Sahabat Sejati

Thursday 31 August 2017

Merdeka 60 tahun

'Kunjungan ke makam pahlawan Mat Kilau yang entah kali yang ke berapa. Di belakangnya pula adalah makam ibunya, Teh Mahada'

"Dari Perlis sampailah ke Sabah, kita sudah merdeka.."

Bait-bait senikata lagu 'Malaysia Berjaya'. Saya turut menyanyikannya dengan penuh semangat patriotik suatu ketika dahulu, setiap kali ia berkumandang di peti televisyen. Masa itu zaman budak-budak, memang semangat cintakan negara sangat menebal. Sekarang ini pun sama juga keadaannya.

Alhamdulillah, kita semua menyambut dan meraikan hari ulang tahun kemerdekaan tanahair yang tercinta ini kali ke-60 pada hari ini. Sudah tentu ini memberi makna bahawa sudah 60 tahun penjajah meninggalkan negara ini. Sekaligus meletakkan pengiktirafan bahawa kita sendiri mampu mentadbir dan mencorak dasar pemerintahan negara ini. Sedikit pun tidak memerlukan campur tangan luar, kita bebas.

Sejarah telah tercatat, negara atau bangsa yang dijajah sedikit pun tidak memiliki sebarang bentuk kebebasan untuk menentukan hala tuju sendiri, melainkan perlu tunduk dan patuh menurut apa yang telah diatur oleh mereka. Dalam ertikata lain perlu mengikut kehendak penjajah samada suka atau tidak.Tentunya keadaan ini menimbulkan ketidakadilan, penindasan serta ketidakpuasan hati kepada penduduk yang dijajah. Ekoran tersebut, muncullah penentang-penentang penjajah bagi membebaskan tanahair tercinta ini.

Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Rentap, Mat Salleh, Datuk Maharajalela (sekadar menyebut beberapa nama) adalah di antara pejuang yang membangkitkan penentangan terhadap penjajah di tempat mereka. Dengan kudrat yang ada mereka melancarkan serangan demi serangan, biarpun terpaksa bermandi keringat darah dan menjadi pelarian di bumi sendiri. Penjajah pula menjaja mereka semua dengan gelaran pemberontak. Demikianlah mahalnya harga yang terpaksa dibayar demi untuk menghalau penjajah keluar dari tanah tumpah ini.   

Justeru, sebalik laungan merdeka, disamping letusan bunga api yang kita lepaskan ke udara, janganlah kita lupa akan jasa dan pengorbanan mereka ini. Kenangilah perjuangan mereka, hayatilah pengorbanan mereka. Rasailah sama denyut nadi para wira yang tidak didendang ini. Moga semua ini memberi makna dan pengertian yang sebesarnya tatkala kita menyebut kalimah 'merdeka'.    

Marilah kita menadah tangan memanjatkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan ini. Mudah-mudahan kita bukan hanya merdeka dari sudut fizikal, malahan jiwa dan fikiran kita turut merdeka.

Sunday 27 August 2017

Jangan sampai lenyap dah la...

sumber: Google

Ketika bersantai-santai sambil melayari laman sesawang, tanpa sengaja saya tersua dengan sekeping gambar yang menghadiahkan satu detik yang menghanyutkan dalam arus kenangan. Ianya sekeping gambar Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut yang saya kira ia diambil sekitar tahun 80-an. Cantik benar gambarnya dengan suasana kehijauan yang masih elok terpelihara. Suasana segar yang tampak damai ini sangat 'kena' dengan jiwa saya.

Saya tidak betah berlama-lama di kelilingi hutan batu. Jiwa saya cepat mengeras dengannya. Justeru, paling tidak sebulan sekali keluar mencari-cari damai diri. Masuk hutan, menyusuri alur jernih atau mendirikan khemah di pulau yang dikelilingi kebiruan air laut. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dikurniakan teman-teman yang berkongsi minat yang sama. Suka mencari damai pada suasana hijau alam.

 'Kunjungan ke Taman Negara buat kali kedua. Lihat perbezaan warna air sungai'

Sudah 3 kali saya ke Taman Negara Kuala Tahan. Sejak kali pertama pada tahun 1999, menjadi salah seorang peserta kursus 'Bina Insan'. Sungguh, mula-mula menjejakkan kaki di sana, saya mula jatuh cinta dengannya. Suasana alam yang mendamaikan ternyata amat serasi denga jiwa 'hijau' saya.

Taman Negara boleh dihubungkan melalui jalan darat dan dengan menaiki bot. Saya belum pernah lagi merasai pengalaman ke sana melalui jalan air. Dengarnya sangat menyeronokkan dengan perjalanan yang mencapai hampir 3 jam lamanya. Tiga kali saya ke sana semuanya dengan melalui jalan darat.

Tahun 99, jalan yang menghubungkannya masih lagi belum diturap dengan tar, masih jalan tanah merah. Permukaan jalan yang tidak berapa rata amat tidak memberi keselesaan. Mujurlah di kiri dan kanan sarat dengan kehijauan pepohon yang merimbun. Sedikit sebanyak memberi kedamaian sekaligus melupakan kenderaan sesekali melambung-lambung.

Kalaulah ketika itu sangat mudah dengan kamera digital atau 'smart phone' seperti hari ini, tentu banyak kenangan yang dapat dirakam. Sebaliknya kami 'mengetip' gambar menggunakan kamera lama yang perlu diisi filem di dalamnya. Tentu sekali agak terhad penggunaannya. Apakan daya, itu sahaja pilihan yang ada pada masa itu.


Apa yang mahu saya simpulkan dalam entry ini ialah betapa jelas ketara perbezaan kualiti warna air sungai di antara dua gambar tersebut. Saya sendiri menyaksikan warna air sungai yang agak keruh sewaktu mudik ke hulu. Walaupun ia tidak mengurangkan kunjungan pelancong saban tahun ke sana, tetapi jelas ada sesuatu yang berlaku menyebabkan air sungai bertukar warna dan pihak berwajib perlu berbuat sesuatu.

Dua tiga tahun lepas saya ada membaca di dalam akhbar berita mengenai beberapa sungai di Pahang yang semakin cetek. Termasuk juga sungai Pahang yang 'gah' itu. Jika sungai Pahang pun diancam kekeringan, maka sungai-sungai lain di kawasan sekitar tentu mengalami nasib yang sama. Hasil siasatan ia berpunca daripada pembalakan yang tidak terkawal di hulu sungai. Jika ini berterusan maka tidak mustahil apa yang ada sekarang tidak akan dapat ditatapi dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Saturday 26 August 2017

Moga dipermudah urusan YAMCP

Alhamdulillah, para petugas Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) yang diamanahkan untuk ke India, telah pun berangkat pada hari Rabu. Manakala malam tadi menyusul pula kumpulan kedua ke Sri Lanka. Mereka semua diamanah untuk menguruskan pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah di negara tersebut. 

Pada 29 Ogos ini, kumpulan ke Sudan dan Pedalaman Sabah pula akan berangkat. Mereka bertolak lewat sedikit kerana menguruskan pelaksanaan iabadah qurban dan aqiqah seterusnya menyambut 'eidul adha di sana.

Tengahari tadi, sahabat-sahabat yang berada di Sri Lanka memaklumkan telah selesai menyembelih 2 ekor lembu untuk aqiqah. Kebiasaannya, untuk aqiqah kami akan menganjurkan kenduri. Lokasinya sudah pasti di penempatan muslim yang dhaif. Maka dapatlah penduduk di situ mencicip sedikit seorang apa yang dimasak.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, petugas yang ke India dan Sri Lanka akan menyambut 'eidul adha di sana. Menguruskan pembelian haiwan qurban, serta menyembelih pada pagi 10 dan 11 Zulhijjah, kemudian turut sama menyempurnakan agihan daging qurban. Berbeza pada tahun ini, mereka bertolak awal. Menguruskan pembelian haiwan qurban sebelum menyerahkan kepada wakil YAMCP di sana untuk urusan seterusnya. Setelah selesai, mereka akan pulang sebelum tiba 'eidul adha.

Pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah, termasuk juga badal haji adalah program rutin setiap tahun YAMCP. Ia termasuk dalam misi kemanusiaan sebagaimana misi bantuan ke lokasi-lokasi yang ditimpa bencana seperti Acheh yang dikejutkan dengan tragedi tsunami pada 2004. YAMCP turut menghantar sukarelawan untuk membantu mangsa tragedi menyayat hati tersebut. 

Lokasi pelaksanaan qurban dan aqiqah dilakukan di lokasi penempatan umat Islam yang dhaif. Dhaifnya boleh dikatakan sebagai, "makan daging setahun sekali." Ada di antara lokasi, jika tidak dilaksanakan ibadah qurban atau aqiqah, makan tidak merasa daginglah mereka pada tahun tersebut. Sangat dhaif! Sebak pula mengenangkannya. Berbeza di tempat kita sukar bagaimana pun ada bantuan atau cakna daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Pedalaman Sabah dan Sarawak, perkampungan orang asal adalah lokasi yang biasa di dalam negara. Manakala di luar negara pula seperti India, Sri Lanka, Sudan, Acheh, Mindanao, Kemboja, Vietnam, Pakistan, Somalia, Thailand dan banyak lagi. Namun, tidaklah semua lokasi tersebut diuruskan oleh YAMCP, melainkan ia telah dibahagi-bahagikan kepada setiap cawangan negeri. 

India, Sri Lanka, Sudan, pedalaman Sabah dan Sarawak serta perkampungan orang asal di Semenanjung Malaysia di bawah kendalian YAMCP tahun ini. Moga Allah SWT permudahkan urusan ini. Amiinn...  


Monday 21 August 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (29)

DALAM NAUNGAN KENABIAN DAN KERASULAN

Menikmati Kesunyian Gua Hira'

Ketika umur baginda mendekati 40 tahun dan tatkala pelbagai renungan yang dilakukannya telah membentangkan jarak pemikiran antara baginda dengan kaumnya, Nabi Muhammad mula suka menyendiri. Baginda membawa roti gandum dan bekal air lalu pergi ke Gua Hira' yang terletak di Jabal Nur, yang jauhnya kira-kira dua batu dari Mekah.  

Ukuran Gua Hira' sederhana, tidak terlalu besar. Dalamnya sepanjang empat engkol besi dan lebarnya satu tiga perempat engkol besi. Sepanjang Nabi Muhammad berada di Gua Hira', Khadijah turut keluar dari Mekah dan tinggal berekatan dengan Gua Hira'.(1)

Baginda berdiam diri di Gua Hira' sepanjang bulan Ramadhan. Jika ada orang miskin mendatangi gua itu, baginda tidak lupa memberikan makanan. Baginda menghabiskan waktu di dalam Gua Hira' untuk beribadah dan memikirkan fenomena alam yang terjadi di sekeliling baginda serta kekuatan tersembunyi yang ada di sebalik alam nyata.

Baginda tidak mendapat ketenteraman hati menyaksikan apa yang ada pada kaumnya yang berupa keyakinan syirik yang membelenggu dan persepsi lemah yang dipenuhi dengan imaginasi tahyul.  

Namun begitu, di hadapan baginda juga tidak ada jalan terang untuk keluar daripada perkara itu, tidak juga jalan yang boleh dituju yang dapat membalut hati baginda dengan ketenteraman dan keredhaan.(2)

Pilihan hidup baginda untuk melakukan uzlah (menyendiri daripada masyarakat) merupakan salah satu rahsia Allah dalam mengatur diri baginda. Tujuannya adalah untuk mempersiapkan diri baginda sebelum menyambut urusan agung yang telah menanti baginda. Di situ, baginda bebas daripada kesibukan dan hiruk-pikuk dunia serta perangai manusia yang sentiasa mewarnai kehidupan.

Baginilah baginda mempersiapkan dirinya untuk memikul amanah besar yang akan mengubah wajah dunia dan meluruskan garis sejarah. Allah menetapkan baginda melakukan uzlah selama tiga tahun sebelum membebankan risalah Islam di bahu baginda. Baginda biasanya pergi menyendiri selama satu bulan penuh dengan hatinya yang merdeka, lalu merenung keajaiban tersembunyi yang ada di sebalik alam nyata ini. Hingga tibalah masanya baginda berinteraksi dengan keajaiban tersebut tatkala Allah mengizikannya.(3)    

Rujukan: 

(1) Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-'Alamin, jil. I, hal. 47; Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 25-236; Sayyid Quthb, Fi Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 166.   

(2) Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-'Alamin, jil. I, hal. 47; Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 25-236; Sayyid Quthb, Fi Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 166. 

(3) Sayyid Quthb, Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 166. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Wednesday 16 August 2017

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (20)

sumber: fb

MAKSUD KORBAN NAZAR

Soalan:

Salam ustaz, boleh tolong jelaskan kepada saya tentang korban nazar dan bagaimanakah sesuatu korban itu boleh menjadi korban nazar. 

Jawapan:

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah. Hukum asal ibadah korban menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie) ialah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut dan makruh meninggalkannya bagi yang mampu. Ia berubah menjadi wajib apabila dinazarkan. 

Nazar bermaksud; seorang mukallaf dengan pilihannya sendiri telah melafazkan ucapan untuk mewajibkan ke atas dirinya suatu amalan yang asalnya tidak wajib (iaitu sunat sahaja), dengan ucapannya itu amalan tersebut menjadi wajib atas dirinya. 

Ucapan nazar itu boleh dengan bahasa nazar itu sendiri seperti berkata: "Jika sembuh sakitku, aku bernazar untuk bersedekah” dan boleh juga dengan bahasa lain yang mewajibkan ke atas diri seperti berkata; “Jika Allah menyembuhkan sakitku, wajib atas diriku bagi Allah sedekah dengan nilai sekian-sekian”. 

Bagi ibadah korban, ia menjadi nazar apabila seorang berkata; “Aku bernazar untuk berkorban pada tahun ini”, atau berkata; “Wajib ke atas diriku bagi Allah berkorban pada tahun ini” atau berkata; “Jika sakitku sembuh, wajib atas diriku untuk berkorban pada tahun ini”. Bagi lafaz terakhir (iaitu “jika sakitku sembuh, wajib atas diriku berkorban”) korban hanya menjadi wajib jika perkara yang diikat dengan korban itu benar-benar berlaku (dalam kes ini; sembuh dari sakit). Ia dinamakan nazar muqayyad (iaitu nazar berkait). Adapun nazar dengan lafaz sebelumnya dinamakan nazar mutlak (nazar bebas). 

Nazar wajib dilaksanakan kerana Allah berfirman (yang bermaksud): “(Di antara sifat orang-orang yang baik/taat ialah) mereka memenuhi nazar mereka…” (surah al-Insan, ayat 7). 

Nabi SAW bersabda; “Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah (yakni bernazar untuk melakukan suatu amalan ketaatan), hendaklah dia mentaati Allah (dengan melaksanakan nazarnya itu)” (Soheh al-Bukhari; 6696, dari ‘Aisyah rha). Wallahu a’lam. 

Rujukan; 1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/78 (perkataan ‘udhhiyah’), 40/136 (perkataan ‘nazr’).

Sumber: Laman Info Agama

Monday 14 August 2017

Sibuk sangat, kan dah kena!

Allahu rabbi. 

Bagaimana saya boleh terlalai. Sibuk dengan beberapa urusan menyebabkan saya benar-benar terlupa. 

Benar, bermula Ramadhan yang lalu hinggalah sekarang saya dihimpit kesibukan yang amat. Buktinya boleh dilihat pada jumlah entry yang di'post' pada pondok kecil abuikhwan ini. Tidak sampai sepuluh entry sebulan, dan tentunya ini amat mengecewakan saya. 

Bulan ini saya dan rakan-rakan sibuk dengan menguruskan pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah, termasuk juga badal haji. Ia adalah program tahunan NGO kami, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Mengurus dan mengemaskini pendaftaran peserta-peserta yang ingin melaksanakan ibadah tersebut, menguruskan pembelian haiwan qurban serta sukarelawan yang akan ke negara-negara yang termasuk dalam senarai pelaksanaan qurban dan aqiqah. 

Dek kesibukan itulah dan beberapa kesibukan lain, menyebabkan saya terlupa akan sesuatu yang amat penting. Dan hari ini saya disedarkan dan 'dihukum' akibat kelupaan tersebut. Mujur juga tersedar hari ini. Tetapi cara 'sedar' tersebut yang tidak berapa cantik. Tak apalah, tentu ada hikmah kebaikannya, kata hati saya memujuk.  

Kena dah!

"Tengok lesen yang baru.." pinta anggota polis trafik yang menahan saya di sekatan jalan tengahari tadi.

"Allah..." 

Sungguh terkejut kerana lesen memandu saya sudah pun tamat tempoh. Bukan sehari dua, tetapi hampir sebulan. Maknanya hampir sebulan  saya memandu dan menunggang dengan lesen yang sudah 'mati'. Apa nak dikata, nasi sudah menjadi bubur. Jika tahu lesen sudah tamat tempoh tentu saya tidak melalui jalan tersebut tadi, setelah melihat kenderaan yang berbaris serta beberapa buah motosikal yang berpatah balik melawan arus. Biasanya memang ada sekatan jalanrayalah jika begitu hal keadaannya.

Saya pula dengan selamba melalui sekatan, kemudian dengan selamba menghulur lesen memandu setelah diminta untuk menunjukkannya. Muka 'confident' je. Sehinggalah terkedu sejenak apabila ditegur oleh anggota polis trafik yang bertugas.

"Sudah sebulan lesen ni mati..." katanya.  
 
"Alamak, kena dah.." di dalam hati. 

Terima sahajalah apa yang berlaku. Dengan bergayanya saya menandatangani surat saman dan menunggu-nunggu hari yang sesuai untuk membayar kompaunnya...
  

Friday 11 August 2017

Merenung dan berfikir

Perjalanan hidup manusia dari dahulu hingga kini menempuh berbagai-bagai peristiwa. Apa sahaja yang berlaku adalah sejarah yang melukiskan putaran roda kehidupan manusia yang dengannya tersimpan hikmah dan pelajaran.

Semua peristiwa yang berlalu itu harus kita mengerti dan kita pelajari sehingga kita memahami bahawa itulah didikan dari Allah SWT. Untuk itu, apapun yang berlaku baik ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?”

Fikirkanlah, semua yang berlaku ke atas kita pasti ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah. Kuncinya adalah BERFIKIR.

Manusia perlu kepada Tuhan. Justeru itu mereka perlu mengenal Tuhan. Kenal dengan merenung dan memerhati ayat-ayat Allah yang dibaca. Begitu juga kenal dengan memerhati dan berfikir akan kejadian alam ini. Semua ini akan memutikkan rasa kehebatan Allah SWT dan begitu kerdil dan lemahnya diri kita.

Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Aali-Imraan: 191)

Inilah yang cuba saya selami.

Pokok cili tumbuh disebelah pokok mempelam. Tegak di atas tanah yang sama, menyedut air dan galian yang sama tetapi berbeza rasa. Cili rasanya pedas manakala mempelam rasanya manis. Tidak pula cili menjadi manis kerana duduk di sebelah pokok mempelam.

Saya memerhati seekor ibu ayam memimpin anak-anaknya mencari makan. Mencakar-cakar tanah dan berketak memanggil anak-anaknya. Jika ada yang mengganggu, si ibu akan mengejarnya dengan kepak yang mengembang. Saya takjub melihat kasih sayang ini.

Demikianlah kebesaran Allah SWT. Fitrah manusia, memerhati dan berfikir untuk memahami rahsia alam dan kehidupan. Seterusnya menghadirkan cinta, kasih dan taat pada-Nya. Justeru itu, renungilah hakikat kehidupan ini, andai kita punya mata hati pasti kita akan memahami.

"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" (al-Baqarah:76)

Wednesday 9 August 2017

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (19)

sumber: FB

Buruknya wajahku ketika marah

“…adapun yang berharga dalam diri manusia ialah akal, tetapi ia boleh hilang disebabkan marah…” Sebahagian dari pesanan Rasulullah saw.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan akal yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan baik dan buruk, merasai keagungan dan kebesaran Allah. Demikianlah betapa tingginya nilai akal.

Sheikh Utsman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syakir al-Khaubawiyi menulis di dalam kitabnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan akal, maka Allah SWT telah berfirman: “Wahai akal mengadaplah engkau.” Maka akal pun mengadap ke hadapan Allah SWT, kemudian Allah SWT berfirman: “Wahai akal berbaliklah engkau,” lalu akal pun berbalik. Kemudian Allah SWT berfirman lagi: “Wahai akal! Siapakah aku?” Lalu akal pun berkata: “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang sangat lemah.”

Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai akal, tidak Aku ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.”

Akal mestilah diisikan dengan ilmu-ilmu agama agar dapat memandu pemiliknya memilih tindakan antara yang baik dan buruk. Akal yang waras, yang telah terisi dengan cahaya iman dapat merasai keagungan Allah SWT serta menyelami hakikat diri dan penciptaan alam semesta.

Jangan marah...

Tetapi akal boleh hilang disebabkan marah. Marah merupakan nyalaan api yang diambil dari api Allah yang menyala, yang menyelinap masuk ke dalam hati nurani dan membakar hati manusia secara perlahan-lahan. Sesungguhnya kemarahan itu boleh menutupi akal. Sebab itu orang yang marah disebut sebagai separuh gila. Cuba lihat seseorang yang sedang marah, betapa buruknya. Muka dan matanya menjadi merah, bergetar-getar kaki tangan serta badannya. Kadang-kadang sampai menggertap gigi, lubang hidung bergerak-gerak mengembang dan mengecil.

Andaikata seseorang yang sedang marah melihat rupanya di dalam cermin, pastilah kemarahannya akan reda lantaran timbul perasaan malu pada diri sendiri.

“Buruknya rupa aku bila marah, malunya...”

Seseorang yang sedang marah juga mudah sahaja melepaskan kata-kata yang kotor, maki hamun dan cercaan semahu-mahunya. Jika boleh dirakam kata-kata orang sedang marah dan didengarkan semula kepadanya setelah api kemarahannya hilang, pastilah dia akan merasa malu dan menyesalinya.

“Eh...aku ke yang berkata begitu, betul ke aku cakap macam tu...”

Hasil dari sifat marah ini juga akan sampai kepada kecederaan fizikal seperti timbulnya pukulan, serangan dan melukai. Kadang-kadang apa yang ada berhampirannnya akan dirosakkan. Memukul-mukul serta melakukan perkara-perkara seperti orang tidak sedarkan diri, hilang akal dan gila. Kemucak dari sifat marah ini adalah rasa dendam sehingga sampai peringkat membunuh.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari datanglah seorang lelaki kepada Rasulullah saw, kemudian berkata: “Ya Rasulullah, berilah saya perintah untuk mengerjakan satu amalan yang baik, tetapi saya harap yang sedikit sahaja.”

Lalu Baginda saw bersabda: “Jangan kamu marah.”

Orang itu meminta supaya diulangi, mungkin ada lanjutannya. Tetapi baginda saw tetap menyuruh satu perkara itu sahaja iaitu: “Jangan marah.”

Sungguh amat sederhana nasihat Rasulullah saw, dengan hanya berkata “Jangan marah” itu. Mengapa baginda berkata demikian? Sesungguhnya nampak oleh baginda kalau orang yang bertanya itu suka marah.

Jika kita amati, Rasulullah tidak menujukan larangan pada sifat marah itu sendiri, kerana pada dasarnya sifat marah itu merupakan tabiat atau naluri manusia, tidak mungkin dibuang atau dicegah. Setiap manusia dibekalkan oleh Allah SWT dengan sifat marah, jika tiada sifat marah maka akan menjadi penakut pula. Contohnya jika kita ternampak harta kita dicuri, takkanlah kita hanya melihat sahaja dan berkata: “sabar, sabar, jangan marah”. Itu bukan sabar tetapi tidak cerdik. Justeru, larangan Rasulullah sebenarnya ditujukan kepada orangnya, agar dapat mengendalikan dirinya serta tidak mudah marah.

Rasulullah saw bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu kerana bergusti, namun orang yang kuat itu ialah siapa yang dapat menguasai dirinya waktu marah.” (Muttafaqun `alaihi).

Nah! Anda rasa anda seorang yang gagah, kekanglah kemarahan anda. Anda pasti bahagia.

Friday 4 August 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 102

Salam Jumaat.


Dua senjata 'S' untuk menjaga hubungan keluarga

Senyum & Senyap
2 senjata ulung dalam menjaga hubungan keluarga

Senyum adalah satu cara ntuk menyelesaikan banyak masalah

Senyap bertempat boleh bantu mengelakkan banyak sengketa.

Tuesday 1 August 2017

Kejar dunia, rangkul akhirat

Tidak salah mencari kesenangan dan kekayaan, asalkan ianya dapat dimanfaatkan ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dengan kekayaan juga kita dapat meningkatkan ekonomi umat Islam dengan cara mengeluarkan zakat, sedekah, waqaf, infaq dan sebagainya. Apa yang kita bimbang jika kekayaan kita ini mengheret kita ke arah kebinasaan dan menjadi punca kemurkaan Allah SWT.

Islam adalah agama yang mengutamakan kebahagiaan dunia dan akhirat, tanpa meninggalkan salah satu darinya. Tidak benar jika seseorang mengejar dunia sehingga tidak mempedulikan akhirat. Begitu juga kuat beribadat sehingga mengabaikan tanggungjawab sesama masyarakat. Islam bukan agama yang ekstrem. perlu ada keseimbangan di antara dunia dan akhirat. Bukankah untuk mendapatkan akhirat memerlukan dunia?

Sabda Rasulullah saw: “Bukanlah orang baik daripada kamu mereka yang meninggalkan dunia kerana akhirat semata-mata dan bukanlah juga baik jika ia meninggalkan akhiratnya kerana mengerjakan dunianya semata-mata. Sebaliknya hendaklah ia berusaha mendapatkan kedua-duanya sekali, kerana dunia sebagai jambatan untuk menuju akhirat. Dengan sebab itu janganlah jadikan diri kamu itu kepayahan kepada orang lain.”

Jelas ingatan yang disampaikan oleh Rasulullah saw, iaitu mukmin yang baik ialah yang mengejar dunia tanpa mencicirkan akhirat dan memburu akhirat tanpa meninggalkan dunia. Mereka beramal dan beribadat dan dalam masa yang sama mereka berusaha mencari rezeki untuk keperluan hidup. Dunia adalah jambatan menuju akhirat, oleh itu pastikan usaha yang dilakukan di dunia dapat disalurkan ke akhirat.

Islam juga melarang umatnya hidup bermalas-malasan, berpeluk tubuh dan mengharap pemberian dari orang lain. Tetapi mestilah berusaha untuk memajukan diri disamping masyarakat sekeliling haruslah memberi sokongan dalam bentuk yang berbagai. Betapa cantiknya sistem muamalat yang diatur oleh Islam. 

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)