Sahabat Sejati

Showing posts with label Bicara santai. Show all posts
Showing posts with label Bicara santai. Show all posts

Tuesday, 22 September 2026

Coret-coret malam ini..

'2 lagi buku untuk bulan September'

Suasana malam ini tenang betul, tambah-tambah lagi bila hujan mula turun lepas maghrib tadi. Boleh tahan juga lebatnya. 

Sekali-sekala terdengar guruh dan nampak kilat menyambar, tapi yang paling lega mestilah bahang panas yang mencucuk-cucuk semenjak dua menjak ni terus hilang. Rasa sejuk sikit bilik malam ni! 

Paling penting, harapkan hujan ni dapatlah 'membasuh' jerebu yang menebal kat luar tu. Alhamdulillah, tempat saya sendiri bacaan IPU dah kembali ke tahap hijau, yang sebelum ini mencecah tahap kuning, maksudnya dah masuk kategori sederhana. Memang sebelum ini terasa juga kering tekak dan pedih mata kalau keluar rumah. 

Bila cuaca sejuk begini, teringat pula dekat parcel buku yang baru sampai tempohari. Bulan September ni nampaknya ada rezeki lebih sikit, sempat melempar 'racun' pada diri sendiri dan beli 2 buah buku lagi. Kalau campur dengan yang awal bulan hari tu, cukuplah 3 buah buku bertukar hak milik untuk bulan ni! 

Luar hujan lebat, ditarik selimut nipis, ditiup angin sejuk, sambil layan buku baru bersulamkan bau kertas fresh.. chef's kiss betul malam ni. 

Korang pula macam mana? Cuaca kat tempat korang hujan tak malam ni, dan buku apa yang tengah korang layan sekarang?

Saturday, 22 August 2026

Dua Pusingan Pun Cukuplah…

Pagi ini sempat brisk walk di Tasik Pelindung. Dapat dua pusingan, lebih kurang 5 kilometer, diselang-seli dengan larian perlahan. Biasanya kalau tenaga masih ada, empat atau lima pusingan saya cuba habiskan. 

Tapi bila usia makin meningkat, kenalah belajar berpada-pada juga.. he he. Tak perlu mengejar angka sangat. Yang penting badan bergerak dan kita masih mampu melangkah. 

Cuaca pagi ini cerah. Jam baru sekitar 8 pagi, bahangnya sudah terasa perit. Penangan El Niño agaknya. 

 

Apa pun, selagi kudrat masih ada, saya cuba kekal konsisten bersenam. Kalau balik awal dari tempat kerja, petang-petang kayuh basikal pula. 

Terfikir juga hendak cuba mengayuh selepas Isyak. Tak perlu jauh. Tiga atau empat kilometer pun sudah memadai. 

Begitulah.. bila usia semakin bertambah, kita bukan lagi berlumba dengan sesiapa. Cukuplah berlumba dengan diri sendiri, supaya esok masih mampu melakukan apa yang hari ini kita mampu lakukan. 

Dua pusingan pun cukuplah. Yang penting, terus bergerak. 😊

Thursday, 6 August 2026

Kayuhan bersama petang ini


 “Jom mengayuh petang ini…” ajakku lembut, memandang Ummu Ikhwan dengan senyuman yang mengajak. Angin lembut seakan turut memujuk, seolah-olah mengerti bahawa petang begini terlalu indah untuk dibiarkan berlalu tanpa sebuah kayuhan bersama.

Tanpa berbasa-basi, Ummu Ikhwan hanya mengangguk kecil, memberikan persetujuan. Senyumnya nipis, namun cukup untuk menenangkan hati. Sudah lama kami tidak mengayuh bersama pada waktu petang begini. Kesibukan kerja sering memaksa aku pulang lewat, meninggalkan senja-senja indah berlalu begitu sahaja tanpa sempat dinikmati. 

Petang itu terasa berbeza. Seakan ada ruang yang kembali terbuka, ruang yang dulu sering kami isi dengan kayuhan santai di jalan kampung. Roda basikal mula berpusing perlahan, menelusuri lorong kecil yang pernah menjadi saksi tawa dan cerita kami suatu ketika dahulu. 

Angin menyapa lembut wajah, membawa bersama harum dedaun dan segar nafas petang yang tenang berbalut cahaya senja. Burung-burung pulang ke sarang, dan langit pula perlahan-lahan berubah warna, dari biru cerah kepada jingga yang redup. 

Kami tidak banyak berbicara. Cukup sekadar sesekali berpandangan dan tersenyum. Namun dalam diam itu, terasa seolah-olah segala yang lama terpisah, kembali bersambung. Kayuhan ini bukan sekadar menggerakkan roda basikal, tetapi juga menggerakkan kembali rasa yang hampir terbiar oleh waktu.

Sunday, 7 June 2026

Kayuhan bersama..

Petang ini, langit terbentang cerah seolah-olah mengundang jiwa yang lama terkurung untuk kembali bernafas. Dalam diam, terbit satu hasrat, ingin mengayuh semula, menghidupkan kembali kenangan lama yang hampir tenggelam ditelan rutin. 

Sudah lama benar tidak menyentuh pedal basikal. Hari-hari kebelakangan ini lebih banyak diisi dengan langkah perlahan, brisk walk bersama Ummu Ikhwan, menyulam waktu dengan bicara sederhana. Namun petang ini terasa berbeza. Ada panggilan halus dari alam, memujuk agar kembali bergerak, kembali merasa. 

Lalu aku mengajaknya Ummu Ikhwan, teman setia yang tidak pernah jemu menemani. Kami mengayuh perlahan menyusuri perdesaan yang tenang, seakan-akan masa turut memperlahankan langkahnya demi memberi ruang kepada jiwa menikmati setiap detik. 

Hijau belukar terbentang luas, mendamaikan mata yang penat melihat hiruk dunia. Aliran air yang jernih berbisik lembut, membawa pergi segala resah yang tidak terungkap. Di langit, kawanan burung berpapasan pulang ke sarang, sebuah perjalanan pulang yang mengundang rasa sayu, seolah mengingatkan bahawa setiap yang pergi, pasti akan kembali. 

Dalam kayuhan yang sederhana itu, hadir satu perasaan yang sukar digambarkan, damai, namun terselit sendu. Damai kerana diberi kesempatan menikmati keindahan ciptaan-Nya, dan sendu kerana menyedari betapa lama jiwa ini terlalai dari menghargai saat-saat begini. 

Petang semakin redup. Kayuhan kami semakin perlahan. Namun di dalam hati, terasa sesuatu telah kembali hidup, sesuatu yang lama hilang, kini kembali berdenyut dengan lembut. 

Mungkin.. inilah bahagia yang sebenar

Sunday, 3 May 2026

Di Bawah Langit yang Tertangguh


Pagi itu niat sudah terpasang rapi, kasut sukan menunggu di sisi pintu, langkah seakan sudah terasa di atas trek. Namun langit punya cerita sendiri. Hujan turun tanpa isyarat simpati, lebatnya seolah-olah mahu menahan hasrat yang baru ingin bernyawa. 

Kadang-kadang begitulah.. yang dirancang manusia, terhenti seketika oleh kehendak-Nya. 

Petang menjelma, dan bersama cahaya yang sedikit redup, peluang itu datang kembali. Tanpa banyak bicara, langkah pun dimulakan. Trek yang mengelilingi tasik itu sekitar 1.5 kilometer, menjadi saksi kepada tekad yang tidak mahu lagi ditangguhkan. 

Satu pusingan.. dua.. tiga.. hingga cukup empat. 

Tidak lebih, tidak kurang, cukup untuk membuat dada berombak, cukup untuk menghadiahkan peluh yang jatuh berjejeran seperti butir-butir syukur yang tidak terucap. 


Hari itu bukan sekadar berjalan. Hoodie jaket sauna yang menyarung tubuh menjadi teman yang “menguji”, membakar diam-diam, mengajak peluh keluar tanpa malu. Baju yang dipakai terasa berat, seakan boleh diperah, tanda tubuh sedang bekerja, tanda usaha tidak sia-sia. 

Di hujung langkah, bukan sekadar penat yang dirasa. Ada kepuasan yang halus. Ada tenang yang tidak bising. 

Dan dalam hati, terbit satu doa kecil:

“Ya Allah, panjangkanlah sihat ini… agar tubuh ini masih mampu sujud dengan sempurna, masih kuat melangkah menuju usia 5 series nanti.” 

Esok, mungkin langkah ini akan beralih ke tempat lain. Trek yang berbeza, pemandangan yang baru. Tetapi semangatnya tetap sama, menjaga amanah tubuh yang dipinjamkan. 

Kerana kita sedar, sihat itu bukan sekadar nikmat, tetapi peluang untuk terus hidup dengan makna.

Sunday, 21 December 2025

Cendok Kuali, satu kuali kongsi dua..

'Satu kuali kena kongsi 2 orang'

Cuaca agak panas hari ini.Matahari memancar tanpa segan silu, seolah-olah mengerit kulit kami yang keluar rumah tengah hari begini. 

“Panas-panas macam ni.. pekena cendol memang ngam,” bisik hati, sambil mata sudah mula membayangkan ais yang berkerincing dan manis gula Melaka yang cair di lidah. 

Tanpa banyak fikir, aku membawa Ummu Ikhwan dan anak-anak ke sebuah kedai cendol milik sahabatku di Cenderawasih, tidak jauh dari pusat bandar. Cendol Kuali, nama yang ringkas, tapi cukup menggoda. 

Sebaik melangkah masuk, mata terus tertancap pada menu yang tertera. Satu persatu seperti memanggil, seolah berkata, “pilih aku dulu.” Anak-anak pula sudah tidak sabar, masing-masing ada pilihan sendiri, lengkap dengan senyuman yang tak perlu dipujuk. 

Saat suapan pertama mencecah lidah, terasa benar nikmatnya. Manisnya sederhana, sejuknya menenangkan, dan panas terik di luar seakan-akan hilang perlahan-lahan. Bukan sekadar cendol, tapi momen kecil yang mengikat kebahagiaan keluarga. 

Bahagia itu sederhana. Cukup dengan cuaca panas, semangkuk cendol, dan orang-orang yang kita cintai di sisi.

Friday, 19 December 2025

Salam Jumaat: Damai dan tenang di bawah langit kelabu


Cuaca mendung pagi ini seolah-olah menghadiahkan sebuah kedamaian. Langit kelabu, angin lembut dan dingin, dan hati terasa lebih perlahan dari biasa. 

Dalam perjalanan ke tempat bertugas, aku singgah di sebuah warung kecil. Entah kenapa, aku memang suka menikmati sarapan di warung-warung kampung begini. Ada momen yang sukar digambarkan,  kesederhanaan yang menenangkan, dan rasa “cukup” yang jarang ditemui di tempat lain. 

Sekeping roti canai dan segelas teh tarik menjadi santapan di pagi Jumaat yang berkah ini. Tak mewah, tak istimewa pada rupa, tetapi cukup untuk menyusun semula niat sebelum melangkah ke hari yang panjang. 

Kadang-kadang, bahagia itu hanya singgah sebentar. Asal kita sudi berhenti, menikmati, dan mensyukuri ia sudah lebih daripada cukup. 

Selamat pagi Jumaat teman-temanku yang dikasihi. Moga langkah hari ini dipermudah, dan hati sentiasa diberi damai dan tenang.

Thursday, 18 December 2025

Tulislah yang baik-baik wahai diriku

Tulislah yang baik-baik, walau hanya satu ayat yang terasa sederhana. Kerana kadang-kadang, kita sendiri tidak menyedari betapa tulisan kecil yang lahir dari hati itu mampu mengetuk pintu jiwa seseorang yang sedang mencari arah. 

Mungkin ada insan jauh di sudut dunia, yang tidak pernah kita kenal namanya, sedang bergelut dengan hidup, lalu terjumpa kata-kata yang kamu coretkan. Dan pada ketika itu, Tuhan izinkan tulisanmu menjadi cahaya kecil yang menuntunnya pulang. 

Tidak perlu menunggu hebat untuk memberi manfaat. Tidak perlu menunggu sempurna untuk menginspirasi. Setiap huruf yang ditulis dengan niat baik ada nilainya di sisi Allah. Kadang-kadang, apa yang lahir dari hati akan jatuh tepat ke hati yang lain. 

Maka teruslah menulis yang baik-baik.. kerana siapa tahu, mungkin itulah amal jariahmu yang paling senyap, tetapi paling besar timbangannya. 

Moga Allah menjadikan setiap tulisan kita sebagai titisan hidayah, penyebab perubahan, dan saksi kebaikan yang mengalir tanpa henti hingga ke akhirat.

Allahu al-Musta`an..

Sunday, 14 December 2025

Sarapan pagi, jepuk musim hujan

 

'Jepuk (cekodok) - sedap pulak makan time hujan ni..' 

Asalnya mahu keluar sarapan pagi bersama Ummu Ikhwan. Seperti biasa, pilihan kami tentulah warung kecil di tepi jalan kampung, yang kopinya sederhana, tetapi suasananya sentiasa terasa akrab dan menenangkan. 

Namun hujan turun sejak selepas subuh, perlahan-lahan pada awalnya, kemudian semakin menjadi. 

“Tak apalah, hari lain kita pergi,” tutur Ummu Ikhwan, nada suaranya lembut dan redha. 

Jika diikutkan, boleh sahaja kami keluar. Bukannya ribut, bukannya hujan lebat. Tapi entah kenapa, dalam hujan begini, rasa malas itu datang tanpa dipanggil. Barangkali kerana tubuh mahu berehat, atau jiwa mahu diam seketika. 

Saya menjangkakan hujan cuma singgah sebentar. Rupanya ia setia menemani pagi hingga santak Zohor barulah ia sidang. Itu pun masih renyai-renyai, berkabus, dan langit terus mendung seolah-olah belum bersedia melepaskan awan. 

Hujan begini (di tempat saya), kalau diikutkan hati, tidurlah yang paling nikmat. Berbungkus dalam selimut, bunyi titisan hujan menjadi zikir alam, dan mata pun terpejam tanpa dipaksa, alamatnya tengah hari baru terjaga. 

Tapi dalam malas itu, ada nikmat kecil yang sering kita terlepas pandang. Nikmat duduk diam. Nikmat menangguhkan yang dirancang tanpa rasa rugi. Nikmat menerima bahawa tidak semua hari perlu diisi dengan keluar dan berjalan. 

Ada hari yang Allah jadikan untuk kita berhenti seketika. Untuk duduk di rumah, mendengar hujan, dan mensyukuri sederhana. Kerana bahagia itu bukan selalu di warung hujung kampung, kadang-kadang ia hadir di ruang tamu yang sunyi, bersama secawan air panas dan hati yang tenang. 

Dan pagi itu, kami memilih untuk tidak ke mana-mana, dan kami bersama membuat jepuk (cekodok) air gula untuk dinikmati pagi sebelum makan tengahari.

Tuesday, 9 December 2025

Alkisah sarapan pagi ini

Kenal lagi kat aku ye Budin..

Pagi ini, seperti biasa aku menunggu roti telur dan teh O limau, sarapan ringkas yang selalu menjadi peneman hari-hari yang tenang. 

Belum sempat makanan tiba, ada sahabat kecil datang memanjat kerusi yang kududuki. 

“Eh Budin.. kamu kenal lagi aku, ya?” “Lama dah aku tak singgah makan di sini.” 

Budin adalah panggilan yang kuberikan padanya. Si kucing comel yang selalu muncul setiap kali aku bersarapan di warung ini. Tidak pernah gagal menemaniku. Dan kalau sudah menemani, tentu ada rezekinya. 

Hari ini aku pesan roti telur. Maknanya, roti untukku.. dan telur, seperti selalu, rezeki untuk Budin. 

Melihat dia makan perlahan-lahan, sambil ekornya bergoyang gembira, hati aku tiba-tiba jadi syahdu. Rezeki Allah itu luas. Budin datang sebagai seekor kucing yang mengingatkan aku untuk berkongsi walau sedikit. 

Dan pagi ini, syukur rasanya.. Aku kenyang, Budin pun senang.

Manja Budin lepas makan

Saturday, 6 December 2025

Alhamdulillah, Pagi Yang Basah, Hati Yang Tetap Melangkah


Pagi ini, azan Subuh baru sahaja berkumandang, bunyi hujan sudah memukul bumbung rumah seperti gendang yang tidak sabar-sabar. 

Aku hanya mampu mengeluh kecil, "Nampaknya kensel lah brisk walk pagi ni..". Ada sedikit kecewa.. Nak buat macamana. Tapi hujan kan rezeki, hujan kan rahmat. 

Masuk hampir jam 8, hujan mula malu-malu. Turun renyai, berkabus, macam dia pun sedang fikir nak berhenti ke nak sambung. Aku pula cepat-cepat bersiap, pakai baju sukan, capai kasut, dan siapkan kuda perang, beroda dua. 

Alhamdulillah, hujan berhenti sepenuhnya. Masih ada titis halus, tapi langit sendu tetap memberi peluang. Perjalanan ke trek Balok Pine pun lancar. 

Target aku: 10 pusingan. Itu pun kalau langit tak buat perangai lagi. Masuk pusingan kelima.. Haa, hujan datang balik tanpa segan-silu. Aku terus berhenti dan berlindung di gazebo. 


Sedikit terkilan, ya.. tapi badan sudah panas, peluh pun dah keluar. Lima pusingan tetap lima pusingan. Lebih baik daripada tiada langsung. Betulkan?

Kadang-kadang kita lupa bersyukur pada yang sedikit, sedangkan yang sedikit itulah yang membuka ruang untuk yang lebih besar. 

InsyaAllah kalau cuaca mengizinkan, petang nanti aku sambung lagi. Mungkin aku singgah ke Tasik Pelindung pula, treknya lebih panjang, anginnya pun lebih manja. 

Hari hujan pun boleh jadi indah, asalkan hati tetap mahu melangkah.😊

Thursday, 4 December 2025

Pertama Kali Cuba Goreng Pisang Dengan Sambal Kicap

Eksperimen hari ini

Hari ini saya buat satu eksperimen kecil yang mungkin boleh menggoncang identiti orang Pahang saya, goreng pisang dicicah sambal kicap. 😄

Ya, sambal kicap. Benda yang saya selalu dengar, tapi tak pernah rasa. Selama ini goreng pisang bagi saya ialah “makanan suci” yang dimakan begitu sahaja.. atau kalau nak bergaya sikit, cicah air lada. Standard Pahang. 

Cerita asalnya bermula bertahun dulu. Seorang sahabat kerja (dah bersara pun), orang Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pernah beritahu: “Eh, kami kat Johor makan goreng pisang cicah sambal kicap tau.” 

Masa itu saya terus terdiam. Dalam hati, “Hah? Betul ke ni atau dia nak prank aku?” Maklumlah, kita ni membesar dengan budaya goreng pisang versi ‘single’, tiada pasangan, tiada sos, tiada drama. 

Tapi hari ini, entah kenapa saya tergerak hati nak cuba juga. Pisang nangka beli dengan sahabat yang berkebun, sambal kicap pula baru belajar melalui YouTube (YouTube ni kadang-kadang lebih boleh diharap daripada kawan bagi resepi). 

Dan bila saya cicah.. dan saya rasa..  

Eh, boleh tahan juga! Mulut saya pun macam terkejut kecil, tapi terkejut yang gembira, bukan terkejut macam jumpa biawak dalam stor. 

Lulus! kena dengan tekak 😁

Rupanya manis pisang dan pedas-manis sambal kicap tu saling melengkapi. Macam pasangan drama Melayu, mula-mula pelik, lama-lama sweet. 

Kesimpulannya, hari ini saya belajar satu perkara: Jangan pandang pelik makanan orang lain selagi kita tak cuba. Kadang-kadang yang kita anggap ‘aneh’ itulah yang sebenarnya mungkin sedap. 

Dan.. saya rasa saya dah faham kenapa orang Johor bangga dengan sambal kicap mereka.

#Tapi goreng pisang cicah air lada tetap pilihan utama😁

Sunday, 30 November 2025

Sarapan Nostalgia di Bandaraya Lestari

 

Usai menghantar anak ke terminal bas untuk pulang ke UiTM, kami sekeluarga tidak terus balik. Hati terasa sayang hendak berpisah begitu sahaja dengan pagi yang masih muda. 

Jadi, kami ambil keputusan untuk berjalan-jalan seketika di bandaraya Kuantan. Perut pun kebetulan sudah mula berbunyi minta diisi. Tanpa banyak fikir, kami singgah di Restoran Selera Padang di hadapan Jalan Mahkota, sebuah tempat yang sudah lama saya suka. 

foto Google

foto Google

foto Google

Bukan sekadar kerana makanannya, tapi kerana vibe klasiknya yang mengundang kenangan. Ruang dalamannya dihiasi dengan barang-barang lama, radio kayu, pinggan lama, gambar hitam putih, seolah membawa kita pulang ke zaman dulu yang penuh sederhana. 

Pagi itu, saya dan si Haikal 'yang istimewa' memilih lempeng, manakala Ummu Ikhwan dan angah Irsalina  memilih lontong sebagai teman santapan. 

Harumnya lempeng panas yang baru diangkat dari kuali, lembut disuap dengan sambal tumis bilis, benar-benar menyentuh jiwa yang rindu suasana kampung. 

foto Google

foto Google

Sambil menikmati sarapan, saya termenung sejenak, betapa indahnya detik kecil seperti ini. Sekadar duduk bersama keluarga, berkongsi cerita dan tawa, di sebuah restoran klasik di tengah bandar yang perlahan-lahan sibuk dengan kehidupan. 

Kadang-kadang, kebahagiaan itu tidak perlu dicari jauh. Ia ada di depan mata, di dalam secawan minuman dan sepinggan lempeng di pagi yang damai.

Friday, 21 November 2025

Thank you.. aok sudi neman koi

'Salam Jumaat'

Pagi ini, di warung kecil yang masih berwap teh panas, ia muncul dengan langkah kecil dan mata yang bersinar-sinar. Tak semena-mena ia panjat kerusi sebelah aku, duduk sambil menjulurkan kepala. Matanya jernih. 

“Terima kasih.. mujur aok sudi teman koi makan. Kalau tak, sunyi pulak.” Aku bersuara perlahan, tapi renungannya cukup untuk buat hati aku lembut. 

Sesekali dia jeling aku menyuap nasi. “Aok lapar?” aku tanya. 

Ia diam. Malu-malu, mungkin

“Tak apa.. nanti koi belanja aok ayam goreng. Tapi tak boleh makan sini.. nanti tuan kedai bising.” 

Aku menunjuk bawah meja. 

“Aok makan kat bawah.” Ia segera menurut. 

Aku ketawa kecil. Begitulah kisah sarapan pagi ini, ditemani makhluk kecil yang polos, yang tak minta apa-apa.. cuma sedikit perhatian.

Dan dalam hati, aku bersyukur. 

Kadang-kadang, teman sekecil itulah yang menghilangkan sunyi.

Sunday, 16 November 2025

Di tepi sungai Pahang, aku terkenang..


Aku duduk di jeti kayu yang menghadap sungai Pahang. Airnya mengalir tenang, membawa bersama bayang langit sore dan kenangan lama yang tiba-tiba datang menyinggah. 

Di hadapan, sepinggan nasi berlauk masak lemak cili api ikan kerai tersaji sederhana, lauk kampung yang pernah mewarnai masa kecilku. Di sisi, kacang botor hijau muda menjadi ulam penyeri, renyah dikunyah sambil menikmati desir angin yang lembut menampar pipi. 

Tiada muzik yang lebih indah daripada bunyi alam kala itu, desir air yang memukul tebing, kicau burung yang terbang pulang, dan sesekali bunyi enjin perahu kayu dari seberang. Semuanya berpadu dalam harmoni yang sukar diganti dengan hiruk-pikuk kota. 

Setiap suapan terasa seperti mengembalikan aku ke masa lalu, masa ketika arwah ayah masih di anjung bersama kerusi malasnya yang setia, dan arwah mak masih tersenyum sambil memanggil aku pulang sebelum senja benar-benar turun.

Segalanya terasa dekat, walaupun waktu sudah lama pergi.. 

Masa ketika di meja makan bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi ruang kecil yang menyimpan tawa, teguran dan nasihat yang waktu kini sudah memahat jadi doa dalam hati.

Aku kembali menatap sungai Pahang. Dalam setiap hembusan anginnya, ada bisikan lembut yang menenangkan hati. Dan dalam setiap hembusannya, seolah-olah ada bisikan lembut berkata:  "Hidup ini indah, jika kita tahu menghargai yang sederhana, dan kenangan adalah antara anugerah paling halus yang Tuhan titipkan..."

Saturday, 15 November 2025

Coretan pagi Sabtu yang dingin

'Menekuni lembaran demi lembaran yang mengenyangkan minda'

Hasrat hati nak buat brisk walk pagi ini. Tapi hujan renyai yang turun sebaik sahaja selepas subuh seakan memegang tangan dan berkata, “Rehatlah dulu.” 

Jadi, pagi ini aku biarkan sahaja ritma hujan menepuk lembut atap rumah. Dengan secawan minuman panas di sisi, aku menyelak kembali naskhah yang sudah lama setia dalam simpanan, “MALACCA HAS FALLEN – Keruntuhan Sebuah Empayar Agung”, terbitan 2019. 

Entah bagaimana, aku boleh tenggelam sampai ke muka surat 206 tanpa sedar masa bergerak. Lembaran demi lembaran dihadam mengenyangkan minda. 

Di celah-celah helaian sejarah itu, tiba-tiba terlintas tentang siri imaginasi PENGEMBARAAN MASA ABAD ke-15 - yang telah berhenti pada Part 6 - baca. 

Terdetik juga soalan yang tak pernah terjawab: Perlu ke aku sambung? Ada ke orang nak baca? Atau sebenarnya aku ni syok sendiri je.. 😊 

Tapi, begitulah kan.. Ada cerita yang hidup bukan kerana ramai yang membaca, tetapi kerana hati sendiri terasa ingin bercerita.

Friday, 14 November 2025

Hadiah daripada anakanda


Mr. kurier datang dengan senyum nipisnya, menghulurkan satu bungkusan berat yang dibalut kemas. Saya ucapkan terima kasih, seolah-olah rasa syukur itu tak habis-habis mengalir. 

Rupa-rupanya ia adalah parcel, 'hadiah' daripada anak saya yang sedang menuntut di UITM. Bungkusan itu menampakkan isinya. Empat naskhah buku elok terikat berada tangan saya. 

Saya menghubungi beliau menerusi aplikasi vc. 

"Guna baucer.." terangnya.

“Kenapa tak beli buku untuk pengajian?” saya bertanya sambil membelek bungkusan. 

“Untuk belajar guna online.. ebook..” jawabnya, selamba seperti biasa. 

Saya tergelak kecil. “Zaman abi dulu senget bahu pikul beg. Zaman kamu, bawa tablet je sekeping..” Dia angguk kepala, senyum di hujung bibirnya menguntum. 

Katanya lagi, dia sebenarnya dah beli beberapa novel kesukaannya, rupanya ada lebihan baucer yang kawan hadiahkan. “Dia tak minat membaca. Jadi tak tahu nak beli buku apa..” tambah anak saya. 

Saya hanya mengangguk. Diam-diam saya tersentuh. Dalam banyak pilihan, dia pilih untuk mengisi ‘kelebihan’ itu dengan hadiah untuk ayahnya.. hadiah untuk penyakit saya yang paling kronik, sejarah. 

Akhirnya empat buku itu kini berada dalam genggaman: 

• Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 1

 • Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 2 

• Misteri Taming Sari 

• Pertempuran di Hutan 

Semua genre sejarah. Semua yang seakan memanggil nama saya sejak lama. Anakanda saya memang sudah maklum, minat saya terhadap sejarah ini bukan sekadar hobi, tapi satu ketagihan yang sudah sebati dengan darah dan tulang. 

Saya menatap keempat-empat buku itu. Entah kenapa, hati saya terasa penuh. Bukan kerana judulnya yang menarik, tetapi kerana fahamnya dia akan jiwa seorang ayah yang selalu tenggelam dalam kisah bangsa sendiri. 

Kadang-kadang, hadiah bukan sekadar barang. Ia adalah petanda bahawa seseorang memahami kita lebih dalam daripada kata-kata. 

Dan hari ini, saya menerima bukan empat buku, tapi empat rasa kasih dalam bentuk yang paling sunyi dan indah.

Thursday, 6 November 2025

Catatan Hari Ini – Dalam Sakit Ada Didikan

Banner program

Hari ini tubuh masih belum sepenuhnya kuat. Seluruh sendi terasa berat dan tidak selesa, namun saya gagahkan juga melangkah ke tempat bertugas. Ada beberapa amanah yang perlu dibereskan, dan selagi mampu, saya cuba bertahan. 

Dalam hati, saya hanya mampu memohon, “Ya Allah, Engkau yang menganugerahkan penyakit, di sisi Engkau jua penawar kesembuhannya.” 

Hujung minggu nanti saya dijadualkan ke Raub. Sabtu dan Ahad bersama sahabat-sahabat yang lain. Kami akan bermalam di Kampung Orang Asli (KOA) di Sungai Yol. Program dakwah dan kebajikan yang sudah lebih sebulan disusun, turun naik bertemu agensi, ulang-alik ke kampung tersebut, merancang langkah demi langkah. Tentu ada rasa ralat di sudut hati jika akhirnya tidak dapat hadir. 

Sempat singgah beli, untuk acara lelaki dewasa

Namun, jika ini ketentuan-Nya, apa lagi daya kita? Perjalanan hidup ini bukan milik kita sepenuhnya. Kita merancang sekadar hamba, sedang rancangan terbaik tetap milik Allah. Ada masanya kita ingin berlari, tetapi Dia mengajar kita untuk berhenti, berehat, merenung, lalu menyerah diri kepada takdir-Nya. 

Apapun jalannya, redha itu jalan paling tenang. 

Ya Rabb.. sembuhkanlah. Berikanlah kekuatan untuk melangkah lagi.

Allahu al-Musta`an.. 

Saturday, 1 November 2025

Sarapan Bersama Ummu Ikhwan di Warung Kecil

Pagi ini, aku bersarapan bersama Ummu Ikhwan. Tak jauh mana pun, masih dalam lingkungan lokaliti sendiri, tempat yang sudah akrab dengan langkah dan pandangan mata. Kami memilih untuk singgah di sebuah warung kecil di tepi jalan kampung, warung yang atapnya zink, dindingnya papan separuh, tapi suasananya.. luar biasa damai. 

Aku seperti biasa, memilih roti kahwin, roti lembut paduan roti telur dan roti kosong, kemudian dipanggang hingga keperang-perangan, cukup untuk membangkitkan nostalgia zaman dulu. Ummu Ikhwan pula tidak pernah berubah, tetap setia dengan kegemarannya, roti sardin panas yang baru diangkat dari kuali. 

Sambil ‘mencicip’, kami berbual santai tentang hal-hal kecil yang indah, tentang hari semalam, tentang pokok jambu di halaman rumah yang mula berputik, tentang burung-burung yang setiap pagi datang bertandang di pagar. Di sekeliling, pohon kelapa melambai perlahan, dan dari jauh kedengaran bunyi ayam jantan masih bersahut-sahutan. 

Aku menghirup indo-cafe panas pekat yang dihidang dalam gelas kaca. Wapnya naik lembut, mengisi udara dengan aroma yang mesra di hidung. Angin pagi menyapa lembut wajah, membawa bersama rasa syukur, kerana dalam hidup yang serba pantas ini, masih ada waktu untuk berhenti sejenak, menikmati pagi dengan tenang, ditemani insan yang dekat di hati.

Monday, 27 October 2025

Makan aiskrim malam di Mixue

Setiap hari bila pulang dari kerja, saya akan melalui deretan kedai moden yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, Mixue, Momoyo, dan macam-macam lagi. Tak jauh pun dari rumah, berjalan kaki pun belum sempat berpeluh. 

Tapi entah kenapa, tak pernah lagi terlintas nak singgah. Mungkin sebab jiwa masih pekat dengan cara hidup generasi X — minum teh panas lebih nikmat daripada makan aiskrim malam-malam. 

Tapi malam ini lain ceritanya. Anak-anak bersungguh-sungguh mengajak saya dan Ummu Ikhwan ke Mixue. “Makan aiskrim malam-malam?” saya separuh bergurau. Terus teringat zaman kecil dulu, pantang arwah mak nampak kami makan aiskrim waktu malam, katanya “nanti batuk!” Nak makan, tunggu siang esok. 

Aiskrim dulu pun bukanlah sehebat sekarang; cuma ais batu dalam plastik panjang, berperisa sirap, oren, atau jagung, atau perisa bubur kacang. Orang kampung panggil “aiskrim Malaysia.” Tapi nikmatnya, aduh.. tak ada tandingan. 

Akhirnya malam ini saya dan Ummu Ikhwan akur juga dengan ajakan anak-anak. Lagipun, bukan selalu dapat duduk bersama sambil bergelak kecil, menikmati manisnya aiskrim dan lebih manis lagi, masa bersama keluarga. 

“Oh ya, kamu tolong order ya.. Abi dan Ummi ikut aje.” 

Di meja itu, sambil menyedut aiskrim perisa mangga lembut, saya sempat tersenyum sendiri. Zaman berubah, citarasa berubah, tapi kasih dalam keluarga tetap manis, tak pernah cair ditelan waktu.

Perisa mangga