Sahabat Sejati

Monday 31 March 2014

Pengubat rindu 'si kecil' Haikal

Cuti sekolah telah pun berakhir. Hari ini para pelajar mula kembali ke sekolah untuk memulakan sesi persekolahan yang baru. Anak-anak saya pun sama, semuanya telah pun pulang ke asrama semalam. Along pulang ke Jerantut, manakala angah kembali ke asramanya di Kemaman. Sunyi sedikit rumah dengan ketiadaan mereka. Jika tidak mereka yang rajin melayan adik-adik terutama si ‘kecil’ Haikal. Insya-Allah, cuti akan datang mereka berdua akan pulang semula.

'Si kecil Haikal dan along'

Seperti biasa sehelai baju along yang belum dibasuh akan di’standby’ sebagai pengubat rindu kepada Haikal. Begitulah kebiasaannya, setiap kali along balik ke asrama, si kecil Haikal akan merengek susah tidur kerana teringatkan alongnya. Walaupun tidak lama sekadar beberapa jam sebelum tidur, tetapi rimas juga dengan rengekannya yang serba tidak kena.

Oleh sebab itu, saya menggunakan petua orang dulu-dulu iaitu dengan memberinya baju along yang belum dibasuh. Alhamdulillah, setakat ini ia menjadi. Sebak juga melihatnya memeluk dan mencium baju alongnya sehingga tertidur. 

Teringat kata-kata guru semasa saya belajar dahulu berkenaan perkara ini. Menurutnya, tidak salah melakukannya berdasarkan kepada satu kisah di dalam al-Quran. Yalah, bimbang juga jika ada orang kata macam-macam. Karutlah, khurafatlah, bidaahlah dan sebagainya.

Firman Allah SWT:
“Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya. Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya). Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama. Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Yusuf: 93 – 96)

Sebahagian ulama berkata Nabi Yaakub tidak bertemu dengan Nabi Yusuf selama 40 tahun, ada pula yang berkata selama 83 tahun. Tetapi Nabi Yaakub tidak pernah berputus asa. Nabi Yaakub berpaling dari anak-anaknya dan berkata seorang diri “sedihnya mengenangkan Yusuf”. Nabi Yaakub sayang sangat kepada Nabi Yusuf, kata ulama sebabnya Nabi Yusuf ini sangat soleh, patuh, taat, akur, tidak membantah sedikit pun.

Kerana terlalu sedih, sampai hilang mata hitam Nabi Yaakub (buta) sebab menangisi kehilangan Nabi Yusuf. Dipendekkan cerita, memberikan bajunya kepada abang-abangnya supaya diletakkan ke muka ayahnya, Nabi Yaakub. Tatkala sampainya anak-anak Nabi Yaakub, mereka meletakkan pakaian Nabi Yusuf ke muka ayah mereka, dengan izin Allah terus celik mata Nabi Yaakub. Itulah mukjizat Nabi Yusuf yang Allah kurniakan. Akhirnya bersatulah semula kesemua ahli keluarga Nabi Yaakub yang terpisah.

Mungkin berdasarkan kisah dan ayat ini, lalu datuk nenek kita mempraktikkannya dalam kehidupan mereka. Alhamdulillah, mujarab.

Kuliah Maghrib Multimedia oleh al-Fadhil Ustaz Suhaimi Saad

Kepada yang berdekatan, dijemput menghadiri kuliah maghrib multimedia yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Suhaimi Saad. 

Kuliah maghrib yang bertajuk "GOLONGAN ANTI HADIS DAN ANTI AL-QURAN" akan diadakan pada 31 mac 2014 bertempat di Masjid Qaryah Balok, Kuantan. Seperti biasa al-Fadhil Ustaz Suhaimi Saad akan menggunakan alat bantu siaraya untuk lebih memberikan lebih pemahaman dan pencerahan.

Jangan Lupa!

 

Saturday 29 March 2014

Kami cuma nak tolong!


"Kertas apa pula ni?" saya berkata seorang diri seraya mengambil kertas putih bersaiz A4 di dalam raga motosikal. 

 Kebetulan saya ke bandar Kuantan atas suatu urusan, jadi alang-alang sudah di bandar, saya terus lajak ke Terminal Sentral Kuantan untuk membeli tiket bas anak saya yang mahu balik ke sekolahnya pada hari Ahad ini. Seusai membeli tiket, saya menapak ke motosikal dan mendapati ada sekeping kertas di dalam raga motosikal. 

Saya amati kertas tersebut. Rupa-rupanya ia adalah iklan membantu menyelesaikan masalah kewangan oleh seseorang yang digelar "tok guru." Tersenyum sinis saya membaca tajuk besar yang tertera. Ada lagi rupanya iklan sebegini setelah sekian lama saya tidak melihatnya. Saya dapati kesemua raga motosikal yang ditempatkan di tempat meletak motosikal Terminal Sentral Kuantan juga terdapat kertas yang sama seperti di tangan saya. 

Saya melihat-lihat di sekeliling mencari siapa yang meletakkannya. Hendak juga saya memulangkannya semula dan katakan kepadanya, "orang Islam haram beli nombor ekor." Tetapi, saya tidak melihat kelibat siapa-siapa.


"WAT XXXX. Nasib yang malang bukannya pilihan kita, tetapi nasib boleh diubah! 

Segala masalah tidak akan selesai dengan berfikir sahaja. Peluang dan tuah tidak akan datang bergolek, tetapi kita harus berusaha merebutnya sendiri. Perlukan bantuan dan nasihat, anda boleh hubungi atau SMS ................. 

Risalah ini bertujuan hanya untuk orang yang perlu ditolong, tidak ada sebarang paksaan atau bermaksud untuk menyinggung mana-mana pihak atau agama.” 

Wah, cantik sungguh ayat pujukannya. Disertakan juga testimoni seseorang yang telah pun berjaya. Disebutkan orang ini mengalami masalah kewangan yang kritikal. Sama seperti saya, dia mendapat risalah yang diletakkan di atas motosikalnya. Lalu dia pun menghubungi "tok guru" lalu nasibnya disemak dan "tok guru" memberinya nombor ekor. Tak disangka nombor tersebut mendapat hadiah pertama. Dengan hadiah tersebut dia tidak lagi dibelenggu masalah kewangan dan telah pun menderma sebahagian wang hadiah itu kepada Wat xxx tersebut. 

Begitulah pengakuannya. 

Ohh, rupa-rupanya nak menolong dengan memenangi hadiah nombor ekor. Tetapi pelik juga, mengapa tidak "tok guru" sendiri yang membeli nombor tersebut atau bagi nombor itu kepada kaum keluarganya atau kawan-kawan rapatnya. Bukankah itu lebih menguntungkan, betul tak? 

Sebenarnya, sebelum ini sudah tiga kali saya memperolehi risalah seperti ini. Tiada kelainan dari segi isi kandungannya dengan yang ini. Cuma, bezanya dulu ia dihantar melalui perkhidmatan pos. Masa itu saya masih tinggal di rumah lama, di kampung. Terkejut juga apabila menerima surat yang dialamatkan dari negeri Perlis. Jauh tu... Hairan, dari mana alamat saya diperolehi. "Takkan ada sindiket jual alamat pula..." 

Risalah di tangan saya ini pula beralamat di Kelantan, maknanya tentu ada agen yang menguruskannya di sini. Tidak mustahil agen tersebut wujud di seluruh negara. 

Saya tiada masalah dengan risalah ini. Tetapi saya terfikir, bagaimana pula dengannya individu yang sedang terdesak menghadapi masalah kewangan. Tentu sedikit sebanyak boleh menjejaskan pendiriannya. Saya tidak kata semua begitu tetapi perkiraannya mudah biasanya orang yang sedang lemas tentu akan dicapai apa sahaja yang boleh dijadikan pelampung. Itulah yang amat dibimbangkan. Manalah tahu.

Pray4#MH370

Wednesday 26 March 2014

Kuliah Maghrib bersama Big Boh

Kuliah Maghrib bersama al-Fadhil ustaz Azhar Idrus. Jangan lupa kepada yang berdekatan, luangkan masa anda untuk mengikuti sambungan pengajian kitab jam`u Jawami`. Jom semarakkan majlis ilmu!

Tarikh : 27 Mac 2014 (Khamis)
Tempat : Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Indera Mahkota Kuantan


Sunday 23 March 2014

Celoteh hari ini...

 Pintu masuk PPTI Kemaman (sumber google)

Ada juga masa terluang hari ini. Dapatlah saya melawat angah di Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman. Kalau diikutkan saya merancang untuk pergi pada hari semalam, tetapi disebabkan ada beberapa jemputan majlis perkahwinan, terpaksalah saya menundanya pada hari ini. Biasalah cuti sekolah sudah bermula, jadi memang banyak majlis perkahwinan. Tidak sedap juga jika tidak memenuhi undangan tersebut. Dulu masa kita kahwin orang hadir, sekarang giliran kita pula kena hadir. Namun saya tidaklah hadir semuanya, mana-mana yang sempat sahaja. Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua, demikianlah sifirnya.

Sepanjang perjalanan ke PPTI Kemaman, saya melihat kesan hutan terbakar di beberapa tempat kiri dan kanan jalan. Ada yang masih berasap. Nampaknya teruk juga akibat kemarau sekarang ini. Semoga ia bukanlah kerana kemurkaan Allah SWT di atas kelalaian dosa kita semua.

Pagi semalam dalam kuliah subuh, ustaz mengingatkan para jemaah dengan musibah yang menimpa negara kita. Bermula dengan banjir, seterusnya cuaca sejuk yang di luar kebiasaan, kemudian datang pula kemarau, selepas itu timbul isu Kassim Ahmad dengan fahaman anti hadisnya, dan yang terkini pula kita dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370. Bermacam-macam teori dan andaian dikemukakan. Sehingga sekarang masih belum ada berita mengenai nasib anak kapal dan semua penumpang. Selamatkah mereka atau tidak, yang penting kita jangan jemu untuk terus berdoa. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan keselamatan kepada mereka semua.

Allah SWT berfirman:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.” (at-Taghaabun: 11-12)

Kita semua menyakini bahawa setiap musibah yang ditimpakan adalah daripada Allah SWT. Bukanlah bermakna Allah SWT itu menzalimi hamba-Nya, kerana zalim itu bukan sifat Allah SWT. Hikmah musibah adalah sebagai peringatan buat semua hamba-Nya. Mudah-mudahan dengan sedikit musibah yang ditimpakan akan menyedarkan daripada perbuatan dosa dan menimbulkan keinsafan untuk kembali semula kepada Allah SWT.

Namun, dalam masa yang sama saya merasa agak pelik kerana dalam keadaan kekalutan menghadapi musibah, ada pula segolongan yang tanpa ada perasaan menganjurkan konsert ‘liar’. Pada mulanya ia seperti agak rahsia, tidak ramai yang tahu. Tetapi setelah berlaku kematian barulah ia tersebar. Dalam berita dinyatakan 6 orang mati setelah mengambil dadah terlarang ketika menonton konsert tersebut.

Sepatutnya pihak yang berkenaan perlu mengambil langkah-langkah yang tegas dalam perkara ini. Kita boleh mengeluarkan arahan solat hajat di seluruh negara. Semua masjid-masjid mesti melakukan solat hajat khusus untuk MH370. Begitu juga kepada jabatan-jabatan kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan Islam. Bagus, saya sangat menyokongnya dan itulah yang sepatutnya dilakukan selain usaha pencarian menggunakan teknologi dan peralatan moden. (Yang guna teropong buluh, bubu, tikar, kelapa dan yang sewaktu dengannya tidak termasuk).

Oleh itu saya merasakan tentu tiada masalah juga untuk mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan apa jua bentuk konsert atau pesta yang tidak bermoral. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Tentu boleh, kan kita ada "kuasa..."

Tepuk dada tanya iman!

Pray4#MH370

Wednesday 19 March 2014

Tidak serikkah kita?

Tempohari kita telah digemparkan dengan berita 6 orang terbunuh dan 3 orang berada dalam keadaan kritikal ekoran pengambilan dadah berlebihan sewaktu mereka menghadiri Konsert Future Music Festival Asia anjuran Live Scape Sdn Bhd di Stadium Bukit Jalil pada 13 dan 14 Mac yang lalu sebelum dibatalkan pada 15 Mac 2014.

Difahamkan pada hari pertama berlangsungnya Konsert tersebut telah berlakunya penangkapan kerana pengambilan dadah tetapi konsert itu tetap diteruskan sehingga berlaku insiden yang sangat memalukan pada hari kedua konsert tersebut, melibatkan anak bangsa sendiri yang beragama Islam.

Hari ini pula akan berlangsung pula pesta Life in Color Malaysia yang dianjurkan oleh Furture Sound Asia dan Zouk dan ianya Supported by Malaysia Major Events Division Of Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) di bawah Ministry Of Tourism and Culture Malaysia pula Served by Heineken sebuah syarikat arak.


Apakah masih mahu mengulangi tragedi yang sama? Masihkah belum serik dengan apa yang berlaku?

Kemurkaan apakah lagi yang mahu kita cetuskan?

Ya Allah, lindungilah kami semua daripada fitnah akhir zaman ini...

pray4#MH370

Tuesday 18 March 2014

Alhamdulillah, hujan dah turun


Rumput di tepi jalan kering kekuningan, manakala tali air pula semakin menyusut alirannya. Itulah kesannya setelah hampir sebulan hujan tidak turun. Dek kerana cuaca yang panas terik ini, badan cepat merasa letih, peluh pula laju menitis manakala tekak merasa dahaga kehausan. Kalaulah dapat berendam di dalam sungai alangkah nikmatnya! 

Dalam masa yang sama bimbang pula dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang meminta rakyat Malaysia berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini. 

Katanya lagi, suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian. Takutnya... 

Dalam keadaan begini semua kita mengeluh, betapa tidak selesanya dengan cuaca panas. Ya, kita sudah tidak tertahan. Namun, tidak tergambar bagaimana pula teriknya di padang mahsyar nanti yang disebutkan jarak matahari cuma sejengkal di atas kepala. 

Betapa pula hebatnya bahang dan kepanasan api neraka, sehingga ada manusia yang tidak mahu menjadi manusia kerana gerunnya dengan kehebatan api neraka yang menjulang. Dengan perasaan takut dan menyesal mereka berkata sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran:

“Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)".” (an-Naba’: 40) 

Demikianlah penyesalan yang tiada berguna. Semuanya telah menjadi bubur. Maka bersedialah untuk merasai azab yang pedih tidak terperi itu. 

Alhamdulillah, hari ini hujan turun mencurah-curah dari langit Ilahi. Meredakan panas yang membahang, menghilangkan juga resah dan gelisah penghuni alam. 

Teringat sebuah hadis Rasulullah saw, diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar ra. yang bermaksud; Berkata Ibnu Umar: “Ketika saya bersama sepuluh sahabat daripada muhajirin di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba Rasulullah saw berpaling kepada kami dan berkata, “Menegah sesuatu kaum daripada mengeluarkan zakat bererti menegah langit daripada menurunkan hujannya. Kalaulah tidak kerana binatang yang tidak berdosa dan hidup melata di bumi, tentulah hujan tidak akan turun (sehinggalah mereka mengeluarkan zakat harta mereka).” 

Marilah kita semua menginsafi diri. Perbanyakkanlah memohon keampunan-Nya. Mudah-mudahan cuaca panas yang Allah SWT turunkan ini bukanlah satu kemurkaan disebabkan dosa-dosa yang telah kita lakukan, tetapi biarlah ia menjadi secebis peringatan kerana kasih sayang-Nya. Sebagaimana Allah SWT menyatakan tiada satu pun kejadian-Nya yang sia-sia melainkan ada manfaat buat seisi penghuni alam.

Sunday 16 March 2014

Hidup ini Pilihan


Tajuk : Hidup ini Pilihan
Penulis : Parlindungan Marpaung
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Mukasurat : 208
Harga : SM 16.50 / SS 18.50

Hidup ini Pilihan Ada waktu, pilihan itu jelas dan terang. Ada waktu. pilihan itu kelabu. Apabila pilihan itu dapat dipilih begitu sahaja, mudahlah. Namun, bagaimana pula dengan pilihan yang perlukan panduan? Di sinilah kita perlukan pedoman daripada orang.

Hidup ini Pilihan adalah himpunan kisah perihal pilihan. Pedoman yang memberi kita pencerahan perihal pilihan-pilihan dalam hidup. Sama ada kisah daripada manusia silam, mahupun kisah bukan insan, semua menyajikan pengajaran. Terpenting, pengajaran ini membuka hati dan menjentik minda kita dalam mengambil tindakan pada masa sekarang, dan masa hadapan. Tindakan yang sesuai dan tepat dengan keadaan. Mari kita dalami hikmah di sebalik cerita-cerita yang hebat ini.

Mari kita sentuh hati sendiri. Mari kita mulakan sekarang. Pilihan kini. di tangan kita.

Kandungan buku:

Bab 1: Seminit Menuju Alam yang Kekal
Bab 2: Anak Tangga Cinta
Bab 3: Anjing yang Bijak dan Jujur
Bab 4: Mampu Memimpin
Bab 5: Derap Langkah Ulat Buku

Bab 6: Dia Anakku
Bab 7: Gema Kehidupan
Bab 8: Hakim yang Tegas
Bab 9: Harga yang Perlu Dibayar
Bab 10: Ibu Berada di Gerabak Belakang

Bab 11: Ini Gajah
Bab 12: “Cepat, Jangan Berhenti!”
Bab 13: Jambatan Emily
Bab 14: Kerja Cemerlang, Bayarannya Mahal
Bab 15: Kisah Cawan Seramik

Bab 16: Kisah Jam
Bab 17: Kisah Sedih Perajurit
Bab 18: Syiling Kemik
Bab 19: Pakaian Kehidupan
Bab 20: Label Negatif

Bab 21: Lalat yang Serakah, dan Semut Merah
Bab 22: Kesetiaan Maharaja Hirohito
Bab 23: Mencari Rahsia Kebahagiaan, dan Makna Hidup
Bab 24: Menjual Sikat kepada Sami
Bab 25: Menolong Ketam

Bab 26: Niat Bunuh Diri
Bab 27: Orang Tua di Balkoni
Bab 28: Panggil Ibumu
Bab 29: “Papa, Baca Kuat-Kuat.”
Bab 30: Fikiran Sami

Bab 31: Pohon Rambutan yang Baik
Bab 32: Lelaki Buta Menghadap Dinding
Bab 33: Proses Menyakitkan Burung Rajawali
Bab 34: Pygmalion, Pemuda yang Baik Hati
Bab 35: Salji Berwarna

Bab 36: Sampai di Garisan Penamat
Bab 37: Sang Alkemi
Bab 38: ‘Harga’ Sihat itu Mahal
Bab 39: Sembuh ataupun Tidak Bergantung pada Pemikiran
Bab 40: Serba Segera

Bab 41: Telur Mampu Berdiri
Bab 42: Jeritan yang Dahsyat
Bab 43: Ujian Apgar
Bab 44: Tiada yang Tahu
Bab 45: Tidak Mempunyai Internet

Bab 46: Tidak untuk Saya 
Bab 47: Agensi Mencari Isteri
Bab 48: Tandas Tuan Onassis
Bab 49: Tragedi Epal Busuk
Bab 50: Buruh Pasak

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan!

Thursday 13 March 2014

Pray4#MH370


Salam Takziah.

Mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan segunung kesabaran dan ketabahan kepada keluarga mangsa. Dalam masa yang sama, jangan berputus asa, jangan berhenti berdoa kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui yang nyata dan tersembunyi. 

Di saat ini juga jauhi perbuatan khurafat dan kepercayaan tahyul yang bercanggah dengan syariat, terutama mereka yang menjadi tukang nujum dan tukang tilik yang mahu menjadi 'hero' dengan melakukan amalan-amalan khurafat dan tahyul tersebut.

Kepada Allah jua dikembali segala urusan.  

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al-Baqarah:155)

Pray4#MH370

Tuesday 11 March 2014

Dulu sejuk, sekarang panas semuanya milik-Nya

 Kebakaran di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan

Tempohari kita dikejutkan dengan cuaca sejuk yang melanda kebanyakan tempat di seluruh negara. Masa itu fenomena suhu sejuk yang melanda Malaysia menjadi topik perbincangan di kalangan pengguna media sosial yang memaklumkan rasa sejuk di kawasan tempat tinggal masing-masing. Dek kerana sejuk yang di luar kebiasaan ini, hinggakan ada yang berkata: “Tidak mustahil salji turun di Malaysia.”

Namun, hakikatnya salji tidak turun di negara Malaysia. Allah SWT mentaqdirkan salji tidak sesuai di sini.

Hari ini lain pula jadinya. Cuaca panas dan kering pula mengambil tempat. Disebabkan keadaan ini, beberapa buah negeri telah membuat catuan bekalan air ekoran paras air di empangan yang semakin menurun. Di tempat saya belum lagi dibuat tindakan sedemikian, tetapi saya perasan tekanan air paip sekarang ini tidak kuat seperti dulu.

Sungai Pahang di Jerantut

Kelmarin saya ke Jerantut atas suatu urusan. Sepanjang perjalanan saya melihat beberapa kawasan semak belukar dengan kesan terbakar. Dengan cuaca yang panas kering sekarang memang mudah kebakaran berlaku. Cukuplah dengan pembuangan puntung rokok yang masih berbara sudah mampu mencetuskan api. Minggu lepas berlaku kebakaran hutan berhampiran tempat saya. Kebakaran ini menyebabkan jerebu yang menghadkan pandangan selama beberapa hari.

Ketika di Jerantut, saya agak terkejut melihat paras air sungai Pahang yang gah itu. Jelas kelihatan paras air yang berbeza ketika saya ke situ pada bulan lepas. Tempat yang dulu dipenuhi air sudah nampak pasir. Rumah rakit yang dulunya sentiasa teroleng-oleng dilanggar riak-riak air, hari ini berada di atas beting pasir. Pemandangan yang sama sewaktu saya singgah di Temerloh dalam perjalanan balik ke Kuantan. Tampak pulau pasir yang timbul di tengah-tengah sungai. Kalau lama lagi hujan tidak turun, makin keringlah Sungai Pahang nampaknya.

Sungai Pahang di Temerloh

Sebelum ini pihak kerajaan mengumumkan untuk melakukan pembenihan awan agar hujan dapat dihasilkan. Alhamdulillah, ia satu usaha yang baik. Namun, saya sangat memuji usaha sesetengah negeri yang melakukan solat sunat istisqa. Sepatutnya inilah yang dahulu sebelum membuat pembenihan awan. Alangkah bagusnya jika solat sunat istisqa dilakukan di seluruh negara. Para pemimpin bersama rakyat melakukannya dan sebaiknya setiap pemimpin menjadi imam bagi solat tersebut. Rasanya tidak terlampau cadangan saya ini. Allah SWT yang Maha Berkuasa menahan dan menurunkan hujan.

Firman-Nya:

“Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid).” (an-Naml: 60)

“Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.” (an-Nuur: 43)

Teringat dialog bersama sahabat sewaktu pulang dari solat subuh pagi tadi:

“Panas betul sekarang ni. Hujan lama dah tak turun...” kata saya kepadanya

“Dengar-dengar nak buat pembenihan awan. Sepatutnya kena banyak istighfar dan buat solat istisqa.” Balas sahabat saya.

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh: 110- 113)

Astaghfirullah...

Pray4MH370

Friday 7 March 2014

Nad`uzubillah... Mengapa jadi begini?


Ada orang...

"Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad saw. Juga dikebanyakan rumah orang Islam, perkataan 'Allah' dan 'Muhammad' ditulis sama besar dan sama taraf."

"Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab, dengan alasan  menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Kemudian berkata lagi: “Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci!”

“Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.”

“Mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadis sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran.”

“Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu.”

“Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith.”

Terdetik di fikiran saya sejenak. Mengapa jadi begini?

Wednesday 5 March 2014

SOLAT TAUBAH BERJAMAAH

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah solat taubat di lakukan berjemaah?

Jawapan:

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam masalah melakukan solat tahajjud, dhuha, taubah, hajat, istikharah dan sebagainya secara berjamaah, iaitu solat-solat yang disyariatkan secara bersendirian. Menurut Imam an-Nawawi; asalkan suatu ibadat itu ada disyariatkan walaupun secara bersendirian, harus jika ingin dilakukan secara berjamaah. Antara dalilnya ialah:-

1. Hadis Ibnu 'Abbas RA yang menceritakan; Dia pernah mengikut Nabi SAW mengerjakan solat malam (qiyamullail) di rumah baginda, iaitu berjamaah dengannya (Lihat; Soheh al-Bukhari; 183. Muslim; 763/181).

2. Hadis Anas bin Malik RA yang menceritakan; Aku, seorang budak yatim dan ibuku (Ummu Sulaim) telah mengerjakan solat berjamaah di belakang Nabi SAW di rumah kami. Aku dan budak yatim berdiri di belakang Nabi SAW dan ibuku berdiri di belakang kami) (Soheh al-Bukhari; 727, 871. Muslim; 658/266).

3. Hadis 'Itban bin Malik RA yang menceritakan; Nabi SAW datang kerumahnya dan berkata; 'Di mana tempat di rumahmu yang kamu suka aku solat di situ?". Aku menunjukkan satu tempat. Lalu baginda bertakbir (melakukan solat) dan kami membuat saf di belakangnya (yakni turut berjamaah dengannya). Baginda solat sebanyak dua rakaat. (Soheh al-Bukhari; 424. Muslim; 263/33).

Solat-solat yang dilakukan Nabi SAW dalam hadis di atas ialah solat-solat sunat kerana baginda tidak pernah melakukan solat fardhu melainkan di masjid. Imam an-Nawawi menjelaskan; “Solat-solat selain solat hari raya, solat gerhana, solat istisqa’, solat terawih dan witir selepasnya – seperti solat-solat sunat rawatib, dhuha dan sunat-sunat mutlak - tidak disyariatkan berjamaah, yakni tidak disunatkan berjamaah, namun jika dilakukan secara berjamaah dibolehkan dan tidak dianggap makruh” (al-Majmu’, 4/55).

Sebahagian ulamak hanya mengharuskannya jika dilakukan sekali sekali (bukan berterusan), iaitu untuk tujuan belajar atau membiasakan diri sahaja, bukan dengan menjadikannya sebagai kebiasaan, kerana Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah menjadikannya sebagai kebiasaan mereka (Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil bin Yusuf al-‘Azzazi (1/356).

Wallahu a'lam.

(Sumber: Ilmu dan Ulamak)

Tuesday 4 March 2014

Alhamdulillah, tak ada paksa-paksa


Pokok mangga saya berbunga lagi. Termasuk yang ini, sudah 4 kali ia berbunga sejak saya menanamnya tujuh tahun yang lalu. Seingat saya, baru dua minggu lepas saya memetik kesemua buahnya yang telah tua untuk diperam. Kali ini berbunga lebih lebat lagi. Wah, hebat betul penangan air liur kambing ini, asyik berbunga sahaja. (ia cuma seekor kambing)

Saya seakan perasan yang banyak pokok buah-buahan sekarang ini berbuah tanpa mengira musim. Duku, langsat, mangga, manggis dan sebagainya termasuklah buah durian. Biasanya buah-buah ini berbuah mengikut musim terutamanya durian, jika tidak kena musim jangan cuba mencarinya di mana-mana. Maaf, takkan jumpa. Kalau ada yang mengidam memakannya, alamat memang tak kesampaianlah jawabnya. Namun sekarang kalau singgah di pasar malam atau pasar tani mesti terdapat longgokan buah durian. Termasuk juga gerai buah-buahan di tepi jalan. Sepanjang musim ada, pelik saya.

Saya membaca di internet. Rupa-rupanya ada cara yang dinamakan dengan agro-chemical (kimia Pertanian), berupa bahan aktif zat pengatur tumbuh (ZPT). Teknologi agro-chemical ini merubah fisiologis tanaman dengan cara menghambat fase pertumbuhan vegetative dengan peran hormone atau senyawa kimia tertentu, agar muncul fase generative (bunga dan buah).

Boleh dikatakan agro- chemical ini adalah kaedah memaksa pokok untuk mengeluarkan bunga.

Rasanya kalau main paksa-paksa biasanya tidak berapa elok. Macam kitalah, kalau kena paksa buat sesuatu kerja. Memang buat tetapi dalam keadaan yang tidak sempurna dan stabil. Pokok pun mungkin macam tu juga, saya agaklah. Tetapi saya tidaklah kata salah buat begitu. Dengan ilmu pengetahuan dan usaha kajian, jika ia memberikan keuntungan tanpa memudaratkan apa salahnya. Namun, aqidah kita orang yang beriman menyakini semuanya dengan izin Allah SWT. Tanpa itu, paksalah bagaimana pun ia tidak akan berhasil. Apa pun pokok mangga saya tidak ada paksa-paksa, semuanya sukarela. Alhamdulillah.

Firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِيَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِراً نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبّاً مُّتَرَاكِباً وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهاً وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ انظُرُواْ إِلِى ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ إِنَّ فِي ذَلِكُمْ لآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
"Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman." (al-An`aam:99)

Firman-Nya lagi:

أَمَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاء فَأَنبَتْنَا بِهِ حَدَائِقَ ذَاتَ بَهْجَةٍ مَّا كَانَ لَكُمْ أَن تُنبِتُوا شَجَرَهَا أَإِلَهٌ مَّعَ اللَّهِ بَلْ هُمْ قَوْمٌ يَعْدِلُونَ
"Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid)." (al-Naml: 60)

Saturday 1 March 2014

Jangan berhenti menuntut ilmu

Al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus tekun mendengar dan mencatat kuliah yang sedang disampaikan oleh al-Fadhil Tuan Guru Dato' Dr Harun Din. (sumber: FB)

Sedang melayari laman FB tadi, tiba-tiba mata terpaku pada sekeping gambar. Mata tidak berkelip, terkedu beberapa ketika.

Subhanallah!

Sungguh terharu.

Lantas saya merenung jauh ke dalam diri saya. Ada sesuatu yang saya rasakan. Saya tidak pasti apakah perasaan itu, tetapi ia sesuatu yang amat menginsafkan. Lihatlah bagaimana seorang yang bergelar tuan guru masih lagi bersila di hadapan mendengar kuliah, bukan setakat mendengar malahan tekun pula mencatat isi kuliah.

Itulah sifat tawadhuk yang dimiliki oleh Al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus. Saya benar-benar terharu. Saya mula mengenali dan mendengar kuliah Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus di akhir tahun 80-an, seingat saya. Ketika itu beliau sentiasa diundang dalam rancangan Ehwal Islam di TV1. Turut bersamanya sebagai ahli panel ialah Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din dan Tuan Guru Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Dek kerana ramainya peminat rancangan ini ketika itu, sampai ada yang berkata jika buat kenduri malam Jumaat, tentu tak ramai orang yang datang.

Forum Perdana Ehwal Islam, dulu-dulu. (sumber foto)

Ketika itu setiap hari Khamis malam Jumaat saya dan keluarga akan menunggu di depan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. Penyampaiannya yang bersahaja dan diselang-selikan dengan lawak jenaka mula menambat hati saya. Sejak dari itu saya mula ‘jatuh cinta’ dengan kuliah dan ceramahnya.

Saya masih ingat di antara jenakanya: “Tuan-tuan kalau nak tahu kena buka kamus. Saya tak payah buka kerana bapa saya pun dah kamus.”

Saya mula membeli kaset ceramah beliau semasa di sekolah menengah. Ketika itu kuliah ataupun ceramah dalam bentuk CD atau VCD belum wujud lagi. Saya akan berjimat (baca: mengikat perut) mengumpul duit belanja sekolah untuk membeli kaset Ustaz Ismail Kamus yang pada masa itu berharga sekitar RM8 sekeping. Kalau yang ‘pirate’ harganya dalam RM4 atau RM5 sekeping, tetapi jangan salah faham kerana saya tidak pernah membelinya.

Setiap kali membeli kaset baru saya akan memainkannya berkali-kali. Sehingga kini kaset-kaset itu telah mencecah hampir 100 keping termasuk kaset-kaset penceramah yang lain. Alhamdulillah, semuanya masih lagi dalam keadaan baik. Cuma, sekarang ia jarang dimainkan kerana sudah banyak alternatif lain yang lebih mudah seperti mp3, youtube dan sebagainya. Namun demikian, saya menganggap ia harta yang tidak ternilai harganya, kerana agak sukar untuk dicari di kedai atau toko dakwah pada masa ini. Tentulah, kerana CD dan VCD sudah pun mengambil alih tempatnya. Mungkin 20 atau 30 tahun lagi ia dianggap barangan antik, siapa tahu?

Mudah-mudahan al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus dianugerahkan kesihatan yang baik untuk meneruskan dakwah Islam di Malaysia ini. 

Biodata al-Fadhil Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus

(Sumber foto: Wikipedia)

Beliau dilahirkan pada 2 Disember 1948 di kampung Batang Rening , Ulu Selangor, Malaysia. Pendidikan awal secara rasmi bermula di Sekolah Arab Batang Kali dan berlangsung selama 6 tahun sebelum ke Ma’ahad Hisyamuddin, Kelang dimana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976. Beliau juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvenia, Amerika Syarikat.

Al-Fadhil Dato Ismail Kamus pernah menjadi guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Beliau juga pernah menjadi ADUN Gombak Setia apabila memenangi dalam Pilihanraya di kawasan tersebut pada tahun 1999. Kini beliau merupakan seorang Perunding Motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, negara-negara Timur Tengah dan lain-lain. Selain itu beliau juga menjadi pengasas dan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam.

Beliau juga sangat aktif dan banyak menghasilkan buku-buku keagamaan dan perubatan.

Nyaris jadi budak pejabat

Dalam satu temuramah Ustaz Ismail Kamus dengan sebuah akhbar tempatan, beliau mengatakan: “Saya memang suka bersyarah. Semasa belajar di Kolej Islam Kelang (KIK), bila masa cuti di kampung, saya bersyarah seorang-seorang di padang. Bila ada orang lalu, saya senyap. Memang masa itu tengah gila-gila, suka bersyarah.” Mengimbas kenangan itu, Ustaz Ismail berkata, penglibatannya dalam syarahan atau menyampaikan ceramah agama bermula seawal usianya 18 tahun. Ketika itu, beliau menuntut di KIK dan berjinak-jinak dengan bidang tersebut dengan mengajar dari rumah ke rumah di kawasan sekitar kolej.

“Saya mula mengajar kitab fikah dan juga dijemput memberi syarahan tentang Israk Mikraj. Selepas tamat pengajian di UKM, saya terlibat secara langsung sebagai penceramah di kampung. Kemudian kuliah banyak diadakan di pejabat-pejabat, surau dan masjid serta institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya yang kini berusia 65 tahun. (ketika itu)

Pendek kata, kalau dihitung jumlah anak murid beliau di seluruh negara sejak beliau mula mengajar 46 tahun lalu angkanya mencecah ratusan ribu orang.

Anak pasangan Kamus Ahmad dan Siah Leman itu sebenarnya pernah berhenti sekolah semasa usia remajanya apabila sekolah agama tempat beliau belajar ditutup kerana ketiadaan pelajar.

“Masa itu umur saya dalam 13 tahun. Saya seronok saja. Maklumlah fikiran ketika itu suka main. Selepas berhenti sekolah, saya minta kerja sebagai budak pejabat tetapi tak dapat sebab tidak cukup umur. Nasib baik tak dapat. Kalau tidak, tak jadi ustaz lah saya,” katanya sambil ketawa. Ismail berkata, beliau adalah anak keempat daripada 10 adik-beradik dan yang paling disayangi oleh bapa.

“Ke mana saja ayah pergi, dia mesti bawa saya. Baik ke kebun, ambil gaji, mengaji dan sebagainya,” kata beliau. Alhamdulillah, ibu bapanya sempat melihat Ismail menjadi ulama yang disegani di tanah air sebelum meninggal dunia. Kata Ismail, bapa dan ibunya bukanlah terdiri daripada golongan ulama tetapi mereka kuat beramal.

“Berkat doa merekalah, saya menjadi ustaz hari ini,” tambahnya. Ismail berkata, bapanya meninggal dunia semasa beliau membawa rombongan haji melalui syarikatnya ketika itu pada tahun 1992.

“Arwah macam tahu dia nak meninggal. Sehari sebelum itu, dia menebang pokok dan menggali kubur serta berpesan kepada cucunya, kalau dia meninggal tanamlah di situ dekat pokok jambu. Esoknya, dia pun meninggal dunia semasa tidur. Arwah emak pula meninggal kira-kira 10 tahun selepas itu,” kata beliau mengakhiri perbualan. (sumber: Utusan Malaysia)