Sahabat Sejati

Sunday 29 June 2014

Salam Ramadhan 1435H


Assalamualaikum warahmatullah 

Telah tiba bulan rahmat, bulan keberkatan, bulan keampunan dan bulan ibadat. Apa sahaja perkataan yang diungkapkan untuk menggambarkan bulan ini pastinya adalah kebaikan. Bulan yang dibukakan pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. Itulah Ramadhan, yang datang berkunjung memberi khabar gembira buat perindunya. 

Berkata Saiyidina Umar al-Khattab ra. dengan gembiranya setiap kali menjelang Ramadhan: “Selamat datang bulan yang akan membersihkan kami, sebab Ramadhan ini semuanya baik, puasa pada siang harinya dan bangun pada malamnya, dan sedekah (belanja) dalam bulan ini sama dengan membelanjai perjuangan jihad fi sabilillah.” 

Di kesempatan yang terluang ini, saya dengan rendah hati memohon kemaafan atas segala kekurangan, kesilapan dan kekhilafan samada yang tersurat atau tersirat kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan Allah SWT menyampaikan kita dengan Ramadhan sehingga akhirnya dan mempermudahkan ibadat puasa kita serta dianugerahi pahala dan rahmat yang didamba. 

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia.
Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah.

Salam Ramadhan 1435H, ikhlas daripada abuikhwan@kembaramencari hamba.

Saturday 28 June 2014

Aku cinta pada-Nya


Aku cinta pada-Nya
Entah berapa dalam dasarnya,
Entah berapa tinggi puncaknya
Entah berapa pula nilai harganya

Aku cinta pada-Nya
Mungkin hanya getaran di hujung rasa
Atau sekadar ungkapan tiada perisa
Hambar dan tawar meluah kata

Aku cinta pada-Nya
Biarpun terdengar umpama senda
Seringkali bergelut antara iman dan noda
Terkadang menang terkadang kecewa

Aku cinta pada-Nya
Saat tangan menadah lafaz berbicara
Kerana percaya DIA tidak akan menghampa
Yakin rahmat-Nya sentiasa di atas murka
“AKU menurut sangkaan hamba-KU” dalam firman-Nya
Demikianlah sifat Tuhan Yang Esa


قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (az-Zumar: 53)

28 Jun 2014/30 Sya`ban 1435 (07:50)
Ruang Tamu teratak kecilku

Thursday 26 June 2014

Anak istimewa, sukarnya tetapi sabar

 

Alhamdulillah, hidangan untuk makan malam ini. Nasi arab berserta ayam dan kambing bakar yang diperah dengan asam limau. Dimakan pula ketika masih panas, pendekata kalau bapa mertua lalu di belakang pun tidak sedar. Sebenarnya nasi arab ini isteri membelinya ketika dalam perjalanan pulang dari kerja. Kebetulan pula tuan kedai nasi arab itu sahabat baiknya, jadi memang dapat harga diskaun. Kalau tidak pun mesti dapat lebih samada nasi atau daging.

Kelmarin saya menonton rancangan 999 yang memaparkan kejadian jenayah yang berlaku di dalam negara. Termasuklah kisah menyayat hati, kisah adik Firdaus, seorang OKU yang terbiar di dalam bilik di rumahnya. Hampir menitis juga air mata saya melihat keadaannya seperti yang dipapar di peti televisyen. Dalam keadaan lemah, dia mengengsot-engsot keluar dari biliknya dengan pakaian yang telah pun reput. Khabarnya dia memakan kertas dan najisnya sendiri untuk menahan lapar. Allahu rabbi, sangat menyedihkan.

Sebelum itu, berita ini telah pun tersebar luas di alam maya, samada blog, FB dan sebagainya. Saya melihat berbagai-bagai komen mengenai kisah ini. Ada yang pro dan ada yang kontra. Ada yang mengutuk tidak kurang ada yang menyokong. Saya pula menahan diri untuk menulis sebarang komentar walaupun ia bergelodak di dalam dada. Marah, kesal, sedih dan kasihan. Namun, saya tidak lupa untuk mendoakan kepada adik Firdaus agar sentiasa diberikan rahmat dan kesejahteraan.

Dalam satu hadis daripada Abu Darda’ ra bahawa dia mendengar Nabi Muhammad saw bersabda yang maksudnya: “ Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim). 

Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ ra, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Mudah-mudahan, ameen...

Saya tidak mahu menjadi hakim untuk mengadili situasi tersebut. Siapa yang bersalah dan mengapa ia berlaku, biarlah pihak yang terbabit menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukumannya. Namun, sebagai manusia biasa yang ada perasaan, jeritan hati saya mengatakan tidak wajar ia diperlakukan sedemikian. Walaupun adik Firdaus seorang OKU, tetapi dia tetap bernama manusia yang memerlukan perhatian, sokongan dan kasih sayang.

Sukarnya, tetapi sabar

Saya akui, memang agak sukar untuk menjaga anak OKU, bahkan ia memerlukan sifat kesabaran yang tinggi. Jika ada yang berkata, “bercakap memang mudah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul”.Ya, tetapi saya berkata demikian atas pengalaman sendiri. Saya juga mempunyai seorang anak yang memegang kad OKU. Jadi, sedikit sebanyak saya telah merasai dan memikulnya. Semestinya perhatian dan kasih sayang kepadanya perlu lebih daripada adik-beradik yang lain. Alhamdulillah, mujurlah anak-anak yang lain memahaminya. Jika tersilap marah, cepat pula rajuknya. Terpaksalah menggunakan berbagai-bagai cara untuk memujuknya kembali. Jika tiada kesabaran, hmm..mudah sangat mahu menghayun tangan atau melibas rotan. Wal’iyazubillah. Belum pernah lagi saya melakukan sedemikian.

Sebenarnya ada satu yang kita terlupa mengenai anak OKU ini. Orang Kelainan Upaya atau disebutkan juga sebagai anak istimewa. Memang mereka istimewa kerana mereka adalah ahli syurga. Mengapa saya katakan begitu? Bukankah kewajipan beribadah ke atas mereka telah pun terangkat? Yakni mereka tidak perlu beribadat sebagaimana kita kerana kecacatan yang dipikul oleh mereka. Itulah cantiknya Islam yang tidak sekali-kali memberatkan umatnya.

Jika anak itu istimewa, tidakkah ibu bapa mereka juga istimewa? Benar, ibu bapa mereka juga menjadi istimewa dengan adanya mereka. Tentunya kita berbeza dengan ibu bapa yang lain kerana kita lebih kuat, lebih sabar dan lebih cekal hati dalam menyayangi anak-anak istimewa anugerah Tuhan. Namun, keistimewaan itu itu ada syaratnya. Kedua mereka hendaklah sentiasa bersabar, menjaga mereka dengan tabah dan penuh tanggungjawab. Paling penting ibu bapa juga mesti beribadat. Jangan sampai tidak sembahyang, tidak menutup aurat. Tidak jadi sekiranya mempunyai anak ahli syurga tetapi ibu bapa pula melakukan amalan ahli neraka. Wal’iyazubillah.

Ujian daripada Tuhan adalah pelbagai dan sesuai dengan kesanggupan hamba-Nya. Ia tidak lain untuk menguji keimanan. Ketaqwaan dinilai berdasarkan ketabahan dalam melayani anak istimewa ini. Mungkin ada yang menerima dengan tabah, mungkin ada yang kecewa dan mahu menyingkirkannya, mungkin ada yang merasa malu dan bermacam-macam lagi reaksi penerimaan. Anak istimewa, mereka dipilih untuk hadir ke dunia ini sebagai ujian kepada ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Mereka juga makhluk Tuhan yang memerlukan kasih sayang, layanan, perhatian sama seperti yang lain.

Jangan bersedih jika mempunyai anak istimewa. Mungkin sekarang ini kita melalui kepayahan dan kitaran kesedihan dalam menjaga mereka. Tetapi percayalah mereka hadir dengan kehendak Tuhan dan pasti Tuhan tidak akan mensia-siakan mereka. Yakinlah, satu hari nanti anak yang digelar istimewa itu benar-benar istimewa, unik dan mengkagumkan kita. Akan ada sesuatu yang membahagiakan kita dengan kehadirannya. Jika tidak di dunia ini, insya-Allah pasti di akhirat nanti. Saya optimis...

Tulisan ini bersifat umum. Tidak ada kaitan dengan sesiapa pun termasuk Puan Lola.

Wednesday 25 June 2014

Aurat dan perkahwinan antara adik beradik tiri

Soalan:

Seorang janda yang mempunyai anak lelaki berkahwin dengan duda yang mempunyai anak perempuan: -apakah ada aurat antara adik beradik tiri tersebut? 
-bolehkah adik beradik tiri tersebut berkahwin? 
sekian,terima kasih.

Jawapan:
 
Bismillah, 
1. Di antara adik beradik tiri tidak ada sebarang ikatan mahram. Mereka adalah ajnabi dan anjabiyah antara satu sama lain. Oleh itu, wajib menutup aurat sesama mereka (*termasuk memakai tudung), tidak harus mereka berduaan dan tidak harus bersalaman. Kerana tiada ikatan mahram, mereka berdua boleh berkahwin. 

2. Ikatan mahram hanyalah antara bapa dan anak tirinya, dan antara ibu dan anak tirinya. Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita dan ia mensetubuhi wanita itu, haram selepas itu dia mengahwini anak perempuan wanita itu (yakni anak tirinya). Larangan disebut Allah dalam surah an-Nisa’ (bermaksud): “Dan (turut diharamkan ke atas kamu mengahwini) anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu setubuhi, tetapi jika kamu belum setubuhinya, maka tidak berdosa kamu mengawini (anak perempuannya, iaitu setelah kamu ceraikan ibunya)” (Surah an-Nisa’ : ayat 23). 

Begitu juga, haram mengahwini ibu tiri. Di dalam al-Quran Allah melarang seorang lelaki mengahwini wanita yang pernah dikahwini bapanya. “Dan janganlah kamu kawini wanita yang pernah dikahwini oleh ayahmu” (Surah an-Nisa’ : 22). Wallahu a’lam. 

(Sumber : Ilmu dan Ulama)

Monday 23 June 2014

Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia


KUALA TERENGGANU: AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan pembantunya, Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi tadi.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu sementara pembantunya cedera.

Kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.
Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.

Jenazah akan dibawa balik dari Hospital Hulu Terengganu ke Maahad Tahfiz wal Tarbiyah (MTT) Tok Jiring untuk disolat dan dikebumikan.


Biodata
Tarikh Lahir: 18 Ogos 1950
Tempat Lahir: Kg. Masjid Tepoh, Kuala Terengganu
Nama Isteri: To’ Puan Zaitun Binti Salleh
Bil. Anak: 8 Orang (5 Lelaki, 3 Perempuan)
Alamat Rumah: 1026, KM 14 Jalan Kelantan, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu
Alamat Email: ust_abc@yahoo.com

Pendidikan
1973 – 1977: Ijazah Sarjana Muda (Hons) Pengajian Islam (Syariah) Dan Diploma Pendidikan UKM.
1987 – 1988: Melawat Sambil Belajar Bahasa Inggeris Di Fort Wayne Community College, Indiana, USA 1995 – 1996: Melawat Sambil Belajar Bahasa Arab Di Jami’ah Afriqiyyah Alamiyyah, Khourtoum, Sudan. 2011 – 2012: Ijazah Master Pengajian Islam, Open Universiti Malaysia (OUM)

Pengalaman Kerja
1977 – 1981: Pengetua Institut Berakan. Kuala Terengganu.
1982 – 1986: Wakil Rakyat (ADUN Jeram), Terengganu
1997 – 1999: Pengarah Urusan Ilmu Amal Sdn. Bhd, Pemilik Rangkaian Sek. Rendah Islam Pintar (SRIP) 1999 – 2004: Exco Pertanian & Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu
2000 – 2004: Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu
2004 – Kini: Pengerusi Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT)
2008 – Kini: Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan

Politik
1981: Menyertai Parti Islam Semalaysia (PAS)
1984 – 1986: Tahanan Politik (ISA) Di Kem Tahanan Kemunting
1989 – 1999: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ke- 13
1999 – 2011: Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu
2000 – Kini: Ahli Jawatankuas PAS Pusat
2000 – 2007: Pengerusi JK Pertanian & Pembangunan Luar Bandar PAS Pusat
2007 – Kini: Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiyah PAS Pusat
2008 – Kini: Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Kegiatan Pelajar & Belia
1968 – 1970: Setiausaha Gabungan Pelajar Islam Terengganu.
1975 – 1977: Naib Presiden Persatuan Mahasiswa UKM
1976 – 1977: Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM
1977 – 1981: Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Kuala Terengganu & Negeri Terengganu.

Kegiatan Kemasyarakatan & Pendidikan
1979 : Mengasaskan Pusat Pendidikan Pra Sekolah TASKI ABIM
1983: Mengasaskan Maahad Darul Quran, Terengganu
1987: Mengasaskan Pusat Pendidikan Islam Darul Taqwa, Terengganu
1989 – 1999: Pengerusi PASTI Malaysia
2006 – 2008: Penasihat (Luar) Yayasan Amal Malaysia
2009 – Kini: Timbalan YDP Yayasan Kebajikan & Pembangunan Pendidikan (YAKEP)
2013: Pengerusi Majlis Kebajikan Dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MAKPEN)

Kegiatan Antarabangsa
1989: Ahli Persidangan Buruh Antarabangsa, Karachi, Pakistan
1989 & 1993: Pengarah Ijtima’ Perpaduan Ummah Antarabangsa Kali 1 & 2
1994, 1995 & 1996: Ahli Persidangan Perpaduan Masyarakat Islam Antarabangsa, Turki
1997 & 1998: Anggota JK Nadwatul Shabab Al-Alami, Khortoum, Sudan.
2003: Ahli Persidangan Islamic Development Bank, Tajikistan & Uzbekistan
2005 – 2013: Presiden AFMY
2007: Mengasaskan Internasional Muslim Busines Network (IMBNet)

Penulisan Buku
1987: Individu Muslim Dan Jamaah Islam – Angkatan Edaran Sdn Bhd
1998: Ketahanan Gerakan Islam – Ilmu Amal Sdn Bhd
1999: Al Hizbul Islami Al Malizi (Bahasa Arab) – Darul Biarak, Beirut, Lubnan
2007: Pilihanraya: Satu Tuntutan Jihad – Pustaka Damai
2011: PAS 60 Tahun – Pustaka Damai
2013: Negara Berkebajikan Menurut Pandangan Syed Qutb – Pustaka Damai

Darjah Kebesaran & Anugerah Tokoh
2002: Setia Mahkota Terengganu (SMT)
2003: Dato’ Setia Mahkota Terengganu (DSMT)
2003: Anugerah Tokoh Sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Trg
2003: Anugerah Tokoh Tarbiyyah Sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Pusat
2009:Tokoh PASTI Malaysia

(sumber : harakahdaily)

abuikhwan : Mudah-mudahan Allah SWT mencurahkan rahmat ke atas roh allahyarham serta menerima segala amal kebaikannya. Sekalung takziah kepada keluarga allahyarham dan semoga dilipatkan kesabaran di dalam menghadapi ujian ini. Al-fatihah.

Sunday 22 June 2014

Mentari yang terbenam, fajar yang menyinsing, ia adalah usia


Sinar matahari petang menyimbah cahaya kuning kemerahannya. Kawanan burung berterbangan pulang ke sarang. Daun-daun kering berguguran, melayang-layang tanpa kemudi ditiup angin petang. Saya puas menikmati keindahan suasana petang dari sudut anjung rumah. 

Entah mengapa tiba-tiba perasaan menjadi sayu dan hening. Benak memikirkan sesuatu. Lantas hati kecil terdetik.

Tiada malam yang diseliputi kegelapan kecuali pada akhirnya adalah fajar yang menyinsing cahaya. Tiada pula hilang terik sang matahari kecuali ia terbenam ke hujung barat menyambut datangnya malam. Begitulah Allah SWT menjalankan pergantian keduanya sebagai bahasa untuk umat manusia memahami ketetapan dan kekuasaan-Nya. Namun, ia juga adalah tanda perkiraan masa di dunia ini. Setelah terbenam sang mentari, maka berlalulah satu hari dalam kehidupan. 

Berlalu sehari masa di dunia adalah isyarat telah hilang sehari daripada usia kita. Bayangkan seutas tali yang panjang, setiap hari dipotong sedikit demi sedikit, akhirnya akan habislah tali tersebut. Begitulah ibarat usia kehidupan kita. Mungkin kita sedar atau mungkin kita lalai. Akan tetapi, masa akan terus berlalu sehingga akhir dunia ini. 

Demikianlah gambaran kehidupan. Setiap detik dan ketika kita akan mengalami perubahan demi perubahan, berpindah dari satu babak ke babak yang lain sehinggalah detik yang telah ditetapkan-Nya. Mampukah sesiapa menolak atau menafikannya. Tentu tidak, sesungguhnya seluruh episod kehidupan kita berada di dalam genggaman-Nya. 

Kita sering meminta agar dipanjangkan umur. Seandainya diberi peluang, berapakah jumlah umur yang kita mahukan. 100 tahun? 200 tahun? Kita sendiri pun tidak mampu menjawabnya. Sekiranya kita meminta 100 tahun, kemudian apabila hampir tiba saat itu, pasti kita meminta agar ditambahkan sedikit lagi. Begitulah seterusnya, kita sentiasa mahu agar ditambah umur. Sebenarnya kita mahu hidup selamanya. Mana mungkin berlaku begitu! 

'Masa adalah usia'

Kita sering menyangka bahawa panjangnya umur itu ialah pada bertambahnya angka. Dengan bertambahnya hari, bulan atau pun tahun. Tetapi Allah punya cara yang tersendiri. Dia memanjang dan memendekkan umur kita jauh lebih unik dan tersirat. Allah memanjangkan umur kita dengan meningkatkan kualiti hidup dan usia pada perkara yang bernilai lagi berfaedah. Umur manusia dipendekkan-Nya apabila manusia hidup tanpa makna, tanpa jasa, tanpa nama dan matinya terus dilupa. Oleh itu, isilah kehidupan ini dengan bekas dan kesan bernilai sebagaimana generasi ilmuan terdahulu. Walaupun mereka telah pergi jasad bergalang tanah, namun nama mereka masih disebut sehingga ke hari ini. 

Seandainya kita melihat usia yang bertambah dengan makna yang tersirat, sesungguhnya menanti hari esok bukan sekadar berlalu dengan pejam dan celik, ia bukan hanya kerdipan mata, tetapi lebih daripada itu. Masa adalah usia, ia adalah nikmat yang tidak terperi. Hargailah...

Saturday 21 June 2014

Bicara santai : Biar ada sifat ehsan

Jalan Mahkota (foto : Jun 2014)

Kerap kali kedai makan di hujung deretan bangunan lama itu menjadi pilihan untuk mengisi perut jika turun ke bandar Kuantan. Bukan kedai mewah pun, sekadar biasa-biasa sahaja, tentunya ia sesuai buat rakyat biasa seperti saya. Selalunya saya dan rakan singgah menikmati roti canai diganding bersama teh tarik yang buihnya melimpah keluar. 'Mumbu' bahasa orang kampung saya. 

Kedai makan itu terletak dalam deretan bangunan lama sepanjang Jalan Mahkota. Jika diperhatikan, reka bentuk bangunan ini sama sahaja di antara satu sama lain. Begitu juga yang terdapat di sepanjang Jalan Besar. Ia menampilkan ciri-ciri binaan zaman kolonial, dan yang uniknya setiap bangunan itu tertera tahun ia dibina. Ada yang tertulis 1926, 1931, 1934, malah ada yang seawal 1909. 

Kebanyakan bangunan kedai ini dihuni oleh peniaga seperti kedai makan, kedai buku, kedai barangan runcit, kedai pakaian, kedai emas dan kedai barangan letrik. Tetapi majoriti ia dihuni oleh penjual kain berketurunan India Muslim. Saya tidak pasti sudah berapa generasi mereka menjalankan perniagaannya. Seingat saya, sejak zaman sekolah rendah lagi saya telah mengikut emak membeli kelengkapan pakaian di situ, terutama apabila tiba hari raya. Jika hampir hari raya, kita boleh lihat bagaimana sibuknya pemilik kedai ini melayani pembeli yang datang berkunjung. Tambah mengkagumkan lagi ialah, sampai sekarang kedai-kedai kain tersebut masih beroperasi dengan baik. Biarpun menerima persaingan dengan kedai kain moden yang semakin banyak wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan. Entah apa rahsianya mereka masih lagi boleh bertahan sehingga kini. 


 Jalan Besar (sumber : KGKP)

Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah, acapkali saya melihat para penjual kain memberi makan burung-burung merpati di hadapan kedai mereka. Burung merpati yang terlalu banyak bilangannya itu, bersarang di celah bumbung bangunan lama tersebut. Tidak kira samada waktu pagi, tengahari atau petang, mereka akan memberi makan kepada kawanan burung merpati di hadapan kedai mereka. Saat mereka menabur bijian jagung, maka berhamburan burung-burung merpati mematuk makanan. Hmm.. macam di kota London pula lagaknya. Kadang-kadang sampai empat kedai yang memberi makan kepada kumpulan burung merpati tersebut, dan saya tidak pernah lihat yang memberi makan selain daripada pemilik kedai kain. Entahlah, saya tidak tahu jika saya terlepas pandang atau tidak kebetulan terserempak dengannya. 

Saya mula terfikir, mungkin inilah di antara sebab perniagaan mereka masih mampu bertahan sehingga kini. Mereka berkongsi rezeki yang didapati dengan makhluk Tuhan yang lain. Mungkin atas sebab sifat ehsan mereka, Allah sentiasa memurahkan rezeki perniagaan mereka. Sesungguhnya perbuatan ini amat menginsafkan dan satu teladan yang patut dicontohi. 

Dalam satu hadis: Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: Anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit iaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk menggigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah saw menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya.” 

Hadis ini sebenarnya terbahagi kepada dua keadaan iaitu hadis sahih dan hadis kiasan. Cerita tentang lelaki yang memberi minum kepada anjing itu adalah benar tetapi dia akan masuk ke syurga bukan kerana memberi minum anjing itu tetapi kerana sifat belas ehsannya kepada haiwan. Fikirkanlah jika berbelas ehsan kepada haiwan lagi dibalas syurga apatah lagi jika berbelas ehsan sesama manusia. 

Begitu juga hadis yang juga dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan.” Lihat, tidak rugi untuk berbuat demikian kerana Allah SWT pasti mengganjari dengan balasan yang lebih baik lagi. Benar, tidak akan jatuh miskin orang yang bersedekah. Oleh itu, perbanyakkanlah bersedekah terutama di bulan Ramadhan nanti. Insya-Allah, Dia pasti menghitung. 

Apa pun, bagi diri saya, setelah berkeluarga pun, kedai-kedai kain di Jalan Mahkota begitu juga di Jalan Besar masih menjadi pilihan untuk membeli persiapan khususnya di musim perayaan atau awal persekolahan. Mungkin juga sifat ehsan kepada haiwan menyebabkan saya turut merasa ehsan untuk berbelanja di kedai mereka. 

 Jalan Mahkota (sumber : KGKP)

Thursday 19 June 2014

Benar-benar bulan rahmat dan berkat


Bahang Ramadhan semakin terasa. Kiri dan kanan jalan raya sudah banyak dinaikkan papan iklan buffet ifthar Ramadhan, sesuai dengan mereka yang punya selera ‘dinasour’. Televisyen juga sedang rancak dengan iklan gedung pakaian seakan menggamit agar segera berkunjung. Tidak kurang juga rancangan masakan yang menyajikan pelbagai resepi yang harus dicuba. 

Kuliah di masjid dan surau juga kebanyakannya lebih tertumpu kepada tajuk berkaitan Ramadhan. Sama ada fadhilat Ramadhan, persiapan menghadapi Ramadhan dan sebagainya atau tajuk yang sama saban tahun, namun ia sentiasa relevan khususnya untuk 'refresh' apa sahaja yang mungkin kita telah terlupa. Saya juga secara peribadi, kembali membelek bahan-bahan bacaan yang semestinya berkisar dengan ibadat puasa sebagai nilai tambah untuk memasuki bulan Ramadhan selain daripada menghadiri kuliah di masjid dan surau. 

Allah SWT mengkehendaki kita merayakan bulan ini dengan memperbanyakkan beribadat kepada-Nya. Ia perayaan selama sebulan yang berterusan. Ganjaran yang dijanjikan tidak mampu dibayangkan ketinggian nilainya. Benar-benar Ramadhan bulan yang dipenuhi rahmat, keberkatan, kebaikan, kelebihan dan keredhaan. 


Lihat, betapa kebanyakan peribadi insan berubah di bulan ini. Ya, bagaimana Ramadhan mampu mengubah cara dan gaya hidup kita. Ramai yang tidak bersolat, namun dengan kedatangan bulan ini, mereka mula bersolat. Ada yang jarang menjejakkan kaki ke masjid, mulai rajin menapak ke masjid. Malah, solat subuh yang sesetengah masjid kebiasaanya dihadiri golongan saluran satu, tiba-tiba sarat dengan jemaah dari golongan saluran dua, tiga atau empat. Bahkan orang yang merokok boleh menghentikan tabiat merokok disebabkan bulan Ramadhan. Lihat, bukankah benar-benar rahmat dan berkat. Jika ada yang berkata mereka berhenti merokok pada siang hari tetapi kembali menjadi sang penagih candu pada malamnya. Benar, tetapi jika Allah SWT memerintahkan agar tidak merokok sehingga ke malam hari, adakah mereka akan merokok? Tentu tidak! 

Akhir sekali, marilah kita menadah keharibaan menyambut kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Dengan rasa syukur dan azam yang tinggi kita memohon agar dipermudahkan untuk beribadah di dalamnya. 

Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan...

Tuesday 17 June 2014

Suami enggan bekerja dan mengabaikan nafkah

Soalan:

Apakah hukumnya kalau seorang suami yang masih muda dan cergas lagi menggangur. Beliau tidak langsung mahu mencari pekerjaan sungguh pun si isteri sudah berkali-kali menasihatkan dia untuk mencari apa saja pekerjaan tidak kira pendapatan atau gajinya kecil dari gaji isteri. Si isteri yang bekerja terpaksa membiayai semua perbelanjaan rumah dan anak termasuk makan minum suaminya walau pun pendapatan isteri kecil.

Jawapan:

Bismillah.
1. Apabila seorang lelaki telah berkahwin dan berkeluarga, wajib dia menanggung nafkah isteri (*sekalipun isteri kaya atau bergaji) dan juga anak-anaknya mengikut yang sepatutnya, merangkumi tempat tinggal, belanja makan, pakaian dan sebagainya dari keperluan hidup.

Sabda Nabi saw: “Ketahuilah bahawa hak mereka (yakni isteri-isteri kamu) ke atas kamu (yakni yang mesti kamu tunaikan) ialah kamu menyediakan dengan baik (keperluan) makanan dan pakaian untuk mereka” (Sunan at-Tirmizi; 1163, dari ‘Amru bin al-Ahwash ra. Menurut at-Tirmizi, hadis hasan soheh).

Oleh itu, amat perlu seorang suami mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan yang membolehkannya menunaikan kewajipan memberi nafkah tersebut.

2. Isteri sekalipun kaya dan bergaji, tidak dituntut menanggung nafkah dirinya dan keluarga (termasuk membiayai perbelanjaan rumah dan anak-anak) kerana itu adalah tanggungjawab suami. Suami tidak berhak memaksa isteri membelanjakan wangnya atau gajinya untuk perbelanjaan keluarga, kecuali dengan kerelaan isteri untuk membantu suami. Keengganaan isteri dalam hal ini tidak dianggap nusyuz.

3. Atas sebab pengabaian nafkah oleh suami, isteri berhak menuntut cerai dari suami atau membuat tuntutan kepada Qadhi.

Wallahu a’lam.

(Sumber : Ilmu dan Ulama)

Monday 16 June 2014

Kenangan masih basah: Kutu oh kutu!


Mendengar namanya memang tidak menyenangkan. Apatah lagi jika ia tumpang berkampung sama. Tentu amat merisaukan. Itulah kisahnya.

Gatal. Kulit kepala terasa meremut-remut. Ada sesuatu yang merayap-rayap di atas kepala. Sesekali jika tidak tertahan, saya akan menggaru-garu kepala semahu-mahunya. Nah, kadang-kadang terselit ibu kutu di celah kuku. Adakalanya sampai dua ekor. Geram! Ibu kutu dengan perut hitam memboyah, saya penyek dengan menggunakan kuku ibu jari. Berkeretak bunyi perutnya pecah, padan muka. Puas.

Entah dari mana datangnya. Hendak kata ia terbang lalu hinggap di kepala, mustahil! Kutu mana ada sayap, tidak pernah saya melihat kutu bersayap. Walaupun semasa kecil dahulu biasa terdengar, entah orang tua mana yang berkata: “Kalau banyak sangat kutu, nanti ia akan bawa kamu terbang ke atas pokok.”

Ada pula yang menambah lebih perisa: “Nanti kutu bawa terbang ke tengah laut, kemudian dilepaskan kamu.”

Wah, memang menambah perisa! Semakin takut dan benci dengan sang parasit kecil ini.

Pastinya ia lebih kepada gurauan untuk menakut-nakutkan budak-budak yang berkutu. Hakikatnya memang ia tidak benar. Namun, pada masa itu mati-mati kami mempercayainya. Akal budak-budak, tak sempat nak ‘mikir’.

Segan juga rasanya mahu menyatakan saya adalah di antara yang berkutu ketika budak-budak dahulu. Tetapi tidak segan juga kerana boleh dikatakan ramai budak-budak kampung dahulu menternak kutu di kepala. Tidak kira lelaki atau perempuan, sama sahaja. Mungkin pada waktu itu kesedaran menjaga kebersihan kepala tidak ditikberatkan sangat berbanding hari ini. Saya cuba mengingati berapa kali agaknya saya bersyampu kepala semasa budak-budak dahulu. Rasanya tidak pernah. Kalau ada pun sekadar menggunakan sabun mandi sebagai ganti syampu, tetapi jika ‘mandi kerbau’ selalu sangat. Sekarang ini bermacam-macam jenama syampu berada di pasaran. Pilih sahaja yang mana satu idaman kalbu. Itulah untungnya budak-budak zaman sekarang, ‘macam-macam ada’.


Saya tidak tahu apakah ubat yang digunakan pada waktu itu untuk menghilangkan kutu. Ingat-ingat lupa, rasanya saya pernah terdengar ada di antara jiran-jiran menggunakan air rebusan mayang pinang. Katanya air mayang pinang boleh menyebabkan pening-pening. Selepas dibasahkan rambut dengan air rebusan tersebut, lalu kepala dibungkus dengan kain beberapa ketika. Kemudian rambut disikat dengan sikat bergigi rapat. Orang kampung saya menggelarnya sikat kapit. Kutu-kutu yang mabuk kepeningan akan berjatuhan di atas kain yang dihampar apabila disikat. Benar atau tidak, saya tidak dapat memastikan tetapi memang saya mendengarnya begitu.

Seingat saya sehinggalah saya naik darjah lima barulah kutu pupus di kepala. Saya tidak ingat apa yang saya gunakan untuk membasminya. Pastinya saya tidak menggunakan kaedah air rebusan mayang pinang. Mungkin ketika itu itu saya sudah pandai membersihkan rambut (baca: bergaya), curi-curi guna syampu kepunyaan kakak, serta minyak rambut berjenama ‘Gel’ milik abang.

Apakah hikmahnya


Dulu saya tidak pernah terfikir apakah hikmah disebalik kejadian si kecil penghisap darah ini. Tidak mungkin fungsinya hanya untuk memastikan kita menjaga kebersihan kepala. Walaupun itu mungkin boleh menjadi antara sebab-sebabnya. Tetapi saya mulai perasan sesuatu. Setelah dewasa, setelah emak telah tiada.

Entah berapa kali emak menupangkan kepala saya di atas ribanya. Dalam kedinginan angin petang, emak mengurai-ngurai rambut saya menarik satu persatu telur kutu yang berwarna putih itu. Ya, beranda usang rumah pusaka yang hampir roboh itu menjadi saksi, tanpa jemu tangan emak mengusap-usap kepala saya sambil bercerita kisah-kisah lampau. Saya pula seringkali terlena di ribaan emak sehinggalah emak mengejutkan saya.

Jika tidak ada kutu, apakah dapat saya merasai sentuhan lembut tangan emak? Mungkin jarang-jarang sekali. Lihatlah, sesuatu yang pada pandangan mata tidak baik, sebenarnya ada hikmah yang tersirat.

"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Ali-Imran: 191)

Mudah-mudahan Allah SWT berkenan melimpahkan rahmat dan kasih sayang kepada ibu dan bapaku, sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya yang tidak pernah bertepi itu...

Saturday 14 June 2014

Cetusan rasa : Dukacita antara jalan mendekati-Nya...

Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Tidak sekali-kali Allah mahu menzalimi hamba-Nya, kerana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Kita insan yang lemah serta tiada daya dan upaya, tentunya kita tidak dapat meneka apa yang tersirat disebalik kejadian yang tersurat. Benar, lemahnya akal kita untuk menafsir apakah kebaikan disebalik ‘kepahitan’ yang berlaku.

Seringkali kita mempersoalkan, mengapa ia harus terjadi kepadaku? Mengapa aku ditimpa ujian ini? Mengapa begini perjalanan hidupku? Mengapa? Mengapa? Seolah-olah tidak patut kita yang menerima ujian tersebut. Perlakuan kita seolah-olah menyalahkan Allah SWT di atas perancangan-Nya. Ya, seakan kita terlupa kita adalah hamba, maka sifat hamba adalah berhak untuk diuji. Namun, Allah tidak akan menguji seseorang hamba di luar batas kemampuannya.

Tiada siapa yang senang dengan dukacita dan kesedihan. Benar-benar perasaan ini membayangkan erti kesakitan, kesusahan, kepahitan dan segala macam yang dibenci. Kita juga tidak dipinta mencari kesedihan. Nabi saw mengajar kita supaya memohon perlindungan daripada dukacita dan keluh-kesah. Namun Allah berkuasa menimpakan kedukaan dan kesedihan itu kepada sesiapa yang dikehendaki, tanpa mereka dapat berbuat apa-apa.

Tidakkah kita mahu bersangka baik, bahawa tidak mudah untuk seseorang insan kembali mencari dan menemui Allah ketika ia gembira dan bersenang hati. Maka ketahuilah, kesedihan dan dukacita adalah jalan yang Allah bentangkan untuk berhubung dengan-Nya. Ramai insan yang menjadi hamba yang patuh kerana ada perkara yang mendukacitakan menimpanya. Ada insan yang menjadi ahli ibadah kerana ada sesuatu yang menyedihkan telah Allah timpakan kepadanya. Demikianlah hakikatnya nilai kesedihan andai kita melihat dan menafsir dari mata hati.

Firman Allah SWT:

"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Ali-Imran: 191)

Bicara santai : Selamat berjaga malam


Sepak mula pertandingan bolasepak Piala Dunia sudah pun membuka tirai. Pagi tadi telah pun berlangsung perlawanan pertama. Nampak gaya ramailah yang terpaksa berjaga malam untuk menonton perlawanan pasukan pilihan masing-masing. Yalah, empat tahun sekali.

Islam tidak pernah menyekat untuk berhibur. Islam sentiasa membuka ruang kepada mereka yang meminati bidang sukan. Tidak salah mahu menonton perlawanan bolasepak Piala Dunia. Tontonlah, jangan sampai tertinggal sembahyang subuh sudahlah. Ataupun gara-gara berjaga malam, maka banyak pula membuta di tempat kerja kerana mengantuk sehingga menjejas prestasi kerja. Itu yang kita tidak mahu.

Kemudian alang-alang bangun mahu menonton bola, apa kata buat sembahyang tahajjud dulu. Tidak lama, dua rakaat pun dah cukup. Tetapi tidak mahu sembahyang tahajjud pun tak apa, tidak boleh nak paksa-paksa, ibadah sunat. Namun, seperti yang saya katakan tadi, alang-alang sudah bangun, apa salahnya cari sedikit rahmat dan kasih sayang-Nya di waktu dinihari dengan mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat. Mana tahu berkat bangun malam lalu sembahyang dua rakaat selama sebulan ini akhirnya menjadi kebiasaan, lalu diteruskan untuk malam-malam seterusnya. Insya-Allah.

Ada pula yang terlebih nak seronok dan berhibur, tiba-tiba melakukan perbuatan syirik pula. Tentu ada yang terkejut dengan kenyataan ini. Maksud saya, ada yang membuat ramalan kepada kemenangan sesuatu pasukan. Jika sekadar meramalkan kemenangan berdasarkan melalui pemerhatian seperti profil pasukan, pemain bintang atau prestasi semasa, itu tiada masalah. Saya bicarakan seumpama ada yang menggunakan haiwan seperti sotong, unta, anjing, ikan lumba-lumba dan sebagainya sebagai objek meramal kemenangan pasukan yang bertanding. Saya tidak kisah jika yang melakukannya itu adalah orang bukan Islam. Tetapi dibimbangi jika ada orang Islam yang terpengaruh sama. Wal`iyuzubillah.

“Ala.. main-main je, bukannya serius.”

“Sekadar suka-suka, tak percaya pun.”

Apa pun alasan kita, yang pasti jangan sampai kita terlupa di dalam ajaran Islam ada perkara-perkara yang tidak boleh dibuat gurauan. Ada perkara yang sekadar main-main tetapi natijah dikira sungguh-sungguh dan mengundang dosa terutama dalam perkara yang melibatkan aqidah. Mudah-mudahan kita semua mengambil peringatan mengenai perkara ini. 

Selamat menonton.

Friday 13 June 2014

Kuliah Maghrib : Sempurnakah Islam Tanpa Hudud

Kepada yang berdekatan dijemput untuk menghadiri kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh YB al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hasan at-Tantawi (Ahli Parlimen Temerloh). Dengarkan kupasan menarik berkaitan tajuk "Sempurnakah Islam Tanpa Hudud". Mudah-mudahan ia akan memberikan kepada kita kefahaman yang menjadi persoalan hangat hari ini.

Jom, semarakkan majlis ilmu!


Thursday 12 June 2014

Bicara santai: Pesta makan hampir tiba


Hari ini saya tidak bekerja, sengaja mengambil cuti. Hendak kata segaja pun tidak juga kerana pada waktu tengahari saya mahu menghantar anak sulong balik ke asramanya. Kalau diikutkan boleh keluar sekejap dalam waktu kerja kerana saya menghantar beliau bukanlah ke Pulau Tawar, cuma di terminal bas sahaja. Tetapi, memandangkan saya tidak mahu terkejar-kejar masa, jadi eloklah saya bercuti sehari penuh.

Sebenarnya sekolah mula dibuka pada hari Isnin depan, tetapi bagi pelajar-pelajar sekolahnya (termasuk anak saya) yang akan menghadapi peperiksan SMA pada tahun ini perlu menyertai program tahsin al-Quran bermula Jumaat sehingga hari Ahad. Program tersebut bertempat di SMA Maran, bermakna hari ini dia balik ke Jerantut kemudian keesokkannya perlu pergi ke Maran pula. Tentu memenatkan. Tidak mengapa, benda yang bermanfaat. Teringat kata-kata hikmah: “Beramal suatu yang meletihkan, tetapi letih itu satu perasaan dan perasaan itu akan hilang. Manakala pahalanya akan kekal. Maksiat itu suatu yang menyeronokkan, tetapi seronok itu satu perasaan dan perasaan itu akan hilang. Tetapi dosanya akan kekal.” 

Sepanjang perjalanan pergi dan balik, saya perasan sesuatu. Memang biasa setahun sekali ia muncul. Di kiri dan kanan jalan telah banyak tertegak iklan berbuka puasa aka buffet Ramadhan. Ada juadah berbuka dari Timur Tengah, dari Negara China, ada pula chef jemputan dari sekian-sekian tempat, ada chef itu, chef ini dan macam-macam lagi. Harganya pula bukanlah murah. Melihat pada harga untuk seorang makan, saya rasa boleh dimakan untuk empat orang. Ada yang lebih lagi daripada itu. 

Foto hiasan (sumber)

Pelik, puasa pun belum apa-apa lagi, dah cerita juadah berbuka. Nampak lebih berbuka puasa daripada puasa. Sepatutnya Ramadhan menjadi pesta ibadah, tetapi kebelakangan ini menjadi pesta makan pula. Berlambak-lambak juadah di bazar-bazar Ramadhan. Kalau nak lihat menu yang pelik-pelik dan luarbiasa, carilah di bulan Ramadhan, pasti ketemu. Macam-macam ada!

Saya tak kata salah, saya bukan kata tidak boleh. Jangan silap faham. Ada eloknya juga, sekurang-kurangnya menjadi peransang dan latihan kepada budak-budak kecil untuk berpuasa. “Kalau puasa ayah beli kuih itu, kalau puasa emak buat kuih ini...” Bagus, anak-anak pun mula mahu berpuasa. Mungkin mula-mula kerana makanan, tetapi lama-kelamaan menjadi kebiasaan. 

Tetapi jika budak-budak besar pun seperti itu juga, macamana? Berat nanang kata orang Terengganu. Sepatutnya terfikir di benak, Allah masih beri lagi kesempatan untuk bertemu bulan Ramadhan, maknanya Allah masih mahu memberikan peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat. Allah masih beri peluang untuk bertaubat dan membersihkan diri daripada dosa. Maka aku mesti gunakan peluang ini sebaik mungkin.

Benar, Ramadhan dengan segenap rahmat dan keberkatan. Jika bulan ini tidak digunakan untuk menambah amal dan membersihkan diri daripada dosa, maka bilakah lagi masanya? 

Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan...

Majikan bersama pembantu rumah ketika ketiadaan isteri

Soalan:

Assalamualaikum. Mohon penjelasan tentang kedudukan seorang majikan lelaki bersama pembantu rumah di dalam rumahnya ketika ketiadaan isterinya di rumah, tetapi terdapat anak-anak yang masih kecil. Adakah boleh dianggap khulwah/khalwat? 

Jawapan: 

Bismillah, Ya, dianggap khalwat kerana Nabi saw bersabda: "Janganlah seorang lelaki bersunyian (berkhalwat) dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya (yakni mahram wanita itu)" (Soheh al-Bukhari; 1862. Muslim; 1341). 

Perbuatan tersebut boleh menimbulkan keraguan dan mendorong kepada berlakunya zina. Kehadiran anak-anak yang masih kecil tidak menggugurkan hukum tersebut kerana kewujudan mereka tidak dapat menutup keraguan dan tidak menghalang dari zina. Wallahu a'lam. 

(Sumber : Ilmu dan Ulama)

Wednesday 11 June 2014

Cetusan rasa: Sampaikan kami kepadanya...


Siang berganti malam, hari ini sudah pun masuk 12 Sya`ban. Maknanya tidak sampai tiga minggu lagi kita akan menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan al-Mubarak. Cepatnya masa berlalu. Ramadhan yang lalu rasanya baru sahaja melambai pergi. Tiba-tiba dalam leka pejam dan celik, Ramadhan berkunjung semula.

Tidakkah masih terlalu awal untuk bercerita mengenai Ramadhan. Tidakkah kemaruk namanya? Tidak, mari kita berbicara untuk menyambut Ramadhan. Sesungguhnya dalam ertikata sebenar mari kita siapkan seawalnya dengan mengisi ilmu pengetahuan bagi menghadapi Ramadhan. Seumpama ingin bermain bolasepak yang memerlukan kemahiran dan pengetahuan berkaitan undang-undang permainannya. Ya, tanpanya bagaimana kita mahu menikmati permainan itu.

Demikianlah juga dengan Ramadhan, bagaimana kita mahu menghayati dan mendapatkan manfaat semaksimum mungkin apa yang ada di dalamnya jika tiada pengetahuan tentangnya. Menerobos pintu Ramadhan bermakna melangkah ke alam yang penuh dengan amal kebajikan. Tentu rugi jika kita tidak mampu merangkul apa yang telah dijanjikan dalam bulan tersebut.

Ramadhan adalah rahmat kepada manusia. Secara umum, rahmat memberi erti segala rupa pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya. Pemberian itu sebagai tanda kasih sayang-Nya. Dari segi bahasa pula ia memberi maksud sesuatu yang bertentangan dengan bala, musibah dan keburukan. Maka, dapat disimpulkan bahawa rahmat adalah sesuatu yang disukai, menggembirakan serta di dalamnya ada kemanisan dan kebaikan.

Allah SWT berfirman: “Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya...” (ar-Rum : 36) 

Ramadhan sentiasa akan hadir saban tahun sehinggalah akhir usia dunia ini. Cuma adakah kita yang mempunyai kesempatan menyambutnya atau tidak. Berapa ramai yang telah pergi dalam kembara yang tidak kembali, tanpa mereka mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir bagi mereka. Diri kita sendiri juga, apakah ada berkesempatan memasuki Ramadhan tahun 1435H ini atau pun tidak. Kita tidak mampu menjawabnya. Kematian itu senantiasa mengintai di antara kerdipan pejam dan celik. Apabila kita memejamkan mata, dapatkah kita mencelikkannya kembali. Begitu juga setelah kita mencelikkan mata, mampukah kita memejamkannya semula. 

Allahu rabbi, kita hanya mampu berdoa: “Ya Allah, berkatilah kepada kami bulan Sya’ban dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan. Ameen.” 

Mudah-mudahan...

Sunday 8 June 2014

Alhamdulillah, kami juara!


#Mood : Sedang menunggu pengumuman cuti peristiwa pada hari Isnin...(kalau ada)

Saturday 7 June 2014

Insya-Allah, Hogoh Pahang Hogoh!


Kurang satu jam dari sekarang, bakal menyaksikan satu pertarungan sengit di antara dua pasukan terbaik Piala FA. Pertembungan antara pasukan Tok Gajah dengan pasukan Felda United bertempat di Stadium Shah Alam, Selangor. Pasukan yang menang akan dinobatkan sebagai juara Piala FA Malaysia 2014. Semestinya kedua-dua pasukan akan bermain bermatian-matian untuk memenangi perlawanan ini. 

Pasukan Pahang merupakan juara pada tahun 2006 setelah menewaskan Pasukan Perlis menerusi tendangan penalti, setelah terikat 0–0 sehingga tamat masa permainan. 

Apa pun, diharapkan kedua-dua pasukan dapat mempamerkan permainan yang menarik dan berkualiti serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Kitakan satu Malaysia! Lagipun pasukan Pahang dan Felda United ibarat adik-beradik kerana daripada 323 tanah rancangan Felda di seluruh negara, 115 daripadanya terletak di negeri Pahang dengan Jengka menjadi gugusan terbesar di Malaysia.

Bagi saya pula tentulah sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan Tok Gajah. Kawan-kan orang Pahang! 

Mana-mana sahabat yang tidak ke Stadium Shah Alam, dijemput untuk memeriahkan suasana perlawanan akhir dengan datang ke Padang MPK 1 berhadapan Masjid Negeri. Di sana akan diadakan tayangan skrin besar. Jom, masih sempat lagi. Kita gegarkan padang MPK 1 dengan laungan dan sorakan semangat. Tetapi jangan sampai tidak solat pula. Masjid dekat saja, hanya di sebelah padang. 

Hogoh Pahang Hogoh! 

*Kalau Pahang menjadi juara, insya-Allah hari Isnin cuti...  

Bukan mengumpat masjid


Semalam saya bersama tiga lagi rakan bersolat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Sungai Buloh. Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki bersolat di situ. Sebenarnya kami ke sana atas urusan kerja. Alhamdulillah, suasana yang boleh dikatakan selesa dengan khutbah tanpa teks yang menyegarkan. Khutbah yang saya kira cukup relevan dengan keadaan semasa, membicarakan kelebihan-kelebihan mengimarahkan masjid.

Setelah selesai solat Jumaat, bergema laungan kalimah takbir ‘Allahu akbar’. Eh, sama macam di tempat saya, cuma di tempat saya laungannya kadang-kadang sampai tiga kali. Beri semangat untuk kembali masuk kerja. Maklumlah, negeri saya cutinya bukannya hari Jumaat. Jadi selepas solat Jumaat terpaksa bergegas untuk masuk kerja semua. Haa, jangan ada yang kata bidaah pula. Saya tidak bicarakan yang itu.

Masjid ini tentu sangat aktif dengan majlis-majlis ilmu, buktinya saya melihat papan notis yang tertera jadual kuliah. Penuh satu minggu dengan kuliah yang pelbagai. Ada pengajian tafsir, sirah, feqah, aqidah serta pengajian umum. Seronok dengan apa yang saya lihat. Untuk mengukur sesebuah masjid itu ‘hidup’ atau ‘lesu’, lihatlah pada pengisian aktivitinya. Jika makmur dan meriah dengan majlis-majlis ilmu dan program-program masyarakat setempat, insya-Allah hiduplah masjid itu.

Para jemaah yang mahu memenuhkan tabung derma juga tidak akan berfikir panjang. Mereka tahu, setiap sen yang didermakan pasti akan dimanfaatkan sebaiknya. Ada juga masjid yang banyak duitnya tetapi lesu daripada sebarang aktiviti. Mereka seperti ‘syok sendiri’ melihat nombor-nombor yang tertera pada laporan kewangan setiap kali mesyuarat bulanan. Mereka terlupa, setiap sumbangan orang ramai kerana mereka mengharapkan pahala yang berterusan. Namun, jika sumbangan mereka terhenti hanya di dalam tabung atau tertera di muka resit bank, bagaimana mahu mengutip pahala tersebut? 

Akan tetapi, semua ini bergantung kepada pengurusan masjid. Jika AJK-nya memang kaki masjid serta aktif dan kreatif dalam menguruskannya, tiada masalah. Tetapi jika AJK dipilih daripada kalangan yang tidak layak, maksud saya susah mahu melihat mukanya di masjid. Kalau ada pun semasa sambutan hari-hari tertentu, selepas itu hilang entah ke mana. Anda tentu faham maksud saya ini.


Sewaktu mahu meletakkan kasut untuk masuk ke masjid, seperti biasa saya meletakkannya di tempat yang berjauhan di antara keduanya. Sebelah di tempat lain,manakala sebelah di tempat yang lain. Saya melakukan demikian berdasarkan kepada pengalaman lalu. Ini adalah taktik untuk menghindarkan kasut daripada dicuri. Setakat ini ia berhasil. Yalah, pencuri mahu mencuri sebelah sahaja. Lainlah kalau pencuri itu hanya memiliki sebelah kaki, atau ia mahu menjual kasut yang dicurinya kepada orang kelainan upaya. Tidak mungkin! 

Saya ada pengalaman kasut dicuri di masjid. Waktu itu saya singgah untuk solat asar. Ketika menuju ke tempat meletak kasut seusai solat, alamak! Kasut saya telah tiada. Panas! Niat beribadah, akhirnya keluar pula sumpah seranah. Mujurlah pihak masjid bermurah hati meminjamkan seliparnya sebentar, kalau tidak terpaksalah saya berkaki ayam membeli selipar baru di kedai berhampiran.

Kadang-kadang pelik rasanya. Mengapa kerap berlaku kecurian di masjid. Tabung derma dipecahkan, barangan pengunjung dilarikan, sehinggakan ada yang saya dengar sejadah masjid dicuri. Takkan si pencuri mahu menggunakannya untuk sembahyang. Hendak dijual, takkan ada yang mahu membelinya. Saya yakin kecurian di masjid dilakukan oleh orang Islam. Anda tentu setuju dengan kata-kata saya. Mengapa orang Iislam sanggup buat begitu? Bukan mahu memuji, tetapi belum pernah lagi saya mendengar barangan tokong, gereja, atau kuil dicuri. Tetapi di masjid kerap sangat berlaku.

Hmm.. Payohlah, tok ‘dang’ nak mikir, kata orang Terengganu.

Tuesday 3 June 2014

Bapa Mertua Tidak Solat

Soalan:

Ustaz, sejak perkahwinan saya, bapa mertua saya tidak pernah solat. Bagaimana saya nak tegur beliau? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Bismillah,

1. mohon kepada Allah supaya Dia membuka pintu hati bapa mertua saudara, jangan jemu berdoa.
2. Ada ruang tunaikan solat di rumah agar menjadi contoh dan semoga bapa mertua saudara terfikir tentang dirinya yang tidak solat.
3. Jika ada ruang untuk mengajaknya ke majlis ilmu, ajaklah.
4. Jika ada orang yang diseganinya, berbincanglah dengan orang itu, minta dia menyampaikan nasihat kepada mertua saudara.

Wallahu a'lam.

(Sumber: Ilmu dan Ulama)

Sunday 1 June 2014

Cetusan rasa: Tulislah yang baik-baik...

Saat saya memainkan lenggok anak-anak jari di atas papan kekunci untuk memulakan cetusan rasa ini, saya merasa sedikit tidak selesa. Saya tahu ia mungkin akan ditatapi oleh sebilangan orang. Tentu ada yang suka, dan ada pula yang sebaliknya. Ia adalah fitrah kehidupan, kita tidak akan mampu memuaskan hati semua orang. 


Saya bukanlah mahu mengarang sesuatu yang besar. Saya tidak memiliki kemampuan itu . Apalah mahu dibandingkan dengan tulisan ini, hakikatnya tidak sampai separuh debu ilmu di dalam dada.Sebagaimana gahnya tinta para alim ulama, mereka dikurniakan keluasan samudera ilmu. Manakala, saya pula seumpama nelayan perahu kecil yang teroleng-oleng dipermukaannya.

Saya tidak mahu menulis sesuatu yang bukan di dalam pengetahuan saya. Menulis adalah memberitahu tetapi memberitahu semestinya dalam kadar batas yang termampu bersandarkan kepada kebenaran. Saya mengerti, natijahnya amat besar. Kita akan dipertanggungjawabkan setiap apa yang ditulis.Ya, apa yang ditulis akan menjadi satu di antara dua, dosa ataupun pahala. Tidak mungkin ia berlalu begitu sahaja menjadi debu yang berterbangan ditiup angin. 

Realitinya saya hanya mahu mencoret sedikit cetusan yang hadir daripada hati nurani. Namun, saya cuba pastikan di dalamnya tertuang sedikit teladan hidup sebagai nasihat dan panduan. Sesuai dengan prinsip ‘pondok kecil’ ini, “Teladan hidup dalam cetusan rasa”. Kata sang murabbi, al-Ustaz Pahrol Mohd Juoi: “Tulislah yang baik-baik walau diri belum baik, sekurang-kurang itu dapat menyelamatkan kita daripada menulis yang buruk-buruk”. 

Benar, tulislah sesuatu yang baik. Siap tahu, mungkin hasil daripada penulisan kita yang tidak seberapa itu menjadi penyebab hidayah atau perubahan seseorang yang tidak kita kenali dan ketahui siapakah orang itu. dan kita mengetahuinya ketika ia dibuka di hadapan kita pada hari perhitungan amal nanti. Tatkala itu tidakkah kita merasa beruntung dan bertuah? 

Ayuh teman, tulislah yang baik-baik...