Sahabat Sejati

Saturday 22 January 2022

Anda beri.. kami sampaikan..

Alhamdulillah, 300 pek beras untuk diagihkan kepada yang terjejas akibat banjir. Terima kasih kepada semua dermawan. Semoga sumbangan ini akan dibalas dengan ganjaran kebaikan daripada Allah SWT. Kepada penerima, moga ia dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung. 

 


Sunday 16 January 2022

Ops Cuci dan serah sumbangan di Mentakab

Alhamdulillah, operasi bersih rumah yang ditenggelami banjir di Kampung Batu Kapor, Mentakab Pahang serta agihan dapur gas, selimut toto dan tikar kepada mangsa di situ. 

Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, kampung ini adalah di antara lokasi yang paling teruk terjejas akibat banjir di kawasan Mentakab. Dikhabarkan air baniir hampir mencecah ke bumbung.

Operasi bersih kali ini turut disertai pasukan sukarelawan YADIM Pahang. Alhamdulillah sebahagian sumbangan anda kami telah agihkan kepada mereka yang terkesan teruk dengan banjir yang berlaku.

Semoga mereka yang menjadi mangsa banjir dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini. Allahu al-Musta'an.









Saturday 15 January 2022

Bersabarlah, moga Allah SWT menggantikan dengan yang lebih baik

'Sentiasa siap siaga'

 Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian buat Allah SWT kerana masih lagi diberikan kesempatan untuk bertemu di alam maya ini. Sudah agak lama juga saya menyepi daripada mencoretkan sesuatu. Apakan daya, musibah banjir yang berlaku baru-baru ini menambah catatan diari hari-hari yang dilalui.

Kelonggaran SOP oleh pihak pemerintah menyebabkan hujung minggu saya kembali menjadi agak sibuk, Jika sebelum ini kebanyakan aktiviti hanya menerusi atas talian, sekarang ini sudah boleh bersemuka. Maka, Sabtu dan Ahad bermusafirlah saya ke setiap lokasi yang diperlukan untuk hadir.

Alhamdulillah, terbaru kami (YAM Pahang) telah berkolaborasi dengan Cinta Gaza Malaysia membantu mangsa banjir di sekitar daerah Kuantan. Team CGM yang dipengerusikan oleh Ustaz Nadir al-Nuri telah menyumbang berupa barangan kering serta selimut toto kepada mereka bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung. 

 

Kita dapat menyaksikan betapa sukar, perit dan jerihnya kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir. Berat mata melihat, berat lagi bahu memikul kepayahan. 

Namun, percayalah setiap musibah yang berlaku juga merupakan kaffarah (penghapus) dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba. Hakikatnya jika sesuatu yang tidak diingini menimpa seorang mukmin, ianya adalah satu proses penyucian jiwa daripada dosa dan noda. 

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ. 

Mafhumnya: “Dan (pasti) Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan (kekurangan) hasil tanaman. Khabarkan berita gembira kepada orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah: 155)

Sabar adalah satu sifat mahmudah dan menjadi senjata paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Orang yang sabar menghadapi kesusahan dan kepayahan hidup dengan hati yang tenang, berlapang dada, tidak berputus asa, tidak mudah menyerah kalah dan tidak menyangkal akan segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT ke atasnya.

Memang tidak mudah untuk bersabar saat ditimpa ujian. "Berat mata memandang berat, lagi bahu memikul kepayahan." Kita boleh menulis atau menyebut agar bersabar kepada mereka yang ditimpa musibah atau ujian. Hakikatnya, mungkin kita sendiri tidak mampu menanggungnya jika ia terkena ke atas diri kita. 

Begitulah hakikatnya. Namun, apa sahaja yang Allah taqdirkan kepada kita ada rahmat dan hikmah yang mungkin tidak kita sedari. Allah SWT dengan sifat kasih sayang memberikan kekuatan dan memujuk hati setiap Muslim yang ditimpa musibah dengan firman-Nya: 

"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan." (an-Nahl: 96)

Bersabarlah..