Sahabat Sejati

Thursday 28 November 2019

Kala subuh..

"Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi 
Berkumandang suara azan 
Mendayu memecah sepi 
Selang seli sahutan ayam"

"Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi 
Berkumandang suara adzan
Mendayu memecah sepi 
Selang seli sahutan ayam"
(Peristiwa subuh ~ Raihan)

Alhamdulillah, kita masih lagi diberikan kesempatan untuk menyedut nikmat udara yang dikurniakan-Nya. Kita masih diberikan nikmat untuk melihat dan menikmati sinaran matahari. Semuanya percuma walaupun tidak pernah dipinta. Justeru, marilah kita mulakan nikmat kehidupan yang masih diberikan ini dengan doa dan syukur kepada-Nya. 

"Telah berpagi-pagi kami dan telah berpagi-pagi kerajaan milik Allah SWT dan segala puji bagi Allah SWT milik-Nya segala kerajaan. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, untuk-Nya segala pujian dan Dia amat berkuasa ke atas segala-galanya. Wahai Tuhan, kami memohon dari-Mu segala kebaikan hari ini dan kebaikan selepasnya. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan hari ini dan kejahatan selepasnya. Wahai Tuhai, kami berlindung dengan-Mu dari kemalasan dan kejahatan masa tua. Wahai Tuhan kami berlindung dengan-Mu daripada azab neraka dan azab kubur." (dikeluarkan oleh Muslim dalam bab zikir dan doa daripada Abdullah ra. dan juga at-Tirmidzi)

Amiinn..

Saturday 23 November 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (47)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (46) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA 
 
 foto hiasan (sumber)

Menyampaikan Kebenaran Secara Terus Terang dan Menentang Perbuatan Orang Musyrik

Dengung suara yang lantang itu terus bergema di seluruh wilayah Mekah sehingga Allah menurunkan wahyu-Nya:

"Maka sampaikanlah secara terang-terangan apa yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah daripada orang musyrik." (al-Hijr: 94)

Sejak saat itu, Rasulullah saw mula melunturkan kepercayaan syirik yang penuh dengan khurafat dan kebohongan. Baginda menyingkap hakikat sebenarnya daripada berhala-berhala yang disembah oleh kaum musyrikin sekaligus membuktikan kerendahannya. Baginda memberikan contoh-contoh logik yang mengangkat kelemahan berhala-berhala itu. Dengan pelbagai penjelasan bijak, baginda menerangkan, siapa menyembah berhala-berhala itu atau menjadikannya sebagai perantara antara dia dengan Allah, maka orang itu berada dalam kesesatan yang sangat nyata.

Suasana kota Mekah diselubungi kekalutan kerana dipenuhi dengan berjuta-juta kemarahan. Rasa aneh yang berbaur penolakan dan kecaman bergelombang hebat ketika penduduk Mekah mendengar dengan begitu terus-terangnya suara yang menyatakan kesesatan orang musyrik dan penyembah berhala. Suara itu bagaikan petir yang memecahkan gumpalan awan, bergemuruh, berkelip-kelip dan kucar-kacir cuaca yang sebelumnya tenang. Maka, orang Quraisy mula melakukan usaha-usaha untuk menghentikan "revolusi" yang berkembang secara mengejut itu kerana dikhuatiri "revolusi" tersebut akan menghapuskan adat istiadat dan tradisi para nenek moyang mereka.

Mereka mengambil sikap demikian kerana mereka tahu makna iman adalah menafikan segala tuhan selain Allah. Mereka juga tahu makna iman kepada risalah Islam dan iman kepada hari akhirat adalah keterikatan yang sempurna dan penyerahan diri yang mutlak, mereka tidak lagi memiliki pemerintahan terhadap diri dan harta mereka, lebih-lebih lagi terhadap orang lain.

Maka, mereka perlu menafikan pemerintahan dan kesombongan mereka atas bangsa Arab yang selama ini dipergunakan dengan label agama, menundukkan kesenangan mereka agar sesuai dengan keredhaan Allah dan rasul-Nya serta menjauhkan mereka daripada perilaku zalim yang selama ini mereka lakukan terhadap orang yang berstatus rendah, juga daripada perilaku keji yang sentiasa mereka lakukan dari pagi hingga petang.   

Mereka menyedari makna ini sehingga nafsu mereka enggan untuk menerima ajaran Islam. Mereka lakukan perkara itu, bukan untuk mempertahankan kemuliaan atau meraih kebaikan tetapi semata-mata kerana, "Namun manusia ingin terus-menerus melakukan maksiat," sebagaimana tercantum dalam al-Quran, surah al-Qiyamah ayat ke- 5.

Mereka tahu semua makna itu dengan baik. Namun begitu, apa yang boleh mereka lakukan terhadap lelalki jujur dan dipercayai ini? Iaitu individu yang menjadi teladan tertinggi dalam menampilkan nilai kemanusiaan dan kemuliaan akhlak, yang tidak mereka dapati bandingannya ataupun orang yang seumpama dengannya sepanjang sejarah datuk moyang dan kaum mereka. Maka, apakah yang dapat mereka lakukan? Mereka betul-betul bingung untuk bertindak dan memang selayaknya mereka bingung.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Wednesday 20 November 2019

Tuesday 19 November 2019

Sabar dan redha

'masih koma'

Setiap musibah yang berlaku adalah ruang masa untuk berfikir dan bermuhasabah. Ia adalah isyarat rasa cinta Allah kepada manusia. Namun itu semua tidak mungkin kita nikmati andainya kita tidak memikirkan dengan hikmah dan mata hati. 

Boleh jadi sedikit musibah dan ujian yang mencelah-mencelah di sebalik nikmat kehidupan yang panjang adalah pengikis karat-karat dosa yang menumpuk di dinding jiwa. Semoga ianya tidak dibalas di akhirat kelak kerana telah redha di dunia ini. Moga begitu hendaknya..

"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan." (an-Nahl: 96)

Saturday 16 November 2019

MELUPUSKAN AL-QURAN LAMA

Soalan : 

Apakah hukum membuang, menggunakan sebagai alas, menggunakan sebagai pembalut atau membakar bahan bacaan khususnya surat khabar dan majalah yang di dalamnya terdapat kalimah Allah, Nabi Muhammad SAW, keratan ayat-ayat al-Quran, keratan-keratan sunnah dan pelbagai artikel yang berkaitan dengan Islam? Apakah cara terbaik untuk melupuskan surat khabar atau majalah lama yang mengandungi perkara tersebut? 

Jawapan: 

Daripada Abi Ruqayyah bin Aus al-Dariy RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 الدِّينُ النَّصِيْحَة، قُلنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّه، وَلكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ 

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: "Untuk siapa?" Sabda baginda: "(Mereka yang ikhlas) kepada Allah, (mereka yang tunduk dan patuh) kepada Kitab-Nya, Rasul-Nya, kepada para pemimpin orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.” Riwayat Muslim (no: 55), Abu Daud (no: 4946), dan al-Nasaie (no: 4197) 

Adapun nasihat kepada kitab-Nya ialah membaca, memahami, tadabbur seterusnya mengamalkannya sama ada suruhan ataupun larangan. 

Dalam Majmu’ al-Fatawa oleh guru kami Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin berkata: “Tidak syak bagi kita bahawa Allah telah mensifatkan al-Quran al-Karim dengan sifat-sifat yang agung seperti bijaksana, mulia dan agung.” 

Justeru, menghormati ayat al-Quran serta hadith merupakan sebahagian daripada lambang keimanan seseorang. Walaupun cebisan ayat-ayat itu terdapat pada akhbar atau surat yang sudah lusuh, sewajarnya ia dihormati. 

Dikatakan dalam sejarah bagaimana seorang sufi yang menyucikan nama Allah SWT ketika jatuh ke tanah, lantas dia telah diubah dalam kehidupannya menjadi manusia yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. 

Antara cara yang terbaik untuk melupuskan bahan-bahan yang mempunyai kehormatan tersebut ialah dengan membakarnya. Sebahagian yang lain berkata, hendaklah dibakar dan dikumpulkan abunya dan dibuang ditempat yang selamat seperti di laut atau ditanam ke dalam tanah. Sebahagian orang meletakkan pada gua-gua yang dijaga dengan elok seperti yang berlaku di Pakistan. 

Walaupun begitu, saya mencadangkan supaya dikumpulkan setempat dan dibakar serta menanamnya selepas itu. Hal ini berdasarkan tindakan khalifah Islam ketiga Uthman bin Affan RA, ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf, beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya. Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat R.Anhum. 

Ibn Batthal mengatakan, bahawa perintah Uthman RA supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran, menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama-nama Allah SWT boleh dibakar, dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya dari dipijak oleh kaki-kaki manusia, dan memeliharanya dari dibuang di atas tanah.

Tuesday 12 November 2019

Saya ada DIA

Pernahkah anda merasa tidak bermaya? Bukan kerana anda tidak sihat tetapi kerana satu perasaan yang tidak ketahuan punca. Resah dan gelisah, fikiran berkecamuk dan rasa tertekan. Sedangkan anda tidak tahu mengapa.

Saya pernah mengalaminya, lebih-lebih lagi ketika zaman belajar dahulu. Resah dan gelisah, rasa tertekan muncul tanpa sebab yang jelas. Fikiran jadi tak menentu, hinggakan saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Saya rasa tidak mahu bertemu dengan sesiapa, lebih selesa menyendiri berkurung di dalam bilik melayan perasaan yang kosong ini. 

Saya hanya terbaring sambil mata memerhati jalur-jalur atap. Radio dipasang untuk meredakan perasaan, tetapi setiap patah perkataan yang keluar dari corong radio bagaikan selumbar yang mencucuk ke dalam jiwa. Saya terasa seperti kehilangan sesuatu.

Ada ketikanya terasa bagaikan ada satu kerinduan yang mendalam, tetapi entah pada siapa. Hilang semua itu muncul pula perasaan marah, sedih, bimbang dan benci. Apa yang dibuat semua tidak kena. Masa bergerak bagaikan terlalu perlahan. 

Adakah saya sudah tidak siuman? 

Ketika itu saya rasa keseorangan, tiada siapa yang mahu mendengar jeritan hati ini. Kadang-kadang terasa diri ini sedang melayang jatuh di dalam lubang gelap yang tiada dasarnya. Tiada siapa yang mahu menarik saya keluar dari kegelapan ini. Tiada siapa yang ingin menghulurkan tangan. Tiada... 

"Ahh...kenapa aku begini!" jeritan batin meronta-ronta sendirian, jauh ke dalam. 

Saya ada DIA

Saya cuba kembali ke alam nyata, bersikap siuman. Segera saya membelek artikel-artikel tazkirah yang banyak kedapatan di dalam komputer riba. Saya membaca satu persatu. Saya perlukan kekuatan, hinggalah anak mata saya singgah pada sebaris ayat: 

"Carilah satu dunia asing.. untuk kamu keluar dari diri kamu yang sudah rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi diri dengan Allah, samada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan zikrullah."

Berulangkali saya membacanya. Terpaku seketika, rupanya saya tidak keseorangan. Saya ada Dia. Benar, Dia yang bersifat dengan lunak dan kasih sayang. Dia yang suka mendengar rintihan. Dia yang tidak jemu menghulur pertolongan. Dia yang amat dekat. Mengapa saya terleka hingga lupa kepada Dia sememangnya sentiasa dekat.  

"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Qaff: 16)

Saya mula mencari titik mula. Saya mencari rahmat dan belas ehsan-Nya. Saya mencari kasih-Nya yang sempurna. Dan saya merasakan hati dan jiwa saya mula bersatu dengan diri yang hilang tadi. 

Semuanya bercahaya kembali, kerana saya ada DIA. 

Ya! Saya ada DIA. 

"Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati." (ar-Ra`du: 28)

Friday 8 November 2019

Monday 4 November 2019

Jangan sesekali berkata walaupun 'UFF'...

 
 foto hiasan (sumber)

RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.” 

Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” (Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan) 

Firman Allah SWT:


“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "UFF" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (al-Isra`: 23) 

Dalam ayat di atas dinyatakan bahawa berkhidmat dan menghormati kedua ibu bapa adalah menjadi sebab untuk kita hidup di dunia ini dalam keredahaan-Nya dan ia adalah kewajipan yang kedua selepas beribadat kepada Allah SWT. 

Perhatikanlah, kadang-kadang ada di antara mereka, setelah berumahtangga dan mempunyai anak lalu melupakan khidmat kepada ibu bapanya. Kerap kali mereka lalai dalam memerhatikan keduanya kerana sibuk, sibuk dan terus sibuk dalam menguruskan keluarga sendiri, harta benda, pekerjaan dan sebagainya. Sehinggalah tercicir kewajipan terhadap orang tuanya. 

Lebih-lebih lagi jika keduanya dalam keadaan tua yang amat, tentulah banyak cerewetnya kerana sudah tidak mampu lagi menguruskan diri sendiri. Di ketika ini mereka amat mengharapkan perhatian dan bergantung harap belas kasihan anak-anaknya. Maka hendaklah banyak bersabar dan berlapang dada menjaganya. 

Jangan sesekali berkata walaupun 'UFF' 

Ahli bahasa mengatakan kalimah ‘Uffin’ asal ertinya ialah daki hitam dalam kuku. 

Abu Raja` at-Atharidi mengatakan kalimah ‘Uffin’ memberi maksud kata-kata yang menyakitkan hati dan menunjukkan kebosanan, walaupun tidak diucapkan dengan keras. 

Mujahid menafsirkan ayat di atas dengan: “Jika kamu melihat salah seorang atau keduanya telah berak atau kencing di mana tempatnya, sebagaimana yang kamu lakukan ketika kecil, maka janganlah kamu mengeluarkan kata-kata yang mengandungi maksud keluhan sedikit pun.” 

Ali bin Abi Thalib berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Kalau Allah mengetahui suatu perbuatan derhaka kepada orang tua perkataan yang lebih bawah lagi dari 'UFF' itu, nescaya itulah yang akan disebutkan-Nya. Sebab itu berbuatlah orang yang berkhidmat kepada kedua orang tuanya, apa sukanya, namun dia tidak akan masuk ke neraka. Dan berbuatlah orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, apa sukanya pula, namun dia tidaklah akan masuk ke syurga." 

Oleh itu, wahai anak-anak! Ucapkanlah perkataan yang lemah lembut, bersopan santun serta menggembirakan mereka. Ucapkanlah perkataan yang mengandungi rasa cinta, kasih dan sayang kepada mereka. Ucapkanlah perkatan yang memperlihatkan bahawa kita adalah anaknya dan mereka adalah ibu dan bapa. 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Maqburi dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: "Hidup sengsara seorang lelaki, disebut orang aku( Rasulullah) dekatnya, namun dia tidak mengucapkan selawat ke atasku. Hidup sengsara seorang lelaki, yang telah tua salah seorang ibu bapanya atau keduanya, namun pemeliharaannya ke atas keduanya tidak menyebabkan dia masuk syurga. Hidup sengsara seorang lelaki, telah masuk bulan Ramadhan, kemudian bulan itu pun habis sebelum Allah memberi ampun akan dia." 

Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya: "Berbahagialah orang yang segera mengambil kesempatan berkhidmat kepada kedua orang tuanya, sebelum kesempatan itu hilang kerana mereka terburu mati. Maka menyesallah dia berlarat-larat bahawa dia belum membalasnya lagi. Maka nistalah orang yang tidak peduli kepada orang tuanya apalagi jika perintah ini telah diketahuinya." Berbaktilah kepada orang tuamu selagi mereka masih bernyawa, sebelum nikmat itu ditarik kembali. 

"Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan rahmatilah keduanya, sebagaimana mereka mendidikku sewaktu kecil."