Sahabat Sejati

Friday 24 April 2020

ADAKAH BERSAHUR SUDAH DIKIRA NIAT PUASA?

SOALAN:

Ada orang kata kalau kita bangun makan sahur maka tidak wajib lagi niat puasa kerana makan sahur sudah dikira sebagai niat puasa. Mohon penjelasan.

JAWAPAN :

Ulamak berselisih pada masalah seorang yang makan sahur adakah dikira sudah berniat puasa dan tidak lagi dia perlu berniat seperti biasa sebelum dia tidur atau selepas dia makan sahur. 

Sebahagian fuqahak berkata makan sahur semata-mata tidak dikira telah berniat puasa. 

Berkata Imam Al-Mutawalli :

 لَوْ تَسَحَّرَ لِيَقْوَى عَلَى الصَّوْمِ أَوْ عَزَمَ فِي أَوَّلِ اللَّيْلِ أَنْ يَتَسَحَّرَ فِي آخِرِهِ لِيَقْوَى عَلَى الصَّوْمِ لَمْ يَكُنْ هَذَا نِيَّةً لِأَنَّهُ لَمْ يُوجَدْ قَصْدُ الشُّرُوعِ فِي الْعِبَادَةِ 
Artinya : “Jikalau seorang itu bersahur supaya kuat berpuasa atau berazam pada waktu malam untuk bangun makan sahur di akhir malam nanti supaya kuat atas mengerjakan puasa nescaya tidak menjadi niat kerana sungguhnya tidak ada qasad pada syarak mengerjakan ibadah.” Dan sebahagian fuqahak mengatakan makan sahur sudah menjadi niat puasa. 

Berkata Imam Ar-Rauyani :

 أَنَّهُ لَوْ قَالَ أَتَسَحَّرُ لِلصَّوْمِ أَوْ أَشْرَبُ لَدَفْعِ الْعَطَشِ نَهَارًا أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْأَكْلِ وَالشُّرْبِ وَالْجِمَاعِ مَخَافَةَ الْفَجْرِ كَانَ ذَلِكَ نِيَّةً لِلصَّوْمِ 
Artinya : Sungguhnya jikalau seorang berkata aku bersahur untuk puasa atau aku minum air supaya tidak dahaga esok harinya atau seorang itu tidak mahu makan atau minum atau jimak sebab bimbang ia masuk waktu subuh nescaya adalah demikian itu dikira niat bagi puasa.” 

Dan syarat bersahur itu menjadi niat puasa ialah jika hadir didalam hatinya kerana berpuasa atau supaya kuat badannya atas berpuasa atau seumpamanya dari lintasan yang menunjukan makan sahurnya itu kerana puasa. 

Berkata Imam Ar-Rafi’ie :

 وَهَذَا هُوَ الْحَقُّ إنْ خَطَرَ بِبَالِهِ الصَّوْمُ بِالصِّفَاتِ الْمُعْتَبَرَةِ لِأَنَّهُ إذَا تَسَحَّرَ لِيَصُومَ صَوْمَ كَذَا فَقَدْ قَصِدَه 
Artinya : Inilah yang benar jika hadir pada hatinya hendak berpuasa dengan sifat yang diambil kira apabila bersahur kerana hendak menunaikan puasa maka sungguhnya dia telah melakukan qasad.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab) 

Bermula pendapat yang mengatakan bersahur jika ada dalam hatinya kerana hendak berpuasa maka telah menjadi niat ialah pendapat yang muktamad sisi mazhab.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini :

 والمعتمد أنه لو تسحر ليصوم أو شرب لدفع العطش نهارا أو امتنع من الاكل أو الشرب أو الجماع خوف طلوع الفجر كان ذلك نية إن خطر بباله الصوم بالصفات التي يشترط التعرض لها لتضمن كل منها قصد الصوم 
Artinya : “Dan yang muktamad ialah jikalau seorang makan sahur kerana berpuasa atau minum supaya tidak dahaga disiang hari atau terhalang dari makan atau minum atau jimak kerana takut masuk waktu subuh nescaya adalah demikian itu niat dengan syarat hadir pada hatinya berpuasa dengan sifat yang disyaratkan ada Ketika berniat akan qasad berpuasa.” (Kitab Al-Iqna’ Syarah Abi Syuja’) 

Kesimpulan 

Siapa yang makan sahur dan hadir pada hatinya bersahurnya itu kerana hendak puasa atau kerana menguatkan badan ketika berpuasa maka jadilah dia dikira sudah berniat dan sah puasanya pada hari itu. 

Siapa yang makan sahur dan tiada pada hatinya makan sahur itu kerana hendak berpuasa maka dia dikira belum berniat dan tidak sah puasanya pada hari itu. 

Wallahua'lam

Thursday 23 April 2020

Salam Ramadhan Kareem 1441H


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberi peluang kepada kita semua untuk menikmati keberkatan bulan Ramadhan al-Mubarak. Walaupun tahun ini kita menyambut kedatangannya dalam suasana yang sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, namun itu tidak suatu yang menghalang semangat kita untuk terus menghidupkan bulan yang mulia ini. 

Kita telah diberi kesempatan dan peluang untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan ini, maka gunakanlah anugerah Allah ini dengan bersungguh-sungguh mengisi waktu dengan ibadat dan amalan yang soleh. Berapa ramai kaum keluarga dan sahabat handai yang telah pergi mendahului tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka.

Firman Allah SWT: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183) 

Sifat taqwa melahirkan rasa perhambaan dan takut kepada Allah SWT, sehingga menggerakkan diri melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Justeru, rebutlah piala taqwa yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui ibadat puasa ini. 

Akhir sekali, marilah kita mendoakan dengan keberkatan bulan yang mulia ini, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita, diampunkan dosa-dosa dan dijauhi daripada segala wabak penyakit.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak kepada sahabat-sahabat sekelian, khususnya pengunjung pondok kecil Abuikhwan ini. Tentunya penghargaan yang setingginya atas sokongan selama ini

Wednesday 22 April 2020

Wordless Wednesday 64


Ramadhan tahun ini..

Ramadhan yang diberkati kian menghampiri. Bayu lembutnya kian terasa memukul jiwa-jiwa pencinta ibadat. Bagaikan tidak sabar menantikan ia bertamu untuk meniti titian sepanjang malam-malamnya yang punya pahala dan kelebihan yang tersendiri.

Ada sebilangan yang menyebut bahawa Ramadhan tahun ini tidak seperti sebelumnya. Suram. Sebabnya, semua sedia maklum. Benar Ramadhan berkurang kemeriahannya jika ia dilihat dari bazarnya, juadah berbukanya. Ya, di mana-mana tempat tiada bazar Ramadhan pada tahun ini.

Tetapi jika Ramadhan dilihat dari sudut ibadahnya, rahmatnya, fadhilatnya. Ternyata tidak berkurang sedikit pun pada Ramadhan. Bahkan ia sama sahaja seperti sebelumnya. 

Sejujurnya, saya juga sedikit terkesan dengan apa yang berlaku. Sedih pun ada. Yalah, sudah menjadi kebiasaan tibanya Ramadhan berduyun-duyun mengunjungi surau dan masjid. Semangat untuk beribadah terasa lain kerana berkatnya bulan ini. Tiba-tiba tahun ini tiada terawih secara berjemaah di surau dan masjid, begitu juga tidak dapat bertadarus bersama-sama selepas menikmati moreh. 

Tidak dapat duduk mendengar tazkirah di pertengahan atau selepas terawih. Tazkirah diadakan semata-mata mahu mengambil peluang atas kehadiran ramai yang memenuhi saf di dalam masjid. Pemandangan yang mungkin sulit di bulan-bulan lain. 

Yakin dan percaya setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikan. Semuanya di dalam ilmu Allah SWT yang tidak terbatas. Justeru, walaupun tidak ada solat terawih di masjid dan surau, maka dirikanlah solat terawih di rumah masing-masing bersama keluarga, termasuk juga tadarus. 

Hidupkan majlis ta`lim di dalam rumah dengan tazkirah-tazkirah ringkas. Membaca satu tajuk atau hadis setiap malam untuk diperdengarkan kepada kaum keluarga. Hidupkan malam-malam Ramadhan sepertimana biasa. Insya-Allah, suasana Ramadhan tidak sedikit pun suram dan berkurang. 

Dalam masa yang sama saya turut berdoa semoga Allah SWT mengangkat wabak ini dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

#StayAtHome
#StaySafeStayHealth
#MalaysiaCovid19   

Wednesday 15 April 2020

Thursday 9 April 2020

BULAN SYA'BAN: KEISTIMEWAANNYA MENGIKUT NERACA NAS

Kelebihan Puasa Bulan Sya’ban 

Ada banyak dalil yang menunjukkan galakan berpuasa pada bulan Sya’ban termasuk amalan Rasulullah saw. Antaranya: 

Pertama: Daripada Abu Salamah ra berkata, aku bertanya kepada Aisyah r.anha tentang puasanya Nabi saw. Lantas beliau menjawab:

 كانَ يَصومُ حتَّى نَقولَ قَد صامَ ويُفطِرُ حتَّى نَقولَ قد أفطَرَ ولم أرَهُ صامَ مِن شَهْرٍ قطُّ أَكْثرَ مِن صيامِهِ من شعبانَ كانَ يَصومُ شَعبانَ كُلَّهُ كانَ يَصومُ شعبانَ إلَّا قَليلًا 

Maksudnya: "Beliau biasanya berpuasa sampai kami mengatakan sungguh telah berpuasa (terus). Dan beliau berbuka sampai kami mengatakan sungguh beliau telah berbuka. Dan aku tidak melihat beliau berpuasa yang lebih banyak dibandingkan pada bulan Sya’ban. Biasanya beliau berpuasa pada bulan Sya’ban semuanya, dan biasanya beliau berpuasa pada bulan sya’ban kecuali sedikit." Riwayat Muslim (1156) 

Kedua: ‘Aisyah r.anha memberitahu Abu Salamah:

 لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ 

“Nabi saw tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.” Riwayat al-Bukhari (1834) 

Para ulama berbeza pendapat dalam memahami hadis ini. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala Rasulullah berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban. Manakala sebahagian lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah saw hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Sya’ban. 

Dari perbezaan pendapat yang timbul ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menguatkan pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban dan bukan keseluruhan dari bulan Sya’ban. Beliau menukilkan perkataan Imam Ibn al-Mubarak:

 جائر في كلام العرب إذا صام أكثر الشهر أن يقول صام الشهر كله ويقال قام فلان ليلته أجمع ولعله قد تعشى واشتغل ببعض أمره 

“Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”[1] 

Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada ‘Aisyah yang mafhumnya, 

“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan.” Hadis Riwayat al-Bukhari (1833) 

Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah saw:

 لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ 

Maksudnya:“Jangan salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut.” Riwayat al-Bukhari (1781) 

Maka dari apa yang dapat difahami di sini kita disunnahkan supaya memperbanyakkan puasa sunnah di dalam bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan selainnya. Dan tidak dianjurkan berpuasa sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat. 

Ketiga: Daripada A’isyah r.anha, beliau mengatakan, 

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ 

Maksudnya: “Terkadang Nabi saw puasa beberapa hari sampai kami katakan: Beliau tidak pernah tidak puasa, dan terkadang beliau tidak puasa terus, hingga kami katakan: Beliau tidak melakukan puasa. Dan saya tidak pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berpuasa sebulan penuh kecuali di bulan Ramadhan, saya juga tidak melihat beliau berpuasa yang lebih sering ketika di bulan Sya’ban. Riwayat Bukhari (1969) dan Muslim (1156)

Antara sebab Rasulullah saw berpuasa pada bulan Sya’ban pada kebanyakkan harinya telah dinyatakan sendiri oleh Baginda saw.

 شعبانُ بين رجبَ ورمضانَ يغفلُ الناسُ عنه تُرفعُ فيه أعمالُ العبادِ فأُحِبُّ أن لَا يَرْفَع عَمَلِي إَلَّا وأنَا صَائِمٌ 

Maksudnya: Bulan Sya’ban, ada di antara bulan Rajab dan Ramadhan, banyak manusia yang melalaikannya. Saat itu amal manusia diangkat, maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa. Riwayat An-Nasai, 1/322 dalam kitab Al-Amali. Hadith Hasan 

Keempat: ‘Usamah Ibn Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:

 ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ 

Maksudnya:“Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” Riwayat al-Nasa’i (2357) 

Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban 

Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kelebihan malam Nisfu Sya’ban antaranya: 

Pertama: Sabda Rasulullah saw

 إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إِلَّا لِمَشْرِكٍ أَوْ مُشَاحنٍ 

Maksudnya: Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) 

Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 3/135. 

Sebahagian ulama hadis mensahihkannya, manakala sebahagian lain pula mengingkari kesahihannya. Hadis ini diriwayatkan dari jalur sanad beberapa sahabat, iaitu Mu’az Ibn Jabal, Abu Tha’labah al-Khusyani, ‘Abdullah Ibn ‘Umar, Abu Musa al-Asyari, Abu Hurairah, Abu Bakar al-Siddiq, ‘Auf Ibn Malik, dan ‘Aisyah R.Anhum. Hadith ini antaranya telah diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ibn Abi Syaibah, ‘Abd al-Razzaq, al-Tabarani, al-Bazzar, dan al-Mundziri. 

Secara umum antara ulama yang mensahihkannya adalah Ibn Hibban, Ibn Hajar al-Haithami, dan lain-lain. Manakala antara yang menjelaskan kedhaifannya adalah Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarah Jami’ al-Tirmidzi. 

Seandainya sahih sekalipun hadis ini, maka ia hanya menunjukkan keutamaan malam Nisfu Sya’ban secara umum. Sebagaimana kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, “Dalam hal ini, pendapat yang dipegang oleh majoriti atau sebahagian besar ulama sama ada dari kalangan sahabat kami ataupun dari selainnya, mereka menyatakan bahawa malam nisfu Sya’ban adalah malam yang memiliki keutamaan.”[2] 

Oleh karena keutamaan malam Nisfu Sya’ban memiliki dasar yang sangat kuat, umat Islam sejak generasi salaf banyak yang menghidupkannya dengan aneka ragam ibadah seperti solat, doa dan lain-lain. 

Kami kemukan di sini beberapa pendangan ulama berkenaan dengan malam Nisfu Sya’ban antaranya: 

Pertama: Al-Imam al-Syafi’i berkata dalam kitab al-Umm sebagai berikut:

 بَلَغَنَا أَنَّهُ كان يُقَالُ إنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ في خَمْسِ لَيَالٍ في لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ من رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ من شَعْبَانَ 

Maksudnya: “Telah sampai kepada kami bahwasanya selalu dikatakan bahwa permohonan akan dikabulkan dalam lima malam, yaitu malam Jum’at, malam hari raya Idul Adha, malam hari raya Idul Fitri, awal malam di bulan Rajab dan malam Nisfu Sya’ban[3] 

Kedua: Syeikh al-Islam IbnTaimiyah, dalam fatwanya menyebut berkenaan solat malam Nisfu Sya’ban , lantas beliau menjawab:

 إِذَا صَلَّى اْلإِنْسَانُ لَيْلَةَ النِّصْفِ وَحْدَهُ أَوْ فِيْ جَمَاعَةٍ خَاصَّةٍ كَمَا كَانَ يَفْعَلُ طَوَائِفُ مِنَ السَّلَفِ فَهُوَ حَسَنٌ. وَقَالَ فِيْ مَوْضِعٍ آخَرَ : وَأَمَّا لَيْلَةُ النِّصْفِ فَقَدْ رُوِيَ فِيْ فَضْلِهَا أَحَادِيْثُ وَآَثاَرٌ وَنُقِلَ عَنْ طَائِفَةٍ مِنَ السَّلَفِ أَنَّهُمْ كَانُوْا يُصَلُّوْنَ فِيْهَا فَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِيْهَا وَحْدَهُ قَدْ تَقَدَّمَهُ فِيْهِ سَلَفٌ وَلَهُ فِيْهِ حُجَّةٌ فَلَا يُنْكَرُ مِثْلُ هَذَا. 

Maksudnya: “Apabila seseorang menunaikan solat pada malam Nisfu Sya’ban, sendirian atau bersama jamaah tertentu sebagaimana dikerjakan oleh banyak kelompok kaum salaf, maka hal itu baik.” Di tempat lain, Ibn Taimiyah juga berkata: “Adapun malam Nisfu Sya’ban, telah diriwayatkan banyak hadits dan atsar tentang keutamaannya dan telah dikutip dari sekelompok kaum salaf bahwa mereka menunaikan solat pada malam itu. Jadi solat yang dilakukan oleh seseorang sendirinya pada malam tersebut, telah dilakukan sebelumnya oleh kaum salaf dan ia mempunya hujjah, oleh karena itu hal seperti ini tidak boleh diingkari.[4] 

Ketiga: Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali, dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif menyatakan:

 وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ التَّابِعُوْنَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ يُعَظِّمُوْنَهَا وَيَجْتَهِدُوْنَ فِيْهَا فِي الْعِبَادَةِ، وَكَانَ خَالِدُ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانُ بْنِ عَامِرٍ وَغَيْرُهُمَا مِنْ تَابِعِي الشَّامِ يَقُوْمُوْنَ فِي الْمَسْجِدِ لَيْلَةَ النِّصْفِ، وَوَافَقَهُمُ اْلإِمَامُ إِسْحَاقُ ابْنُ رَاَهَوْيه عَلىَ ذَلِكَ، وَقَالَ فِيْ قِيَامِهَا فِي الْمَسَاجِدِ جَمَاعَةً : لَيْسَ ذَلِكَ بِبِدْعَةٍ . 

Maksudnya: “Malam Nisfu Sya’ban, kaum Tabi’in dari penduduk Syam mengagungkannya dan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah pada malam tersebut. Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan lain-lain dari kalangan tabi’in Syam mendirikan shalat di dalam Masjid pada malam Nisfu Sya’ban. Perbuatan mereka disetujui oleh al-Imam Ishaq Ibnu Rahawaih. Ibnu Rahawaih berkata mengenai shalat sunnah pada malam Nisfu Sya’ban di Masjid-masjid secara berjamaah: “Hal tersebut tidak termasuk bid’ah.”[5] 

Nas Yang Dikatakan Tidak Benar atau Maudhu’

Terdapat beberapa nas yang selalu kita dengar tetapi dibahaskan oleh ulama secara panjang lebar antaranya dikatakan. 

Pertama: Ali ra bahawa Nabi saw bersabda:

 إذا كانَ ليلةُ النِّصفِ من شَعبانَ ، فقوموا ليلَها وصوموا نَهارَها ، فإنَّ اللَّهَ يَنزلُ فيها إلى سماءِ الدُّنيا ، فيقولُ: ألا من مُستَغفرٍ فأغفِرَ لَهُ ، ألا مِن مُسترزقٌ فأرزقَهُ ألا من مُبتلًى فأعافيَهُ ألا كذا ألا كذا ، حتَّى يطلُعَ الفجرُ 

Maksudnya: Jika sekiranya malam nisfu syaban maka hendaklah kamu melakukan qiyam dan berpuasa pada keesokan harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun pada malamnya tatkala tenggelamnya mata hari kelangit duni seraya berfirman: Adakah dikalangan orang yang minta ampun kepadaku nescaya aku ampunkannya Adakah dikalangan orang yang minta rezki nescaya aku rezkikannya. Adakah orang yang terkena bala atau sakit nescaya aku sembuhkannya, adakah begian, adakah begian, sehingga terbitnya fajar 

Riwayat Ibn Majah dan dinukilkan oleh Ibn Rajab Dalam Lathaif al-Ma’arif  

Perbahasan Hadith Ini 

Hadis ini dihukum maudhu’ oleh pengarang al-Manar. Ini kerana pada sanadnya Abu Bakar bin Abdullah bin Muhammad yang ma’ruf dengan nama Ibn Abi Sabrah. Imam Ahmad mempertikaikannya. Yahya bin Ma’in berkata beliau adalah yang mendustakan hadis. 

Syeikh Muhammad Rasyid ridha berkata hadis ini maudhu’ dan seumpama ini tidak harus mengithbatkan hukum syarie dengannya. 

Kedua: Hadis daripada Aisyah R.Anha katanya: Rasulullah SAW mafhumnya :

“Sesungguhnya Allah turun pada malam Nisfu Sya’ban kelangit dunia dan mengampunkan manusia lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kalb. 

Riwayat Imam Ahmad: 2610, Turmuzi, 739, Ibn Majah: 1389. Imam Turmuzi menyebut bahwa Imam Bukhari mendhaifkannya. Imam Syaukani menyebut pada hadis A’syah terdapat dhaif dan terputus. 

Walaupun begitu sebahagian ulama mutaakhirrin mansahihkannya kerana banyak jalannya. Saya cenderung kepada pendapat mutaakkhirin berkenaan dengan hadis Aisyah ini. 

Penutup 

Beramal untuk kehidupan kita janganlah dibatasi hanya pada hari dan malam tertentu kecuali terdapatnya nas sahih atau dhaif bukan madhu’ atau dusta. Berkenaan dengan apa yang dinukilkan oleh Ibn Rejab dalam Lathaif al-Ma’arif halaman 441 dengan bersandarkan kepada perbuatan tabien dan ahli Syam ada pendapat mengatakan bahawa mereka mengambil pendapat athar Israeiliyat yang mana kebanyakkan ulama Hijaz menganggapnya sebagai bida’ah. 

Saya nyatakan di sini beberapa perkara, jika kita ingin beramal pada bulan Sya’ban terutamanya malam Nisfu Sya’ban. 

Pertama: Pandulah mengikut hadis yang sahih ataupun yang dhaif. 

Kedua: Jangan sesekali berpegang dengan hadis maudhu’ kerana ia dusta 

Ketiga: Jangan beriktikad apa yang tiada nas sebagai syariat 

Keempat: Lihatlah juga secara ihtiyat supaya tidak tergelincir daripada perbuatan yang menyalahi nas. Imam Syaukani pernah berkata, “Dalam al-Fawaid al-Majmuaah halaman 15, telah diriwayatkan solat pada malam ini (nisfu Sya’ban) mengikut pelbagai sumber semuanya batil dan maudhu’. 

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk beramal mengikut neraca syariat yang sebenarnya. Marilah sama-sama kita muhasabah diri sebelum kedatangan Ramadhan untuk mengislahkan diri dalam mencapai mardhatillah, Amin.

Wednesday 8 April 2020

Sepanjang PKP..

Aktiviti pagi ini.
Mmembersihkan buku-buku yang mula bersarang habuk. Bersama pembantu setia yang sentiasa pemurah menghulurkan tenaganya, anakanda 'sikecil Haikal yang istimewa'.

Moga keadaan ini segera berakhir dan kita semua dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.Amiinn.

#StayAtHome
#StaySafeStayHealth
#MalaysiaCovid19 



Tuesday 7 April 2020

Mungkinkah Ramadhan kali ini..

07 April 2020. Hari ke 7 fasa ke- 2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Petang ini, di serambi rumahku.

Tiba-tiba terkenangkan Ramadhan. Tidak semena-semena perasaan menjadi sayu. Apakah Ramadhan kali ini tidak akan seperti yang sebelum ini. 

Tiada bazar Ramadhan, untuk kemudahan bagi yang tidak sempat menyediakan juadah berbuka. Tiada lagi amalan bertukar-tukar juadah sesama jiran. 

Lebih menyedihkan lagi apabila tiada solat tarawih berjemaah di surau dan masjid serta tiada majlis berbuka dan moreh sesama jemaah. Tiada tazkirah ringkas di pertengahan tarawih, mengambil peluang dengan kebanjiran jemaah mengimarahkan bulan yang mulia ini.

Nyata berbeza sekali Ramadhan kali ini.

Allah sebaik-baik perancang. Dia yang Maha Mengetahui apa yang zahir dan apa yang tersembunyi.  

Jangan berhenti berdoa.

Saturday 4 April 2020

Teruskan berdoa..

04.04.2020. Hari keempat fasa ke- 2 Perintah Kawalan Pergerakan. Moga semuanya kembali  seperti sediakala.Amiinn.