Sahabat Sejati

Monday 30 September 2019

Syukur mengikat nikmat

Saya akur dengan ketentuan-Nya. Tidak sekelumit pun terlintas di hati saya untuk tidak mensyukuri nikmat-Nya. Tidak sekali-kali. Sesungguhnya Allah terlalu melimpah-ruah pemberian-Nya, tidak pernah habis, tidak pernah berkurang.

Saya merenung pada diri...mata yang dapat melihat, telinga yang boleh mendengar, mulut yang petah berkata-kata, sepasang tangan yang memudahkan melakukan kerja serta kaki yang menghayun langkah bergerak bebas ke sana ke mari. Bukankah semua itu anugerah yang sangat berharga, wahai empunya diri...

Saya memerhati...pada mereka yang kurang bernasib baik. Ada yang cacat penglihatan, ada yang cacat pendengaran, ada yang tempang tidak cukup kaki dan tangan. Ahh..betapa bahagianya diri ini dilahirkan dalam keadaan sempurna, cukup anggota dan pancaindera. Tidak seperti mereka yang kekurangan itu.

Tidak cukup dengan itu saya melihat Allah mengurniakan pula dunia yang sarat dengan isinya. Air, udara, sinar matahari, tumbuh-tumbuhan beraneka, haiwan yang berbagai jenis. Semuanya dilimpahkan oleh Allah kepada sesiapa sahaja, tanpa berkira dan tanpa perlu membayarnya. Sedangkan ini semua tidak pernah dipinta dalam munajat doa. Bukankah semua ini perlu disyukuri, wahai pemilik mata hati...

Bagaimana jika setiap udara yang disedut perlu dibayar...
Bagaimana jika setiap sinar matahari yang dinikmati perlu dibayar...
Bagaimana jika setiap titis hujan yang turun ke bumi perlu dibayar...
Bagaimana setiap isi alam yang diambil manfaatnya perlu dibayar...

Mampukah kita...

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (ar-Rahman: 13)

Thursday 26 September 2019

HUKUM SOLAT YANG DITINGGALKAN KERANA MALAS DAN LALAI

Soalan: 

Adakah kita perlu mengqada’ solat (wajib atau sunat) yang tertinggal dengan sengaja, malas dan cuai? Bagaimana dengan solat yang ditinggalkan semenjak aqil baligh? Apakah kita hanya dituntut supaya bertaubat dan tidak perlu mengqada’nya? 

Jawapan: 

Firman Allah SWT:

 إِنَّ ٱلصَّلَو‌ٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا 
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah al-Nisa: 103) 

Ayat ini menunjukkan bahawa solat fardhu menjadi kewajipan orang Islam dan mempunyai waktunya yang telah ditetapkan. 

Sebelum saya menjawab permasalahan ini, suka dinyatakan berkenaan dengan hukum meninggalkan solat. Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam. 

Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak boleh membiarkannya demikian sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Jika dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak boleh dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Juga tidak harus dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka. 

Sementara orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukum wajibnya, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqada’kan solat dan bertaubat daripada kesalahan meninggalkannya. Jika masih ingkar untuk mengqada’nya, maka dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat. 

Hal ini kerana hukuman ke atas orang yang meninggalkan perkara fardhu adalah wajib diperangi tetapi selepas dibunuh dia masih dianggap seorang Islam. Oleh itu, jenazahnya, pengebumian dan pembahagian hartanya hendaklah diuruskan menurut syariat Islam. 

Berkenaan dengan soalan di atas, pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafie hendaklah diqada’kan solat yang telah ditinggalkan walaupun bukan dengan sebab tertidur atau lupa. Ini kerana hutang Allah SWT lebih utama dibayar. 

Berkenaan dengan solat yang ditinggalkan semenjak aqil baligh, maka hendaklah diqada’ semampu yang mungkin walaupun secara beransur-ansur sehingga selesai, di samping bertaubat kepada Allah SWT. Mereka hendaklah menghitung solat yang ditinggalkan dengan ghalib zan atau yakin supaya dapat diqada’kan semua solat yang pernah ditinggalkan. 

Walaupun begitu kita yakin dengan sifat keampunan Tuhan dan penerimaan taubatnya di samping beriman dengan firman Allah SWT:

 لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا 
Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (Surah al-Baqarah: 286) 

Berkenaan dengan qada’ amalan sunat hukumnya sunat, seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Adapun taubat juga perlu tetapi tidak memadai dengannya sahaja, mesti diqada’ juga berdasarkan arahan Rasulullah SAW.

Tuesday 24 September 2019

Buat pembakar semangat..

Oh, sudah agak lama juga saya tidak membeli buku. Seingatnya, lebih 5 bulan saya tidak melayani kegemaran saya itu. Jika sebelum ini, semestinya menjadi rutin setiap bulan saya membeli 4 atau 5 buah buku, tidak termasuk beberapa buah majalah kegemaran.

Namun, seperti yang telah saya nyatakan tadi, dalam tempoh tersebut tiada buku baru yang mengisi ruang di rak perpustakaan peribadi saya. Tentunya ini suatu yang amat mendukacitakan. Ternyata saya menjadi tidak keruan dan gelisah kerananya.

Bukanlah kerana sekarang ini banyak kedapatan bahan bacaan dalam bentuk e-book yang mudah didapati di laman sosial yang menyebabkan saya tidak membeli buku. Sebenarnya saya bukanlah seorang peminat bahan bacaan dalam bentuk e-book namun tidaklah pula menolaknya. Ada juga jarang-jarang sekali saya menatap e-book, terutama e-book buku-buku lama ataupun yang telah tiada ulang cetak. Namun demikian, bahan bacaan berbentuk fizikal tetap menjadi pilihan utama. 

Lalu pada hari kelmarin, dalam perjalanan ke pejabat YAMCP, saya memaksa diri untuk singgah sebentar di sebuah toko buku milik sahabat saya. Hajat di hati mahu melihat-lihat buku dan membelinya jika ada yang berkenan. Maklumlah, sudah lama benar tidak membeli buku baru, mudah-mudahan ia menjadi pembakar semangat yang telah malap.

Teringat dulu-dulu. Jika ada pesta buku di mana-mana, maka 'rabaklah' poket saya. Memilih buku-buku yang menarik sehingga tidak sedar berhabis beratus ringgit. Itulah saya, terlalu lemah di hadapan kedai buku. Kalau boleh semua buku nak dibeli.

Saya pernah menulis, dua tempat yang saya baca Au`udzubillah, iaitu ketika memasuki tandas dan KEDAI BUKU, kerana ketika keluar dari KEDAI BUKU saya jadi manusia fakir tetapi penuh kepuasan dengan buku yang dibeli.” 

Bahkan, saya tidaklah kisah untuk berbelanja ‘lebih sedikit’ kerana setiap sen yang dilaburkan adalah dengan niat untuk mencari ilmu, kebaikan, motivasi, panduan dan sebagainya. Dan saya yakin ia memang berbaloi dalam mencari erti hidup agar hari ini lebih baik daripada semalam.

Akhir dalam beringat, 2 buah buku menjadi pilihan. Kalau diikut tidak cukup lagi. tapi sabar dahulu. 

"Cukup bulan nanti kita datang lagi," bisik saya kepada teman halusinasi diri.

"Baiklah, janji.." telinga saya seperti didengungkan suara bicara 'teman' itu. 

Buku 1: IMAN DAN KEHIDUPAN


Buku IMAN DAN KEHIDUPAN ini adalah terjemahan dari kitab asal berbahasa Arab "al-Iman Wa al-Hayat" hasil karangan Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi, seorang tokoh dakwah antarabangsa dan ulama kontemporari yang sangat produktif. Buku ini diterbitkan - cetakan pertama adalah pada tahun 1985.

Tajuk: IMAN DAN KEHIDUPAN
Penulis: Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi
Terjemahan: Fachruddin HS
Edit Semula: Redaksi Dewan Pustaka Fajar
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar
Muka surat: 323
 

  Buku 2: MEMBURU REDHA ALLAH


Buku ini kombinasi artikel ilmiah dan info grafik yang memudahkan kita mengambil poin penting daripada subjek yang dikemukakan. Secara keseluruhannya buku ini memberi jawapan betapa kita memerlukan redha Allah SWT dalam kehidupan ini. Redha Allah SWT perlu diraih dan dimiliki melalui pelbagai aktiviti dan gerak kerja. Ia tidak sahaja terhenti dalam amal ibadat rutin seperti solat, puasa, zakat dan haji semata-mata. Sebaliknya kita dituntut mendapatkan redha Allah SWT dalam setiap aktiviti termasuk ekonomi dan politik. 

Tajuk: Memburu Redha Allah
Penulis: Nasrudin bin Hassan & Wan Hamidah binti Wan Daud
Penerbit: Maju Demi Ummah Enterprise
Muka surat: 250

#Bi iznillah, akan menghadamnya..

Friday 20 September 2019

Rehat Minda: Pesan Murabbi 118

Salam Jumaat.

'Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas almarhum Buya Hamka'

Tuesday 17 September 2019

WUJUDKAH AZAB KUBUR?

Soalan: 

Ada yang berpendapat, azab kubur tiada dalam nas al-Quran, bolehkah didatangkan hujah mengenai masalah ini? 

Jawapan: 

Sebenarnya secara nas memang tidak terdapat dalam al-Quran, tetapi dari segi dalalahnya terdapat ayat-ayat yang menunjukkan adanya azab kubur. Ini dikuatkan lagi dengan tafsiran para ulama dan ahli tafsir. Antara ayat-ayat tersebut ialah: 

Pertama: Firman Allah SWT: 

فَوَقَىٰهُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِ مَا مَكَرُوا۟ ۖوَحَاقَ بِـَٔالِ فِرْعَوْنَ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ ﴿٤٥﴾ ٱلنَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ 
Maksudnya: Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Surah Ghafir: 45-46)

Sayyid Qutub berkata: Ayat ini menyatakan bahawa mereka didedahkan kepada neraka pada waktu pagi dan petang iaitu dalam tempoh selepas mati hingga berikutnya kiamat. Mungkin azab ini ialah azab kubur kerana selepas itu al-Quran menyebut:

 وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ 
Maksudnya: Dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya! (Surah Ghafir: 46)

Ayat di atas menerangkan tentang azab sebelum hari kiamat, iaitu satu azab yang amat dahsyat. Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang. Ketika menafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi mengatakan, bahawa Mujahid, Ikrimah, Muqatil, dan Muhammad bin Ka’ab kesemua mereka mengatakan ayat ini membuktikan wujudnya azab kubur di alam dunia. 

Malahan, di dalam Takmilah Adhwa' al-Bayan oleh Syeikh Atiyyah Salim, beliau mengatakan bahawa ayat ini adalah dalil yang paling jelas daripada al-Quran menunjukkan wujudnya azab kubur.

Kedua: Firman Allah SWT: 

 يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱلْقَوْلِ ٱلثَّابِتِ فِى ٱلْحَيَو‌ٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّـٰلِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ 
Maksudnya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri), dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya. (Surah Ibrahim: 27)
 
Ibu Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyebut hadis riwayat ahmad Ibn Hanbal dimana Rasulullah SAW bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah dari siksa kubur.” Al-Sabuni di dalam Sofwah al-Tafasir berkata: “Allah SWT menetapkan pendirian mereka atas kalimah tauhid لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله dan atas iman dalam kehidupan ini sehingga mereka tidak boleh dikelirukan dan diperdaya, manakala di akhirat, Allah SWT menetapkan mereka ketika disoal oleh malaikat di dalam kubur.” Abu al-Laith al-Samarqandi Rahimahullah dalam Tanbih al-Ghafilin berkata: “Ketetapan itu terjadi dalam tiga masa” iaitu:

• Ketika melihat Malaikat Maut.

• Ketika menghadapi pertanyaan Munkar dan Nakir

• Ketika menghadapi hisab pada hari kiamat.

Ketetapan ketika melihat Malaikat Maut berdasarkan kepada tiga perkara:

• Terpelihara daripada kekafiran, mendapat taufiq dan istiqamah di atas tauhid sehingga keluar rohnya dalam keadaan Islam.

• Diberi keselamatan oleh Malaikat dengan mendapat rahmat.

• Melihat tempatnya di syurga.

Ketetapan dalam kubur pula ada tiga, iaitu:

• Diberi ilham oleh Allah SWT untuk menjawab dengan jawapan yang diredhai Allah SWT.

• Hilang rasa takut dan gementar.

• Melihat tempatnya di syurga sehingga kuburnya menjadi salah satu daripada taman syurga.

Adapun ketetapan ketika hisab juga mempunyai tiga perkara:

• Allah SWT memberinya ilham sehingga dapat menjawab segala pertanyaan dengan benar.

• Hisabnya dipermudahkan dan diringankan.

• Diampunkan segala dosanya.

Ada juga yang menyatakan bahawa ketetapan itu dalam empat waktu:

• Ketika mati.

• Ketika di dalam kubur sehingga dapat menjawab pertanyaan tanpa gementar dan takut.

• Ketika hisab.

• Ketika berjalan di atas titian Sirat sehingga berjalan bagaikan sepantas kilat.

Ketiga: Firman Allah SWT: 

 سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيْنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٍ 
Maksudnya: Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar. (Surah al-Taubah: 101)

Dinukilkan disini beberapa pendapat yang disebutkan oleh Ibn Kathir: 

• Mujahid berkata: ”Ia adalah berupa pembunuhan dan penangkapan.” 

• Riwayat lain pula ia mengatakan: Ia adalah berupa kelaparan dan siksa kubur, baru kemudian mereka dikembalikan ke azab yang besar. 

• Ibnu Juraij mengatakan: Ia adalah azab dunia dan azab kubur, baru kemudian mereka dikembalikan ke azab yang besar. 

• Abdrurrahman ibn Zaid mengemukakan: ”Adapun azab di dunia itu berupa harta kekayaan dan anak.”

Sayyid Qutub berkata: “Azab keseksaan dua kali akan ditimpakan ke atas mereka di dunia. Tafsiran yang lebih dekat mengenai dua kali keseksaan ini ialah keseksaan kegelisahan dan kecemasan yang dialami mereka kerana takut terbuka tembelang mereka di dalam masyarakat Islam dan keseksaan menghadapi maut, di mana roh mereka disoal, muka dan punggung mereka dibelasah oleh malaikat. Atau itulah seksaan perasaan kecewa dan hina yang mengazabkan mereka kerana kemenangan kaum muslimin dan keseksaan perasaan takut terbuka rahsia hipokrit mereka dan takut ditindakkan dengan peperangan yang berat.”

Keempat: Firman Allah SWT: 

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّـٰلِمُونَ فِى غَمَرَ‌ٰتِ ٱلْمَوْتِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ بَاسِطُوٓا۟ أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوٓا۟ أَنفُسَكُمُ ۖ ٱلْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ ٱلْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ غَيْرَ ٱلْحَقِّ وَكُنتُمْ عَنْ ءَايَـٰتِهِۦ تَسْتَكْبِرُونَ 
Maksudnya: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakaratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-Nya. (Surah al-An’am: 93) 

Ibnu kathir mengemukakan beberapa pandangan, antara: 

• Adh-Dhahak dan Abu Solih berpendapat Para malaikat pula menghulurkan tangan mereka, bermaksud memukul. 

• Ibnu Kathir menfsirkan bahawa jika orang kafir mengalami nazak sakaratul al-maut, maka Malaikat akan membawakan kepadanya berita gembira berupa azab, belenggu, rantai, Neraka Jahim, air panas yang bergolak, dan kemurkaan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang, kerana itu nyawanya bergejolak dalam jasadnya dan enggan keluar darinya. Kemudian Malaikat memukulnya sehingga arwah mereka keluar dari jasadnya.

Dalil wujudnya azab kubur daripada ayat di atas ialah, Allah SWT memberitahu bahawa mereka akan merasakan azab yang hina pada hari tersebut. Jika sekiranya, azab yang hina tersebut merujuk kepada azab neraka, dan ditangguhkan hingga hari kiamat, nescaya tidak tepatlah firman Allah SWT dalam ayat tersebut: ”Pada hari ini kamu dibalas.” Justeru, wajar ditafsirkan dengan azab kubur.

Sayyid Qutub berkata: “Pemandangan yang dilukiskan oleh al-Quran untuk menggambarkan balasan yang diterima oleh orang-orang yang zalim atau kaum Musyrikin adalah satu pemandangan yang ngeri, menyeksa atau mencemaskan. 

Mereka sedang mengalami penderitaan sakaratul maut. Kata-kata Ghamarat (غمرات) “penderitaan” memberi bayangan tentang kesengsaraan, sedangkan para malaikat menyeksakan dengan hentaman tangan mereka dan menuntut nyawa mereka supaya keluar sambil mengecam mereka.”

Kelima: Firman Allah SWT: 

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ 
Maksudnya: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Taha: 124)

Al-Mawardi di dalam kitabnya al-Nukat wa al-U’yun Abu Said al-Khudri RA dan Ibn Mas’ud RA bahawa maksud ayat ini adalah azab kubur. Kehidupan sempit yang disebutkan dalam ayat di atas ditafsirkan sebagai azab kubur. Tafsirannya sebagai azab kubur, diambil melalui ayat selepasnya yang berbunyi:

 وَلَعَذَابُ ٱلْءَاخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَىٰٓ 
Maksudnya: Dan azab akhirat itu lebih dahsyat dan lebih berkekalan. (Surah Taha: 127)

Hal ini bererti kesempitan hidup pasti terjadi sebelum berlakunya azab akhirat. Justeru, kesempitan hidup sebelum akhirat boleh ditafsirkan sama ada sebagai kesempitan hidup di dunia, ataupun azab kubur di alam barzakh. Akan tetapi dari keduanya, manakah yang lebih tepat?

Jika ditafsirkan kesempitan itu berlaku sewaktu kehidupan dunia, maka sudah pasti setiap orang yang berpaling dari petunjuk Allah SWT akan mendapat kehidupan yang sempit. Sedangkan realiti yang berlaku menunjukkan orang-orang kafir ada yang lebih selesa dan mewah hidupnya berbanding orang beriman.

Maka, tafsiran kehidupan yang sempit dengan makna azab kubur di alam barzakh adalah tafsiran yang paling tepat. Istinbat ini disebut oleh Imam al-Tabari dalam tafsirnya. Hal ini bertepatan dengan hadith Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu tahu kepada siapa diturunkan ayat ini yang bermaksud: Maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Adakah kamu tahu apakah kehidupan yang sempit? Mereka menjawab: Allah dan Rasul sahaja yang lebih mengetahui. Sabda Rasulullah SAW: Azab orang kafir di dalam kubur.” Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya (no: 3122)

Keenam: Daripada Ali bin Abi Talib RA berkata: Manusia meragui tentang azab kubur sehingga diturunkan firman Allah SWT: 

﴾أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ ﴿١﴾ حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ ﴿٢﴾كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ﴿٣﴾ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ﴿٤ 
Maksudnya: Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (Surah al-Takathur: 1-4)

Athar Ali bin Abi Talib ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no: 3355). Beliau menilainya 'gharib' dengan maksud ia hadith dhaif. Juga dinilai 'dhaif sanadnya' oleh al-Albani dalam Dhaif Sunan Tirmzi (1/438).

Al-Qurtubi berkata: “Surah ini mengandungi hal berkenaan azab kubur dan sesungguhnya kami telah menyebut di dalam kitab al-Tazkirah bahawa beriman dengannya (azab kubur) adalah wajib dan membenarkannya adalah satu kemestian. Mengikut apa yang dikhabarkan dengannya oleh yang benar, bahawa Allah SWT menghidupkan hamba yang mukallaf dalam kuburnya dengan mengembalikan kehidupan kepadanya dan menjadikannya daripada akal sama seperti sifat kehidupan yang terdahulu untuk dia berakal dan faham apa yang dipersoal dan apa yang patut dijawab dengannya. Dia akan faham apa yang didatangkan kepadanya daripada Tuhan dan apa yang disediakan baginya dalam kuburnya sama ada kemuliaan atau kehinaan. Inilah mazhab Ahli Sunnah wa al-Jamaah.” 

Ketujuh: Firman Allah SWT: 

مِّمَّا خَطِيٓـَٔـٰتِهِمْ أُغْرِقُوا۟ فَأُدْخِلُوا۟ نَارًا فَلَمْ يَجِدُوا۟ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ أَنصَارًا 
Maksudnya: Mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam api. Mereka tidak mendapati penolong-penolong selain Allah. (Surah Nuh: 25)

Syed Qutb mempunyai dua pendapat, antaranya azab neraka dimaksudkan dalam ayat tersebut boleh jadi azab kubur dalam tempoh yang pendek di antara dunia dan akhirat. Imam al-Qurtubi ada menukilkan pendapat Imam al-Qusyairi yang berkata: “Ini menunjukkan bahawa adanya azab kubur.”

Dalil yang menunjukkan perkataan 'api' dalam ayat di atas merujuk kepada azab kubur, bukannya api neraka. Allah Taala mengatakan bahawa mereka dimasukkan ke dalam api sebaik sahaja mereka ditenggelamkan. Ini difahami dari lafaz fa' (ف) yang membawa erti tertib dengan jarak masa yang dekat. Jika sekiranya ditafsirkan perkataan 'api' sebagai api neraka di akhirat, maka terbatal penggunaan huruf fa' (ف) menurut ilmu Bahasa Arab.

Kelapan: Firman Allah SWT: 

وَإِنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ عَذَابًا دُونَ ذَ‌ٰلِكَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ 
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Thur: 47)

Berhubung dengan ayat ini terdapat banyak pandangan ulama. Antara pendapat mereka ialah azab sebelum mereka mati. Pendapat Ibn Zaid pula ialah, segala musibah dunia seperti kelaparan atau kebuluran, sakit, bencana, kehilangan harta dan anak-anak.

Mujahid pula menafsirkan, maksudnya ialah kelaparan dan kesusahan selama tujuh tahun. Ibn Abbas pula diriwayatkan daripadanya dua pendapat, pertama maksudnya pembunuhan mereka waktu peperangan Badar. Pendapat kedua Ibn Abbas mengatakan ia bermaksud azab kubur. Ia disokong oleh al-Barra’ bin Azib dan Ali bin Abi Talib. 

Kesembilan: Firman Allah SWT: 

فَذَرْهُمْ حَتَّىٰ يُلَـٰقُوا۟ يَوْمَهُمُ ٱلَّذِى فِيهِ يُصْعَقُونَ 
Maksudnya: (Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa. (Surah al-Thur: 45)

Berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith, kita dapati bahawa azab kubur merupakan hal yang tidak mungkin dinafikan. Bagi menguatkan lagi hujah, suka diterangkan di sini hujah dari segi logikal pula, antaranya:

• Alam yang dilalui oleh manusia adalah berlainan antara alam tidur dan alam jaga. Begitu juga alam mimpi dengan yang lain. Apatah lagi alam hidup dengan alam yang mati yang dikenali sebagai alam barzakh atau alam kubur.

• Manusia boleh mengalami perasaan yang berbeza walaupun berada pada tempat yang sama dengan sebab rohnya yang berbeza dan suasana serta situasi dalaman seseorang. Contohnya, jika seseorang tidur di satu tempat dan seorang yang lain tidur di tempat yang sama, tetapi kedua-duanya mungkin bermimpi dua perkara yang berlainan.

• Akal manusia boleh mengiyakan sesuatu peristiwa yang berlaku sama ada baik atau tidak, berdasarkan kepada akal atau rohani, bukan kepada zahir semata-mata. Hal ini amat jelas apabila kita dapati ada di kalangan manusia yang keadaannya cukup gembira, manakala yang lain berada dalam keadaan yang cukup derita.

Friday 13 September 2019

Tunjukilah jalan yang lurus

Jalan yang lurus memudahkan pemanduan (foto hiasan)

Andaikan anda meminta seseorang menunjukkan jalan menuju ke suatu destinasi, lalu ditunjukkan kepada anda satu arah yang lurus tanpa ada bengkak-bengkok. Anda tidak perlu menghiraukan simpang yang banyak kedapatan di kiri dan kanan jalan. Anda hanya perlu menuju terus dan terus... Tidakkah anda merasakan jalan tersebut mudah?

Begitulah Allah menyebut jalan-Nya yang lurus. Ertinya Allah menghendaki kita mengikuti jalan yang bukan sahaja benar malahan mudah dan menyenangkan. Itulah antara kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Dia mahu menyenangkan bukan menyulitkan.

Jalan yang lurus adalah jalan yang satu, tiada dua tiada tiga. Jalan yang telah dirintis oleh para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan juga solehin. Manusia fitrahnya mahu kepada yang baik-baik. Melalui jalan yang lurus bererti memilih jalan yang baik seterusnya menuju keredhaan Allah SWT.

Namun, ada juga yang melihat jalan menuju Allah amat payah. Mereka melihat jalan yang lurus ini penuh kesulitan. Mereka membayangkan di kotak pemikiran betapa sukarnya jalan Allah. Mengapa begitu sukar?

Tentu sukar jika kita mengambil dan mengagungkan sistem atau cara hidup yang bertentangan dengan Islam yang fitrah. Kita melihat jalan yang lurus itu bersimpang-siur, menakutkan dan membosankan. Sebenarnya yang bengkok dan menyusahkan adalah kita bukan jalan-Nya!

Umat Islam mesti menerima jalan lurus yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Jalan itu adalah Islam yang sebenarnya. Bukan Islam yang ditokok tambah, bukan Islam yang hanya menjadi tempelan kosmetik dan disesuaikan dengan jiwa dan kehendak kita. Rasulullah mewarisi agama Islam ini dalam keadaan terang benderang seumpama matahari yang galak menyinari semesta.

Setiap hari kita memohon jalan yang lurus, sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam. Kita meyakini jalan yang lurus itu benar dan menyelamatkan. Memohon jalan yang lurus terkandung di dalam surah al-Fatihah yang dibaca dalam solat.

Namun, setelah memohon jalan yang lurus, kemudian ditunjukkan inilah jalan yang lurus itu. Lalu mengapa kita memilih jalan yang bengkang-bengkok dan menyusahkan?

Tidakkah pelik, jika kita memohon sesuatu daripada seseorang, lalu diberikannya. Tetapi selepas itu kita tidak mengambil apa yang diberikannya itu. Kemudian kita meminta lagi, dan lagi, dan lagi, berkali-kali. Malahan setiap hari ataupun sehingga habis usia kita masih meminta. Namun, setelah diberi kita tidak mengambilnya...

Apakah yang mahu dikatakan kepada orang ini?

Mari kita berfikir sejenak... 

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga jalan orang-orang yang sesat.” (al-Fatihah: 6-7)

Thursday 12 September 2019

Misi kebajikan lagi.

Alhamdulillah, sejurus selesai misi ibadah qurban dan aqiqah pada bulan Zulhijjah yang lalu, menyusul pula misi kedua. Kali ini misi kebajikan ibadah aqiqah dan waqaf al-quran di beberapa tahfiz dan pesantren di Indonesia. Tepatnya di Riau dan Surabaya.

Buat sekian kalinya, saya menyertai misi ini. Kali ini ke Pekanbaru dan Kampar, kedua-duanya berada di daerah Riau. Manakala satu kumpulan lagi bergerak ke Surabaya. 

Alhamdulillah, sebanyak 6 ekor kambing dan 500 naskah al-quran telah disempurnakan amanahnya di beberapa tahfiz dan pesantren di Riau. 

Semoga Allah SWT membalas kepada para dermawan dengan ganjaran yang sebaiknya dan menjadi pahala jariah yang mengalir tanpa henti.

Insya-Allah, selepas ini akan menyusul misi-misi seterusnya.









Sunday 8 September 2019

Maksud Qada’ dan Qadar

Soalan: 
Nyatakan maksud Qada’ dan Qadar? 

Jawapan: 

 • Qada’ 
Dari sudut bahasa Arab, Qada’ bermaksud meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum. 

Manakala dari sudut syarak, Qada’ ialah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya samada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, atau mengubahnya. 

• Qadar 
Dari sudut bahasa Arab, Qadar ialah menetapkan suatu kadar tertentu. 

Manakala dari sudut syarak, Qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu-Nya yang mendahulu setiap perkara. 

Perbezaan antara Qada’ dan Qadar 

Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah. 

Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan Qadar adalah asas atau tapak binaan, dan Qada’ pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut. Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyebut, telah disebut berulang kali di dalam al-Quran al-Karim masalah qadar atau takdir, antaranya: 

• Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT: 

وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ
Maksudnya: Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir. (Surah al-Ra’d: 8) 

Al-Maragi mengulas: Setiap sesuatu mempunyai batas waktu yang telah ditentukan iaitu tidak lebih dan tidak kurang. 

• Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT: 

 وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ 
Maksudnya: Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu. (Surah al-Hijr: 21) 

Sayyid Qutb berkata: Hanya kepada Allah SWT pulangnya segala sesuatu dan pulangnya setiap orang tepat pada waktu nya yang ditetapkan. 

• Segala sesuatu diciptakan dengan takdir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT: 

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir. (Surah al-Qamar: 49) 

Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan dunia ini, adalah ketentuan Allah SWT dan pembentukannya, menurut ketentuan hikmah-Nya Yang Maha Bijaksana dan aturan-Nya yang menyeluruh dan sesuai dengan sunnah-sunnah yang Dia letakkan pada makhluk-Nya.” 

Kesimpulan yang dapat diambil daripada ayat di atas ialah bahawa makna qadar atau takdir itu ialah suatu peraturan yang tertentu yang telah dibuat oleh Allah SWT untuk segala yang ada di alam semesta yang maujud ini. 

Oleh itu, peraturan-peraturan tersebut merupakan undang-undang umum atau kepastian yang diikatkan di dalamnya sebab dengan musababnya, juga antara sebab dan akibatnya. Imam al-Nawawi Rahimahullah memberikan definisi takdir itu dan berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT sudah digariskan sejak zaman dahulu lagi. Allah SWT Maha Mengetahui setiap yang terjadi pada segala sesuatu tersebut dalam waktu-waktu yang telah ditentukan, sesuai dengan garis yang ditetapkan oleh-Nya. Oleh itu, terjadinya hal ini, pasti akan sesuai menurut sifat-sifat dan keadaannya yang khusus, tepat seperti yang digariskan oleh Allah SWT itu.” 

Dalam Syarah Jauharah al-Tauhid oleh Syeikh Ibrahim al-Laqqani menyatakan, mengenai makna dari Qada’ dan Qadar telah menjadi perselesihan antara Asya’irah dan Maturidiah. Makna Qadar menurut Asya’irah adalah: 

 إِيْجَادُ الله الأشْيَاء عَلَى قَدَرٍ مَخْصُوصٍ وَوَجْهٍ مُعَيَّن أَرَادَهُ تَعَالىَ 
Maksudnya: “Allah menjadikan segala sesuatu di atas ketetapan yang dikhususkan dan rupa yang ditentukan yang dikehendaki oleh Allah SWT.” 

Berdasarkan makna ini, maka Qadar adalah sifat fi’il kerana ia merupakan satu ibarat daripada kejadian dan kejadian atau al-ijad adalah di antara sifat-sifat af’al. Menurut Maturidiah pula tentang Qadar: 

 تَحْدِيْدُ الله أَزْلاً كُلَّ مَخْلُوقٍ بِحَدِّهِ الَّذِى يُوْجَدُ عَلَيْهِ مِنْ حُسْنٍ وَقُبْحٍ وَنَفْعٍ وَضُرٍّ إِلىَ غَيْرِ ذَلِكَ أَي عِلْمُهُ تَعَالَى أَزْلاً صِفَاتِ الْمَخْلُوقَاتِ. 
Maksudnya: “Pembatasan Allah pada azali akan tiap-tiap makhluk dengan batasan-Nya yang Dia menjadikan atasnya berupa kebaikan, keburukan, kemanfaatan dan kemudharatan hingga yang lainnya dalam erti mengetahui Allah SWT pada azali akan semua sifat-sifat makhluk.” 

Berdasarkan pengertian ini, maka Qadar adalah di antara sifat-sifat zat, sedangkan Qada’ menurut Asya’irah pula adalah: 

إرَادَةُ الله الأَشْيَاءَ فِي الأَزْلِ عَلَى مَا هِىَ عَلَيْهِ فِيْمَا لاَ يَزَالُ
Maksudnya: “Kehendak Allah SWT akan segala sesuatu pada azali berdasarkan apa-apa yang sesuai atasnya pada masa yang sudah tidak azali.” 

Oleh itu, Qada’ adalah di antara sifat-sifat zat berdasarkan pengertian ini. Manakala Qada’ menurut Maturidiah pula ialah: 

إِيْجَادُ الله الأَشْيَاء مَعَ زِيَادَةِ الإحْكَامِ وَالإِتْقَان
 Maksudnya: “Allah menjadikan segala sesuatu beserta dengan tambahan pengukuhan dan penelitian.” 

Qada’ menurut pengertian ini adalah di antara sifat-sifat af’al. Dengan demikian, makna Qadar itu ialah bersifat hadis dan Qada’ itu bersifat qadim menurut Asya’irah. Sedangkan menurut Maturidiah, Qada’ itulah yang hadith dan Qadar adalah qadim. 

Pengulas bait ini membawa kalam musannif tersebut di atas mazhab Maturidiah dalam hal Qada’ dan Qadar, bukan mazhab Asya’irah kerana Qada’ dari sudut bahasa mempunyai lebih kurang tujuh makna dan makna yang paling masyhur adalah al-Hukmu iaitu “penghukuman” yang kembalinya kepada fi’il (perbuatan) maka yang sesuai adalah menafsirkannya pada istilah dengan fi’il. Adapun Qadar maka tidak pernah datang bahawa maknanya dari sudut bahasa adalah fi’il, maka yang sesuai adalah tidak menafsirkannya pada istilah dengan fi’il melainkan dengan ilmu. 

Maka kita dapat melihat bahawa Ajhuri menjadikan Qada’ adalah iradah beserta taalluq yang azali menurut qaul yang pertama atau ilmu beserta taalluq yang azali menurut qaul yang kedua. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah qadim. Menjadikan Qadar adalah penjadian di atas kesesuaian iradah atau penjadian di atas kesesuaian ilmu. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah baru.

Monday 2 September 2019

Lensa Program Qurban Dan Aqiqah 1440H/2019M

Pulau Banggi, Pedalaman Sabah


Coxbazar, Bangladesh


Chad dan Cameroon, Afrika 


Jaipur, India


Kemboja


Lombok, Indonesia


Marawi Mindanao Filipina


Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakannya. Moga Allah SWT membalas dengan sebaik-baik ganjaran yang mengalir tanpa henti sehingga ke hari kiamat. Amiinn.