Sahabat Sejati

Monday 30 December 2019

Sungai Lembing lagi..


Tanpa sedar kami sudah pun memasuki destinasi yang dituju. Perjalanan sejauh 39 km dari bandar Kuantan memakan masa selama 40 minit dengan pemanduan secara santai-santai.

Dari kejauhan tersergam pintu gerbang yang tertera “SELAMAT DATANG KE SUNGAI LEMBING”, seolah-olah menyambut kehadiran kami. Kebiasaannya di pintu gerbang ini menjadi salah satu lokasi ‘wajib’ berswafoto kenang-kenangan bagi pengunjung yang datang ke Sungai Lembing. Tetapi, kebanyakan mereka singgah bergambar sewaktu dalam perjalanan pulang. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk berswafoto sebagai kenang-kenangan.

Asal-usul nama Sungai Lembing

Nama Sungai Lembing dipercayai berasal daripada perkataan “lembing”, sejenis senjata yang sering digunakan dalam perburuan. Kisahnya berkisar kepada sekumpulan pemburu di satu kawasan hutan yang dikatakan telah merejam sebatang lembing kepada seekor kijang. Dalam usaha menyelamatkan diri, kijang tersebut telah terjun ke dalam sungai dan hilang bersama-sama lembing yang tercacak dibadannya.

Setelah sekian lama, sekumpulan pelombong bijih tiba di kawasan ini. Ketika mendulang, mereka menemukan sebatang lembing yang dipercayai kepunyaan pemburu dahulu dan semenjak itu, kawasan ini dinamakan Sungai Lembing. Namun demikian, tiada bukti kukuh bagi menyokong kesahihan cerita ini.

Demikianlah catatan yang saya baca di dinding mural muzium Sungai Lembing.

Pemanduan selesa


Perjalanan sejauh 40 kilometer dari bandar Kuantan berjalan lancar walaupun lalulintas agak sibuk. Teringat suatu ketika dahulu, di zaman lori-lori bauksit berleluasa dan berkuasa di atas jalan raya. Laluan ini di antara yang menjadi laluan utama pemindahan bauksit dari tapak lombong ke Pelabuhan Kuantan.

Ketika itu suasana yang dihadapi bagaikan mimpi ngeri buat semua. Laluan yang tampak kemerahan berdebu tebal ketika musim panas, dan berubah menjadi lecak apabila hujan turun. Itu belum diambil kira kemalangan yang melibatkan lori-lori bauksit. Memang mimpi ngeri!

Alhamdulillah, sejak penggantungan lesen melombong bauksit, laluan ini mulai pulih semula. Jalanraya kembali bersih, tidak lagi mendapat jolokan ‘planet marikh’. Terasa tebal juga kulit muka apabila membaca di internet yang menyindir dengan ‘Pahang Darul Marikh’. Namun sampai bila penggantungan lesen ini, wallahua`lam. Harap ia digantung selamanya selagimana ada bulan dan bintang. Penat dengan situasi yang telah dihadapi ketika dulu.

Oh, kita lupakan pasal bauksit yang menghantui penduduk Kuantan tempohari. Kembali semula kepada tajuk asal coretan ini.

Pemanduan menjadi semakin tenang dan menyamankan terutama setelah melepasi simpang tiga yang dikenali dengan nama simpang Tanjung Pasir bersebelahan stesen minyak BHP. 

Oh ye, kenapa saya katakan sangat menyamankan? Sebabnya terlalu kurang kenderaan yang lalu-lalang selepas daripada simpang ini. Adalah jarang-jarang sekali berselisih dengan satu atau dua kenderaan. Kalau kerap pun dengan kenderaan yang mahu memasuki Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Persimpangan Tanjung Pasir ini menuju ke Perkampungan Pak Ngah Aziz yang dulunya dikenali dengan RTP Bukit Goh. Laluan ini juga menghala ke Bukit Istana yang menjadi penempatan golongan mewah dan elit. Sesuai benar dengan namanya. Di sini juga letaknya salah satu istana sultan Pahang yang bergelar Istana Abdul Aziz.

Jalan ini juga bersambung dengan Felda Bukit Sagu, Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan boleh terus menuju ke Feda Neram, Felda Cheneh dan lain-lain di Kemaman.

Panorama hijau 


Perjalanan diteruskan lagi. Selepas melewati simpang masuk ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), di sepanjang perjalanan anak mata saya dijamu dengan panorama hutan hijau yang mendamaikan. Pepohon menghijau yang melatari lembah dan bukit seolah-olah menggamit saya agar terbang merangkulnya. 

Seketika pula kami melalui kawasan kampung yang dilatari dengan rumah-rumah kayu penduduk. Walaupun sudah banyak yang berganti dengan rumah batu moden, namun saki-baki yang masih ada sentiasa menggamit pandangan anak mata saya. Kenangan menghuni rumah kampung, bertiang, berlantai dan berdinding kayu suatu ketika dahulu, menjadikan saya sangat obses dengannya.

Di sebelah kanan kelihatan sungai Kenau mengalir lesu bersama keladaknya. Dulu sungai ini sangat jernih airnya. Saya pernah berendam di dalamnya sambil merasai kesejukan airnya sewaktu menziarahi ibu saudara dua pupu yang berumah di tepi tebingnya. Tetapi peristiwa banjir pada akhir 2013 telah merubah lanskapnya. Airnya berubah menjadi keruh dengan dasarnya yang sedikit berselut kecuali di sebelah hulu yang masih dalam keadaan baik.

Entahlah, sudah berapa kali saya membawa keluarga berkunjung ke Sungai Lembing. Saya sendiri pun tidak pernah mencatatnya. Namun yang pasti, saya tidak pernah jemu untuk meredah perjalanan ke sini. Laluan yang amat kurang dengan kenderaan, di tambah pula flora hijau di kiri dan kanan serta aliran sungai adalah ubat sakit jiwa dan sakit perasaan yang paling mujarab. Mana mungkin tidak tercetus ketenangan dan kedamaian dengannya..

Wednesday 25 December 2019

HUKUM MEMBACA DAN MENGULANG HAFAZAN AL-QURAN DALAM KEADAAN HAID

Soalan:

Pada awal tahun ini, sesi persekolahan baru bermula. Ramai dalam kalangan anak kita yang memasuki sekolah berasrama penuh dan yang berkonsepkan hafazan al-Qur’an seperti SEMESTA, IMTIYAZ, MRSM Ulul Albab dan juga tahfiz persendirian. Persoalannya, boleh ke anak-anak perempuan yang dalam keadaan uzur atau haid menghafaz al-Qur’an?

Jawapan:

Alhamdulillah, pertamanya saya ucapkan tahniah kepada para ibubapa kerana mengambil prihatin dan tanggungjawab dalam memastikan pendapat yang dipilih tidak bercanggah dengan syariat Islam. Begitu juga atas kejayaan anak-anak yang telah melayakkan diri memasuki sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah yang lain.

Dalam masalah ini, terdapat dua pandangan.

Pertama : Haram. Inilah pendapat jumhur Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA

 لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ “
Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran.” Riwayat al-Tirmizi (131)

Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.

Kedua : Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.

Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.

Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz al-Qur’an untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupai hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid.

Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. (Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam, 1/461)

Antara Kenyataan Mereka

Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” (Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284)

Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32)

Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” (Lihat al-Insaf 1/347)

Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Rushd dan Ibn Battal bahawa dikehendaki Imam al-Bukhari yang berdalilkan keharusan membaca al-Quran bagi haid dan junub sedangkan tidak sah dari sisi musannif sesuatu pun hadis tentang itu (Lihat Fath al-Bari 1/486)

Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636)

Tarjih

Kesimpulannya membaca al-Qur’an dan menghafaznya ketika dalam haid adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan. Di sini sekali lagi dinyatakan beberapa pendapat atau athar dalam menyokong pendapat ini.

Direkodkan bahawa Saidatina Aishah membaca a-Quran dalam keadan haid. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk 1/357, al-Tabarani dalam Awsat 2/98, Ibn Rajab dalam Fath al-Bari 1/46, Ibn Hazm dalam al-Muhalla 1/78-79. 

Ini juga pendapat Ibn Abbas, Ibn Musayyib yang menyatakan keharusan membaca al-Quran bagi wanita haid termasuk Muhammad ibn Maslamah. 

Saya menegaskan satu pendapat yang cukup baik yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Beliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Qur’an dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan. 

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan wanita nifas dalam bab membaca al-Qur’an yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/175) 

Saya cadangkan juga pelajar dalam haid beralih kepada mendengar al-Qur’an melalui CD atau Youtube yang memungkinkan seseorang itu mengingati dan mengulang hafazan al-Qur’an.

Monday 23 December 2019

Alhamdulillah, mudah-mudahan..

Alhamdulillah, empat hari yang lalu pihak Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan notis penamatan amaran cuaca buruk bagi kawasan-kawasan di Pantai Timur. Walaupun ianya ramalan berdasarkan kajian, dan tidak semestinya tepat, namun pengumuman ini tentunya amat menyenangkan hati semua terutama mereka yang tinggal di kawasan yang biasa dinaiki air. 

Tahun ini tempat saya tidak dinaiki air (mudah-mudahan begitu hendaknya). Walaupun ada masa-masanya, seharian hujan turun dengan lebat, tetapi tidaklah sampai menyebabkan limpahan air berlaku. Seingat saya selama tinggal di sini cuma sekali sahaja saya menghadapi saat-saat getir ditimpa air bah, yang menyebabkan semua penduduk terpaksa berpindah. Bimbang juga jika berlaku untuk kali kedua.

Teringat pengalaman ditimpa banjir. Berpindah pada malam hari dalam keadaan hujan lebat mencurah-curah, mengharung air separas paha sambil menggalas beg pakaian dan mendukung 'si kecil Haikal yang istimewa'. Ummu Ikhwan pula berpimpingan dengan anak-anak yang lain.

Merasalah jugalah keseronokan percutian percuma selama empat hari tiga malam di dewan orang ramai. Merasa jugalah makan nasi kawah. Boleh dikatakan banjir pada tahun tersebut adalah antara yang terburuk kerana banyak negeri dan kawasan yang terjejas teruk. 

Oh, beberapa sahabat saya dari YAMCP telah pun ke negeri Johor dalam rangka misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir. Sepatutnya saya juga bergerak menyertai mereka semua.  Walaupun sudah memberikan persetujuan untuk ke sana, tetapi perancangan kita hanyalah sekadar perancangan. Hakikatnya perancangan Allah adalah sebenar-benar perancangan.

Pada hari sahabat-sahabat saya memulakan perjalanan, saya hanya mampu melambai tangan serta mengiringi doa buat mereka. Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan di saat-saat akhir, saya terpaksa menarik diri. Sedih juga rasanya. Terlibat dalam misi-misi kemanusiaan ada nikmat yang tidak dapat digambarkan. 

Insya-Allah, apa pun saya akan cuba untuk menyertai misi pasca banjir. Kerja-kerja membersihkan rumah penduduk yang ditimpa banjir. Kepuasan bukan kepalang dapat menghulurkan bantuan semampunya kepada mereka yang ditimpa kesusahan. Mudah-mudahan dapat meringankan sedikit bebanan dan menggembirakan hati mereka semua.

Mudah-mudahan..

Wednesday 18 December 2019

Monday 16 December 2019

Teringat-ingat petang itu

“Assalamualaikum” saya memberi salam tatkala menongkat motosikal di bawah pohon ceri yang rendang itu. Seorang pakcik tua duduk di atas pangkin di bawah pohon ceri tersebut, tangan kanannya menupang tongkat. Menandakan dirinya yang sudah uzur. 

Angin petang di bawah pohon ceri yang berbuah lebat itu terasa nyaman sekali. 

“Pak Samad, kan?” Saya bertanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. 

“Anak ni siapa?” Beliau bertanya sambil membetulkan cermin mata tebalnya, mungkin mahu menjelaskan pandangan. Saya kira usianya sudah pun melebihi lapan puluh tahun. 

“Saya Wan, anak Abdul Rahman.” Saya terpaksa meninggikan suara agar jelas didengari olehnya. 

“Abdul Rahman mana?” tanyanya lagi. Dahinya berkerut-kerut persis cuba mengingatkan sesuatu. 

“Abdul Rahman yang dulu kerja di hospital Kuantan (sekarang HTAA). Masa budak-budak dulu saya mengaji di rumah Pak Samad. Dulu rumah kami di sebelah baruh sana, selepas ayah meninggal kami pindah di Jalan Tengah ni,” panjang lebar saya menerangkan agar beliau dapat mengingatinya. 

Lama juga Pak Samad berfikir, sambil merenung muka saya. “Ohh..anak Rahman, dah besar kamu ye..!” terukir senyuman kemesraan dibibirnya sambil menepuk-nepuk belakang saya. 

“Berapa lama dah ayah kamu meninggal, pakcik dah tak ingat?" Pakcik Samad bertanya lagi. 

“Ayah meninggal tahun 1979,” saya menjawab. 

Tidak semena-mena saya diserang suatu perasaan halus yang menusuk dan menyelinap masuk jauh ke dalam hati. Perasaan halus itu menguasai emosi dan perasaan. Ah, sayu dan sebak pula. Saya berpaling ke arah lain untuk menyembunyikan perasaan tersebut.

“Ayah kamu tu dulu kawan baik pakcik, sejak dari zaman budak-budak kami berkawan, sekolah bersama, mengaji, bermain pun bersama. Sama-sama merantau dulu mencari kerja. Balik semula ke kampung ni pun sama-sama.” Cerita pakcik Samad, sambil meraut tangannya ke muka. 

Saya lihat matanya berkaca. 

Banyak yang kami bualkan, kebanyakannya berkisar tentang peristiwa lampau. Saya pula banyak bertanya tentang ayah yang telah ‘pergi’ ketika saya sedang bertatih mengenal kehidupan. 

Ayah ‘pergi’ ketika saya berusia tiga tahun. Apalah umur saya ketika itu untuk memahami erti kesedihan apalagi untuk memahami erti sebuah perpisahan yang hakiki. Hanya kalungan doa yang mampu saya panjatkan tiap masa dan ketika sebagai ‘cahaya yang menerangi’ buatnya disana. 

Demikianlah sedikit bakti yang dapat saya curahkan namun saya tahu ia tidak mampu mengatasi kasih sayang ibu dan bapa walaupun setengah nafas mereka. Benar, kita menyayangi mereka tatkala  mula mempunyai akal tetapi mereka menyayangi kita sebelum kita lahir dunia ini lagi.

Minta diri

Matahari telah condong ke barat, menyimbahkan bilah-bilah sinarnya yang berwarna merah kekuningan. Kawanan burung pula berpapasan terbang mencari sarang. Indahnya ciptaan Tuhan bagi mereka yang mempunyai akal dan mahu mengambil ibrah. 

Saya segera meminta diri. 

Insya-Allah kepulangan saya di masa akan datang akan saya gunakan untuk menziarahi rakan-rakan bapa yang lain yang masih ada agar perhubungan itu tidak terputus begitu sahaja. 

Diriwayatkan di dalam hadis sahih daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata yang maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya termasuk perbuatan paling baik ialah seseorang yang meneruskan silaturrahim (hubungan baik) dengan sahabat baik ayahnya sesudah ayahnya meninggal dunia” (Riwayat Muslim). 

Semoga silaturrahim ini tetap terjalin walaupun direntasi masa dan ketika...

Friday 13 December 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (48)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (47) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA 

Kaum Quraisy Mendatangi Abu Talib

Setelah memikirkan apa yang perlu dilakukan, tidak ada jalan lain bagi Quraisy kecuali mendatangi bapa saudara Nabi iaitu Abu Talib. Mereka memintanya untuk menghentikan usaha dakwah anak saudaranya. Untuk menekankan betapa seriusnya permintaan ini, mereka menggunakan hakikat dan kebanggaan nenek moyang.

Mereka mengatakan, dakwah untuk meninggalkan tuhan-tuhan mereka serta pernyataan tuhan-tuhan itu tidak mempunyai kekuatan dan tidak dapat memberi kemanfaatan serta merupakan penghinaan yang sangat buruk. Pernyataan tersebut bermaksud datuk moyang mereka yang sejak dahulu menjalankan tradisi penyembahan berhala telah bertindak bodoh dan sesat. Lalu mereka segera melaksanakannya.

Ibnu Ishaq menyatakan, "Beberapa orang pembesar Quraisy datang menemui Abu Talib. Mereka berkata: 'Hai Abu Talib, sesungguhnya anak saudaramu telah menghina tuhan-tuhan kita, mencela agama kita, membodoh-bodohkan imaginasi kita serta menuduh nenek moyang kita sesat. Alangkah baiknya kamu menghentikan dia. Jika tidak, biarkan kami yang menguruskan dia. Disebabkan kamu berada pada kedudukan menyelisihinya seperti yang kami lakukan, maka lebih baik jika kami hantar kamu untuk menguruskan dia.'

Abu Talib menolak permintaan mereka dengan cara yang baik sehingga mereka pergi. Sementara itu, Rasulullah saw tetap konsisten dengan apa yang dilakukannya iaitu menyampaikan agama Allah sekaligus mendakwahkannya.(1)   

Rujukan: (1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil 1 hal. 265 

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Tuesday 10 December 2019

HUKUM MEMBERI ZAKAT KEPADA MANGSA BENCANA ALAM SEPERTI BANJIR DAN LAIN-LAIN

Soalan: 

Mohon pandangan tentang hukum memberikan zakat kepada mangsa banjir?
Jawapan:

Dalam hal ini, perkara yang perlu difahami setiap mangsa kebiasaannya dalam keadaan amat memerlukan bantuan mengikut kadar kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau hartabendanya ranap sebahagian kecil, sebahagiannya atau musnah keseluruhannya. Dalam hal ini, marilah sama-sama kita memahami firman Allah SWT daripada Surah al-Taubah ayat 60.
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٦٠﴾
Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Ayat ini menunjukkan bahawa golongan yang berhak menerima zakat hanya lapan golongan sahaja. Jumhur fuqaha’ berpendapat tidak harus diberikan kepada selain daripada yang dinaskan al-Qur’an iaitu lapan golongan ini.
Mazhab Syafi’i menetapkan bahawa wajib dibahagi kepada semua yang ada dalam kalangan asnaf yang berhak menerima zakat. Sedangkan mazhab yang lain memadai dengan sekumpulan daripada golongan yang berhak menerima zakat sahaja. Ini juga difatwakan oleh Ibn Ajil al-Asma’ie dan ramai dalam kalangan ulama’ mutakihr kerana sukar mencari lapan asnaf. Inilah yang disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin.
Berkenaan dengan isu di atas, sebahagian ulama’ menganggap bahawa ia adalah bencana yang menyebabkan hartabenda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta berhutang samada untuk diri mereka atau keluarga mereka. Justeru, kebanyakan ulama’ memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama’ mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan dan bukan untuk kemewahan atau berfoya-foya.
Oleh kerana itulah kami menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-gharimin yang berhak menerima zakat.
Selain daripada nas di atas, jika dilihat kepada tafsiran ulama’ antaranya Mujahid yang berkata : “3 golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu :
  • Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.
  • Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya
  • Mereka yang mempunyai tanggungan dan tiada baginya harta untuk di infakkan kepada tanggungannya.
Kenyataan seperti di atas oleh Mujahid adalah bertepatan dengan hadith yang sahih yang dinyatakan daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang berkata :
تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ ‏"‏ أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا ‏"
“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. Kata Qabisah : ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.”  (Riwayat Muslim, no. 1044)
Imam al-‘Azim al-Abadi menyatakan: “Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.” [Aun al-Ma’bud 3/36]
Beberapa ulama’ telah memberi fatwa antaranya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata : 
“Aku khususkan yang mengenai sifat al-gharimin bagi golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang maka hukumnya dibolehkan. [Fiqh al-Zakat 2/623]
Begitu juga dengan Dr. Husamuddin bin Musa ‘Iffanah, Profesor Fiqh dan Usul dari Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan  hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini.
Saya berpendapat harus untuk memberi zakat kepada mereka, sebagaimana pendapat-pendapat yang dikemukakan dan saya cenderung untuk mencadangkan supaya hendaklah diberi kepada Baitulmal, seterusnya Baitulmal akan mengenalpasti golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan juga keperluan yang dihajatinya. Ini kerana, jika diberi secara langsung dengan kuantiti yang banyak, dibimbangi sebahagian sahaja yang memperolehnya sedangkan sebahagian yang lain tidak mendapat walaupun sedikit. Justeru, pasti rasa tidak selesa akan terwujud pada kebanyakan golongan yang ditimpa bencana yang tidak dapat apa-apa bantuan atau bantuan yang tidak mencukupi.
Baitulmal hendaklah menggerakkan tenaganya dengan seupaya mungkin bagi menyelesaikan kemelut tersebut dengan secepat mungkin kerana keperluan untuk hidup adalah bersifat segera. Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada yang bertanya dalam menyalurkan bantuan berupa zakat ataupun infaq yang lain bagi membantu saudara-saudara seIslam yang terbabit dalam bencana seperti banjir dan lain-lain. Wallahua’lam

Saturday 7 December 2019

Sanah Helwah ya Bunayya..


Selamat ulang tahun kelahiran buat anakanda 'Haikal yang istimewa' pada hari ini. Dalam pejam dan celik, silih hari yang bergulir, telah genap 14 tahun usianya.

Dengan belas kasihan-Nya telah menyampaikan kami sehingga ke saat ini. Syukur, terima kasih Tuhan atas nikmat ini, yang sentiasa tercurah tanpa berkira-kira sedangkan amat sedikit yang kami panjatkan di dalam doa. Terlalu kurang juga yang telah kami syukuri.

Terlalu banyak kenangan yang tercipta di sepanjang hidup bersamanya. Memoir silamku di tahun-tahun awal kelahirannya menari-nari diminda tuaku. Ada suka dan duka, ada manis dan jerih serta capek kelelahan bergaul sebati.

Dan kenyataannya aku saksikan dia tidak seperti kanak-kanak lain. 
Telinganya tidak bisa mendengar.
Mulutnya tidak bisa bertutur.
Matanya tidak mampu mengecam tanpa bantuan cermin mata berkanta tebal.
Jantungnya tidak berdegup seperti kanak-kanak lain. 
Derapan langkahnya tidak segagah orang lain.
Ah, ada lagi..
Tangannya seringkali terhayun-hayun dan terketar-ketar menampakkan dia tidak seperti kanak-kanak normal yang lain.

Semuanya telah menjadikan diriku semakin kuat dalam menongkah terowong kehidupan. Benar-benar anak ini satu anugerah yang tidak ternilai. Moga 'anakanda haikal yang istimewa' sentiasa di dalam rahmat Ilahi.

Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak abi dan ummi ke syurga Ilahi yang abadi.

Allahumma amiinn..

Wednesday 4 December 2019

Tuesday 3 December 2019

Dah ok pun..

foto hiasan: sumber

Alhamdulillah, notebook kesayangan yang banyak berjasa ini kembali ‘sihat’ setelah beberapa hari menjalani rawatan di ‘wad’. Pastinya ‘beberapa hari’ itu menjadikan masa-masa yang dilalui agak meresahkan dan membosankan. Yalah, kerja-kerja yang dilakukan hampir sepenuhnya menggunakan khidmat notebook. 

Jadi, bila ia mengalami kerosakan yang perlu dihantar di kedai menyebabkan banyak urusan kerja yang tergendala. Tidak keterlaluan jika saya katakan ia seumpama kehilangan sebelah tangan. Kewajarannya ada. 

Tiba-tiba teringat sindiran seorang pakcik pengusaha 'house boat' di Tasik Kenyir satu ketika dahulu: "Budak-budak zaman sekarang kalau tak ada telefon macam tak boleh hidup!" 

Tersenyum kami semua mendengarnya. Sinis. Apa tidak benarnya, keadaan kami semua membenarkan kata-kata pakcik tersebut. Masing-masing semacam kelam-kabut, resah dan gelisah lantaran tiada liputan telefon di situ. Itu baru tiga hari dua malam, bayangkan jika seminggu atau sebulan. Mau 'gila' jadinya. Tapi itu dulu, sekarang sudah pun ada liputan telefon termasuk juga talian internet.

Mula-mula saya ingatkan cuma file windows-nya yang korup akibat penangan virus. Setelah diperiksa di kedai adalah hardiscnya juga bermasalah. disamping beberapa masalah kecil yang lain. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk meng-upgrade dari HD ke SSD dan lain-lain lagi yang berkaitan. Hmm, ratus-ratus juga habisnya. Itupun dihantar ke kedai sahabat kenalan. Jadi adalah juga diskaunnya. 

Sememangnya saya tidak akan sekali-kali menghantar notebook atau henfon ke kedai sembarangan atau pekedai yang saya tidak kenali. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga. Ramai yang tidak jujur walaupun bukan semua.

Ada beberapa pengalaman yang diceritakan, sesetengah technician yang membaiki laptop atau notebook menukar barang dalaman dengan yang lama atau separa rosak. Yalah, benda duduk di dalam, manalah kita tahu.Pakai tak berapa lama setelah dibaiki, tiba-tiba bahagian lain pula rosak. 

Mudah-mudah perkara tersebut tidak terjadi kepada saya dan sahabat-sahabat sekelian. 

Apa pun alhamdulillah, notebook dah ok. Bolehlah saya kembali mengunjungi blog sahabat-sahabat yang berinformasi dan menarik hati itu.