Sahabat Sejati

Saturday 29 August 2015

...Kerana sayang (update)

'Kami'

“Aduh, sakitnya telinga...rasa macam nak tercabut,” kata Ali di dalam hati tatkala tangan ibunya memulas telinga. Merah dan terasa tebal cuping telinganya.

"Jangan main tepi jalan, tu nampak kereta banyak lalu lalang,” beritahu ibunya sambil menghalakan telunjuk ke arah jalan.

Sakitnya rasa hati. Semuanya salah.

Dialog ini sebagai satu perumpamaan.

Ketika zaman kanak-kanak, mungkin kita pernah dipiat atau ditarik telinga oleh ibu atau bapa, kerana kita bermain di tepi jalan. Mungkin kita akan berkata seperti dialog di atas. Atau mungkin lebih keras lagi atau hanya tarik muka masam, memprotes dan memberontak.

Kenapa kita berkelakuan demikian, sekiranya kita faham tidak mungkin demikian tindakan yang ditunjukkan malahan pasti kita akan berterima kasih atas kesakitan yang kita terima itu. Kerana tindakan ibu atau bapa kita boleh menyelamatkan kita dari dilanggar. Mana lebih sakit ditarik telinga atau dilanggar lori? 

Tetapi kita tidak faham didikan ayah dan ibu, sebab itu kita jadi marah dan memprotes. Sekiranya mahu dibandingkan sekadar ditarik telinga apalah sangat, tetapi jika dibiarkan dilanggar lori tentu lebih parah.

Jika kita faham, mungkin ini kata kita, “tak apalah hanya tarik telinga, ibu marah aku main tepi jalan kerana takut aku dilanggar lori. Kalau tidak nanti mungkin patah tangan, kaki, silap-silap boleh terbang nyawa. Baiknya ibu dan ayah aku ini bertanggungjawab, itu tandanya mereka sayang pada aku.” 

Sekiranya begitulah fikiran kita, maka hilanglah perasaan sakit hati, terbanglah perasaan ingin memprotes dan sebagainya. 

Bayangkan, sejak dari dulu hingga sekarang seluruh guru yang ada di dalam dunia ini membiarkan sahaja anak muridnya membuat apa sahaja, walaupun perbuatan yang salah. Mereka tidak akan marah dan tidak akan rotan. Anak murid mahu bermain, mahu pukul kawan yang lain, tidak mahu belajar dan sebagainya. Apa agaknya yang akan terjadi kepada mereka, ataupun bagaimana keadaan mereka suatu hari nanti. Kerana sayang... nanti murid sakit hati. 

Bayangkan pula, sebagai ibu bapa, anak tidak buat kerja rumah, malas membaca buku, tidak mendengar kata. Kita biarkan sahaja, tegur tidak, marah tidak rotan pun tidak. Kerana sayang... nanti kalau marah atau rotan mereka akan sakit hati. Apa akan jadi pada anak kita. 

Mungkin sekarang baru kita faham mengapa guru, ibu bapa atau orang yang lebih tua buat begitu. Kerana sayang. Jika kita tidak pernah ditegur atau ditarik telinga entah kita akan jadi apa. 

Begitulah jika kita faham mengapa Allah susahkan kita, mengapa Allah uji kita. Sebenarnya kerana sayang. Allah uji kita untuk mendekatkan kita kepada-Nya. Allah susahkan, jentik-jentik sedikit di dunia kerana mahu memberi yang lebih baik di akhirat nanti. 

Jika kita faham sebagaimana anak-anak yang faham mengapa ibu dan bapa tarik telinga, dan murid yang faham mengapa cikgu merotan mereka, maka kita akan berterima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana `tarik telinga dan jentik-jentik kita sedikit`. Alhamdulillah...

Friday 28 August 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 37

Salam Jumaat.


"Bukan semua yang menulis tentang kasih sayang itu seorang pengasih.
 Sedangkan banduan paling banyak tulisannya mengenai kebebasan."

Thursday 27 August 2015

Apakah jenis-jenis penyakit yang boleh disebabkan oleh Makhluk Halus?

Soalan:

Saya pernah membaca dalam beberapa penulisan termasuk penjelasan yang ustaz telah berikan dalam Harakah yang lepas bahawa makhluk halus (jin, syaitan dan sebagainya). Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis-jenis penyakit boleh dilakukan oleh makhluk ini kepada manusia?

Jawapan:

Berdasarkan kepada nas-nas yang sahih khususnya dalam al-Quran dan sunnah Nabawiyyah, bahawa Allah SWT memperincikan bahawa makhluk halus seperti jin, ifrit dan sebagainya, dalam keadaan tertentu boleh memberikan berbagai penyakit ke atas anak Adam.

Di antara penyakit itu disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 102 (mafhumnya): "Sesungguhnya orang-orang yang memakan riba' tidak dibangunkan pada Hari Kiamat melainkan dalam keadaan seperti orang yang telah rasuk oleh syaitan daripada sentuhan yang membawa kepada kecelakaan." 

Istilah yang Allah digunakan dalam ayat tersebut ialah 'attkhabbut' yang bermakna dipukul dengan kuat atau dicederakannya. 

Surah al-A'raf ayat 201, Allah menggunakan perkataan 'almass' yang diantara maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang taqwa itu apabila mereka diganggu oleh syaitan dengan 'mass', sentuhan yang boleh membawa kepada kehilangan akal oleh jin-jin yang berkeliaran. Mereka segera ingat kepada Allah SWT, lalu mereka dapat pulih." 

Surah al-Mujadalah ayat 19, Allah menggunakan perkataan 'istihwaaz', maksudnya syaitan boleh menguasai dan mengalahkan manusia sehingga mereka tidak sedarkan diri atau lupakan segalanya. 

Surah al-A'raf ayat 300, syaitan boleh mengenakan kepada manusia 'annazghu' atau menipu dan menghasut untuk melakukan kejahatan. Ertinya golongan syaitan boleh menipu dan menghasut manusia sehingga kepada membunuh. 

Surah as-Saad ayat 41, syaitan boleh mengenakan 'annasad' dalam ayat ini yang mafhumnya: "Dan ingatlah peristiwa hamba kami Ayub as, ketika ia bermunajat kepada Allah dengan mengadu katanya: 'sesungguhnya saya ya Allah, dikenakan oleh syaitan dengan 'nusghin wa azab'." Nasad yang membawa makna penat atau letih yang amat sangat. 

Jelas bahawa kepenatan, keletihan, kesusahan dan azab sengsara boleh dilakukan oleh makhluk ini berdasarkan ayat-ayat yang saya sebutkan.

Dalam sunnah yang sahih, disebut bahawa syaitan dan suku sakatnya boleh menyebabkan manusia menjadi gila. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dikisahkan tentang seorang anak muda yang baru berkahwin sempena dengan Peperangan Ahzab. Beliau menyertai Rasulullah saw mengorek parit di waktu tengahari, beliau memohon izin kepada Rasullah untuk pulang. Rasulullah keberatan mengizinkan. Namun atas desakannya lalu dibenarkan. Bagaimanapun Rasullullah mengingatkan kepada pemuda tersebut supaya membawa senjata. Apabila sampai di rumah beliau dapati isterinya berada di luar rumah. Lalu dilihat dalam rumahnya ada ular hitam yang besar. Pemuda ini terus menusuk tombaknya kepada ular tersebut. Lalu ular itu menggelupur, tapi dalam waktu yang sama pemuda itu turut menggelupur. Akhirnya ular itu mati dan pemuda pun mati juga. Apabila peristiwa ini dimaklumkan kepada Rasulullah, lalu baginda menyebut itu (ular) adalah jin. (Sahih Mulim, Juzuk ke 4 hadis 1756).

Suatu peristiwa lain, Yaa'li bin Murrah menceritakan dari bapanya, bahawa suatu ketika seorang perempuan telah membawa anaknya yang berpenyakit 'lammam' (akal yang bercelaru atau gila). Rasullah saw merawatnya dengan membaca sesuatu, lalu baginda menepuk belakangnya dan pemuda itu termuntah lalu keluarlah objek kehitam-hitaman berlari keluar dan terus hilang, lalu pemuda ini kembali siuman seperti biasa. Hadis ini terdapat dalam Musnad Imam Ahmad. 

Inilah di antara sebahagian penyakit yang boleh dicetuskan syaitan ke atas manusia.

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Monday 24 August 2015

Pulau Tawar sentiasa menggamit hati

'Lebuhraya Pantai Timur, ringkasnya LPT'

Entah sudah berapa kali saya ke Pulau Tawar Jerantut. Rasanya sudah tidak terkira jumlahnya, seingat saya lebih daripada 50 kali sejak kali pertama, kira-kira lima tahun yang lalu. Paling kerap sewaktu anak yang sulung berada di tingkatan satu. Dua minggu sekali saya berulang-alik mengambil dan menghantar beliau di asrama. Setelah naik tingkatan dua, barulah dia mula belajar menaiki bas ekspres. Sekali-sekala sahaja saya mengambilnya apabila ketiadaan tiket bas. Itu pun tidaklah kerap sangat. 

Petang Jumaat yang lalu sekali lagi saya bermusafir ke sana kerana perlu menyelesaikan satu urusan sekolahnya. Selepas solat Jumaat bergegas saya bertolak dengan kenderaan yang banyak berjasa ini. Lazimnya saya ke Jerantut melalui jalan lama. Tiada yang istimewa, cuma rasa seronok melihat panorama di sepanjang perjalanan berbanding melalui lebuh raya yang hanya kelihatan hutan di kiri dan kanan. Tetapi semalam, saya menggunakan laluan LPT untuk menjimatkan masa. Sewaktu memulakan perjalanan, jam di tangan sudah pun melewati 3 petang.

Diiringi celoteh juruhebah stesen radio kegemaran saya IKIM. FM selain stesen radio “satu pilihan” iaitu Pahang FM, saya membelah aspal lebuh raya yang menghubungkan Kuantan dan Karak. Tidak banyak kenderaan yang melaluinya ketika ini. Saya berkira-kira mahu keluar melalui tol Chenor, tidak seperti biasa melalui tol Maran dan terus masuk ke Kuala Sentul sebelum memasuki gugusan felda Jengka yang luas itu.

Kenderaan bergerak lancar.

Teringat perkongsian seorang teman melalui aplikasi whatsapp group beberapa hari lepas: “Betul ke susur keluar tol Kuantan (berhampiran Tanjung Pasir) ada pontianak malam-malam?”

Terkejut juga saya melihat foto yang turut dihantar.

Lalu dijawab oleh seorang sahabat kami yang kebetulan bertugas di Alloy MTD, sebuah syarikat yang menguruskan LPT: “Mengarutlah, aku kerja malam tak ada pun. Kalau tidak mesti aku yang jumpa dulu.” 

Entahlah betul atau tidak, gambar pun sedikit kelabu. Takkanlah makhluk halus boleh tertangkap di kamera, benak saya mencurigai. Wallahua`lam, sukar untuk mempercayainya. Sememangnya saya sedikit pun tidak menafikan akan wujudnya golongan syaitan dan jin. Ianya jelas disebutkan di dalam al-Quran. Malahan, di dalam al-Quran pun terdapat satu surah yang dinamai dengan surah al-Jin. Ada pun pontianak itu hanyalah istilah yang diberikan oleh orang melayu. Seumpama toyol, pelesit, polong dan yang seangkatan dengannya. Dari mana mereka mendapat nama tersebut saya pun tidak tahu. Tidak pula saya mahu mengkajinya, banyak lagi kerja lain yang berfaedah boleh dibuat. 

Tetapi secara peribadi saya sangat meminati alam mistik sejak dari sekolah rendah, walaupun penakut benar ketika itu. Buku-buku tulisan Tamar Jalis, Tok Awang Ngah dan Alang Bumin menjadi koleksi sebagai hiburan santapan minda. Sampai sekarang buku-buku tersebut masih saya simpan dan dalam kondisi yang masih boleh dibaca. 

Sekarang ini pula, buku “Siri Bercakap Dengan Jin” yang ditulis oleh Tamar Jalis telah diangkat ke layar perak. Saya tidak melepaskan peluang untuk menontonnya di channel Astro Mustika. Walaupun pada hemat saya, dari segi penghayatan penceritaan agak lemah berbanding bukunya yang mempunyai ribuan peminat, namun terhiburlah juga. Biarpun terpacul juga kata-kata kritisan nada tidak berpuas hati, persis juri tidak bertauliah memberi komen.

Oh, jauh pula saya berceloteh sehingga masuk ke alam mistik. Nanti hilang pula cerita yang menjadi tajuk utama di atas.

'Simpang susur keluar dari Tol Chenor' (sumber)

Melalui lebuh raya, kita boleh keluar di tol Maran kemudian masuk ke simpang Kuala Sentul selepas bandar Maran, boleh juga lajak lagi ke atas masuk ke simpang Pekan Bukit Tajau. Atau pun boleh memilih untuk susur keluar melalui tol Chenor. Semuanya akan bertemu jalan yang sama untuk ke Jerantut melalui Gugusan Jengka dan Kota Gelanggi. Dulu saya langsung tidak tahu jalan-jalan ini. Tetapi sekarang kebanyakan ceruk jalan dan nama tempat di sepanjang laluan ke sana berada di dalam kepala saya. Berkat anak sulung yang bersekolah di SMA Pulau Tawar, barangkali.

Saya memilih susur keluar tol Chenor, kemudian membelok ke kanan menuju ke Jengka. Manakala di sebelah kiri jalan keluar ke Kampung Awah dan Chenor. Teringat peristiwa kehabisan bensin sewaktu bermotosikal ke Pulau Tawar suatu ketika dahulu. Allahu rabbi, mujurlah ada seorang pakcik yang baik hati sudi membantu untuk membelikan petrol di stesen minyak yang agak jauh juga. Walaupun pada mulanya ada juga perasaan cemas dan bimbang. Yalah, berada di satu tempat yang di kiri dan kanan cuma ditabiri pokok kelapa sawit. Tanpa pilihan, saya pasti akan menolak motosikal untuk mencari stesen minyak yang paling hampir. Tetapi Allah SWT telah mentaqdirkan ia segera berakhir dengan baik setelah ada yang sudi membantu. Kisah ini telah saya coretkan di dalam entry terdahulu.

'Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, tempat anak sulung saya belajar'

Sekolah ini mula diasaskan pada tahun 1958. Penubuhannya dibuat atas daya usaha yang diketuai oleh Tuan Haji Daud bin Imam Awang (Kadi Dearah Jerantut) dengan kerjasama penduduk setempat dan penduduk sekitarnya. Semasa mula ia diwujudkan sekolah ini diberi nama Madrasah Addaudiah mengambil sempena Tuan Haji Daud bin Imam Awang selaku ketua pengasasnya.

Pada mulanya murid-murid (seramai 20 orang) hanya belajar di sebuah surau kepunyaan Tuan Haji Daud bin Imam Awang. Kemudian pada tahun 1960, bangunan khas telah didirikan di atas sekeping tanah kepunyaan Puan Hajah Esah binti Ibrahim dan rakan kongsinya iaitu Zulkifli bin Ibrahim, Abdul Rahman bin Jaafar, Biyamin bin Mukim Teh dan Awang Chik bin Mukim Teh. Tanah tersebut terletak di mukim Pulau Tawar. 

Pada tahun yang sama jawatan kuasa telah berjaya mengumpulkan wang sebanyak lebih kurang RM800. Dan dengan wang tersebut telah dapat membangunkan sebuah bangunan sekolah. Pada tahun 1962, jawatankuasa sekolah sekali lagi telah berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM600, dengan wang tersebut dapat mendirikan bangunan tambahan bagi menampung kemasukan murid yang kian ramai.

Sebenarnya Madrasah Addaudiah ini pada mulanya adalah merupakan Sekolah Agama Rakyat, kerana segala perbelanjaan mendirikan bangunan, pengurusan dan gaji dibayar hasil dari derma dan sumbangan orang–orang kampung.  (sumber: wikipedia)

Sekolah ini pernah dinaiki bah pada akhir tahun 2014. Saya diberitahu paras air sehingga menceca lantai tingkat dua. Bayangkan bagaimana tingginya! Lama juga masa yang diambil untuk membaikpulih segala kerosakan. Alhamdulillah, sekarang ia sudah pun pulih setelah menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak.

Makam dan masjid Pahlawan Mat Kilau

'Makam Pahlawan Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar'

Setelah selesai semua urusan, saya bersiap-siap untuk memulakan perjalanan pulang ke Kuantan. Tatkala melihat jarum jam di tangan, ternyata ada masa lagi. Ada baiknya saya singgah sebentar ke makam Pahlawan Mat Kilau. Setiap kali ke Pulau Tawar, sekiranya masa mengizinkan memang saya tidak akan melepaskan peluang menziarahi makam Pahlawan Pahang yang masyhur itu. Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, tentu lawatan kali ini akan menjadi lebih bermakna. Ya, sangat bermakna kepada saya sebagai seorang yang sangat meminati bidang sejarah sejak zaman bersekolah lagi.

Sesampai sahaja di situ, saya bertafakur sejenak, menghadiahi al-Fatihah dan doa sambil mengenang kembali kisah perjuangannya seperti yang telah saya baca di dalam buku-buku sejarah. Kalaulah saya memiliki mesin masa pasti saya akan kembali ke zaman itu untuk sama-sama berjuang dengannya. Demikianlah hati kecil saya nakal menggetus sesuatu. Mustahil!   

Tidak lengkap rasanya jika tidak menziarahi juga Masjid Lama Pulau Tawar yang terletak di tepi tebing Sungai Pahang. Masjid ini telah dibaikpulih dan menjadi pondok pengajian agama dengan nama Madrasatul Mu`allim Yunus al-`Arabiyyah.

'Masjid Lama Pulau Tawar di tepi tebing Sungai Pahang. Foto kiri diambil ketika kunjungan pertama saya pada tahun 2011, manakala foto sebelah kanan adalah yang terbaru' 

Masjid ini ada sejarahnya. Disinilah tempat pahlawan Mat Kilau mengisytiharkan dirinya pada tanggal 26 Disember 1969, sejurus selepas sembahyang Jumaat. Berita luar biasa ini telah menggemparkan orang ramai seluruh negara terutamanya orang melayu. Dalam pada itu, ada sebilangan yang tidak mempercayainya, kerana mereka lebih percaya mengatakan Mat Kilau sebenarnya telah meninggal dunia pada tahun 1895-1896 dahulu.

Oleh kerana pengakuan luar biasa ini, kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan satu jawatankuasa seramai 6 orang yang ditugaskan untuk menyiasat ‘pengakuan’ ini. Akhirnya pada 6 Ogos 1970, Menteri Besar Pahang ketika itu telah mengisytiharkan bahawa orang tua yang tinggal di Kampung Batu Lima, Jalan Gambang yang selama ini memakai nama Muhammad bin Ibrahim atau Mat Siam sebenarnya Mat Kilau anak Tok Gajah. Dia adalah pahlawan Pahang yang terbilang pada akhir kurun ke-19 masihi.

Sepuluh hari selepas pengisytiharan itu, Mat Kilau telah meninggal dunia pada pagi Ahad 16 Ogos 1970 di rumahnya di Kampung Batu Lima. Pada petang itu juga jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kedondong bersebelahan dengan kubur ibunya, Teh Mahada.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak mengatakan: “Nama Mat Kilau akan tetap kekal dalam sejarah negara sebagai pahlawan yang menentang penjajahan. Semangat Mat Kilau bukan sahaja menjadi satu tauladan tetapi juga satu unsur ilham rakyat dalam menghadapi masalah masa depan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.”

Salam kemerdekaan!

Perjalanan pulang... (Bersambung)

Friday 21 August 2015

Geram, geram, geram...esok!

 'Tapak Himpunan GERAM esok'

Alhamdulillah, pihak polis telah pun meluluskan permit untuk berhimpun. Manakala pihak Majlis Perbandaran Kuantan juga telah memberi kebenaran untuk menggunakan padang MPK 1 yang berhadapan dengan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 sebagai tapak untuk berhimpun. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas kerjasama yang sangat baik yang diberikan oleh kedua-dua pihak serta pihak-pihak lain yang terlibat. Tanpa kerjasama daripada mereka semua tentulah himpunan ini tidak dapat direalisasikan.

Kami berhimpun bukan kerana membenci pembesar negeri atau negara, jauh sekali mahu ‘menggulingkan’ kerajaan. Semestinya kami juga sangat sayangkan negara Malaysia yang tercinta ini, khususnya bumi Kuantan jolokan bandar lestari. Kami sayangkan negara ini. Kami berhimpun kerana mahu suara kami didengari, kebimbangan kami diberi perhatian oleh pihak yang berwajib. Itu sahaja.

Setelah berbagai-bagai usaha telah dilakukan menemui jalan buntu. Apa lagi yang belum dilakukan, dialog dengan wakil-wakil jabatan kerajaan, ketua masyarakat dan pengusaha bauksit, sidang akhbar, serahan memorandum kepada pihak-pihak yang berwajib, flashmob, poster, banner, risalah penerangan. Semuanya umpama mencurah air ke daun keladi atau lebih tepat seperti menjerit ke telinga orang yang pekak. Sedangkan hari demi hari kami semua terpaksa menghadapi kesulitan yang tampak tiada kesudahan dan penyelesaian.

Ada yang kata bantahan kami kerana mahu menutup periuk nasi mereka yang terlibat dengan industri perlombongan bauksit ini. Ada juga kedengaran kata-kata yang berlegar bahawa golongan yang membantah ini anti pembangunan.

Tidak! Tidak!

Kami membantah bukan kerana semua itu. Kami tidak menolak perlombongan bauksit kerana ia juga di antara sumber pendapatan kerajaan negeri yang akan turut dinikmati oleh hamba rakyat. Melombonglah sampai bila-bila pun selagi hayat dikandung badan. Tetapi kami menolak serta membantah PENCEMARAN akibat perlombongan bauksit ini. Tidak terdaya setiap hari untuk ‘mengunyah keenakan’ debu-debu yang berterbangan ketika hari panas, serta lecah dan becah saat musim hujan menjengah. Itu belum dikira terpaksa bergadai nyawa menghadapi lori-lori pengangkut bauksit yang bermaharajalela di atas dada aspal yang telah pun bertukar warna.

sumber foto: fb GERAM

Jika di negara luar, lazimnya ia diangkut menggunakan gerabak keretapi yang sudah pasti tidak akan mengganggu lalu lintas awam. Malahan gerabaknya perlu ditutup dengan baik dan rapi bagi mengelakkan ia tertumpah. Jika iapun di Kuantan tiada perkhidmatan keretapi pengangkut, apakah tiada SOP untuk projek perlombongan yang maha besar ini? SOP untuk mencarigali, SOP untuk pengangkutan, SOP untuk pemantauan dan bermacam-macam SOP lagi.

Hairan! Kadang-kadang terasa begitu kerana negara barat yang bukan negara Islam pun mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk menjaga kelestarian alam. Tentu pelik kepada negara yang pernah diuarkan sebagai negara Islam satu masa dulu.

Sekali lagi kami tegaskan! Kami bukan membantah perlombongan bauksit, tidak! Kami hanya membantah pencemaran akibat perlombongan bauksit yang sangat kritikal ini. Kembalikan kelestarian di daerah ini ini sesuai dengan namanya Kuantan Bandar Lestari. Mohon ada pihak yang mendengar rintihan dan peduli akan penderitaan kami.

Saya tentunya bukan seorang bijak pandai agama, tetapi tidakkah di dalam al-Quran dan al-Sunnah itu penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? Pada hemat saya, penjagaan alam sekitar adalah soal iman dan peranan kita sebagai khalifah. Kita semua bertanggungjawab memelihara alam sekitar kerana alam ini adalah amanah. Menjaga kelestarian alam ini adalah sebahagian daripada agenda untuk memperelokkan kehidupan manusia. Tidakkah kita mahu memikirkannya?


PANDUAN PERHIMPUNAN:

1. Pelihara kelancaran lalulintas 
2. Pelihara keselamatan orang ramai 
3. Pelihara kebersihan persekitaran 
4. Digalakkan membawa bendera Malaysia 
5. Digalakkan membawa tikar & payung 
6. Tidak membawa senjata terlarang 
7. Tidak membawa kanak-kanak kecil 
8. Elak provokasi ke arah kekacauan 
9. Patuhi arahan penganjur

Rehat Minda: Pesan Murabbi 36

Salam Jumaat.


Hilangnya orang yang kita kasihi seumpama hilang warna daripada gambar...
Ia tidak menghilangkan kehidupan tetapi menghilangkan rasa kehidupan.

Thursday 20 August 2015

Myvi celup tepung, perrgh!

Kuliah maghrib UAI yang menyentuh tentang keajaiban yang ada di bumi lestari Kuantan...



Mungkin seperti ini, tetapi ini viva celup tepung. Keajaiban yang ada di bumi lestari Kuantan. (sumber foto: fb GERAM)


Ini juga di bumi lestari Kuantan, tetapi bukan viva celup tepung. Katanya kapal angkasa yang akan berlepas ke Marikh nanti, bakal angkasawan sedang memandu uji. (sumber foto: fb GERAM)


Ayuh, warga Kuantan!

Wednesday 19 August 2015

Kuliah bulanan UAI


Kuliah Maghrib kupasan kitab Jam`ul Jawami` yang akan disampaikan oleh murabbi sejuta ummah, al-fadhil ustaz Azhar Idrus. Majlis ilmu ini akan diadakan pada 21 Ogos 2015 (Jumaat), bertempat di Maahad MaBIQ Jalan Pantai Sepat, Kuantan. Kepada muslimin dan muslimat yang hadir diminta membawa sejadah masing-masing. 

Ayuh, khususnya warga Kuantan, kita pakat gi dengar kuliah! 

Sunday 16 August 2015

Bolehkah Orang Islam berkahwin dengan Jin Islam?

Soalan:

Ada seorang ditempat saya, disebut oleh orang kampung bahawa dia telah berkahwin dengan jin Islam, mempunyai anak dan hidup dalam keadaan rukun damai. Kebetulan saya pernah ke tempat orang ini, ke rumahnya. Saya dapati dia tinggal seorang diri, tetapi rumahnya bersih seolah-olahnya ada yang menguruskannya. Persoalan besar saya bolehkah kita manusia, berkahwin dan beranak-pinak dengan makhluk halus? 

Jawapan:

Seperkara yang jelas kepada kita bahawa makhluk ini wujud dan boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang mereka kehendaki dengan izin Allah SWT. Persoalan sama ada boleh atau tidak manusia berkahwin dengan makhluk halus dari segi sejarahnya banyak yang kita dengar bahawa Balqis adalah seorang raja di zaman Nabi Sulaiman. Bapanya manusia dan ibunya daripada jin, ibunya bernama Balqmah binti Saisan. 

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w pernah berkata bahawa salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah jin. Hadis ini ada dalam Kitab al-Jami' as-Saghir oleh Imam as-Sayuti. 

Tetapi apabila balik kepada masalah hukum, dengan jelas al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya): "Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan hidupmu dari jenis kamu juga." (an-Nahli: 72) 

Firman Allah (mafhumnya): "Dan di antara tanda-tanda keagungan Allah dijadikan bagi kamu dari jenis kamu juga, pasangan-pasangan hidup, supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dijadikan bagi kamu kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT." (ar-Rum: 21).

Kedua-dua ayat ini boleh difahami dengan mudah bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga. Barulah akan wujud ketenangan, kasih sayang, tambatan hati dan saling percaya mempercayai. 

Bayangkan jika kita mempunyai isteri dari kalangan makhluk halus orang lain tidak nampak, kita nampak seorang sahaja, atau mungkin kita pun tidak nampak tetiba kita berselisih faham, bergaduh dan sebagainya, bagaimana akan terjadi kepada rumah tangga kita. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada Azzubri katanya, Rasulullah saw menegah manusia mengahwini jin. 

Berpandu kepada ayat dan hadis saya sebutkan, atas alasan ini jumhur ulama berpendirian, tidak harus mengahwini jin, jika berlaku perkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Kalau berlaku perhubungan jenis, mereka berkesedudukan dalam keadaan haram. 

Tetapi Imam Malik bin Anas mengatakan perkahwinan itu adalah makruh dan ada ulama yang sependapat dengan Imam Malik. 

Namun apapun yang dapat dilihat maka perkahwinan ini suatu yang kudus, yang pasti diketahui syarat sah perkahwinan, yang paling asas adalah agama. 

Jika jin itu bukan Islam maka perkahwinan tidak sah. Jika dikatakan jin itu Islam, bagaimana boleh kita pastikan benar-benar bahawa dia Islam, apakah dengan pengakuan mulut yang mengatakan bahawa dia (jin) Islam boleh diterima. 

Jika dikatakan jin itu mempunyai keilmuan Islam yang tinggi dan dia beramal dengannya, maka sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam. 

Malah ada kalangan sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadis dan mengetahui banyak hukum (terutama orientalis), kalau di alam manusia boleh berlaku, maka tidak mustahil di alam jin juga ianya boleh wujud. 

Maka jalan yang terbaiklah, kahwinilah dengan manusia, seperti yang disebut Rasulullah, "Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta." 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Saturday 15 August 2015

Kenangan masih basah: Raya zaman budak-budak

'Beraya'

Bulan Syawal semakin menghampiri penghujungnya. Hari ini sudah pun tanggal 30 syawal. Bahang kemeriahannya pun sudah lama berlalu, bahkan kehidupan seharian telah berjalan seperti biasa. Kalau ada pun majlis rumah terbuka yang menjadi satu kemestian menyajikan lagu-lagu raya, seakan memaksa-maksa untuk menggamit perasaan bahawa kita masih punya hari raya. Biarpun serinya seakan tiada lagi.

Walaupun kemeriahan raya sudah tidak terasa serinya, namun tatkala membaca coretan-coretan sambutan hari raya sahabat-sahabat pada syawal yang lalu sangat menyeronokkan. Dari satu laman ke satu laman saya jengah, malahan saya cuba untuk ‘memasuki’ suasana tersebut agar turut sama mencicip manisnya lembaran syawal milik sahabat. Dek kerana keseronokan itu, lantas saya merasa teruja juga untuk mencoret sama. Tetapi tidaklah saya hendak menulis mengenai syawal yang disambut baru-baru ini. Saya mahu menulis raya dari sudut zaman yang lain. Saya mahu mengimbau kembali hari raya dulu-dulu yang saya sendiri telah lalui. 

Nostalgia dan sangat mengesankan! 

Demikianlah yang mampu saya coretkan sebagai permulaan, tentang syawal zaman dulu-dulu. Maksud saya zaman ketika saya masih budak-budak dahulu. Sesuatu yang rasanya sangat sukar untuk berulang kembali hari ini. Zaman sudah berubah, suasana dan keadaan turut berubah. Begitulah menurut pemerhatian saya melalui pengalaman dan rasa. Bukanlah zaman dahulu lebih canggih sambutannya berbanding sekarang. Tidak, bukan begitu. Tetapi zaman itu adalah saat kami, anak-anak kampung menyambutnya dengan cara yang berbeza dengan anak-anak moden hari ini. Ya, cara anak kampung. Tidak sama dengan sambutan generasi Y atau lebih tepat anak-anak zaman gajet canggih. 

Masih saya ingati, dahulu saat datangnya hari raya adalah saat untuk menunggu-nunggu abang long (allahyarham) dan abang ngah yang bekerja di luar kampung pulang berhari raya. Setiap kali mereka pulang adalah habuan untuk saya, kak cik dan kak de. Mungkin sehelai dua pakaian baru sebagai ole-ole. Selalunya, mereka berdua pulang dengan menaiki bas dan sampai pada malam hari. Seingat saya tidak pernah mereka pulang pada waktu siang, paling awal pun ketika hampirnya waktu maghrib. Sememangnya mereka merancang perjalanan demikian. Yalah, jika siang hari mungkin memenatkan sedikit kerana bulan puasa. 

Selalunya apabila mereka sampai kami akan menyambutnya dengan gembira. Seronok betul membelek ole-ole yang dibawa pulang. Bukan abang long dan abang ngah sahaja yang pulang, malahan anak-anak jiran yang lain juga turut pulang berhari raya di kampung. Ini menjadikan suasana kampung sangat meriah, ceria dan riuh-rendah. 

Malam sebelum raya adalah malam yang penuh dengan kegamatan. Pelita akan dipasang untuk menerangi halaman rumah. Boleh dikatakan setiap rumah akan memasang pelita. Dulu-dulu pelita dibuat sendiri menggunakan tin susu bersumbukan kain guni. Ada juga yang membuat pelita dengan batang buluh. Cantik, terang-benderang menghiasi laman. Tetapi sekarang ini cukup mudah, beli sahaja di kedai samada pelita yang diperbuat daripada plastik atau pelita yang terikat kemas pada batang buluh. Waktu itu juga larangan bermain mercun belum dikuatkuasakan, maka bertambah seronok kami bermain mercun dan bunga api. Berdentum-dentam bunyi mercun yang membelah suasana malam. 

foto hiasan (sumber) 
Dahulu juga bazar Ramadhan tidak ada seperti hari ini. Jika ada pun adalah jarang-jarang yang menjual kuih di hadapan rumah sendiri. Kebanyakan penghuni kampung membuat sendiri juadah berbuka. Namun istimewanya di kampung, tradisi bertukar-tukar juadah berbuka amat sinonim sekali. Tidak hairanlah apabila tiba waktu berbuka, juadahnya bermacam-macam dek kerana mendapat 'balasan' kuih daripada jiran-jiran. Demikianlah tradisi yang sangat mengharmonikan hubungan penduduk kampung. Saya sendiri sering menjadi penghantar makanan ke rumah jiran-jiran.

"Tunggu kejap, makcik nak 'balas' pinggan kamu ni.." Ayat yang sinonim tatkala menghantar kuih ke rumah jiran.

Sama juga dengan baju raya. Selalunya emak akan membeli dengan penjual pakaian warga Kemboja. Hampir tiba hari raya akan terlihat kelibat mereka yang berjalan kaki sambil menjunjung bungkusan pakaian di atas kepala. Cukup murah, bahkan boleh pula berhutang dengan cara bayaran dua atau tiga kali. 

Jika ada pula kemampuan yang lebih sedikit, emak akan membawa membeli baju raya di bandar Kuantan. Biasanya tempat tumpuan ialah kedai bangunan batu yang terletak di Jalan Mahkota berhadapan Balai Polis Kuantan. Bangunan batu dua tingkat yang memuatkan bermacam-macam kedai itu lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan bazar. Walaupun cuma sepasang baju dan sepasang kasut, tetapi ia memberi makna yang tidak dapat digambarkan. Terasa seperti anak orang kaya, berjalan pun kembang-kempis hidung. Alahai... 

Satu lagi, beraya dulu-dulu jangan harap untuk memperolehi duit raya yang banyak. Seingat saya, tak ada tuan rumah yang memberi duit raya sebanyak RM1. Kalau 50 sen sudah dikira cukup banyak dan rumah-rumah tertentu sahaja yang memberinya, iaitu rumah besar yang disebut ‘bungalow’. 

Kadang-kadang ada juga rasa malu untuk menjejak kaki ke rumah orang-orang berada. Yalah, seolah-olah seperti mahu mengendeng kekayaan mereka. Tetapi jika tidak hari raya, masakan ada masa lain lagi yang membolehkan kami datang ke rumah mereka. Kadar biasa yang saya dapat tatkala beraya ialah 10 sen dan 20 sen, namun ia cukup menggembirakan. Jika dikumpul nilainya pasti akan bertambah. Tentunya nilai tersebut pada hari ini, budak-budak enggan menerimanya. 

Demikianlah, setiap daripada kita pasti punya pengalaman tersendiri mengenai hari raya yang saban tahun disambut. Apa yang saya coretkan hanyalah sedikit sahaja daripada lipatan memori silam yang masih terlekat di minda. Jika diikutkan terlalu banyak kenangan hari raya zaman budak-budak dahulu. Jika mahu ditulis kesemuanya tentu artikel ini akan menjadi bertambah panjang. Maka saya pendamkan dulu. Insya-Allah, tahun hadapan saya sambung semula. Pastinya, hari raya zaman kita kecil, zaman budak-budak, adalah kenangan terindah yang mahu kita sajikan kembali buat perbandingan dengan generasi baru.

Rindunya raya dulu-dulu...

Friday 14 August 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 35

Salan Jumaat.


Kamu pasti akan merasa bahagia!
Hanya tatkala kamu belajar menyumbang tanpa balasan.

Thursday 13 August 2015

Bicara Santai: 13 Ogos, Hari Tangan Kidal Sedunia rupanya...


Tak tahu pula saya. Bahkan tidak pernah terfikir akannya. Baru hari ini saya mengetahuinya. Jika hari wanita, hari ibu, hari bapa, taulah saya kerana biasa mendengarnya. Di dalam kalendar juga ada tercatit.

Hari Tangan Kidal Sedunia? 

Rupanya 13 Ogos adalah Hari Tangan Kidal Sedunia. Manalah saya tahu dan tak pernah ambil tahu. Sehinggalah saya menerima ucapan daripada sahabat-sahabat melalui aplikasi ‘whatsapp group’ siang tadi. Wah, teruja dan bangga juga. Maklumlah ada juga hari untuk mengiktiraf golongan kami. Saya membaca satu petikan di dalam sebuah akhbar tempatan: 

“Kidal, atau bahasa saintifiknya 'sinistrality' bermaksud seseorang individu yang lebih suka menggunakan tangan kiri daripada tangan kanan. Melakukan rutin harian terutamanya menulis menggunakan tangan kiri menjelaskan perlakuan itu berbeza daripada biasa. Menurut kenyataan National Geographic berkaitan isu ini menjelaskan jumlah individu yang lebih cenderung menggunakan tangan kiri untuk melakukan berbagai tugasan ini dikatakan 10 peratus daripada penduduk dunia. Ia bermaksud 10 peratus daripada 6.7 billion populasi di dunia hari ini.” 

Eh, mengapa pula tiada sambutan untuk golongan yang cenderung menggunakan tangan kanan. Ini tak adil! Bak kata pelakon S. Kadarisman di dalam filem 3 Abdul. Nampaknya golongan yang berkenaan perlu membuat satu resolusi, iaitu menuntut hak yang sama. Adakan juga sambutan hari untuk golongan yang cenderung menggunakan tangan kanan. Jangan marah, saya hanya bergurau! (senyum) 

Ketika bersekolah rendah dahulu dalam darjah satu dan dua, saya sering diejek oleh kawan-kawan. Malu sangat rasanya. Kebanyakan tugasan saya laukan dengan tangan kiri seperti menulis, memadam papan hitam dan sebagainya. Kena pula ada yang berkata, “tangan kanan baik, bagus”. Kalau tangan kanan baik, maknanya tangan kiri tidak baiklah. Akal budak-budak masa tu. 

Dek kerana itu, seringkali saya cuba menukar kebiasaan dengan melakukan kerja menggunakan tangan kanan. Tetapi manakan boleh. Kalau biasa kiri, kiri jugalah hendaknya. Selang beberapa lama, setelah dapat biasakan diri, rasa segan dan malu semakin hilang. Sebaliknya saya mula berasa bangga kerana seorang kidal. Yalah, di dalam kelas kami hanya dua, tiga orang sahaja. Malahan kami perlu biasakan diri membuat sesuatu seperti orang lain yang tidak kidal. Selain itu, ada guru saya yang berkata: "orang yang tangan kidal ni ada seni." Hmmm, entahlah, seni apa pula ya?

Walaupun kidal, tetapi saya makan dengan tangan kanan samada menggunakan sudu atau chopstick. Ini kerana sudah dibiasakan sejak daripada kecil. Saya katakannya kerana ada juga melihat sahabat-sahabat yang kidal memegang sudu atau chopstick dengan tangan kiri untuk menyuap makanan. Payah kata mereka untuk menukar kebiasaan tersebut kerana kidal. 

'saya kidal'

Kadang-kadang dengan nada berseloroh, saya katakan kepada rakan-rakan: “Saya kalau nak memotong makanan samada sayur ke, buah ke atau kek, pegang dengan tangan kanan manakala pisau dipegang dengan tangan kiri. Tetapi korang pegang pisau dengan tangan kanan, tapi makanan pegang dengan tangan kiri, eeiii...” 

Terdiam dan senyum-senyum sahabat-sahabat saya, menandakan mereka memahami maksud saya. Tetapi mereka juga mengerti bahawa saya cuma bergurau. Diulangi cuma bergurau! 

Namun, banyak juga cabaran buat golongan kidal ini. Kebanyakan peralatan direka untuk golongan normal (kanan). Ia merumitkan dan memerlukan masa untuk membiasakan diri supaya tidak kekok. Bak kata peribahasa, ‘alah bisa tegal biasa’. Jadi memang memerlukan masa.

Apa pun, tidak kisahlah samada kidal atau tidak. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Hakikatnya ia adalah ciptaan Allah SWT. Orang yang kidal adalah ciptaan Allah, manakala orang yang cenderung kepada kanan juga adalah ciptaan Allah. Saya sendiri tidak memilih untuk menjadi kidal, lahir-lahir menjadi seorang yang kidal. Sahabat-sahabat juga begitulah sebaliknya. 

Bahkan Allah SWT tidak memandang kepada kidal atau kanan. Taqwa jua yang menjadi nilaian di sisi-Nya. Sesiapa yang lebih bertaqwa, dia menjadi mulia di sisi Allah. Sesiapa yang engkar dia dihinakan. Maka pilihlah untuk bertaqwa walau siapapun anda samada kidal atau tidak.

Wednesday 12 August 2015

Bukalah mata duhai yang berkenaan, kasihanilah kami...

'Planet Marikh'

Marikh merupakan planet ke-4 dari matahari dalam Sistem Suria dan dinamakan sempena nama Dewa Peperangan Tamadun Rom (Dewa Peperangan Tamadun Yunani sedarjatnya: Ares) disebabkan warna kemerahannya di langit pada waktu malam. Ia mempunyai 2 bulan iaitu Phobos dan Deimos. Setiap satu bulan tersebut menyerupai asteroid. Planet ini juga merupakan salah sebuah planet dari 8 planet dalam sistem suria.

Marikh sentiasa mengagumkan penduduk Bumi kerana warna kemerahannya dipenuhi misteri. Marikh hanya mempunyai keluasan 25% permukaan Bumi dan hanya 10% jisim Bumi (walau bagaimanapun keluasan daratan Bumi adalah sama dengan keluasan daratan Marikh). Atmosfera Marikh amat nipis dan tekanan atmosferanya hanya 750 Pa (kira-kira 0.75% purata di Bumi). Komposisi atmosfera Marikh adalah 95% karbon dioksida, 3% nitrogen, 1.6% argon dengan sedikit sahaja kandungan oksigen dan air.

Pada tahun 2003, metana telah dikesan dalam atmosfera Marikh oleh teleskop Bumi dan telah disahkan (secara tidak rasmi) pada Mac 2004 oleh prob: Mars Express Orbiter. Kehadiran metana memang aneh disebabkan metana bukannya gas asli serta menunjukkan kemungkinan adanya punca gas tersebut di planet Marikh. Aktiviti gunung berapi, hentaman komet dan kehadiran kehidupan seni (mikroorganisma) seperti metanogen di planet ini masih belum dibuktikan lagi. (Sumber: Wikipedia)

Kuantan Bumi Lestari 

 'Jalan Kuantan - Kemaman berhampiran Kawasan Perindustrian Gebeng (sumber: FB GERAM)'

 'Pelabuhan Kuantan (sumber: FB GERAM)'

Sengaja saya membandingkan gambar planet Marikh dengan bumi lestari Kuantan. Serupa walaupun tak sama. Planet Marikh digelar planet merah, maka bumi lestari Kuantan boleh juga dijoloki dengan panggilan yang sama. 

Walaupun ada nada marah dan tidak berpuashati dengan apa yang berlaku, serta kepada pihak yang bertanggungjawab, namun saya cuba untuk bersangka baik dan mempositifkan fikiran iaitu:

- Pihak yang bertanggungjawab cuba untuk membuat suasana di sini sama seperti di planet Marikh. Untuk pengetahuan semua, perjalanan dari bumi ke planet Marikh memakan masa selama 9 bulan, jadi sekiranya rakyat yang mahu merasai suasana planet Marikh cukuplah dengan datang ke Kuantan. Maka ini akan menjimatkan masa, tanpa perlu menghabiskan masa selama 9 bulan.

- Pihak yang bertanggungjawab sengaja menjadikan bumi lestari Kuantan seperti Marikh. Ini kerana sekiranya ada alien yang mahu menyerang bumi, maka mereka akan keliru kerana ingatkan tersilap 'landing' di Marikh. Oleh itu, bumi akan selamat daripada serangan alien tersebut.

Sekian, terima kasih. 

Demi kelestarian Kuantan dan kesejahteraan penduduk, khususnya penduduk KUANTAN jom sertai

HIMPUNAN GERAM
(GERAKAN RAKYAT HENTIKAN PENCEMARAN BAUKSIT)
22 Ogos 2015 (Sabtu) / 1.00 Petang
Padang MPK 1 Kuantan (Depan Masjid Negeri)

  

Monday 10 August 2015

Pemilik kasih tanpa syarat..

Foto hiasan (sumber fb)

#Ibu Mithali (Rabbani)

Ibu mithali ibu yang sejati
Kasih sayangmu kasih yang suci
Pengorbananmu disanjung tinggi
Jasamu tetap disanubari.

Ibu oh ibu
Fitrahku murni
Kelembutanmu menyentuh hati
Semai kasihmu dalam jiwaku
Engkau disayangi kerna menyayangi.

Ibu oh ibu
Hatimu suci
Tulus ikhlasmu mendidik daku
Sanggup bersusah dan menderita
Demi kebahgian sekeluarga.

##Kasih dan pengorbanan insan yang bergelar ibu, tiada tolok bandingnya. Kita menyayangi mereka tatkala kita mula menyimpan akal, sedangkan mereka menyayangi kita sebelum kita hadir di dunia ini.

Sunday 9 August 2015

Perginya kandil ummah...


Innalillah...

Hari ini berita sedih menyelubungi alam. Umat Islam menangisi pemergian kandil yang indah dan cerah. Beliau adalah Fadhilat al-Syeikh Dr Mustafa Wahbah al-Zuhaily yang telah meninggalkan kita semua setengah jam sebelum fajar hari ini.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada umat Islam sedunia, atas sumbangannya kepada umat dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau sentiasa dekat dengan umat menerusi usaha memberikan panduan kepada persoalan umat masa kini.

Semoga Allah SWT mengampuni dosa beliau dan menempatkannya bersama dengan para siddiqin, syuhada` dan solehin, aminn.

Saturday 8 August 2015

Cetusan Rasa: Sebaik-baik pendosa...

Kenderaan yang dipandu bergerak perlahan keluar dari perkarangan Pusat Tarbiah diiringi rintik-rintik halus hujan. Beberapa orang sahabat yang sedang berjalan menuju ke kenderaan masing-masing mengangkat tangan, lalu saya membalas keramahan mereka dengan membunyikan hon sambil menghulurkan senyuman. 

Malam ini kami menyiapkan bahan-bahan promosi untuk majlis jamuan hari raya peringkat Kawasan (Parlimen) Indera Mahkota. Alhamdulillah, hampir jam 1 tengah malam semuanya siap dan hanya perlu diedarkan nanti. Tanpa berlengah saya mengangkat punggung untuk pulang, terpaksa menolak ajakan beberapa rakan untuk minum di kedai berhampiran. 

Kebiasaannya saya hanya bermotosikal ke Pusat Tarbiah. Jaraknya tidaklah jauh hanya memakan masa lebih kurang 10 minit. Tetapi sewaktu mahu turun dari rumah tadi, saya perasan awan agak gelap seperti tanda-tanda mahu hujan. Lantas saya membatalkan niat untuk pergi dengan menggunakan motosikal. Bimbang juga jika hujan turun dengan lebat. Usia begini mudah terkena demam. Lainlah zaman budak-budak dahulu, hujan menjadi satu pesta bermain air. Mandi hujan! Selagi tidak dijerit emak dari atas beranda jangan harap mahu berhenti. Terketar-ketar sampai berlaga gigi atas dan bawah dek kesejukan. 

Tersenyum saya mengingati memori tersebut. 

Fitrah manusia 

Alunan muzik rancak daripada corong radio terasa kurang menyenangkan, saya menukar ‘channel’, mencari-cari siaran radio yang menyajikan lagu yang kena dengan ‘selera’ saya. Orang tua.. 

Ahh, lagu Opick!

Lagu yang berjudul “Rapuh” berkumandang menghiasi perut kereta. 

Opick, di antara selebriti tanah seberang yang saya sekeluarga minati. Lirik lagunya puitis, sarat dengan nasihat, lembut dan mendamaikan. Sesuai menjadi santapan halwa telinga saya. Sambil memandu saya ikut sama menyanyikannya walaupun suara tidaklah sesedap mana. Ahh, bukan ada orang lain yang mendengarnya pun, sekurang-kurang dapat juga melayan perasaan di dinihari. 

“...Meski ku rapuh dalam langkah 
Kadang tak setia kepada-Mu 
Namun cinta dalam jiwa 
Hanyalah pada-Mu.. 
Maafkanlah bila hati 
Tak sempurna mencintai-Mu 
Dalam dada ku harap hanya 
Diri-Mu yang bertakhta...” 

Lirik-lirik yang disebutkan terus menangkap di minda. Padahal lagu tersebut didengari sepintas lalu sahaja. Barangkali liriknya ‘luar biasa’ iaitu rintihan seorang hamba kepada Tuhannya. Menginsafkan. 

Hati manusia mudah terusik dengan sesuatu yang mendamaikan. Dekat kepada kebaikan, suka kepada kelembutan dan cinta kepada sesuatu yang indah dan menggembirakan. Semua manusia begitu, ia adalah fitrah yang tidak boleh disangkal. Namun, seringkali kita diresahkan dengan dosa yang terdorong oleh pujukan nafsu. 

Benar, kita adalah roh yang tersarung di dalam jasad, tidak sempurna bahkan terlalu banyak kekurangan serta kelemahan. Kita yang di dalam kelalaian sering melakukan kesilapan. Mungkin kita melakukan dalam keadaan sedar ataupun tidak. Kebenaran ini telah diungkapkan di dalam satu hadis: Anas ra. meriwayatkan Rasulullah saw bersabda: “Semua anak Adam adalah bersalah, dan sebaik-baik yang bersalah adalah orang yang mahu bertaubat.” (Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim) 

Ya, semua kita melakukan dosa. Tidak ada dalam sehari seseorang yang tidak berbuat kesilapan. Rasulullah saw sendiri mengingatkan bahawa semua anak Adam melakukan dosa. 

Manusia biasa mana mungkin tidak melakukan kesilapan. Walau bagaimana alim dan wara` pun, ia pasti ada kesalahan. Samada secara sedar ataupun tidak, sengaja atau tidak sengaja. Melainkan para Nabi dan Rasul yang maksum, iaitu terpelihara daripada sebarang dosa dan kesalahan. Namun demikian, hadis itu tidak terhenti di situ sahaja. Jika tidak pasti ada yang akan menangguk di air keruh. Maksud saya, akan ada yang berkata tatkala melakukan dosa: 

“Nak buat macamana, aku manusia biasa tidak terlepas daripada dosa.”

Atau.

"Allah yang taqdirkankan aku buat silap begini dan begini..." 

Nad`uzubillah.

Nabi saw menyambung hadis tersebut dengan sabdanya, sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang mahu bertaubat. Ya, Rasulullah saw mendamaikan kegelisahan dan keresahan dengan ungkapan hadis di atas iaitu semua anak Adam tidak dapat mengelak daripada melakukan dosa tetapi mereka menjadi insan yang terbaik sekiranya mahu bertaubat dan menyesali akan perbuatan dosanya. 

Di antara keistimewaan Islam ialah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas dan tidak membebankan. Allah SWT dengan rahmat dan kasih sayang sentiasa membuka pintu taubat tanpa ditutup sehinggalah akhir dunia ini. Pintu taubat luasnya mata memandang menganjur dari timur ke barat. Sesiapa yang ingin kembali ke pangkuan ampunan dan redha Tuhannya tidak akan disia-siakan, dengan syarat benar-benar menyesal dan tidak akan mengulangi lagi kesalahan lalu. Manakala jika kesalahan itu membabitkan sesama insan, maka dia perlu memohon maaf daripada insan tersebut. 

Allah SWT berfirman: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, maka balasannya adalah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang yang beramal.” (Ali-Imran: 136-136) 

Subhanallah, betapa luasnya rahmat yang Allah SWT berikan. Maka janganlah sesekali kecewa dengan dosa-dosa yang lalu, sebaliknya kembalilah kepada kebaikan. Allah SWT tidak pernah menutup pintu-Nya selagi insan yang berdosa itu benar-benar ikhlas dan menyesal. Besarkanlah ruang taubat di dalam diri kita. Bukankah rasa ingin bertaubat itu fitrah seorang hamba? 

“Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani dan bahawa azab-Ku adalah azab yang tidak terperi sakitnya.” (al-Hijr: 49-50)

Friday 7 August 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 34

Salam Jumaat.


Perkara paling sukar dalam kehidupan...
Apabila kamu menjadi seumpama batang mancis dalam kehidupan seseorang...
Dia membuangmu setelah menerangi denganmu lilin kehidupannya.

Tuesday 4 August 2015

Roh orang yang telah mati tidak boleh kembali semula ke alam dunia

Soalan:

Ini kisah benar yang menimpa saya dan amat merunsingkan. Kami baru berkahwin dan masih berbulan madu, suami saya meninggal dunia kerana kemalangan jalan, saya reda. Dalam kesedihan saya bermimpi suami saya datang kepada saya seperti sebelum pemergiannya, kami gembira dan tidur bersama dengan bahagia. Selang beberapa malam di antara terlena dengan tidak, saya merasakan suami berada di samping saya, bermadu kasih dengan saya. Kemudian melarat sehingga saya benar-benar yakin, suami meniduri saya. Apakah sebe­narnya, apakah rohnya boleh balik melayan saya. Apa yang harus saya lakukan, saya benar-benar runsing sekarang.

Jawapan:

Saya sudah menjelaskan dalam beberapa soalan sebelum ini. Tetapi elok juga saya pertegaskan lagi bahawa, orang yang telah meninggal dunia, roh mereka berada dalam alam kubur hingga ke suatu masa yang terpulang kepada Allah menentukannya.

Ada yang diseksa dalam kubur dan ada yang berbahagia. Selepas itu mereka akan di tempatkan ke alam barzakh sehingga ke hari Kiamat.

Firman Allah SWT: “Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan”. (Al-Mukminuun: 100)

Maksudnya selepas kematian mereka akan berada di alam barzakh (yang mereka akan tinggal tetap di dalamnya) sehingga pada hari mereka akan dibangkitkan semula

Dalam Tafsir Al-Qurtubi pada juzuk 18 halaman 56, dalam tafsiran ayat tersebut, bahawa selepas kematian, roh manusia masuk ke alam barzakh, mereka berada di dalamnya. Alam itu tertutup atau terdinding, tersekat daripada mereka kembali ke alam dunia hingga mereka kembali pada Hari Akhirat.

Ertinya, roh orang-orang yang mati, tidak boleh kembali ke alam dunia. Logiknya, kalau orang yang sudah mati, kembali seperti dalam bentuk yang saudari tanyakan tadi, maka mengapa orang yang mati dibunuh dengan zalim, diseksa musuh yang tidak berperikemanusiaan, dirogol dan sebagainya, mengapa mereka tidak balik semula untuk mencari orang yang menganiaya mereka dan membalas perbuatan kejam mereka?

Ini tidak pernah berlaku, kerana hakikatnya orang yang telah mati sudah berada di alam yang ‘terdinding’ dan tidak boleh kembali. Oleh itu persoalan yang ditanyakan tadi, dan hukum syaraknya ia bukan roh suami yang telah mati.

Ia bukan roh, bukan suami, besar kemungkinan ia adalah makhluk halus yang disebut sebagai Qareen. Qareen memang wujud, asalnya ia sebagai bayang-bayang, atau duplikasi daripada suami puan. Apabila suami telah kembali ke alam baqa’, maka makhluk tadi dengan izin Allah, dia boleh menyerupai sebagai suami untuk melakukan apa yang telah berlaku.

Oleh kerana ia bukan suami anda, tetapi makhluk halus, maka jangan sesekali melayaninya, jangan beri ruang kepadanya melakukan sesuatu yang tidak baik kepada anda, lindungilah diri anda dengan ayat-ayat al-Quran dan pesanan-pesanan daripada hadis-hadis Rasulullah. Antaranya banyak membaca dua surah terakhir daripada al-Quran, ayatul Kursi sebanyak yang mungkin, membaca Surah Al-Baqarah hingga akhir, atau membaca Khawateem Al-Baqarah (ayat 184, 185 dan 186).

Sebaik-baiknya sebelum tidur, saudari membaca 11 ayat dari Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 1, 2, 3, 4, 5 dan 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286). Boleh juga membaca Surah Yaasin atau mana-mana surah, dengan memohon pertolongan Allah SWT agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.
Wallahu a’lam 

(Bersama Dato Dr Harun Din)

Monday 3 August 2015

Telah 18 tahun pelayaran bahtera ini...


Alhamdulillah.

Terima kasih Tuhan. Segala pujianku buat-Mu takkan mungkin mengatasi akan limpahan nikmat junjung kasih-Mu. Setiap perjalanan hidup dan inci gerak buat adalah semata-mata kurnian di ribaan-Mu.

Setiap kita menginginkan kebaikan yang bertambah untuk menampal segala kelemahan yang sentiasa tidak lekang daripada diri yang serba lemah ini. Walau siapa pun kita, setinggi mana pangkat dan darjat, tentunya kita hanyalah hamba abdi Tuhan yang lemah. Tidak mungkin sedetik kita dapat melalaikan kasih-Nya yang Maha Luas itu.

Isteri yang solehah, kenderaan yang selamat, rumah yang luas dan jiran yang baik adalah di antara pesanan Rasulullah saw untuk setiap kita. Ianya agar kehidupan kita sentiasa diberkati Tuhan hendaknya, dan menikmati keselesaan dalam setiap takah yang dilalui. Namun, isteri yang solehah sentiasa di tempat pertama.

Rumah tangga adalah amanah. Setiap pasangan adalah terbeban dengan tanggungjawab masing-masing. Kerana setiap manusia terikat dengan hasil usahanya di dunia ini. Tetapi dibahu suami lebih terpikul amanah tersebut berbanding isteri. Ia adalah amanah yang sukar dan berat untuk ditanggung. Namun ia juga adalah kurniaan dan nikmat yang tiada terperikan.

Hari ini telah genap 18 tahun usia perkahwinan kami. Tanpa sedar, kerdipan mata pejam dan celik membawa kami sehingga ke saat ini. Terasa bagaikan semalam saya mengucapkan kalimah keramat, “Aku terima nikahnya.” Alhamdulillah, kami dikurniakan 4 orang anak, 2 putera dan 2 puteri.

Seperti insan lain, saya menginginkan keluarga yang bahagia. Saya mengharapkan isteri yang solehah. Tetapi keinsafan yang mengetuk hati sanubari, lalu menyapa bahawa isteri mengharapkan kebaikan saya sebagai suami dan ayah melebihi pengharapan saya. Lelaki, seringkali dibalut ego yang sukar dirungkai. Sedang isteri, dalam lemah seorang perempuan, dia bekerja, dia setia kepada kita.

Aduhai besarnya jasa seorang wanita. Jasa ibu, jasa isteri.

Para lelaki, para suami, jangan dilihat pada kulit yang semakin kusam dan luntur tetapi lihatlah pada jasa yang tanpa jemu ditabur. Jangan dilihat pada anak mata yang telah kehilangan cahaya dan sinar, tetapi lihatlah pada kesetiaan yang tidak pernah mengenal erti pudar. Itulah isteri yang perlu kau hargai.

Para lelaki, para suami, belajarlah erti kehidupan. Belajarlah menilai erti pengorbanan. Tiada yang berkorban sebesarnya selepas ibu dan ayah selain isteri. Dialah isteri, dialah teman, yang sentiasa setia menemanimu dalam setiap derap langkah perjalanan kehidupan. Masihkah kau ingat?

"Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke 18 duhai isteriku. Mudah-mudahan pelayaran bahtera kita berpanjangan sehingga akhir hela nafas ini..."

Sunday 2 August 2015

Fikir-fikir sebelum...

Ada seorang menteri yang baru dilantik beberapa hari yang lalu, berkata: “Isu adegan berpegang tangan, berpelukan tidak perlu dibesarkan kerana tidak mengundang ke arah maksiat.”

Tidak perlulah saya nyatakan siapakah menteri tersebut kerana saya yakin sahabat sekelian dapat mengagaknya. Lagipun kenyataannya itu telah menjadi viral di media sesawang yang mengundang bermacam-macam tanggapan. Saya melihat, ramai yang menempelak, mengutuk dan melahirkan rasa tidak puas hati kepadanya melalui laman sesawang tersebut.

Saya sendiri merasa terkejut, pelik, marah dengan kenyataannya. Bayangkan berpeluk dengan bukan mahram tidak mengundang gejala maksiat kerana ia sekadar lakonan, jadi tak perlulah dibesar-besarkan. Eh, apakah pengertian maksiat baginya. Kalau begitu bolehlah mendedahkan aurat, minum arak dengan syarat ianya sekadar lakonan, maka tidak mengundang maksiat pun. Mungkin itu maksudnya, demikianlah bisikan hati saya yang cetek dan dangkal ini sambil menggaru-garu kepala.

Saya bukanlah berhasrat untuk menasihati menteri tersebut kerana saya bukanlah orang yang layak untuk itu dan sebenarnya ia lebih kepada peringatan buat diri sendiri. Sementelah lagi beberapa orang ilmuwan agama telah pun melontarkan nasihat kepada beliau. Rasanya itu telah pun memadai. Namun atas dasar persaudaraan Islam, walaupun ada perasaan marah dan tidak berpuas hati, saya lebih mahu melahirkan rasa kasihan yang amat kepadanya. Ya, rasa kasihan. Untuk bersangka baik, maka saya menganggap beliau mengeluarkan kenyataan tersebut dalam keadaan jahil atau pun mungkin dalam keadaan tanpa sedar.

Sebagai ingatan bersama, berfikirlah sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, janganlah apa yang kita ucapkan menampakjelaskan kebodohan diri kita sendiri. Pastikan kita merujuk kepada sesiapa yang berautoriti jika tidak jelas atau jahil dalam sesuatu perkara. Tidak rugi sekiranya berbuat demikian. Sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan kita daripada terjerumus ke lembah dosa, disamping itu juga dapat menambah pemahaman kepada diri kita sendiri. Kalau tidak, bukan sekadar berdosa, tetapi terpaksa pula menelan kutukan dan tempelak daripada orang ramai walaupun ia tidak seberat tanggungan dosa.

Juga perlu diingatkan, setiap perbuatan, perkataan maupun tulisan kita akan menjadi satu di antara dua iaitu pahala atau dosa. Tidak ada yang akan menjadi debu yang berterbangan hilang ditiup angin lalu. Maka fikir-fikirkanlah mengenainya. (saya mengingati diri saya sendiri)

Lebih membimbangkan lagi sekiranya apa yang kita lakukan menjadi ikutan pula kepada orang lain. Jika ianya sesuatu yang baik, tidak mengapa. Maka ia akan menjadi pahala amal jariah yang berterusan mengalir. Bagaimana pula jika ia sesuatu keburukan. Bukankah ia juga akan menjadi dosa yang berangkaian sehingga hari kiamat? Fikir-fikir...