Sahabat Sejati

Friday 29 December 2017

Kunjungan yang menginsafkan (syafakallah duhai sahabatku)


Usai menyantuni anak-anak yatim dan kurang berkemampuan dalam program 'Back 2 School' (B2S) di bandar Temerloh, kami (YAMCP) membawa pula mereka menikmati makan tengahari di arked makanan yang berdekatan. Menu nasi ayam Temerloh menjadi habuan perut yang berkeroncong minta diisi. Alhamdulillah, seronok melihat keceriaan yang terpamer diwajah anak-anak yang diraikan. Kami juga turut tersenyum lebar tanda kepuasan.

Teringat nasihat seorang teman, agar tidak menonjolkan kerja-kerja kebajikan serta kemanusiaan yang dilakukan. Katanya, biarlah tangan kiri tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan. Maksudnya biarlah kebajikan yang dilakukan dengan disembunyikan. Saya sekadar tersenyum, tetapi hati kecil turut mengiyakan apa yang dimaksudkannya. Benar sahabatku, terima kasih atas nasihat yang sangat baik itu!

Dalam berkira-kira, saya menyimpulkan, pada hakikatnya, apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar individu atau menonjolkan diri sendiri semata-mata. Tetapi ianya adalah kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Ada sebab dan alasan mengapa saya sering tonjolkan aktiviti dan program yang melibatkan NGO kami ini.

Bagi saya, ada perbezaan yang ketara di antara sesuatu yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atau organissasi.  Jika dari sudut individu, ia adalah suatu yang boleh diterima, "sembunyikan". Namun, bagi pertubuhan atau organisasi yang bergerak di atas sumbangan orang ramai, setiap program kebajikan perlu ditonjolkan. Mengapa? Ianya agar orang ramai dapat melihat apa yang telah dilakukan dengan setiap sen sumbangan mereka. Malahan, dengan menonjolkan gerak kerja yang dilakukan dapat meraih kepercayaan orang ramai dan korporat untuk terus menyumbang.  

Benar, memang kebaikan yang dilakukan individu perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang ada, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak. 

Ah, jauh pula saya melencong. Apa pun terima kasih sahabat, akan saya ingat nasihat yang dititipkan. Saya mengambil manfaat daripadanya.

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman” (adz-Dzaariyaat: 55)  

Ke kampung Batu Sawar


Destinasi seterusnya adalah kampung Batu Sawar yang terletak di tebing Sungai Pahang. Ia sebenarnya perancangan yang sudah diatur dalam mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang tempohari. Bersama dengan dua lagi sahabat, perjalanan dimulakan. Manakala sahabat di Temerloh tidak ikut serta kerana perlu menghantar pulang anak-anak yatim tadi. Azan zohor sayup-sayup berkumandang tatkala kami bergerak keluar dari pusat bandar.

"Kita solat jamak di Batu Sawar nanti," tukas seorang sahabat, Johari namanya. Seorang yang sangat komited dalam kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan. Beliau baru sebulan pulang dari menyantuni pelarian Rohingya di khemah pelarian di Coxbazar, Bangladesh.

Dari pusat bandar Temerloh, kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki meluncur laju menyusuri aspal jalan menuju ke seberang sungai Pahang. Seterusnya membelok ke kiri memasuki jalan tar yang agak kecil. Sejujurnya saya belum pernah ke kampong Batu Sawar, namun seingat saya ada beberapa tempat yang juga berkongsi nama Batu Sawar seperti di Kuantan dan Kota Tinggi. Tetapi saya belum pernah lagi ke tempat yang bernama Batu Sawar di Kota Tinggi.

Hasrat ke sana semata-mata mahu menziarahi seorang sahabat, Ustaz Suaadi Saad yang sedang terlantar sakit. Dahulunya beliau juga salah seorang daripada ALP Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, orang kuat rumah anak-anak yatim Permata Camar serta aktif berkuliah di masjid dan surau sekitar Kuantan. Ekoran kesakitan yang dihidapi, terpaksalah beliau melupakan semuanya. (insya-Allah, moga buat sementara waktu dan kembali sihat untuk kembali aktif seperti dahulu)

Ketentuan Tuhan, Ustaz Suaadi diuji dengan masalah kesihatan di bahagian tulang belakang. Sekira-kira sudah 4 tahun beliau terlantar kesakitan. Dunianya hanyalah terbaring di atas katil (Alhamdulillah, ketika ini ustaz Suaadi Saad sudah pun boleh duduk perlahan-lahan walaupun dalam keadaan kepayahan untuk mengangkat tubuhnya).

Ujian yang tanggung beliau tambah berganda apabila isterinya meninggal dunia akibat kanser ketika usia sakitnya memasuki tahun kedua. Ekoran tiada siapa yang dapat menjaganya di Kuantan, beliau dan anak-anak dibawa pulang ke rumah orang tuanya di Batu Sawar, Temerloh. Kiranya bagi saya pula ini adalah kunjungan dan ziarah pertama setelah Ustaz Suaadi dibawa pulang ke kampung halamannya.

Sepanjang perjalanan mata saya dihiburkan dengan pemandangan hijau di kiri dan kanan. Tidak terasa kebosanan walaupun jaringan jalan perhubungannya agak sempit dan kadang-kala mendaki jalan yang berbukit.

Rupa-rupanya ia sebuah kampung di pedalaman. Patutlah banyak rumah kayu bertiang tinggi dengan rekabentuk rumah Pahang tradisional. Manakala di sekeliling rumah penuh dengan pokok buah-buahan. Sememangnya saya mengimpikan suasana seperti ini. Tetapi berlainan pula dengan sahabat yang sedang memandu: “Aii, pecoh kepala duduk di sini.” Katanya sambil tersenyum.

Untuk sampai ke kampung Batu Sawar, perlu melewati beberapa kampung yang agak unik namanya. Beberapa nama kampung yang masih melekat di memori saya seperti kampung Berhala Gantang, kampung Sanggang Seberang, kampung Badok, kampung Bintang dan kampung Teluk Sentang. Kampung-kampung ini berada di sebelah kanan mudik Sungai Pahang.

Manakala di sebelah kiri mudik Sungai Pahang terdapat kampung Loyang, kampung Sanggang, kampung Kuala Sanggang dan kampung Jejawi. Beberapa nama kampung lagi tidak sempat saya simpan di dalam kepala kerana asyik dengan panorama di sepanjang perjalanan.

Kunjungan yang menginsafkan

 'Bersama Ustaz Suaadi Saad. Kagum dengan ketabahan beliau'

Sesungguhnya sakit adalah ujian daripada Allah SWT. Seorang Muslim yang ditimpa sakit lalu bersabar dengannya, maka akan diampunkan dosa-dosanya oleh Allah. Malahan ada hikmah yang besar disebalik ujian tersebut. Mungkin hikmahnya dapat kita singkapkan, tetapi banyak pula yang terhijab dan menjadi rahsia Ilahi. Mungkin suatu hari nanti apabila hijab tersebut disingkap, barulah kita mengetahui akan hikmah kebaikannya. Justeru, sesiapa sahaja yang ditimpa ujian sakit, redhalah dengan memperbanyakkan zikir serta istighfar kepada-Nya.  Saya mengingati diri yang dhaif ini.

Sebagai orang Islam, kita sememangnya digalakkan menziarahi mereka yang sakit. Sesungguhnya ia termasuk hak sesama Muslim yang perlu ditunaikan sebagaimana sabda Rasulullah saw. Tatkala melihat seseorang yang terlantar sakit, maka barulah kita menyedari akan peri pentingnya nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Maka sebab itu Nabi saw memerintahkan rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Antaranya hargailah, manfaatkanlah nikmat sihat yang Allah kurniakan dengan menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebelum datang sakit. 

Alhamdulillah, ziarah hari ini saya dan beberapa orang sahabat benar-benar menginsafkan. Hampir tumpah juga airmata saya melihat keadaanya. Saya berpaling ke arah lain lalu menyekanya dengan lengan baju.  Teringat ucapannya satu ketika, "Di perumahan anta, antalah yang ana kenal dan paling rapat.." Benar persahabatan kami sangat akrab, persahabatan yang dibajai dengan ukhuwwah fillah.

Sambil bergebang-gebang, saya menikmati titipan peringatan yang penuh hikmah disampaikan oleh Ustaz Suaadi. Dan yang paling utama, kekaguman dengan kesabaran dan ketabahan beliau dalam menghadapi ujian serta dugaan hidup.

Seputar katanya sebelum kami berangkat pulang, "Kesihatan itu milik Allah, maka Dia berhak mengambilnya tanpa mengira sesiapa. Samada hamba-Nya itu seorang yang taat ataupun engkar. Seorang yang taat akan melihat musibah itu suatu kebaikan walaupun dipandangan makhluk ianya buruk dan tidak baik. Ana redha dengan apa yang berlaku.."  

Syafakallahu duhai sahabatku!

Thursday 28 December 2017

Mengelamun di sore

'Jalan Tengah'

“Entah berapa orang lagi yang masih tinggal..” Hati berdetik tidak semena-mena. Demikianlah sore itu saya mengelamun dan berkhayal-khayal di jendela.

Ya, entah berapa bilangan lagi generasi tua di kampung saya yang masih tinggal. Mungkin yang masih ada dapat dibilang dengan jari atau mungkin juga telah pun tiada semuanya. Seketika itu saya segera membayangkan satu persatu wajah mereka yang telah tiada. Oh ya, generasi tua yang saya maksudkan ialah mereka yang baya-baya umur arwah orang tua saya.

Dua kematian

Dalam bulan ini (November) dua kematian telah berlaku yang melibatkan generasi lama kampung SKD. Saya menerima berita ini menerusi grup whatsapp kampung kami. Begitulah mudahnya dengan teknologi yang ada hari ini. Walaupun masing-masing bertebaran jauh di serata tempat, mencari rezeki dan membina kehidupan sendiri, namun teknologi ini menyatu dan mendekatkan antara satu sama lain.

Minggu lalu, berita pemergian mak long Munah tertera pada skrin telefon bimbit saya. Lantas rona wajahnya terbayang di hadapan mata. Lama sungguh saya tidak melihatnya, tidak sekali bertembung dengannya sewaktu pulang ke kampung. Seingat saya dulu dia sering menapak di jalan hadapan rumahnya (Jalan Tengah) ke kedai runcit membeli barang keperluan.

Rupa-rupanya beliau dalam keuzuran, terlantar di rumahnya. Seingat saya, usia lebih tua daripada arwah ibu saya hampir sepuluh tahun. Usia arwah ibu saya jika dia masih ada sekarang dalam 70 tahun, maknanya usia mak long Munah pula tentu dalam 80 tahun. Sudah tua benar. 

Rumah mak Long Munah dengan rumah arwah ayahanda saya berada di jalan yang sama (Jalan Tengah). Dulu-dulu, bersebelahan rumahnya terdapat semak belukar tempat saya dan rakan-rakan bermain. Belukar resam yang subur menjadi tempat kami bermain berbagai permainan. Polis sentri, perang combat, tang nusuk (sorok-sorok) dan seribu satu macam permainan budak-budak. Selalu juga mak long Munah menjerit dari pintu rumahnya, bimbang kami terpijak duri atau sembilu. Bagaikan masih terngiang-ngiang jeritannya dalam loghat Terengganu.

Kak Midah 

Terdahulu daripada itu, kematian pertama pada awal bulan. Dalam jam 10 pagi henfon saya menjerit mengabarkan berita ini. "Kak Midah isteri Nik Yahya telah pulang ke rahmatullah. Akan dikebumikan pada jam sekian-sekian....." 

Begitulah susunan ayat yang tertera menerusi aplikasi whatsapp yang saya baca. Kak Midah merupakan di antara sahahat baik arwah ibu saya. Selalu sangat mereka sekeluarga berkunjung ke rumah kami dan begitulah sebaliknya. Sifatnya yang banyak mulut menyebabkan dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Seperti mak long Munah, rumah Kak Midah juga berada di jalan yang sama dengan rumah kami.

Bagaikan masih terbayang di ruangan mata, kak Midah dan suaminya membonceng motosikal lalu di hadapan rumah pusaka kami. Selalu juga bonda melaung seraya melambai dari atas beranda agar mereka suami isteri singgah sebentar. Menikmati juadah petang yang bonda sediakan. 

Kenangan tahun 1984

Menyebut nama kak Midah, lantas mengingatkan saya kepada anak sulungnya, Nik Hamizul, yang pernah menjadi sahabat baik saya, sangat akrab persahabatan kami. Walaupun usianya lebih tua daripada saya kira-kira empat tahun, namun ia bukanlah penghalang untuk kami bersahabat baik. Mungkin disebabkan keakraban orang tua kami, maka ia tumpah pula kepada kami. 

Tetapi anak sulung arwah Kak Midah yang menjadi sahabat baik saya itu telah lama mendahului bertemu Tuhan. Arwah Mizul menghidap sakit jantung sejak kecil. Teringat saya menjelang akhir-akhir usia beliau, pada malam itu saya menemankan arwah emak ke rumah Kak Midah kerana ada perkara yang mahu mereka bincangkan. Sempat pada malam itu saya berborak dan bergurau dengan arwah Mizul sementara menantikan orang tua kami menyelesaikan urusan mereka. 

Masih jelas diingatan, keesokan paginya ketika saya bersiap-siap mahu membersihkan diri sejurus bangkit daripada tidur, sayup-sayup pukulan beduk masjid memecah kesunyian pagi. Sehinggalah ketika hari telah cerah, seorang jiran memaklumkan berita pemergian Mizul. Tersepuk saya di tangga dapur, kaki terasa lemah-longlai tidak bermaya. Serangan jantung sebelum subuh telah menjadi asbab pemergiannya.

Sehingga hari ini saya masih lagi teringat akan wajahnya dan sembang kami pada malam itu. Benar-benar peristiwa di tahun 1984 itu menjadi kenang-kenangan sehingga kini. Moga Allah SWT merahmati mereka yang telah berkelana ke alam abadi terutama ayahanda dan bondaku..

Thursday 21 December 2017

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (31)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamu `ala Rasulillah (30) di bawah tajuk: Jibril Turun Membawa Wahyu

Gua Hira` ~ sumber foto

Baginda membawa bekal makanan yang mencukupi sepanjang ibadah tersebut. Kemudian, setelah bekal makanan habis, baginda pulang menemui Khadijah untuk mengambil bekalan makanan yang sama. Akhirnya, ketika baginda berada di Gua Hira', datanglah kebenaran kepada baginda.

Malaikat Jibril mendatangi baginda dan berkata, "Bacalah!" Baginda menjawab, "Saya tidak boleh membaca." Baginda menyatakan, "Jibril merangkulku dengan kuat sehingga aku keletihan. Selepas itu dia melepaskanku. Dia kembali memberi perintah kepadaku, "Bacalah!" Maka kujawab, 'Aku tidak boleh membaca'. Maka Jibril merangkulku dengan kuat hingga aku keletihan.

Perbuatan itu berlaku sebanyak tiga kali. Akhirnya Jibril melepaskanku dan membacakan wahyu, 

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5) 

Selepas kejadian itu, Rasulullah saw pulang dengan hati yang gementar. Baginda menemui Khadijah binti Khuwailid. Baginda berkata, "Selimutilah aku, selimutilah aku." Keluarganya yang ketika itu berada di situ lantas menyelimuti baginda hingga baginda berasa tenang.

Khadijah bertanya kepada baginda, "Apakah yang terjadi kepadamu?" Baginda menceritakan kejadian yang baginda alami dan berkata dalam nada risau, "Sesungguhya aku takut pada diriku sendiri."

Khadijah menenangkan baginda, "Jangan takut. Demi Allah, Allah tidak akan menghinamu selamanya. Sesungguhnya kamu orang yang gemar menyambung tali silaturrahim, memikul amanahmu sendiri, memberi kepada orang yang tidak berpunya, menjamu tetamu dengan penuh hormat serta menolong sesiapa sahaja yang berusaha menegakkan kebenaran."

Kemudian Khadijah membawa Nabi Muhammad menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, anak bapa saudara Khadijah. Waraqah ialah orang yang memeluk agama Nasrani pada masa jahiliah. Dia giat menulis kitab dalam bahasa Ibrani. Dia juga menulis sebahagian Injil dalam bahasa Ibrani. Umurnya telah tua dan matanya pula buta.

Khadijah berkata kepadanya, :Wahai anak bapa saudaraku, tolong dengar cerita anak saudaramu ini." Maka Waraqah bertanya pada Nabi Muhammad, "Wahai anak saudaraku, apakah yang kamu saksikan?" Rasulullah saw pun bercerita kepadanya tentang apa yang baginda alami.

Mendengar penerangan itu, Waraqah berkata, "Inilah namus (tanda kenabian) yang pernah Allah turunkan kepada Musa. Semoga aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu." Rasulullah saw bertanya, "Adakah mereka akan mengusirku?" Waraqah menjawab, "Ya. Setiap yang datang membawa berita seperti yang engkau bawa, pasti dia akan dimusuhi. Jika aku masih diberi kesempatan hingga hari itu, aku akan menolongmu setakat kemampuanku."

Sayangnya, harapan Waraqah tidak kesampaian. Dia meninggal ketika wahyu berhenti turun sementara waktu.(1)

RUJUKAN:

(1) Sahih al-Bukhari, jil. I, hal. 2-3. Al-Bukhari meriwayatkan juga dengan sedikit perbezaan lafaz dalam kitab tentang tafsir dan kitab tentang tabir mimpi.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Wednesday 20 December 2017

Kita yang faqir..

Mari sejenak kita mengoreksi perjalanan hidup kita di dunia ini. Alam yang penuh dengan duri dan kabut yang melingkari perjalanan kita. Di sanalah, terkadangnya kita gembira dan berduka. Kadang-kala kita tersenyum dan menangis. Seringkali perjalanan ini terasa terlalu lapang, namun tidak kurang juga sempit yang menghimpit lagaknya.

Itulah hakikatnya kehidupan ini. Semua itu merupakan ujian buat hamba-Nya, siapakah yang terbaik amalannya. Maka laluilah ia dengan penuh kesedaran, sedar bahawa ianya ketentuan dari-Nya, sama ada baik atau buruk.

Kita adalah faqir di sisi-Nya

Kita adalah manusia yang lemah, tidak berdaya dan tidak berkemampuan. Kita semua berhajat kepada-Nya. Hendak atau tidak, setuju atau engkar, manusia memerlukan Allah SWT dalam setiap saat kehidupannya. Tiada siapa yang dapat menafikannya. Walau siapa pun dia.

Allah SWT berfirman: “Wahai manusia! Kamulah yang faqir (sentiasa berhajat) kepada Allah, sedang Allah itu Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Faathir: 15)

Dalam ayat di atas Allah SWT mengatakan bahawa manusia semuanya faqir. Semuanya amat berharap kepada Allah, tiada yang terkecuali.

Faqir lebih rendah tarafnya daripada miskin. Jika miskin memberi makna cukup-cukup makan atau kais pagi makan pagi manakala faqir memberi makna tidak mempunyai apa-apa dan terpaksa meminta-minta. Itu istilah dari sudut bahasa.

Di dalam peristiwa Badar al-Kubra, diceritakan bahawa Rasulullah saw berdoa dan bermunajat pada malam 17 Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, khusyuk dan merendah diri sehingga kain rida`nya yang di atas bahu jatuh ke tanah. Sehinggalah Abu Bakar as-Siddiq yang melihatnya lantas memujuk baginda dengan menyatakan:

“Cukuplah wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT mendengar doa permohonanmu.”

Mengapa Rasulullah berdoa dengan begitu bersungguh-sungguh? Sedangkan baginda telah mengetahui bahawa Allah SWT akan memberikan kemenangan dengan bantuan dari para malaikat. Ulama menyatakan baginda mengetahui kemenangan tentera Islam di medan Badar kerana ketika tiba di kawasan yang akan berlaku pertempuran, baginda menunjukkan kepada para sahabat tempat terbunuhnya pemuka-pemuka Quraisy.

“Si polan bin si polan terbunuh di sini.”

“Manakala si polan bin si polan pula terbunuh di sini.”

Terbukti benar apa yang dinyatakan oleh Rasulullah.

Sesungguhnya Rasulullah saw mahu mengajarkan kepada umatnya bahawa faqirnya kita dan amat berhajatnya kita kepada Allah SWT. Maka menunduklah, hanya dengan ketundukan itu kita akan memperolehi keredhaan-Nya.

“Tidaklah Kami yang meminta rezeki daripadamu, bahkan Kamilah yang memberikan rezeki kepada kamu.” (Thaha: 132)

Monday 11 December 2017

Bicara santai: Celoteh diambang sore..

Pemandangan diambang sore, rumah rakit Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang di Kg Pesagi Chenor Maran. 

Tiada malam yang diseliputi kegelapan kecuali pada akhirnya adalah fajar yang menyinsing cahaya. Tiada pula hilang terik sang matahari kecuali ia terbenam ke hujung barat menyambut datangnya malam. Begitulah Allah SWT menjalankan pergantian keduanya sebagai bahasa untuk umat manusia memahami ketetapan dan kekuasaan-Nya. Namun, ia juga adalah tanda perkiraan masa di dunia ini. Setelah terbenam sang mentari, maka berlalulah satu hari dalam kehidupan.

Memerhati dan merenung kekuasaan Allah SWT pada alam ini tidak terhitung banyaknya. Kita dapat menyaksikan dengan pancaindera, bahkan pada diri sendiri juga begitu luar biasa ciptaan-Nya yang menggambarkan peri kekuasaan Allah SWT. Apatah lagi jika merenung dan mentadabbur akan alam yang terbentang ini. 

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka dipeliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali Imran:190-191) 

Kenal dan dekati Tuhan yang Maha Bijaksana dengan membaca ayat-ayatNya, serta merenung alam jagat raya ini. Langit yang menaungi dan bumi yang terhampar tempat manusia melata berserakan. Juga memperhatikan pergantian siang dan malam. Semuanya itu penuh dengan ayat-ayat, tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia...

Sunday 10 December 2017

Moga Baitul Maqdis sentiasa di dalam peliharaan-Nya

"Baitul Maqdis kini bukan lagi milik Palestin, tetapi menjadi ibu kota Israel." Itulah yang  diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Sehubungan itu, pengiktirafan yang dilakukan dijangka seiring dengan pengumuman memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem yang terletak di Baitul Maqdis.

Baitul Maqdis merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam. Setelah dibuka oleh Saiyidina Umar bin al-Khattab, kota ini menjadi simbol keamanan sejagat, apabila menjadi tumpuan kepada penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi dalam satu kawasan yang sama. Sejarah membuktikan bagaimana manusia berbilang agama dan bangsa boleh hidup dalam aman dan harmoni, tanpa sebarang konflik, di bawah keadilan pemerintahan Islam. 

Walaupun Baitul Maqdis pernah menyaksikan pertumpahan darah dalam Perang Salib, tetapi keamanannya berjaya dikembalikan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Sejak itu, kota Baitul Maqdis terus menjadi contoh sebuah bandar yang aman. Sehinggalah wujudnya pergerakan Zionis yang melancarkan kempen untuk menjadikan Baitul Maqdis itu sebagai negeri milik bangsa Yahudi, rantau itu mula bergolak. 

Pergerakan Zionis menggunakan proksi kuasa besar dunia untuk memenuhi kehendak politik mereka merampas Baitul Maqdis. Bermula dengan perjanjian Sykes-Pikot pada tahun 1916 yang mengagihkan negara Arab kepada penjajah Barat, diikuti dengan Deklarasi Balfour pada tahun 1917 yang kononnya mengiktiraf tanah Palestin itu sebagai negara bagi Yahudi. 

Beberapa hari yang lalu, 100 tahun selepas Deklarasi Balfour, Zionis melalui sekutu utama mereka, Presiden Amerika Syarikat, sekali lagi telah mencabar keamanan di Baitul Maqdis, apabila mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang baru. Tindakan Donald Trump ini merupakan satu perkara yang perlu dikutuk, kerana bakal mengundang konflik dan sengketa yang baru dan akan berlarutan, bukan sahaja di Palestin, tetapi di seluruh dunia. 

Sebagai seorang Muslim, marilah sama-sama kita menyatakan kemarahan dan ketidaksetujuan kita terhadap tindakan tersebut. Jangan biarkan hari ini berlalu, tanpa kita mengambil tahu terhadap kezaliman yang berlaku ke atas bumi Palestin. Bermunajatlah kepada Allah, agar Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa terpelihara daripada sebarang cubaan rampasan atau penjajahan. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 82: 
"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik."

Allahu al-Musta`an..

Saturday 9 December 2017

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Program BTS di Temerloh

Seharian saya dan beberapa rakan berada di daerah Temerloh. Jam 9 pagi diiringi cuaca mendung, kami bergerak dari Kuantan melalui LPT1. Alhamdulillah, kenderaan bergerak lancar menuju destinasi. Manakala sahabat-sahabat dari Maran menunggu di sana. 

Hari ini Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) mengadakan program 'Back To School' (BTS), iaitu meraikan anak-anak yatim serta berpendapatan rendah membeli peralatan sekolah. Program BTS ini adalah di antara program kebajikan yang diadakan saban tahun.  

Objektif utama program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan dengan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.

Usai urusan memilih dan membeli kelengkapan persekolahan, mereka semua diraikan pula dengan jamuan ringan di arked makanan yang berhampiran. Senang sekali melihat kegembiraan yang terpamer di rona wajah masing-masing.

Mudah-mudahan pemberian yang sedikit ini dapat meringankan beban mereka, serta tidak lupa ucapan terima kasih kepada para dermawan yang menyumbang. Jazakallahu khairan jaza'.
  
 Beberapa foto program BTS petang tadi:













Friday 8 December 2017

Bicara santai: Semalam...

 '1 Malaysia menyambut pengunjung yang datang ke UTC Pahang' ~ sumber foto
 
Alhamdulillah, proses membuat kad pengenalan anakanda Haikal di bangunan UTC berlangsung dengan lancar. Tanpa perlu menunggu lama, tidak sampai 2 jam sudah pun siap sepenuhnya. Melirik senyum anakanda Haikal apabila melihat kad pengenalannya diserahkan oleh petugas kaunter. Saya pun turut tersenyum melihat gelagatnya.

Asalnya saya berkira-kira, samada nak ke pejabat utama Jabatan Pendaftaran Negara negeri Pahang atau ke UTC. Kalau dulu-dulu, pengalaman saya berurusan di pejabat JPN negeri Pahang sebelum wujudnya UTC, memang mengambil masa sedikit menunggu proses selesai. Tetapi itu dulu, sekarang ini entahlah, mungkin tidak lagi. Cuma satu lagi lokasinya di luar pusat bandar.

Dalam keadaan kepala ligat berfikir "ke mana, ke mana", saya  membelok motosikal ke pusat bandar menuju ke bangunan UTC. Rasanya urusan di situ lebih mudah dan pantas, saya 'berijtihad' sendiri. Lagipun ia terletak di pusat bandar. Sementara mahu menunggu kad pengenalan siap bolehlah 'menderak' ke mana-mana dulu bersama anakanda Haikal.  Setidaknya kedai makan berhampiran Masjid Negeri adalah destinasi yang pasti dikunjungi. Melayani anakanda Haikal menikmati roti telur dan milo suam kesukaannya. 

Alhamdulillah, belum pun panas punggung duduk, nombor sudah pun dipanggil. Usai urusan yang perlu, "datang sejam lagi ambil kad pengenalan", kata petugas di kaunter. Teringat ucapan PM Najib sewaktu julung kali merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, katanya falsafah disebalik kewujudan UTC ialah di antaranya, menjimatkan masa. Betullah tu! Tapi ada masa-masa, lambat juga (senyum).

Insya-Allah, sejam lagi kami datang. Sekarang ini kami berdua mahu mengisi perut dahulu. Roti telur dan milo suam menanti di restoran berhampiran Masjid Negeri. Jika masih punya masa lagi, saya akan memimpin anakanda ke Taman Kerang menjenguk-jenguk barang-barang antik yang dijual di situ. Mana tahu jika tersua dengan buku-buku lama yang menarik, pasti saya beli!  

Alhamdulillah, syukur ya Rabb...

Thursday 7 December 2017

"Sikecil Haikal yang istimewa" sudah 12 tahun


Selamat hari ulangtahun kelahiran buat anakandaku "sikecil Haikal yang istimewa" pada hari ini. 

"Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak kami semua ke syurga Ilahi yang abadi..."

Wednesday 6 December 2017

#Save Merapoh (Air mata Merapoh)


Setakat ini cuma sekali sahaja saya ke Merapoh, iaitu ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan lebih dua dekad yang lalu. Selebihnya sekadar lalu ketika bermusafir ke Gua Musang di  Kelantan. Beberapa kali saya melalui jalan ini dulu, saya benar-benar 'jatuh cinta' dengannya. Suasana kehijauan di kiri dan kanan laluan amat mengujakan. Hutan yang dikatakan berusia jutaan tahun menggamit rasa. 

Dimana letaknya Merapoh? Merapoh merupakan sebuah pekan di pedalaman Pahang dalam kawasan utara daerah Lipis, Malaysia. Terletak berdekatan sempadan Pahang-Kelantan. Oleh kerana terletak di tengah-tengah laluan jalan raya antara Kota Bharu ke Kuala Lumpur, ianya menjadi tempat persinggahan rehat pengguna jalan raya sebelum menyambung perjalanan. 

Lantas mengapa tajuk coretan ini berjudul demikian? Begini kisahnya. Baru-baru ini seorang sahabat saya yang juga merupakan 'Aktivis Alam Sekitar' mengirim satu video berkaitan apa yang berlaku di Merapoh. Apa yang saya lihat amat mengejutkan! Sebelum ini memang saya ada terdengar mengenai kempen 'Save Merapoh', dan saya fikirkan ia tidak seperti apa yang berlaku sekarang. Rupa-rupanya saya tersilap dan ia jauh dari apa yang saya bayangkan.

Saksikan klip video di bawah yang dihantar oleh sahabat saya.


Betapa sayangnya dengan khazanah alam dan negara jika begini jadinya. Apa yang dibimbangi, ekoran apa yang berlaku akan menjejaskan sektor eko pelancongan dan khazanah alam seperti flora dan fauna unik. Di kawasan itu, terdapat gua batu kapur kedua tercantik di Malaysia dianggarkan berusia antara 230 hingga 350 juta tahun dan habitat hidupan liar gajah, tapir, harimau, beruang, rusa dan kambing gurun serta spesies Bunga Padma Tikus atau nama saintifiknya rhizanthes loweii (Beccari) Harms iaitu keluarga rafflesia terkecil di dunia.

Bahkan, katanya pembalakan serta pembukaan hutan berhampiran gua batu kapur dikenali dengan Gua Hari Malaysia, turut menjejaskan air Sungai Merapoh yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk.

Semoga ada penegasan daripada pihak 'terbabit' dalam menangani perkara ini. Sayang jika ia musnah kerana kerakusan dan ketamakan sesetengah manusia. Moga generasi akan datang dapat melihat keindahan alam semulajadi ini. Insya-Allah..


 Kemusnahan hutan Merapoh ~ sumber foto

Di antara laporan akhbar mengenai kemusnahan hutan Merapoh:

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/hutan-simpan-merapoh-kini-makin-parah-1.743423

http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/73-pimpinan/fikrah/4144-selamatkan-hutan-merapoh-dan-gua-hari-malaysia

http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/selamatkan-merapoh-daripada-pembalakan-1.557158

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/peka-bantah-pembalakan-besar-besaran-di-merapoh-1.548056

https://www.hmetro.com.my/utama/2017/11/282575/air-mata-merapoh

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/11/345558/jabatan-perhutanan-diarah-pantau-pembalakan-di-hutan-merapoh

http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pembalakan-emas-ancam-syurga-650-juta-tahun-merapoh

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kontraktor-degil-mkn-diarah-pantau-hutan-merapoh-161647