Sahabat Sejati

Thursday 31 January 2019

Alhamdulillah, alhamdulillah..

si kecil Haikal yang istimewa

Puji-pujian semestinya milik Allah SWT, selaku penguasa perbendaharaan di langit dan di bumi. Dialah al-Wahhab, yang sentiasa melimpahkan berbagai nikmat tanpa dihitung-hitung. Dengan nikmat-nikmat yang dikurniakan ini, maka kita semua dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan menyenangkan. 

Malahan perbendaharaan disisi-Nya tidak pernah berkurang, walaupun setiap detik diagih-agih kepada makhluk yang bertebaran di atas muka bumi ini. Setiap makhluk mendapat bahagian masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan dan dijanjikan sejak azali.

Katakanlah "alhamdulillah" duhai teman-teman, di atas kemurahan dan kasih sayang-Nya yang tidak pernah berkurang. Mudah-mudahan tercatat ganjaran pahala dek ulas bibir melantunkan zikir kepada-Nya. 

Alhamdulillah, alhamdulillah.

"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al-Israa' :70)

Wednesday 30 January 2019

Sunday 27 January 2019

Alhamdulillah, masih sempat bersiaran..

foto hiasan

Assalamualaikum. Bertemu kembali di alam maya ini. Janji saya kepada sahabat-sahabat maya untuk bertemu setiap hari masih tidak mampu untuk ditunaikan. Apabila lama tidak bersiaran,  maknanya lama jugalah tidak mencoret.   

Selama seminggu menyepikan diri, sebenarnya saya bersama sahabat-sahabat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang berusaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Perpaduan Karakit di Sabah. 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpahan belas kasih-Nya telah mempermudahkan urusan-urusan berkaitan usaha ini. Bantuan pertama telah pun diserahkan kepada pihak Yayasan Amal Malaysia cawangan Sabah untuk diuruskan. 

Insya-Allah, bantuan seterusnya akan menyusul dalam masa terdekat. Doakanlah agar apa yang kami usahakan ini beroleh kemudahan dan keberkatan. Sememangnya, doa dan kata-kata semangat daripada sahabat semua amat ditagih untuk kami terus kuat dan ikhlas melakukan kerja-kerja kebajikan ini. 

Dalam kesibukan mengumpul dana untuk Sabah, tidak lupa pihak YAMCP telah menyalurkan kembali bantuan kepada mangsa gempa dan tsunami di Palu Sulawesi. Beberapa orang AJK yang mewakili pihak YAMCP membawa bantuan ke sana untuk kali ketiga. 

Selama 5 hari berkampung di sana berbagai-bagai kerja kebajikan telah terlaksana. Dia antaranya menyampaikan sumbangan makanan, membina masjid darurat, membina penempatan sementara dan lain-lain.  

Kelmarin ada pertanyaan mengenai bantuan kepada pelarian Syria. Umum mengetahui apa yang telah berlaku di sana yang menimpa rakyat Syria. Keadaan menjadi agak kritikal kerana di antara November sehingga Februari adalah musim sejuk.

Oh ya, sudah lama kami tidak menghulur bantuan kepada rakyat Syria, ekoran sudah banyak NGO yang menggerakkan bantuan ke sana. Bantuan yang kami hantar dahulu di kem pelarian Syria di Hatay Turki. Untuk yang ini ada saranan untuk masuk ke kem pelarian di Lubnan. 

Entahlah, katanya kem pelarian di Lubnan ini dikawal oleh pihak syiah. Jika itu benar, memang tidak akanlah ke Lubnan. Mencari nahas namanya. Dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan, keselamatan adalah keutamaan. Apa pun, tunggulah keputusannya nanti.

Thursday 17 January 2019

Sedikit usaha kami..

Alhamdulillah, sedikit usaha kami (YAMCP) dalam meringankan bebanan yang ditanggung saudara-saudara kita di Kampung Perpaduan Karakit, Pulau Banggi, Sabah. Mereka semua sedang dirundung kesedihan setelah ditimpa musibah berupa kebakaran tempat tinggal. Bagi kami  tentunya mengharapkan agar usaha dan sumbangan yang tidak seberapa ini mampu memutikkan senyuman kepada mereka. 

Selebihnya yang paling utama perlu dijaga dan sentiasa dipohon perlindungan kepada Tuhan ialah, hati yang sejahtera daripada sifat ujub yang akan mengundang perasaan riyak. Sebesar debu perasaan riyak yang berputik, sudah pasti meleburkan pahala amalan yang dikumpul. Justeru, berhati-hatilah agar hati sentiasa dipandu menurut kehendak Allah SWT.
 
 Moga Allah SWT berkenan menerima segala usaha kami..




Wednesday 16 January 2019

Tuesday 15 January 2019

Mahu yang masih tidak mampu..

'Demam'

Seorang sahabat bertanya mengenai azam tahun baru pada permulaan tahun 2019 baru-baru ini. 

"Azam tahun ini mahu melunaskan azam tahun lalu." Tukas saya sambil tersenyum.

Lalu kami sama-sama ketawa. Lagaknya ada sesuatu yang lucu pada jawapan yang saya suakan. 

Di antara azam saya pada tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya ialah mencoret setiap hari di pondok kecil abuikhwan ini. Paling tidak pun satu hari mesti ada satu coretan yang ditumpahkan di dada pondok abuikhwan ini. Ya, itulah di antara impian (azam) saya disamping azam-azam yang lain. 

Namun, melihat kondisi yang berlaku, nampaknya azam tersebut hanya tinggal azam. Hakikatnya saya masih tidak mampu mengotakan apa yang saya mahu. Benar, mahu yang masih tidak mampu. 

Kesibukan yang mencapai tahap tepu yang benar-benar tidak saya jangkakan di awal tahun 2019 ini. Urusan ini, urusan itu dan bermacam-macam perkara yang berlaku. 

Termasuk juga beberapa musibah yang menjengah tanpa diduga. Hampir-hampir juga saya terduduk kerana asakannya. Tetapi, tidak mengapalah. Moga semuanya menjadi kaffarah atas apa jua kesilapan yang dilakukan. 

Setiap musibah yang berlaku adalah ruang masa untuk berfikir dan bermuhasabah. Ia adalah isyarat rasa cinta Allah kepada manusia. Namun itu semua tidak mungkin kita nikmati andainya kita tidak memikirkan dengan hikmah dan mata hati.

Boleh jadi sedikit musibah dan ujian  yang mencelah-mencelah di sebalik nikmat kehidupan yang panjang adalah pengikis karat-karat dosa yang menumpuk di dinding jiwa. Semoga ianya tidak dibalas di akhirat kelak kerana telah redha di dunia ini.

Moga begitu hendaknya..

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Insya-Allah, kami akan ke Sabah pula nanti


Pagi tadi saya menerima berita daripada seorang sahabat yang sama-sama terlibat di dalam Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP), berkenaan berita musibah yang menimpa penduduk Kampung Perpaduan Karakit, Pulau Banggi, Kudat di negeri Sabah.

Diberitakan kampung tersebut mengalami bencana kebakaran yang besar. Hampir 81 keluarga hilang tempat tinggal. Dianggarkan seramai 300 orang telah ditempatkan di SK Pekan Kerakit Banggi sebagai penempatan sementara.

Pengerusi YAMCP juga telah mengeluarkan notis untuk menggerakkan bantuan yang akan dihantar ke sana. Insya-Allah, seperti biasa kami akan berusaha mengumpul dana hasil sumbangan daripada orang ramai. Manakala beberapa orang anggota YAMCP akan ke sana untuk menguruskan sumbangan itu nanti.

Alhamdulillah, hasil kerja buat ini tidak pernah mengecewakan. Orang ramai berbondong-bondong menghulurkan sumbangan. Masyarakat masih memberikan kepercayaan kepada kami untuk menguruskan sumbangan mereka.

Oleh kerana itu, saya dan rakan-rakan turut kongsikan apa sahaja aktiviti yang YAMCP lakukan. Tidak kira apa sahaja medium sebaran, samada blog, facebook, whatsapp dan sebagainya. Tujuannya agar masyarakat tahu apa yang kami lakukan dengan sumbangan mereka. Insya-Allah, sumbangan mereka tidak sia-sia dan sampai kepada sasaran.

Kadang-kadang terbit juga perasaan bimbang. Kebimbangan jika disalah erti. Maklumlah jika kerap  memaparkan kisah dan foto aktiviti yang dilakukan bersama YAMCP, bimbang dikatakan mahu menunjuk-nunjuk. Lebih daripada itu nanti dikatakan riak dengan kebajikan yang dilakukan. Allahu, moga hati kami sentiasa terjaga daripada sifat riak yang boleh menghancur-leburkan pahala.

Tetapi di sisi yang lain isi hati saya berkata, tidak mengapalah, biarlah apa yang 'mereka' mahu katakan. Asalkan kami tahu apa yang kami lakukan.   

Saturday 12 January 2019

Raja kami yang baharu


Merafak sembah dan menjunjung kasih di atas permasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah sebagai Paduka Seri Sultan dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang dan segala Jajahan Takluknya. Semoga Tuanku diberikan petunjuk dalam memerintah Negeri ini dan seterusnya menjadikan Negeri ini sebuah negeri yang diberkati dan diampuni Tuhan.

Menjunjung kasih juga kepada Paduka Ayahnda Seri Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Mu'adzam Shah kerana dengan kebijaksanaan dan kerelaan hati telah menyerahkan tampuk pemerintahan negeri ini kepada Paduka Seri Sultan yang baharu setelah menjadi Sultan dan Raja Pemerintah yang menaungi kami selama 45 tahun. Allah sahajalah yang membalas segala kebaikan yang telah Paduka Seri lakukan.

Semoga Allah merahmati dan memberkati pemerintahan Paduka Seri Sultan Pahang yang baharu ini, menjadikan negeri Pahang ini Aman dan Makmur, dan rakyatnya bersatu padu, harmoni dan saling menghormati.

Semoga Allah menjadikan Negeri ini sebuah negeri yang menggunakan hasil buminya dengan telus dan amanah, memberi nikmat dan kebaikan kepada rakyatnya, dalam pemerintahan Paduka Seri Sultan Pahang yang baharu.

Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

قال تعالى: Ù‚ُÙ„ِ اللَّÙ‡ُÙ…َّ Ù…َالِÙƒَ الْÙ…ُÙ„ْÙƒِ تُؤْتِÙŠ الْÙ…ُÙ„ْÙƒَ Ù…َÙ† تَØ´َاءُ Ùˆَتَنزِعُ الْÙ…ُÙ„ْÙƒَ Ù…ِÙ…َّÙ† تَØ´َاءُ Ùˆَتُعِزُّ Ù…َÙ† تَØ´َاءُ ÙˆَتُØ°ِÙ„ُّ Ù…َÙ† تَØ´َاءُ ۖ بِÙŠَدِÙƒَ الْØ®َÙŠْرُ ۖ Ø¥ِÙ†َّÙƒَ عَÙ„َÙ‰ٰ ÙƒُÙ„ِّ Ø´َÙŠْØ¡ٍ Ù‚َدِيرٌ - (3:26)

Friday 11 January 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (44)


DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

Perintah Dakwah Secara Terang-terangan

Wahyu yang pertama turun mengenai hal ini adalah firman Allah SWT:

"Dan berilah peringatan kepada saudara-saudara terdekatmu."  (as-Syu'ara': 214)

Surah as-Syu'ara' pada bahagian awalnya disebutkan tentang kisah Nabi Musa, dari permulaan kenabian hinggalah hijrahnya bersama Bani Israil, lalu selamatnya mereka daripada kejaran Firaun dan kaumnya serta ditenggelamkannya Firaun dan keluarganya. Kisah ini meliputi seluruh tahap yang ditempuhi oleh Nabi Musa ketika mendakwah Firaun dan kaumnya untuk beriman kepada Allah SWT.

Saya (pengarang) melihat bahawa ditampilkan perincian dakwah Nabi Musa ketika Rasulullah saw mendapat perintah untuk mendakwah kaumnya agar beriman kepada Allah adalah supaya Nabi dan para sahabat mempunyai contoh yang boleh dijadikan panduan. Sama seperti Musa, mereka juga akan berhadapan dengan pendustaan, tekanan dan penolakan ketika mereka menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Juga, agar mereka memahami dengan jelas urusan dakwah yang diamanahkan kepada mereka.

Dalam ayat-ayatnya yang lain, surah ini menceritakan tentang tempat kembali orang yang mendustakan para rasul, iaitu kaum Nabi Nuh, kaum Ad, kaum Tsamud, kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Luth dan Ashabul Aikah, meskipun secara keseluruhan isinya lebih dititikberatkan kepada Firaun dan kaumnya.

Itu semua adalah supaya orang yang mendustakan Nabi Muhammad tahu bahawa mereka sama sahaja dengan kaum-kaum yang ingkar dahulu dan bahawa jika mereka masih sahaja berada dalam pendustaan dan pengingkaran, maka pun perlu bersedia menerima azab Allah. Sebaliknya, agar orang beriman tahu bahawa kesudahan yang baik berada di pihak mereka, bukan di pihak yang mendustakan. 

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Wednesday 9 January 2019

Wordless Wednesday: Tika di atas, ingatlah yang bersusah-payah di bawah

sumber: fb

Kasih sayang-Nya


foto hiasan: sumber

Kehidupan adalah bukti kasih sayang-Nya. Tanpa kehidupan entah bagaimana kita mahu menyediakan bekalan. Tanpa bekalan layakkah kita mahu berhadapan dengan-Nya nanti? Lalu kita dianugerahkan kehidupan agar dapat menyediakan bekalan sebanyaknya.

Namun, tidak ramai yang melihat kehidupan adalah anugerah dari sifat kasih sayang-Nya. Mengapa begitu? Jawabnya mudah. Seringkali kita silau dengan kasih sayang sesama manusia sehingga melupakan kasih sayang-Nya. Seringkali kita terhutang budi dengan cinta kasih sesama manusia, sedangkan kasih sayang-Nya luas bagaikan lautan yang tidak bertepi tidak kita sedari.

Binasalah diri andai ini tidak juga kita sedari.. 

ÙˆَØ¥ِÙ„َٰÙ‡ُÙƒُÙ…ۡ Ø¥ِÙ„َٰÙ‡ٞ ÙˆَٰØ­ِدٞۖ Ù„َّآ Ø¥ِÙ„َٰÙ‡َ Ø¥ِÙ„َّا Ù‡ُÙˆَ ٱلرَّØ­ۡÙ…َٰÙ†ُ ٱلرَّØ­ِيمُ 
"Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah: 163)

Cetusan rasa: Pinjam kekuatan-Nya..

Bagaikan panjang malam yang dilewati, manakala masa seakan lambat bergerak. Sedetik demi sedetik putaran jarum jam terasa sangat melelahkan. Mahu mencoret sesuatu, ilham pula bagai terbang menerawang ke mana-mana, tanpa mahu singgah di ranting fikiran.

Suhu dingin dengan angin semilir dari jendela yang terbuka menampar pipi. Ada bekas di ruang mata yang mengundang sedikit sebak menjentik tangkai hati. Justeru, sambil melayan perasaan, saya membelek foto-foto anak-anak Palestin banyak kedapatan di dalam komputer riba. Moga terubat resah yang mendodoi-dodoi.. 

2018 telah melambai pergi meninggalkan denai kenangan yang berbekas. 2019 pula menggamit merangkul penuh erat. Hari-hari yang mendatang, entah bagaimana corak dan lakarannya. Pastinya kita semua mahukan hari yang mendatang itu terisi dengan yang manis-manis sahaja. Tidak terkecuali saya, jua mengharapkan demikian.

Tidak mudah menghadapi hari-hari berkunjung tiba. Berat ujian yang dihadapi di tahun baru ini. Silih berganti bergentanyangan memagut sekeliling. Adakalanya seakan mahu rebah dengan asakan yang bertali arus. Hanya kekuatan dari-Nya yang menjadi 'balsam' buat terus mengatur langkah. Kekuatan yang diperolehi dari yang Maha Kuat. Meminjam kekuatan dengan bergantung kepada-Nya.

Ujian tidak pernah dipinta. Namun ujian adalah rukun dalam kehidupan. Maknanya setiap daripada kita akan melalui bicara atau didikan Allah yang dinamakan ujian. Ya, setiap insan pasti diuji. Tidak kira siapa, hatta para Rasul dan anbiyak pun turut diuji, malahan merekalah yang paling berat menerima ujian berbanding manusia lain. Jika mereka yang maksum pun diuji, apalah mahu dibandingkan kita semua yang sentiasa mengisi masa dengan kelalaian dan kelekaan.

Kita adalah hamba. Sifat hamba adalah lemah dan tidak memiliki. Kehidupan kita semuanya ditentukan menurut kehendak Tuan yang memiliki. Kita amat mengharap belas dan kasihan Allah SWT. Justeru, apa yang dapat kita lakukan adalah berdoa selain dari berusaha. Kerana Allah jua yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. 

Daripada Shuhaib ra berkata, Rasulullah saw bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)

Tuesday 1 January 2019

Melangkah ke tahun ini (2019)

foto hiasan ~ sumber

Melangkah ke tahun baru bermakna baki umur kita semakin berkurangan, bagaikan tidak menyedari pantasnya roda masa berputar.

Hari-hari yang dilewati berlalu bagaikan menghakis sedikit demi sedikit usia dan nikmat kemudaan. Tempoh pelayaran di dunia ini semakin pendek, semakin mendekat pula saat kematian. Peluang bekerja mengumpul bekalan semakin terhad.

Saya sudah pun melewati perjalanan hidup sehingga ke hari ini. Hari semalam sudah pun berlalu menjadi denai sejarah yang semakin jauh ditinggalkan. 

Kiranya yang masih berbekas hanyalah ingatan yang sesekali menjengah lalu menampar lamunan. Namun, ia juga tidak kekal tersimpan di peti minda. Bahkan kian hari semakin pudar dek berlalunya masa dan seiring pertambahan usia.

Hari esok?

Oh, hari esok, belum pasti bagaimana coraknya di atas kanvas kehidupan. Setiap dari kita hanya mampu melakar. Kesudahan sebuah lukisan hidup sudah tentu di dalam genggaman-Nya. Kita hanya dapat menitip untaian doa, semoga esok yang mendatang sentiasa damai dan bahagia. 

 ÙŠَا Ù…ُÙ‚َÙ„ِّبَ الْÙ‚ُÙ„ُوبِ Ø«َبِّتْ Ù‚ُÙ„ُوبَÙ†َا عَÙ„َÙ‰ دِينِÙƒَ 
"Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu."