Sahabat Sejati

Thursday 31 December 2020

Doakan..

Allah SWT yang menurunkan ujian kepada sesiapa yang dikehendaki, Dia jua yang berkuasa mengangkatnya.
 
Menerima perkhabaran daripada sahabat di bumi Palestin. Mohon sahabat-sahabat memanjatkan doa buat mereka yang sedang diuji. Moga mereka semua diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. 

Monday 21 December 2020

Bagaimana Keadaan Manusia Ketika Tiupan Sangkakala?

Hal ini telah diterangkan dalam al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ 

Maksudnya: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. Surah al-Hajj (1-2) 

Ibn Kathir berkata: Ditiupkan dengan tiupan yang menakutkan sedangkan manusia berada di pasar-pasar mereka dengan kehidupan harian mereka, saling bertengkar dan bergaduh sepertimana adat mereka. Tiba-tiba Allah SWT memerintahkan Israfil untuk meniupkan sangkakala dengan panjangnya. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali mendengar suara tempikan yang kuat sehingga kepala mereka terdongak ke atas langit. Kemudian semua manusia dipandu ke mahsyar dengan api yang mengelilingi mereka dari segenap penjuru. 

Firman Allah SWT:

 فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ 

Maksudnya: “Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya. Surah Yasin (50) 

Kemudian ditiupkan sangkakala kedua yang mematikan semua yang hidup kecuali tinggallah Allah, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Kemudian, ditiup dengan tiupan kebangkitan setelah itu. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 3/165) 

Al-Maraghi berkata: “Wahai sekalian manusia, takutlah kepada seksaan Allah SWT, taatlah dan janganlah kamu menderhakai-Nya, kerjakan segala kewajipan yang diperintahkan kepada kamu dan tinggalkan segala perkara haram yang dilarang melakukannya. Khitab ayat ini ditujukan kepada mukallaf yang ada pada ketika ia diturunkan, juga kepada generasi mukallaf yang akan lahir selepas mereka sehingga ke hari kiamat. Kemudian Allah SWT mengemukakan beberapa faktor mengapa mereka diperintah untuk takut kepada seksaan-Nya. 

Akibat goncangan yang terjadi ketika berlakunya hari kiamat, sebelum manusia dibangkitkan dari kuburnya. Maka ia dianggap kejadian yang amat dahsyat dan bahaya yang begitu besar; tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat, kecuali Tuhan yang mengadakannya. 

Jika goncangan itu tidak dapat ditanggung oleh manusia, lantas apa yang terjadi pada mereka saat itu, seperti manusia dihimpunkan pada hari pembalasan dan hari penghisaban untuk menghitung segala amalan oleh Allah Yang Maha Tahu segala isi bumi dan langit, walaupun sebesar zarah. Kemudian Allah menghuraikan beberapa pemandangan yang menakutkan pada hari itu. 

Kemudian digambarkan pada hari kiamat itu tentang manusia yang berada dalam kegoncangan, kebingungan dan kelalaian yang telah mencapai ke puncaknya. Sehinggakan ibu yang sedang menyusukan anaknya lalai terhadap anak yang sedang disusunya, padahal anak itu merupakan sesuatu yang merupakan paling berharga kepadanya. Bayangkan bagaimana seorang ibu lalai terhadap anaknya? 

Manakala setiap wanita yang hamil akan mengalami keguguran iaitu janin yang di dalam rahimnya gugur sebelum tibanya waktu bersalin kerana takut terhadap hari kiamat. Al-Hasan ada mengatakan bahawa wanita yang menyusukan anaknya leka hingga berhenti daripada menyusui anaknya, manakala wanita hamil pula telah gugur kandungannya sebelum tiba waktunya melahirkan. 

Pada hari itu, kamu dapat melihat manusia seolah-olah mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Tetapi keadaan itu berlaku kerana azab yang amat dahsyat sehingga akan mereka menjadi tidak sedar dan tidak mampu membezakan di antara yang batil dengan yang benar. Kelalaian ibu yang sedang menyusui dan keguguran kandungan wanita yang sedang hamil boleh jadi dimaksudkan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan dahsyatnya apa yang berlaku pada hari itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4516-1518) 

Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dimulakan surah ini dengan ancaman dan penerangan secara umum yang membayangkan suasana dahsyat yang tidak dapat diungkapkan. Ia hanya mengatakan satu kejadian gempa dan kejadian gempa itu adalah suatu peristiwa yang amat besar tanpa memberi sesuatu penentuan dan sesuatu takrif. 

Kemudian barulah dijelaskan dan ternyata bahawa kejadian itu lebih menakutkan dan mengerikan dari semata-mata ancaman. Ia menayangkan satu pemandangan yang melibatkan setiap ibu penyusu yang lupa anak susuannya. Dia melihat tetapi tidak nampak dan dia bergerak tetapi tidak sedar, juga melibatkan setiap ibu hamil yang keguguran anak kandungannya kerana terlalu ngeri dan takut, dan seterusnya ia melibatkan seluruh manusia yang kelihatan dalam keadaan mabuk, tetapi mereka sebenarnya tidak mabuk. 

Keadaan mabuk mereka dapat dilihat dengan jelas pada pandangan-pandangan mata mereka yang terpinga-pinga dan pada langkah-langkah mereka yang terhuyung-hayang. Ia merupakan satu pandangan yang penuh sesak dengan perhimpunan manusia yang berasak-asak, yang hampir-hampir ternampak kepada pandangan mata di saat membaca ayat ini. Dan dapat dihayati sepenuhnya oleh daya khayal. 

Kedahsyatan peristiwa itu menyebabkan seseorang itu menjadi lupa, kebingungan dan tidak sampai ke mana-mana. Ia merupakan satu peristiwa dahsyat yang tidak dapat diukur dengan saiz besarnya, tetapi dapat diukur dari kesan-kesannya yang dahsyat pada jiwa manusia iaitu pada hati ibu-ibu penyusu yang lupakan anak-anak susuan mereka, sedangkan seseorang ibu penyusu tidak lupakan anak susuannya yang sedang menyusu melainkan apabila dia berada dalam keadaan terlalu takut, yang menghapuskan segala saki-baki kesedarannya. Kesan-kesannya yang dahsyat itu juga dapat dilihat pada hati ibu-ibu hamil yang keguguran anak-anak kandung mereka dan pada hati manusia yang kelihatan mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/127-128) 

Berdasarkan apa yang telah kami huraikan di atas, hendaklah setiap dari seorang muslim itu beriman dan percaya bahawa akan berlakunya tiupan sangkakala ini seperti yang telah tsabit di dalam al-Quran dan hadith. 

Beriman dengan hari kiamat ini hendaklah disertakan bersama dengan amalan-amalan soleh untuk kita menghadapinya. 

Semoga kisah-kisah berkaitan dengan hari kiamat ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Amin.

Sunday 20 December 2020

Selagi ada..

Selagi ada nyawa, selagi ada hela nafas. 

Selagi ada ruang menabur bakti. 

Tuhan menyaksikan, moga diberkati..

Saturday 19 December 2020

Peristiwa Tiupan Sangkakala

Tiupan sangkakala ini telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:

 وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ 

Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah - gerun gementar - makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh. Surah al-Naml (87) 

Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul, ingatkanlah kepada mereka keadaan yang amat mengerikan ketika sangkakala ditiup. Saat itu, semua makhluk yang ada di langit dan di bumi berada dalam ketakutan melihat hari kebangkitan dan hari dikumpulkan seluruh makhluk kecuali orang yang mempunyai hati yang teguh terhadap Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/5085) 

 Perkataan الصُّور yang disebutkan di dalam ayat ini telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda saw yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:

 جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ "‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏"‏ 

Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi saw, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.” Riwayat al-Tirmizi (2430) 

Sebahagian ulama’ menafsirkan tanduk dengan terompet. Para ulama’ berpendapat, alat tiupan tersebut ditaklifkan kepada malaikat Israfil untuk meniupkannya tanpa diketahui kadar besarnya alatan tersebut. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 78) 

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368) 

Malaikat Israfil sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT sejak detik penciptaan lagi. Hal ini telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hulaimi secara ijma’. Begitu juga berdasarkan hadith Wahab bin Munabbih yang menyebut secara nyata. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 79) 

Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’, iaitu: 

Pertama, tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali. 

Kedua, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya:

 وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ 

Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). Surah al-Zumar (68) 

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat di atas berkata: Ibn Abbas r.anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama ialah ketikamana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27) 

Kemudian, perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

 مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ ‏"‏‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً‏.‏ فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ 

Maksudnya: “Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah SWT menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.” Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955) 

Imam al-Nawawi mengatakan sebab Abu Hurairah ra mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. (Lihat al-Minhaj, 18/91) 

Baginda Nabi saw turut mengkhabarkan bahawa Baginda adalah orang pertama yang akan dibangkitkan pada tiupan yang kedua, seperti yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda:

 إِنِّي أَوَّلُ مَنْ يَرْفَعُ رَأْسَهُ بَعْدَ النَّفْخَةِ الآخِرَةِ 

Maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang terawal yang mendongak kepalaku setelah tiupan yang terakhir” Riwayat al-Bukhari (337) 

Al-Qastalani menyebut: Hadis di mana Rasulullah saw mendapati Nabi Musa sedang bergantung di Arasy maka sabda Nabi, aku tidak ketahui adakah keadaan itu berlaku sebelum dia mati ketika tiupan pertama atau dia masih hidup selepas tiupan kedua sebelumku. Inilah yang dinyatakan oleh al-Karmani. Al-Dawudi berkata sebagaimana dihikayatkan daripada al-Safaqisi ucapannya, adakah demikian itu hingga akhir adalah waham. Ini kerana Nabi Musa telah dikuburkan dan akan dibangkitkan selepas tiupan. Maka bagaimana mungkin berlaku sebelumnya. Lantas dijawab bahawa hadis Abi Hurairah yang terdahulu berkenaan beberapa orang, maka manusia semua mati pada hari Kiamat dan aku juga mati bersama mereka kecuali akulah orang yang pertama bangkit. Maka didapati Musa memegang di tepi Arasy. Aku tidak ketahui sama ada dia juga mati dan bangkit sebelumku atau termasuk di kalangan yang dikecualikan oleh Allah. Perkataan sa'iq dimaksudkan dengan pengsan tatkala mendengar suara atau melihat sesuatu yang menggerunkan. Dan inilah yang berlaku dengan jelas berdasarkan riwayat ini berkaitan jaga atau sedar selepas tiupan kedua. (Lihat Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/30) 

Sebahagian ulama’ berpendapat, tiupan sangkakala sebanyak tiga kali. Antaranya Ibn al-‘Arabi dan Ibn Kathir. Mereka menghujahkan nas:

 وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ 

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah - gerun gementar - makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah.” Surah al-Naml (87) 

Ayat ini menunjukkan tiga tiupan: 

- Tiupan al-faza’ 
- Tiupan al-sa’iq 
- Tiupan al-ba’s 

Akan tetapi, hadis-hadis menunjukkan secara nyata bahawa ia dikira dengan dua tiupan sahaja iaitu tiupan al-Sa’iq (tiupan mematikan) dan keduanya tiupan al-Ba’s (tiupan membangkitkan manusia) daripada kubur. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 80) 

Siapakah yang Dikecualikan oleh Allah Daripada Menerima Kematian Ketika Tiupan Sangkakala? 

Para ulama’ telah khilaf, siapakah yang dikecualikan oleh Allah kepada beberapa pendapat: 

Imam Ahmad berpendapat, mereka yang di dalam syurga dari kalangan bidadari dan al-wildan. Sebahagian muridnya menambah, penjaga syurga iaitu Ridhwan dan penjaga neraka, iaitu Malik. 

Muqatil dan sebahagian ulama’ berpendapat, mereka adalah Jibril, Mika’il, Israfil dan Malakul Maut. Sebahagian mereka menambah, malaikat yang menanggung Arasy. 

Abu al-Abbas al-Qurtubi memberi pendapat yang berlainan dengan katanya: Dikehendaki (dengan yang dikecualikan ialah) semua orang yang telah mati kerana mereka tiada kesan dan rasa. Justeru, mereka tidaklah ada lagi kematian ketika itu. 

Tarjih: Imam al-Qurtubi berpendapat dengan menukilkan pandangan gurunya Abu al-Abbas, bahawa yang sahih adalah tiada sebarang nas yang sahih yang menentukan mereka yang terselamat daripada tiupan sangkakala dengan kebinasaan. Semua nas menunjukkan sifat muhtamal (andaian). (Lihat al-Tazkirah oleh Imam al-Qurtubi, hlm. 167)

Friday 18 December 2020

Hanya berkongsi kegembiraan..

Assalamualaikum, salam Jumaat yang diberkati.

Sudah tiga hari hujan turun mencurah-curah. Matahari tidak kelihatan, kalau muncul pun sekadar malu-malu mengintai disebalik awan hitam yang menampung air. 

Ketika saya menaip ini pun hujan masih mencurah-curah. Lebatnya boleh tahan. Bunyi bising hujan yang amat memukul atap amat membingitkan. Tetapi tetapi telinga saya menyambutnya dengan perasaan damai.  

Di dalam group whatsapp 'Khidmat Malaysia Kawasan' ada laporan mengatakan terdapat tempat yang telah dinaiki air. Tentunya ia amat menggusarkan. Namun keadaannya masih lagi terkawal. Walaupun begitu kami mengambil sikap sentiasa bersiap siaga jika terdapat sebarang kemungkinan.  

Dalam kegusaran memikirkan keadaan hujan yang tidak menampakkan tanda-tanda mahu berhenti, di hari Jumaat yang berkat ini, saya menerima satu berita yang menggembirakan. Sedikit sebanyak meredakan perasaan.

Saya kongsikan berita tersebut. Ianya dihantar oleh seorang yang berpangkat ayah saudara kepada saya. Dalam beberapa tahun kebelakangan sudah banyak makam nenek moyang kami berjaya ditemukan melalui hasil kajian, siasatan dan sebagainya dengan bantuan waris-waris serta catatan-catatan sejarah. 

Mudah-mudahan lebih banyak lagi makam nenek moyang kami dapat ditemukan dan dikenalpasti, dengan izin-Nya.

Alhamdulillah.

p/s: Hanya satu perkongsian kegembiraan bersama sahabat-sahabat, tiada apa-apa niat selain itu.

18/12/2020

PENEMUAN BATU NESAN TUN MAS DEWI. 

Penemuan makam Tun Mas Dewi binti Tun Abdul Majid Bendahara Pahang TM1770-1802, berserta makam suaminya Syed Abdul Rahman bin Syed Abdullah al-Habsyi, lokasi makam diRaja Kg.Marhum, Kuala Pahang, Pekan, Pahang Darul Makmur. (Di luar makam berbumbung, berhampiran katil besi, dulu masih ada sekarang dah tiada). 

Tok Penghulu Pekan 1, Syed Mohd Redzuan bin Syed Hashim Tok Bijaya diRaja, merupakan waris keturunan ini, semasa beliau remaja sekitar tahun 1980an, beliau telah dibawa ziarah ke makam oleh ayahanda beliau Syed Hashim, Tok Bijaya diRaja, semalam beliau kembali semula ziarah ke makam ini, semasa dulu batu nesan tersebut tinggi paras perut, dan satu-satunya batu nesan yang berwarna merah yang ada di situ, tapi kali ini beliau datang batu nesan ini telah berubah wajah 100%, menjadi seperti dalam foto di skrin, dan batu nesan tersebut tinggal satu saja, lagi satu dah hilang. 

Di hujung kaki makam Tun Mas Dewi terletaknya makam suaminya Syed Abdul Rahman al-Habsyi. Hasil perkahwinan mereka berdua telah melahirkan ramai keturunan syed al-Habsyi yg menetap sekitar Bandar Pekan diRaja, Pulau Manis, Lanchang. Semoga status saya ini dapat menarik perhatian keturunan ini dapat berkumpul hadir ke makam ini beramai-ramai untuk diadakan majlis tahlil (setelah keadaan pulih seperti biasa). 

Jua semoga keturunan Wan Berengku + Syed al-Habsyi akan lebih bersatu hati mengeratkan tali silaturahim, dapat update carta salasilah keturunan. 

Tun Mas Dewi adalah adik-beradik Tun Mohamad Marhum Mangkat di Laut, Bendahara Pahang TM1802-1803,  Tun Koris Bendahara Pahang TM1803-1806, dan ada lagi adik-beradiknya yang lain iaitu Bendahara Muda Tun Abdul Mutalib, Tun da (Yusuf) Pedah, Tun Selamah, Engku Puan Tun Putih.  

Jalur Keturunan: Tun Mas Dewi binti Bendahara Tun Abdul Majid ibni Bendahara Tun Abbas ibni Sultan Abdul Jalil IV Riayat Shah (Marhum Kg.Marhum, Pekan). 

Foto ini dirakamkan oleh waris kami Syed Mohd Redzuan bin Syed Hashim pada hari semalam

Disunting oleh, 
Wan Johari bin Wan Mahmud 
*Penyelaras & Penyusun Salasilah Keturunan Wan Berengku Pahang 
*Ahli Badan Kebajikan Kerabat Kerabat Negeri Pahang 
*AJK Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang, No.Ahli: C0352 
Masa: 3.08pm 

#alFatihahBuatSelilahTokMoyang

Wednesday 16 December 2020

Monday 14 December 2020

Beriman kepada Hari Kiamat

Beriman kepada hari Akhirat merupakan salah satu rukun dari rukun iman, dan salah satu ‘aqidah dari ‘aqidah Islam yang asas. Ini kerana masalah kebangkitan pada hari akhirat merupakan landasan berdirinya ‘aqidah setelah permasalahan keesaan Allah SWT. 

Beriman kepada terhadap segala perkara yang berlaku pada hari Akhirat dan tanda-tandanya merupakan keimanan terhadap perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal, dan tidak ada jalan untuk mengetahuinya kecuali melalui nas Ilahi atau Nabawi. 

Betapa pentingnya hari yang agung ini, kita dapati (di dalam al-Quran) bahawa Allah SWT kerap kali menghubungkan iman kepada-Nya dengan beriman kepada hari Akhirat. (Lihat Asyrat al-Sa’ah (terj.), oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 17-19) 

Beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun Iman serta dituntut oleh Allah SWT melalui firman-Nya: 

 لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ 

Maksudnya: Bukanlah perkara kebaikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat.” Surah al-Baqarah (177) 

Maka, hari kiamat itu akan terjadi setelah kesemua tanda-tandanya muncul dan apabila Allah SWT menitahkan malaikat-Nya untuk meniupkan sangkakala yang akan mematikan seluruh makhluknya.

Friday 11 December 2020

Rehat Minda: Pesan Murabbi 125

Salam Jumaat

Pujuklah diri..

sumber foto

Assalamualaikum warahmatullah, salam Jumaat yang diberkati.

Jangan meremeh-remehkan amal kebaikan yang mungkin pada mata kasar kita amalan itu kecil. Pujuklah diri untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain. Usah berfikir panjang untuk melakukan kebaikan. Peluang untuk melakukan kebaikan terbentang luas di depan mata kita. 

Setiap hari daripada bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur, pasti banyak peluang untuk melakukan kebaikan. Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…” (Surah al-Israk, ayat 7)


 عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ 

Daripada Abu Dzar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Janganlah engkau meremehkan apa-apa kebaikan sedikitpun walaupun sekadar menunjukkan muka yang manis semasa bertemu saudaramu.” (HR Muslim)


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَتَقَلَّبُ فِي الْجَنَّةِ فِي شَجَرَةٍ قَطَعَهَا مِنْ ظَهْرِ الطَّرِيقِ كَانَتْ تُؤْذِي النَّاسَ 

Dari Abi Hurairah RA dari Nabi SAW, Baginda telah bersabda : “Aku telah melihat seseorang yang bersenang-senang di dalam syurga kerana dia telah membuang kayu di jalanan yang menganggu orang yang lalu” (HR Muslim)


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ غُفِرَ لِامْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ فَنَزَعَتْ خُفَّهَا فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا فَنَزَعَتْ لَهُ مِنْ الْمَاءِ فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ 

Dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah SAW , Beliau bersabda ; “Seorang wanita pelacur telah mendapatkan keampunan. Dia melewati seekor anjing yang menjulurkan lidahnya di tepi perigi. Anjing ini hampir saja mati kehausan, (melihat ini) si wanita pelacur itu melepas sepatunya lalu mengikatnya dengan penutup kepalanya lalu dia mengambilkan air untuk anjing tersebut. Dengan sebab perbuatannya itu dia mendapatkan ampunan dari Allah Azza wa Jalla." (HR Bukhari) 


 بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنْ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ بِي فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا فَقَالَ نَعَمْ فِي كُلِّ ذَاتِ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ 

Ketika seorang lelaki berjalan dalam sebuah perjalanan dia merasa sangat kehausan lalu dia mendapati sebuah perigi. Dia turun ke perigi itu lalu minum dan setelah itu keluar. Saat itu, tiba-tiba dia melihat seekor anjing yang menjulurkan lidahnya menjilat debu karena sangat haus. Si lelaki itu berkata, “Anjing ini sangat kehausan sebagaimana yang telah aku rasakan.” Lalu dia turun lagi ke perigi, memenuhi salah satu sepatunya dengan air lalu dia menggigitnya dengan mulutnya (supaya dapat naik) dan memberikan minum kepada anjing tersebut. Kemudian Allah Azza wa Jalla berterima kasih kepadanya (maksudnya Allâh menerima amal perbuatan orang ini) dan Allah Azza wa Jalla mengampuni dosanya. Para sahabat RA bertanya, “Wahai Rasulullah SAW apakah kita akan mendapatkan pahala pada binatang ternak ?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya, pada setiap yang bernyawa ada pahala.” (HR Bukhari dan Muslim)

Belajarlah menghargai kebaikan walau sekecil manapun dan dilakukan oleh sesiapa pun. Moga hadis-hadis ini dapat mengetuk hati nurani..

Thursday 10 December 2020

Memakai tangkal untuk menghalang kejahatan

foto hiasan ~ sumber

Soalan:

Bolehkah mengunakan memakai tangkal untuk menghalang kejahatan atau hasad dengki manusia? 

Jawapan:

Di zaman permulaan Islam amalan memakai tangkal digunakan ramai masyarakat jahiliyyah. Raslullah saw telah mengharamkan pengunaan tangkal dan menggantikan dengan pengunaan ayat al-Quran dan doa, khususnya memohon daripada Allah SWT menghindari dari sesuatu yang tidak diingini. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya, juzuk ke 4 halaman 156 disebut hadis yang mafhumnya, "Sesiapa yang menggantung tangkal, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik.

"Hadis ini merupakan hadis umum. Berlaku suatu ketika apabila sahabat-sahabat menerima ayat al-Quran daripada Rasulullah saw, diamalkan untuk menghindari ganguan, menulis ayat tersebut dikertas dan menggantungkan kepada anak-anak mereka yang belum boleh membaca al-Quran.Bila dirujuk kepada Rasulullah, baginda tidak melarangnya. 

Ada sebahagian pendapat jika tangkal tersebut diperbuat daripada ayat-ayat al-Quran, maka ia diharuskan. 

Pandangan ulama-ulama muktabar yang dipetik daripada Kitab al-Fatawa az-Zahabiyyah (Fatwa-fatwa yang amat berharga) pada halaman 253 bagi soalan seperti dikemukakan ini, dijawab bahawa, "Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah SWT untuk dijadikan tangkal, maka ulama-ulama berselisih pendapat di kalangan ulama-ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya, dengan syarat-syarat khusus. 

Yang paling sahih, bahawasanya penggunaan tangkal-tangkal sama ada al-Quran atau tidak, dilarang dalam hadis-hadis terdahulu. Tentang keharusan yang Rasulullah berikan kepada beberapa orang sahabat, itu adalah pada permulaan Islam. Apabila iman sudah tertanam dalam diri dan untuk mengelak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, maka, dilarang sama sekali penggunaan tangkal, walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana, 

1- mencegah daripada keburukan yang lebih besar

2- menjaga kesucian al-Quran dari terbawa dalam tandas

3- membulatkan keyakinan bahawa Allah Taala sahaja yang melindungi manusia daripada segala-galanya"

Wallahua`lam.

Tuesday 8 December 2020

Dahsyatnya goncangan

foto hiasan ~ sumber

Allah SWT berfirman: “Hai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya goncangan hari kiamat adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). Pada hari (ketika) kamu melihat goncangan itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.” (al-Hajj: 1-2) 

Tidakkah menimbulkan kegerunan di hati tatkala mendengar firmah Allah ini. Menerusi ayat 1-2 dari surah al-Hajj ini Allah SWT menceritakan tentang peristiwa besar iaitu kiamat. Allah SWT menyeru kepada semua manusia agar bertaqwa kepada-Nya, diikuti dengan penegasan dengan kalimah: Sesungguhnya (Inna) peristiwa kiamat sangat dahsyat.

Goncangan pada hari tersebut (Kiamat) itu amatlah dahsyat sehinggakan manusia tidak dapat berdiri tegak. Dan goncangan itu akan berterusan tidak berhenti. (Dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah disebut selama 40 - Wallahua`lam samada ia bermaksud hari, bulan atau tahun) 

Tentunya ini tidak sama seperti gempa bumi kerana gempa bumi hanya berlaku sekejap sahaja (beberapa saat) tetapi pada hari Kiamat nanti gempa bumi itu akan berterusan sampailah bumi ini hancur. Bayangkan beberapa saat sahaja bumi ini dilanda dengan gempa bumi berapa banyak kerosakan yang dilakukannya? Tetapi kalau goncangan itu tidak berhenti, bagaimana? Tentu akan hancur sehancurnya bumi ini dan memang itulah yang akan terjadi.  

Buya Hamka menyebut di dalam Tafsir al-Azhar: “Demikianlah Allah menggambarkan kedahsyatan pada hari tersebut. Perhatikan bagaimana kasih sayang yang tergambar pada wajah seorang ibu ketika menyusukan bayinya. Seluruh kasih sayangnya tertumpah kepada anak yang sedang disusukan. Begitulah seluruh perasaan setiap ibu di muka bumi ini. Namun tatkala datangnya goncangan kiamat yang dahsyat itu, anak yang sedang enak menyusu boleh sahaja terlepas dari tangannya. Kerana ketakutan menghadapi goncangan hari kiamat tersebut melebihi dari kecintaan kepada anaknya. Begitu juga dengan wanita yang hamil yang gugur kandungannya kerana amat terkejut. Bagaimana tidak terkejut, jika rumah tempat tinggal berantakan runtuh. Pohon-pohon kayu yang besar gagah terhayun-hayun. Termasuk bumi yang memuntahkan isinya. Bagaimana tidak terkejut?” 

Disebabkan gegaran yang sangat dahsyat itu juga, seluruh makhluk yang berada di atas muka bumi bertempiaran ke sana-ke mari. Mereka terhoyong-hayang bagaikan orang mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. Sebaliknya peristiwa yang berlaku dengan gegaran yang kuat dan dahsyat itu amat mengejutkan, laku mereka tidak dapat berfikir dengan sempurna dan kebingungan persis orang yang sedang mabuk. 

Demikianlah gambaran kiamat. Meskipun gambarannya itu tidak mungkin dilihat dengan mata kepala, tetapi melalui firman-firman Allah SWT di dalam kitab-Nya akan membuka mata hati agar beriman kepada hari kiamat dengan sebenar-benarnya. Kepada Allah jua kami memohon perlindungan. 

“Sesungguhnya hari kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (terhadap hari akhirat).” (al-Ghafir: 59)

Monday 7 December 2020

Hari lahir anak syurga..


Selamat hari ulangtahun kelahiran duhai anak syurga pada hari ini. Terlalu banyak kenangan yang telah tercipta saat membesarkanmu.

Memoir silamku di tahun-tahun awal kelahirannya menari-nari diminda tuaku. Ada suka dan duka, ada manis dan jerih serta capek kelelahan bergaul sebati. Semuanya telah menjadikan diriku semakin kuat dalam menongkah terowong kehidupan. Benar-benar anak ini satu anugerah yang tidak ternilai. 

Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak abi dan ummi ke syurga Ilahi yang abadi.

Ameen ya Rabb..

Sunday 6 December 2020

Tamatlah riwayatnya..


Alamak, patah! 

Cermin mata ‘sikecil Haikal yang istimewa’ patah. Terjatuh katanya si anak perempuan saya. Entah macamana boleh terlucut daripada telinganya sehingga jatuh. Mahu bertanya kepada anak syurga ini memang tiada jawapannya. 

Alhamdulillah, mujur juga kantanya tidak pecah. Jika tidak terpaksalah membikin yang baru. 'Power' kantanya pula tinggi bukan kepalang. Terpaksa ditempah khas.

Mahu menggunakan cermin mata lama memang sangat tidak sesuai. Cermin mata pertamanya itu sudah tidak sepadan dengan saiz mukanya yang semakin membesar. Kasihan pula melihat sikecil Haikal yang istimewa. Terbekas rona sayu diwajahnya.  

Mahu tidak mahu terpaksalah saya mengubahsuai buat sementara waktu. Mahu ke kedai cermin mata nampaknya belum ada kesempatan hari ini. Harap-harap Haikal suka.

'Pakai dulu buat sementara'


'Dating' kejap..

Alhamdulillah, hujung minggu ini tiada apa-apa aktiviti. Keluar kawasan pun tidak. Jadi, waktu yang terluang yang jarang-jarang sekali diperolehi, maka saya gunakan sepenuhnya untuk keluarga.

Cuaca mendung dengan hujan yang turun sesekali lebat, tidak menghalangi saya keluar 'dating' bersama Ummu Ikhwan dengan ditemani anak-anak. Jangan banjir sudahlah! 

Jika diikutkan saya perlu menyertai misi ke daerah Raub iaitu menghantar bantuan kepada mangsa banjir, kemudian meneruskan perjalanan ke tanah tinggi Cameron untuk program penyerahan bantuan kepada asnaf bersama Yadim.

Namun, atas alasan Covid-19, perjalanan dibatalkan. Maklumlah, daerah kami telah pun ada kes baru semalam. Kami tidak mahu mengambil apa-apa risiko atau apa-apa kemungkinan yang boleh berlaku. 

"Serah kepada wakil di sana untuk menguruskan," beritahu pengerusi.

Apalagi, 'dating'lah sekali-sekala. 

Saturday 5 December 2020

Doakan sahabat saya..

 Assalamualaikum warahmatullah dan salam Jumaat yang diberkati.

Hari ini menerima khabar 'hitam' nun jauh di bumi Gaza. 

Sahabat saya, Ustaz Nadir memaklumkan ahli keluarganya disahkan positif Covid-19. Sahabat saya ini, setahu saya satu-satunya rakyat Malaysia yang bermastautin di bumi barakah Al-Quds.

Ustaz Nadir, seusai bergraduat di al-Azhar, memutuskan untuk tinggal di sana, tidak berapa lama selepas itu mengambil keputusan untuk memasuki Gaza bagi melakukan kerja-kerja amal membantu rakyat Palestin. Kemudian menikahi seorang balu syuhada Hamas yang terkorban akibat bedilan regim zionis. Dengan cara ini menjadikannya lebih mudah untuk bergerak bebas di sana.

Balu tersebut telah pun mempunyai dua orang anak lelaki yang sedang meningkat remaja semasa dinikahi. Mulia sungguh hati sahabatku ini. Pernah sekali Ustaz Nadir membawa anak tirinya ke Malaysia beberapa tahun yang lalu. 

Selain bertindak menguruskan bantuan untuk rakyat Palestin, katanya sekarang ini beliau juga sedang mengikuti kursus bahasa Hebrew. Selamat maju jaya Ustaz Nadir. Mungkin satu-satunya anak Malaysia yang mengikuti kursus tersebut.

Tidak keterlaluan saya katakan, sahabat inilah yang banyak membantu urusan kami, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang dalam menyalurkan bantuan di bumi Gaza. Sumbangan dan infaq daripada rakyat Malaysia dialah yang menguruskannya.   

Sumbangan untuk pembinaan telaga tiub, sumbangan kit Ramadhan, program Dapur Rakyat untuk Gaza, iaitu program makanan untuk penghuni pusat kuarantin Covid-19, sumbangan bekalan peralatan hospital termasuk ubatan dan banyak lagi.

Justeru. di hari Jumaat yang berkah ini, saya mengajak sahabat-sahabat semua untuk turut sama mendoakan keluarga ustaz Nadir al-Nuri agar tabah dalam menghadapi ujian ini serta beroleh kesembuhan yang tiada kesakitan lagi selepasnya.  

Di antara wira yang tidak didendang, bagi saya selayaknya dialah.

Allahu al-Musta`an.