Sahabat Sejati

Wednesday 27 February 2019

Tuesday 26 February 2019

Hadap jelah nanti..

Tak sanggup dah melaluinya, sepertimana apa yang pernah dilalui 3 tahun yang lalu. Perit mengenangnya sakit menanggungnya. Ibarat makan tak kenyang, tidur tak lena...(senyum)

Beberapa tahun sebelum itu, jalan raya merah berdebu apabila cuaca panas dan berlecak tatkala hari hujan, sehingga menenggelamkan warna asal kenderaan kami. 'Berperang' dengan lori-lori ganas menggila yang berulang-alik mengangkut galian-galian tersebut. Akhirnya disindir teman-teman dengan jolokan planet Marikh dek pemandangan hijau sudah bertukar warna merah.

Sehinggalah bermula tiga tahun lepas, kehidupan kembali normal. Keresahan dan kebimbangan mulai menguncup dan perlahan-lahan hilang lalu sinar mentari bahagia mula menyinari. Kami menarik nafas kelegaan apabila moratorium dikuatkuasakan bagi menghentikan aktiviti perlombongan bauksit. Namun, kusangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya petir berdentum di tengahari.

Keresahan dan kebimbangan saya berasas apabila merujuk pada satu laporan akhbar bertarikh 26 Februari 2019.     
 
KUANTAN - Aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri ini dibenarkan semula selepas moratorium selepas tiga tahun berakhir 31 Mac ini dan tidak disambung. [baca di sini

'Perkhabaran yang meresahkan'

Monday 25 February 2019

Berbelanja di AL-BAITY


Alhamdulillah, dalam sedikit kesibukan ke hulu dan hilir, sempat saya singgah sebentar di AL-BAITY bagi membeli barangan makanan kering untuk maahad tahfiz milik sahabat saya. Sambil-sambil itu saya membelek-belek juga beberapa barangan keperluan yang berkenan di hati. Oh ya, AL-BAITY adalah sebuah food market yang merupakan milik sepenuhnya melayu muslim. Letaknya di hadapan jalan raya utama dan tidak berapa jauh dengan tempat tinggal saya.  


 
Kebiasaannya dalam sebulan atau dua bulan sekali saya akan berbelanja di AL-BAITY untuk membeli barangan makanan kering yang akan diserahkan ke maahad tahfiz ataupun pondok pengajian. Selain makanan kering, boleh juga didapati makanan sejuk beku. Tentunya saya memilih kedai runcit atau pasar mini milik muslim untuk tujuan tersebut. Rasa bersalah pula jika tidak melakukan hal demikian, kerana ia akan menjadi cicipan para penghafaz kalamullah dan penuntut ilmu-ilmu agama. 



Baru-baru ini telah tular di mana-mana terutama media maya berkenaan kempen 'beli produk muslim'. Turut terkesan dengan kempen tersebut, lalu saya menyahut seruan untuk sama-sama menjayakannya. Walaupun sebenarnya sudah lama saya memilih produk muslim, terutama dalam membeli barangan bagi dihantar ke maahad tahfiz, tetapi dengan adanya kempen ini, menyebabkan saya bertambah semangat. Ya, sokong dan beli produk muslim semampunya dan selagi ada pilihan. 



Pada fikiran saya memang sepatutnya telah lama diadakan kempen ini. Dengan anggaran umat Melayu di Malaysia seramai 18 juta, pastinya kempen ini mampu menaikkan ekonomi orang Islam, dan yang paling utama untuk memastikan bahan makanan yang masuk ke dalam perut kita diyakini akan kesuciannya. Saya percaya jika kempen ini berterusan, tidak mustahil dalam masa 2 atau 3 tahun umat Islam akan dapat menguasai ekonomi terutama dalam bidang pemprosesan makanan halal yang boleh dikatakan menghadapi masalah yang amat kritikal.

Moga kempen ini berterusan dan tidak hanya bermusim.   

Wednesday 20 February 2019

Wordless Wednesday: Burung cenderawasih katanya..

sumber: FB

Mengenang bunga tanjung

'foto hiasan'

Ingatan kembali dipugar. Cebisan-cebisan memoir jaringan zaman silam dibongkar. 

Teringat rumah paksu Mat Ali, guru mengaji al-quran semasa saya kanak-kanak di kampung dulu. Kami mengaji selepas waktu maghrib kemudian terus bersambung dengan sembahyang isyak berjemaah yang diimamkan sendiri oleh paksu Mat Ali. Selepas itu barulah sama-sama pulang dengan berteman cahaya andang pelepah kelapa, sebelum berpisah di simpang rumah masing-masing 

Apabila musim cuti sekolah, waktu mengaji ditukar kepada waktu siang, iaitu selepas waktu zohor. Kadang-kadang isteri paksu Mat Ali turut membantu mengajar budak-budak mengaji apabila ramai yang datang mengaji.

Tersenyum saya sendirian tatkala mengenangkan sesuatu. Dulu kami terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan yang mengaji 'surat kecik dan satu lagi kumpulan 'surat besar'. Surat kecik merujuk kepada muqaddam (Qaedah Baghdadiyah), manakala al-Quran al-Kareem pula dengan nama 'surat besar'. Kebiasaannya mereka yang membaca surat besar dibenarkan mengajar yang membaca surat kecik.  

Lazimnya usai mengaji saya dan rakan-rakan tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya berkejaran memanjat pokok bunga tanjung yang banyak kedapatan di sekeliling rumah guru kami itu. Ada di antara saiznya mencapai sepemeluk orang dewasa. 

Selalunya saya akan memanjat sampai ke julai yang teratas. Sambil mengelamun di hujung dahan, tangan galak meretus buahnya yang masak seterusnya menyiat kulitnya yang berwarna oren kekuningan. Ah, tidak terbayang di akal pada masa itu, kerana bernafsu mengulum buah bunga tanjung yang kelat ‘berkesa’. Apalah yang enak pada buahnya itu, tetapi akal kanak-kanak apalah yang hendak dikirakan. 

Budak-budak perempuan pula mengutip bunga tanjung yang banyak berserakan di bawah pokok. Sesekali kami menggoncang dahannya untuk menggugurkan bunga tanjung tersebut. Mereka keriangan mengutip bunga tanjung yang gugur berserakan di lantai bumi. 

Lalu, bunga-bunga tersebut dicucuk pada benang untuk dijadikan kalung. Sangat menarik. Bukan hanya budak-budak perempuan yang buat begitu, malahan kami pun sama naik. Tanpa rasa segan kami turut sama menyusun bunga tanjung pada benang sehingga menjadi kalungan. 

Saya perasan, dulu-dulu tiada langsung rasa segan bermain dengan budak-budak perempuan. Seingat saya semasa di sekolah rendah saya masih bermain dengan budak-budak perempuan. Bermain permainan galah panjang, bola geliga, rounders, getah ‘zerofone’ dan sebagainya.  Masa itu, bermain sekadar bermain tanpa apa-apa perasaan yang bukan-bukan. Zaman ini, entahlah..

Thursday 14 February 2019

Cetusan rasa: Kita hamba yang lemah..

Putus asa ialah jalan keluar paling mudah buat makhluk Allah bernama manusia. Sering kali kita lupa, ujian hidup ialah cara Allah mengajar supaya tidak berputus asa dengan-Nya. Setiap kali kita melepasi halangan, hati akan terasa Allah tersangat dekat di sanubari dan amat menyayangi hamba-Nya yang sangat lemah ini.

Setiap dari kita mengimpikan kekuatan dalam melayari kehidupan ini. Kita sentiasa mahukan kekuatan untuk menampal kelemahan dan kesilapan yang sering memayuti diri setiap masa. Tanpa pertolongan dan kasih sayang-Nya tidak mungkin kekuatan itu kita miliki. Kita hanyalah hamba-Nya yang amat lemah.

Berkata Syeikh Ibnu Atho`illah as-Iskandary : “Allah melapangkan bagimu, supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu, supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

#Doakan kesihatan buat anakandaku Haikal yang istimewa.. 

Friday 8 February 2019

Salam Jumaat: Rehat Minda (1)

Salam Jumaat yang diberkati.

sumber: fb

Thursday 7 February 2019

Santai-santai di Taman Teruntum


Kami menyusuri laluan yang disediakan untuk pejalan kaki. Laluan yang terdiri daripada susunan batu berwarna merah dan hitam yang telah pun pudar warnanya. Anakanda Haikal yang istimewa terlebih dahulu meninggalkan saya dan ummu Ikhwan di belakang. Teruja dengan orang ramai yang bersantai-santai di taman rekreasi milik majlis perbandaran ini. 

Demikianlah suasana petang di Taman Teruntum yang redup. Sebuah taman rekreasi orang ramai yang menempatkan mini zoo, gerai makan dan berbagai lagi fasiliti untuk para pengunjung bersantai-santai. Justeru, petang yang baik cuacanya ini menyambut kami datang bertandang mendakap mesra. 

Di satu sudut, kanak-kanak sedang bermain permainan buaian, gelongsor dan jongkang-jongkit. Manakala di sebelah kanan pula sekumpulan kanak-kanak bercampur orang dewasa sedang bermain buih sabun. Angin petang yang bertiup menerbangkan buih-buih sabun bersama riuh-rendah suara mereka sambil dibumbui hilai ketawa. 

Sebilangan kecil pula pengunjung bersantai-santai di tebing kolam, asyik melihat ikan-ikan yang menyambar cebisan roti yang dilempar. Besar sekali ikan-ikan di kolam buatan itu. Ada tilapia, keli afrika dan lain-lain spesis. Di tengah-tengah kolam tersebut dibina sebuah pulau kecil yang menempatkan sepasang haiwan lotong. Terpegun melihat haiwan tersebut bergayut cergas dari dahan ke dahan. 

sumber foto

Sesekali saya mengetip butang kamera telefon bimbit. Merakam detik-detik yang menarik hati untuk dijadikan kenangan. Manalah tahu kalau-kalau 10 atau 20 nanti taman ini sudah tidak wujud kerana diasak pembangunan. Mungkinlah, mana tahu. Jadi dapatlah nanti ditunjukkan kepada generasi akan datang. Itupun jika masih ada lagi anugerah umur daripada-Nya. 

Kehidupan adalah milik-Nya, begitu juga dengan kematian. Kedua-duanya menjadi ibtila` bagi yang bergelar manusia, siapakah yang terbaik amalannya. Demikianlah..  

Monday 4 February 2019

Sama-sama menginsafi..

foto hiasan: sumber

Alhamdulillah, kita telah pun berada di awal bulan Februari 2019. Bermakna telah sebulan kita meninggalkan tahun 2018. Masa yang berlalu, sehari demi sehari pertukaran siang dan malam. Menyambut hari baharu yang berkunjung tiba, dalam sedar ataupun tidak, telah bertambah sehari usia kita dan disebaliknya pula telah dipotong peruntukkan usia tersebut.

Kita mengira usia yang bertambah samada apabila bertukar tahun, bulan atau hari, hakikatnya ia semakin berkurang, berkurang dan berkurang sehinggalah telah habis peruntukan usia tersebut, maka keluarlah roh daripada jasad. Terbujurlah jasad diperbaringan menunggu tandu yang akan membawanya bersemadi di liang lahad.

Keselamatan seorang hamba apabila Allah SWT menerima semua amalannya. Sekiranya ia bangun daripada tidur dan melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah, maka ia akan beroleh keselamatan. Sebaliknya jika ia melakukan kemungkaran, maka ia akan mendapat kemurkaan Allah. Tiadalah keselamatan baginya kecuali berada di atas jalan redha-Nya iaitu kembali bertaubat.

Sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka sehingga akhir dunia ini. Luasnya mata memandang, menganjur dari timur ke barat. Sesiapa yang ingin kembali ke pangkuan ampunan dan redha Tuhannya tidak akan disia-siakan. Dia pasti menerima dan tidak pernah menutup pintu-Nya selagi insan yang berdosa itu benar-benar ikhlas dan menyesal.

Marilah kita sama-sama menginsafi diri (peringatan yang tentunya lebih utama kepada diri saya). Bersegera beramal mengumpul kebajikan sebanyaknya. Sentiasalah peruntukkan masa memohon keampunan-Nya, kerana kita adalah pendosa, samada dalam sedar atau lalai. Namun, sebaik-baik pendosa adalah yang bertaubat kepada-Nya.    

Allah SWT berfirman: "Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (az-Zumar: 53)