Sahabat Sejati

Friday 27 March 2020

Bersabarlah..

Salam Jumaat.


Thursday 26 March 2020

Benarlah Huzaifah..

Diceritakan bahawa Saiyidina Umar bertemu dengan Huzaifah ibnu Yaman. Lalu bertanya Umar kepada Huzaifah: "Bagaimana keadaan kamu pagi ini?"

Lalu Huzaifah menjawab: 

"Pagi ini aku suka kepada fitnah.
Aku benci kepada kebenaran.
Aku solat tanpa wuduk.
Aku ada apa yang Allah tiada."

Maka tersangat marahlah Umar mendengar jawapan daripada Huzaifah. 

Tiba-tiba datanglah Ali bin Abi Talib, lalu berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Aku melihat di wajah mu ada tanda kemarahan, adakah kamu marah?"

Lalu diceritakan kepada Ali apa yang berlaku antaranya dengan Huzaifah. 

Berkata Ali: "Benarlah jawapan Huzaifah itu wahai Amirul Mukminin".

"Suka kepada fitnah itu bermaksud suka kepada harta dan anak (surah at-Taghabun:15).
Benci kepada kebenaran bermaksud tidak suka kepada kematian. 
Solat tanpa wuduk bermaksud bersolawat ke atas Nabi Muhammad. 
Dia ada apa yang Allah tiada bermaksud dia ada anak dan isteri sedangkan Allah tiada anak tiada isteri. (surah al-Ikhlas: 3)" 

Mendengar penjelasan itu maka redalah kemarahan Umar al-Kahttab seraya berkata kepada Ali: "Benarlah engkau wahai Ali. Sesungguhnya engkau telah menghilangkan kemarahanku terhadap Huzaifah.."

Petikan daripada Mas'ad Syair kitab Torooif wa Fawaid.

Saturday 21 March 2020

#StayAtHome sabar..sabar..

Sudah 4 hari berlangsung Perintah Kawalan Pergerakan, dengan maksud duduk di rumah masing-masing. Semuanya gara-gara musibah yang sedang melanda negara kita dan sebahagian besar negara lain iaitu penularan wabak Covid 19. 

Ada juga bibit-bibit kebosanan tatkala terperuk di rumah sahaja. Apakan daya, arahan tersebut sehingga tarikh tamat selama 14 hari. Itupun jika keadaan mula terkawal, jika tidak akan dilanjutkan lagi sehinggalah keadaan benar-benar selamat. 

Banyak aktiviti bersama Yayasan Amal Malaysia terpaksa ditangguhkan. Sehingga nak masuk ke pejabat yayasan pun terpaksa dilupakan. Tetapi apa boleh buat, ia adalah perintah dan arahan pihak pemerintah. Lagipun ianya untuk kebaikan bersama. 

Jika kita menonton klip video apa yang berlaku di negara China suatu ketika dahulu, keadaan sudah menjadi seperti darurat. Suasana menjadi tidak terkawal. Saya melihat di dalam klip video tersebut bagaimana manusia ramai yang sedang berjalan tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri. Sudah jadi macam zombie pula. 

Negara kita setakat ini belum lagi sampai ke tahap itu dan berharap tidak akan terjadi sedemikian rupa. Namun ianya tidak mustahil untuk berlaku, angkara kedegilan sesetengah rakyat yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan tersebut. Boleh disaksikan gelagat dan ragam di dalam media sosial. Degil sungguh!

Hmm, saat-saat saya bersantai-bersantai bersama keluarga, sejenak saya terfikir. Ekoran apa yang telah terjadi ini, ada hikmahnya juga. Sekurang-kurangnya saya dapat menghabiskan masa semaksimumnya bersama keluarga. 

Dapat solat berjemaah bersama, tadarus bersama, menyampaikan tausiah dan kuliah ringkas untuk keluarga, dapat membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah dan sebagainya. Sesuatu yang selama ini tidak selalu dapat saya lakukan, terutama apabila terpaksa bermusafir ke luar kawasan dalam mengisi program=program kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia. Alhamdulillah.

Isnya-Allah, jika keadaan ini masih berlarutan, saya berhasrat untuk mendaftarkan diri menyertai pasukan sukarelawan yang akan membantu barisan hadapan KKM di tempat saya. Mudah-mudahan sedikit amal bakti yang diberi dapat meringan tugas mereka semua.

Nampaknya kensel program di Sabah sebelum Ramadhan ini.. Allahu al-Musta`an.

Wednesday 18 March 2020

Perkenankanlah ya Rabb..


"Moga Allah SWT hindarkan kita semua dari sebarang musibah, amiinn.. "

Friday 13 March 2020

BENTUK DAJJAL YANG SEBENARNYA

Soalan:

Bagaimanakah bentuk dajjal yang sebenarnya? 

Jawapan:

Dalam menjawab isu ini, kami kemukakan pandangan Imam al-Qurtubi dalam al-Tazkirah. Antara lain katanya: 

Dajjal adalah fitnah yang amat besar sehingga Rasulullah saw sering membaca doa memohon perlindungan daripada Dajjal dalam setiap solatnya. Perkara ini berdasarkan pada hadis sahih: Daripada Aisyah Ummul Mukminin, bahawa Rasulullah saw pada setiap solat (setelah tahiyat akhir) membaca:

 اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا، وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مَنَ الْمَاْثَمِ وَالْمَغْرَمِ 

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung pada-Mu daripada azab kubur, aku berlindung pada-Mu daripada buruknya fitnah al-Masih al-Dajjal, daripada fitnah hidup dan mati. Ya Allah aku berlindung pada-Mu daripada dosa serta hutang yang sukar untuk dibayar.” Riwayat al-Bukhari 

Disunahkan membaca doa pada akhir solat sebelum memberi salam menurut hampir semua ulama dan bahkan ada ulama yang mewajibkan membacanya. 

Secara terperinci, ciri-ciri Dajjal dapat dilihat dalam beberapa hadis berikut: 

“Tertulis di antara dua matanya perkataan kafir yang dieja oleh Rasulullah saw kaf, fa’, ra’ yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca mahupun oleh mukmin yang buta huruf. Menurut kami, perkara ini tidak akan tersembunyi (meragukan) lagi bagi sesiapa sahaja.” 

“Ternyata dia seorang lelaki yang berbadan besar, merah, berambut kerinting, dan bermata sebelah.” Riwayat al-Bukhari daripada Ibnu Umar 

Dalam hadis riwayat Thabrani daripada Abdullah Ibnu Mughaffal dinyatakan, “Dajjal berkulit coklat dan dan berambut kerinting.” 

“Sesungguhnya al-Masih al-Dajjal adalah seorang lelaki yang pendek, hujung telapak kakinya berdekatan, sedangkan tumitnya berjauhan, berambut kerinting, bermata sebalah dengan mata yang terhapus.” Riwayat Abu Daud daripada Ubadah bin Somit dan Ahmad 

“Sesungguhnya kepala Dajjal itu dari belakang kelihatan tebal dan berkelok-kelok.” Riwayat Ahmad daripada Hisyam bin ‘Amir 

“Pada matanya yang sebelah kanan, seakan-akan ia adalah satu biji anggur yang terapung.” Riwayat al-Bukhari daripada Ibn Umar 

“Bukanlah sesungguhnya dia itu bermata sebelah dan tertulis di antara kedua mata Dajjal itu perkataan kafir, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin.” Riwayat Muttafaq ‘Alaih , daripada hadis Anas 

Tertulis di antara dua matanya huruf kaf, fa’, dan ra’. Riwayat al-Tirmizi daripada Anas 

“Dajjal itu adalah mata kirinya buta dan rambutnya kasar; dia mempunyai syurga dan neraka yang syurganya itu sebenarnya adalah neraka, sedangkan nerakanya sebenarnya adakah syurga. Riwayat Huzaifah 

“Sesungguhnya aku mengetahui sifat Dajjal itu; dia mempunyai dua buah sungai, yang satu mengandungi air putih sedangkan yang lain mengandungi nyalaan api. Jika seseorang yang melihat sungai yang mengandungi nyalaan api itu, maka hendaklah dia menutup matanya dan mendekati ke arahnya, maka dia akan dapat meminum air sejuk darinya. Ciri-ciri Dajjal itu adalah mata kanannya buta, kukunya kasar dan di antara kedua matanya tertulis perkataan “Kafir” yang dapat dibaca oleh semua orang mukmin yang melihatnya, baik yang boleh menulis membaca mahupun tidak. Riwayat Muslim 

Ibn Umar mengatakan bahawa suatu kali Rasulullah SAW menceritakan mengenai Dajjal kepada kami lalu baginda berkata, “Sesungguhnya Allah SWT matanya tidak buta sebelah; ketahuilah bahawa Dajjal itu buta mata kanannya.” 

Ibn Umar juga mengatakan Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku tertidur di Kaabah, aku bermimpi melihat seorang yang amat gagah rupanya, lurus rambutnya serta berminyak, sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Maka aku pun bertanya kepada orang, “Siapakah orang itu?” Mereka menjawab, “Dia adalah al-Masih bin Maryam (Nabi Isa AS).” Kemudian aku lihat lagi di belakangnya seorang yang amat buruk rupanya, buta mata kanannya dan kerinting rambutnya, juga sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Maka aku pun bertanya kepada orang, “Siapakah orang itu?” Mereka menjawab, “Al-MAsih al-Dajjal (Dajjal).” 

Rasulullah SAW bersabda, “Salah satu mata Dajjal seperti kaca berwarna hijau dan berlindunglah kamu daripada azab kubur.” Riwayat Ubai bin Ka’ab

Wednesday 11 March 2020

Tuesday 10 March 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (51)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (50) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

foto hiasan ~ sumber

Pelbagai cara untuk Melawan Dakwah

3. Melawan al-Quran bersenjatakan dongengan orang terdahulu. Perkara itu berulang kali disampaikan kepada manusia sehingga mereka disibukkan olehnya.

Mereka menyebutkan bahawa suatu masa dahulu ketika Nadhar bin Haris berkata kepada kaum Quraisy, "Hai orang Quraisy! Demi Allah, telah turun suatu urusan kepada kamu yang kamu belum juga menemui alasan untuk membantahnya, Muhammad membesar menjadi pemuda di tengah-tengah kamu. Dia adalah orang yang paling kamu redhai. Tutur katanya paling jujur antara kamu semua. Dia juga paling dipercayai jika diberi amanah. Hinggalah ketika kamu melihat kedua-dua pelipisnya ditumbuhi uban, dia datangkan kepada kamu apa yang memang telah dia datangkan itu."

"Lantas kamu memanggilnya sebagai penyihir. Demi Allah, dia bukan penyihir. Kita semua telah tahu ciri-ciri penyihir, bagaimana mereka bermain dengan hembusan dan simpulan tali. Lalu kamu memanggilnya sebagai dukun. Demi Allah, dia juga bukan dukun. Kita semua telah tahu bagaimana para dukun mengucapkan mantera. "

"Lalu kamu memanggilnya sebagai penyair. Demi Allah, dia juga bukan penyair. Kita telah kenal pelbagai jenis syair, irama maupun intonasinya. Lalu kamu memanggilnya sebagai orang gila. Demi Allah, dia juga bukan orang gila. Kita telah tahu ciri-ciri orang gila dan Muhammad sama sekali tidak bercakap sendirian, juga tidak bertindak bodoh dan aneh."

"Hai orang Quraisy, lihatlah keadaan diri kamu! Sesungguhnya, demi Allah, dia telah mendatangkan suatu urusan yang besar kepada kamu."

Selepas itu Nadhar pergi Hairah. Di sana dia mempelajari dongengan raja-raja Parsi, juga dongengan Rustum dan Asphandiar. Selepas pulang dari sana, setiap kali Rasulullah saw duduk di sebuah majlis mengajak orang berzikir kepada Allah dan memperingatkan mereka akan azab dan kemurkaan-Nya,

Nadhar selalu mengejek baginda dari belakang dan berkata, "Demi Allah, ucapan Muhammad lebih teruk daripada ceritaku." Lalu dia menceritakan kepada mereka kisah tentang raja-raja Parsi, Rustum dan Asphandiar. Selepas itu, dengan bangganya dia berkata, "Apa alasannya ucapan Muhammad lebih baik daripada aku?"(1)   

Dalam riwayat Ibnu Abbas dinyatakan, Nadhar membeli banyak penyanyi wanita daripada kalangan hamba. Jika dia mendengar ada seseorang memiliki daya tarikan kepada ajaran Nabi Muhammad, dia akan menghadiahkan salah seorang penyanyi wanitanya kepada orang itu. Penyanyi wanita tersebut akan melayan urusan makan minum orang itu, menyuap dan mendendangkan lagu-lagu untuknya. sehingga orang itu tidak lagi tertarik hati kepada Islam. Tentang hal ini Allah SWT berfirman:

"Dan antara manusia ada orang yang membeli ucapan yang sia-sia untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah." (Luqman: 6)(2)

Rujukan: 

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I hal. 299-300, Abu A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. IV, hal. 8-9 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hal. 117-118.

(2) Abu A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. IV, hal. 9   

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Friday 6 March 2020

Menjirus air mawar ke atas kubur

SOALAN:

Apakah hukum menjirus air mawar ke atas kubur? 

JAWAPAN: 

Memang pada asalnya yang wajib hanya dikebumikan sahaja tanpa menjirus sebarang air. Walaupun begitu bila melihat kepada sejarah salafus soleh termasuk Baginda saw sendiri, maka masalah ini telah dibahaskan oleh ulama secara panjang lebar. Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah saw menyiram air atas kubur anakandanya Ibrahim. Lihat Musnad Imam al-Syafie (1/215). 

Secara umumnya, ramai ulama Syafie berpendapat hukumnya harus bahkan ada pendapat menyatakan sunat kerana perbuatan Rasulullah saw itu. Tetapi penggunaan air mawar pula dianggap sebagai makruh kerana dengan sebab pembelian dan pembaziran. 

Dinukilkan daripada kitab I’anah al-Talibin (2/135-136). Antara lain menyebut: “Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi saw melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda saw, Saidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Syafie dan juga pada kubur Saad bin Muaz sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah. Dan Nabi saw telah memerintahkan dengannya (iaitu dengan menjirus air) pada kubur Saidina Uthman bin Mazh’un sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Dan yang mustahab adalah air tersebut suci lagi menyucikan dan sejuk (air mutlak) sebagai tafa’ul mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati. Dan makruh menyiram atau menjirus air dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta.” 

Justeru, bagi mereka yang ingin melakukan dibolehkan dan lebih penting daripada itu adalah untuk berdoa kepada si mati kerana sabit dalam nas yang sahih.

Tuesday 3 March 2020

Sahabat..

foto hiasan ~ sumber

Musuh boleh bertukar menjadi sahabat di waktu senang. Sahabat pula boleh bertukar menjadi musuh di waktu susah. 

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” (Surah al-Kahfi: 28)