Sahabat Sejati

Saturday 31 March 2018

Moga beroleh kejayaan..(31 Mac 2018)

'Along Ikhwan bersama team nasyid negeri Pahang"

Tiga minggu lepas..

"Along baru balik dari `Ashir (Hayyu), test suara," pesanan whatsapp daripada anak sulung di Ardhul Kinanah.

Jam di skrin telefon bimbit tertera angka 3.30 am. Maknanya di Mesir sekarang ini dalam pukul 10 lebih malam. Saya yang baru tiba di rumah kerana menyelesaikan beberapa urusan di pusat tarbiyah terkuap-kuap menatap skrin telefon bimbit.

"Test suara, untuk apa?" Saya menyoalnya kembali, sedikit kehairanan. Padahal jika disebut uji suara, tidak lain mesti berkenaan nasyid kerana anak sulung saya ini memang komited bernasyid sejak di SMA lagi. Namun, dek bercampur mengantuk dan penat menyebabkan saya sedikit terpinga-pinga. Jadi lambat memproses maklumat yang masuk ke dalam kepala. Aduhh..!

"Abang-abang senior yang suruh datang test suara untuk join nasyid antara negeri-negeri nanti. Tiap-tiap tahun festival nasyid ni.." terang along Ikhwan memahamkan saya.

"Oh, begitu. Habis macamana?"

Alhamdulillah lulus. Kena start berlatih dah esok. Berlatih di `Ashir, kena pergi ke sana lepas habis kelas." Tapi dah jadi percussionist dah, sekarang kena nyanyi pulak.?

"Wah, dah naik pangkat dah. Dulu duduk belakang sambil ketuk-ketuk tabla.. bongo.. yenki.." saya berseloroh. Terasa hilang sedikit rasa mengantuk.

"Minta abi dan ummi doakan along berjaya, 31 Mac hari pertandingan."

"Tak lama dah. Insya-Allah, moga sukses, tapi jangan lupa hadaf (matlamat) datang ke Mesir ye.." sengaja mengingatkannya.

Insya-Allah, yang tu nombor satu," balas anak saya sebelum kami menamatkan perbualan pada dinihari itu.

Moga anakandaku dan pasukan nasyid negeri Pahang beroleh kejayaan yang gemilang, Allahu al-Musta`an.

Friday 30 March 2018

Hampir setahun di sana..

 'Along Ikhwan dan rakan-rakan bersama sohibul mutajar'

Hampir setahun along Ikhwan bermukim di bumi Mesir. Alhamdulillah, dalam tempoh tersebut rasanya dia  sudah dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan suasana di sana. Samada dari segi iklim, makanan, persekitaran, termasuk juga kelelahan melayani karenah pak arab.

Mengapa saya katakan begitu? Hmm, sesiapa yang pernah berurusan dengan pak arab, tentu tahu bagaimana kondisinya. Dengan perangai kasarnya, acuh tak acuhnya dan lain-lain yang memerlukan kesabaran dan kecekalan yang tinggi.

Cerita sahabat

Teringat cerita seorang sahabat di kaunter Queen Alia International Airport Amman, Jordan, pada hari pertama beliau mendarat di sana. Itulah pengalaman pertama beliau kenal perangai pak arab. Petugas kaunter di situ, bila cop pasport bagaikan mahu runtuh meja. Bamm!! Bamm!! Seorang demi seorang berurusan untuk mendapatkan visa. Bamm! Bamm! Pak arab terus mengecop.

Sampai gilirannya, bammm!! Dia hempaskan pasport di hadapan petugas tersebut. Terus pak arab pandangnya tidak berkelip. Lantas pasport sahabat saya itu dicop dengan perlahan. Mungkin pak arab itu terfikir, "rupanya ada lagi yang lebih garang dari aku." Ha.. ha..haa..

Gelihati saya mendengar kisah sahabat saya ini. Malahan banyak lagi kisah yang berkaitan perangai pak arab yang menjengkelkan. Kadang-kadang saya terfikir "Patutlah Nabi Muhammad diutuskan dikalangan orang arab, sebabnya untuk memperbaiki perangai orang-orang arab yang kasar itu." Tetapi akhirnya berkat tarbiah Rasulullah saw, para sahabat menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan manusia. Allahumma solli `ala Muhammad.

Namun begitu, tidaklah semua orang arab berperwatakan kasar dan menjengkelkan. Ramai yang baik-baik. Saya sendiri mempunyai sahabat di kalangan arab. Sangat bagus akhlaq dan perilaku mereka. Selesa dan merasa sangat dihargai ketika bermuamalat dengan mereka. Termasuk juga sahabat-sahabat dikalangan bangsa cina dan india.

Setiap bangsa ada 'dakinya.' Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Samada bangsa melayu, cina, india, orang arab atau bukan arab. Baik atau buruk perangai bukanlah terletak pada bangsa, tetapi terletak pada hati. 

Thursday 29 March 2018

Masa...

 

Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu. Apabila masa mengucapkan selamat tinggal, maka ia benar-benar memaksudkannya. Kerugian masa ialah kerugian mutlak. Kerugian yang tidak mungkin digantirugi dan tidak mungkin dituntut kembali. 

Masa tidak dapat diputarkan kembali, semakin hari semakin jauh kita meninggalkan masa lalu. Seumpama kita mencelupkan kaki ke dalam arus sungai yang mengalir, tatkala kita mengangkatnya dan mencelupkannya kembali, pastinya ia adalah arus sungai yang lain. Kita tidak dapat memijak arus yang sama, kerana ia telah pun mengalir jauh semakin menjauh. Itulah perbandingan masa lalu.

Masa mengalir terlalu laju, usia pula semakin dimamah perjalanan hidup. Sedar atau tidak kematian juga semakin menghampiri. Setiap derap langkah hanyalah bermakna memendekkan jarak menghampiri liang lahad. Itu juga tanpa kita sedari.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-'Asr 103:3)

Monday 26 March 2018

Tetamu setia di HTAA

 'sabar menanti giliran'

Jam 8 pagi, bergulinglah roda 'kapcai tua' di dada aspal yang sedikit basah ditimpa gerimis halus. Di celah-celah kenderaan lain yang bertenaga mempamerkan kegarangan menuju destinasi masing-masing, kapcai tua yang banyak berjasa ini meluncur perlahan membawa watak utama iaitu saya dan 'si kecil Haikal yang istimewa'. 

Minggu lalu unit Audiologi menyambut kami dengan senyuman manis (Alhamdulillah, cepat pula urusannya selesai). Jika di unit Audiologi termasuk juga di unit Speech, saya tidak perlu mengambil nombor giliran kerana temujanji mengikut waktu yang telah ditetapkan di dalam buku temujanji. Sekiranya temujanji pada jam 9, maka sebelum jam 9 selalunya saya telah berada di tempat menunggu sebelum dipanggil masuk membuat pemeriksaan dan rawatan. Begitulah kebiasaannya. 

Hari ini sekali lagi saya membawa si Haikal memenuhi temujanjinya di HTAA. Kali ini unit Oftalmologi pula menerima kami berdua sebagai tetamu yang diundang. Ah, tetamu setia yang sering menampakkan wajah setiap bulan tanpa sekelumit rasa lelah. Demikianlah sudah menjadi rutin perjalanan hidup kami sejak ‘si kecil Haikal yang istimewa’ hadir di dunia ini, menjadi tetamu setia di HTAA. 

Berkunjung ke unit Oftalmologi bukanlah sesuatu yang menyenangkan (apakan daya). Sama juga jika memenuhi temujanji di unit Pediatrik. Kenapa? Kerana jumlah manusia (pesakit) yang menunggu amat ramai yang menyebabkan kebosanan ‘bertafakur’ sebelum nombor giliran dipanggil. 

Ditambah lagi dengan kondisi anak mata si Haikal jenis lambat kembang. Sekali titis ubat kembang anak mata, tidak mahu ia menjadi, dua kali pun tidak juga. Selalunya 3 kali titis barulah boleh berjumpa doktor pakar. Sekali titis perlu menunggu selama 30 minit, kemudian barulah dibuat pemeriksaan samada anak mata telah kembang ataupun tidak. Bayangkan jika perlu dititiskan ubat tersebut sebanyak 3 kali. Kadang-kala rasa cemburu pula apabila melihat orang lain yang mudah sahaja proses tersebut. Sekali titis sahaja sudah boleh bertemu sang perawat pakar.

Apa pun, ini bukanlah satu keluhan, jauh sekali ingin memberontak kerna tidak puas hati, tidak!. Ia hanyalah sekadar corat-coret sebuah perkongsian. Benar, hanya satu perkongsian. Saya sentiasa akur dengan ketentuan-Nya, sentiasa menadah tangan bersyukur kepada-Nya. Malahan tidak pernah terlintas untuk tidak mensyukuri apa sahaja ketentuan dalam perjalanan kehidupan yang dilalui.Apa sahaja taqdir-Nya, pasti terkandung di dalamnya hikmah kebaikan. Alhamdulillah..

Hadis kelebihan bulan Rejab, berhati-hati sebelum menyebarkannya

Kedatangan bulan Rejab sangat dinantikan kerana ia termasuk di antara 4 bulan haram yang di muliakan di dalam Islam. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27 Rejab.

Bangsa arab sejak zaman sebelum Islam juga memuliakan bulan Rejab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Di zaman jahiliyah bulan Rejab ini di kenali dengan “Rejab Mudhar”, untuk membezakan dari “Rejab Rabi’ah”, Rasulullah saw menjelaskan perbezaan ini bahwa Rejab Mudhar adalah di antara Jumadil Thani dan Sya’ban, adapun Rejab Rabi’ah antara Sya’ban dan Syawal.

Tidak terdapat satu hadis yang sahih mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadis Hasan yang menyebut Nabi saw banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban. Apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, baginda menyatakan: “Kerana Sya’ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada di antara Rejab dan Ramadhan.” Dari hadis ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan.

'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.

Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).

Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab' : "Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu." Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk."

Berhati-hati sebelum menyebarkannya

Namun demikian, dalam keghairahan kita berkongsi hadis-hadis berkaitan kelebihan bulan-bulan Islam seperti Rejab, Muharam, Ramadhan dan sebagainya, janganlah kita lupa terlebih dahulu untuk memastikan akan kesahihannya. Mengambil sikap berhati-hati kerana dibimbangi sekiranya apa yang kita sebarkan itu adalah hadis palsu (rekaan) yang tiada langsung kaitan dengan lafaz Rasulullah saw. Maka ia termasuk di dalam perbuatan dusta ke atas baginda.

Peringatan yang sangat jelas kepada kita bahawa berdusta ke atas nama Rasulullah saw bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Malah ia adalah suatu perkara besar yang sewajarnya dielakkan oleh sesiapa jua. Ingatlah ancaman yang dijanjikan kepada mereka yang berdusta ke atas nama baginda saw, iaitu sesuatu yang amat dahsyat, bakaran api neraka.

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan/hadis PALSU ialah:

1. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

2. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.

3. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

4. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.

5. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.

6. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash. 

 7. Abu Muhammad Al- Khallal, Ad-Dailami, Al-Ashbahani meriwayatkan dari Mansor bin Yazid Al-Asadi, dari Musa bin ‘Imran, dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu”. Kata Az-Zahabi: Mansor bin Yazid tidak dikenali orangnya dan khabarnya (Hadisnya) adalah Batil.

5. Hadis mengenai kelebihan solat-solat tertentu: “Sesiapa yg bersembahyang maghrib pada malam pertama di bulan Rejab kemudian bersembahyang 20 rakaat selepasnya, dia membaca di setiap rakaat surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas sekali dengan sepuluh kali salam, nescaya Allah menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan diselamatkan dari azab kubur, dan dia akan melalui sirot seperti kilat tanpa dikenakan hisab dan azab”.

Sumber : Fatawa Syeikh Athiyyah Saqr. 

Kesimpulan. 

1. Para ulama hadis diantaranya Ibnu Hajar Al-Asqalani, Ibnu Taimiyyah dan lain-lain menyatakan bahawa tidak ada hadis yang sahih tentang kelebihan bulan rejab secara khusus melainkan ia adalah termasuk di antara bulan-bulan haram. 

2. Adapun berpuasa di bulan rejab hukumnya sunat sebagaimana yang difatwakan oleh Syeikh Atiyyah Saqr kerana ia termasuk di dalam bulan-bulan haram dan ada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Umamah Al-Bahili tentang puasa tersebut. 

3.Kita perlu berhati-hati dalam menukilkan hadis-hadis kerana dibimbangi kita mendustai Rasulullah saw.

Diriwayatkan daripada al-Mughirah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah saw pernah bersabda: "Sesungguhnya pendustaan terhadapku adalah tidak sama dengan pendustaan yang dilakukan terhadap seseorang kerana orang yang sengaja mendustakanku akan disediakan baginya azab dari api Neraka. [Bukhari, Kitab Jenazah no 1209, Muslim, Mukaddimah no 9, Tirmidzi, Kitab Jenazah no 921, Ahmad Juzuk 4/245 & 252] 

Rujukan:
1. Ahsanul Kalam fit Fatawa Wal ahkam, Syeikh Athiyyah Saqr Jil 3, ms 65, 443, 476

2. Lathoiful Maarif, Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali ms 217- 235

3. Kasyful Khafa’, Syeikh Ismail Ajluuni

4. Tahzirul Muslimin minal Ahadis Al maudhuah, Muhammad bin Al Basyir Al-Azhari

5. Al-ahkam.net

6. Tanzihus Syariah…, Syeikh Ibnu Iraq Al-Kannani.

Wallahua`lam.

Wednesday 21 March 2018

Sekejap pula rasanya, alhamdulillah..

'Seperti biasa, masuk bilik nombor 12'

Alhamdulillah, selesai sudah menunaikan kewajipan hari ini. Seperti biasa, di tempat yang biasa. Hari ini memenuhi temujanji 'si kecil Haikal yang istimewa' di unit Audiologi, HTAA. Rutin bulanan membuat ujian pemeriksaan pendengaran anak saya yang seorang ini. Dan rutin itu juga menyebabkan saya perlu mengambil cuti.

Temujanji hari ini berjalan dengan lancar sekali. Sebentar pula rasanya. Tidak seperti biasa yang saya rasa dan alami. Ada juga riak-riak 'keboringan' mahu menunggu ia selesai. Hari ini tidak pula begitu. Tup, tap, tup tap, dah pun selesai. Rasanya tidak sempat panas punggung menunggu.

Seperti biasa sebelum pulang ke rumah, saya dan si Haikal singgah dahulu mengisi perut. Lokasinya, biasalah, kedai makan hujung bangunan, yang berhadapan dengan padang majlis perbandaran. Berhampiran juga dengan masjid negeri. Menunya, ah biasa juga, selera si kecil Haikal, roti telur yang digandingkan dengan milo suam. Saya pun mencicip menu yang sama sebagaimana si Haikal.

Hari ini mendapat perkhabaran daripada juruaudio agar menggantikan acuan telinga yang sudah tidak berapa baik kondisinya. "Acuan telinga tersebut sudah agak keras, maka perlu diganti yang baru," nasihatnya. Maknanya, saya perlu ke kedai tempat membuat alat pendengaran tersebut bersama si Haikal untuk mengambil ukuran sebelah dalam telinganya. Berapa pula kosnya, entahlah. Harap-harap masih di dalam kemampuan saya. 

Tetapi kami tidaklah ke sana hari ini. Insya-Allah, mungkin minggu hadapan cadangnya. Lagipun minggu hadapan ada satu lagi temujanji 'si kecil Haikal yang istimewa'. Kali ini di unit oftalmologi pula atau senang faham klinik mata. Kena ambil cuti lagi nampaknya.. Tak apalah.. (senyum)   

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (27)

sumber ~ FB

Monday 19 March 2018

Hari ini, 01 Rejab 1439H (Isnin)

Sudah pun masuk bulan Rejab yang disebutkan di dalam al-Quran di antara bulan-bulan haram.

Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (At-Taubah: 36)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menjelaskan pada kita bahwa bulan yang ada pada kehidupan manusia di dunia ini berjumlah 12. Di antara 12 bulan tersebut, ada empat bulan yang dinyatakan oleh Allah SWT sebagai bulan-bulan haram. Bulan-bulan tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Menurut Ibnu Abbas, Allah SWT memang mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram (bulan yang dimuliakan). Sebab, jika berbuat dosa pada bulan-bulan tersebut, dosanya akan lebih besar dibandingkan bulan yang lain. Begitu juga apabila berbuat amal soleh, ganjaran kebaikan akan diperoleh dengan pahala yang berlipatganda. (Latho-if Al Ma'arif, 207)

Menurut Al-Qodhi Abu Ya'la, ada dua alasan dan dua makna mengapa Allah SWT menamakannya bulan haram. Pertama, pada bulan itu diharamkan berbagai pembunuhan atau perbuatan keji lainnya. 

Kedua, pada bulan itu pula diharamkan melakukan tindakan dan perbuatan haram. Perintah ini lebih ditekankan daripada bulan lainnya, kerana kemuliaan bulan tersebut. Sebaliknya, pada bulan haram, dianjurkan untuk lebih memperbanyak perbuatan baik dengan melakukan amalan dan ketaatan kepada Allah SWT.

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadhan”. (Riwayat Imam Baihaqi)

Ameenn, ya Allah..

Saturday 17 March 2018

Cuti sekolah, terima kasih ummu Ikhwan

Alhamdulillah, anak-anak semuanya sudah berada di rumah sempena dengan cuti penggal persekolahan. Maka, kembali meriah dan riuh rumah kecil kami ini. Kalau tidak cuma suara 'si kecil Haikal yang istimewa' sahaja yang menggamatkan suasana tanpa tahu biji butirnya. Tidak mengapa, jika itulah kemampuannya setakat ini, ia juga termasuk nikmat yang sewajarnya disyukuri. Mudah-mudahan semuanya akan berubah menjadi lebih baik satu masa nanti.

Semalam ummu Ikhwan menjemput mereka semua di asrama masing-masing. Seawal jam 8 pagi bertolaklah isteri saya itu ke PPTI di Kemaman untuk menjemput pulang angah Irsalina. Sepatutnya dia boleh pulang pada hari Khamis selepas tamat waktu persekolahan. Namun angah Irsalina menghubungi pada hari sebelumnya agar datang pada hari Jumaat.

Memandangkan dia merupakan salah seorang Ketua Usrah (KU), maka menjadi tanggungjawab untuk memastikan semua Aspuri dalam keadaan baik sebelum pulang. Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar lain pulang pada hari Khamis, manakala beliau dan Ketua Usrah yang lain pulang pada hari Jumaat. 

Dari Kemaman, ummu Ikhwan berpatah balik semula untuk mengambil si Haikal di SMKB, yang tamat sesi persekolahan pada jam 12 tengahari. Menempuh perjalanan yang bersimpang-siur dengan kenderaan tentunya memerlukan kesabaran yang tinggi. Maklumlah, negeri Terengganu bercuti pada hari Jumaat di tambah pula dengan permulaan cuti sekolah. Hmm, makin bertambah kenderaan yang meluncur di aspal jalan.

Jam 3 petang, tibalah pula giliran untuk mengambil acik Adawiyah di aspuri SMKAA. Sekali lagi ummu Ikhwan membelah aspal jalan untuk ke sana. Mujur juga waktu petang, walaupun sebenarnya sesi persekolahannya tamat pada jam 12.30 tengahari. Dapatlah berehat sebentar di rumah setelah membawa pulang si Haikal, sebelum mengambil acik Adawiyah. Kalau tidak tentu terkejar-kejar.

Lagi pun memang kebiasaan bagi pelajar-pelajar asrama SMKAA pulang pada jam 3 petang kerana tidak mahu tergesa-gesa mengemas barang-barang. Tetapi ada juga yang pulang sejurus tamat persekolahan, namun bilangannya tidaklah ramai.

Setelah itu barulah selesai sudah urusan membawa pulang anak-anak pada hari ini. Tentunya penghargaan terima kasih yang setingginya buat ummu Ikhwan atas 'khidmat' yang tidak mungkin mampu saya balas. Saya pula sedang bertungkus-lumus menguruskan tugasan di luar kawasan. Demikianlah saya yang sering 'ketinggalan'!  

Saturday 10 March 2018

Terusir


"Diberinya gelaran yang buruk kepada perempuan itu, dinamainya 'sampah masyarakat', dinamainya 'bunga mengandungi racun', 'kupu-kupu malam' dan lain-lain nama yang hina dan buruk. Padahal dia sendiri yang menyuruh mereka sesat ke dalam lembah itu." "

Dikutuk perempuan itu, ditimpakan segala macam kesalahan kepadanya, dikatakan dia wakil iblis, perdayaan syaitan, padahal lelaki itu yang lebih iblis..." 

Buku Terusir berjaya menyampaikan satu mesej kepada para pembaca supaya tidak terburu-buru dalam menghukum atau menilai. 

Biar tersilap maaf, jangan tersilap hukum. 

Lihatlah apa yang terjadi apabila Azhar tersilap dan menilai dan menghukum isterinya Mariah. Sehinggakan selepas menjadi terbuang Mariah menjadi serendah-rendah manusia. 

Hidupnya melarat dan teraniaya. Lebih perit, kerinduan Mariah kepada anaknya sering berkunjung. Maka khamar menjadi pilihan Mariah untuk melupakan segala kesengsaraannya. 

Dalam kisah ini, tidak hanya Mariah yang menderita. Bahkan Azhar, setelah disedarkan semula oleh sahabatnya, juga menderita serba salah kerana tahu bahawa dia tersilap dalam menghukum Mariah. Merata dicarinya Mariah, namun hampa. 

Sofyan si anak juga terkesan apabila terpaksa membesar tanpa ibunya. Dinafikan hak kebenaran oleh ayahnya. 

Setelah beberapa babak yang terjadi, akhirnya Mariah mendapat 'pelepasan' yang dimahukannya. 

Dapatlah jua Mariah mengucup anaknya walaupun Sofyan masih tiada tahu akan hakikat 'Neng Sitti' itu adalah ibunya. 

Wahai manusia, janganlah terburu-buru dalam membuat satu keputusan. Siasatlah sehabisnya. Kelak jika khilaf, kan kau menyesal.

Tajuk: Terusir
Penulis: Prof. Dr.  Hamka 
Penerbit:  Pustaka Dini Sdn Bhd
Terbit: 2010
Mukasurat: 134
Harga: RM13.50

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Friday 9 March 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 105

Salam Jumaat.

sumber foto ~ jagokata.com

"Jangan pernah merobohkan pagar tanpa mengetahui mengapa didirikan. Jangan pernah mengabaikan tuntutan kebaikan tanpa mengetahui keburukan yang kemudian anda dapat." ~ Buya Hamka

Thursday 8 March 2018

Tujuan hidup manusia - update

“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan (kebenaran) Allah. Mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. Dan mereka hanyalah berkata bohong (yang tidak ada dasar kebenarannya). (Al-An`aam:116). 

Setiap insan di dunia ini pasti mempunyai tujuan hidup masing-masing. Tidak ada manusia yang berkata bahawa mereka sekadar hidup dan tidak tahu mengapa mereka hidup. Mustahil. 

Tujuan hidup berbagai-bagai dan terpulang kepada individu itu sendiri. Tujuan hidup yang berbagai inilah yang mencorak dan mewarnai perjalanan hidup manusia. Tidak dinafikan dalam mengharungi arus kehidupan ada yang tersasar dari lapangan tujuan hidup. Mereka dibayangi tujuan hidup yang rapuh dan kabur. Mereka mudah di pengaruhi manusia di sekeliling mereka, lalu mereka tenggelam dalam arus yang menyesatkan dan semakin jauh dari kebenaran. 

Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat di atas: “Melalui ayat ini Allah memperingatkan kembali kepada kita tentang bahayanya mengikuti pendapat orang ramai yang menyebabkan mereka menyimpang jauh dari jalan Allah. Biasanya pendapat dan fikiran seseorang itu semata-mata andaian dan sangkaan semata-mata yang bukan dari sumber ilmu pengetahuan yang benar. Justeru itu, kepercayaan yang bulat kepada Allah mesti ada pada setiap manusia, yang tidak dapat dipengaruhi oleh apa-apa dan sesiapa pun.” 

Sesungguhnya tidak ada jaminan bahawa pendapat orang ramai itu benar dan selamat. Namun apa yang berlaku manusia lebih cenderung kepada bilangan yang banyak. Sehingga mereka mengukur dan menilai kebenaran itu berdasarkan jumlah manusia ramai. Inilah yang sepatutnya kita khuatiri jika pendapat yang banyak itulah yang menyeleweng manusia dari jalan Allah. 

Oleh yang demikian firman Allah di dalam surah al-An`aam ayat 116 memperingatkan kita supaya berhati-hati dalam kehidupan, dan bertegas agar tidak tidak tertipu dan terpedaya pendapat dan tingkah laku sebahagian besar manusia. 

Secara umumnya al-Quran menggambarkan tujuan utama hidup manusia di dunia boleh dibahagi kepada tiga tujuan: 

Pertama 

Manusia yang menjadikan hidupnya untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Mereka menggunakan tenaga, masa, fikiran, harta dan jiwa untuk mendapat redha Allah. Mereka berjuang menegakkan agama Allah. Firman Allah SWT: “Dan ada diantara manusia yang menjual dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (al-Baqarah: 207) 

Imam Jalaluddin al-Mahadi dan Imam Jalaluddin as-Suyuti menyatakan maksud ‘menjual dirinya’ dalam ayat ini ialah sanggup mengorban dirinya semata-mata ketaatan dan kepatuhan pada perintah Allah SWT. 

Oleh itu, setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya mestilah bersedia mengorbankan seluruh tenaga dan jiwa raga kepada Allah. Tiada tujuan selain mencari keredhaan Allah SWT. 

Kedua 

Manusia yang menjadikan hidupnya untuk dunia semata-mata. Mereka menghabiskan tenaga dan jiwa serta masa hanyalah untuk kesenangan dan keseronokan demi memuaskan keinginan nafsunya, mereka ingin hidup berkekalan di dunia. Tujuan hidup mereka kabur dan mereka melupai kebesaran dan nikmat Allah SWT. 

Allah berfirman: “Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang.” (Muhammad: 12) 

Allah SWT menyatakan kelakuan orang-orang yang mengingkari-Nya adalah seperti haiwan. Mereka makan seperti makannya haiwan. Mereka tidak pernah mengambil tahu apa yang mereka makan sama ada halal atau pun haram. Mereka hidup dalam keadaan berseronok-seronok, bersukaria dengan dunia serta menurut hawa nafsu. 

Mereka berebut-rebut mengutip kekayaan dan keseronokan dunia tanpa memikirkan ke mana selepas ini. Amat malang sekali jika ada di antara orang Islam yang turut terpedaya dengan kehidupan ini. Hidup yang tiada pegangan, tiada memberi manfaat masa, harta dan tenaga. 

Firman Allah SWT: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta benda yang melimpah-ruah dari emas dan perak, kuda tunggangan pilihan, binatang-binatang ternak dan tanam-tanaman. Itulah kesenangan hidup di dunia. Dan kepada Allah jualah tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Ali-Imran: 14). 

Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: “Sesungguhnya Allah SWT memberitahu apa yang disukai dan dicintai oleh manusia dalam kehidupan dunia yang berupa pelbagai kesenangan dan kemewahan seperti wanita-wanita, anak-anak...tetapi kemudiannya Allah SWT akhiri ayat ini dengan peringatan bahawa semua itu merupakan kebahagiaan hidup di dunia, kesenangan dan keindahan yang akan hilang dan lenyap. Sedangkan di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya. 

Sepatutnya segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT digunakan semata-mata untuk mencari keredhaan-Nya, yang demikian adalah sebaiknya. Namun demikian, mutakhir ini kita lihat berbagai serangan fizikal dan pemikiran yang menimpa umat Islam. 

Lihatlah apa yang ada di dalam media masa serta media cetak sekarang. Kebanyakannya adalah mengajak ke arah berhibur yang melampau-lampau. Cara hidup hedonisma yang di canang dari segenap penjuru. Maka tidak hairanlah umat Islam kini mulai lalai dan leka serta semakin jauh dari cara hidup Islam. Sensitiviti terhadap sesuatu isu yang melibatkan umat Islam pudar dan terpadam, jiwa umat Islam mati. Yang tinggalah puntung-puntung jasad yang condong menanti rebah. 

Ketiga 

Ada pula yang tujuan hidupnya sentiasa berubah-rubah mengikut peredaran zaman. Mereka seumpama lalang yang meliuk-liuk menurut angin yang bertiup. Mereka akan beribadat atau berjuang jika ianya memberi manfaat atau mendapat pujian dan sanjungan. Tetapi jika ibadat tersebut menyebabkanya tergugat serta di timpa kesusahan atau pun keperitan maka ia segera berlalu, mereka lari meninggalkannya. 

 Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 11: “Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan berada di tepi, maka jika ia beroleh kebajikan tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh sesuatu bencana berbaliklah ia kebelakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang amat nyata.” 

Apa yang hendak dikatakan kepada golongan manusia seperti ini. Jelas golongan ini seumpama tidak mengerti hakikat hidup. Mereka sekadar mempertahankan kehidupan tanpa melihat kepada kebenaran. Agama diperlukan untuk mempertahankan serta kepentingan sendiri. Namun jika agama dianggap mengongkong serta menyekat kebebasan maka agama dicampak ke tepi. Mereka inilah yang disebut oleh Allah SWT sebagai golongan yang rugi di dunia dan akhirat. 

Ibnu Kathir menjelaskan di dalam tafsirnya berkenaan ayat ke 11 surah al-Hajj: "Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Nya, ada yang menyembah Allah dengan keyakinan separuh-separuh dan iman yang amat rapuh. Apabila penglihatan mereka dalam ibadat menemui kebajikan dan menyebabkan nasib yang baik dalam kehidupan maka mereka tetap dalam ibadat dan menganggap agama itu baik dan benar.akan tetapi apabila diuji dengan musibah yang membawa kepada kerugian maka ia berpaling ke belakang serta mempersalahkan agama."

Betapa ramai golongan yang sebegini dalam kehidupan kita hari ini. Mereka berjuang bersungguh-sungguh serta mengajak manusia ke arah kebaikan dan menegah kepada keburukan. Mereka bekerja dan mencurahkan masa, tenaga dan harta untuk perjuangan. Tetapi apabila berhadapan dengan ujian yang berat, risiko perjuangan lalu mereka berpaling. 

Mereka menukar haluan perjuangan, melompat sana dan sini. Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada perjuangan yang mereka lalu kerana telah mendapat platform baru yang membantu mereka melepaskan diri dari ujian tersebut. Lompat sana, lompat sini.... 

Wallahu a`lam.

Sunday 4 March 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (35)

 
Sedikit Ulasan Mengenai Pembahagian Wahyu

Sebelum saya menjelaskan dengan lebih jauh tentang kehidupan nabi pada masa kerasulan dan kenabian, saya fikir kita perlu mengetahui terlebih dahulu tentang pembahagian wahyu yang merupakan sumber ajaran Islam dan landasan dakwah. Ibnu Qayyim menyebutkan tentang tahap-tahap wahyu:

1. Mimpi yang benar, yang merupakan permulaan menjelang turunnya wahyu kepada Nabi Muhmmad.

2. Dilontarkan oleh malaikat ke dalam hati dan jiwa Nabi Muhammad tanpa baginda melihat malaikat itu. Ini seperti sabda baginda: "Sesungguhnya Ruhul Kudus telah menghembuskan ke dalam diriku bahawa setiap jiwa akan mati kecuali apabila telah disempurnakan rezekinya.

Maka, takutlah kepada Allah dan tempuhlah dengan cara yang baik dalam mencari rezeki. Janganlah sampai kelambatan rezeki menyebabkan kamu menempuh laluan kemaksiatan untuk mendapatkannya kerana apa yang ada di sisi Allah tidak akan diraih kecuali melalui ketaatan kepada-Nya."
 
3. Malaikat datang kepada baginda menyerupai seorang manusia lelaki, lalu bercakap kepada baginda hingga baginda faham apa yang dikatakannya. Wahyu jenis ini kadangkala dilihat juga oleh para sahabat.

4. Wahyu datang kepada baginda dalam bentuk bunyi loceng. Inilah wahyu yang paling besar pengaruhnya terhadap baginda. Kedatangan malaikat tidak dapat diketahui secara jelas oleh nabi sehingga dahi baginda berkerut mengeluarkan peluh padahal hari sejuk. Juga, apabila baginda sedang menunggang unta, tiba-tiba unta itu tersembam ke tanah.

Pernah sekali wahyu turun dengan cara seperti ini, padahal paha Rasulullah saw sedang berada di atas paha Zaid bin Tsabit. Maka tiba-tiba Zaid berasa sangat berat sehingga hampir saja melepaskannya.

5. Nabi melihat malaikat dalam rupa asalnya, diwahyukan kepada baginda apa yang Allah perintahkan untuk diwahyukan. Cara turun wahyu yang seperti ini terjadi dua kali sebagaimana disebutkan Allah dalam surah an-Najm.

6. Allah menyampaikan wahyu kepada nabi, sementara baginda berada di atas tujuh lapis langit pada malam Mikraj. Ia berupa kewajipan solat dan yang lainnya.

7. Allah menyampaikan sendiri firman-Nya kepada nabi tanpa perantaraan malaikat tetapi masih dari  balik tabir, seperti percakapan Allah dengan Musa bin Imran. Kejadian wahyu jenis ini pada Nabi Musa dinyatakan secara tegas dalam nas al-Quran. Sementara kepastian terjadinya pada Nabi Muhammad dinyatakan dalam hadis tentang Israk. 

Ada ulama yang menambah jenis wahyu kelapan, iaitu Allah bercakap secara langsung berhadapan dengan nabi tanpa memakai tabir. Ini merupakan persoalan yang diperselisihkan oleh ulama dahulu mahupun terkini. Demikianlah huraian ringkas tentang tahap-tahap wahyu, daripada tahap pertama hingga kelapan.(1) Apa yang jelas ialah tahap yang terakhir (kelapan) bukanlah merupakan pendapat yang kuat.  

RUJUKAN: 

(1) Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaad al-Ma`ad, jil. i, hal. 18

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..