Sahabat Sejati

Friday 8 April 2022

Hari ini..

Telah genap 43 tahun ayahanda meninggalkan kami. Ya Allah, cucurilah rahmat dan kasih sayang kepada ayahandaku..ameen ya Rabb.

Thursday 7 April 2022

Cetusan rasa: Terkenang-kenang..

[foto lama] ketika menjalani kuarantin kali ke 2 di awal penularan Covid 19

Sesekali pernah juga terfikir, sekiranya kita direzekikan hidup sehingga sampai pada masa berakhirnya wabak covid ini, mungkin ketika itu baru kita sedar sudah ramai dikalangan ahli keluarga dan kenalan baik kita sudah tidak ada lagi di dunia ini. 

Saya menyaksikan berapa ramai ahli keluarga dan sahabat yang telah ‘pergi’ di masa pandemik ini. Malahan tatkala mendengar berita kematian mereka, saya hanya mampu menitip untaian doa dari jauh tanpa dapat menziarahi untuk memberi penghormatan terakhir. Semuanya gara-gara ujian musibah yang sedang kita hadapi ini. 

Teringat beberapa orang yang saya kenali, yang terpaksa ditidurkan. Rupa-rupanya tidur mereka adalah tidur yang selamanya. Pada masa yang sama juga, saya terfikir, apakah diri saya juga bakal menjadi sebahagian daripada mereka yang dijemput pergi asbab wabak ini? Mungkin gilirannya belum tiba lagi. 

Segalanya berkemungkinan belaka.

Sunday 3 April 2022

Ramadhan 1443H - Selamat mencari taqwa!

sumber foto

 Marhaban ya Ramadhan..

Di kesempatan yang terluang, ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita semua sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah. 

Dari Ubadah bin Shamit, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat at-Thabrani) 

Sesungguhnya puasa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa Ramadhan adalah proses melatih kita mengawal diri. 

Kita tidak makan bukan kerana tiada makanan. Kita tidak minum bukan kerana tiada minuman. Kita tidak makan dan minum kerana mentaati perintah Allah SWT, walaupun ketika itu kita mempunyai segudang makanan dan minuman. Itulah latihan mengawal diri. 

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia 

Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah. 

Selamat mencari taqwa!