Sahabat Sejati

Thursday 30 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (1) 

Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya 

a - Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi saw. 

b – Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A`la dan pada rakaat yang kedua membaca surah al-Ghasiyah berdasarkan hadis riwayat Muslim. Atau membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim.Kedua-dua bacaan ini sahih daripada Nabi saw. 

c - Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas rhuma, katanya: "Aku menyaksikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah." 

d - Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: "Telah sepakat para fuqaha` bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat." 

9 - Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya 

Ibnu Majah meriwayatkan daipada Ibnu Umar katanya: "Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat hari raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan." (sahih Ibnu Majah, hasan) 

Kata Ibnu al-Munzir: "Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu`, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan." 

Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh daripada musolla/masjid tidak mengapa menaiki kenderaan. 

10 - Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya 

Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah). 

Dari Umm `Aisyah rha. katanya: "Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha. Wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasing dariada tempat sembahyang." 

11 - Zakat Fitrah 

Nabi saw menyuruh membayar zakat al-fitri sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari awal. 

Imam al-Bukhari meriwayatkan: "Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-fitri) sebelum hari raya sehari atau dua hari." 

KESALAHAN YANG DILAKUKAN PADA HARI RAYA 

Ramai dikalangan kita telah mengambil mudah dengan hari raya. Bila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah 'hari free' iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). 

Mereka menganggap hari raya ini merupakan lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi). 

Berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan. Wallahua`lam. 

"Semoga `Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan"

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (1)

Adab-Adab Menyambut Hari Raya 

`Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya, sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadhan. Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah saw menyambut Hari Raya, antaranya ialah: 

1 - Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya 

Imam Malik rah. meriwayatkan: Sesungguhnya Abdullah bin Umar ra. akan mandi pada pagi hari raya al-fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya. Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya. 

2 - Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya `Eid al-Fitri dan untuk `Eid al-Adha makan selepas solat. 

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari raya al-Fitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar…dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari: 953) 

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. 

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (tanggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari: 2/446) 

3 - Bertakbir pada Hari Raya 

Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu , supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185) 

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza`ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah imam keluar (untuk menunaikan solat raya).” 

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya. 

4 – Lafaz Takbir Hari Raya 

Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas`ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz: 

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.” 

Al-Mahamiliy meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas`ud: 

“Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” (Irwa` al-Ghalil: 3/126) 

Kata ulama: Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan diamalkan. Diangkatkan suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar. 

5 – Ucapan Tahniah Pada Hari Raya 

Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan: 

"Semoga Allah menerima (amalan) daripada kami dan anda semua" 

"(Selamat) hari raya yang diberkati." 

Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri daripada ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka mengucapkan: Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) hasan. [Fath al-Bari 2/446] 

Antara ucapan yang masyhur juga: 

"Setiap tahun kamu sentiasa dalam kebaikan" 

6 – Berpakaian baru/cantik di Hari Raya 

Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (sahih Ibnu Khuzaimah: 1765) 

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. 

Adapun untuk kaum wanita, mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi saw: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian.” (riwayat Ahmad dan Abu Daud, sahih) 

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik. 

7 – Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan lain 

Jabir bin Abdillah rhuma katanya: “Adalah Nabi saw pada hari raya, baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (Bukhari: 986) Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini: 

i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari Kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari Kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat. 

ii. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam. 

iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SAW iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak-saudara dan menghubungkan silaturrahim. 

8 – Solat Hari Raya 

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/fadhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Imam Mazhab Abu Hanifah. Pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.

Wednesday 29 May 2019

Biar pandai dan ada hikmah

Terkilan saya tatkala diceritakan oleh seorang sahabat, apabila berlaku di surau tempatnya, seorang pakcik mengherdik keras sekumpulan anak-anak yang bermain di dalam surau. Akhirnya, pada malam berikutnya, terus tidak nampak muka budak-budak tersebut di surau.

Bukankah ini satu kerugian? Bukan tidak boleh nak menegur tetapi biarlah kena dengan keadaan dan strateginya. Anak-anak sedang membesar, merekalah yang akan menggantikan kita semua nanti.

Satu kisah

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz di dalam satu kuliah.

Sebiji bola yang ditendang mengenai tingkap sebuah gereja yang menyebabkan tingkap itu pecah. Budak-budak yang bermain bola itu merasa takut. Mereka berkira-kira ingin melarikan diri.

Tiba-tiba keluar seorang paderi yang menjaga gereja tersebut, lalu dia memanggil budak-budak yang bermain bola tadi. Sambil tersenyum si paderi itu memberi sebiji gula-gula getah kepada setiap seorang lalu menyuruh mereka memakannya. Ketika budak-budak tersebut leka mengunyah, dengan suara yang lembut dia menasihati mereka semua.

Budak-budak tersebut hanya mendengar tanpa berkata apa-apa kerana sibuk mengunyah gula-gula getah. Setelah selesai menasihati, si paderi tadi pun memulangkan bola mereka semula, dan berlalu untuk melihat kerosakan tingkap tersebut. Selesai satu masalah.

Bagaimana agaknya jika bola itu terkena tingkap masjid, lebih buruk lagi jika tingkap itu pecah. Bolehkah kita bayangkan apa reaksi ahli masjid. Bagaimana agaknya nasib budak-budak yang mengakibatkan tingkap masjid pecah. Saya rasa pasti akan dimarahi dengan leteran yang panjang berjela persis ceramah.

Saya tidaklah mahu pukul rata mengatakan bahawa semua pegawai masjid bersikap demikian. Hanya segelintir sahaja dari mereka yang tidak mesra kanak-kanak. Tetapi sikap yang sebeginilah menyebabkan yang lain terpalit sama. Sepatutnya kita perlu lebih berhikmah dalam menasihati golongan muda ini.

Kita bimbang golongan kanak-kanak dan remaja yang sepatutnya kita didik untuk datang ke masjid tetapi menjauhkan diri dari masjid. Kita rasa hairan mengapa golongan muda ini susah nak ke masjid, ‘degil’ kata kita, tetapi kita terlupa yang sikap kita seumpama memusuhi golongan muda mendekati masjid.

Teringat 

Saya dulu di antara generasi atau anak-anak yang setia ke surau. Tentunya surau berhampiran rumah pusaka arwah ayahanda menjadi pilihan berbanding masjid kampung yang agak jauh. Setiap malam saya menjadi tetamu yang setia. Tidak pernah saya melepaskan peluang datang ke surau terutama malam Jumaat kerana ada makan-makan selepas tahlil dan solat isyak.

Lucu pula apabila mengenangkan, sebenarnya kami bukanlah sembahyang tetapi hanya mahu bermain-main. Sejurus imam melafazkan takbir yang pertama, maka bermulalah berkejaran di segenap penjuru surau. Ruang surau yang luas berbanding ruang tamu rumah kami menjadikan aktiviti bermain di dalam surau amat menyeronokkan. Tatkala imam duduk bersimpuh tahaiyat akhir, kamu pun duduk sama seolah-olah turut bersembahyang. Bijaknya lakonan pelakon-pelakon kecil tak berbakat.

Sebenarnya, semua atuk-atuk dan pakcik-pakcik tahu bahawa kami semua tidak sembahyang. Tidak pernah pula kami dimarahi atau ditengking keras, sebaliknya mereka menasihati dengan lembut dan kata-kata yang enak didengar. Masih saya ingati di antara mereka yang menasihati kami seperti, pak imam haji Jabar, pak haji Yahya, cikgu Hamdan, pakcik Md Yatim, abang Abdullah Lambak dan ayah Ngah Majid (kesemua mereka telah pun kembali ke rahmatullah - moga Allah membalas jasa kebaikan mereka semua)

Demikianlah, kata-kata yang lembut dan nasihat yang baik melenturkan hati kami. Walaupun selepas itu kami masih lagi bermain, biasalah budak-budak, tetapi kerana kata-kata yang lembut menyebabkan hati kami melekat pada surau dan masjid sehingga sekarang. 

Jadikan masjid mesra kepada semua lapisan usia, baik kanak-kanak, remaja, orang dewasa maupun orang tua.

Jiwa Pendakwah dengan maksiat


Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi (1911-1998 M) iaitu Tokoh Tafsir Mesir ada menceritakan:

Aku telah berbincang dengan seorang pemuda yang mempunyai fikiran yang agak ekstrim, aku bertanya kepada dia: 

"Adakah meletupkan kelab malam atau tempat maksiat dalam sesebuah negara halal atau haram?" 

Pemuda: "Sudah tentu halal dan dibolehkan membunuh mereka." 

Syeikh Sya'rawi: "Kalau kamu bunuh mereka dan ketika itu mereka tengah melakukan maksiat kepada ALLAH, apakah yang akan terjadi kepada mereka atau ke mana mereka akan pergi?" 

Pemuda: "Sudah tentu masuk neraka." 

Syeikh: "Ke mana syaitan ingin membawa mereka?" 

Pemuda: "Sudah tentu ke neraka, sebab itu adalah matlamat syaitan." 

Syeikh: "Kalau begitu kamu dan syaitan bekerjasama dalam satu matlamat iaitu ingin memasukkan manusia dalam neraka." 

Kemudian Sheikh pun mengingatkan pemuda itu satu hadis Rasulullah saw ketika mana lalu jenazah Yahudi di hadapan Baginda saw. 

Baginda saw bangun dan menangis, sahabat bertanya:
"Apa yang menyebabkan engkau menangis ya Rasulullah SAW?" Baginda SAW berkata: "Satu jiwa telah terlepas dari ku dan menuju ke neraka!" 

Syeikh: "Nampak tak perbezaan antara kamu dan Rasulullah SAW yang inginkan hidayah buat semua manusia dan menyelamatkan mereka dari neraka, kamu di bahagian lain dan Baginda SAW di lembah yang lain!" 

Semoga ALLAH merahmati Syeikh Sya'rawi.

Monday 27 May 2019

"Jangan sibuk.."

sumber: fb

Friday 24 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (1) 

b) I`tiqaf 

Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadhan ini ialah digalakkan beri`tiqaf padanya. 

Apakah erti i`tiqaf

 I`tiqaf dari segi bahasa ialah: Menahan, menetap dan melazimi sesuatu. 

Dari segi istilah i`tiqaf ialah: Melazimi masjid oleh individu tertentu dengan niat. Sesetengah ulama manambah”...untuk melakukan ketaatan.” 

Tujuan ditambah ayat ini untuk memberi isyarat bahawa hendaklah memulakan ibadah ini dengan niat ikhlas kerana Allah. Bukan datang ke masjid kerana ingin berbual-bual dengan rakan-rakan. Bukan juga kerana semata-mata ingin mengasingkan diri daripada orang lain. Tetapi mestilah datang untuk membuat ketaatan kepada Allah. 

Hukum beri`tiqaf 

Beberapa ulama ijma` menaqalkan bahawa hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Ia hanya menjadi wajib sekiranya dinazarkan. 

Kata Ibnu Syihab: “Alangkah peliknya orang-orang muslimin yang meninggalkan i`tiqaf, sedangkan Rasulullah saw tidak pernah sekalipun meninggalkannya semenjak baginda masuk ke Madinah.” 

Walaupun i`tiqaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tetapi terdapat galakan khusus untuk beri`tiqaf pada sepuluh terakhir Ramadhan. 

Aisyah rha. berkata: “Nabi saw beri`tiqaf pada sepuluh terakhir Ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda. Kemudian, isteri-isterinya terus beri`tiqaf selepasnya.” (Riwayat Bukhari) 

Amalan ketika beri`tiqaf 

I`tiqaf adalah di antara ibadat yang terkumpul di dalamnya banyak amalan-amalan soleh dan ketaatan seperti membaca al-Quran, solat, zikir, doa dan sebagainya. 

Satu perkara yang sepatutnya diketahui oleh orang-orang yang beri`tiqaf ialah hukum, syarat, peraturan dan adab beri`tiqaf. Secara ringkas, orang yang beri`tiqaf tidak dibenarkan keluar daripada masjid sehinggalah selesai pada waktu yang sepatutnya. 

Keringanan untuk keluar hanyalah bagi, memenuhi hajat-hajat yang lazim untuk keperluan diri seperti mencari makanan dan ke tandas. Sepatutnya mereka juga meninggalkan apa jua urusan yang tidak berkaitan dengan ibadat seperti urusan keduniaan dan cakap-cakap kosong. 

Sesetengah ulama mengatakan digalakkan juga dalam tempoh i`tiqaf ini menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid tempat i`tiqafnya. Ini kerana menuntut ilmu adalah salah satu ibadah kepada Allah SWT sebagaimana sesetengah ulama salaf mengatakan: “Tiada ibadah kepada Allah yang lebih baik daripada menuntut ilmu.” 

Hikmah digalakkan beri`tiqaf pada sepuluh malam terakhir 

* Supaya seorang muslim lebih terjaga dirinya daripada terlalai dan melakukan larangan Allah. Apabila berada di dalam masjid peluang untuk membuat maksiat adalah terhad. 

* Supaya mudah dan dekat dengan ibadah-ibadah dan ketaatan 

* Mengharapkan supaya bertemu dengan Lailatul Qadar, kerana ia hanya berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sahaja. 

Penutup 

Sabda Rasulullah saw sewaktu menaiki mimbar di Madinah: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi) 

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seseorang muslim yang berakal melepaskan yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia bukanlah satu masa yang panjang. Hanya beberapa malam yang boleh dihitung dengan jari. 

Boleh jadi, pada malam-malam ini seseorang muslim mendapat pemberian daripada Tuhannya, lalu dia termasuk di kalangan orang yang berbahagia di dunia dan akhirat. 

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah supaya kita semua dapat mengambil peluang keemasan ini. Ia adalah peluang untuk menggandakan amalan dan peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. 

Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan dalam keadaan melakukan amal soleh dengan sepenuhnya.

Thursday 23 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (1)

Bersyukur kepada Allah SWT, kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, sekali lagi pada tahun ini kita dipertemukan dengan Ramadhan. 

Alangkah bertuah bagi sesiapa yang menyambutnya dengan ibadah dan mengharapkan keampunan serta ganjaran daripada-Nya. Dan alangkah ruginya bagi sesiapa yang tidak bertambah iman dan amal di bulan yang berkat ini. 

Kini sepuluh terakhir Ramadhan menjelma lagi. Allah SWT menyediakan bagi para hamba-Nya segala kebaikan, ganjaran, keampunan dan kelebihan yang tidak mampu dihitung oleh kita. 

a) Lailatul Qadar 

Di dalam Ramadhan yang mulia ini Allah SWT menghadiahkan kepada para hamba-Nya satu malam yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. Malam ini dinamakan dengan Lailatul Qadar, diambil daripada kalimah al-Qadar yang bererti kemuliaan atau kedudukan yang tinggi kerana malam ini adalah malam yang sangat mulia. 

Ataupun diambil daripada kalimah qadar atau taqdir, kerana pada malam ini Allah SWT memutuskan urusan-Nya dan menetapkan taqdir segala perkara. 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan malaikat Jibril akan turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu penuh dengan kesejahteraan sehinggalah terbit fajar.” (al-Qadar: 1-5) 

Firman-Nya lagi: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati (Lailatul Qadar) dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (ad-Dukhan: 3-6) 

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab, maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Beberapa kelebihan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil daripada surah al-Qadar antaranya ialah: 

* Allah SWT menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat. 

* Ia lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 3 bulan) 

* Para malaikat akan turun ke bumi pada malamnya dengan membawa kebaikan, keberkatan dan rahmat. 

* Malam ini adalah malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar. Iaitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan ibadah. 

Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatul Qadar. Sesungguhnya ia menyamai umur manusia bahkan lebih daripada itu. Apakah tempoh 83 tahun 3 bulan sesuatu yang singkat? 

Bilakah Lailatul Qadar 

* Bulan Ramadhan 
Tidak syak bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan berdasarkan ayat-ayat bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Lailatul Qadar, dan diturunkan pada bulan Ramadhan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadhan. 

Dalam satu hadis, Abu Zar ra. bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Lailatul Qadar, adakah ia pada bulan Ramadhan?” Jawab baginda saw: “Bahkan pada bulan Ramadhan.” (Riwayat Ahmad dan Nasaie) 

* Sepuluh terakhir Ramadhan 
Lebih dikhususkan pada sepuluh terakhir Ramadhan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaqun ilaihi: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Aisyah rha. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir melebihi kesungguhannya pada masa-masa lain. 

Aisyah rha juga meriwayatkan: “Adalah Rasulullah saw pada dua puluh malam terawal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba sepuluh terakhir, baginda bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.” (Riwayat Ahmad) 

Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai jenis ibadah seperti zikir, membaca al-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain. Oleh itu apa yang dimaksudkan oleh Aisyah rha: “Aku tidak mengetahui Rasulullah saw pernah mendirikan malam sehingga pagi.” Maksudnya Rasulullah saw tidak pernah solat sahaja sepanjang malam. 

Rasulullah saw juga mengambil peluang sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapatkan kebaikan yang disediakan Allah SWT. 

* Tujuh malam terakhir 
Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan pada pemulaan sepuluh terakhir, maka boleh memulakan pada tujuh malam terakhir. Sabda Rasulullah saw: “Carilah pada sepuluh terakhir. Jika salah seorang di kalangan kamu lemah dan tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh yang berbaki lagi.” (Riwayat Muslim) 

* Malam-malam ganjil (21, 23, 25, 27, 29) 
Malam-malam ini lebih diharapkan adanya Lailatul Qadar, kerana warid bahawa Rasulullah saw menyebut malam-malam tersebut. 

* Malam 27 Ramadhan 
Boleh jadi malam yang sangat diharapkan ialah pada malam 27, ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka`ab ra. beliau berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia. Itulah malam yang mana Rasulullah saw telah menyuruh kami untuk bangun beribadah, iaitu malam yang ke 27.” Dan Ubai berkata lagi: “Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada pagi harinya tiada sinarnya.” 

Namun ramai ulama berpendapat malam al-Qadar berpindah di antara malam-malam witir, tetapi yang ghalib kebanyakannya pada malam 27. Dan bukanlah suatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah sahaja akan berlaku Lailatul Qadar. Wallahua`lam. 

Bacaan malam al-Qadar 

Aisyah rha berkata: “Wahai Rasulullah sekiranya aku dipertemukan dengan Lailatul Qadar, apakah yang harus aku ucapkan?” Rasulullah saw menjawab: 

“Ucapkanlah: Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pemurah dan suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi, sahih) 

Hikmah disembunyikan Lailatul Qadar 

Hikmahnya banyak samada diketahui oleh kita atau tidak. Antara yang jelas ialah: 

* Sebagai rahmat kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memperbanyakkan amalan untuk mencari Lailatul Qadar. Jika hanya tertentu pada suatu malam, mereka hanya akan bersungguh-sungguh pada satu malam itu sahaja. 

* Ujian terhadap hamba-hamba-Nya supaya nyata siapakah yang benar-benar ingin mendapatkannya, dan nyata siapakah yang hanya berolok-olok, bermain-main dan bersikap sambil lewa.

Wednesday 22 May 2019

Al-Fatihah, salam takziah..

*إنا لله وإنا إليه راجعون.*

Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah, yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini. 

Marilah kita mendoakan roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan dicucuri rahmat Allah, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. 

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Ertinya: “Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan dan maafkan kesalahannya. Engkau muliakan kedudukannya, dan luaskan tempat tinggalnya, dan sucikan dia dgn air, salji dan air yang sejuk. Engkau bersihkannya daripada kekotoran dosa sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kekotoran. Dan gantikan rumahnya dgn rumah yang lebih baik dan pasangan yang lebih baik. Masukkan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan ujiannya serta jauhkan dia dari azab neraka.”

Al-Fatihah.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞ امين 


Selamat menyambut hari Nuzul Al-Quran 1440H



Al-Quran turun pada bulan ini dari Lauh Mahfuz yang tersimpan lama di langit ke tujuh. Kemudian diturunkan pula ke langit dunia sebelum diturunkan secara beransur-ansur kepada junjungan mulia Nabi Muhammad saw melalui malaikat Jibril as.

Ia diturunkan beberapa  ayatnya di Gua Hira` sebagai pengisytiharan kerasulan baginda dan sebagai penutup segala nabi yang membawa rahmat dan sinar cahaya agung. Bumi diseliputi cahaya-Nya dan Muhammad bergelar Rasulullah, utusan akhir Allah di atas muka bumi ini.

Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada semua manusia. Ia seperti turunnya hujan yang menghidupkan bumi dan untuk dinikmati seluruh makhluk. Sesiapa yang mengambil petunjuk daripada al-Quran pasti akan selamat hidupnya. Tetapi Allah SWT memberitahu ada sebilangan manusia yang menolak petunjuk tersebut.

Justeru, sentuhlah al-Quran. Ribainya, dakapinya dan imani ia. Sesungguhnya al-Quran akan menjadi pendamping dan pembela kepada siapa yang membaca dan menyintainya di akhirat kelak. 

Jangan lupa selalu baca al-Quran dan memahami pengajarannya.

"Mewakili Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP), saya mengucapkan selamat menyambut hari Nuzul Al-Quran 1440H kepada semua sahabat terutama pengunjung blog abuikhwan ini".

Monday 20 May 2019

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: "Jom beli baju raya"

Alhamdulillah, selesai menyempurnakan satu amanah.

"Jom beli baju raya" demikianlah nama program yang telah menjadi rutin saban tahun. Meraikan anak-anak yatim dan keluarga miskin dalam program tersebut. Moga sedikit sumbangan yang diberikan dapat menghadirkan senyuman kepada mereka semua.

Jutaan terima kasih kepada para dermawan yang menyumbang untuk program ini. Kami berdoa mudah-mudahan kalian semua diganjari dengan sebaik-baik balasan.



















Wednesday 15 May 2019

Monday 13 May 2019

Selamat hari ulangtahun kelahiran along Ikhwan


Selamat hari ulangtahun kelahiran buat anakandaku Along Ikhwan pada hari ini. 

Setiap takah perjalanan hidup ini senantiasa dilingkungi ujian dan dugaan. Maka ayahanda sentiasa memanjatkan bahasa doa agar kesabaran dan ketabahan serta kekuatan sentiasa engkau perolehi daripada-Nya. 

Moga anakanda berada di dalam naungan rahmat Allah SWT yang tidak ternilai itu, dan mudah-mudahan Allah SWT menyampaikan dirimu kepada kejayaan yang kau cita-citakan. Ameenn ya Rabb.. 

Sunday 12 May 2019

Cetusan rasa di Ramadhan ini..

Hari ini Ramadhan sungguh dingin. 

Hujan turun mencurah-curah sejak waktu subuh sehingga ke jam 8 pagi, kemudian turun lagi sejurus azan asar dilaungkan sehinggalah ke santak maghrib. Petir dan kilat silih berganti. Suara katak pula galak bersahutan memanggil hujan agar turun lagi 

Cuaca sebegini menimbulkan pula rasa sayu di hati menyambut kedatangan bulan Ramadhan kali ini. Namun terselit juga rasa syukur dan gembira kerana masih diberi kesempatan untuk memasuki Ramadhan tahun ini. Tuhan dengan belas kasihan-Nya masih lagi meminjamkan nafas ini. Berapa ramai sahabat yang telah pergi tanpa sedikit pun mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka. 

Apakah saya dapat menghabiskan Ramadhan kali ini hingga ke penghujungnya? Wallahu a`lam, tentunya saya tidak dapat memberikan apa-apa jawapan. Kehidupan ini adalah milik mutlak-Nya. Sebanyak mana usia yang masih berbaki hanya Dia yang Maha Mengetahui. 

Namun, pastinya saya sentiasa memanjatkan bahasa doa agar dapat menghabiskan Ramadhan sehingga ke akhirnya, dan diterima semua amalan yang dipersembahkan. Demikianlah saat bersantai-santai damai, seringkali saya membisikkan kepada teman halusinasi diri. 

Hujan masih turun rintik-rintik tatkkala saya menapak pulang daripada menunaikan solat tarawih. Lirikan dan rintihan detak hujan yang menimpa jalan seolah-olah berbicara dan bercerita panjang. Meniti titian Ramadhan tahun ini, hati terpahat pada memoir zaman silam. Peri hidup masa lampauku yang semakin jauh ditinggalkan.

Saturday 11 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah - Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa) (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah - Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa) (1)

Kedua: Adab Berbuka Puasa

1 – Menyegerakan Berbuka Puasa

Disunatkan juga kita menyegerakan berbuka puasa apabila telah pasti masuknya waktu maghrib. Rasulullah saw bersabda: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2 – Berbuka Puasa Dengan Rutab, Tamar atau Air

Rutab adalah buah kurma yang baru masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi saw.

Anas bin Malik ra berkata: “Rasulullah saw berbuka puasa sebelum solat (maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Tamar, selain sedap dimakan, ia menyalurkan tenaga dengan cepat kepada tubuh badan.

Keadaan orang yang berpuasa sangat memerlukan gula yang mudah dicerna untuk menghilangkan rasa lapar. Nutrisi yang paling cepat dicerna dan sampai ke darah merupakan makanan yang mengandungi satu atau dua zat gula iaitu glukosa dan sukrosa. Zat gula mampu diserap oleh tubuh dalam masa yang amat singkat. Justeru, makanan yang paling sesuai dimakan ialah buah tamar kerana ia memenuhi keperluan di atas.

3 – Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib

Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah saw juga menyegerakan solat maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunatkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat maghrib.

Sabda Rasulullah saw: “Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” (Riwayat Bukhari)

Menurut Imam an-Nawawi: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”

4 – Membaca Doa

Ibnu Umar ra berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi saw akan membaca:

“Hilanglah segala kehausan, telah basah segala urat-urat dan semoga tetaplah beroleh pahala, insya-Allah.” (Riwayat Abu Daud, sahih)

Abdullah Ibnu Amr al-`Ass ra berdoa ketika berbuka puasa dengan doa ini:

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.” (Riwayat Ibn Majah, hasan)

Adapun doa yang sering dibaca oleh umat Islam dan diajar di sekolah ialah:

“Ya Allah, bagi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka, maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Riwayat al-Daruqutni)

Kata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu`: “Sanadnya dhaif”.

Doa apabila berbuka puasa di rumah orang:

“Orang-orang yang berpuasa telah berbuka dengan kamu dan orang-orang yang mulia telah memakan makanan kamu serta para malaikat mendoakan agar kamu mendapat rahmat.”

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana yang mustajab (makbul) ialah doa orang yang berpuasa, sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah)

5 – Berbuka Puasa Secara Sederhana

Firman Allah SWT: “Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (al-A`raaf: 31)

Perhatian:

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertaqwa lagi penyabar, direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan.

Sabda Nabi saw: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak boleh menahan (nafsu makan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat at-Tirmidzi)

6 – Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah.

Firman Allah SWT: “Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukai kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” (al-Insan: 8-9)

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya.

Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas.

Friday 10 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah - Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa) (1)

Bagi orang yang berpuasa, selain daripada memahami fadhilat dan hukum-hakam puasa, terdapat pula beberapa adab dan amalan yang perlu dilakukan agar amalan yang dibuat bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang mesti diikuti. 

Pertama: Adab Bersahur 

Rasulullah saw amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. 

Sabda Rasulullah saw: “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Maksud keberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. 

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-`Asqalani ra: “Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyalahi ahli kitab (Yahudi dan Nasrani yang tidak bersahur), menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.” 

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab) 

Sabda Rasulullah saw: “Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” (Riwayat Muslim) 

Ibadah sahur adalah ibadah yang agung sehinggakan Allah SWT melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohonkan keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi saw amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. 

Sabda Rasulullah saw: “Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” (Riwayat Ahmad, Sahih al-Jami`: Hasan) 

Adalah disunatkan juga untuk melewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. 

Sahal bin Sa`ad ra. berkata: “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah saw.” (Riwayat Bukhari) 

Qadhi `Iyadh ra. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil dari Fathul Bari) 

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. 

Menurut Anas ra, Zaid bin Thabit ra. berkata: “Kami makan sahur bersama Nabi saw kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat.” (Riwayat Bukhari) 

Antara hikmah mengakhirkan sahur ialah: 

1 – Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat subuh. 

2 – Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Thursday 9 May 2019

Pesta ibadah pesta juadah

Kadang-kadang saya memikirkan betapa Ramadhan semakin hilang serinya. Ramadhan yang sepatutnya menjadi pesta ibadah mula bertukar menjadi pesta juadah. 

Hakikatnya nafsu sahaja yang begitu membuak-buak tatkala melihat pelbagai juadah terhidang. Apatah lagi dengan sikap masyarakat yang berlumba-lumba berkongsi bangga di laman-laman media sosial. 

Saya tidaklah bemaksud ingin menafikan persoalan mencari rezeki dengan berniaga di bulan yang mulia ini. Ia bukanlah sesuatu yang salah. Namun, apa yang dikhuatiri bukan sahaja isu pembaziran, tetapi penyimpangan budaya yang semakin kronik hingga menjadikan Ramadhan sebagai pesta juadah, bukannya pesta ibadah. 

Menambah kegusaran saya apabila membaca laporan yang dikeluarkan Solid Waste Management Corporation (SWCorp), iaitu satu badan yang menyelia sisa pepejal dan pembersihan awam menunjukkan rakyat Malaysia membuang kira-kira 17,800 tan makanan setiap hari (2018). 

Menurut kajian itu juga, sepanjang Ramadan setiap tahun, rakyat di negara ini membuang 270,000 tan makanan yang “tidak diusik” dan masih boleh dimakan. Bayangkan makanan sebanyak ini boleh dimakan oleh berapa ramai mangsa kebuluran di seluruh dunia. 

Justeru, sudah tiba masanya umat di Malaysia melakukan proses penjernihan pemikiran dan budaya dengan mem’pesta’kan Ramadhan dengan ibadah dan bukannya sibuk dengan percaturan juadah semata-mata. 

Moga hari-hari yang Ramadhan yang dilalui dapat kita sama-sama meningkatkan amalan ibadah hanya kerana Allah SWT.

Wednesday 8 May 2019

Monday 6 May 2019

Salam Ramadhan 1440H


Syaaban sudah pun melabuhkan tirainya di penghujung. Ramadhan pula menyelak jendelanya. Setelah setahun berlalu, maka bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini memunculkan dirinya. Menggamit-gamit para perindu dan pencintanya agar merangkul erat penuh mesra.

Bagaimana kita menyambut kedatangan Ramadhan? Gembira? Mengeluh? Tiada rasa apa-apa? Setiap orang pasti ada jawapannya yang tersendiri. Di kelompok manakah kita berada. Tepuk dada tanya iman di dalam dada.

Alhamdulillah, bagi perindu Ramadhan, kedatangan bulan ini menjadi satu peluang untuk menambah-nambah amal. Terlalu banyak hadis Rasulullah saw yang menceritakan kelebihan bulan ini. Di antaranya,

Daripada Abu Hurairah ra, lagi bahawa Rasulullah saw bersabda: "Apabila sampai bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun ada juga yang menggusarkan saya. Keganjilan terhadap segelintir yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Sangat ganjil. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Melihat puasa dari sudut adat semata-mata, tanpa melihat hubungkait dengan sifat kehambaan kepada Allah. Justeru, bagaimana puasa mereka itu. Tentunya osong daripada roh tarbiah. 

Oleh itu, madarasah Ramadhan yang menghasilkan taqwa hendaklah dimanfaat sepenuhnya. Rasulullah saw telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan. “Berapa ramai orang yang berpuasa, tidaklah dirinya itu menadapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.” Moga kita tidak termasuk dalam golongan tersebut. Amiinn.

Salam Ramadhan 1440H. Semoga setiap amal kebaikan yang dilakukan mendapat ganjaran yang sebaiknya dan diterima oleh Allah SWT.

Sunday 5 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Hukum Semasa Berkaitan Puasa (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Hukum Semasa Berkaitan Puasa (1) 

6) Muntah dengan sengaja 

Muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya. 

7) Mengeluarkan mani 

Air mani keluar samada dengan perbuatan berkucup dan seumpamanya atau dengan tangan (onani). Apabila seseorang berbuat demikian dengan sengaja puasanya batal. Jika tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya keluar, puasanya tidak batal. 

8) Gila atau Murtad (wal`iyazubillah) 

Kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. (Lihat: Al-Fiqh al-Manhaji) 

Untuk mengetahui fatwa semasa mengenai perkara ini, di bawah ini dikemukakan Keputusan Persidangan Fiqh Antarabangsa (al-Majma` al-Fiqhi al-Islami) [No. 93 (1/10) pada 23–28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] Mengenai Perkara-perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa. 

A- Keputusan (Qarar) Seperti Berikut: 

1 – Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat titis hidung atau semburan hidung, dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum. 

2 – Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung) dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum. 

3 – Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin) 

4 – Memasukkan teropong ke dalam salur peranakan /rahim atau alat ke dalamnya. (Contoh: alat pencegah kehamilan – IUCD) 

5 – Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya. 

6 – Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut daripada prosedur tersebut. 

7 – Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut dan dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum. 

8 - Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melaui pembuluh darah (seperti: Glukos yang mengenyangkan) 

9 – Oksigen dan Gas Bius 

10 – Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang mengenyangkan. 

11 – Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat. 

12 – Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain. 

13 – Teropong dalam rongga perut (endoskopi)untuk mencari punca penyakit. 

14 – Mengambil tisu (biopsi)hati atau organ lain untuk ujian makmal. 

15 – Teropong perut, dangan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya. 

16 – Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak. 

17 – Muntah dengan tidak sengaja. B- Jika tidak memberi mudarat, para doktor muslim hendaklah menasihati pesakit untuk menangguhkan dulu rawatan yang meragui sehingga selesai puasa. 

Tambahan daripada Keputusan “Seminar Fiqh Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 / 14-17 Jun 1997. Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA: 

1 – Suntikan ke dalam dubur, teropong dsn pemeriksaan digital ke dalam dubur. 

2 – Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya. 

3 – Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut. 

Penutup: 

Akhirnya sentiasalah menjaga kesempurnaan ibadat puasa daripada perkara-perkara yang membatal dan merosakkan amalan yang suci ini. Semoga amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Saturday 4 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Hukum Semasa Berkaitan Puasa (1)

Allah SWT telah memfardhukan puasa Ramadhan ke atas umat-Nya. Allah juga telah mensyariatkan puasa-puasa sunat yang lain selain daripada fardhu ini, serta menjanjikan ganjaran yang sangat besar, yang menjadi idaman bagi setiap orang yang beriman. 

Sabda Rasulullah saw: “ Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Muttafaq `alaih) 

Allah telah meletakkan garis panduan dalam melakukan puasa dan sekali-kali tidak membenarkannya untuk dilanggar. Maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya untuk menjaga ibadat yang besar ini. 

Catatan ini bertujuan untuk membincangkan perkara-perkara yang membatalkan puasa menurut kajian ulama semasa. 

Menunaikan ibadat puasa dengan sempurna merupakan asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim, menjaga puasa dari perkara yang membatalkannya juga tidak kurang pentingnya. Oleh itu, perbincangan tentang perkara ini adalah perlu untuk menjaga puasa daripada terbatal, dan membatalkan puasa dengan perkara yang tidak membatalkannya akan menyempitkan ruang yang telah diperluaskan oleh Allah SWT. 

Ayat 185 daripada surah al-Baqarah adalah salah satu ayat yang telah disebutkan oleh Allah SWT tentang keringatan syariat-Nya: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” 

RUKUN PUASA 

Rukun puasa ada dua iaitu: 

1) Berniat pada malam harinya 

Sabda Nabi saw: “Sesiapa yang tidak berazam (berniat) pada waktu malam, maka tidak ada puasa (fardhu) baginya.” 

2) Imsak 

Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari. 

Antara perkara yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah: 

1) Mencapai Taqwa 

Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberi perhatian lebih. 

2) Bulan Ingatan Fungsi al-Quran 

Firman Allah yang menyebut bahawa al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara hak dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat. 

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang Pasti 

Sabda-sabda Nabi saw berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya. 

4) Kaedah Penambah Pahala dan Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang Pasti 

Sabda-sabda Nabi saw yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke syurga Allah, sekaligus melemahkan fungsi syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan. 

Seseorang yang berpuasa hendaklah menjaga diri daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, demi untuk menjaga kehormatan ibadat yang mulia ini. Antaranya ialah: 

• Menahan nafsu syahwat 
• Menanggung lapar dan dahaga 
• Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah 

Inilah yang dijelaskan daripada al-Quran dan as-Sunnah. 

Demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat surah al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadis-hadis yang banyak. 

PERKARA ASAS YANG MEMBATALKAN PUASA IALAH: 

Sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma` ialah empat perkara: 

1) Makan 

2) Minum 

3) Jima` 

Dalilnya ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “...Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam...” (al-Baqarah: 187) 

4) Haid dan Nifas 

Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud, sabda Rasulullah saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa..” (Bukhari: 304, Muslim:79) 

Antara perkara yang membatalkan puasa lagi (menurut mazhab asy-Syafie) ialah: 

5) Sampai sesuatu (`ain) ke dalam rongga (al-Jauf) melalui liang yang terbuka. Maksud `ain ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata. 

Maksud al-Jauf ialah otak ataupun apa yang berada di antara bawah halkum hingga ke perut. 

Maksud liang terbuka ialah: mulut, telinga, qubul dan dubur, samada lelaki atau perempuan. 

Oleh itu, setitik air yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Tetapi setitik air yang masuk ke dalam mata TIDAK membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka. Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. 

Suntikan pada urat TIDAK membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka. Begitulah seterusnya. 

Semuanya ini disyaratkan dilakukan dengan sengaja,qiyas kepada makan dan minum. 

Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur yang bernajis seperti gusi yang luka, walaupun air liur itu jernih dan dia tidak membersihkan mulutnya, maka puasanya batal. 

Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung dan air itu termasuk ke dalam jauf-nya maka ia tidak batal, kecuali ia melampau. 

Sekiranya terdapat sisa makanan dicelah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu masuk ke dalam perutnya, maka puasanya tidak batal. 

Sekiranya ia dipaksa untuk makan atau minum, puasanya juga TIDAK batal.