Sahabat Sejati

Saturday 31 January 2015

Betul ke pelihara ikan boleh elak ilmu Pukau?

Soalan: 

Ustaz, terlalu banyak kejadian kecurian di rumah atau premis perniagaan, pencuri memasuki bangunan tersebut dengan menggunakan apa dipanggil ilmu pukau. Betulkah ada ilmu pukau? Sehinggakan yang tidak tidur pun dipukau juga? Ada kepercayaan bahawa untuk mengelakkan pukau, maka hendaklah dipelihara ikan di dalam rumah. Betulkah ini ustaz dan bolehkah diamalkan? 

Jawapan:

Saya secara peribadi kurang arif fasal pukau. Kata orang, pukau adalah untuk membuat orang yang sedang tidur, akan tidur semakin nyenyak sehingga tidak disedari apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Ada juga dikatakan, dipukau orang yang sedang sedar, boleh berdialog dengannya tetapi dikuasai minda orang itu sehingga boleh menurut apa sahaja kehendak orang yang memukaunya tanpa daya melawan atau berlepas diri daripadanya. 

Hal-hal sebegini acap kali didedahkan kepada saya. Oleh itu sebagai kesimpulan, hal-hal sebegini memang boleh berlaku dalam masyarakat kita. Pukau ini sebenarnya, suatu ilmu atau teknik yang digunakan seperti mana di Barat. Ia dinamakan sebagai ‘hypnotism’ atau disebut dengan istilah ‘hypnotic’. 

Kamus dewan merujuk ‘hypnotism’ sebagai memukau atau terpukau, sama juga dengan ‘hypnotic’ yang disebut sebagai renungan yang memukau. Umum mengetahui bahawa ‘hypnotism’ ada suatu teknik penguasaan diri sendiri melalui beberapa latihan kerohanian dan teknik memandang ke arah sesuatu perkara atau objek termasuk manusia. 

Dikatakan boleh berlaku dengan pancaran kekuatan dalaman orang yang mengamalkan ‘hypnotism’ ini, boleh mendatangkan suatu tenaga khusus baginya untuk menguasai orang lain. 

Ia termasuk menidurkan orang yang sedang sedar atau menguasai fikiran orang itu dengan tenungan dan kadang-kadang dengan hembusan. Teknik hembusan juga termasuk dalam salah satu cabang ilmu sihir dengan kekuatan kuasa hembusan yang dikaitkan dengan asosiasi (perhubungan) dengan makhluk halus, maka berlaku penguasaan sepenuhnya atau sebahagian ke atas seseorang. 

Amalan menggunakan pandangan mata sehingga berlaku suatu proses pukau, jika dilihat pada pandangan syarak, kita dapati bahawa ada isyarahnya dalam as-Sunnah. 

Antara lain Rasulullah saw ada menyebut tentang pandangan mata seperti dalam hadis (mafhumnya): Ibnu Abbas ra berkata, Rasulullah saw bersabda: "Bahawa pandangan mata yang mengakibatkan sesuatu keburukan adalah benar (boleh berlaku). Andainya ada sesuatu yang seolah-olah mendahului al-­Qadar, maka didahului oleh pandangan mata.” 

Dalam hadis lain Abu Hurairah berkata (mafhumnya): “Nabi pernah menyebut al-‘ain (pandangan mata) adalah benar (boleh berlaku).” (Sahih Bukhari Muslim) 

A1-Hafiz Ibnu Hajar dalam ulasannya tentang hadis-hadis ini menyebut bahawa pandangan mata seseorang itu ke atas sesuatu, boleh mendatangkan hasad dengki kepadanya, lalu ditemukan objek itu di samping tabiat buruknya muncul, boleh mendapat kemudaratan kepada yang dilihat. 

Ash-Syanthiti pernah menyebut bahawa, jiwa-jiwa yang kotor mempunyai kesan yang kotor juga kepada yang dilihat. 

Semuanya ini selari dengan apa yang disebut oleh Allah SWT yang mafhumnya: 
“Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka tatkala mereka mendengar al-Quran dan mereka berkata: “Sesungguhnya (Muhammad) itu benar-benar gila.” (Surah al-Qalam, ayat 51) 

Ayat ini menjadi rujukan kepada hal-hal penyakit yang berpunca daripada pandangan atau renungan mata. Malah dalam beberapa hadis lain menga­takan ‘unta boleh masuk ke dalam periuk kerana pandangan mata’. Maksudnya unta boleh mati, tapi disembelih dan dijadikan hidangan makanan. 

Demikian peranan mata. Oleh itu hal-hal pukau memukau mi, termasuk dalam amalan yang tidak diharuskan oleh syarak. Lagipun digunakan ilmu pukau untuk tujuan keburukan seperti merompak, mencuri dan sebagainya. 

Sememangnya apabila berlaku sesuatu yang tidak baik, ada pencegahnya. Disebut dalam perubatan, sebagai vaksin. Saya sendiri tidak pasti apakah dengan membela ikan boleh menghalang atau menghadang dari berlakunya pemukauan. 

Pada pemerhatian saya, apa yang berlaku, ada rumah yang membela ikan, dimasuki pencuri dan tuannya sedar. Ada pemilik sebuah kedai ikan (kenalan saya), menjual ikan-ikan hiasan di rumah termasuk ikan kelisa, dicuri orang dalam keadaan beliau dan pekerjanya sedar, tetapi dicuri di hadapan mata. 

Sukar untuk dipercayai, sekadar membela ikan boleh menghindari kejadian seperti itu. Bagaimanapun untuk menghindarinya, lebih baik kita rujuk kepada amalan-amalan sunnah. 

Seperti yang pernah disebut Nabi (maf­humnya), bahawa sesiapa yang memakan tujuh biji ajwah (tamar madinah), maka dia tidak akan terkena sihir. 

Kesimpulannya untuk menghindarkan diri dari sihir atau ilmu pukau, lakukan amalan berikut setiap hari; 

1. Baca doa berikut: 

“Dengan nama Allah, tidak akan berlaku kemudaratan di samping nama-Nya itu, sesuatu yang turun dari langit atau dari bumi, dan Dialah Allah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

2. Ayatul Kursi 

3. Al-Muawwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq & an-Naas) 

4. Berniat lakukan amalan di atas agar Allah hindarkan dari apa jua bahaya. 

Inilah amalan yang diterima oleh syarak. Wallahu a’lam. 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Friday 30 January 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 10

Salam Jumaat..


Sekuntum mawar yang dihadiahkan kepada seseorang pada masa hidupnya lebih baik daripada sejambak di atas kuburnya!

Mood#Senyum...

Bicara santai: Celoteh-celoteh pagi Jumaat (Ingatan buat diri sendiri)


Jam menunjukkan 12.10 pagi ketika saya bersama ummu Ikhwan dan juga si ‘istimewa’ Haikal tiba di rumah. Suasana terasa agak sunyi. Jiran kiri dan kanan telah pun bergelap rumahnya, mungkin sedang enak dibuai mimpi. Demikianlah Allah SWT menjadikan tidur sebagai rehat kepada jasad setelah berpenat mencari penghidupan pada siangnya. 

Sebenarnya kami bertiga baru pulang dari Pusat Tarbiyah Indera Mahkota atau ringkasnya Putra. Pada setiap hari Khamis bermula jam 9.30 malam diadakan kuliah haraki dan malam ini kuliah haraki telah disampaikan oleh al-Fadhil Tuan Guru Dato Tuan Ibrahim Tuan Man. Hmm, laju sahaja tangan saya mencatat bait-bait mutiara kata yang diperolehi. Yalah, jika tidak dicatat nanti lupa pula. Maklumlah orang tua, ingatan semakin berkurang seiring berlalunya usia.

Alhamdulillah, sebelum melelapkan mata sempat juga menjengah sebentar ke ‘pondok kecil’ abuikhwan. Rasanya tiga atau empat hari juga saya tidak mengetuk pintunya. Blog sahabat-sahabat juga tidak sempat dikunjungi dek kerana kesibukan yang menempel. Namun, saya sentiasa tidak lupa untuk mengunjunginya di senggang waktu yang terluang. Blog sahabat-sahabat banyak memberikan informasi dan inspirasi kepada saya untuk terus menulis (baca: membebel), biarpun kadar kemampuan yang dimiliki tidaklah se’gah’ mana. Sekadar gitu-gitu. Selebihnya menumpang semangat sahabat-sahabat semua. Insya-Allah. 

Awal tahun 2015 ini terasa kesibukan lebih daripada biasa. Dari pagi membawa ke petang, kemudian melarat ke malam hari. Perkara biasa di awal tahun. Menguruskan persekolahan anak-anak, program kebajikan, urusan kerja dan sebagainya. Sementelah pula baru-baru ini berlaku musibah banjir yang agak teruk, maka semakin padat jadual harian. Allahu rabbi, mudah-mudahan kesibukan ini ada nilai disisi-Nya serta menambah perisa kepada kualiti hidup. Malahan cerdik pandai turut mengingatkan: “Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.” Maknanya setiap hari adalah ruang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi hidup. 

Bimbang sangat-sangat jika kualiti hidup semakin menurun dengan kesibukan ini. Kita sangka kesibukan kita meningkatkan prestasi dan kualiti kehidupan serta ada harga di sisi-Nya, rupa-rupanya ia kosong daripada sebarang rasa iman dan taqwa. Sebabnya tiada niat kerana Allah SWT dalam memikulnya. Nad`uzubillahi min zalik, saya benar-benar mengingatkan diri sendiri. Tentunya, jika kita menyampaikan sesuatu peringatan kepada orang lain sebenarnya kita lebih mengingatkan diri sendiri. Telinga yang lebih hampir dengan mulut kita adalah telinga kita sendiri. 

Dua tiga hari yang lalu juga tahap kesihatan yang agak kurang memuaskan sehingga memaksa saya mengambil cuti sakit. Lalu terisilah ‘dunia’ saya hanya berkisar di dalam rumah dan di atas tilam. Untuk meredakan resah perasaan saya menghadam kasih sayang Allah SWT di dalam firman-Nya: 

“Allah tidak membebani seseorang kecuali dengan apa yang dia mampu.” (al-Baqarah: 286). 

Allah SWT juga berfirman: 
“Tiada satu musibah yang menimpa di bumi dan dirimu melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh demikian itu mudah bagi Allah, supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang hilang darimu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. (al-Hadid: 22-23) 

Orang yang beriman percaya dan yakin bahawa apa sahaja yang ditaqdirkan oleh Allah SWT itu baik dan ada hikmahnya. Tidak mungkin Allah SWT menjadikan sesuatu itu hanya sia-sia. Tentunya bagi yang ditimpa musibah, mereka mengharapkan pahala dan kebaikan yang tidak terhitung nilainya. Demikianlah jua yang saya harapkan ke atas diri saya yang serba kekurangan dengan sedikit ujian ini. 

Rasulullah saw bersabda: 
“Ujian selalu bersama orang beriman lelaki dan perempuan, baik pada diri, anak dan hartanya, sampai dia bertemu Allah dalam keadaan tidak mempunyai satu kesalahan pun.” (Sahih. Riwayat at-Tirmidzi) 

Sabda baginda lagi: 
“Tidaklah seorang muslim terkena musibah penyakit atau yang lainnya kecuali Allah menghapuskan kesalahannya seperti pokok menggugurkan daun-daunnya.” (Bukhari dan Muslim). 

Allahu al-musta`an...

Sunday 25 January 2015

Pisang dan kenangan yang ada padanya


Dalam perjalanan pulang dari bandar Kuantan tadi, saya singgah sebentar di gerai kayu tepi jalan yang menjual buah pisang. Beraneka jenis pisang yang bergayutan di luar dan di dalam gerai termasuk yang berlonggok di atas pangkin. Ada pisang Berangan, pisang Emas, pisang Lemak Manis dan sebagainya. Ada yang ranum kekuningan dan ada yang masih hijau kulitnya tetapi telah pun tua. 

Gerai tersebut hanya beberapa langkah daripada simpang masuk ke Taman Satelit Beserah dan juga hutan rekreasi Jeram Paip. Saya pernah membawa pelajar-pelajar berkhemah di Jeram Paip dalam program motivasi beberapa tahun dulu. 

Boleh dikatakan kerap juga saya singgah di gerai tersebut untuk membeli buah pisang sekiranya melalui jalan tersebut. Dek kekerapan singgah membeli pisang, sehinggakan pemiliknya sudah mesra dengan saya. Pemilik gerai pisang tersebut yang dalam lingkungan usia 60-an, sentiasa mengenakan kopiah putih di kepalanya saya panggil dengan panggilan pak haji. Sentiasa lembut dan tenang dalam ulas bicaranya. 

Alhamdulillah setelah puas memilih, dua sikat buah yang kaya dengan potassium ini menjadi milik saya. Bolehlah dimakan sambil menonton televisyen malam nanti. Tetapi dua sikat pisang ini rasa-rasanya tidak sempat sampai tengahari esok. Kebetulan, kami sekeluarga memang gemarkan pisang tetapi tidaklah sampai dianggap hantu pisang. Kadang-kadang sengaja saya membeli tambahan beberapa sikat lagi supaya ummu ikhwan boleh membuat cekodok untuk dinikmati pada waktu petang sambil diganding dengan kopi ‘O’. 

Buah yang berkhasiat 

Buah pisang kaya dengan potassium yang merupakan mineral penting yang menjaga tekanan darah normal dan fungsi hati. Selain itu, memakan pisang secara rutin akan membantu tubuh menyerap kalsium secara lebih baik. Pisang juga mengandungi banyak fruktooligosakarida, yang merupakan prebiotik atau bakteria yang baik bagi usus besar. Bakteria ini mengeluarkan enzim serta vitamin yang meningkatkan kemampuan penyerapan nutrisi serta melindungi terhadap mikroorganisma jahat. Kemampuan tubuh untuk menyerap kalsium juga menjadi lebih baik, sehingga bagus untuk tulang. Malahan, risiko kanser usus juga berkurangan. 

Selain itu, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur. Bagi yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam. Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk. 

Demikianlah apa yang saya baca di dalam beberapa jurnal kesihatan. Rupa-rupanya banyak khasiat dan kebaikan buah pisang ini. Sebelum ini saya cuma makan sahaja kerana tanpa mengira apakah khasiat dan fungsi kebaikan yang ada padanya. Bagi saya, buah-buahan memang mempunyai khasiat, itu sahaja. Nampaknya selepas ini saya perlu banyak membaca mengenai khasiat dan kebaikan buah-buahan yang saya minati. 


Pisang di dalam al-Quran 

Buah pisang ada disebut dalam Surah al-Waqi'ah (tolh mandhud) sebagai antara buah-buahan syurga. Kata pisang (dalam bahasa Arabnya الموز) berasal dari bahasa India (موزا), dan namanya dalam bahasa Arab adalah sebagaimana yang tercantum dalam al-Qur’an, yaitu الطلح. Dalam bahasa Inggeris, pisang disebut banana tetapi menurut Dr Sigrid Hunke, seorang orientalis dari Jerman, perkataan banana itu juga diambil dari perkataan bahasa Arab iaitu Banan. Orang Arab menyebutnya dengan Banan (jari-jari), karena ia mirip dengan jari-jari kedua tangan. 

Anda boleh rujuk karya beliau yang menceritakan tentang tamadun Dunia Islam yang mengkagumkan, didedahkan tentang inovasi umat Islam dalam bidang sains dan teknologi yang banyak mempengaruhi kehidupan manusia di zaman moden. Dalam versi Arab judulnya Shams al-'Arab Tasta' 'ala al-Gharb, manakala dalam versi Inggeris, The Sun of Arabs Shining On The West. Tetapi saya fikir tajuknya tidak berapa kena. Sepatutnya perkataan Arab perlu diganti dengan perkataan Islam. Mungkin kebanyakan orang barat apabila melihat orang Arab maka ia bermakna Islam. Orang kita pun ramai yang begitu. Dulu-dulu pernah saya mendengar ada orang berkata apabila menonton drama arab: 

“Tengok, orang Arab pun tak pakai tudung...” 

Hairan juga. Apa kaitan tudung dengan orang arab. Oh, mungkin dia merasakan arab adalah Islam dan Islam adalah arab. Mana mungkin begitu. Arab hanyalah salah satu bangsa sepertimana bangsa melayu, cina dan sebagainya. Manakala Islam adalah agama dan cara hidup milik semua bangsa yang menganutnya. Namun sekarang ini rasanya sudah tidak ada yang berpandangan begitu, kalau ada pun segelintir sahaja. 

Eh, saya sudah terlalu asyik mengisahkan perihal yang menghilangkan corakan asal kisah yang menjadi judul entry ini. 

Rindu, rindu


Saya sangat merindui saat dan waktu di kampung dahulu. Terhimbau kenangan saat menjenguk ke jendela di belakang rumah. Banyak tanaman yang melatari pandangan mata. Arwah emak memang rajin bercucuk tanam. Bermacam-macam jenis pokok termasuk pokok pisang. Saya sering mendapat tugas menebang pokok pisang tatkala ada buahnya yang telah masak. Maklumlah saya anak paling kecil sementara abang-abang dan kakak-kakak telah pun keluar membina keluarga sendiri.

Setelah pokok pisang yang ditebang tumbang menyembah bumi, saya akan menyisir satu persatu sehingga tinggal tandannya sahaja. Kemudian emak pula akan memasukkan pisang tersebut ke dalam guni untuk diperam. Ubat kabait dimasukkan sekali agar proses pemeraman menjadi lebih cepat. Terasa tidak sabar menunggu pisang masak untuk dimakan begitu sahaja atau digoreng dan sebagainya. Jika banyak pisang yang masak, emak akan memasukkan ke dalam beg-beg plastik lalu saya akan menghantar ke rumah-rumah jiran berhampiran. Sambil menunggu emak membahagi-bahagi, saya ‘retus’ juga sebiji dua buah yang hampir terlerai dari sisirnya. Subhanallah, terasa manis dan enak sekali isinya. 

Kadang-kadang daripada pisang tersebut emak membuat lepat pisang. Campuran tepung gandum dan pisang yang dipenyek serta ramuan lain dibungkus dalam daun pisang sebelum dikukus. Aroma yang terhasil daripada segera membangkitkan selera. Selalunya emak membuatnya untuk makan pagi atau minum petang. Sambil dihembus lembut angin petang kami sekeluarga menikmatinya di atas beranda rumah pusaka bersama jiran yang datang bertandang. Alangkah indah saat mengingatinya. 

Kini, jika saya pulang ke kampung, saya masih mampu menoleh ke belakang rumah. Namun, pemandangan sudah tidak sama seperti dahulu. Pokok-pokok pisang yang dulu banyak berumpun sudah tiada lagi. Tiada siapa yang mahu menanamnya, lalu naiklah semak dan menerung yang meliar. Menjadi tempat tinggal sesetengah haiwan dan serangga. 

Sesungguhnya, kenangan demi kenangan silam yang terbayang diruangan mata, bagaikan sebuah tayangan filem lama. Semuanya berputar-putar bagaikan menggamit hati dan perasaan untuk kembali ke saat itu. Benar, biar masa telah lama berlalu, namun kerinduan tidak pernah padam walau sepicing cuma. 

Rindu, rindu...

Friday 23 January 2015

Taman syurga: KULIAH AGAMA Bersama Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah


Assalamualaikum warahmatullah.
Kepada yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput hadir ke program majlis ilmu bersama al-Fadhil Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah.
JUMAAT (23 JANUARI 2015)
: Khutbah Jumaat dan Kuliah Maghrib di Masjid Qaryah Balok

SABTU (24 JANUARI 2015)
: Kuliah Subuh di Surau Taman Idaman Bayu, Cengal Lempong

Biodata ringkas: 

Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah dilahirkan di Kuching,Sarawak pada 22 Disember1980. Memulakan alam persekolahan di SRK Kg Selampit, Lundu dan seterusnya ke SMK Lundu dalam bahagian Kuching. Memeluk Islam pada tahun 2002 dan mendaftar secara rasminya pada 23 September 2003 di M.A.I. Selangor. Kemudian mengikuti pengajian awal dalam bidang agama di Institut Dakwah Islamiah PERKIM, Kelantan. Seterusnya ke Madrasah Al-Irsyad, Penang, Kuliyyah Pondok Darul Nai’m, Kelantan dan Madrasah Al-Hidayah,Terengganu.

Berasal dari keluarga yang menganuti Kristian Katolik. Ibu dan 2 orang abangnya merupakan penganut yang taat dan mempunyai jawatan dalam gereja. Beliau sendiri pernah menjadi Pembantu Paderi selama beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Telah berjaya mengislamkan 13 individu termasuk 1 keluarga sepanjang berdakwah dilapangan dakwah melalui internet, diskusi dan lain-lain.

Kini aktif menyampaikan ceramah, kuliah, membentang kertas kerja, ahli panel forum di jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan korporat dan swasta, institusi pendidikan seperti SMK, Universiti dan Institut Latihan, masjid dan surau seluruh negara. Beliau juga sering dijemput jabatan kerajaan, swasta mahupun institusi pendidikan dan syarikat-syarikat motivasi dan latihan ke program atau kem remaja sebagai penceramah, ketua fasilitator mahupun sebagai Pengarah Program. 

Catatan Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah:

"Pada pertengahan tahun 2002, ketika masih bekerja di Sunway Pyramid, saya terlibat dalam gangsterism, kaki pub dan disko. Ketika saya benar-benar dihimpit pelbagai masalah. Suatu pagi ketika balik dari disko, saya cuba melelapkan mata setelah meminum arak demi untuk melupakan masalah dan mencari ketenangan. Namun ia tetap berlegar-legar dalam fikiran saya bahkan wajah ibu, ayah dan adik-adik di kampung membuatkan saya semakin tidak keruan. Dalam keadaan seperti itulah azan subuh berkumandang dari masjid yang terletak tidak jauh dari apartment yang saya duduki. Itulah permulaan hati saya terbuka untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam.

Kerana azan pertama tersebut membuatkan hadirnya perasaan damai dan tenang yang tidak pernah saya miliki sebelum itu walaupun tidak saya fahami maksud kalimah azan tersebut. Selesai seruan azan tersebut saya menangis seperti anak kecil didalam bilik saya kerana mengenangkan ibu bapa dan adik-adik yang tidak pernah saya ambil peduli setelah saya berhijrah ke Semenanjung dari Sarawak. Hati saya memohon agar Tuhan memberikan saya petunjuk untuk berubah dari kehidupan yang penuh dengan sosial. Itulah kali pertama saya menangis sperti anak kecil dan kali kedua saya menangis sperti anak kecil adalah ketika saya difitnah semasa saya dalam proses mendalami ilmu agama.

Ucapan Saudara Idris Tawfik ini benar-benar membuatkan saya sebak kerana saya sendiri menemui hidayah dari Allah Ta'ala melalui pembacaan dalam bab solat. Pada suatu ketika, saya telah terbeli sebuah buku berjudul PEMBERSIH KALBU, karya Imam al-Ghazali. Ketika membaca bab solat yang menceritakan tentang didikan ataupun rahsia Allah dalam solat. Saya merasakan suatu perasaan yang hadir dalam diri saya yang amat sukar untuk saya jelaskan.

Pembacaan demi pembacaan dan renungan demi renungan membuatkan saya yakin bahawa solat cara Islam adalah formula terbaik untuk mengenali diri dan al-Khaliq. Bahkan dengan Islam sahajalah saya mampu mengubah liku-liku perjalanan hidup saya. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah. Hari ini saya bangkit dari kehidupan di alam jahiliyyah kepada Islam.

Saiydina Umar al-Khattab pernah menyebut dalam kata-katanya yang mahsyur : "Sesungguhnya ikatan yang ada pada Islam akan terungkai satu demi satu,apabila munculnya dari kalangan umat Islam,yang mana mereka ini tidak kenal apa itu jahiliyah.

Allahu Akbar!!! Pengalaman hidup di alam jahiliyyah banyak mengajar saya erti menghargai dan mensyukuri nikmat Iman dan Islam. Daripada berbilion masyarakat bukan Islam di atas muka bumi ini, Allah memilih Saudara Idris Tawfik dan saya untuk menyusuri jejak langkah orang-orang yang beriman kepadaNya.

Benarlah firman Allah Ta'ala: "Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah, akan diberiNya hidayah,lalu dilapangkan dadanya untuk menerima Islam".

Abdullah Ibnu Mas'ud bertanya akan Nabi Sollallahu A'laihi Wasallam: "Apakah yang dimaksudkan dengan dilapangkan dada itu Ya Rasulullah? Jawab Baginda: "Cahaya (hidayah) di masukkan kedalam hatinya".

Sehingga kini, dalam kuliah mahupun ceramah saya sering menekankan dalam masalah didikan dan rahsia Allah dalam solat. Begitu juga penekanan dalam memahami dan menghayati ta'rif mendirikan solat dengan menunaikan solat. Hari ini, umat Islam kebanyakannya menunaikan solat, mereka sebenarnya belum lagi mendirikan solat. Tanyalah apa rahsia Allah ketika ketika lurus dan rapatkan saf, ketika kita bertakbir untuk memulakan solat, ketika kita qiyam dalam keadaan menghadap qiblat, memandang tempat ruku', sujud dan lain-lain lagi. Pasti ramai yang tidak mengetahuinya.

Bagaimana kita hendak mendabik dada mengaku kita telah mendirikan solat. Allahu Ya Rabbi...

Kata Idris Tawfiq lagi: "Dan pada peringkat saya membaca petikan daripada ayat 83 dalam Surah al-Maidah yang bermaksud: "Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah,engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan mereka mengetatahui (dari Kitab mereka) akan kebenaran (al-Quran)" 

Tidak semena-mena hati saya begitu sayu oleh makna ayat itu. Saya tidak mampu menahan air mata yang gugur walaupun berusaha untuk melindunginya daripada dilihat oleh anak murid saya". 

Sebelum daripada itu, beliau telah membaca ayat ke 82. Begitu hebatnya ayat-ayat Allah Ta'ala sehingga mampu menggetarkan hati manusia, mampu mengalirkan air mata manusia bahkan mampu melembutkan hati manusia yang keras.

Monday 19 January 2015

Cuma bicara santai

 'Kesan-kesan banjir di SMAPT, bangunan Aspuri di belakang sana terjejas teruk di tingkat bawah'

Hari ini sekali lagi saya ke Jerantut, menghantar anak sulong saya balik ke asrama di SMAPT. Kali ini saya ke sana dengan kereta kerana turut membawa barang-barang keperluannya. Jika diikutkan sesi persekolahan bermula pada minggu lepas, tetapi pihak sekolah terpaksa melewatkan seminggu akibat banjir yang melanda. Saya difahamkan oleh salah seorang guru pada hari pendaftaran minggu lepas, paras air banjir sehingga mencecah lantai tingkat dua sekolah. Bayangkan! Bahkan, hari ini saya masih dapat melihat kesan-kesan kerosakan yang masih tinggal. 

Saya merasakan dalam minggu ini sesi persekolahannya tidak berapa sempurna akibat kesan banjir tersebut. Banyak kelas-kelas yang masih dalam usaha baik pulih. Buku-buku teks pun tiada lagi kerana bilik yang menyimpan buku teks turut tenggelam dan merosakkan kesemua buku yang disimpan. Manakala kesemua pelajar yang tinggal di asrama perlu membawa tilam dan bantal sendiri sementara menanti bantuan daripada pihak kerajaan negeri. Entahlah bila bantuan tersebut tiba, harap-harap cepat.

Tahun ini tiga orang anak saya tinggal di asrama, Selain along Ikhwan yang memasuki tahun ke 5 dan angah Salina yang pula memasuki tahun ke 3 menetap di asrama. Manakala acik Adawiyah yang merupakan tahun pertama di peringkat menengah, turut tinggal di asrama. Maka tinggallah saya bersama Ummu Ikhwan melayani karena si budak ‘istimewa’ Imamuddin Haikal. “Aku tengok kamu, kamu tengok aku”, begitulah keadaannya. 

Hmm, teringat pula waktu dulu-dulu, ketika anak seorang. Bezanya ketika itu kami berdua masih muda belia, tetapi kini usia masing-masing hampir menjengah senja. Melayani hari-hari yang berlalu dengan belas ehsan-Nya. 

Perpisahan di dalam kehidupan ini pasti akan berlaku. Anak-anak memasuki asrama ataupun apabila anak-anak mula membina kehidupan mereka sendiri. Namun itu hanyalah perpisahan yang sementara. Ada masa-masa bertemu semula. Perpisahan yang hakiki adalah tatkala nyawa yang dipinjamkan kembali dipulangkan kepada pemiliknya. Ketika itu tiada siapa yang dapat menahannya. Maka berpisahlah seseorang dengan kehidupan dunia ini. Semuanya ditinggalkan, harta, rumah, keluarga, sahabat handai dan sebagainya.   

Analogi kehidupan 


Cuba kita lihat daun-daun kering yang berguguran, melayang-layang tanpa kemudi di pupuk angin petang. Tidakkah kita terfikirkan sesuatu?

Daun kering itu asalnya dari sebutir biji benih. Lalu berpucuk tunas, muda, lemah dan mudah patah. Kemudian ia semakin melebar, semakin hijau warnanya dan menjadi dewasa dan kuat. 

Hari silih berganti, daun yang hijau tampak kekuningan. Selepas itu bertukar menjadi coklat. Layu dan kekeringan. Akhirnya gugur ditiup angin. Begitulah hayat sehelai daun. 

Demikianlah gambaran kehidupan jika boleh kita umpamakan. Setiap detik dan ketika kita akan mengalami perubahan demi perubahan, perpindahan demi perpindahan yang telah ditetapkan dalam taqdir-Nya. Namun, daun kering itu hakikatnya hanyalah daun kering. Ia tiada diberati dengan ‘sesuatu’. Tiada pertanyaan baginya, apakah yang telah dilakukan semasa hidup. Tiada baginya perkiraan dosa dan pahala, syurga maupun neraka. Sebaliknya manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian, terpikul di atas pundaknya satu amanah yang besar. Mengikat janji mengakui bahawa Dia adalah Tuan dan kami adalah hamba. 

Allah SWT berfirman:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku ini Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". (al-A`raf: 172) 

Demikianlah ikatan janji yang menjadi amanah besar atas setiap manusia yang mukalaf. Tiada siapa dapat melepaskan ikatan ini melainkan kerugian dan penyesalan yang tiada kesudahan. Oleh itu, pastikan ia sentiasa digenggam seeratnya. 

"Bukankah Aku ini Tuhan kamu?" 
"Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi" 

Allahu rabbi...

Friday 16 January 2015

Rileks Minda: Pesan Murabbi 9

Salam Jumaat..


Semua manusia mengharungi saat kedhaifan
Hatta mawar disepoi angin dan disentuh titisan hujan...
Namun mawar tidak patah sebaliknya wangian harum dilontarkan

Thursday 15 January 2015

Coret-coret tiada idea...


Entah apa yang mahu dikongsi malam ini. Buntu. Sambil-sambil menunggu ilham turun dari langit tinggi, saya membelek-membelek artikel lama di dalam ‘pondok kecil’ abuikhwan ini. 

Sesekali terfikir semacam tidak percaya, saya masih bertahan untuk istiqamah menulis di blog ini. Walaupun ada masa-masa tertentu datang juga bisikan entah dari mana supaya tawaquf menulis. “Ada orang mahu baca ke?” Wah, jahat sungguh bisikan itu. Yalah, saya pun bukannya mahir menulis. Sekadar gitu-gitu sahaja, kaita wa kaita kata orang arab. 

Di sisi yang lain pula, datang bisikan yang berkata, rugi juga jika tidak menulis kerana ia adalah peluang dan ruang berdakwah yang mudah di langit nan terbuka ini. Manalah tahu satu perenggan pendek sahaja amar ma`ruf nahi mungkar yang ditulis dengan niat mencari redha Allah, maka itulah yang dinilai setingginya oleh-Nya. Tidakkah ia sangat menguntungkan! 

Diriwayatkan Saiyidina Umar ra. berkata, Allah SWT menyembunyikan 4 perkara di dalam 4 perkara. Di antaranya ialah Allah SWT menyembunyikan keredhaan-Nya dalam sesuatu ibadat. Oleh itu jangan remehkan ibadat walaupun kecil, kerana mungkin itulah yang Allah SWT redha. 

Mengingatkan kata-kata ini, lalu saya kembali bersemangat untuk menulis. Biarpun perasaan segan ada juga menempel, dek kerana tidak sebaik tulisan sahabat-sahabat yang lain. Kadang-kadang ada juga terbit rasa cemburu (yang halal) tatkala membaca coretan sahabat-sahabat. Saya tertanya-tanya, dari mana dan bagaimana sahabat-sahabat mendapat idea untuk menulis dengan baik. Kalaulah boleh dipinjam sebentar metode tersebut, hmm.. 

Oh ya, Sabtu lepas saya telah menerima 6 kotak berupa pakaian terpakai yang dikirim melalui pos oleh seorang sahabat, agar saya panjangkan kepada mangsa banjir di pantai timur. Sahabat alam maya dari Sarikei Sarawak ini saya jolokinya dengan panggilan ummi. Alhamdulillah, semalam telah saya serahkan 4 kotak kepada wakil sebuah badan kebajikan Islam yang akan ke Kelantan pada 17 Januari ini. Manakala selebihnya akan diserahkan kepada wakil sebuah NGO di tempat saya yang akan ke Temerloh juga pada tarikh yang sama. Mudah-mudahan Allah SWT membalas dengan sebaik-baik balasan kepada semua yang terlibat. 

Bukan mahu menunjuk-nunjuk kebajikan yang maha sedikit itu. Bahkan semua sangat memahami, sebesar zarah perasaan riak akan menghancur-leburkan pahala yang terkumpul di dalam kantung tanpa tersisa. Alangkah ruginya! Tidak lain tidak bukan, sengaja saya kisahkan dengan niat sebagai peransang kepada kita semua untuk membuat apa sahaja kebajikan. Menerbitkan ‘senyuman’ di bibir orang lain sebagaimana junjungan mulia yang sentiasa menjadikan hidupnya untuk menerbitkan ‘senyuman di bibir umatnya. 

Lebat pula celotehnya. Tadi mahu menulis tiada idea, sudah tulis payah pula mahu berhenti. Jadi, sebelum saya merapu lebih jauh, eloklah saya berhenti di sini.

Tuesday 13 January 2015

"Itulah firasat mukmin", cerita hari ini

'Zaman muda-muda dulu'

Ada yang mahu tetapi tidak mampu.

Ada pula yang mampu tetapi tidak mahu. 

Malam ini saya hampir berada di kategori pertama. Hasrat hati mahu mencoret-coret artikel tetapi ‘mahu’ saya tidak dapat mengatasi ‘mampu’ saya. Badan terasa lenguh-lenguh manakala di atas kelopak mata saya entah berapa kilo pemberat yang diletakkan. Puas ditahan rasa mengantuk, malah entah berapa kali terlelap di hadapan komputer riba. Akhirnya setelah mencuci muka berkali-kali serta ditemani kopi ‘O’ kurang manis buatan isteri solehah, saya mendapat sedikit kekuatan untuk bertahan. 

Sebenarnya siang tadi saya ‘merempit’ dari Kuantan ke Jerantut kerana mahu menyelesaikan beberapa urusan. Lama sungguh saya tidak bermotosikal dalam jarak yang jauh. Kalau dulu, biasa sangat saya berkonvoi bersama teman-teman. Paling tidak sebulan sekali mesti kami menganjurkan aktiviti seperti konvoi, masuk hutan dan sebagainya. Maka, hari ini dengan semangat orang muda (walaupun sudah tua) saya nekad mahu ‘merempit’, sambil itu boleh juga melihat kesan-kesan banjir di sepanjang perjalanan. 

Lebih kurang 15 minit keluar daripada lebuhraya di persimpangan Chenor, saya membelok ke kanan menuju ke Jerantut melalui jalan gugusan Jengka. Tiba-tiba motosikal yang sedang ‘seronok’ dipulas 'throttle' pecutan, seakan-akan kehilangan kuasa. Tidak semena-mena anak mata saya tertancap pada jarum meter minyak. Ah, rupa-rupanya kuda tunggangan saya kehabisan bensin. Aduh macamana saya boleh cuai. Di kiri dan kanan hanyalah pokok kelapa sawit yang melatari pemandangan. Suasana sepi, sesekali kenderaan menderu laju. Kebimbangan mula menguasai diri. 

“Ya Allah, Engkaulah yang mentadbir seluruh alam. Pastinya aku yang Engkau taqdirkan melalui masalah ini juga termasuk dalam pengetahuan dan pentadbiran-Mu jua.” Hati kecil berdoa. 

“Laa haula wala quwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan pertolongan Allah). ” Hanya kalimat tersebut yang mampu saya ucapkan berkali-kali untuk mendapat sedikit ketenangan. Penyerahan dan harapan hanyalah kepada Dia yang Maha Mengetahui segala kesudahannya. 

Selang beberapa minit, sebuah motosikal dari arah bertentangan berhenti. 

“Ada masalah apa?” 

Saya menceritakan apa yang berlaku. Lelaki yang saya kira dalam usia akhir 40-an mendengar dengan penuh perhatian. (yang kemudiannya dikenali dengan nama abang Hasan) 

“Ada tak ‘petrol pump’ dekat-dekat sini.” Saya bertanya kembali.

“Tak ada, kalau ada pun jauh dari sini. Jenuh nak menolak motor.” Jawabnya, bercampur dengan loghat Kedah. “Tak apalah, biar saya tolong belikan.” Sambungnya kembali menawarkan bantuan. 

Tanpa berbasa-basi, saya segera menghulurkan wang ‘besar’ kerana ketiadaan wang yang kecil notnya. Ada juga rasa cuak, mana tahu terus dia lesap dengan duit tersebut. Tinggallah saya seperti menunggu buah yang tidak gugur. Tetapi perasaan itu saya tepis sejauhnya. Semuanya dalam taqdir perancangan Allah, saya menyedap dan mendamaikan hati. 

Sekira-kira 20 minit kemudian, abang Hasan sampai dengan membawa petrol yang dibungkus di dalam beg  plastik berlapis tiga. Rasanya jika di tempat saya tidak dibenarkan berbuat demikian. Mesti sediakan botol. Botol pula mesti botol yang khas digunakan untuk mengisi minyak, botol minuman pun tidak boleh. Macam-macam.

Usai menuang minyak petrol ke dalam tangki motor, saya segera mengucapkan terima kasih. Ingin saya membayar sebagai ganti kos minyak motornya, tetapi berkali-kali abang Hasan menolaknya. Ikhlas kerana Allah katanya sewaktu menyambut salaman saya. Sebak saya mendengarnya. Setelah bersalaman kami berpisah menuju destinasi masing-masing. 

 (sumber foto)

Firasat mukmin

“Subhanallah, ajaib sungguh. Begitu cepat pertolongan Allah…” terasa sebak dan terharu di hati. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hamba-Nya. Dan abang Hasan adalah manusia yang telah disentuh hatinya untuk membantu saya. 

Terdetik juga dihati saya. Bagaimana abang Hasan boleh memberhentikan motosikalnya. Tidakkah dia terfikir bahawa saya adalah perompak yang berpura-pura mengalami kerosakan motosikal. Tidakkah dia terfikir bahawa beberapa orang rakan saya sedang bersembunyi di bawah cerun tepi jalan dan bersedia mahu menyamunnya. 

Mengapa pula saya mempercayai abang Hasan dengan memberikannya duit ‘besar’ untuk mendapatkan petrol. Tidakkah saya terfikir bahawa abang Hasan akan membawa lari wang tersebut dan tinggallah saya di situ menunggu entah sampai bila. 

Aneh? Hmm ada juga. Saya menggelarnya (dengan izin) “Itulah firasat mukmin.” 

Sesungguhnya pengalaman hari ini sangat bernilai harganya. Bukan resah dan cemas yang dibawa pulang, tetapi keyakinan bahawa Allah, adalah Tuhan kita yang Maha Penyayang. 

"Kamilah pelindung kamu dalam kehidupan dunia dan akhirat..." (al-Fussilat: 31)

Saturday 10 January 2015

"Selamat menuai pahala sahabat-sahabat, insya-Allah.."

'Berdoa sebelum memulakan perjalanan'

Pagi ini dengan nada sedikit tidak tenteram, saya ‘melepaskan’ sahabat-sahabat Skuad BAIM yang akan ke daerah Bera untuk misi kemanusiaan bencana banjir. Sebahagian daripada mereka telah pun bertolak petang semalam dengan membawa bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan. 

Saya pula terpaksa menguzurkan diri kerana perlu ke Kemaman hari ini untuk mendaftarkan angah menyambung sesi pengajian di PPTI. Hari esok perlu mendaftarkan acik di Kuantan, manakala pada hari lusa giliran anak sulong saya pula di Pulau Tawar, Jerantut. Ketiga-tiga mereka akan tinggal di asrama. Tetapi anak sulong saya hanya perlu mendaftar sahaja kemudian pulang semula. Insya-Allah beliau akan memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan kerana keadaan sekolahnya yang agak teruk ditimpa banjir dan memerlukan penyelenggaraan apa-apa yang patut. Itu pun sekiranya sempat. Harap-harap sempat, amin. 

Balik semula kepada kisah Bera tadi, saya dimaklumkan secara keseluruhan seramai 120 sukarelawan yang bergerak ke Bera termasuk yang telah pergi semalam. Memang, kerja-kerja pembersihan pasca banjir memerlukan tenaga yang ramai. Banyak tugasan pembersihan yang perlu dilakukan ke atas rumah penduduk dan premis awam seperti dewan orang ramai, sekolah. 

Namun, dalam pada itu, harap sahabat-sahabat tidak lalai dengan keselamatan diri. Malang tidak berbau. Selain daripada kemalangan semasa bertugas, wabak penyakit selepas banjir juga perlu diberi perhatian. Pakailah peralatan keselamatan yang sesuai dengan kerja-kerja yang dilakukan. 

Ehh, panjang pula celotehnya. Sedang sahabat bergerak ke sana untuk ‘menuai pahala kebajikan’ saya pula sibuk mengomel di sini. Malu pula rasanya (Senyum). Tak apalah, mahu buat macamana apabila bersimbung (bertembung) dua perkara yang tidak dapat diuzurkan salah satunya. Sekalung doa dan harapan saya iringkan buat mereka semoga selamat dan dipermudahkan segala urusan. 

Pada minggu lepas Skuad BAIM telah berkampung di derah Lipis membantu membersihkan kesan banjir di beberapa kampung yang terlibat. Sebak hati melihat apa yang telah berlaku. Menyelami perasaan mangsa-mangsa banjir, pastinya ia tidak sama dengan apa yang dilihat di dalam televisyen atau internet. Hampir luruh juga airmata tatkala mendengar luahan hati mereka. Namun, daripada raut wajah mereka jelas kelihatan ketabahan biarpun tiada apa yang tinggal. Boleh dikatakan ada di antara mereka yang terpaksa memulakan kehidupan daripada ‘zero’. Insaf saya melihatnya. Apakah saya mampu bertahan sekiranya berada di tempat mereka. Wallahua`lam. 

Hakikat ujian 


Melihat manusia yang diuji dengan kepayahan, menjadikan kita rendah hati dan menginsafkan. Mungkin kita melihat mereka sedang nazak dalam penderitaan, namun pada hakikatnya mereka sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Yakinlah mereka sedang ditarbiah secara langsung oleh Allah SWT. 

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta buah-buahan, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu musibah, mereka mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itulah yang dilimpahi dengan pujian daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 155-157) 

Kita semua pasti akan melalui ‘bicara dan didikan Allah’ melalui ujian yang menyapa. Ujian umpama sapaan Allah agar kita sentiasa menjadi yang terbaik. Lihatlah di dalam sirah, dengan ujianlah menjadikan para Rasul mendapat maqam yang tinggi. Dengan ujian juga menjadikan para wali Allah mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya. Tentunya kita juga mengharapkan ujian yang menimpa menjadikan kita insan yang terbaik. 

Sabda Rasulullah saw:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa).” (Riwayat Muslim) 

Mudah-mudahan kita semua diberikankebaikan atas musibah yang berlaku. 

“Ya Allah, kurniakanlah kepada mereka segenap kesabaran dan ketabahan. Permudahkanlah segala urusan dan pekerjaan mereka. Gantikanlah kepada mereka sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Amin ya Rabbal `alamin.”

Friday 9 January 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 8

Salam Jumaat..


Aku menderhakai-Mu
Kamu tutupiku

Aku melupai-Mu
Kamu mengingatiku

Aku membuat-Mu marah
Kamu merahmatiku

Maha Suci Engkau ya Allah
Alangkah agungnya Kamu!

Aminn...

Wednesday 7 January 2015

Bolehkah kita beramal dengan ilmu perubatan yang diperolehi daripada dalam mimpi?

Soalan:

Saya pernah bermimpi bertemu dengan seseorang yang nampaknya amat alim berjubah, berserban, bertasbih dan bersih cahaya mukanya, serta berbau wangi bila mendampinginya, dia mengajar saya ilmu hikmah, termasuk cara mengubat orang yang sakit, dengan syarat-syarat berikut. 

1. Saya diminta berpuasa sunat selama 14 hari berturut-turut. 
2. Saya disuruh bersolat tahajjud di malam-malam saya berpuasa itu tanpa boleh berhenti atau berselang selama 14 malam. 
3. Saya diminta menjamu anak yatim seramai 40 orang. 
4. Saya disuruh menyembelih kambing untuk dijamu kepada jiran tetangga. 
5. Saya berzikir selama seminggu tanpa henti, siang dan malam, selepas itu saya boleh mengubati orang. 

Apakah pandangan ustaz tentang perkara ini, bolehkah saya menerima dan mengubati orang sakit dengan amalan-amalan ini? 

Jawapan:  

Mimpi adalah permainan tidur. Kebanyakan daripada mimpi ini berlaku hasil daripada khayalan, imaginasi manusia tentang sesuatu hal dan gambaran yang terdapat padanya sesuatu yang amat diingini atau ditakutinya. 

Mimpi juga biasanya berlaku hasil daripada kerja syaitan yang ingin menyesatkan manusia melalui mimpi, yang merupakan sedikit sahaja daripada kebolehan mereka. Jarang sangat yang berlaku dalam mimpi itu mewakili yang sah ataupun yang sebenar. 

 Rasulullah saw dalam satu hadis baginda menyatakan (mafhumnya): "Tidak tinggal daripada nubuwwah (kenabian) melainkan al-Mubashshirat. Sahabat bertanya apakah dia al-Mubashshirat itu wahai Rasulullah? Maka Nabi menjawab ia adalah mimpi-mimpi yang benar (ar-Rukya as-shadiqat)." 

Mimpi-mimpi yang benar ini adalah suatu yang amat jarang berlaku. Kadang-kadangnya dilihat sebagai benar, tetapi jika diteliti sebenarnya ia tidak. 

Oleh kerana manusia begitu mudah mempercayai mimpi, sedangkan mimpi manusia tidak seperti mimpi Anbiya atau al-Mursalin. Mimpi para Nabi dan al-Mursalin adalah benar sedangkan mimpi kita lebih banyak terdedah kepada berbagai penipuan iblis. 

Merujuk kepada mimpi yang saudara sebutkan, zahirnya ia suatu yang wajar diikuti kerana mimpi itu merujuk kepada meminta saudara melakukan semuanya perkara yang disyariatkan. 

Tetapi, persoalannya, apakah anda tidak pernah mendengar sebelum daripada mimpi itu, ada sunat berpuasa, ada solat tahajud, ada suruhan memberi makan kepada fakir miskin dan anak yatim, ada suruhan menyembelih kambing membuat kenduri, ada suruhan berzikir kepada Allah SWT? Jika saudara pernah mendengarnnya, apakah anda melakukan perkara-perkara itu sebelum bermimpi? Kalau jawapannya tidak, bermakna saudara tidak percaya dengan pengetahuan yang disebut oleh manusia, daripada ulama muktabar dan daripada kitab-kitab yang secara terang-terangan menyuruh semua perkara itu? 

Maka mengapa bila sudah ia hadir dalam mimpi, maka baru lah saudara hendak melakukannya. Soal saya, kenapa dilakukannya, jawapannya ia diperolehi di dalam mimpi. Maka, siapa yang saudara temui dalam mimpi itu, adakah dia insan sebenar atau syaitan yang menyerupai orang yang anda kagumi itu. 

Kalaulah ditakdirkan bahawa orang yang ada mimpi itu akhirnya terbukti ia bukan insan biasa, bukan seorang alim tapi ia suatu penjelmaan makhluk halus atau qareen atau apa sahaja namanya, sengaja hendak mempengaruhi saudara melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana mimpi. Bukan hendak mendapat pahala atau redha Allah, tetapi hendak menjadi seorang perawat yang hebat, bagi tujuan keduniaan 

Oleh yang demikian, antara dua kemungkinan sama ada benar mimpi itu daripada orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah atau berkungkinan ianya suatu lakonan iblis, maka saudara dinasihati lebih baik jangan mengambil risiko kerana mentaati mimpi amat terdedah kepada risiko yang begitu besar, iaitu melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana syaitan. 

Seandainya saudara mempunyai minat begitu mendalam untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, lakukanlah ia bukan kerana mimpi, lakukanlah kerana Allah sebagaimanya yang termaktub dalam al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan berbagai sumber hukum lain yang menyeru kita melakukan ibadah yang sebutkan tadi. 

Lupakan hal mimpi itu dan lakukan hal itu kerana Allah SWT. Adapun ilmu pengetahuan secara umumnya, Islam meletakkan saluran untuk menyebarkan ilmu, disebut dalam al-Quran, firman Allah yang mafhumnya; 

"Dan tidak Kami utuskan sebelum daripada kamu wahai Muhammad, melainkan Nabi daripada kalangan laki-laki, yang kami wahyukan kepada mereka semuanya, maka tanya lah ahli-ahli yang cukup ilmu jika sekiranya kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahli, ayat 43) 

Istilah yang digunakan dalam ayat ini adalah 'alhaz zkri', ahli-ahli yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah S.WT iaitu ulama yang muktabar. Salah satu daripada tuntutan syarak ialah, kita mengambil ilmu daripada ulama yang muktabar. 

Dalam konteks ini, sudah cukup ramai ulama dalam masyarakat yang boleh membantu saudara melakukan ibadah. Jika saudara memerlukan kepada orang yang boleh mendampingi dan menunjuk ajar ilmu perubatan, sama ada perubatan alopati atau berasaskan doa dan ayat-ayat al-Quran, saudara boleh mendapatkannya dengan mudah. 

Jangan mengambil ilmu daripada mimpi yang saudara sendiri tidak pastikan siapakah yang saudara temui dari mimpi itu. Wallauhua'lam. 

(Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din)

Monday 5 January 2015

Aku Budak Lenggong


"Seringkali, apabila saya pulang ke kampung di Lenggong, menikmati sarapan pagi dalam kedinginan musim hujan, melihat putih kabus yang menabiri pemandangan, air jernih di sungai yang tenteram, pepohon buluh yang menghijau dan semilir rimba yang memuput mesra, maka saya jadi lupa kesibukan Kuala Lumpur. Aku adalah Anak Lenggong, dan aku tidak malu dari mana aku berasal, demikianlah bisik hati saya. Kini, saya abadikannya sebagai sebuah memori untuk kenangan kita bersama." - Penulis.

Walau di mana pun aku berada,
Aku masih budak Lenggong,
Banyak perkara yang hari ini bagaikan sudah hampir tidak tergambar lagi...

'Masa kecil' adalah 'masa lalu' semua orang. Aku Budak Lenggong (ABL) adalah catatan 'masa lalu' yang mewakili 'masa kecil' ramai orang yang mungkin tidak terungkap. Zaman ketika elektrik adalah asing, pelita minyak tanah dan kabaid menjadi sumber cahaya, TV adalah peti ajaib, sungai dan lata menjadi mainan, bendang dan kubang, bukit dan hutan, memasak dengan kayu api, mendaki bukit ke dusun, menangkap ikan dan udang di celahan batu sungai yang jernih, mengapuk di pokok petai dan jering, lastik dan senapang kayu, gasing, congkak dan batu seremban, serta banyak lagi. 

ABL adalah kisah real, bukan imaginasi. Membacanya, anda pasti terbawa ke zaman kecil. Mungkin tanpa sedar anda akan terasa kembali 'muda' pada saat berlarian meniti di batas sawah, lalu terjerlus di dalam selut dan dihinggap sang lintah. Boleh jadi anda terhimbau saat mengelui angin dan menghalau kawanan burung-burung tiak. Mungkin anda tersengih sendiri kala mengenang manisnya saat bermain pondok-pondok di  bawah rumah atau di dalam hutan ubi, lalu disandingkan dengan seorang putera atau puteri.
 
Lebih lagi, ABL memberi erti kepada kita generasi 'lama', kerana kita diasuh oleh alam, membesar dengan alam dan tahu menghargai kemanusiaan. ABL mungkin menjentik hati dan minda generasi baharu (yang katanya sudah bertaraf X,Y dan Z Gen Alpha), bahawa dahulu ayah atau ibu atau atuk dan nenek di kampung, melalui banyak benda yang hari ini bagaikan sudah hampir tidak tergambar lagi.

Ciciplah dan rasailah ABL, ia adalah masa lalu kita, ia adalah masa kecil kita.

Tajuk : Aku Budak Lenggong
Penulis : Hamizul Abdul Hamid
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Muka surat : 360
Harga : SM 20.00 / SS 23.00

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan"

Sunday 4 January 2015

Ayuh, infaqlah tetapi lihatlah...

“Hmm.. dah siap satu, tinggal satu lagi.” Saya mengomel sendirian sambil menggeliat menghilangkan lenguh. Hampir satu jam saya mengadap laptop membuat kerja-kerja yang diamanahkan. Sambil-sambil itu saya mendengar alunan zikir munajat melalui aplikasi youtube. 

Saya sedang menyiapkan artwork banner untuk pusat pengumpulan pakaian terpakai yang diusahakan oleh beberapa orang sahabat saya untuk dihantar ke Kelantan. Ia dikira tugasan segera kerana semuanya perlu disiapkan malam ini. Petang tadi sahabat saya menelefon dan meminta ianya disiapkan malam ini untuk dicetak. Maknanya siap sahaja ‘design’tersebut, saya perlu emailkan terus kepada ‘printing centre’. Pagi esok ia mahu digantung di hadapan pusat pengumpulan. 

Tetapi artwork ini tidaklah sukar sangat membuatnya kerana tidak perlu ‘hias’ bagai, bukan seperti poster kuliah atau program-program lain. Yang penting nampak jelas maklumat yang tertera padanya, ‘background’nya pun putih kosong sahaja dengan sedikit gambar berkaitan tajuk. 

Sebenarnya saya sangat memuji inisiatif sahabat-sahabat yang mengusahakan pusat pengumpulan pakaian terpakai untuk mangsa-mangsa banjir ini. Ia bukan suatu kerja yang mudah. Banyak perkara yang perlu dilakukan, dan ini memerlukan komitmen serta kesabaran yang tinggi. Bermula dengan penyediaan tempat, menerima sumbangan, kemudian perlu mengasingkan pula pakaian tersebut mengikut pembahagiannya dan seterusnya menghantar kepada mangsa-mangsa banjir. Jika ramai sukarelawan yang membantu, tidak mengapa. Tetapi jika sebaliknya, hmm..anda boleh bayangkan bagaimana. Tentu banyak masa yang diperlukan terutama ketika kerja-kerja mengasingkannya. 


Tidak dinafikan kecaknaan masyarakat kita cukup mengharukan. Selalunya kempen derma pakaian terpakai memang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Boleh dikatakan mana-mana tempat begitu. Berbondong-bodong pakaian dihantar untuk didermakan kepada yang memerlukan. Alhamdulillah, ia suatu perkembangan yang sangat baik. Namun, dalam kemurahan masyarakat kita menderma, terselit juga perangai hodoh segelintir daripadanya. Saya tidak kata semua, tetapi ia memang ada. 

Dalam keghairahan mahu membantu, ada juga yang mengambil kesempatan ‘membersihkan rumah’ mereka. Ada yang mendermakan pakaian yang sangat buruk dan tidak layak untuk disumbangkan. Pengalaman sahabat saya menguruskan pusat pengumpulan pakaian terpakai, dalam longgokan pakaian yang disumbangkan, termasuk coli yang terpakai yang sudah tiada penyangkut (maafkan saya), seluar tiada berzip dan sebagainya. Entahlah, jika pakaian buruk yang disumbangkan, apakah jujur perbuatan kita itu. 

Langit tidak selalu cerah, adakalanya mendung mencelah. Bagaimana jika kita pula berada di situasi demikian. Seronokkah kita apabila menerima bantuan yang seperti melepaskan batok di tangga sebagaimana menderma pakaian tadi. Tentu tidak bukan! Oleh itu, marilah kita sama-sama menginsafi akan keadaan ini. 

Memberi apa yang dicintai 


Menyebut iman amat mudah, tetapi mencapai maksud iman adalah suatu ujian jiwa yang berat. Insan dikatakan belum mencapai tingkat kebajikan (birr) atau jiwa yang baik, sekiranya tidak sanggup menginfaqkan sesuatu yang dicintai. 

Di dalam surah al-Baqarah ayat 177, Allah SWT menyebut bahawa kebajikan (birr) bukanlah semata-mata menghadapkan wajah ke timur dan barat, tetapi kesanggupan memberi harta benda padahal kita cinta padanya. Manakala di dalam ayat ke 267 surah yang sama, Allah SWT mengingatkan agar tidak memilih menafkahkan sesuatu yang buruk, sedangkan kamu sendiri tidak menyukainya. Allah menggambarkan jika kita sendiri menerima pemberian itu, maka tidaklah kita menerimanya melainkan dalam keadaan memejamkan mata kerana jijik melihatnya ataupun menerima dalam keadaan terpaksa. Demikianlah betapa peri pentingnya melihat apa yang kita berikan bukan sekadar mengambil nama memberi. 

Allah SWT berfirman: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai hakikat kebajikan (yang sempurna), sehinggalah kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahui.” (Ali-Imran: 92) 

Dalam ayat ini jelas dengan tegasnya Allah SWT menyebut tingkat kebajikan itu tercapai dengan menafkahkan yang terbaik. Allah tidak menyuruh memberi kesemua apa yang kamu sayangi melainkan sebahagian sahaja, tetapi biarlah pemberian tersebut yang terbaik. 

Buya Hamka menyebut di dalam tafsir al-Azhar: “Setelah turunnya ayat ini, ia sangat mempengaruhi para sahabat dan menjadi pendidikan jiwa yang mendalam sekali kepada mereka. 

Diriwayatkan oleh Waqi` dalam tafsirnya bahawa maksud al-Birra (kebajikan) ialah syurga, menurut Amr bin Maimun. 

Imam Ahmad berkata, bahawa Abdullah bin Abi Thalhah mendengar Anas bin Malik bercerita: “Seorang sahabat Ansar yang paling kaya di kalangan kaumnya di Madinah bernama Abu Thalhah. Apabila mendengar turunnya ayat tersebut di atas, beliau datang menemui Rasulullah saw dan berkata: “Ya Rasulullah, di antara harta kekayaanku ini yang paling kusukai ialah ‘Bairuha’ sebuah ladang yang terletak menghadap masjid di mana Rasulullah sering memasukinya, dan minum dari airnya yang segar. Dan aku ingin menafkahkannya di jalan Allah SWT sesuai dengan firman-Nya. Maka terimalah ya Rasulullah sedekahku ini dan letakkannya di mana Allah SWT menunjukkan kepadamu.” 

Maka Rasulullah saw bersabda: “Bagus! Bagus! Itulah harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar kata-katamu, dan aku berpendapat hendaklah engkau berikan kepada sanak saudaramu.” Maka dilaksanakan sedekah itu menurut petunjuk Rasulullah saw dan dibahagikan di antara keluarga dan sanak saudaranya.” Menurut riwayat hadis Muslim, harta itu telah diberikannya kepada Zaid bin Tsabit dan Ubay bin Kaab. 

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Saiyidina Umar ra. bertanya kepada Rasulullah saw: “Ya Rasulullah, aku tidak pernah memperolehi harta, paling aku sukai daripada bahagianku di dalam harta kekayaan ladang Khaibar, maka apakah harus aku melakukannya menurut perintahmu?” Rasulullah saw menjawab: “Pertahankanlah pokok dan nafkahkanlah hasilnya untuk jalan Allah SWT.” 

Berkata al-Hafiz Abu Bakar Al-Bazzar, menurut Zaid bin Yahya, Abdullah bin Umar menceritakan, “Apabila aku mendengar ayat ini, maka aku terlintas apa yang Allah SWT berikan kepadaku, yang tidak ada mengenai perkara yang paling aku sukai melainkan hamba sahayaku perempuan berbangsa Rom.Maka segeralah aku bebaskan dia dari perhambaan, dan menyatakan bebas semata-mata kerana Allah SWT Dan andaikan aku menarik kembali apa yang aku serahkan kepada Allah SWT nescaya akan aku kahwini hamba sahayaku itu.” 

Di dalam tafsir Ibnu Kathir menceritakan bahawa Rasulullah saw sendiri adalah teladan yang paling tinggi di dalam hal memberikan hadiah yang paling dicintai itu. 

Menurut satu riwayat dari Abu Hurairah ra., pernah baginda masuk ke pasar diiringi oleh Abu Hurairah dengan niat hendak membeli sehelai baju yang agak pantas baginda pakai. Tetapi pada perjalanan keluar daripada pasar, kedengaranlah suara seorang muda berseru-seru: “Barangsiapa yang sudi memberiku sehelai baju, nescaya Tuhan akan menggantinya dengan yang lebih baik. Hai dermawan! Berilah aku baju, moga-moga Tuhan memberi gantinya buat kamu!” 

Padahal orang itu tidak tahu, ketika mengucapkan seruan itu kali kedua, Rasulullah saw telah sampai di tempatnya berdiri, lalu baginda menyerahkan baju yang baru dibelinya itu dengan tidak ada pertimbangan panjang lagi. Mudah saja bagi baginda memberikan harta yang dicintainya itu, sekiranya ada orang yang datang memintanya. 

Setelah mengenal kebiasaan Rasulullah saw yang demikian, maka sahabat-sahabat baginda yang terdekat menjaga anak-anak muda, kalau berhadapan dengan baginda jangan sampai lama-lama melihat barang yang lekat pada diri baginda, misalnya gamisnya, jubahnya ataupun serbannya, sampai pun kepada terompah alas kakinya. Sebab kalau baginda tahu, bahawa anak muda itu melihat pakaiannya, kerana sangat menginginkan, nescaya sebentar itu juga akan baginda tanyakan: “Engkau suka?” Dan sebelum dijawab biasanya telah beliau tanggalkan. 

Pada suatu ketika telah terjadi pula yang demikian; seorang anak muda melihat gamis yang sedang baginda pakai dengan penuh keinginan. Baginda pun bertanya: “Engkau suka?” Pemuda itu menjawab: “Memang aku sangat rindu kepada gamis Rasulullah saw.” Lalu gamis itu baginda tanggalkan dan dihadiahkan kepada pemuda tersebut. Beberapa sahabat menyesali perbuatan pemuda itu. Dengan sangat terharu pemuda itu menjawab, bahwa dia ingin sekali mati dengan memakai gamis Rasulullah saw. 

Dan memanglah beberapa hari kemudian pemuda itu pergi berperang bersama Rasulullah saw dan dia mencapai syahid dalam peperangan itu, sedang gamis hadiah Rasulullah saw menjadi pakaiannya sampai ke liang kubur. 

Muhasabah diri 


Demikianlah beberapa contoh peribadi yang mulia yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah saw dan juga para sahabat dalam memberi. Tanpa berkira-kira mereka menginfaqkan apa yang ada walaupun ianya sesuatu yang dicintai. 

Kita semua mengakui bahawa peribadi sebegini memang sangat berat dan sukar untuk dilakukan. Sementelah lagi tingkat keimanan dan keyakinan umat di akhir zaman ini yang agak nipis. Namun demikian, lakukanlah sekadar mana termampu. Janganlah ditinggalkan semuanya sekiranya tidak mampu lakukan semuanya. Berbahagialah sesiapa yang dapat melepasi latihan dan ujian yang berat ini.

#Coretan ini, pengajarannya lebih utama buat diri saya.. 

Friday 2 January 2015

Salam Maulid ar-Rasul 1436H...


Assalamualaikum warahmatullah. 

Segala puji bagi Allah yang telah mengutuskan rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar. 

Limpahan selawat dan salam serta keberkatan untuk baginda saw, juga untuk keluarganya, para sahabatnya serta sesiapa yang mengikuti jalan kebaikan sehingga ke hari kiamat. 

Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Aisyah berkata:
Tatkala saya melihat Rasulullah saw berada dalam keadaan baik, saya berkata, “Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.” Rasulullah saw pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.” Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah saw bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu” Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.” 

Demikianlah betapa tingginya kasih Rasulullah saw kepada umatnya. Baginda telah menyampaikan khabar gembira dengan janji syurga dan memberikan peringatan kepada ancaman neraka. Baginda memberi petunjuk kepada umat manusia agar mereka sentiasa berada di atas jalan yang lurus, iaitu jalan yang diredhai Allah SWT. 

Sahabat sekelian. Di kesempatan yang masih terluang ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari kelahiran jujungan mulia Rasulullah saw kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Mudah-mudahan dengan kedatangan maulid ar-Rasul ini menjadikan kita umat yang sentiasa mencintai baginda saw.

Tidak dinafikan kita semua merasa sangat gembira dengan kedatangan 12 Rabiulawwal ini, namun janganlah gembira kita hanya dengan berarak membawa sepanduk sambil melantun pujian buat baginda, tetapi ia sekadar itu sahaja. Walhal dalam masa yang sama melupakan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkannya. Sunnah baginda saw merangkumi semua perkataan, perbuatan dan akhlaq baginda yang mulia. 

Kata Anas ra. : “Tidak ada suatu nasihat yang baik melainkan telah diserukan dan ditinggalkan kepada kita oleh Rasulullah saw, jadi semuanya diperintahkan kepada kita untuk mengerjakannya. Sebaliknya tidak suatu kejahatan dan dosa yang tidak dijelaskan oleh Rasulullah saw, dan kita dilarang serta dicegah untuk melakukannya.” 

Oleh itu, sekiranya kita mengaku kasih dan cinta kepada Rasulullah saw, maka buktikanlah dengan seadanya sebagaimana kasih baginda kepada umatnya. 

Diceritakan dalam satu riwayat:
“Wahai Rasulullah, sesungguh engkau lebih kucintai daripada diriku dan anakku,” kata seorang sahabat pada suatu hari kepada Rasulullah saw. “Apabila aku berada di rumah, lalu kemudian teringat kepadamu, maka aku tak akan tahan memendam rasa rinduku sampai aku datang dan memandang wajahmu. Tapi apabila aku teringat pada kematian, aku merasa sangat sedih, kerana aku tahu bahwa engkau pasti akan masuk ke dalam syurga dan berkumpul bersama nabi-nabi yang lain. Sementara aku sekiranya ditakdirkan masuk ke dalam syurga, aku khuatir tak akan dapat lagi melihat wajahmu, kerana darjatku jauh lebih rendah dari darjatmu.” 

Mendengar kata-kata sahabat yang mengharukan hati itu, Rasulullah saw tidak memberi sebarang jawapan sehinggalah Jibril turun dan membawa firman Allah SWT: 

“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka mereka itu (akan bersama-sama) dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; yaitu nabi-nabi, para siddiqin (orang yang benar imannya), syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (an-Nisa`: 69) 

Kita hanyalah manusia biasa yang memandang segala kebahagiaan dan kejayaan hanyalah dengan mengikuti jalan yang ditunjukkan oleh baginda saw agar tidak terjerumus dan binasa di dunia ini. Mudah-mudahan kita semua terus hidup dan mati sebagai umat baginda dan berjaya memperolehi keampunan Allah SWT berkat pertolongan syafaat baginda, insya-Allah. 

Pujian buatmu duhai Rasulullah

Indahnya peribadimu duhai Rasulullah bagaikan pancaran mata air yang tidak pernah kering, untuk diteguk oleh umatmu. 

Sempurna akhlaqmu memancarkan kejernihan budi di atas hamparan kemuliaan. 
Engkau bagaikan permata yang menyinari diri dan umat dengan cahaya kebenaran. 
Umpama pembawa obor penerang hidayah ketika berhala-berhala dijadikan tuhan sembahan. 
Engkau membawa rahmat dan keberkatan di saat dunia gelap diserkup kejahilan. 

Engkau tinggalkan dunia ini setelah lengkap risalah dan aturan. 
Sedangkan kami sentiasa mendakap sebuah kerinduan. 
Syafaatlah kami duhai Rasulullah, di saat gelap-gelita menghadang. 
Sedangkan kami pula tiada kuat untuk menahan... 

Semoga Allah SWT melimpahimu salam kesejahteraan, selama roda kehidupan dunia berjalan. Juga kepada ahli keluargamu, beserta seluruh sahabat dan pendukungmu sekelian. 

abuikhwan,
23 Januari 2013/0030
Ruang tamu rumahku...

Rehat Minda: Pesan Murabbi 7

Salam Jumaat


"Jika kamu ditimpa bala jangan sesekali berputus asa.

Sesungguhnya bala itu...
Bila menimpa penzalim ia sebagai pengajaran.
Bila menimpa mukmin ia sebagai ujian.
Bila menimpa para Nabi ia bagi mengangkat darjat.
Bila menimpa para wali ia sebagai keramat."