Sahabat Sejati

Wednesday 31 March 2021

Monday 29 March 2021

JENIS-JENIS PEMBAHAGIAN SURAH DI DALAM AL-QURAN

Soalan:

Saya ada mendengar bahawa surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada beberapa jenis. Apakah yang dimaksudkan dengan pembahagian tersebut dan berapakah jenis surah-surah di dalam Al-Quran?. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda saw, sahabat baginda saw serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda saw. 

Susunan ayat dan surah-surah di dalam Al-Quran merupakan susunan yang tauqifi iaitu susunan yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw. Ia bukannya ijtihad daripada Nabi saw mahupun sahabat.Ini merupakan pandangan jumhur para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Suyuti. (Rujuk Asrar Tartib Al-Quran, hlm 42). 

Imam Al-Baihaqi menyebut bahawa Al-Quran pada zaman Nabi saw disusun surah dan ayatnya seperti susunan yang ada pada hari ini. (Rujuk Dalail Al-Nubuwwah,7/152; Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran, 1/256 , Al-Tajbir Fi Ilm Al-Tafsir oleh Imam Al-Suyuti,hlm 173) 

Perkara ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Uthman Bin Abi Al-‘As. Kata beliau: 

 كُنْتُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا إِذْ شَخَصَ بِبَصَرِهِ ثُمَّ صَوَّبَهُ حَتَّى كَادَ أَنْ يُلْزِقَهُ بِالْأَرْضِ قَالَ ثُمَّ شَخَصَ بِبَصَرِهِ فَقَالَ أَتَانِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَأَمَرَنِي أَنْ أَضَعَ هَذِهِ الْآيَةَ بِهَذَا الْمَوْضِعِ مِنْ هَذِهِ السُّورَةِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ 

Maksudnya: ”Aku duduk di sisi Rasulullah saw lantas Rasulullah saw meluaskan matanya kemudian membetulkannya sehingga hampir melekat dengan tanah. Lalu Nabi saw bersabda : Jibril telah datang kepada aku dan memerintahkan aku (dengan perintah daripada Allah) supaya meletakkan ayat ini di dalam surah ini. Ayat tersebut ialah إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (Surah Nahl : 90). Riwayat Imam Ahmad (17918) 

Seperti mana yang dinyatakan oleh Al-Ja’bari, surah merupakan tajuk yang mana di dalamnya terkandung ayat-ayat Al-Quran dan ianya mempunyai permulaan dan penutup. Kenyataan Al-Ja’bari ini dinukilkan oleh Imam Al-Suyuti di dalam kitabnya Al-Itqan. Imam Al-Suyuti kemudiannya menyatakan bahawa nama-nama surah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah tauqifi.(Rujuk Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran, 2/347). 

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada empat kategori dan bahagian. Bahagian tersebut ialah: 

Al-Sab’u Al-Tiwal 

Al-Miin 

Al-Mathani 

Al-Mufassal 

Nama-nama ini bukanlah rekaan para ulama yang pakar di dalam bidang Al-Quran. Akan tetapi nama dan kategorinya dinyatakan sendiri oleh Nabi saw. Ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Wathilah Bin Al-Asqa’. Sabda Nabi saw: 

 أُعْطِيتُ مَكَانَ التَّوْرَاةِ السَّبْعَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الزَّبُورِ الْمَئِينَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الْإِنْجِيلِ الْمَثَانِيَ وَفُضِّلْتُ بِالْمُفَصَّلِ 

Maksudnya: ”Aku diberikan Al-Sab’a Al-Tiwal sebagai ganti kepada Taurat. Aku juga diberikan Al-Miin sebagai ganti kepada Zabur. Dan Aku juga diberikan Al-Mathani sebagai ganti kepada Injil dan aku dilebihkan dengan diberikan Al-Mufassal.” Riwayat Imam Ahmad (16982) di dalam Al-Musnad 

Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menyatakan bahawa sanad hadis ini adalah sanad yang hasan. Di dalamnya sanad tersebut ada seorang perawi yang bernama ‘Imran Bin Al-Qattan yang dikenali sebagai Ibnu Dawar. Beliau merupakan perawi yang diterima periwayatannya. Dan kebanyakan perawi yang ada di dalam sanad hadis ini adalah perawi yang dipercayai kredibilitinya (thiqah). (Rujuk Musnad Ahmad cetakan Muassasah Al-Risalah, 28/188). 

Namun apakah yang dimaksudkan dengan Al-Sab’u Al-Tiwal, Al-Miin ,Al-Mathani dan Al-Mufassal?. 

Al-Sab’u Al-Tiwal bermaksud tujuh surah yang panjang. Surah-surah yang berada di dalam kategori ini ialah: 

Surah Al-Baqarah 

Surah Ali Imran 

Surah Al-Maidah 

Surah Al-Nisa’ 

Surah Al-‘An’am 

Surah Al-Anfal 

Surah Al-Taubah 

Al-Miin pula ialah surah-surah yang mempunyai seratus ayat atau lebih sedikit atau hampir kepada seratus. Surah-surah yang termasuk di dalam kategori ini ialah Surah Yunus,Surah Hud, Surah Yusuf, Al-Isra’, Al-Kahf, Surah Toha. Surah Al-Anbiya’, Surah Al-Qasas dan Surah Al-Hajj. 

Al-Mathani ialah surah-surah yang jumlah ayatnya kurang daripada seratus. Imam Al-Zarkasyi menyatakan bahawa ianya dinamakan sebagai Al-Mathani kerana pengkhabaran dan kisah-kisah banyak diulang di dalam surah-surah kategori Al-Mathani. (Rujuk Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran,1/245) 

Al-Mufassal pula adalah kategori selepas daripada Al-Mathani. Ianya dinamakan sebagai Al-Mufassal kerana banyaknya Al-Fasl iaitu penutup atau pemisah ayat di antara Surah dengan Basmalah. 

Para ulama berselisih dalam menentukan surah apakah permulaan Al-Mufassal. Ada yang mengatakan ianya bermula daripada Surah Qaf. Ada pandangan yang menyatakan ianya bermula daripada Surah Al-Hujurat.Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi. (Rujuk Manahil Al-‘Irfan Fi Ulum Al-Quran, 1/352). Ulama tafsir kotemporari seperti Dr Fadhl Hassan Abbas pula menyebut bahawa pada pandangan beliau, Al-Mufassal bermula daripada Surah Muhammad. (Rujuk Itqan Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran, 1/448). 

Al-Mufassal terbahagi pula kepada tiga bahagian. Yang pertama adalah yang panjang (Al-Tiwal).Ianya sehingga Surah Al-Buruj. Yang kedua adalah yang pertengahan (Al-Awsat). Ia bermula dari Surah Al-Tariq sehingga Surah Al-Bayyinah. Yang ketiga adalah yang pendek (Al-Qisar). Ia bermula daripada Surah Al-Zalzalah sehingga Surah Al-Nas. (Rujuk Manahil Al-‘Irfan Fi Ulum Al-Quran, 1/352). 

Kesimpulannya, surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada empat iaitu Al-Sab’u Al-Tiwal, Al-Miin, Al-Mathani dan Al-Mufassal. Ianya berdasarkan kepada nas hadis yang thabit daripada Nabi SAW. Semoga pencerahan yang kami berikan mampu memberikan kefahaman terhadap persoalan yang dikemukakan. 

Wallahu’alam.

Friday 19 March 2021

SAHABAT NABI SAW YANG PALING AKHIR MENINGGAL DUNIA

Sahabat adalah merupakan generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam. Kemuliaan para sahabat disebutkan sendiri oleh Nabi saw. Nabi saw bersabda :

  خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ 

Maksudnya : “Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).” Riwayat Muslim (6632) 

Bahkan Allah SWT meredhai mereka dan ianya dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran. Firman Allah :

 وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ 

Maksudnya : “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Surah Al-Taubah : 100) 

Al-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Rujuk Fath Al-Qadir Al-Jami Baina Fannai Al-Riwayah Wa Al-Dirayah Fi Ilm Al-Tafsir, 2/386). 

Oleh kerana itu, tidak boleh sewenang-wenangnya mencela atau mencaci apatahlagi memaki para sahabat. Nabi saw pernah memberikan peringatan supaya jangan mencela para sahabat Baginda. Nabi SAW bersabda :

 لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ 

Maksudnya : “Jangan kalian mencela para sahabatku. Jika salah seorang dari kalian menginfakkan emas sebanyak bukit uhud, ia tidak akan capai segantang infak yang dilakukan oleh para Sahabat. Bahkan tidak sampai separuh pun.” Riwayat Al-Bukhari (3673) & Muslim (6651) 

Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan Al-Qadhi Iyadh bahawa para Sahabat melebihi orang-orang yang datang selepas mereka. Ini disebabkan apa yang mereka infakkan adalah ketika waktu darurat dan ketika kesempitan. Kesemuanya adalah semata-mata untuk membantu, menyokong dan melindungi Nabi SAW. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 8/92). 

Nabi saw pernah memberikan isyarat berkenaan tempoh masa generasi Sahabat. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Beliau berkata :

 صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ صَلَاةَ الْعِشَاءِ فِي آخِرِ حَيَاتِهِ فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ فَقَالَ أَرَأَيْتَكُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ عَلَى رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَوَهَلَ النَّاسُ فِي مَقَالَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ فِيمَا يَتَحَدَّثُونَ مِنْ هَذِهِ الْأَحَادِيثِ عَنْ مِائَةِ سَنَةٍ وَإِنَّمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ الْيَوْمَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ يُرِيدُ بِذَلِكَ أَنْ يَنْخَرِمَ ذَلِكَ الْقَرْنُ 

Maksudnya : “Nabi saw mengimamkan solat Isyak pada satu malam ketika akhir hayat Baginda. Apabila Baginda memberi salam, Baginda bangun seraya bersabda : Adakah kalian lihat pada malam ini. Sesungguhnya pada permulaan seratus tahun tidak akan ada seorang yang hidup di atas muka bumi ini. Kata Ibnu Umar: Orang ramai terkejut dengan apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tentang seratus tahun. Apa yang dimaksudkan oleh Nabi adalah berakhirnya generasi ini (yakni generasi para sahabat).” Riwayat Muslim (4650) 

Ibnu Umar memahami bahawa tidak akan ada dari kalangan para sahabat yang akan hidup melebihi seratus. Beliau juga memahami daripada sabdaan Nabi bahawa zaman generasi para sahabat akan habis. 

Di dalam riwayat yang lain, Nabi saw bersabda :

 ما من نفس منفوسة اليوم، تأتي عليها مائة سنة، وهي حية يومئذٍ 

Maksudnya : “Tidak ada nyawa yang akan hidup pada seratus tahun.” Riwayat Muslim (2538) 

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi ialah sesiapa yang ada pada malam tersebut iaitu para sahabat, mereka tidak akan hidup lebih seratus tahun. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 16/89) 

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, sahabat yang paling akhir meninggal dunia ialah ‘Amir Bin Wathilah Al-Laithi. Gelaran kunyah beliau ialah Abu Al-Tufail. Beliau wafat di Mekah pada tahun 110 H. Beliau lahir ketika tahun berlakunya perang Uhud. Beliau sempat bersama dengan Nabi selama 8 tahun. (Rujuk Ma’rifah Al-Sahabat Li Abi Nu’aim Al-Asbahani, 6/3534). 

Imam Al-Zahabi menyebut bahawa beliau merupakan penutup bagi generasi yang pernah melihat Nabi SAW. Tidak ada yang berani mengaku pernah menjadi Sahabat Nabi ketika mana beliau masih hidup.Ianya berterusan pada zaman tabi’in dan Tabi’ Tabi’in sehingga selepas 500 tahun barulah muncul orang yang mengaku pernah melihat dan menjadi Sahabat di benua India. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 3/468). 

Ibn Abdul Barr menyebut bahawa beliau orang yang terakhir dari kalangan sahabat. Abu Tufail pernah menyebut : 

 ما بقي على وجه الأرض عين تطوف ممن رأى النبي صلى الله عليه وسلم غيري 

Maksudnya : “Tidak ada lagi di atas muka bumi yang pernah melihat Nabi saw selain daripada aku.” (Rujuk Al-Isti’ab Fi Ma’rifah Al-Ashab, 4/1967) 

BIODATA ABU TUFAIL 

Nama sebenar beliau ‘Amir Bin Wathilah Bin Abdullah Amru Al-Laithi Al-Kinani Al-Hijazi. Beliau merupakan antara pendokong dan pengikut Saidina Ali R.A. Oleh kerana itu, Imam Al-Zahabi menggelar beliau sebagai Al-Syi’i iaitu pendokong dan penyokong Saidina Ali. Beliau melihat Nabi ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan iaitu haji terakhir Nabi SAW). 

Beliau meriwayatkan hadis daripada beberapa orang para sahabat. Antaranya Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Bin Al-Khattab, Muaz Bin Jabal, Ali dan lain-lain lagi. Bahkan beliau juga menjadi rujukan oleh beberapa orang dari kalangan Tabi’in seperti Habib Bin Abi Thabit, Al-Zuhri, Abu Zubair Al-Makki, Ali Bin Zaid Bin Jad’an dan lain -lain lagi.

Imam Al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau adalah seorang yang thiqah (terpercaya), benar percakapan dan tindak tanduknya, alim, seorang penyair yang hebat. Ia diberikan umur yang panjang dan banyak bersama Saidina Ali dalam banyak peperangan. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 5/466-467). 

Semoga Allah merahmati Abu Tufail.Wallahu’alam.

Tuesday 9 March 2021

Agihan naskhah al-Quran di Chad

Alhamdulillah, telah menyempurnakan agihan waqaf al-Quran yang telah diamanahkan. 

Sebanyak 600 naskhah al-Quran telah diagihkan kepada pelajar-pelajar pusat pengajian Islam di perkampungan Rawraw selatan Chad sempadan Afrika Tengah. Alhamdulillah, wakil kami di sana menjalankan tugas pengagihan dengan baik sekali. 

Semua naskhah Al-Quran ini adalah hasil waqaf daripada muslimin dan muslimat melalui Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Pahang. 

Teringat ucapan seorang sahabat relawan Indonesia, "Salah satu yang bisa kita wariskan dan bermanfaat bagi sesama adalah dengan mewakafkan mushaf Alquran. Tak hanya bermanfaat bagi yang membutuhkan, warisan ini juga kelak akan menjadi bekal terbaik kita di akhirat. Bayangkan, berapa pahala yang akan kita dapatkan saat setiap huruf dibaca, dan amalannya diamalkan? Masyaallah banyaknya! 

Moga Allah SWT membalas dengan sebaik-baik ganjaran buat pewaqaf sekelian.