Sahabat Sejati

Tuesday 30 May 2017

Berdoalah, jangan siakannya!

foto hiasan ~ sumber

Dua petang berturut-turut hujan turun menyirak di tempat saya. Bermula sekira-kira hampir jam 5.30 petang, membawa ke santak maghrib. Tetapi bukanlah hujan lebat melainkan renyai-renyai sahaja. Alhamdulillah, sejuk serasa suasana alam. Detak-detak menerpa atap menemani kami berbuka. Hujan rahmat di bulan barakah.

Ketika berbuka puasa merupakan waktu doa mustajab untuk orang yang berpuasa. Kita digalakkan memperbanyakkan berdoa  pada waktu itu. Sesungguhnya doa berbuka merupakan saat-saat yang dikabulkan. Ini kerana ia merupakan akhir ibadah dan manusia biasanya jiwanya lemah ketika berbuka. Jika manusia dalam keadaan jiwa yang lemah dan hati yang lembut, maka biasanya hatinya lebih dekat kepada taubat dan tunduk kepada Allah. 

Namun, persoalannya bilakah waktu tersebut. Apakah ia sebelum berbuka, atau ketika berbuka, atau selepas berbuka puasa?

Shaikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin Rahimahullahu Ta`ala apabila ditanya mengenai persoalan ini, beliau menyatakan, doa pada saat itu ialah sebelum berbuka puasa, ketika terbenamnya matahari. Ini kerana pada waktu tersebut berkumpul padanya kesempitan jiwa (kerana lapar), sifat tunduk merendah diri, dan si pelakunya pula dalam keadaan berpuasa ketika itu. Semua ini merupakan sebab-sebab terkabulnya doa. Adapun selepas berbuka, diri seseorang telah mula berehat dan gembira, dan seringkali pada saat itu diri dalam keadaan lalai.

Terdapat doa-doa daripada Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh para sahabat. Yang jelas jika kita  berdoa dengannya atau pun berdoa dengan doa yang lain yang terbetik di dalam hati ketika berbuka puasa, insya-Allah akan dikabulkan. Lantaran itu, jangan lepaskan peluang untuk berdoa dan berdoa. Sebulan masa yang Allah SWT peruntukkan untuk kita, maka rebutlah ia!

Sunday 28 May 2017

Salam Ramadhan al-Mubarak 1438H


Ramadhan hadir membuka pintu seluasnya. Penghulu segala bulan dan sebaik-baik bulan di sisi Allah SWT. Tetamu istimewa ini dinanti dan disambut dengan penuh kegembiraan oleh para pencinta ibadat.

Sabda Rasulullah saw: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala (daripada Allah SWT), nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang lalu." (Sahih al-Bukhari (II/228) Kitab As-Soum)
  
Alhmadulillah, tiada sebaik-baik tempat mengadu rasa syukur melainkan kepada Allah SWT, kerana masih terpilih sebagai hamba-Nya yang mendapat nikmat Ramadhan pada tahun ini. Ada manusia yang tidak sempat dan tidak mengetahui bahawa Ramadhan tahun lalu adalah Ramadhan yang terakhir buat mereka. Tanpa mereka sedari ajal terlebih dahulu menjemput mereka. 

Ada pula manusia yang diberi peluang memasuki bulan Ramadhan tetapi mensia-siakan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka beranggapan bulan yang istimewa ini sama sebagaimana bulan-bulan yang lain. Akhirnya setiap detik dan waktu yang ada, dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat. Alangkah ruginya!  

Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini mampu menimbulkan keinsafan dan sifat kehambaan kepada Allah SWT. Dan yang paling utama memperolehi natijah daripada ibadat puasa ini iaitu melahirkan ketaqwaan dan keimanan yang berterusan.

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak 1438H kepada semua sahabat khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan. Moga Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik buat kita! 

akhukum fillah, 
abuikhwan, Kuantan Pahang

Friday 26 May 2017

Rehat Minda: Pesan Murabbi 98

Salam Jumaat.


"Umur ialah anugerah Allah SWT kepada kita. Ia hanyalah merupakan bekas yang boleh diisi samada dengan pahala atau dosa. Orang yang beriman akan sangat bimbang mengisi bekas umur ini dengan dosa kerana takut kesannya pada hidup.

Sebagaimana orang kita kalau ingin meracun lalang. Dibancuh racun di dalam baldi. Baldi itu sebelum diguna semula untuk tujuan lain akan dibasuh sebersih-bersihnya. Kerana bimbang kesan buruk racun jika tidak dibersihkan.

Maka sebagaimana kita basuh baldi yang berisi racun bimbang kesan buruknya, demikian bekas umur kita wajib dibasuh dengan amalan soleh jika pernah diisi dengan dosa..."

~Almarhum Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat~

Wednesday 24 May 2017

Pertolongan-Nya sentiasa ada menurut kehendak-Nya

Ketika sedang belajar dahulu saya pernah mengikuti satu kem motivasi yang dianjurkan oleh satu badan dakwah yang bernama Ar-Rayyan Leadership. Dalam kem itu berbagai-bagai aktiviti diadakan, termasuk permainan, kuliah, pertandingan. Kesemua aktiviti yang diadakan itu mempunyai mesej disebaliknya, yang kemudiannya dikupas dengan cukup menarik oleh para fasilitator. 

Dalam kem itu juga Allah SWT telah mengizinkan saya mendengar satu kuliah yang amat menarik. Kuliahnya menceritakan tentang pertolongan Allah SWT kepada hamba-Nya. Semuanya membuatkan saya banyak berfikir mengenai kasih sayang Allah SWT. 

Begini kisahnya. 

Di dalam sebuah kampung tinggallah seorang tua yang bernama Pak Majid. Dia sangat rajin beribadat dan suka membantu penduduk kampung. Sikapnya yang ringan tulang menyebabkan dia disenangi oleh penduduk kampung. 

Pada suatu hari hujan turun dengan lebatnya. Keadaan kampung itu yang agak rendah menyebabkan air mula naik. Melihat keadaan itu, Pak Majid pun berdoa kepada Tuhan, "Ya Allah, hamba memohon pertolongan-Mu. Selamatkanlah hamba dari banjir ini." Hujan masih lagi turun dengan lebatnya. 

Tidak lama kemudian, beberapa orang jirannya datang mengajak berpindah kerana khuatir air akan naik lagi. Namun, Pak Majid menolak ajakan tersebut lalu berkata, "pergilah kamu semua. Sesungguhnya saya sedang menunggu pertolongan dari Allah." Jiran-jirannya segera meninggalkannya. 

Hujan masih lagi turun dan bertambah lebat, air mula naik separas pinggang. Pak Majid tetap dengan pendiriannya bahawa Allah akan datang menolongnya. Tidak lama kemudian datang pula ketua kampung bersama beberapa orang penduduk menyuruh meninggalkan rumahnya. Tetapi Pak Majid menjawab, "saya yakin Allah akan menolong saya." Mereka pun meninggalkan rumah Pak Majid setelah gagal memujuknya untuk meninggalkan rumah. 

Tidak lama berselang, datang pula bot penyelamat untuk membantunya berpindah dari tempat tersebut, kerana air telah pun mencecah paras leher. Pak Majid masih teguh dengan pendiriannya bahawa Allah pasti membantu. Dia berdoa, "Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Hanya Engkaulah yang dapat menolong kerana Engkau adalah sebaik-baik penolong." Bot peyelamat pun meninggalkan Pak Majid setelah gagal memujuknya untuk berpindah. 

Air semakin tinggi, memaksa Pak Majid naik ke atas bumbung. Tidak lama kemudian sebuah helikopter datang untuk menyelamatkannya. Apa yang berlaku? Pak Majid tetap berkeras menyatakan mahu menunggu pertolongan Allah dan Allah tidak akan mempersia-siakan hamba-Nya. "Aku seorang yang taat beribadat, takkanlah Allah akan membiarkan aku," kata hati kecilnya. 

Tiba-tiba bumbung tempatnya berpijak runtuh, lalu Pak Majid jatuh dan mati lemas di dalam banjir itu. 

Ceritanya belum tamat. 

Setelah itu Pak Majid pun bertemu dengan Allah di hari pengadilan. Beliau segera membantah, "Wahai Tuhan, Kamu tidak adil, saya seorang yang kuat beribadat dan saya telah berdoa kepada-Mu ketika banjir datang melanda tetapi Kamu tidak mempedulikan permohonan doa dari saya!" 

Lantas Tuhan pun menjawab, "Wahai hamba-Ku! Ketika air masih di paras kaki Aku telah menghantar jiran-jiranmu mengajak berpindah, tetapi engkau menolaknya. Aku juga menghantar penduduk kampung mengajak kamu berpindah, kamu juga menolak. Ketika air di paras leher Aku datang kepada kamu melalui pasukan penyelamat, namun kau masih berdegil menolak bantuan itu.

Saat kamu berdoa lagi, Aku hantar pula helikopter untuk menyelamatkan kamu di atas bumbung, tetapi kamu masih lagi menghindari bantuan-Ku. Maka salahkan dirimu sendiri dengan apa yang berlaku ke atasmu." 

Pengajaran 

Cerita ini hanyalah rekaan semata, tetapi ibrah dan pengajarannya tetap ada.

Allah tidak pernah memalingkan wajah-Nya daripada kita, bahkan Allah sentiasa bersama dengan hamba yang bergantung harap kepada-Nya. Sememangnya kita disuruh berdoa dan meminta pertolongan kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT: 

"Sekiranya hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Aku, sesungguhnya Aku amat dekat." (al-Baqarah: 186) 

"Berdoalah kepada-Ku maka Aku akan perkenankan." (al-Mukmin: 60) 

Tetapi harus kita ingat, jangan diertikan bahawa pertolongan Allah itu selalu datang dalam bentuk yang sesuai dengan keinginan kita. Mungkin juga Allah memberi pertolongan tidak dalam bentuk yang kita ingini, bahkan sebaliknya. Tapi pastikan, itu adalah awal daripada sesuatu yang baik. 

Kesimpulannya, Allah menjadikan pertolongan-Nya kepada orang beriman hanya bila ada usaha daripada diri mereka sendiri. Allah tidak memberi pertolongan-Nya sebagai sesuatu yang dijatuhkan begitu saja dari langit. 

Tidak begitu...

Tuesday 16 May 2017

Kian terasa lambaiannya...


Ramadhan kian melambai. Tidak sampai 2 minggu lagi kita akan mengetuk pintu bulan yang penuh barakah ini. Pasti ramai yang tidak sabar-sabar untuk memasukinya. Hari yang masih berbaki ini bukanlah suatu jangkamasa yang lama. Hari berganti, pejam dan celik, Ramadhan pun bertamu.

Namun, ada jua kebimbangan yang tersayat. Manalah tahu, saat mata dipejam, kita tidak mampu untuk mencelikkan lagi. Mengapa? Kerana ajal terlebih dahulu menjemput ke alam abadi. Tidak sempat kita memasuki Ramadhan yang sudah diambang mata. Sebagaimana sahabat-sahabat kita yang telah dijemput Tuhan sebelum Ramadhan ini, tanpa mengetahui Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir bagi mereka.

Disamping kita berdoa agar sempat dipertemukan dengan Ramadhan, mohonlah juga agar dapat menghabiskan Ramadhan sehingga ke penghujungnya. Begitu juga doa dan harapan agar Allah SWT sentiasa memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah dengan sebanyaknya dalam bulan ini. Dan tatkala keluar sahaja dari Ramadhan, dosa dan kesalahan kita diampunkan tanpa bersisa. Seterusnya mentransformasikan Ramadhan hingga ke darjat taqwa. Demikianlah harapan yang dipanjatkan saban tahun.   

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan puasa ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu. Agar (dengan puasa itu) kamu menjadi insan yang bertaqwa." (al-Baqarah: 185)

Bulan Ramadhan (puasa) kita dan masyarakat berubah kepada mencintai Islam dan amalannya. Lihatlah! Solat 5 waktu lebih terjaga (yang tidak solat mudah untuk bersolat), solat-solat sunat mudah sahaja disempurnakan. Membaca al-Quran menjadi amalan, mendengar tazkirah menjadi budaya yang menyegarkan, masjid dan surau diimarahkan, budaya hidup berjiran diamalkan. Manakala perkara dosa dan lagha seperti mengumpat, berkata sia-sia, mencela dan sebagainya dijauhi. Semua itu tentu tersangat sukar di bulan lain tetapi menjadi mudah di bulan Ramadhan. Inilah berkatnya Ramadhan!     
 
Dalam pada itu, saya mengambil kesempatan masa yang masih berbaki ini untuk mengulangkaji bab yang berkaitan dengan puasa. Mana syarat, wajib, makruh dan juga perkara-perkara yang membatalkan. Termasuk juga bab fidyah, kafarah dan sebagainya. Bukannya apa, sebagai persedian untuk memasuki bulan besar ini, biarlah pengetahuan kita mengenainya di tahap yang optimum. Walaupun setiap tahun menyambut Ramadhan, mungkin ada juga beberapa perkara yang kita terlupa atau terlepas pandang mengenainya. Dan bagi saya, biasanya ada pertanyaan-pertanyaan daripada rakan-rakan sekerja yang menghadapi kemusykilan dalam bab puasa.

Seringkali saya beranalogi, seumpama kita memiliki motokar, sedangkan dalam waktu yang sama kita tidak memiliki lesen memandu serta kemahiran mengendalikannya. Tidakkah ia merugikan, kerana tidak dapat memanfaatkannya? Seperti juga Ramadhan, dengan memiliki pengetahuan berkaitan dengannya, maka dapatlah kita memanfaatkan dengan semaksimum mungkin dalam meraih ganjaran pahala yang dijanjikan.

Selamat Hari Guru 2017


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut,  merangsangkan
anusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.
Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID, 2 APRIL 1988

Saturday 13 May 2017

Selamat hari ulangtahun kelahiran anakanda Ikhwan


Selamat hari ulangtahun kelahiran buat anakanda Ikhwan pada hari ini 13 Mei 2017, yang ketika ini sedang bergulat di dalam medan tempur menuntut ilmu di bumi Mesir.

Tiadalah perkataan yang lahir daripada lubuk hati seorang bapa melainkan panjatan doa agar Allah SWT sentiasa memelihara dirimu di dalam rahmat dan redha-Nya. Amiinn.  


Thursday 11 May 2017

Menikmati gurindam 'Munajat Seorang Hamba'

Syahdu, menggentarkan perasaan...

Terasa diri bagaikan lebur dalam keindahan bait-bait kata yang tersusun. Dialun bersama melodi menjadi gurindam. Gemersik suara menyentuh lubuk hati.

Titis-titis jernih bergenang, antara keinsafan, keasyikkan dan kenangan lalu. Atau mungkin jua kerana dosa-dosa semalam. ..

Kerdilnya diri hamba tatkala memohon belas ihsan, disebalik keagungan dan kebesaran Tuhan. Tenggelam timbul sifat kehambaan, moga terenjis jua sekelumit rahmat dan keampunan-Nya.

Gambaran kehambaan diungkap dengan penuh kerendahan. Munajat seorang hamba kepada `Kekasih` yang abadi. Rintihan kerinduan, keampunan dipohonkan, harapan didambakan. Moga-moga lahir kecintaan. 

Ya, moga lahir kecintaan... kerana cinta Mu Tuhan tidak mengecewakan.

##sedang menikmati gurindam 'Munajat Seorang Hamba' oleh Rabbani. Al-Fatihah buat Allahyarham Ust Asri Ibrahim, moga dilimpahi rahmat dan keampunan-Nya.

Wednesday 10 May 2017

Apakah hikmahnya?

Wisma MUIP. Salah satu penempatan pelajar-pelajar Pahang, Anakanda Ikhwan tinggal di tingkat 5 (foto hiasan)

“Abi, IC abi ada pada along!” Bunyi whatsapp daripada anakanda Ikhwan jauh di bumi Kaherah.

Tergamam seketika. Cuba untuk bertenang, seraya memeriksa dompet yang berada di atas rak. Benar, kad pengenalan saya tiada di dalamnya. Saya cuba mengingat-ingat bagaimana perkara ini boleh berlaku. Oh, rupa-rupanya along Ikhwan telah meminjam kad pengenalan saya untuk difotostat sehari sebelum dia ke Mesir, dan dia terlupa untuk memulangkannya kembali. 

Malahan saya turut sama terlupa untuk meminta semula. Sehinggalah 10 hari berlalu tatkala along Ikhwan memaklumkan mengenainya. 10 hari kad pengenalan saya telah berada di bumi Mesir, ini juga bermakna 10 hari juga saya ke mana-mana tanpa kad pengenalan. 

Saya menarik nafas dalam-dalam, memaksa diri menerima kenyataan yang berlaku dengan dada yang lapang. Pahit atau manis, semuanya perlu ditelan. Bukan sesuatu yang mudah. Bayangkan kad pengenalan berada nun jauh beribu-ribu kilometer di seberang laut. Takkanlah saya mahu membuat kad pengenalan yang baru dengan alasan ‘anak terbawa ke Mesir’. Entah percaya atau tidak pegawai JPN dengan alasan tersebut. Lucu sangat bunyinya. 

Dalam keadaan ini, ketenangan adalah pokok utama. Ya, bertenang. Cuba untuk mempraktikkan apa yang biasa saya coretkan. Menulis cukup mudah. Tidak sama dengan mengharungi atau mengalami sendiri kenyataan yang berlaku. Contohnya, ramai yang berupaya menulis perihal sabar saat menghadapi ujian, tetapi tidak ramai yang mampu bersabar apabila ditimpa ujian. (peringatan buat diri saya yang naif ini). 

Teringat sabda Rasulullah saw yang sangat baik untuk dijadikan paduan.

Dari Anas ra. katanya: “Nabi saw berjalan melalui seorang wanita yang sedang menangis diatas kubur. Baginda bersabda: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah! Wanita itu berkata: “Ah jauhlah daripada aku, kerana tuan tidak terkena musibah sebagaimana yang mengenai diriku dan tuan tidak mengetahui apa musibah itu.” Wanita itu diberitahu oleh sahabat beliau, bahawa yang menegur tadi adalah Nabi saw. Lalu dia datang kerumah Nabi saw, tetapi dia tidak dapati dimuka pintunya penjaga pintu. Wanita itu berkata: “Saya memang tidak mengenali tuan, maafkanlah saya atas kekasaran tutur bahasa saya tadi.” Kemudian Nabi saw bersabda; “Hanya sabar yang terpuji itu ialah dikala kedatangan musibah yang pertama.” (Muttafaq alaih). Dalam riwayat Muslim disebut: “Wanita itu menangis kerana anak kecilnya yang meninggal dunia”. 

Demikianlah pentingnya sifat sabar apabila ditimpa ujian. 

“Habis tu macamana?” Saya membalas. Sengaja saya menempelkan emoticon ‘gelak ketawa’ supaya nampak lucu. Tidak mahu menerbitkan rasa bersalah di dalam dirinya yang boleh menyebabkannya tertekan. 

“Nanti along bagi pada Ustaz Lebai, dia nak balik Malaysia hari ini.” Ujar anak saya semula. Ustaz Lebai yang dimaksudkan ialah salah seorang pegawai JAIP yang ditugaskan untuk mengiringi pelajar-pelajar Pahang ke Mesir. Setelah semua urusan berkaitan selesai, dia akan pulang semula ke Malaysia. 

“Allah!” Saya mengurut dada. Syukur alhamdulillah, mujurlah along Ikhwan tersedar kad pengenalan saya ada padanya sebelum rombongan tersebut balik ke Malaysia. Maknanya ada peluang untuk saya mendapatkan semula kad pengenalan tersebut. Kalau tidak, hmm... entahlah.

Hikmah yang tersembunyi 

Setelah menamatkan siri perbualan, saya membatu di sofa. Merenung dan berfikir sejenak. Apakah hikmah disebalik semua yang berlaku. Saya mengerti dan sentiasa tidak lupa bahawa apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sudah pasti ia adalah kebaikan, biarpun dimata kita ia ternampak tidak menyenangkan. 

Mustahil (nad`uzubillah) Tuhan mahu menzalimi hamba-hamba-Nya. Sedangkan Dia memperkenalkan dirinya dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Pengasih, sepertimana yang sentiasa kita lafazkan di dalam kalimah Basmalah. Bait-bait mutiara ini saya ratib berkali-kali untuk meredakan perasaan agar tidak berkocak di dalam dada. 

Firman Allah SWT: 
“....dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah: 216) 

Sejujurnya saya tidak mampu untuk menafsirkan apakah hikmah disebalik apa yang berlaku ini. Ya, akal saya tidak mampu. Batin berkata, tunggu dan lihat sahaja bagaimana akhirnya nanti. 

Ke Kulliah Sultan Abu Bakar 

Cuaca yang baik pada pagi Sabtu, mengiringi perjalanan saya ke Kulliah SAB, di Pekan. Hari ini saya menerima jemputan oleh pihak Kulliah SAB ke majlis Konvo STAM. Saya bersama ibu bapa yang lain hadir untuk menerima sijil bagi pihak anak masing-masing yang berada di Mesir.(baca di sini) 

Hampir tamat majlis tersebut, saya menghubungi Ustaz Lebai untuk bertanyakan perihal kad pengenalan yang dikirimkan oleh anakanda saya Ikhwan tempohari. 

“Tamat majlis nanti, anta datang ke rumah ana di dalam kawasan Kulliah juga. Rumah warden dekat dewan makan muslimat. Ana tunggu di luar.” Jawab Ustaz Lebai. 

Allahu rabbi, tidak sangka pula rumah beliau di dalam kawasan Kulliah. Saya ingatkan di mana-mana (bukan di dalam kawasan Kulliah), maksud saya mungkin di daerah lain. Alhamdulillah, mudahnya aturan Tuhan. 

Saya menapak ke rumah Ustaz Lebai. Tidak jauh mana dari dewan Sultan Ahmad Shah yang menjadi lokasi penyampaian sijil STAM. Setibanya di sana, kelihatan beliau sudah pun menunggu di bawah garaj sambil menyuakan senyuman dan menyambut dengan salam mesra. Setelah berborak-borak santai, dia pun menghulurkan kad pengenalan saya sambil berseloroh, “10 hari IC ni tinggal di Mesir. Puas dah makan angin tu..” 

“Ha..ha..ha..” kami sama-sama ketawa. Terpancar jelas pautan ukhuwwah yang terjalin hasil daripada insiden IC ini. 

Setelah beberapa ketika saya pun meminta diri kerana keluarga sedang menunggu di dalam kereta. Kasihan pula mereka lama menunggu. 

“Tunggu sekejap ye, jangan balik lagi. Ada sesuatu nak bagi.” Ujarnya sambil masuk ke dalam rumah. 

Selang beberapa minit beliau keluar dengan bungkusan di tangan. 

“Ini ada ole-ole dari Mesir.” Katanya sambil menyuakan bungkusan kepada saya. “Ada Arabic Gum, Liban az-Zakur, semuanya ori dari Mesir. Dan sedikit barang-barang lain.” Sambungnya lagi. 

Menurut Ustaz Lebai, Arabic Gum dan Liban az-Zakur mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Dato’ Pengarah MUIP pun mengamalkan memakannya, memang ada perubahan yang ketara. 

“Terima kasih ustaz, susah-susah pula. Dah la tolong bawa balik IC dapat buah tangan pula...”  Saya cuba berbahasa setelah menerima budi.

Setiba di rumah, saya menghantar whatsapp kepada along Ikhwan. “IC dah dapat, buah tangan dari Mesir pun dapat...” 

“Alhamdulillah..” balasnya kembali. 

Tapi saya masih tertanya-tanya, apakah hikmahnya?

Friday 5 May 2017

Akhirnya ketemu jua!


Kunjungan ke daerah Pekan kali ini agak bermakna. Selain memenuhi jemputan ke Kulliah Sultan Abu Bakar untuk menerima sijil STAM bagi pihak anakanda Ikhwan, ada sesuatu yang menjadi kemuncaknya. 

Usai sahaja acara penyampaian sijil, tanpa sempat menunggu jamuan makan, saya ‘melarikan’ keluarga ke destinasi yang biasa saya singgah tatkala bermusafir ke daerah Pekan. Tidak lain, lokasinya di seberang jalan berhadapan Masjid Sultan Ahmad atau juga dikenali dengan Masjid Kubah 10. Di situlah letaknya beberapa kanopi yang menjual berbagai aneka kuih-muih dan minuman segar. Melihat lambakan kuih-muih yang tersusun, naik rambang mata dibuatnya. Macam-macam ada, semuanya nampak menyelerakan sehingga tidak tahu apa yang mahu dicapai! 

Namun keterujaan saya hari ini agak lebih kerana ‘terserempak’ dengan sejenis kuihtradisi yang telah lama saya idam untuk mencicipnya. Tak sangka pula akhirnya ketemu jua. Juadah yang saya maksudkan ialah lemang periuk kera. Teringat di dalam siri animasi ‘Upin dan Ipin’, apabila Kak Ros meminta adik-adiknya mencari periuk kera untuk dibikin lemang sebagai santapan berbuka puasa. 


Lama sungguh saya mencarinya. Sejujurnya, sebelum ini saya tidak pernah melihat di depan mata apatah lagi memakannya. Hanya sekadar melihat gambar dan membaca di dalam internet. Sukar nak mendapatkannya malahan belum terdengar lagi dimana ia ada dijual. Taqdir Tuhan, hmm, hari ini ia sudah di depan mata. Apalagi, tidak perlu menunggu lama, terus membelinya sebelum ia diambil orang lain. 

Sedap! Itulah yang dapat saya simpulkan. Cukup lemak santannya, diganding pula dengan rendang daging yang lembut. Memang menyelerakan. Cuma saiznya kecil sedikit. Kalau saiznya sama dengan lemang biasa, kan ke bagus! Sambil makan, membiarkan tubuh dihembus angin segar dari terusan berhampiran yang mengalir menuju ke Sungai Pahang. Wah, menjadikan suasana sangat mendamaikan. 

Terima kasih kepada kakak yang menjual lemang periuk kera di gerai hadapan Masjid Kubah 10 itu. Tercapai jua hajat saya untuk merasai keenakannya. Insya-Allah, nanti datang lagi!

Wednesday 3 May 2017

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (16)

sumber foto ~ FB

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (28)

Sambungan daripada : Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (27) di bawah tajuk besar (PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI)

Foto hiasan: Kaabah di zaman arab jahiliah ~ sumber

Keperibadian Menakjubkan Sebelum Kenabian

Sepanjang meningkat dewasa, Nabi Muhammad telah menghimpunkan sifat yang paling baik yang pernah ada pada seluruh generasi manusia. Baginda menampilkan sebuah model luhur dalam berfikir dan menganalisis keadaan secara tepat. Baginda dikagumi manusia lantaran kecerdasannya, pemikirannya yang asli dan sifat istiqamah baginda menempuh pelbagai ujian yang sesuai dengan fitrah.

Berkat kesabaran, baginda mengambil sikap berdiam diri untuk waktu yang lama, baginda sanggup berfikir panjang sehingga sibuk dengan kegiatan berfikir itu dan tidak kenal letih menggali kebenaran. Berbekalkan akalnya yang pintar dan fitrah dirinya yang bersih, baginda menelaah lembaran demi lembaran fenomena hidup, perilaku dan karekter manusia dalam pelbagai situasi di tengah-tengah masyarakat.

Hingga akhirnya baginda muak menyaksikan segala bentuk khurafat yang mencemari kehidupan manusia sehingga baginda sentiasa berusaha untuk menjauhinya. Baginda hidup di tengah-tengah manusia dengan menjaga kemaslahatan dirinya. Jika ada kebaikan yang boleh diperolehi, maka baginda akan ikut serta dalamnya. Jika tidak ada, maka baginda lebih suka menyendiri.

Baginda tidak minum arak, tidak makan daging sembelihan yang dikorbankan untuk berhala serta tidak pernah menghadiri amalan dan perayaan untuk berhala. Bahkan, semenjak kecil baginda selalu menjauhkan diri daripada berhala-berhala batil itu sehinggalah tidak ada hal yang lebih baginda benci selain berhala-berhala itu. Baginda marah setiap kali mendengar orang bersumpah atas nama Latta dan Uzza.(1)

Tidak diragukan bahawa Allah melindungi baginda dengan penjagaan-Nya. Ketika kecenderungan jiwa baginda tergerak untuk menikmati sedikit sahaja kesenangan duniawi atau redha untuk mengikuti tradisi yang tidak terpuji, perlindungan Allah terus turun untuk menjadi penghalang antara baginda dengan keburukan-keburukan tersebut.

Ibnu Atsir meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: "Tidak pernah aku berkeinginan untuk melakukan keburukan yang sering dilakukan oleh kaum jahiliah, kecuali dua kali. Pada kedua-dua kali itu Allah menjadikan penghalang antara diriku dengan keburukan tersebut sehingga aku (tidak jadi melakukannya dan) tidak lagi berkeinginan untuk melakukannya hingga Allah memuliakanku dengan risalah-Nya."

"Suatu malam aku berkata pada seorang remaja yang sedang menggembala kambing bersamaku di atas bukit di pinggir kota Mekah, "Bagaimana kalau malam ini kau menjaga kambingku? Aku mahu masuk ke kota Mekah menikmati suasana malamnya seperti yang sering dilakukan oleh pemuda-pemuda di sana." Temanku itu menjawab, "Ya, aku akan melakukannya."

"Maka aku segera bergerak. Tatkala sampai di rumah pertama di kota Mekah, aku mendengar muzik. Aku bertanya pada orang ramai, "Apa yang berlaku sekarang ini?" Mereka menjawab, "Pesta penikahan polan dengan si polan."

"Aku pun cuba duduk untuk menikmatinya. Namun begitu, Allah menutup telingaku dan membuatku tertidur."

"Ketika aku bangun, rupa-rupanya hari telah siang. Aku pulang menemui temanku tadi . Dia bertanya kepadaku bagaimana suasana semalam, maka kuceritakan saja apa yang kualami padanya."

Pada malam yang lain, aku cuba melakukan hal yang sama. Aku berkata kepada temanku seperti yang kukatakan sebelum itu. Aku masuk ke kota Mekah dan mengalami kejadian yang sama seperti malam sebelum itu. Sejak itu, aku tidak pernah berkeinginan untuk melakukan keburukan."(2)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah yang menyatakan, "Ketika Kaabah dibangunkan semula, Nabi Muhammad dan Abbas bekerja memindahkan batu. Abbas berkata kepada baginda, "Angkatlah hujung bawah pakaianmu hingga ke atas lutut. Ini akan mengelakkan batu daripada melukaimu." Disebabkan itu, baginda jatuh tersembam ke tanah. Kedua-dua mata baginda terbeliak tajam ke langit. Beberapa saat kemudian baginda sedar dan berkata dengan penuh sesal, "Ini terjadi kerana pakaian bawah tadi." Lantas baginda melabuhkan kembali pakaian bawahnya, lalu mengemaskan kedudukannya."(3)

Dalam riwayat lain disebutkan, "Sejak itu, aurat baginda tidak pernah kelihatan walaupun sekali."(4)

Nabi Muhammad menjadi manusia istimewa dalam kaumnya lantaran perilaku baginda yang menyenangkan, akhlak yang baik dan keperibadian yang mulia. Baginda ialah seorang yang paling unggul daripada kalangan kaumnya dalam hal kewibawaan, paling indah perilakunya, paling terhormat cara hidup berjirannya, paling menonjol lemah-lembutnya, paling jujur perkataannya, paling terjaga jiwanya, paling unggul kebaikannya, paling baik amalnya, paling menepati janji dan paling istiqamah dalam menjalankan amanah.

Kaumnya menggelarkan baginda dengan gelaran al-Amin (yang dipercayai) lantaran dalam diri baginda terhimpun seluruh bentuk kesolehan dan ciri-ciri yang mengundang keredhaan Allah. Sebahagian kesolehan baginda disebutkan oleh Ummul Mukminin Khadijah, "Baginda memikul sendiri semua bebannya, memberi kepada yang tidak berpunya, menjamu tetamu dengan baik dan menolong sesiapa yang berusaha menegakkan kebenaran."(5)

Rujukan:

(1) Hal itu jelas daripada perbincangan baginda dengan Buhaira. Lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 128 

(2) Ulama berbeza pendapat tentang kesahihan hadis ini. Hakim dan Dzahaby mensahihkannya sedangkan Ibnu Katsir mendhaifkannya dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. II, hal. 287

(3) Sahih al-Bukhari, bab tentang pembangunan Kaabah, jil. I, hal. 540

(4) Sahih al-Bukhari, bab tentang pembangunan Kaabah, jil. I, hal. 540, dengan syarah daripada Ibnu Hajar al-Asqalani

(5) Sahih al-Bukhari, jil. I, hal. 3

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Monday 1 May 2017

Mungkin kunjungan terakhir ke Kulliah Sultan Abu Bakar Pekan


Pagi Sabtu, kami sekeluarga meredah kedinginan pagi menelusuri jalan Kuantan – Pekan yang menyenangkan. Memandangkan hari ini adalah hari Sabtu, maka jalan agak lenggang. Jika hari biasa bukan begini pemandangannya. Jalan raya sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu mahu ke tempat kerja.

Hari ini sekali lagi kami ke Kulliah Abu Bakar di daerah Pekan. Hari ini merupakan hari bersejarah, hari graduasi bagi pelajar-pelajar STAM tahun 2016. Saya pula, termasuk ibu bapa yang lain dijemput untuk mewakili anak masing-masing yang berada di bumi Mesir. Tetapi tidak semua ibu bapa yang dapat hadir, terutama yang tinggal sejauh di daerah Jerantut, Bentong dan sebagainya.

Jika diikutkan pada hari lain pun boleh juga ambil sijil tersebut di pejabat Kulliah Sultan Abu Bakar, selain daripada hari graduasi hari ini. Namun demikian, memandangkan saya tidak mempunyai apa-apa komitmen pada hari ini, maka saya memutuskan untuk menghadirkan diri. Senang, datang  dan naik ke pentas menerimanya apabila nama dipanggil. Terfikir juga, sekiranya mahu diambil pada hari lain yang sudah semestinya hari biasa pada waktu pejabat, kemudian kena pula berjumpa dengan orang yang menguruskannya. Rumit sekali!

Dipendekkan cerita, naiklah kami seorang demi seorang ke atas pentas setelah nama anak-anak dipanggil. Bersalam dengan perasmi dan bergaya di depan lensa kamera yang memetikkan cahaya flash. Ah, persis kami pula yang benar-benar menerimanya. Sedangkan hakikatnya hanyalah pengganti tubuh badan anak-anak yang berada di perantauan. 

Secara peribadi saya beranggapan ini adalah kunjungan terakhir ke Kulliah Abu Bakar. Mengapa? Seingat saya selepas ini tidak ada apa-apa lagi urusan yang memerlukan saya hadir ke sini. Sebelum ini ada anak sulung belajar di sini, jadi memang selalu saya datang atas urusan pengajiannya. Yalah, takkan mahu datang dengan tanpa ada tujuan. Wallahu ta`ala a`lam bissawab.

Seloroh saya kepada ibu bapa sebelum kami berpisah pulang, “Mujur tak kena pakai jubah konvo, kalau tidak jadilah kita semua pelajar STAM tua bangka...”

“Ha..ha..ha..” Berderai ketawa.