Sahabat Sejati

Tuesday 27 September 2016

Alhamdulillah, Walimah Perdana 3.0 berakhir dengan jayanya

Sepatutnya entri ini dicatat pada hari Sabtu lepas, sejurus berakhirnya program, ataupun pada Ahad keesokkannya, barulah kena dan sesuai kerana masih terasa hangatnya. Tetapi setelah berakhir program pada siangnya, saya ‘melepek’ pada malamnya. Tidak mampu mencelikkan mata kerana kepenatan yang sudah hampir ke tahap maksimum. 

Mengendalikan program yang melibatkan hadirin yang ramai bukanlah sesuatu yang mudah. Komitmen dan kerjasama daripada setiap petugas amat-amatlah ditagih demi memastikan ianya berjaya dilaksanakan. Bayangkan jika majlis perkahwinan yang melibatkan satu pasangan pun sudah terasa penatnya, inikan pula pengantin seramai 16 pasangan. 

Gerakerja telah bermula sejurus berakhirnya aidilfitri. Mesyuarat demi mesyuarat dihadiri, kemudian gerakerja mencari dana yang bukan sedikit juga bermula. Saya sendiri telah dilantik menjawat jawatan setiausaha program. Setelah puas ‘bersilat’ lidah menolaknya, memandangkan saya mempunyai banyak lagi komitmen yang lain. Tetapi akhirnya saya terpaksa akur juga dengan desakan sahabat-sahabat. Mudah-mudahan ia menjadi asbab Allah SWT memudahkan urusan saya, kerana memudahkan urusan orang lain, itulah doa yang saya panjatkan sebaik menerima jawatan setiausaha program walimah ini. 

Program Walimah Perdana 3.0 adalah satu program majlis perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan oleh Pas Kawasan Indera Mahkota, Kuantan dan Paya Besar. Ia diadakan di tepi pantai Kampung Sungai Ular, Kuantan. Seramai 16 pasangan diijabqabul dan diraikan dalam satu majlis yang meriah. Bayaran yang dikenakansangatlah murah iaitu sebanyak RM1500 bagi setiap pasangan. Manakala lain-lain kos ditanggung oleh pihak penganjur melalui infaq, sumbangan dan derma orang ramai. 

Contohnya daging lembu, kami membuka ruang bagi sesiapa yang mahu menderma melalui pelaksanaan aqiqah. Alhamdulillah, sebanyak 12 ekor lembu ditumbangkan atas nama aqiqah, manakala daging import sebanyak 1800kg sebagai tambahan untuk tetamu yang dianggarkan seramai 20K. Begitu juga dengan promosi, penyediaan bahan masakan, kain untuk pakaian pengantin, pasukan kompang, silat, persembahan dikir barat, konvoi motosikal berkuasa tinggi serta pacuan 4 roda untuk membawa pengantin disediakan oleh pihak penganjur. Pendekata, sangat mudah dan murah bagi mereka yang menyertai walimah perdana ini. 

Memang pun tujuan asal walimah perdana ini diadakan untuk memudahkan pasangan mendirikan rumah tangga. Dalam keadaan kos yang sangat tinggi dewasa ini, walimah perdana menjadi satu alternatif yang tepat bagi anak muda atau sesiapa sahaja yang layak untuk mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, program ini juga turut disokong (dibantu) oleh pihak pejabat agama daerah. 

Apa pun, program walimah perdana 3.0 sudah selesai. Tinggal lagi kami yang menjadi petugas program, melayan kepenatan yang di tahap ‘gaban’ ini. Namun, kegembiraan dan kepuasan tetap ada. Semoga kepenatan ini ada nilai pahala di sisi Allah SWT. Oh ya, semalam sahabat saya yang menjadi pengarah program memaklumkan sudah ada yang menghubunginya untuk menyertai walimah perdana 4.0 nanti. Tersenyum saya mendengarnya. Penat pun belum hilang lagi.. 

Beberapa foto untuk tatapan..














Friday 23 September 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 83

Salam Jumaat.


"Sesungguhnya rosak rakyat kerana rosak pemimpin..
Rosak pemimpin kerana rosak ulama. 
Kalau tidak kerana para hakim dan ulama jahat, 
pastinya kerosakan pemimpin akan berkurangan 
kerana mereka takut penentangan hakim dan ulama.

~Imam Abu Hamid al-Ghazali~ 

Wednesday 21 September 2016

Teruskan berdoa, Tuhanmu sentiasa mendengarnya

foto hiasan ~ sumber

Ketika saya budak-budak dahulu, saya sering ke surau yang terletak berhampiran dengan rumah ayahanda. Jika ada ustaz yang menyampaikan kuliah, saya akan duduk bersila menadah telinga bersama para jemaah yang lain. Saya teringat satu kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ustaz yang menceritakan berkenaan dengan doa.

Jika kita boleh memilih kehendak kita sendiri, pasti kita akan memilih yang terbaik. Jika kita berkuasa ke atas kehidupan kita, pasti kita akan menjadikan segala-galanya menurut keinginan dan kemahuan kita. Kita akan jadikan perjalanan hidup kita hanya yang indah-indah belaka. Tetapi mampukah kita berbuat demikian, tidak mungkin. 

Apalah daya kita, kerana kita adalah hamba, sifat hamba adalah lemah dan tidak memiliki. Kehidupan kita semuanya ditentukan menurut kehendak Tuan yang memiliki. Kita amat mengharap belas dan kasihan Allah SWT. Justeru, apa yang dapat kita lakukan adalah berdoa selain dari berusaha. Kerana Allah jua yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dialah juga yang memiliki. Dan mereka tidak mempunyai pilihan (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya. Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.” (Al-Qashah: 68-69)

Sebaiknya seorang hamba yang tidak mengetahui apa yang akan terjadi mengakui akan kelemahan dirinya. Maka apabila Tuhan Yang Maha Mengetahui memilih untuknya sesuatu, hendaklah dia redha dan berlapang dada menerimanya. Walaupun seolah-olah pada pandangannya apa yang ditakdirkan itu tidak baik baginya, pahit dan pedih menelannya. Tetapi percayalah itu adalah pilihan Allah yang terbaik.

“Mungkin kamu membenci sesuatu sedangkan itulah yang terbaik bagi kamu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik bagi kamu. Dan Allah yang mengetahui kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Nah, tidakkah kita merasa tenang setelah membaca ayat ini. Patrikanlah di dalam diri kita bahawa apa sahaja yang ditakdirkan Allah kepada kita adalah yang terbaik untuk kita. Dan itu merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada kita.

Jangan jemu berdoa

Kadang-kadang kita merasakan telah lama kita meminta dan merintih kepada Allah. Setiap masa kita berdoa memohon dari-Nya. Namun tidak juga diperkenankan. Apakah yang ada di benak kita. Adakah doa kita tidak didengar oleh Allah atau kita merasakan rintihan dan tangisan kita disia-siakan? Jangan begitu.

Mengapa manusia terlalu cepat berputus asa dalam berdoa? Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu dan merasakan doanya tidak diperkenankan. Jangan putus harapan.

“Dah lama aku berdoa, tapi sampai sekarang tak makbul pun. Allah tak sayangkan aku ke?”

“Sampai bila aku nak berdoa, kalau apa yang aku minta tak dapat.”

“Hari-hari aku berdoa, tapi hidup susah juga.”

Nasihat saya, jangan begitu.

Tidakkah kita pernah mendengar kisah Nabi Musa dan Nabi Harun yang berdoa kepada Allah, supaya dibinasakan Fir`aun. Maka Allah memakbulkan doa mereka berdua setelah 40 tahun.

Empat puluh tahun!

“Dan Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir`aun dan kaumnya perhiasan dan harta benda dalam kehidupan dunia. Wahai Tuhan kami! (Pemberian itu) mereka pergunakan untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Mu. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan tutuplah hati mereka. Maka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang berat.” (Yunus: 88)

Maka setelah 40 tahun doa dua orang Rasul itu diperkenankan. Maka siapalah kita ini untuk memaksa Allah mempercepatkan permohonan doa kita. Sabar dan terus berdoa.

Diriwayatkan daripada Abu Sa`id al-Khudri ra. bahawa Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim, melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Adakalanya Allah segera memperkenankan doanya. Adakalanya Allah menjadikan doanya sebagai pahala yang tersimpan di akhirat. Dan adakalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu sesuai dengan doanya.” Berkata seorang sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!” Rasulullah saw bersabda: Allah akan memperbanyakkan pemberian-Nya.” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih).

Daripada hadis ini jelas kepada kita setiap doa yang bersungguh-sungguh pasti akan dimakbulkan, kecuali dalam perkara dosa dan memutuskan tali silaturrahim. Oleh itu, tidak sedikit pun kerugian jika kita sentiasa memanjatkan doa, memohon kepada Allah SWT. Apa yang perlu kita ingat ialah menuruti adab-adab berdoa agar ianya tidak menjejaskan doa tersebut.

Kata Syeikh Ibn Atho`illah: Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah harapan, sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya, bukan pada waktu yang engkau tentukan.”

Oleh itu, teruskan meminta dan mengharap kepada Allah. Sematkan di dalam hati kita keyakinan yang mantap bahawa doa kita pasti dimakbulkan. Itulah sebaik-baik pengharapan.

Ayuh sahabat sekelian, teruskan berdoa!

Tuesday 20 September 2016

Bersabarlah seupayamu duhai diri..

 foto hiasan ~ sumber

Setiap yang bergelar manusia pasti tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian atau musibah. Diuji dengan kesusahan, kesakitan, kesedihan, kematian dan berbagai-bagai lagi. Apabila ujian mendatang, lakunya umpama dihenyak bebanan yang berat.

Apakah yang perlu dilakukan apabila ditimpa ujian-ujian itu? Allah SWT menyuruh kita agar bersabar. Di dalam al-Quran, disebutkan lebih dari tujuh puluh tempat mengenai sabar. Betapa besarnya kebaikan dan darjat yang diperolehi daripada sifat sabar. Memang tidak mudah untuk bersabar apabila ditimpa ujian.  Kita boleh menulis atau menyebut agar bersabar kepada mereka yang ditimpa musibah atau ujian. Hakikatnya, mungkin kita sendiri tidak mampu menanggungnya jika ia terkena ke atas diri kita.

Namun, apa sahaja yang Allah taqdirkan kepada kita ada rahmat dan hikmah yang mungkin tidak kita sedari. Allah SWT dengan sifat kasih sayang memberikan kekuatan dan memujuk hati setiap Muslim yang ditimpa musibah dengan firman-Nya:

"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan." (an-Nahl: 96)

"Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan mereka menderma dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka." (al-Qasas: 54)

"Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (az-Zumar: 10)

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (ali-Imran: 200)

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 155)

Begitulah besarnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT, bukan sahaja diberikan pahala atas kesabaran, bahkan diampunkan dosanya. Dua keuntungan dalam satu masa. Syaratnya, hendaklah kita bersabar di atas musibah yang menimpa dan menerima ketentuan dengan berlapang dada. Janganlah mengeluh atau merungut, lebih-lebih lagi menyangka yang tidak sepatutnya kepada Allah SWT.  

Friday 16 September 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 82

Salam Jumaat.


"Aku bukan yang terbaik...
Tetapi aku ada cara tersendiri
Aku sentiasa menerima pandangan pengkritik dan orang yang irihati.
Orang pertama akan membetulkan perjalananku,
Orang kedua akan menambahkan semangatku."

Perginya sebutir permata ummah...


"Jam 10.10 pagi ini (waktu Malaysia), berita kami terima bahawa Tuan Guru Dato' Dr Harun Din telah kembali ke rahmatillah di Hospital Stanford University US. Semoga Allah swt mencucuri rahmat-Nya dan mengampuni al-Marhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hamba-Nya yang soleh. Aameen Ya Rabbal A'lamin"

 Ø¥Ù†Ø§ لله Ùˆ إنا إليه راجعون 

Sekalung takziah buat seluruh ahli keluarga al-Marhum Tuan Guru. Pastinya pemergian ini adalah satu kesedihan dan kehilangan besar buat ummah seluruhnya

Monday 12 September 2016

Selamat menyambut `Aidul Adha 1437H


Assalamualaikum warahmatullah.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd!

Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberikan kepada kita keizinan untuk mengecapi nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, penghulu sekelian nabi dan rasul, yang telah berkorban menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia.

Hari ini kita bersama seluruh umat Islam menyambut hari raya Adha atau hari raya qurban, bersempena dengan ibadat haji yang menjadi rukun Islam yang kelima. Ibadah yang menghimpunkan jumlah orang Islam yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Mereka berhimpun di Mekah kerana menunaikan perintah Allah dan menyerah diri kepada-Nya. Marilah kita berdoa semoga jemaah haji yang datang dari seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji di kota Mekah diberikan kesihatan dan keselamatan. Bahkan yang paling besar ialah mendapat haji yang mabrur yang tiada balasan kecuali syurga. 

Marilah pada hari raya ini kita merasakan betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang telah dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. Bahkan kita patut berbangga dengannya. Hanya kematian di dalam Iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah SWT. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (ali-Imran:102)

Pada hari ini juga hendaklah kita mengingati betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah saw:

"Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya." (Riwayat al-Bukhari)

Maka, hendaklah lahir daripada hati nurani oleh setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan musibah yang menimpa setiap umat Islam di serata pelusuk dunia. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membantu mereka dengan sedaya yang mungkin. Jika tidak mampu dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya dengan doa dan munajat kepada Allah. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan pertolongan-Nya dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia.

Justeru, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidil Adha kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan Aidil Adha kepada kita semua sebagai hari kebesaran untuk diraikan, maka raikanlah ia dengan penuh rasa `izzah dan `ubudiyyah kepada-Nya.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahilhamd!

Friday 9 September 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 81

Salam Jumaat.


"Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya. Jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai tuhan tetapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah..."
(almarhum Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat)

Thursday 8 September 2016

Sekiranya masa itu...

Semakin usia menginjak dewasa, semakin saya rasakan hidup ini satu nikmat dan anugerah yang tidak terperi. Ada waktu-waktunya saya berkata kepada diri, sekiranya dalam hidup ini ada satu permohonan yang pasti dikabulkan, pasti saya menginginkan agar masa diundurkan kembali. Mahu saya sematkan bilah-bilah masa itu dengan kebaikan yang sememangnya banyak tidak sempat saya lakukan. Sememangnya masa itu nikmat yang tidak terperi. 

Perasaan itu semakin berlebihan saya rasakan tatkala semalam seorang teman mengirimkan sekeping gambar menerusi aplikasi whatsapp. Rupa-rupanya ia adalah gambar ketika kami bersama dua lagi rakan dalam lingkungan usia sekolah rendah. 

Tiba-tiba ingatan saya terhimbau kepada sesuatu yang telah lama saya lupakan. Sudah jauh jarak masa yang telah kami lalui. Simpang-siur dugaan dan mehnah kehidupan yang mendatang, tetapi di dalamnya ada pelajaran yang sentiasa mematangkan. Menambah perisa kesedihan, dua rakan kami itu telah lama terputus hubungan. Entah apa khabarnya ketika ini. 

Saya telah pun terlupa akan saat kami berempat bergandingan tangan di atas bahu, bergaya di hadapan lensa kamera. Tersenyum menanti punat kamera ditekan dan kerlipan cahaya 'flash' yang menyilau mata. Jika tidak kerana teman itu mengutuskannya, seakan saya tidak menyedari kewujudan gambar tersebut. Kerana teman itu, saya bagaikan diasak bertalu-talu agar merista kenangan yang mulai pudar. Satu persatu kenangan lama saya sematkan di benak memori. 

Sekiranya masa itu..

Wednesday 7 September 2016

Jauhi yang membakar amalan

 foto hiasan ~ sumber

Al-Faqih Abul Laits berkata: "Telah menerangkan kepada kami Muhammad bin al-Fadhil bin Ahnaf berkata: Telah menerangkan kepada kami Muhammad bin Ja`far al-Karaabisi ia berkata: Telah menerangkan kepada kami Ibrahim bin Yusuf ia berkata: Telah menerangkan kepada kami Isma`il bin Ja`far, dari Amr Maula al-Muththalib daripada Ashim dan Muhammad bin Labid berkata: Nabi saw telah bersabda: "Yang sangat saya khuatirkan atas kamu ialah syirik yang terkecil. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah apakah syirik yang kecil itu? Jawab baginda: Riya`. Pada hari pembalasan kelak Allah berkata kepada mereka: Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka di dunia, lihatlah di sana kalau-kalau kamu mendapatkan kebaikan daripada mereka."

Riya` ialah beramal untuk dilihat orang, dipuji dilihat orang. Abul Laits berkata: "Dikatakan kepada mereka sedemikian itu, kerana amal perbuatan mereka ketika di dunia secara tipuan, maka dibalas demikian."

Firman Allah SWT: 
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.  (al-Baqarah: 9)

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah ra. berkata, daripada Nabi saw bersabda: Allah SWT telah berfirman: "Akulah yang terkaya dari semua sekutu, Aku tidak berhajat kepada amal yang dipersekutukan yang lain-lain, maka siapa yang beramal lalu mempersekutukan kepada lain-lain-Ku, maka Aku lepas bebas dari amal itu."

Hadis ini sebagai dalil bahawa Allah SWT tidak menerima amal, kecuali yang ikhlas kepada-Nya. Maka jika tidak ikhlas, tidak diterima, dan tidak ada pahalanya. Bahkan tempatnya tetap dalam neraka, sebagaimana dalam surah al-Israa`:

"Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya." (al-Israa`: 18-19)

Daripada ayat ini nyatalah bahawa yang beramal kerana Allah maka akan diterima, sedang yang beramal tidak kerana Allah tidak akan diterima dan hanya mendapat lelah dan susah semata-mata. Sebagaimana dinyatakan dalam hadis, Abu Hurairah ra. berkata, nabi saw bersabda: "Adakalanya orang puasa dan tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan haus. Dan adakalanya orang bangun malam dan tidak mendapat apa-apa daripada bangunnya kecuali tidak tidur semata-mata, (yakni tidak mendapat pahala daripada amalnya)."

Firman Allah SWT:
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23)

Waqi` meriwayatkan daripada Sufyan ath-Thauri daripada orang yang mendengar Mujahid berkata: "Seorang datang kepada Nabi saw dan berkata: Ya Rasulullah, saya bersedekah mengharap keredhaan Allah dan ingin juga disebut dengan baik.Maka turunlah ayat 110 surah al-Kahfi:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". 

(Adaptasi daripada Tanbihul Ghafiliin)

Saturday 3 September 2016

Merdeka 59 tahun...

 foto hiasan (sumber: telegram)

Kemerdekaan adalah suatu nikmat yang didambakan oleh setiap insan di dunia ini. Perhambaan pula adalah azab yang sangat menyakitkan. Justeru, Islam mengarahkan agar setiap manusia hidup dalam keadaan merdeka. 

Di dalam Kamus Dewan Kemerdekaan bermaksud bebas daripada penjajahan. Jika ia dimaksudkan dengan bebas daripada penjajahan fizikal, maka ia telah dinikmati oleh semua rakyat sejak laungan merdeka sebanyak 7 kali di Stadium Merdeka 59 tahun yang lalu. Pengalaman dijajah selama lebih 400 tahun oleh pelbagai kuasa penjajah adalah pengajaran yang sangat berharga dalam membangunkan negara yang tercinta ini. 

Nikmat kemerdekaan hanya dapat dirasai oleh mereka yang pernah dijajah, atau di kalangan yang cuba merasai keperitan tanpa kemerdekaan. Justeru, kemerdekaan yang diperolehi ini sewajarnya dipelihara sebaik-baiknya. Namun, kemerdekaan fizikal sahaja tidak memadai. Sebaliknya kemerdekaan mental atau fikrah iaitu membebaskan diri sendiri daripada belenggu kesesatan yang mendiami diri. Manusia yang bebas ialah yang menyerahkan semua urusannya kepada Tuhan dalam segala hal dan sentiasa menjadikan kebaikan serta keadilan agenda utama kehidupan mereka. Inilah kemerdekaan yang hakiki. 

Islam hadir di tengah masyarakat jahiliah untuk memerdekakan umat manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Penciptanya. Allah SWT yang mencipta makhluk-Nya lebih mengetahui sejauhmana batas kebebasan seorang insan. Semuanya berlandaskan syariat. 

Rub`ie bin Amir tatkala ditanya oleh panglima tentera Parsi, Rustum mengapa tentera Islam datang ke negaranya, ia berkata: “Allah SWT telah menghantar kami untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan dari kezaliman agama kepada keadilan Islam.” 

Yakinlah, Islam sahajalah yang dapat memerdekakan seluruh umat manusia kepada kemerdekaan hakiki. Islam yang merdeka ini bukan sahaja akan dinikmati oleh Islam, tetapi akan juga melimpahi rahmatnya kepada penganut penganut agama lain. 

Lihat sahaja ketika pembukaan Kota Mesir dan Palestin Di zaman Saiyidina Umar, orang-orang bukan Islam menerima keamanan dan kemerdekaan di bawah Islam dengan nilai kebebasan yang tak pernah mereka kecapi ketika berada di bawah Rom Timur atau Rom Barat. Kebaikan yang dapat daripada futuhat Islam akan membawa segala kebaikan dan keadilan kepada semua masyarakat dan kaum. 

Salam Kemerdekaan buat jiwa yang merdeka!