOTASAS, Indera Mahkota, Kuantan.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Friday, 12 September 2014

Daging setahun sekali...

(klik imej untuk pembesaran)

Ibadah Qurban dan Aqiqah Misi Kemanusiaan 1435H anjuran Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Pahang kembali lagi. Program tahunan yang telah pun memasuki tahun yang ke 10. 

Ibadah qurban dan aqiqah seperti biasa dilakukan di lokaliti umat Islam yang boleh dikatakan agak miskin dan dhaif. Sebab itulah tajuk artikel 'Daging setahun sekali'. Itulah hakikatnya, jika tidak diadakan ibadah qurban atau aqiqah di tempat mereka, maka bilakah lagi agaknya mereka hendak merasa makan daging. Alhamdulillah, dengan program ini maka dapatlah mereka mencicip daging qurban, walaupun setahun sekali.  

Jom qurban dan aqiqah bersama Yayasan Amal Malaysia!

Wednesday, 27 August 2014

FORUM MERDEKA: 'Merdekakah Negara Kita'

Jangan lupa kepada yang berdekatan dan berkelapangan untuk mengikuti forum ilmu bersempena dengan tarikh kemerdekaan negara.  Menampilkan panelis yang akan mengupas persoalan kemerdekaan daripada pelbagai sisi dan pandangan. Jom, semarakkan majlis ilmu!


FORUM MERDEKA : 'Merdekakah Negara Kita'
Tarikh : 28 Ogos 2014 (Khamis)
Jam : 9.00 malam
Tempat : Masjid al-Fattah, Batu 3 Kuantan
Ahli Panel :
Dr Riduan Mohd Nor
Dr Muhammad Ibrahim
Dr Mohd Fadli Ghani

Saturday, 16 August 2014

Ceramah Agama Perdana & Pelancaran Dana Pembinaan Surau


Jom warga Kuantan! Jangan lupa untuk bersama mendengar Ceramah Agama Perdana yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Harryanto Rizal Rokman yang merupakan hos rancangan Tanyalah Ustaz & Halaqah di TV9 serta rancangan al-Kuliyyah di TV3.  Ceramah akan diadakan pada 17.08.2014 (Ahad) bermula jam 9.15 malam, bertempat di Padang Bola Taman PSJ Sungai Karang, Kuantan.

Al-Fadhil Ustaz Harryanti Rizal Rokman turut di gelar 'klon Ustaz Ismail Kamus' kerana gaya penyampaian, suara dan kelucuannya juga sangat mirip dengan al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus. Jadi, sekurang-kurangnya dapatlah mengubati kerinduan pada gaya ceramah al-Fadhil Ismail Kamus sewaktu muda-muda dahulu.

Ceramah ini juga bertujuan untuk pelancaran dana pembinaan Surau Taman PSJ yang masih lagi memerlukan suntikan sumbangan orang ramai untuk menyiapkannya. Oleh itu, tidak rugi untuk hadir kerana ilmu dapat, pahala menderma pun dapat. InsyaAllah mudah-mudahan ia menjadi amal jariah yang sentiasa mengalir pahala sehingga ke hari kiamat.      

Semarakkan majlis ilmu. Jumpa di sana!

Wednesday, 13 August 2014

Kuliah maghrib ikon anak muda, jom gi


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua warga Kuantan! Jom beramai-ramai, jangan lepaskan peluang untuk mendengar kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh ikon anak muda masa kini, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Kuliah maghrib akan diadakan  pada hari Khamis 14.08.2014, bertempat di Masjid Chendor, Kuantan.

Kepada yang tidak mengetahui lokasi masjid Chendor bolehlah berpandukan kepada peta yang dilampirkan. (GPS : 4.173691, 103.409429)
 
 
Jom semarakkan majlis ilmu!