Sahabat Sejati

Wednesday 31 October 2018

Merasa gusar dan bimbang

Bagaikan sudah menjadi satu 'trend' di tempat saya kebelakangan ini, hujan turun pada waktu malam. Turun sekitar jam 9 atau 10 malam, kemudian membawa ke santak tengah malam. Kadang-kadang berlanjutan sehingga ke waktu subuh. Kadang-kadang turun menyimbah bumi pada waktu petang  sampai ke malam.

Hujan yang turun adakalanya lebat diikuti dengan guruh dan kilat, dan adakalanya sekadar renyai-renyai tetapi dalam jangkamasa yang lama. Demikianlah, ia tetap menggusarkan hati-hati penduduk di kawasan yang mudah dinaiki air. Tentunya, kerana pemulaan musim tengkujuh kian menghampiri.

Beberapa hari lepas pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah mengeluarkan notis hujan lebat bermula November ini. Di tambah pula dengan fenomena air pasang besar, maka kebimbangan tersebut semakin menebal.

Saya sendiri tidak terkecuali, ada sedikit berperasaan demikian. Perasaan cuak apabila hujan turun dengan lebat. Maklumlah, kawasan ini ada sejarah pernah dinaiki air. Walaupun hanya sekali ketika banjir besar tahun 2014, yang turut menenggelamkan beberapa kawasan lain yang tidak pernah dinaiki air. Tidak mustahil ia mungkin boleh berulang kembali. 

Kebimbangan

Allah SWT menjadikan manusia. Dia juga membekalkan manusia dengan berbagai-bagai perasaan. Ada perasaan suka, gembira, sedih, takut, runsing, kecewa dan sebagainya. Kesemua perasaan tersebut digaul sebati untuk melengkapi kehidupan manusia. Tidak ada manusia yang hanya ada perasaan gembira, suka, bahagia tanpa ada perasaan sedih, berduka, kecewa, dan begitulah sebaliknya. 

Tidak salah untuk merasa gusar dan bimbang dengan musibah yang menimpa. Ia adalah suatu yang normal dan sesuatu yang  biasa dalam kehidupan seorang manusia. Mahu merasa sedih, bimbang, susah hati, silakan. Namun, perlu diingat, biarlah ia berada di dalam batas-batas yang dibenarkan. Jangan sampai bertindak sehingga menyalahkan taqdir, bahkan sehingga menyalahkan Tuhan. 

Sesungguhnya Allah SWT telah mengajar hamba-Nya dalam menerima musibah. Sebagaimana firman-Nya:
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al-Baqarah: 155-156)

Allahu al-Musta`an.

Sunday 28 October 2018

Perubahan kepada kebaikan itu pasti...


Allah SWT menganugerahkan kekuatan dan akal budi kepada manusia, sehingga manusia dapat bertindak sendiri dan mengendalikannya dirinya sendiri di bawah naungan-Nya. 

Dalam erti kata, manusia berkuasa ke atas dirinya dalam batas-batas yang ditentukan oleh Allah SWT. Oleh itu, manusia wajib berusaha menentukan garis hidupnya, jangan hanya menyerah kepada taqdir semata-mata. 

Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menyerah semata-mata kepada taqdir, tetapi kita yakin dan percaya adanya taqdir. Kita juga tahu Allah SWT tidak akan merubah nasib kita, sekiranya kita sendiri tidak berusaha merubahnya. Kita juga percaya bahawa dalam perjalanan hidup yang dilalui, tidak mustahil akan menemui kegagalan dan kecelakaan yang tidak disangka-sangka, walaupun telah dibuat persiapan yang rapi. 

Sebab itulah, dalam setiap kegiatan atau pekerjaan yang dilakukan kita tidak boleh sesekali melepaskan ingatan kepada-Nya. Maka, jika kita ditimpa musibah atau dugaan, jiwa kita telah bersedia menghadapinya dan sentiasa ingat bahawa pelindung kita hanyalah Allah SWT. Nah! Disinilah letaknya kekuatan, sehingga jiwa sesekali tidak merasa sepi, bimbang, goyah dan putus asa. 

Berubahlah wahai diri! 

Firman Allah SWT: “...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sesekali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (ar-Ra`du: 11) 

Di dalam ayat di atas dapatlah kita fahami bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, jika mereka sendiri tidak mengubah sikap dan akhlaq yang ada pada mereka. Contohnya satu kaum atau bangsa yang suka berpecah-belah dan bermusuh-musuhan sesamanya, mereka pasti akan lemah dan mundur dalam segenap hal, baik dalam ekonomi, pemerintahan, pendidikan dan sebagainya. 

Ingatlah! Hal keadaannya itu tidak akan diubah oleh Allah SWT, jika mereka sendiri tidak mengubah sikap dan akahlaq mereka yang suka berpecah-belah dan bermusuhan. Seumpama orang yang malas, nasibnya akan menjadi miskin dan sentiasa hidup dalam kesusahan. Nasibnya tidak akan diubah oleh Allah SWT, selagi dia sendiri tidak membuang sifat pemalas itu terlebih dahulu. 

Kata seorang ahli hikmah: “Janganlah meminta kepada Allah, “kayakanlah aku” sedangkan dia sendiri tidak suka berusaha kerana langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak.” 

Usahakanlah untuk berubah... 

Jangan ditangguh perubahan itu andai ianya menjurus ke arah kebaikan. Bimbang ia adalah peluang datang yang hanya sekali. 

Berubahlah wahai diri!

Thursday 25 October 2018

Moga Allah permudahkan..

Sudah seminggu tidak berkunjung ke 'pondok kecil abuikhwan' ini, sekaligus tidak dapat menumpahkan tulisan untuk tatapan sahabat-sahabat (jika ada yang mahu menatapnya). Bahkan laman milik sahabat-sahabat juga tidak mampu untuk saya kunjungi. Sudah pasti banyak coretan sahabat-sahabat yang saya terlepas untuk menatap, seterusnya mengambil manfaat daripadanya.

Kebelakangan ini kesibukan saya dan sahabat YAMCP berkisar kepada persiapan mengumpul dana bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu Sulawesi. Saya yakin sahabat-sahabat sedia maklum musibah yang telah menimpa bumi Palu. Sungguh tragis dan sangat menyayat hati. 

Sebelum ini kami bertungkus-lumus mengumpul dana untuk rakyat Lombok yang diuji juga dengan musibah gempa bumi. Takdir Ilahi, belum sempat kami 'membereskan' semampunya apa yang berlaku di Lombok, kemudian menyusul pula tragedi di Palu. Walaupun buat masa ini kami memberi tumpuan yang lebih kepada Palu, Lombok semestinya tidak dilupakan. Sudah ada di dalam senarai perancangan bantuan untuk dibawa ke Lombok nanti. 

Insya-Allah, November ini akan berlepas rombongan YAMCP ke Palu. Sebelum ini kami cuma mengirim bantuan melalui YAM Wilayah yang telah awal-awal berangkat ke sana. Mereka jugalah yang menyalurkan maklumat-maklumat penting berkenaan situasi di sana. Termasuk maklumat mengenai sesekali masih lagi berlaku gegaran-gegaran kecil.

Tempohari telah keluar arahan daripada YAM Pusat agar setiap negeri menghantar wakil bagi tujuan tersebut. Justeru, November ini kami akan menyusul. Allahu al-Musta`an..


Sunday 21 October 2018

Ayam masak kicap


#Ceria-ceria hujung minggu,,,

Monday 15 October 2018

Alhamdulillah, Dia yang ar-Razzaq

 
 foto hiasan: Santai di rumah rakit YAMCP

Allah ar-Razzaq, Dia yang memberi rezeki. Dia juga yang menciptakan rasa enak dan rasa kenyang. Tentunya, kerana ada orang yang di hadapannya segala macam jenis lauk-pauk yang baik dan hebat, tetapi lidahnya tidak enak berbanding orang yang hanya makan satu dua mata lauk tetapi ia lebih enak dan selesa makannya. 

Ya, lihatlah nikmat Allah yang amat luas itu. Dengan lafaz ‘Bismillah ar-Rahman ar-Rahim’, maka terkandung sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tanpa kasih sayang Allah kita tidak akan mampu menyuap makanan ke mulut, biarpun ia berada di depan mata. Kita tidak akan mampu mengunyah, menelan dan merasai lazatnya makanan jika tiada kasih sayang Allah. 

Sesungguhnya makanan bagi orang yang beriman itu boleh mengingatkan kepada Allah SWT. Semua makanan terasa enak dan sedap di hujung lidah. Tetapi yang paling penting ialah sentiasa bersyukur dengan apa yang dimakan. 

Pernahkah tatkala kita menyuapkan makanan kita sertakan dengan kesyukuran di atas nikmat yang diperolehi daripada Allah SWT? Dengan kasih sayang-Nya diberikan kita berbagai-bagai rezeki yang kadang-kadang tidak pernah kita pinta di dalam doa. Atau kita hanya pantas menyuapkan ke mulut tanpa berfikir siapakah yang memudahkan aku menyuapkan makanan ini. 

Bahkan, pernahkah kita terfikir siapakah yang memberikan rezeki dalam kehidupan ini dengan tanpa berkira-kira. Amat malanglah jika semua ini tidak pernah kita fikir dan rasai. 

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

Sunday 14 October 2018

Masih adakah...?

 'Menyambut kami'

“Ok dah siap semua, jom!” 

Hari ini kami sekeluarga merancang untuk ke Sungai Lembing. Maklumlah hujung minggu, kebetulan pula saya tidak ada apa-apa program yang perlu dihadiri. Manakala angah Irsalina dan acik Adawiyah pun ada di rumah setelah pulang dari asrama pada hari Jumaat kelmarin. 

Mahu memanfaatkan masa yang terluang, lalu saya mencetuskan rancangan untuk ke sana. Anak-anak tiada masalah, mengikut sahaja asalkan dapat berjalan-jalan, semuanya beres. Ummu Ikhwan pun sama mengikut sahaja. Sebelum ini pun kami sudah beberapa kali berjalan-jalan ke sana. 

Teringat semasa anak-anak masih kecil dahulu. Selalu saya bertanya setiap kali mahu bermusafir ke mana-mana. 

“Kita nak pergi ni, siapa jadi ketua?” 

“Abi…” serentak mereka menjawab. 

“Kalau abi tak ada, nak dengar cakap siapa?” Saya bertanya lagi. 

“Ummi…” 

“Dengar cakap ummi sepertimana dengar cakap abi, ok?” 

“Ok!” Petah sahaja mereka menjawab. Semuanya ok, tetapi apabila sampai masa, macam-macam pula ragamnya. 

Sekarang anak-anak sudah besar. Terasa cepat pula masa berlalu. 

Perjalanan ke Sungai Lembing 

Roda kenderaan meluncur tenang melanyak aspal jalan. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang, sesekali berselisih dengan 2 atau 3 buah kenderaan. Seronok betul memandu seperti ini. Pengalaman saya yang sudah berkali-kali melalui jalan ini, memang beginilah keadaannya. Tiada macet (jem). 

Di tambah dengan hari cuti begini, makin kuranglah kenderaan. Walaupun sepatutnya tidak begitu. Agaknya mereka lebih suka berjalan-jalan ke tempat lain daripada datang ke Sungai Lembing. Kalau ada pun 3 atau 4 biji bas yang membawa pelancong dari luar. Maklumlah tidak banyak yang dapat dilihat di sini melainkan beberapa lokasi sahaja. Demikian getus hati saya mengagak. 

Namun, bagi saya tentunya sesuatu yang menyeronokkan memandu dalam keadaan situasi begini. Pedal minyak ditekan lancar, dengan sesekali pedal brek ditekan tatkala melewati selekoh. Ditambah dengan pemandangan di kiri dan kanan dengan rimbunan hutan hijau serta aliran sungai di bawah sana. Semuanya menjadi hidangan anak mata saya. Terasa sejuk dan sungguh mendamaikan. 

 'Desaku yang semakin berubah citra dan wajahnya'

Pernah saya berseloroh kepada ummu Ikhwan, “Selepas pencen nanti kita balik kampung, buat rumah di sana. Kita buat rumah kayu, macam rumah arwah ayah. Kita tanam sayur, pokok buah-buahan. Kemudian bela ayam dan itik, bela lembu dan kambing.” 

“Itu pun kalau di kampung masih lagi ada suasana kampung.” ummu Ikhwan menjawab sambil melirik senyum. Penuh makna yang tersirat. 

Saya termenung panjang. Memang benar, itu pun jika kampung saya masih ada lagi suasana kampung. Melihat kepada apa yang berlaku sekarang, saya rasa tidak mungkin begitu. Sekarang ini pun sudah banyak hutan hijau yang ditolak, bukit-bukau yang ditarah sedikit demi sedikit. Tali air yang pernah saya rasai kesejukan airnya bersama rakan-rakan dahulu pun sudah lenyap tidak bertanda. 

Rakusnya jentolak meranapkan semuanya sehingga tidak bersisa. Kemudian dinaikkan pula cerucuk besi untuk dibina perumahan. Akhirnya, satu demi satu tanda yang menjadi kenangan hilang dan lenyap ditelan arus pembangunan. 

Orang-orang tua yang baya-baya dengan ayahanda dan bonda saya seorang demi seorang telah pulang ke mengadap-Nya. Begitu juga generasi yang seangkatan dengan saya. Tinggallah generasi baru yang merubah citra dan wajah kampungku seperti hari ini. 

Kadang-kala hati saya merintih mengenangkannya. Air mata titis menyaksikan kampung nan damai semakin hilang hati dan budi kekampungannya. Apa daya yang ada..

Dari kejauhan pintu gerbang yang menjadi mercu tanda pekan Sungai Lembing menyambut kami dengan senyum mesra.

Saya pula masih menyulam rasa dengan pertanyaan yang berlegar-legar di benak, “Masih adakah ‘desa’ lagi buat generasi kami seterusnya?”

Friday 12 October 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (40)

DAKWAH TAHAP PERTAMA: SEBUAH JIHAD TERSEMBUNYI

foto hiasan: sumber

Tiga Tahun Menjalankan Dakwah Sirriah

Sebagaimana yang diketahui, Mekah merupakan pusat keagamaan bangsa Arab. Di sana terdapat perkhidmatan terhadap Kaabah dan tanggungjawab menguruskan berhala-berhala yang disucikan oleh seluruh bangsa Arab. 

Oleh itu, usaha untuk mencapai tujuan pemulihan keagamaan di kota Mekah jauh lebih sukar dan lebih berat dibandingkan dengan wilayah lain. Utusan dakwah di kota Mekah memerlukan tekad yang kuat yang tidak tergoyah sedikit pun oleh musibah mahupun kesukaran.

Dalam menghadapi keadaan seperti ini, tindakan paling bijaksana adalah menyampaikan dakwah secara sirriah (sembunyi-sembunyi), agar penduduk Mekah yang telah sekian lama tenggelam dalam kegelapan tidak dikejutkan oleh seruan yang meruntuhkan keyakinan mereka.
 
(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Wednesday 10 October 2018

Tuesday 9 October 2018

Terima kasih Halim..

 'Perkhemahan yang lalu di tepi sungai'

“Ana bercadang nak buat kem ibadat pada cuti sekolah nanti. Jadi, ana nak minta pandangan enta tempat yang sesuai.” Saya menghubungi sahabat baik, Halim. Mahu meminta buah fikirannya.

“Oh, macam tu. Berapa hari?” Tanya Halim yang memang ringan tulang dan ringan mulut, cukup mudah menghulurkan bantuan kepada sahabat-sahabat.

“Macam biasa, 3 hari 2 malam. Kalau boleh ana tak mahu di tepi pantai kerana ana hari-hari tengok pantai. Ana tak mahu juga di kawasan sungai pasal perkhemahan yang lepas pun dah di tepi sungai, ana tak mahu juga di kawasan hutan pasal ana dah biasa dengan kawasan hutan.” Saya menerangkan dengan panjang lebar.

Teringat perkhemahan yang lalu di tepi sungai, dengan peserta hampir 100 orang. Sungguh mencabar apabila berpuluh-puluh remaja yang saling tidak mengenali dihimpunkan di satu tempat. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dari mula hingga ke akhir program. Jika adapun hanya insiden biasa yang tidak keterlaluan.

'Perkhemahan yang disertai pelajar sekolah aliran biasa, pondok dan tahfiz'

“Kalau begitu ana cadangkan enta buat perkhemahan di kawasan tanah perkuburan. Rasanya belum ada lagi orang buat. Boleh mengingat kepada kematian di samping tu boleh menguji keberanian pelajar-pelajar, termasuk fasilitator juga, yalah fasilitator pun perlu diuji juga sekali-sekala.....,” jawabnya dengan nada berseloroh di hujung telefon.

“Ha...ha...ha...” saya turut ketawa, terasa gelihati dengan cadangannya.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana reaksi para pelajar jika cadangan Halim saya turuti. Tentu kem ibadat ini berjalan dengan lancar dan baik sekali. Tidak perlu ada kawalan malam kerana para pelajar tidak akan merayau-rayau, selepas habis aktiviti terus duduk di dalam khemah.

Saya tahu Halim hanya bergurau.

Namun, disebalik gurauannya itu hati saya berkocak. Ya, lontaran gurauan yang terpacul dari mulut Halim dengan perkataan ‘kubur’ mendebarkan hati saya. Bukan kerana saya takutkan kubur sebagaimana zaman kanak-kanak dahulu, tetapi sepantas kilat terlintas satu perasaan di benak. Rupa-rupanya ada sesuatu yang Allah SWT ingin sampaikan melalui gurauannya. Saya menyedari, sebenarnya sudah lama saya tidak menziarahi pusara bonda di kampung.

Teringat satu kisah yang diceritakan oleh Umar al-Khattab, para sahabat pernah bersama-sama Rasulullah saw pergi ke satu tanah perkuburan. Lalu baginda duduk di satu kubur, berhampiran para sahabat. Setelah itu baginda menangis bercucuran air mata. Melihat Rasulullah saw menangis, lalu para sahabat turut menangis.

Nabi bertanya: “Mengapa kamu semua menangis?”

“Kami menangis kerana melihat engkau menangis, ya Rasulullah,” jawab sahabat.

Lalu Rasulullah saw menjawab: “Ini adalah kubur ibuku, Aminah binti Wahab. Aku meminta izin Tuhanku untuk menziarahi kubur ini, lantas diizinkan. Lalu aku memohon supaya ibuku diampunkan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Syukurlah, di sebalik gurauan Halim itu, rupa-rupanya ia satu peringatan dari Allah SWT.

Selembar kenangan

Petang semalam, saat matahari memancarkan cahaya redupnya bersama hembusan angin lembut, saya singkap selembar demi selembar kenangan bersama bonda.

Masih saya ingati, sejuta kenangan yang amat membekas di hati. Ketika saya masih kecil, bonda menyuap nasi ke mulut di beranda rumah pusaka ayahanda. Sambil makan bonda bercerita kisah-kisah yang mencuit hati. Bonda tunjukkan burung yang melompat-lompat di atas ranting pohon jambu air. Kata bonda, burung itu Allah yang jadikan. Lalu saya berkata, saya juga mahu terbang seperti burung itu. Bonda tergelak sambil mengusap kepala saya.

Oh Tuhan, manisnya saat itu.

Tetapi semuanya sudah pun berlalu, tidak mungkin ianya dapat dikecapi lagi.

Lama saya termenung di jendela.

Lalu petang itu saya putuskan bahawa saya akan bawa anak-anak pulang ke desa tercinta untuk menziarahi pusara ayahanda dan bonda.

“Insya-Allah, hujung minggu ini kami akan pulang.” Doa dan harapan dari hati kecil saya.

Terima kasih Halim atas ingatan itu...

Bondaku..(24.09.1947 - 18.09.2011) Al-Fatihah.

Friday 5 October 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 113

Salam Jumaat.


"HAPPY PEOPLE FOCUS ON WHAT THEY HAVE.
UNHAPPY PEOPLE FOCUS ON WHAT'S MISSING"

Thursday 4 October 2018

Salam takziah ..

Semoga Allah mencurahkan rahmat dan maghfirah-Nya kepada 6 orang pasukan penyelamat dan menerimanya sebagai syuhada'. Demikianlah taqdir Allah SWT..
 اللهـم اغفر لهم وارحمهم...

[baca berita disini]


Wednesday 3 October 2018

Selamat berangkat semua!


Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kumpulan pertama Yayasan Amal Malaysia telah pun berlepas ke lokasi kejadian dalam rangka membawa bantuan kepada mangsa-mangsa. Kepada DIA jua diharapkan agar semua yang dirancang dapat disempurnakan dengan jayanya, dan dipermudahkan semua kesulitan.

Umum mengetahui apa yang telah terjadi di Sulawesi tempohari. Selang tidak lama selepas Lombok dilanda gempa bumi, berlaku pula susulan di Sulawesi yang lebih dahsyat lagi. Ekoran gempa bumi yang berlaku,   menyebabkan gelombang tsunami dan mengakibatkan korban jiwa serta kemusnahan harta benda. 

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang termasuk juga negeri-negeri lain pantas menggerakkan pengumpulan dana bagi maksud tersebut. Alhamdulillah, sambutan rakyat Malaysia amat membanggakan. Betapa pemurah dan prihatin warga negara ini dalam bab membantu mereka yang di dalam kesulitan. Satu lagi, apa yang boleh disebut adalah kepercayaan dan keyakinan kepada kami dalam menguruskan sumbangan infaq mereka. 

Hari ini telah berangkat kumpulan pertama membawa bantuan daripada rakyat Malaysia. Moga dipermudahkan semua kerja kebajikan ini. Allahu al-Musta`an.

Monday 1 October 2018

Hakikatnya..

'foto hiasan'

KEMBARA MENCARI HAMBA ini hanyalah anyaman kata dari lukisan rasa yang terjelma, tampil untuk berkongsi sedikit ilmu pengetahuan yang hakikatnya tidak sampai separuh debu. Ahh... betapa kerdil diri ini jika mahu dibandingkan hasil penulisan sahabat-sahabat yang lain. 

Bukan merendah diri, tetapi mengakui kelemahan diri dan menghitung-hitung setelah menyuluh ke dalam diri sendiri, melihat dengan mata hati dan mendongak ke daerah tertinggi ke pangkuan Ilahi. Benar-benar kerdil... 

Diriwayatkan oleh al-Hakim, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: “semasa Musa bertemu Khaidir, telah datang seekor burung lalu memasukkan paruhnya ke dalam air. Berkata Khaidir kepada Musa; “Adakah kamu ketahui apa yang dikatakan oleh burung ini?” Musa berkata; “Apakah yang dikatakan olehnya?” Berkata Khidir; “Kata burung itu, tiadalah ilmumu dan Musa pada ilmu Allah melainkan seperti air yang terlekat pada paruhku ini (dibandingkan air di lautan).” 

Menyedari diri tidak memiliki ilmu dan pengajian agama yang tinggi, senantiasa saya memohon kepada-Nya agar dipermudahkan dan diberkati apa yang ditulis.

Saya tidak pernah maksudkan “Kembara Mencari Hamba” sebagai tempat untuk mengajar para pembaca, tidak sekali-kali. Tetapi ia hanyalah satu wadah perkongsian pengalaman hidup yang terkandung di dalamnya pengajaran dan kebaikan serta harapan. 

Lebih dari itu, saya berharap ia menjadi pencetus untuk kita sama-sama berfikir bahawa kehidupan yang singkat ini amat berharga.

Demikianlah..