Sahabat Sejati

Wednesday 22 September 2021

Tuesday 21 September 2021

Jangan biarkan hati sekeras batu

foto hiasan ~ sumber

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya di dalam jasad seseorang ada seketul daging, apabila baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila rosak daging itu maka rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah saw menggambarkan bahawa fungsi hati secara maknawi, iaitu hati yang menentukan perjalanan hidup anak Adam di segenap perkara, hati juga yang memberi gambaran kehidupan sebenar untuk menjadi hamba Allah SWT. 

Sekiranya ia dimakmurkan dengan iman dan keyakinan, sudah tentu ia akan memandu seluruh anggota yang lain dengan penuh ketundukan dan kepatuhan dalam kebaikan. 

Namun, jika hati tidak diurus dan dirawat daripada kelalaian dan keingkaran yang bertapak di dalamnya, maka ia akan terputus hubungan dengan Allah SWT seumpama layang-layang yang terputus tali, terbang tanpa haluan. Akhirnya ia semakin menjauh. 

Al-Quran menggambarkan hati yang tidak dikawal lama-kelamaan akan menjadi keras sebagaimana kerasnya batu, bahkan lebih keras lagi. Ketika itu sukar untuk kebaikan masuk ke dalamnya. 

Firman Allah SWT: "Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Sesungguhnya pada sebahagian batu-batu itu,terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan ada pula di antaranya yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedang Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa sahaja yang kamu kerjakan.” (aL-Baqarah: 74) 

Syeikh an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil, berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering. Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah. Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan.” 

Manakala Syeikh as-Sya’rawi pula menyebut di dalam tafsirnya: Kenapa Allah menyebut hati dan menyifatkannya dengan keras, di samping tidak menyebut berkenaan jiwa atau nafsu? Ini kerana hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang. 

Oleh itu, lembutkanlah hati untuk menerima segala kebaikan. 

Ibnu al-Qayyim rahimahullah mengatakan dalam kitabnya Bada’i al-Fawa’id [3/743], “Tatkala mata telah mengalami kekeringan disebabkan tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya keringnya mata itu adalah bersumber dari kerasnya hati. Hati yang paling jauh dari Allah adalah hati yang keras.” 

Ingatlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui atas setiap perbuatan kita dan kita pasti akan bertemu dengan-Nya pada hari kiamat nanti untuk dipertanggungjawabkan. Sedangkan di waktu itu kita amat berhajat dengan segala rahmat dan keampunan-Nya. 

Ya, kita semua amat berhajat kepada rahmat dan keampunan-Nya. Justeru, jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan hati keras sehingga dibuang daripada mendapat rahmat Allah. Jika tidak kitalah yang akan menanggung penyesalan yang tidak terhingga. 

Ya Allah, lunakkanlah hati kami dengan mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu… 

Anda mampu mengubahnya!!!

Friday 3 September 2021

Gelang putih pula

'Gelang putih pula'

Dalam renyai-renyai hujan, roda kenderaan bergolek perlahan menuju ke destinasi. Hari ini saya perlu melakukan ujian swab yang kedua. Ujian yang dibuat secara 'drive thru' ternyata amat memudahkan. Tidak perlu menunggu lama biarpun ramai yang berpusuan. 

Termasuk kali ini, sudah lima kali saya melakukan ujian swab. Ada yang sakit sehinggakan saya merasa seperti berdarah hidung. Ada pula yang sebaliknya. Tak mengapalah, itu pun satu pengalaman yang berharga. 

Alhamduillah, selesai ujian swab kedua. Gelang berwarna pink juga sudah dipotong. Manakala gelang putih mula mengambil alih tugas di lengan. Insya-Allah dalam 2 atau 3 hari lagi keputusannya akan diperolehi. Moga semuanya baik-baik sahaja. 

Sudah dua minggu tidak dapat bersolat Jumaat kerana masih 'terkurung'. Moga 'keterpaksaan' ini Allah SWT memaafkan dan mengiranya juga sebagai ibadat kerana atas usaha dan ikhtiar untuk memutuskan penularan wabak penyakit.

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ ۖ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ ۗ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An Nahl: 96) 

Allahu al-Musta`an.

Thursday 2 September 2021

Cetusan rasa: Hujan dan kerinduanku

'Terkurung'

Cuaca hari ini dingin sekali. Hujan yang turun sejak waktu subuh berdetak menimpa atap anjung rumah saya. Sesekali angin yang bertiup menambah rasa dingin. Sebenarnya sudah dua tiga hari hujan turun di tempat saya. Sudah pun mula memasuki musim tengkujuh barangkali.

Saya yang 'terkurung' di dalam bilik bacaan, sesekali menjenguk keluar jendela. Sepasang anak mata memerhatikan rintik-rintik hujan yang menimpa aspal hitam di hadapan rumah. Baru semalam lorong-lorong di taman perumahan saya diturap semula batuan tar. Seingat saya lebih sepuluh tahun jalan ini telah digunakan. Habis semua lubang dan lopak ditambun. Sekarang semuanya tampak baru. Ah, nikmat pembangunan.  

Hujan masih lagi turun. Suasana yang mendung sebegini seringkali menghadirkan perasaan yang berbaur. Adakalanya perasaan itu sukar untuk difahami. Terasa ada kerinduan yang terlalu sulit mahu diungkapkan dengan kata-kata. Kadang-kadang ia menusuk sehingga menyesakkan dada. Sukar untuk saya gambarkan. Sejujurnya saya rindukan ayahanda  dan bonda yang telah lama mendahului ke alam abadi.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amin.”

Insya-Allah hari ini saya akan melakukan ujian swab untuk kali yang kedua. Moga keputusannya kekal negatif sebagaiman ujian yang pertama dulu. Syukur juga hari ini tiada kematian di negeri Pahang akibat pandemik Covid 19 ini. Mudah-mudahan semakin hari keadaan semakin baik.  

Doakan.