Sahabat Sejati

Tuesday 29 October 2019

SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA

Soalan: 

Adakah kita dibenarkan menyambut perayaan seperti Hari Ibu dan Hari Bapa? Jika boleh, apakah panduan untuk merayakannya? Jawapan: 

Jawapan:

Firman Allah SWT: 
 
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat." (Surah al-Isra’: 23-25) 

Ayat di atas menunjukkan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya iaitu mendoakan kesejahteraan mereka, berbuat baik, memberi bantuan yang sewajarnya sebagai mengenang dan membalas jasa ibu bapa atas pengorbanan mereka yang tidak ternilai. 

Berkenaan dengan sambutan Hari Bapa atau Hari Ibu, suka dinyatakan bahawa: 

· Saya melihat isu seperti ini lebih kepada istilah sahaja di mana hakikat perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji. 

· Berkenaan dengan memuliakan ibu bapa, ia tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu. Malah kewajipannya adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat. Justeru, perayaan seperti ini lebih menghampiri pengaruh Barat yang terpaksa mewujudkan perayaan bagi menghormati ibu dan bapa. Sedangkan bagi orang Islam, anjuran supaya memuliakan dan menghormati kedua ibu bapa sebenarnya sudah dititikberatkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah Nabi SAW, tanpa terikat dengan masa dan tempat. 

Saya tidak menganggap bahawa merayakan Hari Ibu dan Hari Bapa sebagai perkara yang tidak dibolehkan. Tetapi hendaklah dengan menepati beberapa syarat: 

· Menganggap Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai penghormatan tambahan buat mereka, bukannya menyempitkan skop menghormati mereka hanya pada tarikh tersebut. 

· Tidak menjadikan ia sebagai satu bentuk perayaan dengan ertikata perayaan keagamaan, tetapi sebagai sambutan secara adat sahaja. 

Sewajarnya seseorang Islam sentiasa menghormati ibubapa dan pada saat yang sama memahami ajaran Islam supaya ketaatannya sentiasa selaras dengan syariat Islam.

Friday 25 October 2019

Rehat Minda: Pesan Murabbi (121)

Salam Jumaat.

~Moga Allah mencucuri rahmat ke atas Buya Hamka~

Thursday 24 October 2019

Ia pasti tiba..

Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda: 
“Aku diutus adalah bersamaan dengan kiamat seperti dua jariku ini.” Baginda mengisyaratkan dengan mengiringkan jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Kesahihan hadis ini adalah muttafaqun `alaih, diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim dari Abu Hurairah, Anas dan Sahal bin Sa`ad) 

Dalam riwayat yang lain, Baginda saw bersabda: 
“Aku diutus bersamaan dengan kiamat, dan sesungguhnya ia hampir sahaja mendahuluiku.” (Hadis dikeluarkan oleh Ahmad dan at-Thabari dengan sanad yang hasan dari hadis Buraidah bin Hushaib) 

Imam al-Qurthubi dalam kitabnya, “At-Tazkirah” ketika menjelaskan hadis Rasulullah saw: “Aku diutus bersamaan dengan kiamat”, berkata: “Makna hadis ini adalah menunjukkan bahawa terjadi kiamat sudah dekat. 

Al-hafiz Ibnu Hajar berkata: “Telah berkata Ad-Dhahhaq: “Tanda kiamat yang pertama adalah diutusnya Nabi Muhammad saw dan menjadi hikmah dari munculnya tanda kiamat pada masa awal, adalah untuk memperingatkan orang-orang yang lalai dan mendorong mereka untuk bertaubat dan bersiap sedia.” (Kitab Fathul Bari, Kitaburraqqaq, juz 11)

Daripada Abdullah bin Umar ra. katanya, Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang ingin melihat gambaran hari qiamat hendaklah dia melihat surah at-Takwir, surah al-Insyiqaq dan surahal-Infithar. Pada surah-surah tersebut tergambar dengan terang tentang hari qiamat.” (at-Tirmidzi)

Tiga surah tersebut tidak menceritakan perkara selain daripada kisah akhirat dan hari qiamat. Segala gambaran qiamat tergambar dengan jelas melalui tiga surah yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. Ia seolah-olah suatu jendela bagi insan memandang ke akhirat.

Meskipun gambaran akhirat tidak itu tidak mungkin dilihat dengan mata kepala, tetapi melalui ayat-ayat yang terkandung khususnya di dalam tiga surah itu akan membukakan mata insan yang benar-benar beriman dengan hari akhirat.

Justeru, sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat ini. Ini kerana, tidak ada yang dapat menyelamatkan kita daripada segala fitnah dan ujian ini melainkan dengan iman. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara dan mengekalkan iman kita agar kita tergolong daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat 

Wallahu a`lam.

Wednesday 23 October 2019

Wordless Wednesday (53)


Cetusan rasa: Hujan yang berguguran..

Hujan berguguran dari langit Ilahi sejak dari waktu maghrib tadi. Tujahannya berdetak-detak menimpa atap beranda, lalu menghasilkan irama yang membingitkan tetapi menghiburkan. Anak telinga saya menyambut irama kebingitan ini dengan satu perasaan yang sukar digambarkan.

Benar, hujan yang menimpa atap dan suara katak yang bersahutan menjadi paluan ingatan yang menjadi kenang-kenangan. Semua ini menghantar saya ke gerbang perasaan kerinduan. Hujan mengingatkan saya pada sesuatu. Tentunya ‘sesuatu’ itu sering menjadikan hati ini berdetik lalu saya tersenyum sendirian.

Teringat firman Allah SWT:
“Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya).”(al-Nahl :65)

Allah SWT menurunkan hujan dari langit supaya bumi menjadi hidup subur, maka keluarlah dari bumi yang subur itu tumbuh-tumbuhan yang menjadi rezeki untuk sekelian makhluk.

Demikianlah, al-Qur'an yang mulia diturunkan oleh Allah SWT untuk 'menyuburhidupkan' jiwa dan akhlak manusia supaya mendapat kemuliaan di atas muka bumi ini. Lebih daripada itu untuk mendapat kenikmatan syurga di akhirat nanti.

Hujan masih lagi turun, tetapi tidaklah selebat mana sekadar renyai-renyai sahaja, tetapi bisa juga menakung lopak-lopak air di sepanjang aspal hitam keras mengerutu. Saya mengira-ngira telah pun masuk pemulaan musim tengkujuh. Moga hujan yang membasahi bumi ini menjadi hujan yang bermanfaat buat kita semua.

Saturday 19 October 2019

MENGANGKAT TANGAN KETIKA DOA DALAM KHUTBAH KEDUA JUMAAT

Soalan: 

Adakah perlu makmum mengangkat tangan (menadah tangan) ketika imam membaca doa di dalam khutbah kedua pada hari Jumaat? 

Jawapan: 

Firman Allah SWT:

 وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ . إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ 
Maksudnya: Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina. (Surah al-Ghafir: 60) 

Begitu juga firman Allah SWT:

 وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا۟ ٱلَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِىٓ أَسْمَـٰٓئِهِۦ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ 
Maksudnya: Hanya milik Allah asma al-husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma al-husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. (Surah al-A’raf: 180) 

Daripada dua ayat di atas menunjukkan betapa umat Islam digalakkan berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun. Berkenaan dengan soalan di atas, masalah ini khilaf di kalangan ulama’. 

Syeikh Abdul Aziz bin Baz dalam Fatawa Islamiyyah berpendapat tidak disyariatkannya untuk mengangkat kedua tangan ketika khutbah Jumaat, sama ada imam atau makmum, kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan khulafa’ al-Rasyidin. Tetapi ketika doa minta hujan di dalam khutbah Jumaat, Nabi saw mengangkat tangan. 

Beliau juga berkata: “Begitu juga perbuatan makmum mengaminkan doa imam, aku tidak mengetahui tegahannya jika tanpa mengangkat suara. Tetapi zahir hadis berkenaan dengan doa bahawa ianya disunatkan mengangkat tangan dan mengaminkannya. Ini kerana Rasulullah saw bersabda:

 إنَّ رَبَّكُم تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَييٌّ كَرِيْمٌ، يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إلَيهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا 
Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu lagi Mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi-Nya permintaan itu.” Riwayat Abu Daud (no: 1490), al-Tirmizi (no: 3556), al-Baihaqi (2965), dan Ibn Hibban (no: 876). Kata al-Tirmizi, "Hadis ini hasan gharib." 

Begitu juga kita digalakkan untuk berdoa pada hari dan malam Jumaat. Dr Wahbah al-Zuhaili melalui kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh berkata: “Maka diharap dibanyakkan untuk berdoa bertepatan dengan waktu maqbul diperkenankan doa, di mana Rasulullah SAW menyebutnya pada hari Jumaat.” 

Antara lain, Rasulullah SAW bersabda:

 فِيهِ سَاعَةٌ لاَيُوَافِقُهَا عَبدٌ مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللهَ تَعَالىَ شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَأَشَارَ بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا. وَفي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: وَهِيَ سَاعَةٌ خَفِيْفَةٌ.  
Maksudnya: “Padanya terdapat satu waktu seseorang hamba Muslim ketika dalam keadaan berdiri solat memohon sesuatu kepada Allah SWT, kecuali dikurniakannya. Dan baginda mengisyaratkan dengan tangannya menunjukkan bahawa masanya sedikit. Dalam riwayat Muslim: Ia adalah waktu yang singkat.” Riwayat al-Bukhari (no: 893) dan Muslim (no: 852) 

Berdasarkan kepada hal ini, penulis berpendapat boleh mengangkat tangan dan mengaminkan doa imam secara perlahan kerana ia diharap untuk dimustajabkan Tuhan. Ini berdasarkan kepada beberapa adab doa, Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ الرَّجُلُ إِذَا أَسْلَمَ عَلَّمَهُ النَّبِيُّ الصَّلاَةَ ثُمَّ أَمَرَهُ أَنْ يَدْعُوَ هَؤُلاَءِ الكَلِمَاتِ: اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ليِ وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي. وَفِي رِوَايَةٍ: وَيَجْمَعُ أَصَابِعَهُ إِلاَّ الإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلاَءِ تَجْمَعُ لكَ دُنْياَكَ وَآخِرَتَكَ. 
Maksudnya: “Apabila masuknya seseorang ke dalam Islam, Nabi SAW akan mengajarnya bersolat, kemudian mengarahnya agar berdoa seperti berikut: ‘Ya Allah ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, berikanlah hidayah kepadaku, kurniakan kesihatan kepadaku dan kurniakanlah rezeki kepadaku.’ Dalam riwayat yang lain: Baginda merapatkan jari-jarinya kecuali ibu jari. Kerana kesemua itu menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat.” Riwayat Muslim (no: 2697) 

Berkenaan dengan menyapu muka dengan dua tangan selepas berdoa, sebahagian ulama mengatakan ia digalakkan berdasarkan beberapa hadith. Antaranya hadith Ibn Abbas ra berkata: “Apabila kamu memohon kepada Allah SWT, mohonlah dengan tapak-tapak tangan kamu dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tanganmu.” Riwayat Ibn Majah (no: 3866). Hadith ini dhaif kerana terdapat perawi bernama Soleh bin Hassan, yang dihukum munkar al-hadith oleh al-Bukhari. Abu Hatim menghukum hadith ini sebagai munkar. (Al-`Ilal 2/351) 

Dalil lain, diriwayatkan bahawa al-Saaib bin Yazid menceritakan bapanya telah memberitahu bahawa apabila berdoa, Baginda SAW menadah kedua-dua belah tangannya, Baginda saw akan menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan tersebut. Riwayat Ahmad (no: 17943) dan Abu Daud (no: 1494). Kata al-Zaila'ie dalam Nasb al-Rayah (3/43), "Ada kecatatan kerana terdapat Ibn Lahi'ah." 

Dalil lain, Umar bin al-Khattab RA menceritakan, apabila Baginda saw mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk berdoa, Baginda saw tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua-dua belah tangan tersebut, seperti yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Riwayat al-Tirmizi (no: 3386), dan beliau mendhaifkannya. Ibn al-Jauzi dalam al-Ilal al-Mutanahiyah (2/838) menilai hadith ini tidak sahih. 

Justeru, penulis berpendapat boleh mengangkat tangan dan boleh mengaminkan tetapi dengan suara yang perlahan. Manakala menyapu dua tangan ke muka selepas selesai berdoa, ia digalakkan oleh sebahagian ulama, tetapi tidak ada satu hadis sahih yang menyokongnya. 

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa melakukan ibadah solat khususnya solat Jumaat di samping mempelajari sunnah Nabi saw mengikut kitab-kitab hadith dan feqah.

Friday 18 October 2019

Rehat Minda: Pesan Murabbi (120)

Salam Jumaat.


'Persinggahan sementara'

foto hiasan ~ sumber

Persinggahan sementara, yang terbenam jasad di dalamnya. Tempat menunggu saat ditiupnya sangkakala, tempat menunggu hari kebangkitan dimana akan digiring menuju ke mahsyar di hadapan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tiada seorang pun yang mengetahui nasib mereka kecuali Dia. 

Persinggahan sementara, ialah satu lubang yang akan ditiduri setiap manusia. Ketika waktu untuk 'menuai' telah berakhir, ia menjadi penentu perhitungan hasil tuaian di atas perutnya. 

Persinggahan sementara, tidak terkecuali akan masuk ke dalam perutnya. Biarpun raja yang bercelana emas, pahlawan yang memikul pedang besi bersepuh, maupun pemimpin yang berbaju sutera. Si kaya yang diuliti kesibukan ataupun si miskin yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hebatnya persinggahan sementara. 

Persinggahan sementara, di sini berkumpulnya amal yang dituai. Senyum tawa, ratap tangis dan jeritan. Di sini juga berkumpulnya kesombongan, angan-angan, ikhlas maupun riya`, kekaguman kepada keindahan dan kedudukan. Kebanggaan kepada keluarga, harta, pangkat dan segalanya. 

Persinggahan sementara, di sini juga tempat berakhirnya kesombongan, kemegahan, kehebatan akal dan tenaga. Di sini juga berakhir kezaliman dan yang dizalimi, penghinaan dan yang dihina. 

Persinggahan sementara, adalah lambang azab dan nikmat. Kerana ia boleh menjadi sebahagian taman-taman syurga atau boleh juga menjadi sebahagian dari lubang-lubang api neraka. 

Semoga Allah SWT menjadikan kita semua sentiasa melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dan kita sentiasa menyiapkan bekalan untuk menghadapi saat yang pasti datang. 

Sesungguhnya di sisi Tuhan ada kenikmatan yang kekal. Di sisi-Nya juga ada azab kepedihan yang kekal.

Wednesday 16 October 2019

Wordless Wednesday (52)


Selamat berehat waris!





Dalam sebak yang menggigit rasa, saya melantunkan doa agar Allah SWT mencurahkan rahmat ke atas roh almarhum Che Wan Abdul Manap bin Wan Mahmud@Wan Abdullah bin Wan Yusof@Wan Sembok bin Wan Busu Jong Berlaboh, yang telah meninggalkan kesibukan dunia ini pada hari ini. Moga Allah SWT berkenan mengampunkan segala kesalahannya dan diterima semua amal kebaikannya. 

Kepada keluarga almarhum, moga diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang berat ini. Tentunya Allah SWT mempunyai perancangan yang lain, dan sudah semestinya perancangan Allah adalah yang terbaik. 

#Almarhum adalah anak saudaraku

Monday 14 October 2019

Jangan ada al-Kibr

Rasulullah SAW berkata “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya: 

“Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. 

Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. 

Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki. 

Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)” 

Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik? 

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak” 

Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)? 

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak” 

Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)? 

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak” 

Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)? 

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak” 

Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu? 

Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!” 

[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa’ wa as-Sifaat: 79] 

Jangan takabbur 

Jelas bahawa sifat takabbur itu amat berbahaya sehingga boleh menjadikan seseorang itu kufur terhadap ajaran Allah. Seorang yang takabbur akan menganggap dirinya serba tahu dan ia tidak akan mahu belajar perkara yang ia tidak tahu atau tidak bersesuaian dengan keinginannya. 

Takbur atau kesombongan menghalang seseorang daripada menginsafi kecacatannya sebagai seorang manusia. Apabila ia memperolehi suatu pengetahuan yang ia suka, maka ia akan taksub kepadanya sehingga mengetepikan pandangan lain tanpa menilainya terlebih dahulu. Tidak mustahil juga ketaksubannya pada satu pandangan atau fahaman menjadikannya orang yang menyangkal ajaran Allah yang sebenar. 

Suatu ketika dahulu, ada yang berkata untuk membanteras gejala judi ‘haram’, maka kita perlu keluarkan lesen judi. Dengan itu dapatlah mengawal perjudian haram itu. Maka menjadi halallah judi itu. Seumpama judi itu haram tapi jika ada lesen maka ia halal. Betul ke begitu? Pening juga mahu memikirkannya. Ada ke judi haram dan judi halal. Bukan ke semua bentuk perjudian adalah haram, ada lesen ke tiada lesen semuanya haram. Demikianlah itu yang dipelajari dulu. 

Sebenarnya dalam perkara nafsu, kita tidak boleh menggunakan nafsu untuk menyelesaikannya. Untuk menyelesaikan masalah nafsu kita perlu merujuk kepada yang menciptakan nafsu itu. Judi adalah berpunca daripada nafsu, maka untuk menyelesaikannya maka perlu dirujuk kepada Allah. Kembali kepada formula penyelesaian iaitu al-Quran serta hadis Nabi saw. 

Jangan menidakkan hukum yang telah termaktub. Mengapa masih mahu mengambil peraturan selain dari apa yang diturunkan oleh Allah. Sedangkan ia adalah yang terbaik. Yang pastinya kita masih ada sifat , “Al-Kibr iaitu meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”

Saturday 12 October 2019

MAKSUD 'AMIN' SELEPAS MEMBACA SURAH AL-FATIHAH

Soalan : 

Apakah maksud ‘Aamin’ (آمين) dan adakah ia daripada surah al-Fatihah? 

Jawapan: 

‘Aamin’ bermaksud: Perkenankanlah. 

Ia adalah kalimah doa yang bukan daripada al-Quran al-Karim dengan ijma’. Ini berdasarkan kepada dalil bahawa ia tidak ditulis dalam mushaf. Ibn al-Anbari bersetuju dengan pendapat di atas, katanya: Aamin adalah termasuk kumpulan 'isim fi'il' iaitu kata nama yang membawa maksud perbuatan. Ia bermaksud: “Ya Allah, perkenankanlah doa kami.” Cara menyebutnya ada dua cara yang masyhur, sama ada dibaca dengan pendek أمين atas wazan فعيل atau dibaca secara panjang iaitu آمين atas wazan فاعل

Antara amalan sunnah selepas membaca al-Fatihah ialah membaca Aamin. Ia berdasarkan hadis Wail bin Hujr RA daripada Rasulullah SAW yang menyuruh dibaca panjang Aamin. Riwayat Ahmad (no: 18842), Abu Daud (no: 933) dan al-Tirmizi (no: 248). Kata Tirmizi, "Hadith hasan". Dinilai sahih oleh Ibn Hibban (no: 1805). 

Dalam hadis Abi Musa al-Asy’ari, sabda Rasulullah saw yang: “Apabila selesai membaca ayat akhir al-Fatihah, maka sebutlah Aamin nescaya diterima Allah SWT bagimu.” Riwayat Muslim (no: 404) 

Kelebihannya jelas berdasarkan hadis Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda: “Apabila imam mengaminkan, maka hendaklah kamu aminkan bersama, kerana siapa yang berbetulan aminnya dengan amin malaikat nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu.” Riwayat al-Bukhari (no: 747) dan Muslim (no: 410)

Makna perkataan Amin 

Mengikut ulama, aamin diertikan dengan ‘Ya Allah, terimalah doa kami.’ Inilah pendapat al-Hasan dan al-Zajjaj. Ianya boleh dibaca sama ada panjang atau pendek mengikut bahasa Arab. 

Al-Hafiz al-Munziri berkata: Dikatakan bahawa Aamin merupakan satu nama daripada nama-nama Allah SWT. Inilah juga pendapat Mujahid, Hilal bin Yasaf dan Ja’far bin Muhammad. 

Ada pendapat menyatakan maksud aamin ialah begitulah yang diharap, seperti yang dihikayatkan daripada Ibn al-Anbari daripada Ibn Abbas dan al-Hasan. Ulama-ulama nahu menyatakan aamin sebagai isim fi’il (kata nama perbuatan). 

Perkataan Aamin bukan daripada al-Quran secara ijmak. Justeru disunatkan memisahkan antaranya dengan akhir surah al-Fatihah dengan berhenti seketika. 

Sunat Amin pada Setiap  Doa

Mengikut riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan daripada Abi Zuhair al-Numairi (seorang sahabat Rasulullah SAW), beliau telah mengucapkan satu ucapan yang baik. Apabila salah seorang mereka berdoa, lalu dia berkata: “Khatamlah doamu dengan aamin kerana aamin seperti cop di atas surat.” 

Kemudian beliau menceritakan bahawa Nabi saw berkata kepada seseorang yang berdoa: “Khatamlah (doamu) dengan Aamin, dan terimalah berita gembira!” Riwayat Abu Daud (no: 939). 

Di dalam hadis Anas ra: “Sesiapa yang mengkhatamkan bacaan Fatihah dengan aamin, nescaya tidak kekal di langit malaikat yang hampir kecuali meminta keampunan untuknya.” 

Di dalam hadith Abi Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda: “Aamin adalah cop Tuhan sekalian alam di atas lisan hamba-hambanya yang beriman.” Riwayat al-Tabarani dalam al-Du'aa (no: 202). 

Al-Allamah al-Munawi dalam syarah hadis ini berkata: Aamin mencegah doa daripada rosak dan ditolak, seperti metri di atas satu surat menegah daripada dizahirkan ke tangan orang yang tidak layak. Orang-orang yang berdoa dan orang yang mengaminkan doa, kesemua mereka mendapat bahagian daripada doa. Inilah yang diriwayatkan daripada Ikrimah dalam tafsiran ayat 89 surah Yunus, katanya: “Musa berdoa dan Harun mengaminkannya. Maka itulah yang disebut dalam ayat, dan telah diperkenankan doa kamu berdua.” Riwayat al-Tabari dalam tafsirnya (15/185). 

Meskipun yang berdoa ialah Nabi Musa, tetapi dinisbahkan doa kepada kedua-duanya kerana orang yang mengaminkan doa juga dikira orang yang berdoa. 

Penulis menutup kenyataan ini dengan nukilan Saidina Ali RA, yang berkata: ‘Amin adalah cop mohor Tuhan untuk menyeru sekalian alam, sebagai penutup doa hamba-Nya’, iaitu penerangan mengenai ucapan ‘amin’ seumpama suatu cop surat rasmi yang telah ditutup dan cop tersebut dapat menghalang seseorang daripada membuka atau membuat sesuatu perlakuan pada surat itu. Manakala bagi orang yang berdoa pula dengan ucapan itu, akan dapat menghalang sebarang kegagalan.

Friday 11 October 2019

Rehat Minda: Pesan Murabbi (120)

Salam Jumaat.

~Moga Allah mencucuri rahmat kepada almarhum Buya Hamka~

Wednesday 9 October 2019

Batuk pula 'bertamu..'

Sudah 2 minggu saya diserang batuk-batuk. Siang atau malam, tatkala ia menyerang, menyebabkan saya merasa sangat tidak selesa. Terutama ketika berada di khalayak ramai. 

Apabila tekak mula terasa gatal dan miang meremut, ketika itulah batuk menghambur bertalu-talu tanpa belas simpati. Oh, terasa aib sekali apabila banyak mata yang memandang. 

Biasanya saya diserang batuk dalam lima atau enam hari atau paling lama dalam seminggu, kemudian ia sembuh. Cukup dengan mengemam vitamin C atau ubat batuk berasaskan herba. Saya memilih ubat batuk berasaskan herba kerana ia tidak mendatangkan rasa mengantuk. 

Tetapi batuk kali ini berlainan benar. Degilnya bukan main. Dua minggu berlalu belum menampakkan tanda-tanda ia mahu kebah. Saya mencuba juga madu kelulut bersama limau nipis, namun tiada perubahan yang ketara. 

Saya membuat andaian batuk ini lambat sembuh kerana saya terlalu banyak menghabiskan masa di luar rumah. Ke sana dan ke sini dalam program dan aktiviti bersama Yayasan Amal Malaysia. Yalah, takkan nak berkurung di dalam rumah pula menunggu-nunggu batuk sembuh. Tak jadi kerja jawabnya. 

Saya juga membuat kesimpulan 'bencana' jerebu yang berlaku baru-baru ini turut memberi kesan, sedikit sebanyak menyumbang kepada lambatnya sembuh batuk yang dihidapi. Mungkinlah.. 

Mencuba petua sahabat 

"Anta campurkan sedikit serbuk kulit kayu manis dalam minuman anta." Saran sahabat saya, Ustaz Sardy sewaktu kami beriringan pulang dari surau usai sembahyang isyak. 

"Tak kisah air teh ke, kopi ke, semua boleh. Sekarang dah ada serbuk kulit kayu manis yang 'ready made', Tak perlu dah nak kisar sendiri." sambungnya lagi. 

Sahabat saya ini merupakan seorang pengamal perubatan Islam Darul Syifa yang telah diasaskan oleh almarhum Tuan Guru Dr Harun Din. Selalu sangat beliau dijemput untuk mengubati penyakit-penyakit yang bersangkut-paut dengan perkara mistik. 

Saya pula suka bertanya dan meminta nasihat berkenaan petua atau penawar penyakit. Sementelah lagi beliau tidak lokek untuk berkongsi pengetahuan mengenainya. 

"Untuk darah tinggi anta ambil akar daun sup dalam bilangan ganjil..." 

"Kalau sakit gigi, anta ambil serai kemudian layurkan pada api..." 

Alhamdulillah 

Setelah tiga kali mengamalkan petua yang sahabat saya sarankan. Bagaimana? Sembuh batuknya? Batuknya masih ada tetapi agak berkurangan sedikit. Tapi saya tidak berputus asa berikhtiar untuk mengubatinya. Allah yang menyembuhkan. Setakat ini petua kulit serbuk kulit kayu manis nampaknya serasi.

"Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila penyakit telah diubat dengan ubat yang tepat, maka akan sembuh dengan izin Allah." (Riwayat Muslim) 

Apa pun, pada hakikatnya setiap ujian dan musibah yang menimpa manusia datangnya daripada Allah SWT. Dia yang berkuasa menggenggam taqdir hidup manusia. Manusia disaran supaya berusaha, berikhtiar dan berdoa. Selebihnya menyerahkan keputusan yakni bertawakal kepada-Nya. 

“Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu.” (Yasin: 82)

Friday 4 October 2019

Wednesday 2 October 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (46)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (45) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA 

 Bukit Safa (foto hiasan) ~ sumber

Seruan Dari Atas Bukit Safa

Setelah Nabi Muhammad yakin dengan janji Abu Talib untuk melindungi baginda ketika baginda berdakwah, maka suatu hari baginda berdiri di atas Bukit Safa. Baginda menjerit, "Hai saudara-saudaraku...!" Maka berkumpullah orang ramai daripada seluruh suku Quraisy di hadapan baginda. Baginda lantas mendakwah mereka untuk bertauhid, beriman terhadap risalah baginda serta beriman kepada hari kiamat.

Imam al-Bukhari telah meriwayatkan satu kisah daripada Ibnu Abbas, "Ketika turun ayat, 'Dan berilah peringatan kepada saudara-saudara dekatmu,' Nabi segera naik ke atas Bukit Safa. Baginda lantas memanggil suku-suku Quraisy dengan lantang, 'Hai Bani Fihr! Bani Ady!' Akhirnya, mereka semua berkumpul di hadapan baginda. Jika ada yang berhalangan untuk hadir, maka dia akan mengutus wakil untuk mengetahui apa yang terjadi. Abu Lahab dan pembesar Quraisy turut hadir.

Baginda lalu bertanya kepada mereka, 'Bagaimana pendapat kamu jika kukhabarkan kepada kamu bahawa ada sepasukan berkuda di sebalik bukit ini yang hendak menyerang kamu, adakah kamu percaya padaku?' Orang ramai menjawab, 'Ya. Tidak pernah kami mendapati dirimu menipu.'

Maka baginda berkata lagi, 'Kalau begitu, sesungguhnya aku memperingatkan kamu akan datangnya azab yang keras.' Mendengarkan hal itu, Abu Lahab berkata dengan marah, 'Semoga kamu binasa sepanjang hari! Untuk inikah kamu mengumpulkan kami?'

Saat itulah turunnya wahyu, 'Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab!' Dan seterusnya hingga akhir surah."(1)

Sementara Imam Muslim juga meriwayatkan sisi lain daripada kisah ini yang dia ambil daripada pertuturan Abu Hurairah, "Ketika turun ayat, 'Dan berilah peringatan kepada saudara-saudara terdekatmu,' Rasulullah saw menyeru orang ramai secara umum mahupun khusus, 'Hai orang Quraisy, selamatkanlah diri kamu daripada seksa neraka! Hai orang Bani Ka`ab, selamatkanlah diri kamu daripada seksa neraka! Hai Fatimah binti Muhammad, selamatkanlah dirimu daripada seksa neraka! Demi Allah, diriku ini tidak mempunyai kuasa sedikit pun untuk menyelamatkan kamu daripada seksa Allah, kecuali hanya sedikit syafaat untuk kamu selagi mana kamu menjaga tali persaudaraan denganku."(2)

Seruan lantang inilah tujuan daripada perintah ayat di atas. Rasulullah saw memperjelaskan kepada orang yang memiliki hubungan persaudaraan dengan baginda bahawa penerimaan terhadap risalah Islam adalah syarat tetap hidupnya hubungan persaudaraan antara baginda dengan mereka. Fanatisme persaudaraan (yang semata-mata berdasarkan hubungan darah) yang selama ini diusung oleh bangsa Arab, menjadi "meleleh di tengah panasnya" seruan yang baginda bawakan.  

Rujukan: 

(1) Sahih al-Bukhari, jil. ii, hal. 702, 743. Riwayat dengan sedikit perbezaan lafaz terdapat dalam Sahih Muslim, jil. i, hal. 114

(2) Sahih Muslim, jil. i, hal. 114; Sahih al-Bukhari, jil. i, hal. 385 dan jil. ii, hal. 702; juga Muhammad bin Abdullah al-Tabrizy, Misykah al-Masabih, jil.ii, hal. 460

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Wordless Wednesday (51)


Tuesday 1 October 2019

Andai kumiliki terowong masa..

Ingin rasanya saya membawa anak-anak meranduk anak sungai dan paya menerung, serta menyusuri belukar damai, agar mereka dapat merasai apa yang pernah saya kecapi suatu ketika dahulu.

Ingin rasanya saya mengulangi semua detik-detik kehidupan yang pernah saya lalui dulu, agar anak-anak tidak kehilangan semua itu. Tanpa gajet, PSP, iPod, facebook, IG, maupun Astro, kami masih mampu mencipta dunia kami, dunia yang suka dan gembira. Dunia yang bahagia. Apa yang tidak kedapatan pada hari ini. Hampir semuanya telah pupus ditelan arus masa.

Ya, sebahagiannya telah pupus tidak bersisa. Galah panjang, bedil buluh, bola geliga, senapang pelepah pisang,  dan seribu macam permainan yang kami warisi daripada generasi terdahulu.   

Damai desa

Petang yang mendamaikan, tatkala pulang ke desa tercinta. Hajat hati mahu membawa anak-anak menjengah ke seluruh pelusuk kampung, mudah-mudahan ada sesuatu yang dapat saya tunjukkan kepada mereka. Persekitaran yang pernah mewarnai kehidupan bapa mereka satu ketika dahulu.

Saya membawa keluarga menyusuri aspal hitam yang menganjur ke sebelah baruh. Ketrampilan jalan ini adalah warisan jalan yang lama. Tetapi watak dan peribadinya dan citra wajahnya sekarang sudah berubah. Terlalu ketara perubahannya. Dari sebatang jalan bertanah merah yang sepi dengan sesetengah permukaannya dilitupi rumput menjalar ke sebatang jalan yang berturap tar hitam dan agak sibuk.

Seekor burung bangau putih terbang lalu hinggap di pohon kelat berhampiran tatkala saya memberhentikan kenderaan di tepi paya yang sudah berkurang airnya. Kalau dulu seronok melihat burung-burung bangau terbang sambil melayang hinggap di belakang kerbau yang sedang berkubang. Kami apa kurangnya, sama naik berkubang dengan sang kerbau yang bersantai-santai damai di paya tersebut.

Kawanan bangan, sekarang yang tinggal boleh dibilang dengan jari. Anehnya, entah ke mana pergi burung bangau putih yang sudah bergenerasi menghuni paya tersebut. Entah...

Saya tersenyum sendirian terkenangkan kisah lama sewaktu meranduk bersama rakan menangkap ikan laga atau lebih kami dikenali dengan panggilan ikan ‘sekilau’. Ataupun berlarian mengejar anak burung ruak-ruak yang berkaki panjang itu. Seronoknya, tanpa takut atau jeran dengan lintah ‘si penghisap darah’ yang juga banyak kedapatan di paya tersebut. Ah, bukan boleh kering pun darah dihisapnya.

Selagi matahari belum terbenam, selagi itulah kami menjelajah di sekitar paya dan semak samun. Walaupun tahu risiko balik lewat dengan badan dan pakaian yang comot. Kadang-kadang merasa juga sedas dua ‘roti panjang’ di betis hadiah dari emak. Hadiah dari sifat kasih sayang yang tidak pernah berkurang.

Saya meneruskan perjalanan, mencari secebis damai. Terdetik juga hiba di hati tatkala merenung deretan rumah usang berhampiran paya tersebut, kosong tanpa penghuni. Saya merenung dari tebing seberang sini, fikiran ligat berputar memikirkan sesuatu.

Ohh..rupa-rupanya dulu ada jambatan kecil yang merintangi paya yang menjadi laluan utama penduduk kampung untuk ke ladang getah dan kebun sayur. Jambatan yang dibina hasil muafakat gotong-royong penduduk kampung.

Masih saya ingati, tua dan muda sama-sama membinanya. Yang perempuan pula menyediakan juadah makanan untuk mereka yang bekerja. Kami, budak-budak pun menyibuk sama. Bukan mahu menolong pun, tetapi lebih kepada menunggu waktu makan. Merasai keenakan bubur kacang, bubur pulut hitam serta kuih-muih hasil air tangan makcik-makcik dan nenek-nenek.

Kini, jambatan tersebut hanya tinggal tunggul reput yang masih terpacak sebatang dua.

“Kat situ dulu ada satu alur sungai, jernih airnya. Kat hujungnya ada satu air terjun kecil. Abi selalu mandi dengan kawan-kawan,” saya cuba menggambarkan kepada anak-anak. Anak-anak mengangguk.

“Dulu kawasan ini tempat abi bermain dengan kawan-kawan, dulu semuanya semak samun. Sekarang dah jadi taman perumahan,” saya menerangkan kepada anak-anak.

“Kat tepi pagar sebelah kedai tu, ada tiga batang pokok sentul. Besar dan tinggi, kalau tiba musim ia berbuah, penuh dengan buah.” Saya menerangkan satu persatu.

Ahh..andai mahu diceritakan keseronokkan di desa tercinta tidak akan habis dan tidak sesekali menjemukan. Kerana disitulah terletaknya kedamaian dan kebahagiaan.

Bagaimana mungkin titis hujan, liku alur, paya menerung dan hijau pohonan tidak mendamaikan? Sedangkan saya lahir di alam begitu, membawa diri pulang ke asal, itulah kunci kebahagiaan yang sejati.