Sahabat Sejati

Friday 31 January 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (50)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (49) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA  

foto hiasan ~ sumber

Pelbagai cara untuk Melawan Dakwah 

Melihatkan usaha mereka tidak dapat memalingkan Nabi Muhammad daripada dakwah Islam, orang Quraisy kembali berfikir. Lalu mereka mencuba pelbagai cara lain untuk menghalang dakwah tersebut. Cara-cara yang mereka lakukan dapat diterangkan secara ringkas seperti berikut: 

1. Mencemuh, menghina melakukan jenaka yang berunsur ejekan, menuduh sebagai pendusta dan mentertawakan baginda. Tujuan Quraisy adalah untuk menghilangkan kepercayaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad sekali gus meruntuhkan kekuatan psikologi mereka. Maka, mereka mula melemparkan tuduhan-tuduhan sampah dan cercaan-cercaan kasar kepada baginda. 

Mereka memanggil baginda dengan panggilan orang gila. 

Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila". (Al-Hijr 15:6) 

Mereka menyifatkan baginda sebagai penyihir dan pendusta. "Mereka terkejut kerana datang kepda mereka seorang pemberi peringatan daripada kalangan mereka sendiri. Dan orang kafir berkata,

"Orang ini (Muhammad) adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta." (Sod 38:4) 

Mereka memandang dan menghadap baginda dengan pandangan yang sangat sinis dan penuh kebencian seolah-olah mereka akan menelan baginda, juga dengan perasaan marah yang berkecamuk hebat. 

"Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: "Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila".(Al-Qalam 68:51) 

Tatkala Nabi Muhammad sedang duduk bersama-sama orang lemah daripada kalangan sahabat baginda, orang Quraisy datang dan mengejek mereka, "Inilah para teman Muhammad," sebagaimana dimuatkan dalam firman Allah, 

"Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? " (Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?" (Al-An'aam 6:53) 

Perilaku mereka secara jelas Allah tuturkan kepada kita, 

"Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!"Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang beriman itu! (Al-Mutaffifiin 83:29-33) 

2. Memburuk-burukkan ajaran baginda dengan jalan melontarkan fitnah, menyebarkan propaganda dusta serta menyatakan bahawa ajaran baginda tidak benar. Bahkan pernyataan tersebut juga dilakukan terhadap diri dan keperibadian baginda. Mereka tidak henti-henti melakukan semua itu dengan tujuan agar masyarakat umum tidak mendapat kesempatan untuk menerima dakwah baginda. 

"Dan mereka berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)". (Al-Furqaan 25:5)  

"Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain". Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta". (Al-Furqaan 25:4). 

Lalu mereka berkata tentang Rasulullah saw, "Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya)." (Al-Furqaan 25:7) 

Di dalam al-Quran terdapat banyak contoh yang boleh digunakan untuk membantah pelabelan-pelabelan tersebut, sama ada yang dinyatakan setelah memaparkan pelabelan-pelabelan tersebut maupun yang dinyatakan tanpa pemaparan terlebih dahulu. 

Bersambung.. 

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Wednesday 29 January 2020

Tuesday 28 January 2020

5 teka-teki

Apa yang paling DEKAT dengan diri kita di dunia? 
Bukan orang tua 
Bukan juga kaum kerabat 
Tidak juga teman-teman 
Melainkan KEMATIAN yang dekat 
Bersalin waktu dan berganti hari ia kian mendekat 
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan." (al-Ankabut: 57) 

Apa yang paling JAUH dari kita di dunia? 
Bukan langit
Bukan ruang angkasa
Bukan negara China 
Melainkan MASA LALU yang kian menjauh 
Semakin hari kita semakin jauh meninggalkan zaman kanak-kanak yang suci dan fitrah. Apa sahaja usaha kita, walau apapun kenderaan yang diguna, secanggih mana pun ia, kita tetap tidak dapat kembali ke masa lalu. 

Apa yang paling BESAR di dunia? 
Bukan gunung-ganang
Bukan matahari 
Bukan juga bumi 
Melainkan NAFSU yang amat besar walaupun tidak kelihatan sosoknya 
Maka berhati-hatilah kerana menurut kehendak nafsu akan menyebabkan tertutupnya pintu kebenaran dan boleh mengheret ke neraka 
“Sesungguhnya nafsu itu mendorong ke arah kejahatan.” (Yusuf: 53) 

Apa yang paling BERAT di dunia? 
Bukan batu 
Bukan pula besi 
Tidak juga gajah 
Melainkan MEMEGANG AMANAH adalah sesuatu yang amat berat 
Tiada makhluk yang sanggup memikul amanah, melainkan manusia. 
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya... (al-Ahzab: 72 

Apa yang paling RINGAN di dunia ini? 
Bukan kapas 
Bukan juga dedaun kering 
Tidak pula debu 
Melainkan MENINGGALKAN SOLAT adalah sesuatu yang amat ringan dan mudah. 
Sedangkan solat adalah tiang agama, manakala meninggalkannya seumpama meruntuhkan agama dan mendapat ancaman yang amat berat. 
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang." (Al-Muddaththir 42-43) 

Apa yang paling TAJAM di dunia ini? 
Bukan mata pedang 
Bukan pula pisau belati 
Melainkan LIDAH yang terlihat lembut dan tumpul 
Kerana ia dapat menyakiti hati dengan mudah 
Kerana ia boleh menyebabkan dua sahabat bermasam muka 
Kerana ia boleh meyebabkan suami isteri berpisah 
Bahkan kerananya dua negara boleh berantakan
Hadrat Sufian Saqafi ra. telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw, “Perkara apakah yang baginda paling takut bagi umat tuan?” Baginda saw memegang lidahnya sendiri yang berkat lalu bersabda, “inilah.” (Misykat)

#Olahan daripada peringatan Imam al-Ghazali

Sunday 26 January 2020

Duhai anak, mintalah istighfar kepada orang tuamu

foto hiasan

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu”. [Riwayat Ahmad (10610)][Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum sanad hadith ini sebagai hasan disebabkan Asim bin Abi al-Najud. Selain daripadanya adalah perawi yang thiqah dan sahih].

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang anak itu mampu mengangkat darjat seseorang yang soleh walaupun orang tersebut daripada ahli keluarganya di syurga. 

Selain itu, terdapat sebuah lagi hadith yang masyhur berkaitan doa seorang anak yang soleh kepada ibubapanya merupakan satu amalan yang tidak akan terputus walaupun ibubapanya sudah tiada di dunia lagi. 

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda: 

“Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”. (Hadis Riwayat Muslim. no. 3092) 

Di dalam hadith ini juga ada menyatakan bahawa istighfar seorang anak itu yang akan meningkatkan kedudukan ibubapanya di syurga. Istighfar yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah memohon ampun kepada ibubapanya supaya diampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu ketika hidup di dunia ini. 

Kesimpulannya, sudah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk sentiasa memohon ampun dan berdoa kepada ibubapanya yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. 

Akhirnya, semoga kita dan ibubapa kita diampunkan dosa oleh Allah SWT serta ditempatkan di dalam syurga yang tinggi kedudukannya di akhirat kelak. Amin.

Friday 24 January 2020

Wednesday 22 January 2020

Tuesday 21 January 2020

Damai

Tidak hutan batu, tidak habuk dan debu. Jiwaku cepat mengeras dan mematung di hutan batu, andai lama tidak mencari damai di alam desa.

Rendang pepohon hijau dan harum bunga-bungaan yang mekar. Keriangan dan nyanyian burung-burung, sahutan katak-katak dalam parit dan tali air, tingkah cengkerik dan reriang malam. Tidak lupa rintikan dan titisan hujan yang gugur menimpa atap, menghasilkan irama bingit tetapi membahagiakan.

Dalam meniti titian hari-hari kehidupan di desa nan tercinta. Mata, telinga dan hati nuraniku terpahat dan terakam pada isi alam damainya. Demikianlah hati kampung seperti aku.

Kata murabbi: "Kita tenang dengan alam semulajadi kerana ia ciptaan langsung Allah.. justeru membawa kita dekat kepada-Nya. Jika mendekati ciptaan langsung Allah itu mengundang tenang, apatah lagi jika mendekati-Nya terus pada zikir dan fikir yang langsung". 

Subhanallah!


Friday 17 January 2020

Wednesday 15 January 2020

Jadilah seperti burung kecil itu

Sesungguhnya setiap orang perlu berperanan dalam menyebarkan kebaikan dan mencegah keburukan. Sumbangan itu bukanlah perlu yang besar-besar sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing.

Jika ada yang boleh berceramah dan mengajar, maka dengan mengajar. Yang mampu menulis hendaklah menulis, biarpun sebaris ayat. Di peringkat yang lebih tinggi iaitu yang ada kuasa, maka gunakan kuasa yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Tidak kira siapa, kewajipan berdakwah pasti ada. Ingatlah sekecil-kecil dakwah ialah pada diri sendiri. Allah SWT tidak pernah bertanya sama ada kita berjaya atau tidak dalam usaha itu, tetapi yang akan ditanya ialah sama ada kita melakukan usaha itu atau tidak.

Ambillah kisah seekor burung kecil yang pada ketika Nabi Ibrahim as. dibakar oleh Raja Namrud, bersungguh-sungguh menyiram api menjulang itu dengan mencurahkan air yang ditampung di dalam paruhnya.

Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim menjelaskan bahawa semua binatang-binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim 

Jika difikirkan apalah sangat usaha yang sedemikian, takkan terpadam api yang menjulang raksasa itu. Namun, apabila ditanya kepada burung itu apakah dibuatnya kerana tidak mungkin api itu padam dengan perbuatannya yang nampak sia-sia itu, burung itu berkata dia takut kepada Allah SWT.

Ia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan menghalang kejahatan; untuk api itu padam bukan urusannya, itu urusan Allah SWT, Sang Pencipta alam ini. Ertinya burung itu menjalankan peranan setakat yang mampu dilakukannya.

Inilah contoh yang perlu kita ambil dalam menyebarkan kebaikan. Tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua.

Monday 13 January 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (49)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (48) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

foto hiasan ~ sumber

Musyawarah untuk Menghalang Jemaah Haji daripada Mendengar Dakwah

Pada hari-hari tersebut ada satu persoalan lain yang juga mengkhuatirkan orang Quraisy, iaitu dakwah secara terang-terangan yang berlaku beberapa bulan sehingga mendekati musim haji. Orang Quraisy menyedari orang Arab akan segera datang untuk menunaikan haji. Maka orang Quraisy merancang untuk memburuk-burukkan Nabi Muhammad kepada orang Arab yang datang supaya dakwah baginda tidak terpengaruh dalam jiwa orang Arab.

Orang Quraisy menemui Walid bin Mughirah untuk bermesyuarat, apakah perkataan yang mereka mahu gunakan untuk memburuk-burukkan baginda. Walid berkata kepada mereka, "Kita mesti bersependapat untuk menggunakan satu perkataan sahaja. Jangan berselisih, sebab itu boleh menyebabkan sebahagian kita mendustakan sebahagian yang lain."

Orang Quraisy berkata, "Kalau begitu, sila nyatakan perkataan yang kamu usulkan terlebih dahulu." Walid menjawab, "Tidak. Kamulah yang cakapkan dahulu. Saya akan mendengarnya."

Orang Quraisy berkata, "Bagaimana kalau kita panggil dia sebagai dukun?" Kata Walid, "Jangan. Demi Allah, dia bukan dukun. Kita telah tahu apa itu dukun, sementara Muhammad tidak pernah mengucapkan mentera seperti yang dilakukan oleh dukun."

Mereka berkata lagi, "Bagaimana kalau orang gila?" Walid berkata, "Muhammad bukan orang gila. Kita telah tahu ciri-ciri orang gila, sementara Muhammad tidak bertindak bodoh dan aneh, tidak juga bercakap sendiri seperti yang dilakukan oleh seorang gila."

Mereka berkata lagi, "Kalau penyair?" Walid menjawab, "Muhammad juga bukan penyair." Kita telah kenal pelbagai syair, iramanya, intonasinya, sajaknya, yang pendek maupun yang panjang dan yang Muhammad ucapkan itu bukan syair."

Mereka berkata lagi, "Bagaimana dengan penyihir?" Walid menjawab, "Muhammad bukan penyihir. Kita pernah melihat para penyihir dan bagaimana bentuk sihir mereka. Muhammad tidak melakukan tiupan dan memainkan tali seperti yang mereka lakukan."

Orang Quraisy kehabisan idea dan bertanya, "Jadi, apa yang perlu kita katakan?" Wali menjawab, "Demi Allah, ucapan Muhammad betul-betul terasa manis, permulaannya begitu menarik dan hujung-hujungnya teruntai indah. Walau bagaimana sekalipun kamu berkata tentang dia, akan diketahui dengan mudah bahawa tuduhan tersebut dusta belaka. Jika perlu memberinya gelaran, yang paling sesuai menurut saya ialah penyihir."

Walid mengatakan Nabi Muhammad melakukan sihir kerana ucapannya dapat memisahkan anak daripada ayahnya, seseorang daripada saudaranya, suali daripada isterinya dan seseorang daripada ahli keluarganya. Semuanya dapat dipisahan lantaran ucapan Nabi Muhammad.(1)

Beberapa riwayat menyatakan, ketika Walid bin Mughirah mematahkan semua usulan yang diajukan oleh Quraisy, mereka berkata kepadanya, "Kalau begitu sampaikan kepada kami pendapatmu." Walid pun berkata, "Biarkan aku berfikir sebentar." Maka Walid berfikir dan terus berfikir sehingga akhirnya dia menyampaikan kepada mereka pendapatnya sebagaimana disebutkan awal tadi.(2)

Tentang Walid, Allah menurunkan enam belas ayat dalam surah al-Muddaththir, ayat 11 hingga 26, yang dalamnya digambarkan bagaimana cara dia berfikir.

"(Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi; Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami). Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran). Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal); Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut; Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh, Serta ia berkata: " (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); "Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!" (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar." (al-Muddaththir: ayat 11-26)

Selepas majlis tersebut mencapai kata sepakat, mereka segera melaksanakannya. Mereka duduk di sepanjang jalan kota Mekah yang dilalui oleh para pendatang pada musim haji. Setiap kali ada orang yang melintas di hadapan mereka, mereka menghampirinya lalu memperingatkannya terhadap bahaya sihir Muhammad.(3)

Orang yang paling jahat dalam hal ini ialah Abu Lahab. Ketika orang ramai selesai melaksanakan haji, Nabi Muhammad mengikuti mereka hingga ke rumah mereka sehingga ke pasar Ukazh, pasar Majannah dan juga pasar Dzi Majaz. Nabi mendakwah mereka untuk memeluk agama Allah. Sementara Abu Lahab yang sentiasa mengekori Nabi sering berkata, "Jangan kamu ikuti apa yang dia katakan. Sesungguhnya dia budak kecil yang suka berdusta."(4)

Berkat kejadian musim haji itu, orang Arab mula mengetahui tentang perkara yang dibawa oleh Rasulullah saw dan maklumat mengenai baginda pun tersebar ke seluruh penjuru Tanah Arab.

Rujukan: 

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I hal. 271

(2) Lihat Sayyid Quthub, Fi Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 188

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 271

(4) Perbuatan Abu Lahab ini diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Yazid bin Ruman dan seseorang yang tidak dikenali daripada Thariq bin Abdullah al-Muhariby. Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam Musnad-nya, jil. III, hal. 492 dan jil. IV hal. 341.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Friday 10 January 2020

Thursday 9 January 2020

Menulis kerana kasih sayang

foto hiasan ~ sumber

Saya memang suka menulis. Tetapi saya bukanlah seorang penulis yang baik, banyak yang perlu saya pelajari selok belok dunia penulisan ini dan saya benar-benar mengakuinya. 

Jika sahabat menatap tulisan-tulisan di dalam 'pondok kecil' saya ini, kebanyakannya berkisar kepada nasihat dan tazkirah. Memang itulah nawaitu saya ketika mewujudkan blog abuikhwan ini. 

Saya berharap dapat berkongsi sedikit pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan dengannya kita semua mendapat manfaat. Tetapi yang lebih utama, nasihat dan peringatan tersebut lebih kepada diri saya sendiri. Itulah yang sentiasa saya ingat dan sematkan di dalam diri. 

Mengapa peri pentingnya peringatan dan nasihat-menasihati dalam kehidupan manusia? 

Apa yang saya rasa, kehidupan ini adalah sesuatu yang hebat, dan indahnya pula apabila kita saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati dalam perkara kebenaran. Ini bermakna di dalam diri kita masih ada sifat peduli dan ambil tahu, daripadanya akan menumbuhkan rasa kasih sayang sesama insan. Betapa damai dan tenangnya apabila hidup dalam suasana kasih sayang. 

Menebarkan kasih sayang dan perhatian melalui nasihat dan peringatan sesama insan tidak perlu mengeluarkan belanja yang mahal. Ia hanya memerlukan kesungguhan dan rela dalam melakukannya. 

Demikianlah, kita adalah hamba yang dicipta dengan bibit-bibit kemurahan hati untuk berkongsi kebaikan. Besarnya kurniaan Tuhan Yang Maha Kasih Sayang.

Alhamdulillah.

Wednesday 8 January 2020

Sunday 5 January 2020

Tahun baru, 'ia' semakin berkurang..

2019 telah melabuhkan tirainya. Tanganku melambai dan lidahku meluahkan ucapan perpisahan. Perpisahan yang membawa pergi coretan diari kehidupan sepanjang keberadaan  setahun lamanya. Ada suka dan duka, pahit dan manis. Ada yang menjadi coretan untuk ditatap dan dikongsi, dan ada yang menjadi rahsia hati. Pasti ia sentiasa menjadi kenang-kenangan. 

2020 pula menguak tabir jendelanya. Syukur ahamdulillah, Allah SWT masih memberikan kesempatan untukku menyingkap dan menciumi bayu lembutnya. Tentunya aku berharap agar kedatangan tahun baru ini menjadikan perjalanan kehidupan lebih baik dari sebelumnya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ 
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al Hasyr: 18).

Semasa zaman budak-budak dahulu, setiap kali kedatangan tahun baru adalah suatu yang menggembirakan. Masuk sahaja tahun baru bermakna umur semakin bertambah, ia juga bermakna semakin dewasa dan matang. 

Memang, tidak sabar untuk menjadi dewasa. Budak-budak walaupun hanya memikirkan soal bermain sahaja, tetapi banyak sangat pantang larangnya. Ini tak boleh, itu tak boleh. Tetapi jika jadi orang dewasa, bebas ke sana ke sini, siapa yang berani melarang. Itulah yang bermain di fikiran yang menyebabkan tidak sabar untuk menjadi dewasa. Pemikiran budak-budak! 

Namun, setelah berada di ‘alam’ sekarang, realitinya tidak begitu. Kedatangan tahun baru benar-benar menginsafkan. Bertambahnya usia bermakna peruntukan umur telah berkurang, dipotong sedikit demi sedikit. Maka ia memberikan isyarat semakin kita mendekati janji kematian.