Sahabat Sejati

Tuesday 29 June 2021

Menggabungkan korban dan aqiqah

Jika seorang ayah baru mendapat anak dan berbetulan pula dengan hari-hari korban, bolehkah dia berniat sekali korban dirinya dan akikah anaknya pada satu bahagian lembu atau seekor kambing? . 

Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak. Sebelum itu, perlu diketahui bahawa dalam perbahasan fekah terdapat satu topik berkenaan penggabungan beberapa ibadah dalam satu amalan. Contohnya, 

1. Mengabungkan tahiyyatul-masjid bersama solat fardhu atau solat sunat yang lain, 

2. Menggabungkan puasa enam atau puasa isnin/khamis bersama puasa qadha, 

3. Menggabungkan mandi sunat jumaat atau hari raya bersama mandi wajib/junub. . 

Para dasarnya para ulamak menetapkan satu kaedah; dua amalan/ibadat dari jenis yang sama dan kedua-duanya mempunyai sisi tujuan yang sama dan masing-masing tidak memiliki tujuan khusus (dari pensyariatannya), boleh digabungkan dalam satu perbuatan sahaja (al-Suyuti & al-Sa'di). Sebagai contoh; solat tahiyyahul masjid. Tujuan Syariat memerintahnya ialah agar seseorang itu beribadah (solat) terlebih dahulu sebelum duduk dalam masjid. Tujuan ibadah turut terdapat dalam solat fardhu, maka dengan melakukan solat fardhu terangkum sekali tahiyyatul masjid kerana keduanya memiliki sisi tujuan yang sama.

Korban dan akikah dari segi amalan adalah sama iaitu menyembelih haiwan ternak (unta, lembu atau kambing). Namun apakah kedua-duanya mempunyai sisi maksud yang sama? Para fuqahak berbeza dalam menjawab persoalan ini, menyebabkan mereka berikhtilaf dalam memutuskan hukum apakah korban dan akikah boleh disatukan atau tdak?

Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; kedua-dua ibadat itu boleh digabungkan kerana ia memiliki sisi tujuan yang sama iaitu bertaqarrub kepada Allah dengan melakukan penyembelihan dan menjamu makan orang lain (Syeikh al-Munajjid, no. fatwa; 106630). Syeikh Sayid Sabiq menjelaskan; menurut mazhab Hanbali; jika bertepatan hari korban dengan hari akikah, mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dan hari jumaat, mencukupi sekali mandi sunat sahaja untuk kedua-duanya" (Fiqh al-Sunnah, 3/193) 

Namun menurut mazhab Maliki dan Syafiie; tidak sah digabungkan (yakni mesti dilakukan setiap satu secara berasingan) kerana sekalipun ada sisi tujuan yang sama, namun masing-masing darinya turut memiliki tujuan dan sebab tersendiri, iaitu yang satu bersempena kelahiran anak dan yang satu bersempena 'idil-adha dan hari-hari tasyriq (Rujukan; fatwa Syeikh al-Munajjid, 106630). Dalam erti lain, kedua-duanya adalah ibadah sunat yang berdiri sendiri dan jamuan setiap satu darinya juga bersifat tersendiri (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, hlm. 911).

Kesimpulannya, para ulamak adakalanya melihat suatu masalah dari perspektif yang berbeza, kerana itu hukum fiqh mereka juga berbeza. Mungkin ada yang bertanya; pada pandangan ustaz, dalam masalah ini mana yang rajih? Bagi saya, tidak semestinya kita melihat khilaf ulamak dari sudut rajih dan marjuhnya. Adakalanya perlu dilihat sebagai ruang kemudahan bagi umat itu. Bagi yang mampu, buatlah kedua-duanya secara berasingan. Bagi yang kurang mampu, gabunglah kedua-duanya, beramal dengan pandangan kedua. Walaupun tidak dapat pahala maksimum, mudah-mudahan tidak ketinggalan pahala minimum. Itulah rahmat Allah untuk umat ini.

Sunday 27 June 2021

Bicara santai: Sampai bila agaknya.. wallahu a`lam


Seingat saya, bilik bacaan peribadi ini menjadi tempat yang paling kerap saya 'berkurung' sepanjang tempoh PKPD dan kemudiannya PKP. Apa nak buat, mahu keluar rumah tanpa ada urusan yang perlu tidak digalakkan. Jadi, 'berkampunglah' di dalamnya menyelak helaian buku, sambil melakukan kerja-kerja rumah yang sepatutnya. 

Mahu menonton televisyen, saya tidak punya peti televisyen. Lebih 10 tahun kami tidak menonton televisyen. Untuk mengetahui berita semasa, semuanya menerusi talian internet. Lagipun dalam usia begini keinginan menonton televisyen sudah pun hampir tiada.

Sama juga sewaktu menjalani kurantin di rumah kerana menjadi kontak rapat pertama pesakit covid-19, saya menjadikan bilik ini sebagai bilik kuarantin. Makan, minum dan tidur semuanya di sini. Apa-apa urusan, cuma disebalik daun pintu. Orang lain tidak dibenarkan masuk. Sehinggalah tamat tempoh kuarantin tersebut dan setelah disanitasi barulah ahli keluarga dibenarkan masuk ke dalamnya.

Alhamdulillah, hampir dua puluh hari dalam keadaan seumpama terpisah dengan 'dunia luar', akhirnya saya dibebaskan daripada 'penjara' tersebut. Saya telah disahkan negatif dan dihubungi oleh pihak KKM untuk urusan pemotongan gelang sakti tersebut. Gelang sakti kerana ia mampu menjauhkan manusia lain mendekati pemakainya.  

Meneliti laporan kes yang berlaku setiap hari, nampak gaya seperti lambat lagi kita semua dapat menjalani kehidupan normal seperti dulu. Bebas berjalan ke amana-mana, tidak perlu lagi memakai pelitup muka apabila keluar rumah, boleh bersalam apabila bertemu dan sebagainya

Terasa rindu pula dengan laporan sepertimana tahun lalu. Sehari tidak sampai 10 kes. Diharapkan dengan pemberian vaksin ini akan dapat menjadikan keadaan bertambah baik. Allahu al-musta`an.  

Saturday 26 June 2021

Apakah ada nabi wanita?

Apa yang dinyatakan dalam al-Qur’an secara jelas, Rasul itu adalah dalam kalangan lelaki dan bukannya wanita. Inilah pandangan jumhur ulama’ sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, 6/447. Hal ini juga dinukilkan oleh Imam al-Nawawi bahawasanya telah sepakat para ulama’ menurut Imam al-Haramain dalam al-Irsyad bahawa Maryam bukanlah Nabi (al-Azkar, m. 119) 

Dalilnya adalah firman Allah SWT:

 وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى 

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar,…” (Surah Yusuf: 109) 

Ayat ini telah menegaskan bahawa Allah SWT tidak mengutuskan nabi dalam kalangan wanita dan juga jin. Walaubagaimanapun, ada beberapa ulama’ yang berpegang bahawa adanya nabi dalam kalangan wanita. Antaranya adalah Imam al-Qurtubi, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Ibn Hazm. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/226). Antara wanita yang dianggap sebagai nabi adalah Maryam, Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa, Sarah dan Hajar. 

Menurut John DelHousaye, Bible ada menyebutkan beberapa bukti tentang adanya Nabi wanita. Dalam Perjanjian lama, ada disebutkan nama Maryam (Exodus 15:20), Deborah (Judges 4:4), Huldah (2 Kings 22: 14; Chronicles 34: 22), Noadiah (Nehemiah 6: 14) dan istilah “beberapa nabi wanita” (Isaiah: 8: 3). Manakala dalam Perjanjian Baru ada disebutkan tentang seorang wanita bernama Anna yang digambarkan oleh Lukas sebagai nabi wanita. (Lihat https://www.cbeinternational.org/resources/article/mutuality/q-who-are-women-prophets-bible) 

Dalam agama Yahudi pula terdapat 7 orang nabi wanita sebagaimana yang dinyatakan oleh Rabbi Shlomo Yitzchaki dan juga direkodkan dalam Talmud iaitu Sarah, Maryam, Devorah, Hannah (ibu Nabi Samuel), Avigail (isteri Nabi Daud), Huldah dan Esther. Hal ini juga dihuraikan dengan mendalam di dalam buku Kabbalistic Teachings of the Female Prophets: The Seven Holy Women of Ancient Israel oleh J. Zohara Meyerhoff Hieronimus. 

Menurut Imam al-Qurtubi ketika mengulas Surah Yusuf ayat 109:

“Ini adalah kritikan kepada mereka yang berpendapat ‘Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? " (Surah al-An’am: 8) iaitu diutuskan kepada kami dalam kalangan lelaki, tidak ada pada mereka wanita dan juga jin, begitu juga malaikat. Ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.’ (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 9/179) 

Tentang penetapan kenabian Maryam: ‘Manusia berbeza pandangan tentang kenabian Maryam. Dikatakan: (i) ‘Kenabiannya adalah kerana malaikat diutuskan kepadanya dan berkomunikasi dengan malaikat. Dikatakan: (ii) Beliau bukan nabi kerana beliau berkomunikasi dengannya sebagaimana manusia, beliau melihat fizikal malaikat sebagai diperlihatkan Jibril dalam sifat fizikal Dihyah (al-Kalbi); ketikamana disoal Nabi SAW tentang iman dan juga Islam. Pandangan (i) adalah yang lebih kuat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 11/62) 

Berkenaan hadith yang dibawakan oleh Imam al-Qurtubi iaitu:

 إِنَّ فِي النِّسَاءِ أَرْبَعُ نَبِيَّاتٍ حَوَّاءُ وَآسِيَةُ وَأُمُّ مُوسَى وَمَرْيَمُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.” 

Kami tidak menjumpai teks hadith ini dalam mana-mana kitab hadith. 

Ibn Hazm menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui adanya isu berkenaan hal ini kecuali ketika beliau di Cordoba. Beliau membawakan tiga pandangan ulama’ dalam isu ini: 

Menolak adanya nabi wanita. 

Menerima adanya nabi wanita. 

Tidak memberi apa-apa pandangan sehingga datangnya dalil (tawaqquf) 

Ibn Hazm menegaskan bahawa kisah Maryam dan ibu Nabi Musa adalah bukti yang jelas tentang kenabian wanita. (al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa al-Nihal, 5/12). Kisah Maryam tersebut adalah peristiwa Jibril datang kepadanya. Bagi beliau, antara ciri kenabian adalah didatangi malaikat. Manakala kisah ibu Nabi Musa pula adalah tentang ilham yang Allah SWT berikan terus kepada beliau untuk menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil. Pandangan Ibn Hazm berkenaan kenabian Maryam ini juga dinukilkan oleh Imam al-‘Aini. Walaubagaimanapun, bagi beliau Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari bersama-sama dengan ulama’ lain dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam isu ini iaitu Nabi hanya dalam kalangan lelaki. (Lihat ‘Umdat al-Qari, 4/194). 

Pada hakikatnya, tidak bermakna seseorang itu boleh dianggap sebagai Nabi jika didatangi malaikat kerana jika dilihat pada sabda Nabi SAW ini, malaikat juga datang kepada orang biasa:

 أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى، فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ، قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ، بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ 

Maksudnya: "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Lelaki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.' (Riwayat Muslim, no. 4656) 

Selain itu, apa yang terjadi kepada ibu Nabi Musa seperti dalam ayat:

 وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ 

Maksudnya: "Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia;..." 

Bukanlah bermaksud wahyu yang diturunkan kepada Nabi tetapi ilham yang dinamakan ilham fitri. Al-Qur'an juga merekodkan lebah yang menerima "wahyu" yang diistilahkan sebagai ilham gharizi. Firman Allah SWT: 

 وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون

Maksudnya: "Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia." (Surah al-Nahl: 68) 

Maka, adalah tidak tepat untuk kita katakan lebah turut menerima wahyu dalam ertikata, menjadi Nabi. 

Kesimpulannya, jumhur ulama’ menjelaskan bahawa Nabi hanya dalam kalangan lelaki sahaja. Allah SWT juga menegaskan:

 وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka.” (Surah al-Nahl: 43)

Semoga penjelasan ini dapat menambahkan pemahaman kita dalam agama dan membawa kita kepada jalan yang diredhai-Nya. Wallahu a'lam.

Wednesday 23 June 2021

Malaikat yang membelah dada Nabi

Pertama: Nama malaikat 

Dalam isu ini para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan berapa kali Rasulullah SAW dibedah dadanya. Ibn Hajar al- Asqalani berkata: “Sebahagian mereka ingkar berlakunya pembelahan dada pada malam Isra’. Mereka berkata hanya berlaku ketika kecil di perkampungan Bani Sa’d. Hal ini tidaklah diingkari kerana terdapat beberapa riwayat dan thabit pebedahan dada juga ketika dibangkitkan menjadi Rasul sebagai riwayat Abu Nuaim dalam al-Dala’il. Ringkasnya saya nyatakan begini: 

Kali pertama ketika kecil dalam usia 4 tahun. Datang Jibril dan merebahkannya serta membedah dadanya. Ini seperti riwayat Muslim dalam Sahihnya daripada Anas bin Malik. 

Ketika dibangkitakan menjadi Rasul seperti riwayat Abu Nuaim dalam al-Dala’il. 

Ketika Isra’ dan Mi’raj dan ini thabit dalam Sahih Bukhari dan Muslim dan lain lagi seperti riwayat Anas bin Malik daripada Malik bin Sa’sa’ah dan lain. 

Berdasarkan beberapa riwayat di atas menunjukkan bahawa Jibril yang melaksanakan tugas pembedahan. 

Kedua: Air Yang Digunakan 

Mengikut sebahagian riwayat tidak menyebut apakah air yang digunakan. Tetapi dalam riwayat yang lain menyebut dengan menggunakan air zam-zam. Justeru, saya cenderung kepada pendapat bahawa dibasuh dengan menggunakan air zamzam kerana riwayat air zamzam adalah ithbat dan kaedah menyebut ithbat itu didahulukan dari penafian.

Sila rujuk kepada kitab yang muktabar seperti Fathul Bari, al-Sahih min Siratinnabi al-A’zam, al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi dan lain-lain. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua dalam mencari fakta yang sahih lagi benar, amin.

Thursday 17 June 2021

SIAPAKAH UMMUL MUKMININ YANG PALING AKHIR MENINGGAL DUNIA?

Isteri-isteri Nabi merupakan wanita-wanita yang mempunyai kelebihan dan kedudukan yang diberikan oleh Allah SWT melebihi wanita-wanita yang lain. Keistimewaan dan kelebihan mereka disebutkan oleh Allah SWT. Firman Allah:

 يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ 

Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa…” (Surah Al-Ahzab : 32) 

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut jika ada ramai wanita sekalipun maka mereka tidak akan pernah sama sekali menyamai isteri Nabi dari sudut kemuliaan dan kelebihan.(Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 22/5). 

Imam Fakhruddin Al-Razi menyebut makna ayat tersebut adalah kalian sebagai isteri Nabi berbeza dengan wanita yang lain. Disebabkan kalian adalah ummahatul Mukminin sekaligus isteri kepada sebaik-baik manusia iaitu Rasulullah saw. Seperti mana Nabi Muhammad bukan seperti lelaki-lelaki lain. (Rujuk Mafatih Al-Ghaib, 1/3633). 

Bahkan isteri-isteri Nabi digelarkan sebagai Ummahatul Mukminin yang bermaksud ibu-ibu bagi orang-orang yang beriman sebagai satu pengiktirafan kedudukan dan kemuliaan mereka.Firman Allah SWT:

 ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَـٰتُهُمْ 

Maksudnya: “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…” (Surah Al-Ahzab : 6) 

Al-Baidhawi menyebut bahawa Nabi saw lebih utama untuk didahulukan dalam semua perkara. Ini kerana Nabi tidak perintahkan sesuatu melainkan disebalik perintah Nabi itu ada kebaikan dan juga untuk kejayaan mereka yang mana ia bercanggahan dengan nafsu. Oleh kerana itu wajib untuk mencintai Nabi lebih daripada diri sendiri dan segera melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Nabi SAW. Begitu juga isteri-isteri Baginda SAW adalah ibu bagi orang mukmin. Ini menunjukkan kedudukan mereka yang mana isteri-isteri tidak boleh dikahwini dan perlu untuk dimuliakan. (Rujuk Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil ; Tafsir Al-Baidhawi, 5/5). 

Oleh itu, sebagai orang yang beriman tidak boleh sama sekali menghina, mencaci, mengeji mahupun merendahkan mana-mana isteri Nabi saw. Perbuatan merendahkan dan memperlekehkan isteri-isteri Nabi adalah perbuatan yang fasiq. 

Imam Malik Bin Anas pernah menyebut: 

“Sesiapa yang mencerca Abu Bakar maka selayaknya dia dirotan. Sesiapa yang menghina Aisyah maka dia selayaknya dibunuh.” Pernah ditanya kepada beliau: Untuk apa?. Kata Imam Malik: “Jika seseorang menuduh Aisyah berzina maka dia telah melakukan perkara yang bercanggah dengan Al-Quran”. (Rujuk Al-Sorim Al-Maslul ‘Ala Syatim Al-Rasul, hlm 440). 

Jika menuduh Aisyah R.Anha sahaja sudah dianggap menyalahi Al-Quran apatahlagi merendahkan dan memperlekehkan isteri-isteri Nabi yang lain. 

Isteri Nabi saw ada sebelas kesemuanya. Mereka ialah:

Khadijah Binti Khuwailid R.anha 

Saudah Binti Zam’ah anha 

‘Aisyah Binti Abu Bakar R.anha 

Hafsah Binti Umar R.anha 

Zainab Binti Khuzaimah R.anha 

 Ummu Salamah Hind Binti Abu Umayyah Al-Makhzumiah R.anha 

Ummu Habibah Ramlah Binti Abi Sufyan R.anha

Juwairiyah Binti Al-Harith R.anha 

Maimunah Binti Al-Harith Al-Hilaliyah R.anha 

Sofiyyah Binti Hayyi Bin Akhtab R.anha 

Zainab Binti Jahsy R.anha 

Mereka bukan sahaja menjadi isteri Nabi semata-mata bahkan mereka juga membantu penyebaran Islam. Bahkan ada di antara isteri Nabi yang menjadi فقهاء الصحابيات iaitu orang yang faqih dari kalangan wanita-wanita yang menjadi rujukan para sahabat. Kesungguhan dan kepakaran serta semangat mereka menyebarkan ilmu dan dakwah menjadi contoh kepada generasi yang datang selepas mereka. 

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, isteri Nabi saw yang paling akhir meninggal dunia ialah Ummu Salamah Hind Binti Abu Umayyah. Beliau meninggal dunia pada tahun 62 H ketika pemerintahan Yazid Bin Muawiyah. (Rujuk Ma’rifah Al-Sahabah, 6/3218 ; Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/201 ; Al-Isti’ab Fi Ma’rifah Al-Sahabah, 4/1920 ; Al-Isabah Fi Tamyiz Al-Sahabah, 8/150 ; Al-Wafayat Li Ibn Qunfuz, 1/36 ; Tahzib Al-Asma’ Wa Al-lughat , 1/955).

BIODATA UMMUL MUKMININ UMMU SALAMAH 

Nama sebenar beliau ialah Hind Binti Abi Umayyah Bin Al-Mughirah Bin Abdullah Bin Umar Bin Makhzum Bin Yaqazah Bin Murrah Al-Makhzumiah. Beliau merupakan sepupu kepada Khalid Al-Walid dan juga sepupu kepada Abu Jahal. Beliau merupakan antara orang yang awal menyahut seruan hijrah. Sebelum menjadi isteri Baginda Nabi saw, beliau mempunyai seorang suami yang bernama Abu Salamah yang nama sebenarnya ialah Abdullah Bin Abdul Asad Bin Hilal Al-Makhzumi. Abu Salamah juga merupakan seorang sahabat Nabi saw. 

Umar iaitu anak kepada Ummu Salamah pernah menceritakan kisah kewafatan ayahnya Abu Salamah. Kata beliau :

 بَعَثَ رَسُوْلُ اللهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- أَبِي إِلَى أَبِي قَطَنٍ فِي المُحَرَّمِ سنَةَ أَرْبَعٍ، فَغَابَ تِسْعاً وَعِشْرِيْنَ لَيْلَةً، ثُمَّ رَجَعَ فِي صَفَرٍ، وَجُرْحُهُ الَّذِي أَصَابَهُ يَوْمَ أُحُدٍ مُنْتَقِضٌ؛ فَمَاتَ مِنْهُ، لِثَمَانٍ خَلَوْنَ مِنْ جُمَادَى الآخِرَةِ، وَحَلَّتْ أُمِّي فِي شَوَّالٍ، وَتَزَوَّجَهَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 

Maksudnya : “Rasulullah saw menghantar ayahku kepada Abi Qatn (Sebagai Sariah) pada bulan Muharram tahun keempat hijrah. Dia pergi selama 29 hari kemudian pulang pada bulan Safar. Luka yang dia dapat pada peperangan Uhud menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan kematian. Itu berlaku pada 22 Jamadil Akhir. Ibuku habis iddahnya pada bulan Syawal dan Nabi Rasulullah SAW mengahwininya pada bulan yang sama.” (Rujuk Al-Tabaqat Al-Kubra, 8/87). 

Di dalam riwayat yang lain ada menyebutkan perbualan antara Ummu Salamah dan Abu Salamah. Ibnu Sa’ad berkata : Ahmad Bin Ishak Al-Hadrami mengkhabarkan kepada kami. Abdul Wahid Bin Ziyad menceritakan kepada kami.’Asim Al-Ahwal menceritakan kepada kami daripada Ziyad Bin Abi Maryam bahawa Ummu Salamah pernah berkata kepada suaminya, Abu Salamah :

 بَلَغَنِي أَنَّهُ لَيْسَ امْرَأَةٌ يَمُوْتُ زَوْجُهَا، وَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، ثُمَّ لَمْ تَزَوَّجْ، إِلاَّ جَمَعَ اللهُ بَيْنَهُمَا فِي الجَنَّةِ، فَتَعَالَ أُعَاهِدْكَ أَلاَّ تَزَوَّجَ بَعْدِي، ولاَ أَتَزَوَّجُ بَعْدَكِ.

 قَالَ: أَتُطِيْعِيْنَنِي؟ 

 قَالَتْ: نَعَمْ.

 قَالَ: إِذَا مِتُّ تَزَوَّجِي، اللَّهُمَّ ارْزُقْ أُمَّ سَلَمَةَ بَعْدِي رَجُلاً خَيْراً مِنِّي، لاَ يُحْزِنُهَا وَلاَ يُؤْذِيْهَا.

 فَلَمَّا مَاتَ، قُلْتُ: مَنْ خَيْرٌ مِنْ أَبِي سَلَمَةَ؟

 فَمَا لَبِثْتُ، وَجَاءَ رَسُوْلُ اللهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَامَ عَلَى البَابِ فَذَكَرَ الخِطْبَةَ إِلَى ابْنِ أَخِيْهَا، أَوِ ابْنِهَا. 

 فَقَالَتْ: أَرُدُّ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ، أَوْ أَتَقَدَّمُ عَلَيْهِ بِعِيَالِي.

 ثُمَّ جَاءَ الغَدُ، فَخَطَبَ 

Maksudnya: “Ada cerita sampai kepada aku bahawa mana-mana wanita yang kematian suaminya dan suaminya itu dari kalangan ahli syurga kemudian isterinya tidak berkahwin dengan sesiapa selepas itu maka Allah akan kumpulkan mereka di syurga. Mari, aku mahu berjanji dengan engkau bahawa engkau tidak akan berkahwin selepas kematianku dan aku juga tidak akan berkahwin selepas kematianmu. 

Abu Salamah berkata: Adakah engkau taat kepada aku? 

Ummu Salamah berkata: Ya. 

Abu Salamah berkata: Jika aku mati kahwinlah dengan yang lain. Wahai Allah, rezekikanlah kepada Ummu Salamah lelaki yang lebih baik selepas dari kematianku. Yang mana dia tidak akan membuat Ummu Salamah sedih dan tidak akan menyakitinya. 

Apabila Abu Salamah meninggal dunia. Ummu Salamah berkata: Siapakah lelaki yang lebih baik dari Abu Salamah?. Pada satu tempoh, Rasulullah saw datang dan menyatakan hasrat untuk meminang kepada anak saudaranya atau anaknya. Ummu Salamah berkata lagi : Adakah akum ahu menolak ataupun mendahulukan ahli keluargaku. Kemudian Rasulullah datang lagi keesokan harinya lantas meminangnya.” (Rujuk Al-Tabaqat Al-Kubra, 8/88). 

Beliau merupakan salah seorang fuqaha yang ada dari kalangan sahabat. Beliau juga mempunyai beberapa hadis yang beliau dengar dari Nabi SAW. Jumlah hadis yang beliau dengar sendiri dari Rasulullah SAW adalah sebanyak 378 buah hadis. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/210) Bukan itu sahaja, beliau juga menjadi rujukan para Tabi’in. Antara yang meriwayatkan dan mendengar hadis dari beliau ialah Sa’id Bin Musayyib, Syaqiq Bin Salamah, Al-Aswad Bin Yazid, Mujahid, Nafi’ Bin Jubair Bin Mut’im, Nafi Maula Ibn Umar, ‘Ata’ Bin Abi Rabah, Ibn Abi Mulaikah dan lain-lain lagi. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/202). 

Beliau mempunyai tiga orang anak yang mana mereka merupakan sahabat Nabi SAW iaitu Salamah, Umar dan Zainab. Beliau dipanjangkan umur sehinggalah sampai berita pembunuhan Saidina Husin. Peristiwa ini menyebabkan beliau senyap dan tidak bercakap serta membuatkan beliau sedih yang teramat sangat. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 2/202). 

Beliau wafat pada tahun 62 Hijrah. Pada ketika itu umurnya mencapai 90 tahun. Jenazah beliau disolatkan oleh Sa’ad Bin Zaid. Ada yang mengatakan Abu Hurairah yang mengetuai solat Jenazah. Jenazah beliau dikuburkan di perkuburan Baqi’. (Rujuk Ma’rifah Al-Sahabah, 6/3218). Semoga Allah sentiasa merahmati ibu kita, Ummu Salamah. 

Semoga kita sentiasa mencintai ahlu bayt Nabi saw dan berusaha untuk mengikut jejak langkah mereka. Wallahu’alam.

Tuesday 15 June 2021

Sifat panas Neraka Jahanam dan berat azab neraka

Ilustrasi (foto hiasan)

Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada Nabi saw, baginda bersabda: “Neraka dinyalakan selama seribu tahun sehingga ia menjadi amat merah, kemudian dipanaskan lagi seribu tahun sehingga menjadi amat putih, kemudian dipanaskan lagi seribu tahun sehingga menjadi amat putih, kemudian dipanaskan lagi seribu tahun sehingga menjadi hitam pekat.” 

Abu Isa mengatakan (mengenai hadis al-Tarmizi tersebut) bahawa hadis tersebut mauquf, hanya Yahya bin Abu Bukair Abu Syarik yang merafa’kannya. 

Ibnu al-Mubarak meriwayatkan daripada Abu Hurairah, dia berkata: “Neraka dinyalakan seribu tahun sehingga menjadi putih, kemudian dinyalakan lagi seribu tahun sehingga menjadi merah, kemudian dinyalakan lagi seribu tahun sehingga menjadi hitam gelap seperti gelapnya malam.” 

Malik meriwayatkan daripada bapa saudaranya Abu Suhail bin Malik daripada bapanya daripada Abu Hurairah, dia berkata: “Engkau melihatnya seperti api kamu semua. Ia benar-benar lebih hitam daripada asphalt.” 

Ibnu al-Mubarak meriwayatkan daripada Sufyan, daripada Sulaiman, daripada Abu Zhibyan, daripada Salman, dia berkata: “Neraka itu hitam, baranya tidak bercahaya api.” Kemudian dia membaca:

 كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا مِنْ غَمٍّ أُعِيدُوا فِيهَا وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ 

Maksudnya: Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya. (kepada mereka dikatakan): “Rasailah azab yang membakar ini.” (Surah al-Hajj: 22) 

Malik meiwayatkan daripada Abu al-Zinad, daripada al-A’raj daripada Abu Hurairah, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Api dunia yang kemu semua panaskan 1/70 bahagian daripada api nereka.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulllah, meskipun semua dikumpulkan?” Rasulullah saw bersabda: “Ia lebih panas 69 kali.” Riwayat Muslim 

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Anas bin Malik, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Api kamu semua ini 1/70 kali daripada api neraka. Jika ia dahulu tidak dipadamkan dengan air dua kali, maka ia tidak bermanfaat untuk seorangpun.” 

Dalam riwayat lain daripada Ibn Abbas: “Api ini telah disiram dengan air laut sebanyak tujuh kali. Jika tidak maka ia tidak bermanfaat.” Riwayat Abu Umar 

Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Api kamu semua ini 1/70 daripada api Neraka Jahanam. Jika dahulu ia tidak dapat dipadamkan dengan air laut sepuluh kali, maka kamu semua tidak dapat memanfaatkannya.” 

Ibnu Abbas ditanya tentang api dunia, daripada apakah ia dicipta, maka dia menjawab: “Daripada api neraka, tetapi telah dipadamkan dengan air 70 kali. Jika bukan sedemikian maka tidak dapat didekati, kerana ia daripada api Neraka Jahanam.” 

Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Pada hari kiamat, manusia yang paling senang di dunia yang menjadi penghuni neraka, dicelupkan sekali ke dalam neraka. Kemudian dikatakan kepada mereka, “Wahai anak Adam, adakah kamu pernah melihat kebaikan? Adakah kamu pernah merasakan kesenangan dalam hidupmu?” Mereka berkata: “Tidak, demi Allah, wahai Tuhan.” Lalu dibawa orang yang paling susah ketika di dunia dan dicelupkan sekali ke dalam syurga. Kemudian ditanya kepadanya: “Adakah kamu melihat kesusahan dalam hidupmu? Adakah kamu merasakan keburukan?” Mereka menjawab: “Tidak, demi Allah, wahai Tuhan, aku tidak merasakan keburukan dan kesusahan.” 

Ibnu Majah meriwayatkan dari hadis Muhammad bin Ishaq daripada Humaid Ath-Thawil, daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Pada hari kiamat dikatakan kepada penghuni dunia yang kafir yang paling senang, “Celupkan sekali dia ke dalam nereka.” Setelah dicelupkan dia dikeluarkan. Lalu ditanya kepadanya: “Wahai fulan, adakah kamu pernah mendapat kenikmatan dalam hidupmu?” Dia menjawab: “Tidak ada kebaikan yang pernah kuperolehi.” Kemudian dibawa orang yang beriman yang paling susah dan amat banyak sekali mendapat bencana, lalu dikatakan padanya: “Celupkan dia sekali ke dalam syurga.” Kemudian ditanya kepadanya: “Adakah kamu pernah merasakan kesusahan dan bencana?” Doa menjawab: “Tidak ada kesusahan dan bencana yang pernah kurasakan.” 

Abu Hudbah Ibrahim bin Hudbah meriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Jika penghuni Neraka Jahanam mengeluarkan tapak tangannya ke dunia sehingga dapat dilihat, maka dunia terbakar kerana panasnya. Jika penjaga neraka dikeluarkan kepada penduduk dunia sehingga dapat dilihat, maka penghuni bumi mati ketika melihatnya kerana berasal daripada kemurkaan Allah SWT.” 

Ka’ab al-Ahbar berkata: “Demi Zat yang memegang jiwa Ka’ab, jika kamu berada di Timur dan api neraka itu di Barat, lalu ia dibuka, maka otakmu keluar melalui lubang hidungmu kerana panasnya. Wahai manusia, adakah terdapat ketetapan bagi kamu semua di dunia? Adakah kamu semua mampu bersabar dengan seksaan akhirat? Wahai manusia, mentaati Allah SWT lebih mudah bagi kamu semua daripada menanggung siksaan ini, maka taatlah kepada Allah SWT.” 

Al-Bazzar (meriwayatkan dalam Musnadnya) daripada Abu Hurairah, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Jika dalam masjid ini terdapat seratus ribu orang atau lebih, kemudian seorang penghuni neraka bernafas, maka mereka terbakar.” 

Sabda Rasulullah saw: “Api yang digunakan anak Adam adalah 1/70 daripada api Neraka Jahanam.” Maksudnya jika semua api yang digunakan manusia dikumpulkan, maka itu baru satu bahagian daripada Neraka Jahanam. Jika semua kayu api yang ada di dunia dikumpulkan untuk menyalakan api, maka itu di bumi satu bahagian daripada 70 bahagian panasnya dibandingkan dengan panasnya api yang ada di neraka, sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain.” 

Sabda Baginda saw: “Jika (إن) semua dikumpulkan” huruf (إن) di sini adalah huruf mukhaffafah yang thaqilah menurut ahli bahasa Basrah, sebagaimana terdapat pada ungkapan ayat (إن هو).

 وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيداً وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلاَّ لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلاَّ عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ 

Maksudnya: Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan kami tidak menetapkan kibla yang menjadi kiblatmu (sekarang0 melainkan agar Kami mengetahui (dengan nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat kecuali bagi orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan Allah tidak akan mensia-sialan imanmu. Sesungguhnya Allah maha penyayang kepada manusia.” (Surah al-Baqarah: 143) 

Maksudnya, sesungguhnya jika semua dikumpulkan dari segi kuantiti, maka Nabi saw menjawab: “ia seperti berlebihan dalam ukuran dan tahap kepanasan yang juga 69 kali lebih panas."

Wallahu ta'ala a'lam.

Monday 14 June 2021

Pesan Murabbi: Apakah doa bagi mempermudahkan segala urusan?

Dalam rancangan televisyen “Wallahu A’lam”, Maulana al-Imam Dr. Ali Jum’ah -hafizahullahu Ta’ala- telah ditanya oleh hos rancangan tersebut: “Apakah doa bagi mempermudahkan segala urusan?” 

Maka, jawab Maulana al-Imam: “Amalan yang saya terima dari para guru saya adalah membaca Surah al-Inshirah (أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ) sebanyak 40 kali dan setiap bacaannya didahului dengan Basmalah. 

Mungkin akan timbul persoalan setelah itu, dari mana datang amalan ini? Adakah ia warid dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah? 

Sudah tentu jawapan bagi soalan tersebut: “Amalan ini tidak warid dari mana-mana nas secara langsung sama ada dari nas al-Qur’an mahupun nas al-Sunnah”. 

Jadi, amalan ini datang dari mana? Jawapannya adalah: “Amalan ini terhasil dari pengalaman (tajribah) para ulamak Islam.” 

Mungkin akan muncul pula soalan lain: “Adakah kita boleh mengamalkan sesuatu pengalaman dari individu lain sebagai jalan ikhtiar?” 

Jawapannya, “Ya! sudah tentu kita boleh mengambilnya sebagai jalan ikhtiar”. (Perkara ini tidak bertentangan dengan syara’ dan ia termasuk di bawah dalil umum yang diriwayatkan oleh Imam al-Muslim dalam kitab Sahihnya; Sahih Muslim)

 مَنِ اسْتَطَاعَ مِنكُم أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ 

“Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya, (maka) hendaklah dia melakukannya”. 

Peratusan untuk berjaya dan qabul selepas mengamalkan bacaan ini adalah sekitar 60% atau 70%. 

Namun, sekiranya ditanya lagi, bagaimana pula kalau sudah mengamalkan, namun hasilnya tidak seperti yang dipinta? 

Jawapannya: “Sekurang-kurangnya kamu sedang beribadat! Bukankah kamu telah membaca salah satu dari ayat-ayat suci-Nya? Jadi, kamu telah melakukan kebaikan, ia tidak merugikan apa-apa pun kepada diri kamu. 

Namun begitu, pengamalan ini perlu diiringi dengan satu syarat iaitu kamu meyakini melalui amalan dan bacaan yang mulia ini, hanya Allah Ta’ala jualah yang akan mempermudahkan segala urusan kamu. Dengan demikian, akan bertambah juga nilai keimanan kamu terhadap-Nya”.”

Wallahua'lam.

Sunday 6 June 2021

Merenung nikmat Allah

"Dan diberikan kepadamu semua (sumber keperluanmu) yang kamu mohonkan. Sekiranya kamu (cuba hitung) kurniaan Allah, maka tidak akan terhitung olehmu (berapa jumlahnya). Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan engkar (tidak mensyukuri nikmat Allah). (Ibrahim: 34) 

Saban masa dan ketika kita menikmati kurnian Allah. Ketika mula dilahirkan, berbagai nikmat yang tidak putus-putus. Lihatlah apa yang ada pada diri kita. Penglihatan, pendengaran, akal fikiran, kesihatan dan lain-lain lagi. Pasti tidak akan habis jika mahu dihitung satu persatu. Namun, mungkin kita terlepas pandang dan terlupa nikmat itu. 

Setiap butir nasi yang dimakan, setiap teguk air yang diminum, setiap zarah udara yang kita sedut, bahkan apa sahaja adalah menunjukkan betapa penyayangnya Allah swt kepada kita. 

Namun demikian, ramai manusia yang seolah-olah lupa daratan. Mereka mengambil nikmat Allah tetapi lupa untuk bersyukur kepada-Nya. Ramai yang tidak bersolat dan engkar akan suruhan-Nya, bahkan tidak sedikit yang melakukan perkara-perkara yang menjadi tegahan-Nya. 

Tetapi dengan sifat Rahman-Nya yang luas, Dia tetap memberikan kurniaan-Nya kepada semua makhluk sama ada taat atau tidak. 

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Allah mengulangi ayat di atas sebanyak 31 kali di dalam surah Ar-Rahman, sebagai amaran dan ingatan serta muhasabah diri, supaya kita menilai semula sejauh mana kesyukuran kita terhadap nikmat-Nya. 

Ingatlah, saban masa dan ketika kita berhajat kepada Allah. Oleh itu, perbanyakkanlah berterima kasih kepada-Nya, iaitu dengan sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya. Tinggalkan perkara-perkara maksiat. Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan yang sentiasa bersyukur. Wallahu a`lam.