Sahabat Sejati

Friday 28 June 2019

Rehat Minda: Pesan Murabbi 116

Salam Jumaat.


"Ketika fitnah itu dibuka hanya orang pintar yang tahu ketika awal pintu itu dibuka.
Sedangkang orang bodoh baru mengetahui setelah semuanya hancur"

Tuesday 18 June 2019

AS SYAHID DR. MOHAMMAD MORSI... Bergembiralah kamu dengan jualan kamu yang diterima Allah

Telah pergi seorang pejuang menemui Rabb-nya.

Begitulah kisah panjang seorang insan bernama Dr. Mohamed Morsi al-Hafiz. Beliau dilantik secara sah oleh rakyat menjadi Presiden Mesir ke-5 antara tahun 2012-2013. Namun digulingkan pada 30 Jun 2013 oleh perampas kuasa dikepalai Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (kini menjadi Presiden Mesir ke-6). Lalu beliau dituduh, difitnah, ditangkap, diseksa di dalam penjara. Semalam, ketika dalam perbicaraan kes tuduhannya beliau rebah pengsan dan meninggal dunia, pergi buat selama-lamanya. Allahu Rabbi. Semoga Allah SWT mengangkat darjat dan merahmati rohnya.


Perjuangan ini milik Allah SWT. Ia pasti dipelihara oleh Allah SWT. Setiap yang gugur Syahid adalah kekasih Allah SWT. Pasti akan ada pengganti yang akan terus memperjuangkan agama Allah ini, hingga ke hari yang dijanjikan oleh Allah SWT. Tetap teguhlah kita di jalan ini. Allahumma ameen. Al-fatihah buat As-Syahid Dr Muhammad Mursi al-Hafiz. 



RASMI DARI PARTI KEADILAN DAN SEJAHTERA (FJP) - PRESIDEN MORSI MENDAKWA PEMBUNUHAN TERANCANG TERHADAPNYA (Terjemahan)

Dalam ayat terakhir Presiden Morsi: Saya berhadapan kematian yang disengajakan

.. Saya dipengsankan lebih daripada sekali pada minggu lepas.

Terdapat mesej penting kepada rakyat yang saya ingin pertahankan, sedangkan hakim menjadi penghalang dan menutup suara.

Al-Syahid Dr Mohamed Morsi berkata yang beliau menghadapi kematian yang disengajakan oleh pihak berkuasa kudeta, dan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Beliau menambah, semasa kes perbicaraan itu yang dikenali sebagai "serangan penjara", beliau telah dipengsankan sepanjang minggu lalu, tanpa rawatan atau bantuan kecemasan.

Presiden Morsi meminta ketika pembelaannya agar mahkamah membenarkannya bertemu dengan pasukan pembelaannya, kerana dia mahu menyampaikan amanat kepada rakyat Mesir mengenai hal-hal penting.

Namun, Mahkamah menutup suaranya dan menghalangnya daripada terus bercakap, sehingga beliau pengsan di dalam sangkar kaca yang kedap bunyi.

Saturday 8 June 2019

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (2)

Sambungan daripada: Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (1)

3 – Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu? 

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan maka puasanya tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. 

Ada dikalangan ulama Syafi`iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Lihat: Mughni al-Muhtaj 2/184, Hasyiah asy-Syarqawi 1/428, Fatawa al-Azhar 9/261 Al-Maktabah asy-Syamilah) 

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahua`lam. 

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula). 

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw. 

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit daripada sunnah Rasulullah saw. 

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan. 

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah SWT akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. 

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya.

Friday 7 June 2019

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (1)

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan), dan puasa tahunan (hari Arafah, Asyura dan enam hari dalam bulan Syawal). 

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi): “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” 

(Rasulullah saw menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” (Muslim, no: 1151) 

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. 

Abu Said al-Khudri ra. berkata: Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah SWT menjauhkan mukanya daripada api neraka selama 70 tahun.” (al-Bukhari, no: 2840) 

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Risalah ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini. 

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal 

Abu Ayyub al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Muslim, no: 1164) 

Di dalam hadis ini, Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. 

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. 

Hukum Puasa Enam Syawal Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam an-Nawawi rham: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian daripada puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah daripada puasa Ramadhan.” (Syarah Sahih Muslim, 8/56) 

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal? 

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra. berkata: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” (al-Bukhari, no: 1991) 

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal? Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama ialah: 

1 – Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus? 

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. 

Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhanmu, dan (ke arah mendapatkannya) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Ali-Imran: 133) 

2 – Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan 

Wujud perbincangan di kalangan para ulama, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat: 

Pendapat Pertama: 
Boleh melakukannya, berdasarkan dalil daripada Aisyah rha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya`ban yang akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bukan Sya`ban.” kerana sibuk melayani Rasulullah saw. (Muslim, no: 1146. Al-Bukhari, no: 1950) Penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa`id. 

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah rha, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya`ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan. 

Pendapat Kedua: 
Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari daripada bulan Syawal, maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. 

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan yang ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. 

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Ali-Imran yang dikemukan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada yang sunat. 

Namun, sekiranya seseorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah rha. 

Menurut Imam an-Nawawi rham, mazhab Malik, Abu Hanifah, asy-Syafie , Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (`ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya.” (Syarah Sahih Muslim 8/22) 

Menurut al-Khatib asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat.” (Mughni al-Muhtaj 2/181, cet. Darul Kutub al-Ilmiah, Beirut).

Wednesday 5 June 2019

Salam Aidilfitri 1440H


Ramadhan telah pun melabuhkan tirainya. Berlalu meninggalkan kita semua tanpa menoleh ke belakang dan akan kembali lagi pada tahun seterusnya dengan izin-Nya. Namun yang pastinya apakah kita masih diberi peluang untuk mendakap Ramadhan yang akan datang? Allah jua yang mengetahui.

Tibanya hari raya yang mulia yang disyariatkan untuk kita menyambutnya.

Justeru, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua sahabat khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan yang sangat saya muliakan. Dengan hamparan setulus hati, saya memohon ampun dan maaf andai ada gurisan hati disebabkan perbuatan, perkataan maupun tulisan.

Akhir kalam, Eid Mubarak Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair...

Saudara kalian.
abuikhwan & famili

Sunday 2 June 2019

Indahnya zaman itu

'Rindunya zaman itu'

Nostalgia dan amat mengesankan, Ramadhan di zaman bocah, zaman anak-anak desa. 

Ramadhan pada zaman kita masih kecil, adalah kenangan yang terindah. Apa yang telah kita lalui pasti menjadi kenang-kenangan. Lalu kita sajikan kembali buat perbandingan dengan anak-anak kita hari ini. Perbezaan semestinya ada, yang telah melaluinya sahaja dapat memberikan jawapan. 

Ada masanya, saat bersantai-santai damai saya paksa memori kelam untuk mengingati satu-persatu bongkah-bongkah memori yang dilalui. Suka, gembira, sedih, sebak dan bermacam-macam perasaan yang berdetak tergaul sebati, tetapi sentiasa mengundang bahagia. 

Bukanlah Ramadhan dahulu lebih canggih sambutannya berbanding hari ini. Tetapi Ramadhan zaman dahulu adalah zaman kami masih bocah di desa nan permai. Saat desa yang masih pekat dengan adat kejiranannya, zaman ‘anak aku anak kamu’. Tiada istilah jaga anak masing-masing. Sesiapa bebas menegur anak-anak sekampung. 

Demikianlah wajah dan citra desa yang pernah saya nikmati kemanisannya suatu ketika dahulu. Jika hari ini, awas, jangan sesuka hati menegur atau menasihati anak-anak jiran. Nanti kita pula disinis atau disergah. Jika tidak kena gaya orang tua pula yang berbalah. 

Kembali ke zaman bocah 

Dahulu, masih saya ingati keseronokan bersolat tarawih di surau kampung, bertiang kayu serta berdinding dan berlantai papan yang disusun berlapis-lapis. Saat turun sujud bergerutup bunyi lantai berlaga dengan lutut-lutut para jemaah. Sekarang ini amat sulit untuk bertemu dengan surau atau masjid kayu, kebanyakannya telah dibina dengan batu dan rekabentuk yang sangat menarik.

Manakala imamnya pula hanyalah imam kampung yang membacakan surah-surah lazim. Tiada lagi imam tahfiz seperti hari ini. Jauh sekali imam yang di bawa khas dari tanah arab. Tidak seperti sekarang, bertuahnya anak-anak zaman ini. 

Masih juga menjadi ingatan setiap kali Ramadhan tiba, kami (saya dan rakan-rakan) secara automatik menjadi pembantu yang setia di surau. Menolong pakcik-pakcik memasak juadah berbuka, membancuh air minuman, memotong buah tembikai, membasuh pinggan mangkuk selepas berbuka dan moreh serta apa sahaja tugasan yang diarahkan tanpa berbasa-basi. 

Teringat juga kerajinan membantu menyediakan juadah moreh, kemudian ‘mencuri’ dua tiga ketul juadah moreh yang terhidang di atas meja saat atuk-atuk dan pakcik-pakcik bersolat terawih. Kemudian pergi bermain mercun dan bunga api, bermain kejar-kejar atau apa sahaja permainan dan kembali menyertai solat terawih yang hampir selesai sebagai ‘lakonan’. Begitulah nakalnya zaman bocah di usia 9 atau 10 tahun. 

Hakikatnya atuk-atuk dan pakcik-pakcik tersebut tahu kami tidak ikut sembahyang tarawih melainkan ke surau untuk bermain-main bersama rakan sebaya. Itulah, budak-budak. Bulan Ramadhan adalah saat yang paling seronok bermain dan berkejaran di saat sembahyang tarawih didirikan. Sementelah pula orang tua memberikan ‘lesen’ untuk keluar malam. 

Namun apa yang saya perhatikan, atuk-atuk dan pakcik-pakcik ini tidak pula memarahi walaupun tahu kami tidak sembahyang dan membuat bising. Ah, jauh sekali mahu menengking maupun mengherdik keras. Ada masa-masa mereka menasihati dengan tutur kata yang lembut. Sambil menasihati mereka mengusap bahu kami penuh mesra. 

Demikianlah, kata-kata yang lembut dan nasihat yang baik melenturkan hati kami. Walaupun selepas itu kami masih lagi bermain, bermain dan terus bermain, manakala mereka pula tidak jemu-jemu menasihati kami. 

Namun, kata-kata yang lembut ibarat penawar yang berkesan. Walaupun pada masa itu ia tidak diendahkan, namun sebenarnya nasihat tersebut sampai ke hati. Mungkin kerana itulah menyebabkan hati kami masih melekat pada surau dan masjid sehingga sekarang. 

Teringan pesanan sang murabbi: 
“Jangan berputus asa, jangan kecewa dan berasa lemah tidak berupaya. Setiap kali kita bercakap seruan dakwah, cakap itu sebenarnya sampai. Biar pun ia disambut dengan ejekan dan caci makian, ia sudah pun tembus ke telinga, mata, otak dan hatinya. Dia mungkin meremehkannya di depan dirimu. Namun akan sampai harinya, mutiara pemberianmu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan. Berlapang dadalah kalian wahai adik-adik di medan dakwah. Jalan itu memang begitu. Tugasmu bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan”. 

Tradisi desa

Oh, mana mungkin saya boleh melupakan amalan tradisi bertukar juadah berbuka puasa. Satu amalan yang sangat sinonim dan mewarnai citra desa. Amalan yang cukup berkesan untuk memutikkan jalinan kemesraan sesama jiran sekampung. 

Lazimnya setiap kali hampir waktu berbuka, maka bermulalah tugas saya menghantar juadah berbuka ke rumah jiran-jiran. Rumah makngah Liyah, rumah makcik Wok, rumah makngah Senah dan beberapa lagi jiran yang menjadi sasaran. Dan kemudian mereka semua membalas semula ‘pinggan’ yang dihantar. Ada yang membalas dengan mihun, buah melaka, lompat tikam, bubur lambuk dan sebagainya. 

Tidak hairanlah jika emak hanya menyediakan satu dua juadah, tetapi tatkala tiba waktu berbuka berjenis-jenis juadah pula yang terhidang di atas meja. Tetapi lain pula yang berlaku di zaman ini. Mereka bertukar-tukar pula juadah melalui aplikasi whatsapp. 

Masih saya ingati juga setiap kali hampirnya masuk waktu berbuka, akan berkumandang alunan muzik ghazal dari corong radio transistor. Dentingan tali-temali gambus yang sungguh melankolik itu bagaikan membawa terbang perasaan ke dunia yang lain. Kini, suasana itu telah diganti dengan alunan nasyid yang lebih moden. 

Saat menanti masuknya waktu berbuka adalah saat yang paling menyeronokkan. Berkumpul bersama seisi keluarga, pada masa itu mana ada lagi budaya selfie Duduk berhadapan dengan juadah yang enak-enak, terutama air sirap selasih yang menggiurkan. Air sirap itu juga berbau pandan kerana air gulanya dimasak dengan daun pandan. 

Tatkala di campur dengan biji selasih yang telah kembang kemudian dimasukkan dua tiga ketul ais, hanya Tuhan sahaja yang tahu nikmat meneguknya. Terasa dingin menguasai anak tekak lantas menerjah hingga ke dasar perut. Saat itu tiadalah air yang paling sedap melainkan air sirap selasih berbau pandan. 

Saat berkumandang laungan "Allahu akbar, Allahu akbar" dari surau berhampiran, itulah kemuncak kegembiraan bagi kami, anak-anak desa.. 

Demikianlah, setiap orang pasti punya pengalaman tersendiri mengenai Ramadhan ini. Apa yang saya coretkan hanyalah secebis memori silam yang masih bersarang di minda tua. Tiap kali mengingatinya saya merasakan seperti kembali ‘muda’.