Sahabat Sejati

Sunday 24 September 2017

Perginya Syeikh Muhammad Mehdi Akif


-Dilahirkan pada 12 Julai 1928M/24 Muharram 1347H di Kufr Awad  as-Sanitah, mukim Aga Daqahlia (Mansoorah)

-Mula menyertai Ikhwan Muslimin sejak berumur 12 tahun. Sempat dididik oleh Imam Hasan al-Banna. 

-Pernah menjadi Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir yang ke tujuh (2004-2010). 

- Mendekam di dalam penjara sejak 1954-1974. Kemudian 1996-1999. Yang terakhir 2013-2017. 

-Meninggal di dalam penjara pada usia 89, setelah lama menderita sakit dan tidak diberikan layanan kesihatan yang sepatutnya. 

-Seperti nasib yang menimpa Imam Hasan al-Banna, pihak keselamatan melarang upacara pengkebumian yang sewajarnya dijalankan. Melainkan hanya 4 orang di kalangan ahli keluarga terdekat dan tukang kubur sahaja dibenarkan untuk mengiringi jenazahnya. 

Semoga dengan pemergian ini menjadi kerehatan sebenar buat Sang Mujahid, setelah lama beliau teraniaya. Marilah kita berdoa supaya diterima amalnya yang soleh oleh Allah, pengorbanannya dalam perjuangan Islam dan ditempatkan bersama para rasul A.S dan golongan syuhada’. 

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun” (Surah Al-Ahzab: 23)

Friday 22 September 2017

Salam Ma`al Hijrah 1439, sahabat-sahabat..


Alhamdulillah. Kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menghirup udara 1439H. Kedatangan tahun baru ini memberi peluang untuk kita membuka diari hidup yang baru dan mengatur dengan sebaiknya. Dalam masa yang sama memberi peluang kepada kita untuk muhasabah dan koreksi diri, apakah perjalanan hidup setahun yang lalu telah diisi dengan sesuatu yang bermanfaat. 

Andai kata masih banyak lagi lompang-lompang yang kita tinggalkan, maka bangkitlah. Tidak perlu menyesali apa yang telah berlaku, bahkan jadikan ia sebagai ruang untuk memperbaiki diri tanpa mengulanginya lagi. Berazamlah untuk membuat kebaikan dan meninggalkan keburukan. Sebagaimana tahun baru masehi yang sentiasa dihiasi dengan azam baru, maka letakkanlah 'target' pada tahun baru hijrah ini untuk turut berazam. Azam umpama niat. Setiap niat yang baik sudah diganjari dengan satu pahala daripada Yang Maha Pengasih. Tinggal lagi usaha untuk melaksanakannya. Maka berusahalah! Berhijrahlah!

Hijrah sememangnya dituntut ke atas setiap muslim. Tentunya hijrah dan perubahan memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan, hijrah pasti tidak akan berjaya. Lihat, para sahabat berhijrah dari Makkah ke Yathrib (Madinah), dengan meninggalkan kesenangan dan kesayangan mereka. Mereka menempuh perjalanan jauh yang getir untuk sampai ke tempat yang dituju. Inilah pengorbanan. 

Oleh itu, kita juga perlu berkorban untuk melakukan hijrah dan perubahan. Berubah dari suasana yang tidak baik kepada yang baik, seterusnya kepada yang lebih baik. Kemudian dalam masa yang sama, kita memindahkan kebaikan tersebut kepada orang lain. Ya, kita berkongsi kebaikan, kita bertolongan di dalam perkara taqwa. Kita berasal dari negeri syurga, maka kita pastinya ingin balik semula ke syurga. Tentu lebih manis lagi sekiranya kita dapat mengajak orang lain untuk bersama-sama memasuki syurga yang kekal itu, insya-Allah.    

Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1439 kepada semua sahabat-sahabat, khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Setiapkali kunjungan sahabat-sahabat ke sini membuatkan saya merasa amat dihargai, justeru saya turut sama merakamkan penghargaan dan dengan lafaz ucapan doa kebaikan kepada sahabat sekelian.

Mudah-mudahan kita semua yang berada di tahun baru ini, sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.  

Sayang sahabat semua,
abuikhwan
01 Muharam 1439H

Tuesday 19 September 2017

Lama tidak berceloteh...

Pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah Yayasan Amal Malaysia Caw Pahang di India
  
Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, kita diizinkan untuk bertemu lagi di alam maya ini walaupun dalam masa yang agak senggang. Jika dulu saya mengimpikan untuk bertemu sahabat-sahabat di alam maya ini setiap hari. Namun apakan daya, kita cuma mampu merancang sedangkan Dia pemilik ketentuan. Kita hanya mentadbir tetapi Dia yang mentakdir. Justeru, pertemuan yang lama-lama sekali ini semestinya disyukuri dengan sebanyaknya.

Dalam masa yang senggang lama ini, banyak cerita yang berlaku. Semuanya sangat menarik jika dapat dituangkan ke butir-butir huruf. Menyulam perkataan demi perkataan. Walhal itulah yang saya impikan tatkala membina 'pondok kecil abuikhwan' ini. Menulis dan merakam pada blog ini setiap apa yang dilalui. Berkongsi cerita dengan sahabat-sahabat. 

Mencoret kisah suka dan gembira bukan kerana mahu menunjuk dan bermegah, mencatat kisah duka dan sedih bukan mahu meraih simpati. Tetapi kuncinya adalah mahu 'berkongsi'. Moga-moga dengan perkongsian tersebut memberi manfaat dan kebaikan kepada semua yang menatapnya biarpun sedikit. Namun demikian, ada satu perkataan acap kali menghalang impian tersebut iaitu 'sibuk'. Kebelakangan ini ia semakin menghimpit. Akhirnya selang lama saya tidak dapat berkunjung ke 'pondok abuikhwan' ini.    

Ibadah korban di Sri Lanka 

Musim haji telah pun berakhir, telah ramai hujjaj yang pulang ke negara masing-masing, tidak terkecuali termasuk juga tetamu Allah dari negara kita. Mudah-mudahan mendapat haji mabrur. Besarnya ganjaran haji mabrur, sebagaimana disebutkan oleh junjungan mulia; balasan haji mabrur adalah syurga. Begitu juga pelaksanaan ibadat korban, juga telah berakhir sejurus berakhir hari tasyrik ketiga, iaitu tempoh disyariatkan menyembelih haiwan korban. Namun tidak bagi kami di Yayasan Amal Malaysia, yang bertindak menguruskan pelaksanaan badal haji dan misi kemanusiaan bagi ibadah korban dan aqiqah di luar negara. Untuk pengetahuan, ini adalah tahun ke 13 kami menguruskannya.

Sejurus berakhir keduanya, maka bermulalah kerja-kerja rutin kami saban tahun. Kerja-kerja mengemaskini nama-nama peserta yang menyertai badal haji serta korban dan aqiqah. Setelah itu nama-nama tersebut perlu dicetak di atas sijil penyertaan sebagai bukti kami telah melaksanakan bagi pihak mereka. Boleh jadi juga sijil tersebut sebagai kenangan-kenangan buat mereka. Tertera pada permukaan kertas tebal itu nama mereka dan negara yang telah dilakukan korban. Bolehlah ditunjukkan kepada anak cucu nanti. Senyum. 

"Tengok atuk pernah buat korban di Uganda, Sudan, Filipina, India dan sebagainya..."

Kesemua sijil tersebut kemudiannya dipos, kecuali cenderahati dan sijil haji yang perlu dihantar sendiri kepada (peserta) waris ahli zimmah. Setiap wakil (mutawif) akan menghantar sendiri kepada  peserta yang mendaftar dengannya. Saya sendiri mempunyai beberapa peserta badal haji yang mendaftar melalui saya sebagaimana tahun lalu. Insya-Allah, selesai semua urusan tersebut, tanpa bertangguh saya akan 'merempit' menghantar sijil dan cenderahati kepada penerima. Saya lebih cenderung bermotosikal kerana cepat dan mudah mencelah di kesesakan lalu lintas. Mudah-mudahan cuaca baik, walaupun kebelakangan ini saban petang hujan mencurah lebat di tempat saya. 

Allahu al-musta'an.

Wednesday 13 September 2017

Menulis ayat al-Quran dengan tulisan rumi

Soalan: 

Saya ada satu soalan, tadi saya terjumpa di facebook. Seorang hamba Allah ini screen shot status seorang hamba Allah yang lain yang menulis ayat al-quran dalam rumi, macam gambar yang saya bagi. Hamba Allah tersebut mengatakan bahawa haram membaca ayat al-quran selain dari bahasa arab. Adakah benar? Dan bagaimana pula sekiranya seseorang itu baru hendak mengenal dan membaca al-quran rumi? Adakah ianya berdosa? Kerana saya pernah tanya seseorang, dia cakap tak apa, tapi jangan terlalu bergantung sangat dengan al-quran rumi. 


Jawapan: 

Bismillah. Para ulamak telah memfatwakan haram menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab (seperti tulisan rumi dan sebagainya) kerana ia boleh merubah bunyi al-Quran, sekaligus merubah maknanya. 

Sebagai contoh dalam surah al-Ikhlas bertulisan rumi di atas; apabila kalimah "الله الصمد" (bermaksud; Allah tempat bergantung") dituturkan dengan "Allahus-Samad" kerana mengikut bacaannya dalam rumi, maknanya menjadi "Allah adalah yang berterusan" atau "Allah adalah baja". 

Perhatikan perbezaan makna yang terlalu menyimpang. Keadaan yang serupa akan berlaku kepada banyak kalimah lagi di dalam al-Quran jika dibenarkan penulisannya dengan rumi, kemudian dibaca oleh orang yang tidak mengetahui bahasa Arab. 

Imam Ibnu Hajar menegaskan dalam Fatwanya: "Para ulamak telah ijmak melarang menulis al-Quran mengikut lafaz hijaiyyah (yakni tidak mengikut resam uthmani), maka lebih-lebih lagilah dilarang menulis al-Quran dengan bahasa 'ajam (yakni bahasa bukan Arab), di sampingi penulisan al-Quran dengan bahasa bukan Arab itu akan menyebabkan berlaku perubahan pada lafaz al-Quran yang bersifat mukjizat...." (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/38). 

Syeikh az-Zurqani dalam kitabnya Manahil al-'Irfan menjelaskan: "Para ulamak kita telah melarang penulisan al-Quran dengan huruf bukan 'Arab...

Lujnah Fatwa al-Azhar bila ditanya tentang penulisan al-Quran dengan huruf-huruf Latin, maka jawapan yang diberikan; 'Tidak diragui bahawa huruf-huruf Latin yang sedia diketahui (hari ini) tidak memiliki beberapa huruf yang menepati bahasa Arab, maka ia tidak dapat memenuhi dengan sempurna fungsi huruf-huruf bahasa Arab. Maka jika ditulis al-Quran dengan huruf-huruf Latin itu akan berlaku kekurangan/kecacatan dan perubahan pada lafaznya, dan ekoran darinya akan berlaku perubahan makna dan merosakkan maknanya...Telah ijmak para ulamak sekelian bahawa sebarang tindakan terhadap al-Quran yang yang membawa kepada pemindaan kepada lafaznya atau merubah maknanya, ia dilarang sama sekali dan haram secara putus...." (Manahil al-'Irfan, 2/134). 

Wallahu a'lam.

Sumber: Ilmu dan Ulama

Monday 11 September 2017

Akur dengan ketentuan-Nya..


Saya sentiasa akur dengan ketentuan-Nya. Allah terlalu banyak belas ehsan kepada para hamba-Nya. Justeru, tidak sekali-kali saya 'mengkufuri' akan nikmat pemberian yang melimpah-ruah ini. Setiap apa yang berlaku, setiap apa yang diperolehi, semuanya adalah kebaikan yang seharusnya diyakini. Ada yang mampu kita tafsirkan dan ada yang menjadi rahsia Ilahi selagi tidak dibuka hijabnya. 

Hari ini pelajar-pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan UPSR dan UPSRI. Selain daripada para pelajar, ibu bapa turut sama sibuk bagi memastikan anak-anak mereka 'selesa' mendudukinya. Banyak tempat yang menganjurkan bacaan yaasin serta solat hajat untuk para calon ini. Besarnya harapan yang diimpikan agar beroleh kejayaan. Di tempat saya tidak terkecuali. Cukup meriah. Lebih-lebih lagi saya turut menjadi salah seorang jawatankuasa penganjur.     

Dalam kegembiraan meraikan para calon peperiksaan di tempat saya, tidak semena-mena saya terkenangkan anakanda yang seorang ini. Tentunya yang memiliki beberapa 'kelainan' dengan kanak-kanak lain. Siapa lagi jika bukan 'si kecil Haikal yang istimewa'. Tahun ini usianya telah menjangkau 12 tahun. Sepatutnya dia turut sama-sama menduduki medan tempur ini dengan rakan seusianya. Namun, akur dengan kelainannya, menyebabkan kami sekeluarga dengan redha melupakan semua itu. 

Sedih? Tidaklah seberapa. Walaupun sebenarnya terdetik juga keinginan melihat anakanda yang seorang ini turut memerah akal di dalam dewan peperiksaan. Tetapi untuk menyalahkan taqdir, tidak sekali-kali. Semuanya telah tersurat di dalam pengetahuan-Nya. Kita adalah hamba. Hamba dimiliki bukan memiliki. Ujian adalah rukun hidup. Setiap insan ada ujiannya. Namun ia berbeza bergantung kepada kemampuan diri. Moga kita semua diberikan kekuatan untuk menghadapinya. Amiinn yang Rabb..    

Sunday 3 September 2017

Sidai daging qurban!?


"Sidai daging qurban!?" Terkejut salah seorang delegasi amal qurban apabila dikhabarkan berkenaan amalan penduduk di kampung Eid Barbikar.

Khawka Mujamma Sheikh Zainal Abidin di kampung tersebut menempatkan lebih 1500 pelajar tahfiz yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kanak-kanak dan remaja.

Amalan penduduk menjemur daging merupakan kaedah menyimpan daging dek kerana tiada kemudahan peti ais. Selain itu daging yang telah dikeringkan menjadi keras seperti kayu akan dikisar untuk dibuat serbuk.

Sepanjang tahun mereka akan berkongsi sup berperisa daging qurban yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Ingat, sup daging mereka hanyalah air semata dengan perisa serbuk daging.

Bagaimana pula dengan kita? Berapa lamakah daging qurban yang disimpan di dalam freezer di rumah kita bertahan? Bersyukurlah kita dengan nikmat makanan yang melimpah-ruah.
 
sumber: whatsapp AJK YAMCP

#amalmalaysia #foodsharing #muslim #Sudan #humanitarian
#Catatan salah seorang delegasi amal qurban ke Sudan 
#Aku seorang anggota Yayasan Amal Malaysia

Saturday 2 September 2017

Eidul Adha 1438H



Firman Allah SWT:
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar". (As-Saaffaat: 102)

Ketika Shaykh Dr Abdul Karim Zaydan rahimahullah membahaskan sejarah ibadat Korban dalam Surah Saffat ayat 102, beliau berkata bahawa demi Allah, beliau tidak tahu pengorbanan manakah yang lebih mengkagumkan, pengorbanan seorang bapa iaitu Nabi Ibrahim 'alaihissalam yang sanggup menyembelih satu-satunya anaknya yang dikurniakan saat beliau sudah pun tua, atau pengorbanan si anak iaitu Nabi Ismail 'alaihissalam yang redha bahkan memotivasikan pula ayahnya agar menyembelihnya dengan mengingatkan bahawa ini ialah perintah Allah dan beliau juga insyaAllah mampu bersabar.

Demikianlah, pada Hari Raya Eidul Adha, kecemerlangan ibadah kepada Allah dibuktikan melalui keikhlasan dan pengorbanan demi kecintaan dan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pengagungan terhadap sejarah pengorbanan datuk kita Nabi Ibrahim yang bersedia menyembelih anaknya Nabi Ismail alaihimassalam dengan arahan Tuhannya. Begitu juga kesediaan Nabi Ismail menyerahkan dirinya tanpa sebarang bantahan. Ia mempersembahkan satu mercu pengorbanan tertinggi seorang hamba kepada Tuhannya demi cinta yang kudus kepada-Nya

Pengorbanan adalah satu ucapan yang mudah diucapkan tetapi belum pasti dapat direalisasikan di dalam bentuk praktikal dan perlaksanaannya. Di dalam situasi cabaran yang pelbagai masakini sudah tentulah besar pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seseorang manusia untuk menjadi lebih baik dan maju. Hati, perasaan, harta, wang ringgit, masa dan segala yang dimiliki perlu dikorbankan demi menjamin masa depan yang cemerlang dan teratur. Namun begitu perlulah dipastikan semoga setiap yang perngorbanan yang perlu dilakukan itu benar-benar dapat mengembalikan diri kita ini kepada ketaatan, kecintaan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Haji dan Korban

Eidul Adha juga memberikan pengajaran bahawa seseorang yang mengaku sebagai mukmin perlu membuktikan keimanannya dengan melakukan pengorbanan kepada Allah SWT. Pada Idul Adha juga sejumlah umat Islam mengerjakan manasik haji dengan sanggup mengorbankan tenaga, harta dan masa demi menunaikan salah satu rukun Islam. Semuanya berkaitan dengan pengorbanan.

Ibadat Haji dan Korban sebenarnya mampu menyuburkan kesatuan kerana kedua-dua ibadat ini melibatkan perhimpunan umat, sikap toleransi, amalan gotong royong dan menyantuni orang-orang susah, bahkan ini semua termasuk pra syarat Taqwa. Rasulullah ﷺ bersabda, "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana jua kamu berada." (Riwayat Tirmizi)

Dalam Surah al-Hajj ayat 37, Allah SWT berfirman bahawa, "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu..."

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as dan disambung oleh nabi akhir zaman, Muhammad SAW ke seluruh pelosok dunia. Akhirnya, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua.

Firman Allah SWT: "Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Ghaafir: 8) |

Friday 1 September 2017

ADAB-ADAB SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA

1- Disunatkan mandi dan membersihkan diri (niat mandi sunat Hari Raya). Hukum sunatnya diqiyaskan dengan hukum sunat mandi Jumaat kerana Hari Raya ialah hari berhimpunnya manusia. Mana-mana waktu atau tempat yang berlakunya perhimpunan manusia, maka disunatkan mandi. 

Bahkan disunatkan mandi kepada semua, samada yang ingin menghadiri solat Hari Raya ataupun tidak. 

Disunatkan membersihkan diri dengan membuang bulu-bulu pada tubuh, memotong kuku, menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan dari badan dan pakaian serta memakai wangi-wangian. 

Adapun bagi yang mahu menunaikan ibadah korban, maka bermula pada 1 Zulhijjah disunatkan baginya untuk tidak membuang bulu-bulu pada tubuh dan memotong kuku sehinggalah dia selesai mengerjakan ibadah korban sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith riwayat Imam Muslim. 

2- Disunatkan makan dahulu sebelum solat sunat Aidilfitri (afdhal makan tamar dengan bilangan ganjil) jika tidak sempat makan di rumah, maka makan di jalanan, musolla dan sebagainya simbolik membezakan Aidilfitri dengan hari sebelumnya yang diwajibkan berpuasa. Anas radiyallahu'anhu meriwayatkan, "Nabi ﷺ tidak keluar pada Aidilfitri sehinggalah Baginda memakan beberapa biji tamar, Baginda memakannya dengan bilangan ganjil." (Riwayat Bukhari) 

Manakala bagi Aidiladha, disunatkan makan selepas solat sunat Aidiladha supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. 

3- Memakai pakaian yang paling bagus, walaupun bukan berwarna putih. 

4- Bertakbir. Takbir terbahagi kepada dua. Takbir mutlak atau mursal dan takbir muqayyad. Pada Aidilfitri, hanya disunatkan takbir mutlak sahaja. 

a- Takbir mutlak atau mursal : Takbir yang dilaungkan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa terikat dengan solat. 

-Waktu takbir bermula (bagi kedua-dua hari Raya) ialah selepas gelincir matahari iaitu masuknya hari baru iaitu selepas masuknya waktu maghrib (1 Syawal atau 10 Zulhijjah). Berakhir setelah imam bertakbiratul ihram untuk solat sunat Hari Raya. 

b- Takbir muqayyad : Takbir selepas menunaikan solat sama ada solat tunai mahupun qadha', fardhu mahupun sunat kerana takbir ialah syiar waktu, termasuk juga selepas solat jenazah 

-Waktu bermula dari subuh Hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah sehingga asar Hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah. Tidak disunatkan takbir selepas sujud tilawah dan sujud syukur kerana kedua-duanya bukan solat. 

*Ini semuanya bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Bagi yang mengerjakan haji, maka bagi mereka ada hukum-hukum yang khas. 

5- Pergi awal ke musolla bagi makmum, manakala bagi imam disunatkan untuk lewat sedikit sehingga tiba waktu untuk solat kerana mengikut perbuatan Nabi Muhammad ﷺ. Disunatkan bagi imam untuk melewatkan solat sunat Aidilfitri untuk memberi ruang kepada umat Islam untuk membayar zakat fitrah pada waktu yg afdhal iaitu sebelum solat, manakala disunatkan menyegerakan solat sunat Aidiladha untuk segera menjalankan acara korban. 

6- Disunatkan berjalan dan melalui jalan yang berbeza ketika pergi dan ketika pulang. Tidak menaiki kenderaan melainkan kerana terdapat keuzuran seperti sakit, lemah dan jauh, maka tidak mengapa untuk menaiki kenderaan. Jabir radiyallahu'anhu meriwayatkan, "Nabi Muhammad ﷺ apabila Hari Raya, Baginda membezakan jalan (pergi melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain). Riwayat Bukhari. 

Disunatkan ketika pergi ke musolla untuk melalui jalan yang lebih jauh kerana pergi lebih afdhal berbanding pulang. Supaya jalan-jalan yang dilaluinya menjadi saksi atas ibadatnya dan supaya memperbanyakkan pahalanya. Ini disunatkan dalam setiap ibadat seperti Solat Jumaat, Haji dan menziarahi orang sakit. 

7- Disunatkan wanita untuk hadir ke kawasan Solat Hari Raya (walaupun berada dalam keadaan uzur dan tidak boleh solat, tetapi tidak dibenarkan masuk ke masjid kerana uzur). Tujuannya untuk menyaksikan kebaikan, menyertai doa umat Islam dan mendengar khutbah. 

Tidak dibenarkan wanita memakai wangi-wangian melainkan yang baunya hanya memadai untuk dirinya sahaja. 

Disunatkan menghadirkan anak-anak yang sudah mumayyiz untuk solat sunat Hari Raya. 

8- Menghidupkan malam Hari Raya dengan solat, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan istighfar. Sayyiduna Abu Umamah radiyallahu'anhu meriwayatkan bahawa, "Sesiapa yang menghidupkan dua malam Hari Raya, maka hatinya tidak akan mati pada hari matinya hati-hati." (Riwayat Ibnu Majah. 

Yang dimaksudkan dengan 'mati hati' ialah keghairahan dan cinta terhadap dunia yang meresap masuk ke dlm hati. Ada beberapa pendapat lain; mati hati ialah kufur atau ketakutan pada hari kiamat. Berkenaan hadith ini, Imam an-Nawawi dalam al-Azkar menyebut bahawa status hadith ini dhaif. Beliau menyatakan lagi, "Tetapi hadith-hadith (yang membicarakan tentang) Fadhail (kelebihan amalan) dihukumkan bertasamuh: bertolak ansur padanya." Hadith dhaif boleh diguna pakai untuk Fadhail dan Targhib wa Tarhib (galakan dan ancaman) selagi mana ia tidak bersangatan dhaifnya atau maudhu': palsu. 

9- Solat sunat mutlak. Tiada solat sunat khas sebelum dan selepas solat Hari Raya. Tetapi harus bagi selain imam untuk solat sunat (nafilah) mutlak pada Hari Raya selepas naiknya matahari sebelum menunaikan solat Hari Raya ataupun selepasnya (bukan dengan niat solat sunat sebelum dan selepas Solat Sunat Hari Raya), kerana tiada yang lebih penting berbanding solat. Abu Burdah, Anas, Al-Hasan dan Jabir bin Zaid solat sebelum keluarnya imam pada Hari Raya. (Riwayat Baihaqi) 

Bagi imam pula, dimakruhkan baginya solat sunat sebelum Solat Sunat Hari Raya dan selepasnya kerana menyibukkan dirinya dengan perbuatan yg tidak penting pada ketika itu dan inilah yang diamalkan oleh Baginda ﷺ. Imam disunatkan datang lewat maka apabila tiba, disunatkan untuk menyibukkan diri dengan yang lebih penting iaitu Solat Sunat Hari Raya. 

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas radiyallahuanhuma "Sesungguhnya Nabi ﷺ keluar pada Hari Aidilfitri, lalu solat dua rakaat (solat sunat Hari Raya), Baginda tidak solat sebelum dan selepasnya." (Riwayat Bukhari) 

Imam Syafie rahimahullah berkata, “Telah sampai khabar kepada kami, bahawa doa dimakbulkan pada 5 malam. Malam Jumaat, dua malam hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban.” 

10. Sunat mengucapkan tahniah sempena Hari Raya seumpama ucapan تقبل الله منا ومنك "Taqabbalallahu minna wa minka" yg bermaksud, "Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu." Inilah yg diamalkan oleh para Sahabat Nabi ﷺ sebagaimana yg diriwayatkan oleh Sayyiduna Jubair bin Nufair radiyallahu'anhu, "Apabila para sahabat Nabi ﷺ bertemu sesama mereka pada Hari Raya, mereka saling mengucapkan تقبل الله منا ومنك." Kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah, sanad hadith ini hasan. 

Rujukan : 
- al-Muktamad fi al-Fiqh as-Syafie, Dr. Muhammad Az-Zuhaili hafizahullah. 
- al-Azkar, Imam an-Nawawi rahimahullah 
- Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah