Sahabat Sejati

Tuesday, 30 November 2010

Bicara sang ombak

Aku bertanya pada sang ombak,
Tidakkah jemu menghempas pantai,
Tidak kulihat dirimu berehat seketika,
Ku tunggu-tunggu jawapan sang ombak,
Bagai terngiang di telinga menyapa,
Deburanku ini zikir kepada-Nya.

Termanggu aku seketika,
Di redup petang hening nan damai,
Ku biarkan bayu lembut menerjah di pipi,
Ku biarkan deburanmu membingitkan telinga,
Kerna ku mengerti zikirmu pada-Nya.

Menyisihlah seketika dari kesibukan dunia,
Berehatlah sebentar dari kekalutan jiwa,
Cubalah mengerti bahasa sang ombak,
Wahai empunya diri dan pemilik mata hati,
Moga ianya menjadi setitis penawar,
Pengubat resah penghilang duka.

Tatkala azan berkumandang di senja sepi
Aku merenung menembusi diri,
Bersama langkah kuhayunkan kaki,
Meninggalkan pantai yang tak bertepi,
Aku bertanya mampukah bibirku jua berzikir,
Seperti ombak yang tidak jemu itu.

Sang kembara pun melangkah pulang,
Bersama secangkir hikmah dan pengajaran,
Moga esok masih ada senyuman,
Kerna aku ingin menyapa lagi sang ombak
Dan ku lihat ombak itu masih menghempas pantai...

abuikhwan
Kuantan, Pahang
29 November 2010
10:30 malam

Monday, 29 November 2010

Bagaimana nasib ibu bapa Nabi di akhirat nanti?

Soalan:

Ibu dan bapa kandung Nabi Muhammad saw iaitu Aminah dan Abdullah meninggal dunia sebelum baginda diangkat menjadi Rasul. Ini bermakna mereka berdua tidak sempat menerima dakwah dan tidak sempat bersyahadah. Ke mana mereka akhirnya nanti, syurga atau neraka atau bagaimana? Mohon penjelasan Dato`.

Jawapan:

Muhammad saw adalah insan terpilih. Dinobatkan sebagai Rasul akhir zaman dan diutuskan kepada sekelian manusia dan jin.

Kerasulannya kekal hingga ke hari kiamat. Ibu bapanya jelas tidak beriman dengannya kerana mereka meninggal dunia sebelum anak mereka dinobat sebagai Rasul. Benar kata anda. Yang penting bagi kita, kita beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.

Ibu bapa Muhammad saw jelas meninggal dunia sebelum sempat menganut ajaran Islam. Meskipun bapa Nabi bernama Abdullah (hamba Allah), tetapi belum beriman. Kita serahkan persoalan ini kepada Allah. Persoalan syurga neraka adalah hak Allah sepenuhnya.

Allah boleh dengan Iradah-Nya, untuk memasukkan orang yang kufur ke dalam syurga jika Dia mengkehendakinya, dan Dia boleh memasukkan seorang mukmin ke dalam neraka, jika Dia mengkehendakinya.

Namun Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya, walaupun kezaliman itu dengan pertimbangan sebesar zarrah.

Ada sahabat yang bertanya kepada Rasulullah saw, tentang ibu bapanya yang mati dalam keadaan kufur, bagaimana mereka di akhirat nanti. Nabi pernah menjelaskan kepada orang itu: "Bahawa ibu bapa kamu, sama dengan ibu bapa saya, mereka dalam neraka."

Namun demikian ada hadis lain yang diriwayatkan oleh para sahabat, bahawa Allah SWT memuliakan ibu bapa Nabi, dihidupkan seketika, bertemu dengan anaknya, mengucap syahadah serta beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, kemudian dimatikan semula.

Walaupun wujud pelbagai tafsiran mengenai status hadis ini, apa yang mustahak kepada kita, ialah kita serahkan kepada kebijaksanaan Allah SWT. Kerana, banyak pandangan mengenai ibu bapa Rasulullah saw, mereka adalah insan-insan yang hidup pada zaman tiada Nabi dan Rasul.

Insan yang hidup pada zaman tiada Nabi dan Rasul, zaman di antara dua Rasul yang berselang adalah seperti yang hidup wafatnya Nabi Adam as. dan sebelum dinobat Nabi Idris as. sebagai Rasul.

Zaman itu hilang pengajaran daripada Adam dan sebelum muncul wahyu untuk diimani, maka itulah orang yang dikatakan hidup di zaman fatrah (tiada Nabi dan Rasul).

Sama seperti orang yang hidup selepas Nabi Isa as. diangkat ke langit dengan kelahiran Nabi Muhammad saw. Mereka hidup di tengah-tengah.

Insan-insan pada zaman seperti ini, pada zahirnya semuanya mati kufur. Kemanakah mereka akhirnya?

Jika mereka itu hendak diazab Allah SWT kerana tidak beriman sedangkan tiada orang yang diutus untuk mengajak mereka beriman.

Dalam hal ini Allah SWT memberi petunjuk sebagaimana firman-Nya (mafhumnya): "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk, maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, sesiapa yang sesat, maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazab sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Israa`: 15).

Al-Qurtubhi dalam tafsirnya, ketika menjelaskan ayat ini, antara lain beliau menyebut: "Ayat ini memberikan pengertian tentang golongan manusia yang tidak sampai kepada mereka risalah Islam. Yang nyata mereka diistilahkan sebagai ahlul fataarat, yang diakui kewujudan mereka itu oleh sesetengah ulama`.

Ahlul fataarat adalah golongan yang diserahkan keadaan mereka kepada Allah SWT. Terpulang kepada keadilan Allah SWT untuk mengadili mereka.

Yang mudahnya kita dalam melihat, bahawa insan pada zaman fatrah, khususnya kedua-dua ibu bapa Nabi Muhammad saw adalah pilihan Allah.

Allah lebih mengetahui keadaan mereka. Kita serah sahaja urusan ini kepada Allah SWT dan kita tidak perlu bersusah payah memikirkan perihal mereka kerana mereka telah kembali ke rahmatullah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Haron Din
Harakah bil: 1592

Sunday, 28 November 2010

Carilah ilmu walau seribu kepayahan


Assalamualaikum warahmatullah,

Umum mengetahui tubuh badan amat memerlukan makanan untuk hidup, begitulah jiwa manusia yang juga memerlukan makanan. Sesungguhnya makanan bagi jiwa adalah ilmu pengetahuan yang dengannya ia akan hidup.

Seseorang yang jauh dari ilmu pengetahuan, maka jiwanya akan sakit dan jika ini berterusan lama-kelamaan ia akan mati. Apabila jiwa manusia telah mati, maka ia akan menjadi keras, gersang dan kering-kontang. Apabila cahaya yang menerangi jiwa terpadam, maka terbukalah pintu-pintu kejahatan ke dalam dirinya. Apalah yang boleh diharapkan pada jasad yang sebegini. Mati jiwa maka matilah jasad walaupun zahirnya tampak hidup bergerak ke sana ke mari.

Demikianlah apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka senanglah syaitan dan bala tenteranya menguasai empunya diri. Inilah yang paling ditakuti dan kita mohon perlindungan darinya.

Tuntutlah ilmu

Kita lihat sekarang peluang untuk menuntut ilmu amat mudah dan terbuka luas. Jika kita lihat di masjid dan musolla kini amat banyak majlis-majlis ilmu diadakan. Namun, apa yang kita lihat di sesetengah tempat sambutan amat menyedihkan. Sedangkan kita sekadar duduk mendengar dan tidak perlu mengeluarkan wang, tidak seperti kita menonton wayang atau konsert. Begitu juga kelebihan orang-orang yang duduk di dalam majlis ilmu amat banyak sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi saw:

"Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan menmpuhkan suatu jalan untuknya menuju ke syurga." (Riwayat Muslim).

Sabdanya lagi: "Andaikata engkau berjalan, kemudian engkau belajar satu bab dari ilmu pengetahuan, maka itu adalah lebih baik daripada kamu bersolat seratus rakaat (solat sunat)." (Riwayat Ibnu Abdul Barr). 

Marilah kita hayati peristiwa yang masyhur di dalam sirah, bagaimana seorang yang amat mementingkan ilmu sanggup bersusah payah bagi mendapatkan ilmu. Walaupun menempuh berbagai dugaan dan kesulitan namun dia sanggup menghadapinya. Apakah masih kedapatan keadaan yang sebegini mutakhir ini? Entahlah.

Begini kisahnya...

Abdullah bin Mas`ud ra. berkata: Ketika kami dalam majlis Rasulullah saw, tiba-tiba datang seorang turun dari kenderaannya dan mendekat kepada Nabi saw dan berkata: "Ya Rasulullah, saya telah melelahkan kenderaanku selama sembilan hari, maka saya jalankan terus menerus selama enam hari, tidak tidur di waktu malam dan puasa pada malam hari, hingga lelah benar kenderaanku ini, keperluannya hanya untuk menanyakan kepadamu dua masalah yang telah merisaukan hatiku hingga tidak dapat tidur."

Lalu ditanya oleh Nabi saw: "Siapakah engkau? Jawabnya: "Zaidul-khair." Berkata Nabi: "Engkau Zaidul-khair, tanyakanlah kemungkinan sesuatu yang sukar itu aku sudah pernah ditanyainya." Berkata Zaid: "Saya akan bertanya kepadamu tandanya orang yang disukai oleh Allah dan yang tidak disukai (yang dimurkai)?" Jawab Nabi saw: "Untung, untung, bagaimanakah keadaanmu kini hai Zaid." Jawab Zaid: "Saya kini suka kepada amal kebaikan dan orang-orang yang melakukan amal kebaikan, bahkan suka akan tersebarnya amal kebaikan itu, dan bila aku ketinggalan merasa menyesal dan rindu pada kebaikan itu, dan bila aku berbuat amal sedikit atau banyak, tetap aku yakin akan pahalanya."

Jawab Nabi saw: "Ya itu dia, andaikan Allah tidak suka kepadamu, tentu engkau disiapkan untuk melakukan yang lain dari itu, dan tidak peduli dijurang yang mana engkau akan binasa. Berkata Zaid: "Cukup-cukup." Lalu ia berangkat kembali di atas kenderaannya itu.

Mendengar kisah ini amat mengharukan kita. Walaupun sekadar ingin bertanya dua soalan namun beliau sanggup menempuh dugaan yang amat besar ini. Bagaimana dengan diri kita, justeru itu di zaman yang serba mudah ini marilah kita menginsafi diri, menghitung akan kelalaian kita mudah-mudahan kita turut diberikan oleh Allah SWT semangat dan keinginan seperti para sahabat terdahulu serta dipermudahkan dalam urusan menuntut ilmu.

Kata Ibnu Mas`ud: hendaklah kamu semua mencari ilmu pengetahuan sebelum ia dilenyapkan. Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah dengan matinya orang-orang yang memberikan atau mengajarnya. Seseorang itu tidak akan dilahirkan dalam keadaan pandai, jadi ilmu pengetahuan itu mestilah di cari dengan belajar."

Anda mampu mengubahnya!

Friday, 26 November 2010

Bahagia dengan memberi...

"Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92).

Anas ra. berkata: Abu Talhah seorang yang terkaya dari sahabat Ansar di Kota Madinah. Beliau mempunyai sebuah kebun kurma yang paling disayangi yang terletak berhadapan dengan masjid, bernama Bairuha`. Di dalamnya mengalir satu sumber air yang jernih, dan Rasulullah saw selalu masuk meminum sumber airnya.

Berkata Anas ra. lagi: Tatkala turunnya ayat "Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92) maka datanglah Abu Talhah kepada Rasulullah saw lalu berkata, :Ya Rasulullah! Allah telah menurunkan ayat ini kepadamu, dan harta yang paling ku kasihi adalah kebun Bairuha` ini. Oleh itu aku mahu menafkahkannya kepada Allah, semoga ia menjadi tabungan disisi Allah nanti."

Maka berkata Rasulullah saw, "Itulah harta yang menguntungkan, itulah harta yang menguntungkan (berlaba). Dan aku telah mendengar semua yang telah engkau katakan, maka aku berpendapat lebih kamu jadikan ia sedekah kepada kerabatmu yang terdekat." Abu Talhah berkata, "Baik ya Rasulullah." Maka Abu Talhah segera membahagi-bahagikan di kalangan kerabatnya.

Sesungguhnya Islam agama yang mementingkan amalan sosial. Ia menyeru penganutnya agar sentiasa memikirkan kehidupan sesama mereka. Inilah yang dinamakan 'ehsan' iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain. Kerana itulah Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang berada di dalam kesempitan. Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi saw jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya. Seorang Muslim tidak akan mendapat kebaikan kecuali jika menafkahkan sebahagian hartanya untuk manfaat orang lain, inilah yang dimaksudkan oleh ayat di atas. Demikianlah betapa indahnya Islam dalam mengurus kasih sayang sesama mereka.

Mari memberi

Amalan sedekah merupakan perbuatan yang terpuji di sisi Islam. Semenjak awal kedatangan Islam, Rasulullah saw menunjuk contoh dengan bersedekah dan memotivasi para sahabat supaya menjadikan bersedekah sebagai amalan. Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai contohnya, telah menafkahkan seluruh harta kekayaannya untuk digunakan pada jalan Allah SWT. Apabila ditanya oleh Rasulullah saw apa yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya, beliau menjawab; Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dengan sahabat-sahabatnya yang lain seperti Zubir bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi. Mereka ini adalah ahli perniagaan yang berjaya dan memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi mereka tidak pernah lupa menafkahkan hasil perniagaan mereka untuk kepentingan Islam. Jiwa dan keimanan mereka amat kental sehingga tidak mampu ditewaskan oleh harta kekayaan yang mengelilingi kehidupan mereka.

Rasulullah saw bersabda: "Daripada Abu Zar ra. bahawasanya segolongan manusia dari sahabat Rasulullah saw berkata kepada baginda: "Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (kaya) telah mendapat pahala (lebih banyak daripada kami). Mereka solat sebagaimana kami solat dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka. Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu suatu untuk bersedekah? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala." (Muslim).

Secara umumnya Rasulullah menyebut amalan bersedekah itu banyak cabangnya, tidak khusus hanya kepada harta sahaja. Tetapi yang paling penting ialah sikap kita apabila bersedekah. Bersedekah disertai dengan keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.

Firman Allah swt:

“Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan kelakuan yang menyakiti (hati penerima) seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu batu itu menjadi licin kembali. Tidak suatu pun yang dapat mereka peroleh dari usahanya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Baqarah-264).

Marilah kita sama-sama merenungi peringatan ini. Kehidupan kita di dalam masyarakat memerlukan di antara satu sama lain. Kita tidak mungkin dapat hidup berseorangan, oleh itu janganlah kita terlalu bersifat ananiyah (mementingkan diri sendiri). Marilah kita singkirkan sifat kikir yang ada di dalam diri kerana ia adalah sifat mazmumah dan amat merugikan kita.

Berkata Yahya bin Muaz: "Tiada dalam hati orang-orang yang pemurah selain kasih walaupun mereka orang-orang yang fasik. Dan orang-orang kikir itu hanya mempunyai kemarahan, walaupun mereka orang-orang yang baik."

Nah! Mari kita berkasih sayang melalui sedekah, kita pasti bahagia. Mahukah anda bersama saya...

Thursday, 25 November 2010

Afdalkah solat sempurna ketika musafir?

Soalan:

Saya tidak banyak belajar fasal hukum-hukum agama, tetapi komited dalam melaksanakan suruhan Allah, terutama dalam soal solat. Dalam masa perjalanan (musafir), saya lebih selesa solat sempurna, tidak jamak tidak qasar kerana ada masa dan mudah disempurnakan. Lagipun perjalanan sekarang terdapat banyak kemudahan dan keadaan aman tidak diganggu. Ada ustaz kata kepada saya tidak boleh buat macam itu. Semasa musafir perlu qasar dan jamak. Saya celaru. Bolehkah Dato` jelaskan.

Jawapan:

Syabas kerana anda komited melaksanakan perintah Allah. Perkara asas yang perlu kita fahami, bahawa solat fardhu mesti dilaksanakan, walaupun dalam perjalanan (musafir).

Solat dalam perjalanan yang diharuskan syarak, tidak wajib atau tidak mesti dijamak dan diqasar. Hukumnya harus dijamak dan qasar, dan harus di qasar sahaja tanpa jamak. Dan harus dilakukan seperti biasa.

Persoalan cara manakah yang terbaik. Solat tamam (sempurna) tanpa qasar dan jamak boleh dilakukan, tetapi telah ada peruntukan di dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat, jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (an-Nisa`: 101).

Meskipun ayat di atas menyatakan keharusan solat tersebut berdasarkan suasana yang tidak aman dan dibimbangi diserang oleh musuh, akan tetapi hukum sebenarnya bukan kerana itu diharuskan qasar.

Diharuskan qasar kerana perjalanan ataupun safar. Al-quran menyebut begitu kerana pada permulaan Islam dahulu, keadaannya begitulah, orang Islam sentiasa diganggu gugat oleh musuh.

Diriwayatkan dalam satu hadis: “Ya`ali bin Umayyah berkata kepada Umar al-Khattab, “Mengapa kita masih mengqasarkan solat sedangkan kita sudah aman daripada gangguan musuh?”

Umar menjawab, “Aku pun pernah bertanya kepada Rasulullah saw tentang hal itu, lalu Rasulullah saw menjawab kepadaku bahawa keharusan memendekkan solat ketika dalam perjalanan itu adalah suatu sadaqah atau hadiah Allah kepada hamba-Nya, maka terima sahajalah sadaqah itu. (Muslim).

Adapun jamak (menghimpunkan) solat daripada dua waktu menjadi satu waktu, adalah sabit dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw menjamakkan solatnya, pernah dilakukan jamak taqdim dan pernah dilakukan jamak takhir.

Persoalannya manakah yang lebih afdal solat orang yang musafir? Solat tamam afdal atau solat jamak yang afdal?

Mazhab as-Syafie dan Hambali berpendapat bahawa qasar dan jamak itulah yang afdal, kerana Rasulullah menyebut ia sebagai sadaqah atau hadiah daripada Allah SWT.

Elokkah hadiah daripada Allah SWT itu kita menolaknya? Rasulullah saw dan para sahabat dalam musafir mereka sentiasa mengqasarkan solat.

Sahabat-sahabat Rasulullah saw khususnya Khulafa ar-Rasyidin melakukan yang sedemikian itu.

Mengikut amalan Rasulullah saw sewaktu dalam perjalanan, adalah lebih baik dari menyalahinya.

Meskipun hukum amalan itu disemuafakati tidak wajib. Adalah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, seperti yang saudara persoalkan di atas, menjadi lebih selesa bersolat tamam dan tidak jamak dalam perjalanan.

Akan tetapi sesudah anda mengetahui bahawa Rasulullah saw sendiri pun tidak pernah bersolat sempurna ketika bermusafir, demikian juga para sahabat, maka adakah anda berasa lebih selesa untuk tidak mengikuti amalan Rasulullah?

Lebih-lebih lagi kita ketahui bahawa ia suatu hadiah daripada Allah SWT, maka elokkah hadiah itu ditolak? Siapalah kita hendak menolak hadiah daripada Allah? Maka renung-renunglah. Wallahu a`lam.

Sumber: Bersama DATO` DR HARUN DIN
(Harakah bil: 1581)

Wednesday, 24 November 2010

Cetusan rasa: mata hati



Ada ketikanya aku ingin berbicara bahasa hati, agar dapat ku mengerti apa yang tersirat disebalik rahsia lukisan alam...

"Sesungguhnya pada (kerapian dan kesempurnaan) kejadian langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam (dengan teratur sekali) menjadi bukti (tanda adanya Allah Yang Maha Besar) bagi kaum yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang ingat kepada Allah ketika sedang berdiri, duduk dan sewaktu baring. Dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, (lantas berdoa), "Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka peliharalah kami dari azab neraka." (Semua yang dijadikan Allah ada tujuan dan hikmahnya yang sangat dalam). (Ali-Imraan: 190-191).
Cetusan rasa abuikhwan
Kuantan, Pahang

Sunday, 21 November 2010

Menyoroti sejarah pahlawan Pahang

Bermula dengan pembacaan buku-buku sejarah, banyak maklumat yang diperolehi. Namun itu belum mencukupi lagi lalu ditambah pula dengan pembacaan dan kajian di blog-blog yang berkaitan. Sedikit demi sedikit mula tumbuh cita-cita untuk ke sana. Dari hari ke sehari semakin mekar, kembang bak bunga disirami gerimis pagi. Doa dan harapan sentiasa dipanjatkan agar dipermudahkan.

Alhamdulillah, perancangan manusia hanyalah perancangan tetapi perancangan Allah adalah muktamad. Tarikh yang telah dijanjikan, dimulakan dengan doa safar, roda kenderaan mula meluncur membelah aspal jalan menuju ke destinasi yang pasti akan menjadi kenang-kenangan. Tidak tergambar betapa berbunganya hati, kembang.

"Selamatkanlah perjalanan ini ya Allah,"doa yang tidak putus-putus. Harapan hanyalah kepada-Nya.

Pahlawan Pahang

Mat Kilau. Siapa yang tidak pernah mendengar namanya. Pahlawan negeri Pahang yang masyhur. Pahlawan yang menyemarakkan semangat perjuangan menebus maruah bangsa dan agama. Pahlawan yang menentang penjajahan Inggeris ke atas bumi bertuah ini. Ya, siapa yang tidak kenal...

Anak kepada pasangan Imam Rasu atau Tok Gajah dan Teh Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut, Burau. Mat Kilau dilahirkan sekitar tahun 1865/1866 di Kg. Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut Pahang.

Di kampung Kedondong, Pulau Tawar Jerantut. Di kampung inilah pahlawan Mat Kilau dilahirkan sekitar tahun 1865/1866. Di zaman kanak-kanak, Mat Kilau belajar mengaji, berzanji, berdikir maulud dan berdikir rebana. Beliau juga pandai bermain gasing, pandai menghencang buah keras. Beliau telah berkahwin dengan Yang Chik binti Imam Daud yang juga penduduk kampung ini.


Makam pahlawan Mat Kilau yang dijaga rapi. Suasana redup di bawah naungan pohon-pohon yang rendang, sekali-sekala bayu lembut berhembusan. Menambah kedamaian hati


Al-Fatihah, di pusara pahlawan Mat Kilau. Di bawah ini bersemadi jasad seorang pahlawan. Walaupun telah tiada namun semangat perjuangannya tetap membara di dalam jiwa generasi kini, kita harapkan


Masjid Pulau Tawar atau dikenali oleh penduduk tempatan dengan nama Masjid Mat Kilau. Di masjid inilah pahlawan Mat Kilau mengisytiharkan dirinya pada 26 Disember 1969. Masjid ini sudah tidak digunakan apabila terbinanya masjid yang baru, kini masjid ini terbiar usang. Sayang, masjid ini sepatutnya dipelihara sebagai satu tempat bersejarah. Harap pihak yang berwajib dapat melakukan pemuliharaan agar ianya dapat di lihat oleh generasi akan datang.


Salah sebuah rumah yang terdapat berhampiran masjid tersebut, menunggu masa untuk rebah menyembah bumi. Sebenarnya terdapat banyak rumah berhampiran masjid Mat Kilau, namun semuanya sepi tanpa penghuni


Rumah peninggalan Mat Kilau. Entahlah saya pun tidak pasti kerana saya menemuinya melalui panduan seorang penduduk tempatan


Bersama seorang tua di perkarangan Masjid Jerantut Feri. Banyak hikmah dan nasihat yang diberikan. Saya menghadam setiap butir kata-katanya. Alhamdulillah hikmah orang muda pada tutur kata orang tua.


Di antara buah tangan yang sempat dibeli untuk keluarga. Strawberi ini sebenarnya dibeli di bandar Temerloh yang disinggah sebelum balik ke Kuantan


Buku yang masih di dalam pencarian. Puas mencari di Kuantan, Temerloh serta Jerantut, namun belum ketemu lagi. Insya-Allah, moga dipermudahkan

Saturday, 20 November 2010

Perjalanan kita..


Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Ketika ini kita dihidupkan oleh Allah SWT, tinggal di bumi milik-Nya. Kita berjalan dengan bebasnya. Kita diberikan rezeki yang melimpah, makanan, minuman, udara dan sebagainya.

Tiba saat yang telah ditentukan. Kita akan dikembalikan semula kepada-Nya. Sama ada suka atau tidak, sedar atau lalai, ia pasti berlaku. Selepas itu kita akan menuju ke negeri abadi, syurga atau neraka. Kita memilihnya...

Membuat persiapan

Sesungguhnya perjalanan selepas ini amat jauh, maka banyak bekalan yang perlu dibawa. Kekurangan bekalan amat menyulitkan perjalanan kita. Mengingatkan hal demikian, maka wajiblah bagi kita menginsafi diri, menyiapkan diri bagi hari yang amat besar itu. Persiapan menghadapi kematian, persiapan bertemu dengan Tuhan.

Sememangnya dalam menjalani kehidupan ini, kita sering lupa matlamat hidup ini. Kita sangkakan bahawa dunia ini adalah tempat bersenang-lenang, tempat istirehat. Hakikatnya dunia tempat mencari bekal.

Justeru itu, Allah SWT dengan sifat kasih sayang telah menghantar peringatan kepada kita agar tidak melupakan saat-saat itu, agar kita tidak terpedaya dengan keduniaan, sehingga kita tidak bersiap untuk bertemu dengan-Nya.

Diceritakan bahawa Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya memberitahu sebelum mengambil nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah menghantar peringatan demi peringatan...

Rambut yang hitam menjadi putih
Badan yang gagah beransur lemah
Selera yang terbuka mula menguncup

Gigi sudah banyak yang gugur
Mata yang terang mulai kabur
Kulit yang tegang semakin kendur

Allah SWT berfirman:

"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Ali-Imraan: 185).

Oleh itu awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.

Damba keampunan-Nya

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (at-Tahrim: 8).

Segeralah bertaubat kepada Allah kerana pintu penerimaan-Nya sentiasa terbuka luas dan tanpa batasan. Allah SWT sentiasa membentangkan rahmat-Nya kepada orang-orang yang ingin kembali kepada-Nya. Ingatlah, manusia yang terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah melakukan dosa sama sekali, akan tetapi manusia yang terbaik adalah manusia yang ketika dia berbuat kesalahan dia segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Teringat satu cerita semasa bersekolah arab dahulu. Mari kita kongsikan bersama.

Diceritakan bahawa seorang pemotong kayu terpesona kepada anak tetangganya. Suatu hari, gadis itu berpergian ke desa lain kerana menyelesaikan urusan keluarganya. Si pemotong kayu lalu mengikutinya dari belakang sampai akhirnya berhasil menemukannya. Lalu beliau memanggil gadis tersebut dan mengajaknya menikmati kesempatan indah itu. Tetapi gadis itu menjawab, "Jangan lakukan. Meskipun aku juga mencintaimu, tetapi aku sangat takut kepada Allah Yang Maha Melihat." Mendengar jawapan itu, si pemotong kayu merasa dunia berputar. Kerana menyesal dan hatinya gementar, lalu dia berkata, "Kau takut kepada Allah sedangkan aku tidak."

Dia pulang dalam keadaan menyesal dan bertaubat kepada Allah. Dalam perjalanannya dia bertemu dengan seorang soleh. Mereka berjalan beriringan. Tiba-tiba mereka melihat gumpalan awan bergerak melindungi mereka berdua sehingga mereka masuk ke sebuah desa. Penduduk desa yang kehairanan merasakan bahawa awan itu mengikuti orang soleh tersebut. Kemudian mereka berpisah di satu simpang desa tersebut. Awan itu ternyata condong dan terus menaungi si pemotong kayu sehingga sampai dirumahnya. Orang soleh itu hairan melihat peristiwa tersebut, lalu mengikuti pemotong kayu dan bertanya. Lalu pemotong kayu tersebut menceritakan apa yang berlaku.

Maka orang soleh tersebut berkata, "Sesungguhnya orang yang bertaubat itu dekat dengan Allah dan dikasihi seluruh makhluk-Nya."

Nah! Adakah rugi jika bertaubat. Tidak! Bukankah bertaubat itu sifat seorang hamba. Mahukah anda bertaubat bersama saya?

Friday, 19 November 2010

Ibadat korban

Firman Allah SWT:

"Wahai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang tergolong orang-orang yang soleh. Maka kami neri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka ketika anak itu sampai pada umur sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Ia menjawab: "Wahai bapaku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar." Ketika kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, dan Kami panggilah dia: "Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar merupakan suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian yang baik)di kalangan orang-orang yang datang kemudian." (ash-Shaffat: 100-108).

Di dalam Tafsir al-Qurthubi XV pada halaman 102 menyatakan bahawa Nabi Ibrahim bermimpi pada malam Tarwiyah (8 Zulhijjah) bahawa seseorang berkata: "Sesungguhnya Allah menyuruh engkau untuk menyembelih anakmu." Ketika Subuh tiba Nabi Ibrahim berfikir, apakah ini mimpi dari Allah atau dari syaitan. Maka dinamakanlah hari itu hari Tarwiyah. Pada malam kedua Nabi Ibrahim bermimpi lagi dengan mimpi yang sama. Dan diingatkan lagi kepada janji yang pernah dijanjikannya. Ketika Subuh sudah tiba sedarlah ia bahawa mimpi itu dari Allah. Maka dinamakanlah hari itu hari `Arafah. Kemudian Nabi Ibrahim bermimpi lagi pada malam yang ketiga. Maka bertekad bulatlah ia akan menyembelih anaknya itu. Hari itu dinamakan hari Nahar (hari menyembelih). Ketika Nabi Ibrahim melakukan penyembelihan, Jibril mengucapkan: Allahu Akbar, Allahu Akbar. Ismail mengucapkan: Laa ilaaha illallaahu, wallahu akbar. Sedang Nabi Ibrahim yang melakukan penyembelihan sambil mengucapkan: Allahu Akbar, Walhamdulillaah.

Demikianlah kerelaan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya sebagai korban kerana perintah Allah SWT lalu diabadikan menjadi sunnah sampai ke zaman Nabi Muhammad saw, bahkan sampai hari kiamat.

Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw ketika oleh para sahabat: "Apakah korban itu, ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Sunnah bapa kamu Nabi Ibrahim." (Ahmad dan Ibnu Majah).

Ibadat korban di perkarangan rumah bonda...

Haiwan korban sudah direbahkan, menunggu untuk disembelih.


Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Laa ilaa ha illallahu wallahu akbar...


Semoga diterima ibadat korban kami di sisi Allah SWT


Sesi melapah yang dilakukan oleh dua orang pakar,sekejap je...


Hampir siap..


Kerja-kerja membungkus daging yang telah siap di potong untuk diagih-agihkan


Seekor lagi yang telah ditumbangkan


Alhamdulillah, apa yang penting kerjasama!!

Thursday, 18 November 2010

Aidiladha 1431H


Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah kamu semua kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya), dan carilah bekalan (dalam kehidupan dunia dan hari akhirat). Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa.

Aidiladha, bersempena dengan ibadat haji dan ibadat korban. Ibadat haji adalah salah satu daripada rukun Islam dan ibadat korban pula kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim as. Dua perkara besar dalam agama Islam.

Ibadat haji, menghimpunkan umat Islam yang datang dari seluruh pelosok dunia. Mereka disatukan dalam persaudaraan Iman dan Islam mengikut rukunnya yang sama, walaupun berbeza mazhab dalam perkara cabang, berbeza bahasa, bangsa, warna kulit dan pangkat. Mereka disatukan dengan beriman dan beribadat kepada Tuhan yang satu, dalam keadaan mengadap ke arah satu kiblat, menjadi satu umat kepada nabi Muhammad saw, berpegang dengan satu kitab al-Quran, serta beramal dengan sunnah Rasulullah saw sehingga menjadi ajaran yang berterusan, tidak terhenti dengan wafatnya Rasulullah saw.

Rasulullah saw telah meletakkan semua orang yang menganut Islam dalam umat yang satu, di kalangan para sahabat yang berketurunan arab dan bukan arab. Salman al-Farisi yang berasal dari Iran, Bilal al-Habsyi dari Afrika yang berkulit hitam, Suhaib ar-Rumi yang berkulit putih bersama dengan seluruh para sahabat yang berbangsa arab generasi awal umat Islam.

Berpegang pada sunnah Rasulullah saw

Allah berfirman: "Dan sesiapa yang berpegang kepada yang lain daripada Islam (dalam agama dan cara hidup), maka dia tidak diterima dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang rugi." (ali-Imraan:85).

Ayat ini ditafsirkan oleh Rasulullah saw: "Sesiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak menepati urusan agama kita (Islam) maka dia tertolak." (Muslim).

Bukan sahaja amalan ibadat yang tidak menepati ajaran Islam ditolak, bahkan termasuk hukum dalam urusan kehidupan diri, berkeluarga dan memerintah negara yang tidak menepati ajaran Islam juga ditolak dan menderhakai Allah SWT serta Rasul-Nya.

Menderhakai Allah dan Rasul itu bukan sahaja apabila meninggalkan ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Termasuk juga dalam perkara maksiat besar menderhakai Allah dan Rasul apabila memakan makanan yang haram, hasil kerja haram, memakai pakaian yang tidak menutup aurat, tidak memberi nafkah yang wajib dan juga tidak bermuamalat dalam urusan perniagaan dan sebagainya. Begitu juga mentadbir dan memerintah negara tidak mengikut hukum Allah dan Rasul-Nya.

Ternyata di hadapan kita hari ini bahawa ajaran yang selain daripada Islam telah membawa akibat yang buruk di dunia sebelum menerima akibatnya yang lebih buruk di hari akhirat. Keadaan ini mewajibkan kita bertambah yakin kepada Islam yang benar dan adil, yang sungguh-sungguh menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT:

"Dan tidak harus bagi seorang lelaki dan seorang perempuan yang beriman apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara dalam apa-apa sahaja urusan mereka, lalu mereka membuat pilihan yang lain. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah menjadi sesat dengan kesesatan yang nyata." (al-Ahzab:36).

Alhamdulillah hari ini kita melihat telah ada tanda-tanda kesedaran kembali semula kepada Islam, sehingga berlakunya seruan kebangkitan semula umat Islam. Telah berlaku kebangkitan dan semangat serta usaha memperkasakan umat Islam dengan mendirikan semula kerajaan Islam mengikut acuan al-Quran dan petunjuk Rasulullah saw.

Hari ini juga kita melakukan ibadat korban iaitu menyembelih binatang peliharaan, bagi memperingati kemenangan nabi Ibrahim as. dan ahli keluarganya, yang berjuang menegakkan Islam dan menolak syirik. Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana taat kepada perintah Allah.

Allah SWT menceritakan kisah benar yang wajib kita beriman kepadanya, cerita nabi Ibrahim as. dan keluarganya yang menjadi contoh Islam yang sebenar. Menerima perintah Allah melalui mimpi yang bersifat wahyu dari Allah, kerana mimpi para Rasul adalah wahyu. Begitu juga dengan nabi Ismail as. yang beriman kepada kerasulan ayahnya dan taat kepada perintah Allah dengan yakin. Seterusnya menyerah diri kepada perintah tersebut, menyerah inilah yang dinamakan Islam.

Adaptasi dari Khutbah Aidiladha 1431H
Masjid Qaryah Balok

Tuesday, 16 November 2010

Salam Aidil Adha



Assalamualaikum warahmatulLahi wabarakatuh,

Di kesempatan yang terluang ini. saya ingin mengucapkan Salam AidilAdha kepada semua muslimin dan muslimat khususnya kepada pengunjung pondok kecil abuikhwan.

Semoga kita semua dapat menghayati pahit jerih pengorbanan para nabi dan ulama` serta pejuang agama terdahulu yang ikhlas, istiqamah dan itqan dalam meninggikan agama Islam.

Marilah kita sama-sama menginsafi diri dan menilai kembali perjuangan kita dan pengorbanan yang telah kita curah untuk agama Allah.

Tentunya sebagai manusia biasa masih ada sekelumit sifat cinta dunia yang menyebabkan kita culas, keberatan untuk mengorbankan sedikit harta, masa, tenaga, buah fikiran serta diri. Tipisnya iman kita di akhir zaman.

Namun demikian kita harap dan yakin Allah SWT pasti akan mengganjari setiap pengorbanan walaupun sekecil mana.

"Barangsiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah (atom), nescaya dia akan melihatnya (mendapatkan ganjarannya)." (al-Zalzalah: 7).

Walaupun pengorbanan kita tidak sehebat Nabi Ibrahim a.s dan anak kesayangannya Nabi Ismail a.s, percayalah balasannya pasti ada...
"TaqabbalalLah minna waminkum"

Monday, 15 November 2010

Izinkan aku...


Izinkan aku terbang ke langit lepas
Agar dapat ku lihat hijau nan terbentang
Menghayati ciptaan-Mu tiada bandingan
Biar terlimpah syukur dalam ucapan

Izinkan aku belayar ke tengah samudera
Agar dapat ku titipkan rindu deburan ombak
Menghempas pantai setia bertamu
Sebagai zikir pengingat kelalaian

Izinkan aku meneroka rimba raya
Agar dapat ku dengar kicauan mergastua
Betapa luas rahmat kasih sayang-Mu
Menumpah rezeki tanpa berkira-kira

Izinkan aku meredah padang pasir nan luas
Agar dapat ku rasa kekerdilan diri
Tiada harapan selain untuk-Mu
Demikian insan berjiwa hamba

Izinkan aku kembali ke dalam diri
Mencari cahaya sinar abadi
Kerana di situ cintaku berbunga
Buat Tuhan Rabbul `alameen

Izinkan aku kerana aku masih di sini...

abuikhwan
Kuantan, Pahang
15 November 2010
9.30 malam

Saturday, 13 November 2010

Bolehkah diberi daging korban kepada non-Muslim?

Soalan:

Saya ada kemusykilan mengenai daging korban yang diberi kepada bukan Islam (non-Muslim) untuk memakannya, sama ada diberi daging mentah atau yang sudah dimasak. Ini kerana ada yang mengatakan daging korban tidak boleh diberi kepada orang kafir sama ada mentah atau yang dimasak. Kita sedang mendekati masa berkorban, mohon penjelasan Dato`.

Jawapan:

Korban dan akikah adalah ibadah sunnah. Dalam Mazhab as-Syafie, ia adalah sunnah al-muakkadah.

Kadang-kadang ibadah itu menjadi wajib. Wajibnya kerana seseorang itu bernazar untuk melakukan korban atau akikah.

Apabila yang dinazarkan itu berhasil, maka wajiblah seseorang itu melaksanakannya. Akikah dan korban jenis inilah yang ia wajib diberikan daging-daging itu kepada semua orang yang hendak diberikan.

Hatta dirinya sendiri pun tidak boleh memakannya dan tidak boleh diberikan kepada orang kafir. Ia adalah kerana seseorang itu bernazar.

Adapun akikah atau korban yang tidak wajib ertinya sunat atau sunat muakkad, maka Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (al-Hajj: 28).

Dan firman Allah SWT (mafhumnya): “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku, dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).” (al-Hajj: 26).

Al-Quran secara umumnya, dengan tidak mengkhususkan kepada orang Islam sahaja, untuk diberikan daging korban itu.

Dengan demikian kita boleh faham bahawa daging korban dan akikah itu, boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.

Oleh kerana itu maka ulama` mengharuskan daging tersebut diberi, hatta kepada orang kafir, sama ada yang masih mentah atau yang sudah dimasak.

Dalam Mazhab al-Maliki, disebut dengan jelas dalam kitab Kasyaful Qinak, pada juzuk 2 halaman 19, dengan menyebut: “Dan diharuskan dihadiahkan daging korban atau akikah yang sunat itu kepada orang kafir. Adapun yang wajib, maka tidak harus.”

Pernahkah anda terfikir bahawa, banyak daging-daging korban dan akikah, ada yang tidak dimanfaatkan manusia, seperti pada musim haji berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Disembelih dan dibiarkan bergelimpangan di padang pasir di Mina. Dimakan oleh haiwan dan burung-burung sahaja. Akhirnya dikambus di dalam tanah. Puluhan ribu ekor, hanya untuk makanan haiwan atau ditanam sahaja.

Kalaulah haiwan boleh memakan daging korban, apakah orang kafir lebih teruk daripada haiwan?

Sehingga sekarang ini pun masih ada saki-baki daging-daging korban yang dicampak atau dibiarkan kerana terlalu banyak. Malah ada yang dimakan oleh anjing, kucing dan sebagainya.

Oleh kerana itu maka ulama`-ulama` mengharuskan daging korban itu dimanfaatkan oleh manusia, sama ada yang Islam atau tidak Islam . Wallahu a`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
Harakah bil. 1587

Friday, 12 November 2010

Offline Dengan Syaitan


Kehidupan ini adalah satu pentas perjuangan, perjuangan antara haq dan bathil, putih dan hitam. Haq atau kebenaran adalah pembawa dan pendokongnya, ialah para Rasul. Demikian juga dengan yang bathil atau salah yang juga ada pembawa dan pendokongnya, iaitu iblis dan syaitan.

Sebahagian ulama bahasa Arab berpandangan, kalimah syaitan berasal daripada kalimah Arab syathana yang bermaksud ‘jauh daripada kebenaran dan rahmat Allah’. Mengikut sahabat, Abdullah bin Abbas, “Makhluk syaitan adalah daripada keturunan iblis dan mereka tidak mati melainkan bersama-sama dengan iblis (ketika berlaku hari kiamat).” Hal ini dijelaskan dalam Makaidu as-Syaitan oleh Taha Abdullah Afifi.

Syaitan dilaknat Allah justeru ia adalah musuh utama manusia. Syaitan tidak jemu dan bosan bagi menyesatkan manusia melalui pelbagai taktik dan strategi.

“Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya daripada lumpur.”

Begitulah kata-kata syaitan dengan angkuh dan sombong di hadapan Allah apabila disuruh bersujud kepada Adam. Ini menunjukkan syaitan merasakan dirinya lebih bertaraf tinggi daripada Adam kerana dia diperbuat daripada api dan Adam diperbuat daripada tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh.

Oleh sebab Allah menjatuhkan hukuman dicampakkan ke dunia, dia berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat, dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya sampai hari Akhirat kelak. Syaitan diciptakan sebagai ujian tahap keimanan manusia kepada Allah.

Siapa yang terpedaya dengan ajakan syaitan, Allah membalasnya dengan azab sengsara yang pedih di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang berjaya melawan dan menyekat kejahatan syaitan, Allah memberikannya penghargaan yang tidak terkira dan dibalas dengan syurga.

Tajuk : Offline Dengan Syaitan
Penulis : Zulkifli Khair
Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd
Harga : RM13.00 / RM15.00
M/S : 132

OFFLINE DENGAN SYAITAN adalah cebisan motivasi dalam mengenali syaitan dalam kalangan jin dan manusia, bagi menghindari tipu dayanya. Sememangnya tidak sempurna perjalanan menuju Tuhan sekiranya musuh tidak dikenal pasti dan rintangan tidak diatasi.

OFFLINE DENGAN SYAITAN membawa kita mengenali makhluk perosak terbesar di muka bumi dan bagaimana mereka merosakkan seluruh keturunan Adam di muka bumi secara halus.

OFFLINE DENGAN SYAITAN terbahagi kepada beberapa bahagian:

Bahagian 1 : Mengenali Iblis dan Syaitan

Bab 1: Siapa Kami?
Bab 2: Aku Jutawan!
Bab 3: Ketika Remang Senja
Bab 4: Allah Lebih Perkasa

Bahagian 2 : Teknologi Syaitan Menyesatkan Manusia

Bab 5: Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)
Bab 6: Bahaya Virus P1A1
Bab 7: Bahaya Pihak Ketiga
Bab 8: Sihir dan ‘Bomohisme’
Bab 9: Filem Seram dan Mesra Magis
Bab 10: Zaman Gawat, Iman Tenat
Bab 11: Wanita Agen Syaitan?
Bab 12: Seksi yang Seksa
Bab 13: Lawrence of Arabia
Bab 14: Mustafa Kemal Ataturk
Bab 15: Mirza Ghulam Ahmad
Bab 16: Salman Rushdie
Bab 17: Mengapa Makan Guna Tangan Kiri?
Bab 18: Dunia Siber
Bab 19: Dajal

Bahagian 3 : Firewall daripada Syaitan

Bab 20: Kemas Kini ‘Perisian’ Anti Syaitan
Bab 21: Klik ‘Refresh’
Bab 22: Solat Di Mana-mana
Bab 23: Kuruskan Nafsu, Perkasakan Akal
Bab 24: Muat Turun Ayat Kursi
Bab 25: Klik Zikir Delete Sihir
Bab 26: Melontar Jamrah Secara Maya
Bab 27: IT untuk ‘Ilm Technology
Bab 28: Ouija Board Vs Istikharah
Bab 29: Membina ‘Blog’ Takwa
Bab 30: Dr. Yusuf Estes
Bab 31: Dr. Zakir Naik
Bab 32: Kemuncak Offline
Bab 33: Malunya Ber-Facebook di Padang Mahsyar

Dapatkan juga tip dan langkah kawalan bagi menghadapi dan menghalang bisikan dan hasutan mereka seterusnya menjalani hidup dalam keadaan aman dan menenangkan.

OFFLINE DENGAN SYAITAN adalah memotong talian yang menjauhkan diri daripada rahmat Allah.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Wednesday, 10 November 2010

Sibukkah diri ini...

Hujung minggu, masa yang terbaik untuk bersantai bersama keluarga. Namun kebelakangan ini istilah tersebut bagaikan tidak ada buat saya. Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya terisi dengan program-program kebajikan bersama Jabatan Amal Indera Mahkota.

Alhamdulillah saya bersyukur kepada Ilahi yang memilih dan menjadikan diri ini sentiasa sibuk dengan aktiviti-aktiviti berorganisasi, dakwah, kemanusiaan dan kemasyarakatan. Saya tidak melihat ia sebagai satu bebanan tetapi peluang untuk beramal dan memberi sesuatu kepada mereka di luar sana.

Seperti kata pepatah arab: “Air yang tidak mengalir (statik), akan merosakkan air tersebut. Pemuda yang banyak masa kosong (tidak dinamik), akan dibunuh oleh masa kosong itu.”

Pelancaran Perintis Briged Amal Pahang

Bergambar seusai majlis pelancaran. Semoga menjadi pelapis dan pengganti kepada kami

Seawal jam 8.oo saya bersama Sheikh Azlan membelah aspal jalan menuju ke Pondok An-Nuur. Awan di langit mendung menampung hujan yang akan gugur bila-bila masa sahaja.

Sheikh Azlan memandu tenang melalui jalan Pantai Sepat yang terkenal dengan lembu yang banyak berkeliaran. Rintik–rintik halus mula berguguran berdetap menimpa kenderaan yang sedang meluncur di dada aspal.

“Hujan, nak buat pelancaran macam mana ni,” Sheikh Azlan bersuara sambil memandu berhati-hati.

“Insya-Allah boleh, tak lebat mana ni,” saya menjawab sambil memerhatikan di kiri dan kanan jalan.


Berhati-hati melalui jalan Pantai Sepat kerana kawanan lembu sentiasa ada berkeliaran meragut rumput

Teringat ketika mula-mula melalui jalan Pantai Sepat ini, semasa menyertai kursus motivasi di Kem Ar-Rayyan sepuluh tahun yang lalu. Kursus Bina Insan yang dikendalikan oleh Ustaz Razak dan dibantu oleh Ustaz Nurfitri dan Ustaz Yunan amat membantu dalam membina keyakinan serta mengenalpasti potensi diri. Kini kem itu telah pun ditutup kerana Ustaz Yusof telah memindah pejabat urusannya ke Kuala Lumpur, jadi kem itu juga telah berpindah ke tempat lain. Walaupun demikian, alhamdulillah sehingga kini persahabatan dengan mereka semua masih terjalin.

“Ok, kita dah sampai,” Sheikh Azlan bersuara mengejutkan saya dari lamunan.
Program berjalan lancar di dalam rintik-rintik hujan. Semangat dan keyakinan jelas terpancar di wajah para briged, bersedia menggalas harapan dan berkhidmat secara sukarela untuk membangun semula generasi muda melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan yang berteraskan Islam. Ya, pastinya berteraskan Islam.

Hujan masih lagi turun.

Bowling DPPK Kuantan

Selesai program di Pondok An-Nuur, kami bergegas ke Premium Lanes di bandar Kuantan. Apa yang ada disana? Hari ini DPPK Kuantan menganjurkan bowling peringkat Kawasan Kuantan dan Kawasan Indera Mahkota telah dijemput untuk menyertainya. Setibanya di sana saya lihat gelanggang bowling dipenuhi dengan pemain yang berkopiah putih dan berjanggut panjang. Siapa kata pak haji dan ustaz tidak pandai bermain bowling. Hebat ketika berkuliah, petah ketika berceramah, hebat juga di gelanggang bowling. Baru tau...

Wira-wira bowling Jabatan Amal Indera Mahkota tetapi saya tak bermain hanya menonton sahaja

Jika dulu mungkin susah hendak melihat para ustaz atau golongan agama turun dalam aktiviti seumpama ini. Saya amat teruja dengan perkembangan ini, sekurang-kurangnya dapat menepis andaian dan kata-kata yang tidak benar bahawa Islam melarang bersukan sebagaimana ada orang yang meletak persepsi di dalam kepala mereka bahawa dalam Islam tiada hiburan. Islam melarang muzik dan nyanyian, jika Islam memerintah para artis tidak boleh cari makan. Tetapi langkah yang dimulakan oleh kerajaan Kelantan dalam penganjuran konsert dan nyanyian berteraskan syariat Islam menolak semua itu. Alhamdulillah.

Saya tiba di rumah kira-kira pukul 4.00 petang. Melepek, dengan badan yang letih dan lesu terlelap juga sebentar seusai solat Asar.

Ceramah “Negara Perlukan Islam” di Dataran Musolla ar-Raudhah

Selesai solat maghrib saya seperti biasa bersama Sheikh Azlan menuju ke Musolla ar-Raudhah. Malam ini diadakan satu ceramah yang tajuknya amat menarik, “Negara Perlukan Islam”, yang akan disampaikan oleh penceramah yang hebat-hebat. Jabatan Amal Indera Mahkota telah diminta oleh pihak musolla untuk bertugas menjaga lalulintas, tugas-tugas keselamatan dan sebagainya.

Cukup puas mendengar ceramah yang disampaikan. Rata-rata penceramah menyeru agar pemimpin negara mengambil syariat Islam sebagai teras dalam pemerintahan negara. Dengan berbagai masalah moral seperti zina, pembuangan bayi, rempit, orang hilang serta kemelut rasuah, penyelewengan maka sudah sampai masanya pihak pemerintah memikirkan perkara ini dengan lebih serius. Apa yang kita lihat sekarang banyak program-program yang menjurus ke arah masalah moral subur dan pihak kerajaan bagaikan merestuinya. Sebagai contoh konsert Adam Lambert yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di Kuantan sendiri, baru-baru ini telah diadakan konsert Red on Black. Alhamdulillah pihak Jabatan Amal Negeri Pahang telah turun mengedarkan risalah dakwah pada hari konsert tersebut. Walaupun ada pihak yang tidak senang dan cuba menghalang pada hari tersebut, namun pihak Jabatan Amal mengambil langkah untuk menerang bukan menyerang, kami adalah "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang."

Sibukkah diri ini...

Berteman secawan kopi saya berteleku di meja tulis, merenung dalam diri. Benarkah diri ini sibuk. Tidak, saya terfikir apalah kesibukkan saya ini jika mahu dibandingkan dengan orang lain. Kesibukan saya ini hanyalah sekelumit sahaja. Saya ada membaca satu tulisan yang mengatakan Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kesibukannya kadang-kadang sehingga empat lima hari tidak pulang ke rumah, Ustaz Nasrudin Tantawi pun begitu hanya sehari dua bersama keluarga kemudian keluar mengisi undangan program serta ramai lagi para pendakwah atau lebih sesuai dengan jolokan ‘pejuang’, terkejar ke sana ke mari, meninggalkan keluarga dan anak-anak.

Belum sibuk lagi rupanya diri ini. Segera saya insaf.

Ya Allah, terima kasih kerana jua memberi kesibukan kepadaku walaupun jika mahu dibandingkan tidak sebesar debu pun kesibukan diriku ini. Inilah peluang untuk daku memberi, mudah-mudahan dengan memberi yang sedikit ini, aku akan menerima di akhirat nanti di saat pertemuan dengan-Mu. Ameen ya Rabbal `alameen.

Bersama Timbalan Ketua DPP Pusat, Ustaz Azman Syapawi Abd Rani seusai ceramah di Musolla ar-Raudhah

Tuesday, 9 November 2010

Syukur atas nikmat-mu..


Saya akur dengan ketentuan-Nya. Tidak sekelumit pun terlintas di hati saya untuk tidak mensyukuri nikmat-Nya. Tidak sekali-kali. Sesungguhnya Allah terlalu melimpah-ruah pemberian-Nya, tidak pernah habis, tidak pernah berkurang.

Saya merenung pada diri...mata yang dapat melihat, telinga yang boleh mendengar, mulut yang petah berkata-kata, sepasang tangan yang memudahkan melakukan kerja serta kaki yang menghayun langkah bergerak bebas ke sana ke mari. Bukankah semua itu anugerah yang sangat berharga, wahai empunya diri...

Saya memerhati...pada mereka yang tidak bernasib baik. Ada yang cacat penglihatan, ada yang cacat pendengaran, ada yang tempang tidak cukup kaki dan tangan. Ahh..betapa bahagianya diri ini dilahirkan dalam keadaan sempurna, cukup anggota dan pancaindera. Tidak seperti mereka yang cacat itu.

Tidak cukup dengan itu saya melihat Allah mengurniakan pula dunia yang sarat dengan isinya. Air, udara, sinar matahari, tumbuh-tumbuhan beraneka, haiwan yang berbagai jenis. Semuanya dilimpahkan oleh Allah kepada sesiapa sahaja, tanpa berkira dan tanpa perlu membayarnya. Bukankah semua ini perlu disyukuri, wahai pemilik mata hati...

Bagaimana jika setiap udara yang disedut perlu dibayar...
Bagaimana jika setiap sinar matahari yang dinikmati perlu dibayar...
Bagaimana jika setiap titis hujan yang turun ke bumi perlu dibayar...

Mampukah kita...
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (ar-Rahman: 13)

Monday, 8 November 2010

Bicara santai: bukan leteran

Ketika sedang membelek-belek helaian majalah Solusi, saya dikejutkan dengan SMS dari seorang rakan.

“Al-Fatihah buat sahabat kita, Ismail Nakiudin yang telah kembali ke rahmatullah maghrib tadi kerana terlibat dalam kemalangan yang melibatkan bas…”
Inna lillahi wa inna ilaihi raaji`un.

Terpempan saya seketika dengan berita ini, tidak disangka-sangka. Saya tidaklah mengenali beliau dengan rapat, dan apa yang saya tahu beliau merupakan seorang yang istiqamah dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

Kemalangan bas ekspres

Bagaikan menjadi ‘trend’ pula kebelakangan ini, kemalangan yang melibatkan bas ekspres. Boleh dikatakan sekarang ini, saban hari berita yang terpapar menghiasi dada-dada akhbar, bas ekspres terbalik di sana, bas ekspres terbabas di sini, lepas satu…satu. Saya sendiri turut khuatir untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk perjalanan yang jauh. Tetapi jika tiada alternatif lain, terpaksa juga menggunakannya. Hanya berserah kepada Allah segala urusan.

Islam adalah penyelesaian

Saya amat tertarik dengan apa yang disebut oleh Ustaz Nasrudin Tantawi tatkala ditanya mengenai jalan penyelesaian kemalangan jalan raya. Katanya, kita mesti kembali kepada Islam kerana Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah. Bukan hanya pada undang-undang jenayah seperti hudud dan qisas, tetapi pada penyelesaian kemalangan jalan raya pun perlu balik pada undang-undang Islam. Tentu pelikkan, bagaimana penyelesaian kemalangan jalan raya pun ada dalam undang-undang Islam. Bagaimana?

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda :

”Setiap anggota tubuh manusia mempunyai kesempatan untuk bersedekah setiap hari.
Mendamaikan orang berselisih adalah sedekah. Menolong orang menaiki kenderaan, ataupun mengangkat barangnya ke atas kenderaan, adalah sedekah. Ucapan yang baik juga sedekah. Setiap langkah pergi solat ke masjid itu sedekah. Menyingkirkan benda merbahaya di jalanan juga sedekah.” (Sahih Muslim: Hadis ke 962).

Sebahagian ulama` menyebut bahawa hadis ini adalah satu hukum yang sunat muakkad iaitu hampir wajib, ini kerana Nabi saw menyebut kalimah sedekah, yang mana hukum sedekah adalah sunat. Manakala hanya sedikit sahaja dikalangan ulama` yang mengatakan wajib kerana benda-benda yang merbahaya itu boleh menyakiti, merosakkan dan membinasakan.

Sebagai contoh, jika di sebatang jalan ada satu lopak yang besar serta dalam dan kita melaluinya setiap hari, dalam masa yang sama kita hanya membiarkan serta tidak mengambil apa-apa tindakan kerana bagi kita ia bukan satu masalah, tetapi bagaimana jika ada orang yang tidak biasa melaluinya, mungkin akan menyebabkan kemalangan jika terjatuh. Jadi lopak itu adalah benda yang menyakiti dan membinasakan.

Saya ingin luaskan lagi skop benda-benda yang ‘menyakiti’ di jalanan iaitu papan tanda iklan yang menunjukkan gambar wanita separa lucah yang terdapat di tepi serta simpang-simpang jalan. Contohnya iklan telefon bimbit yang menunjukkan seorang perempuan sedang memegang telefon bimbit tersebut. Gambar perempuan tersebut besar tetapi gambar telefon kecil sahaja. Kemudian tertera tulisan “belilah telefon ini”. Jika dilihat pada gambar sepatutnya di tulis “belilah perempuan ini”, kerana yang di fokus adalah gambar perempuan tersebut.

Begitu juga ada satu iklan ‘lining brake’ yang terletak di persimpangan satu tempat. Besar papan iklannya, yang memaparkan sorang perempuan sedang berbaring dan ‘lining brake’ kecil sahaja terletak dihujung kepalanya. Kita berasa hairan hendak jual ‘lining brake atau perempuan tersebut. Itu yang menyebabkan terbabas agaknya.

Tetapi bukanlah semua kemalangan itu disebabkan oleh papan iklan, banyak lagi faktor-faktor lain yang perlu diperhalusi bersama. Mungkin faktor pemandu, kenderaan, jalan raya dan sebagainya yang menyumbang kepada masalah ini..

”Apabila kamu bermusafir dalam bilangan 3 orang maka hendaklah lantik seorang ketua.” (maksud hadis).

Jika kita menaiki kapal terbang, kita akan lihat ada pramugari yang bertindak sebagai ketua pramugari yang memperkenalkan dirinya serta memberi info tentang peraturan keselamatan dan langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku sebarang kecemasan. Kita diajar cara memakai tali pinggang keselamatan serta bila patut memakainya. Kita diajar bagaimana mengendalikan corong oksigen dan sebagainya.

Mengapa tidak boleh kita praktikkan peraturan sebegini di dalam bas. Contohnya rombongan seramai 40 orang, dilantik seorang ketua. Ketua akan memberi sedikit taklimat keselamatan, membaca doa safar sebelum bergerak. Ketua juga akan memantau pemandu iaitu memastikan pemandu sentiasa segar, jika mengantuk tukar pemandu kedua.

Penutup

Mungkin ada yang sinis bila diajukan idea ini. Mungkin ada yang ketawa mendengar idea ini, mungkin sampai berguling.

“Tidak relevan..tidak relevan, mengarut sahaja.”

Ini hanya sebagai salah satu cadangan penyelesaian di antara banyak penyelesaian yang lain. Sama-sama kita berfikir. Tepuk dada tanya iman.

Friday, 5 November 2010

Hakikat sabar


Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.” (Riwayat Bukhari)

Huraian

i) Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.

ii) Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (al-Baqarah :156)

iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.

v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

Sumber: JAKIM

Wednesday, 3 November 2010

CERAMAH AGAMA

PROGRAM : KULIAH AGAMA
TARIKH : 07 NOVEMBER 2010
TEMPAT : MUSOLLA AR-RAUDHAH, TAMAN PELINDUNG PERDANA.

PENCERAMAH :
  1. USTAZ NASRUDIN TANTAWI
  2. USTAZ AZMAN SYAPAWI ABD RANI
  3. USTAZ MOKHTAR SENIK


JEMPUT BERAMAI-RAMAI!!!

Monday, 1 November 2010

Wira yang tak didendang..??

SEJARAH MAT KILAU

PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.

Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah. Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik. Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Dato' Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah. Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.

Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu. Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tok ku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan. 

Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu. Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.

KEMUNCULAN MAT KILAU
 
Alkisah, maka pada tanggal 27 hb. Disember 1969, Mat Din telah dibawa oleh anak-anak cucunya ke Masjid Kampung Pulau Tawar dan pada hari Jumaat itu juga, orang ramai sungguh terkejut apabila mengetahui orang tua yang bernama Mat Din itu adalah Mat Kilau bekas Pahlawan Melayu Pahang yang cukup terkenal menentang penjajahan Inggeris dulu. 

Susulan daripada itu, atas perkenan Sultan Pahang sebuah Jawatankuasa Penyiasat telah ditubuhkan yang diketuai oleh Dato' Abdul Aziz Ahmad telah menjalankan tugas untuk menyiasat perkara tersebut iaitu pada 6 hb. Ogos 1970. Hasil siasatan yang dibuat , maka Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Haji Yahya Mohd Seth telah mengisytiharkan kesahihan Mat Din adalah sebenarnya Mat Kilau , yang pada ketika itu telah berusia 123 tahun. 

Beliau dilahirkan di Kg.Kedondong Pulau Tawar, pada usia 12 tahun beliau telah dihantar oleh bapanya Imam Rasu ke Terengganu untuk belajar sekolah pondok. Sesudah tamat belajar, Mat Kilau kembali ke Pulau Tawar dan Sultan Pahang berkenan menganugerahi daerah Budu untuk ditadbir oleh beliau..

Apabila Dato' Bahaman menentang penjajahan Inggeris pada tahun 1891, Mat Kilau telah membantu dan menyebelahinya. Beberapa tahun kemudian Mat Kilau terpaksa meninggalkan Pahang kerana serangan bertubi-tubi dari pihak Inggeris dan tali barut mereka yang telah mengkhianati pahlawan-pahlawan Melayu Pahang.

LATAR BELAKANG MAT KILAU
 
Imam Rasu atau Tok Gajah adalah ayah kepada Mat Kilau. Ibu Mat Kilau adalah Teh Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut, Burau. Mat Kilau dilahirkan sekitar tahun 1865/1866 di Kg. Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut Pahang. Mat Kilau dijaga dan dipelihara seperti kanak-kanak lain di kampung. 


ZAMAN KANAK-KANAK

Mat Kilau diserah mengaji Quran dengan beberapa kanak-kanak lain. Mat Kilau mengaji dengan tekun hinggakan dia pandai membaca Quran dengan berbagai lagu.

Apabila tamat Quran Mat Kilau belajar berzanji dan diikuti dengan berdikir Maulud. Setelah pandai berzanji dan berdikir Maulud, barulah Mat Kilau belajar berdikir rebana yang lebih terkenal sebagai 'Dikir Pahang'.
Oleh kerana suaranya merdu, maka jadilah Mat Kilau sebagai seorang pendikir yang terkenal di Pulau Tawar.

HOBI MAT KILAU

Semasa kecil Mat Kilau suka bermain gasing. Oleh itu kerana Mat Kilau pandai main gasing, maka dialah yang dijadikan jurumudi, iaitu orang yang memangkah terakhir. Apabila ada perlawanan main gasing seperti melawan pasukan Pedah di sebelah Hulu Atau Burau di sebelah Hilir, Mat Kilau dijadikan Ketua pasukan Kampung Masjid. 

Setelah remaja, Mat Kilau mengambil bahagian di dalam permainan orang-orang dewasa iaitu berlaga buah keras. Disebabkan dia seorang pemuda yang kuat kudrat, maka Mat Kilau dijadikan orang tukang hencang.
Mengikut apa yang diketahui Mat Kilau tidak pernah menghencang tidak pecah. Dia jadi lebih terkenal sebagai penghencang buah keras apabila Sultan Ahmad (Sultan Pahang ketika itu ) sampai dan bersemayam di Pulau Tawar . 

Mat Kilau juga gemar pergi berburu. Apabila 'peran tua' (ketua berburu) tidak berburu. Mat Kilau dijadikan peran. Akhirnya Mat kilau dijadikan Tok Peran. 

Sebagai pemburu Mat Kilau telah memperolehi banyak pengetahuan bersangkut paut dengan hutan. 

PERKAHWINAN MAT KILAU
 
Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong, Pulau Tawar. 

Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. 

ILMU YANG DIPELAJARI
 
Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. 

Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. 

Tentang ilmu batin pula Mat Kilau banyak menuntut ilmu kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri.
Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah.

Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang. 

SIKAP PERIBADI MAT KILAU
 
Mat Kilau mempunyai sifat-sifat pemimpin, maka beliau telah menjadi seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. 

Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford (Residen British di Pahang) telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan anak Tok Gajah iaitu Mat Kilau itu sendiri. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau.

Mat Kilau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat terutamanya bagi penduduk setempat. 

Mat Kilau juga merupakan seorang yang amat disegani. Ini bukan kerana dia adalah seorang anak orang yang berpangkat tetapi kerana kejujurannya. 

Mat Kilau adalah seorang yang tegas maka dia bukan sahaja disegani bahkan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya .Pengikutnya terlalu ramai, tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau. 

KEMATIAN MISTERI MAT KILAU
 
Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. 

The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895.". 

The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". 

Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober, 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau, akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa oarang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. 

KEMUNCULAN MAT KILAU
 
Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. 

Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam. 

Dalam bulan Disember 1969, Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar.
Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai, maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar. 

Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. 

Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. 

Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. 

Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis 6hb. Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. 

Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. 

Usianya ketika itu dipercayai berusia 123 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita dengan lebih lanjut.


MASJID KAMPUNG PULAU TAWAR

Masjid inilah yang telah merakamkan detik sejarah penuh suka dan duka masih wujud hingga ke hari ini di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Usianya hampir 200 tahun. Terletak kira-kira 30 minit dari bandar Jerantut.
Suasana kehidupan tradisional masyarakat Melayu yang bermastautin di pesisiran Sungai Pahang masih tebal. Malah degup sejarah serta nostalgia abad ke-18 dan 19 seolah-olah baru sahaja berlalu. Masjid lama itu terletak berdekatan tebing Sungai Pahang yang jernih airnya.

Kewujudan masjid lama di situ berkaitan sejarah kepahlawanan Melayu Tok Gajah, Mat Kilau dan pengikutnya kerana di situlah tercetusnya kebangkitan semangat nasionalisme menentang penjajah Inggeris di Pahang. 

Namun begitu masjid lama itu lebih sinonim berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu serta syiar Islam bermula dari kurun ke-18 hingga awal tahun 1970-an. Perkembangan institusi pengajian pondok di Pulau Tawar berhubung rapat dengan masjid lama itu. 

Di situlah markas tempat berkumpulnya tokoh ulama terkenal yang berasal dari Sumatera seperti allahyarham Imam Malim, allahyarham Imam Ahmad, allahyarham Imam Haji Abd Rahim, allahyarham Imam Daud dan allahyarham Imam Yahya. Masjid lama itu berperanan menyebarkan dakwah Islamiah.

Malahan ramai pelajar dari seluruh Jerantut, Kelantan dan Terengganu datang belajar di situ pada kurun ke-18. Menurut keterangan orang-orang tua, tapak asal pembinaan masjid lama itu dilakukan oleh Imam Perang Rasu (Tok Gajah), Mat Kilau serta orang-orang Melayu Pulau Tawar pada awal tahun 1880-an. 

Masjid lama itu kemudiannya dibangunkan dengan wajah baru pada tahun 1923, tetapi ia tetap mengekalkan perspektif seni bina tradisional yang menggunakan kayu dan pelupuh dari hutan tempatan. 

Dalam buku Sejarah Pahang ada menceritakan pembesar British, Hugh Clifford, pernah mendarat di tebing berdekatan masjid itu untuk mengadakan perundingan dengan Mat Kilau dan Tok Gajah serta penduduk Pulau Tawar supaya jangan mencampuri urusan pentadbiran Inggeris di Pahang.

Setelah mengalami kerosakan teruk diancam banjir besar tahun berikutnya, masjid lama itu mengalami sekali lagi perubahan dengan binaan simen di bahagian bawah serta lantainya supaya kelihatan lebih teguh. Walaupun berhadapan dengan arus putaran masa, kubah dan mimbar masjid berkenaan masih lagi dalam bentuk binaan asal iaitu mempunyai ciri-ciri pengaruh senibina Minangkabau. 

Yang lebih unik, sehingga ke hari ini, sebatang tongkat yang dibuat daripada kayu teras berusia hampir sama dengan pembinaan masjid asal masih tersimpan rapi dan digunakan oleh khatib sewaktu membaca khutbah. Sebuah beduk kayu yang juga berusia hampir dua abad hilang dari masjid berkenaan dipercayai dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab beberapa tahun lepas. 

Di masjid lama Pulau Tawar itulah berlaku sejarah pengistiharan diri Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau pada 26 Disember 1969 setelah menghilangkan diri buat sekian lama. Sebelum mengisytiharkan dirinya pada hari Jumaat, Mat Kilau pernah beberapa kali singgah di masjid itu menyamar sebagai peniaga dan orang luar.

Sehingga pertengahan tahun 1995 tinggallah masjid lama tersebut digigit sepi malah diselimuti dengan semak samun setelah penduduk di situ menggunakan masjid baru. Namun masjid lama itu sering didatangi oleh ahli sejarawan tempatan, siswa universiti, pelajar sekolah serta orang perseorangan untuk merakamkan sejarah dan melihat seni bina di luar dan dalamnya. 

JEJAK MAT KILAU
 
Laluan pahlawan Melayu kini destinasi unik buat pencinta keindahan flora dan fauna.

JEJAK Mat Kilau, laluan yang digunakan pahlawan Melayu terbilang, Mat Kilau ketika menentang penjajah kini dijadikan laluan untuk peminat aktiviti lasak dan pencinta alam bagi melihat keindahan flora dan fauna sepanjang jejak yang ditinggalkan.

Dipercayai ada tiga laluan utama digunakan Mat Kilau yang setiap satu menghubungkan Pahang dengan Terengganu, Kelantan dan Perak bagi mendapat dan meraih sokongan penduduk di kawasan berkenaan untuk menentang penjajah Inggeris.

Bagaimanapun, daripada tiga laluan itu hanya dua laluan sering digunakan pencinta alam dan penggemar aktiviti sukan lasak ketika ini iaitu laluan Pahang ke Perak dan laluan Pahang ke Terengganu.

Mat Kilau bersama-sama tokoh pejuang seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut dan Tok Gajah yang juga ayahnya memiliki kelebihan menguasai ilmu hutan dan ia menjadi kekuatan mereka untuk mengelak daripada ditangkap pemerintah British.

Di Terengganu, Mat Kilau turut meninggalkan kubu yang digunakan menentang penjajah yang diketuai Residen Inggeris, Hugh Clifford di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja, Dungun.

Laluan antara Pahang dan Terengganu agak berbukit bukau serta laluan sungai yang perlu diharungi hampir 60 peratus daripada keseluruhan perjalanan melalui laluan itu. Antaranya, mengharungi Bukit Lata ****** dan Bukit Gelugor ke puncak Gunung Main Angin (1,460 meter) yang agak memenatkan sebelum menyusur turun dan melalui semula laluan sungai untuk ke Kampung Bantal menggunakan rakit.

Laluan ketiga membabitkan laluan dari Ulu Tembeling di Pahang ke Hulu Terengganu (kini sebahagiannya sudah menjadi Tasik Kenyir) dan ke Hulu Kelantan (Gua Musang). Bagaimanapun, laluan ini kurang dikenali kerana hampir sebahagian daripada laluan utama sudah ditenggelami air Tasik Kenyir berikutan kerja membina empangan yang jalankan.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusoff Abdullah, berkata laluan yang digunakan Mat Kilau sebenarnya laluan biasa penduduk pedalaman ketiga-tiga negeri terbabit yang digunakan untuk mencari hasil hutan terutama damar dan kayu gaharu.

Katanya, daripada tiga laluan yang ada, laluan Pahang (Kampung Bantal) ke Terengganu (Kampung Pasir Raja) adalah yang paling popular kerana ia menghubungkan persaudaraan antara dua negeri yang masih kekal dan terus digunakan hingga ke hari ini. 

LALUAN JEJAK MAT KILAU
 
Ada tiga laluan digunakan, bagaimanapun hanya dua masih digunakan dengan meluas baik oleh peminat sukan lasak, pencinta alam dan ahli sejarah.

1. Laluan Pahang ke Perak bermula di Lata Lembik, Kampung Ulu Sungai, Raub hingga ke Batu Hidang, Pos Bersih, Ulu Slim, Perak. Laluan ini sejauh 34 kilometer dan mengambil masa antara dua ke tiga hari untuk dihabiskan (jika bermalam)

2. Laluan Pahang ke Terengganu bermula di Kampung Pasir Raja, Dungun ke Kampung Bantal, Hulu Tembeling yang lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima hari untuk dihabiskan.

Antara laluan paling sukar kerana terpaksa mudik ke hulu dan melalui laluan sungai.

Laluan ini sering digunakan penduduk antara kedua-dua negeri kerana mereka mempunyai talian persaudaraan dan menjadi antara laluan yang paling popular di kalangan pelancong atau peminat aktiviti lasak.

Laluan ini sebenarnya digunakan penduduk setempat untuk mencari hasil hutan terutama damar dan kayu gaharu.

3. Laluan Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula dari Sungai Tembeling (Taman Negara Pahang) hingga ke Sungai Pertang (Hulu Kelantan/Hulu Terengganu) yang sebahagiannya kini sudah tenggelam kerana pembinaan empangan di Tasik Kenyir. 

KRONOLOGI PERJUANGAN MAT KILAU
 
Mac 1892 - Tok Gajah bertemu dan bersatu dengan Mat Kilau di Kampung Budu, Raub untuk menyerang tentera Hugh Clifford di Kuala Lipis. 

9 April 1892 - Mat Kilau tidak sempat berperang dengan Inggeris dan beliau dibawa Haji Muhammad Nur ke Bukit Bentang bertemu Datuk Maharaja Perba Jelai

Mei 1892 - Inggeris mara ke Kampung Budu tempat Mat Kilau berkampung dan selepas mengetahuinya beliau melarikan diri ke hutan dan bersatu dengan Datuk Bahaman di Kampung Hulu Cempaka bagi meneruskan perjuangan menentang Inggeris

13 Julai 1892 - Pasukan Pengakap daripada pasukan Walker dan Clifford berkhemah di Lechau dekat Kampung Budu diserang kumpulan Mat Kilau dan Datuk Bahaman berhampiran Batu Berapit. Mereka kemudiannya berundur meninggalkan kawasan itu. Mat Kilau dan pengikutnya bersatu dengan Tok Gajah di Pasir Atas (tepi Sungai Tembeling)

22 Ogos 1892 - Mat Kilau dan adiknya Awang Nong membawa pasukannya menyerang Inggeris di Kuala Atuk (tepi Sungai Tembeling) yang diketuai R W Duff dan Panglima Garang Yusoh. Dua pengakap Inggeris terbunuh. Mat Kilau dan Awang Nong berundur membawa pengikut mereka ke Kuala Tembeling.

Oktober 1892 - Keadaan Pahang agak tenang, Sultan Ahmad mengikut nasihat Sultan Abu Bakar (Johor) dan Inggeris mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai rakyat Pahang yang dicop penderhaka kecuali Datuk Bahaman dan Tok Gajah.

Tok Gajah bersama anaknya Mat Kilau dan Awang Nong membawa pengikutnya berundur ke hulu Sungai Tembeling dan menyeberangi sempadan Pahang dan Kelantan hingga sampai di Kuala Tenggeling di Hulu Lebir, Hulu Kelantan

Akhir 1892 - Orang Melayu Pahang di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau yang menentang Inggeris di Pahang diusir keluar ke Hulu Kelantan

Mei 1894 - Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau berpindah dari Hulu Kelantan ke Kuala Terengganu dan tinggal di Kampung Seberang Engku Ngah. Ketika di Kampung Seberang Engku Ngah, Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau selalu berulang alik ke Kampung Paloh dan berjumpa Tok Engku Sayyid yang dianggap keramat

Pertengahan 1894 - Mereka kembali ke Hulu Kelantan

Jun 1894 - Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Mat Kelubi dari Hulu Kelantan membawa 100 pengikut pergi ke Hulu Pahang menghilir Sungai Tembeling

14 Jun 1894 - Mereka menyerang Inggeris di Kuala Tembeling. Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau ke Pulau Tawar berjumpa Panglima Garang Yusoh dan Maharaja Perba Jelai.

Kembali ke Sungai Tembeling mendirikan kubu di Jeram Ampai (berhampiran Kuala Tembeling)

Tok Gajah, Datuk Bahaman dan Mat Kilau serta pengikut menghilir Sungai Kelantan sampai ke Kemuning (berhampiran Tanah Merah)

6 Jun 1895 - Hugh Clifford sampai di Pasir Nering, Kuala Berang kerana percaya Mat Kilau bersembunyi di sana

Oktober 1895 - Mat Kilau ditangkap askar Siam dan membawanya ke Kota Bharu, Kelantan. Dalam perjalanan ke sana Mat Kilau dipercayai melawan dan askar Siam dikatakan memukul kepala Mat Kilau hingga tidak sedarkan diri dan dianggap mati.'Mayat' Mat Kilau diserahkan kepada Sultan Kelantan dan dia didapati masih hidup. Sultan Kelantan kemudian menyuruh Mat Kilau melarikan diri dan upacara gimik mengebumikan Mat Kilau dilakukan di Bunut Payung dekat Kota Bharu menggunakan batang pisang

MAT KILAU SEMPAT LAUNG MERDEKA
 
Daripada ramai pahlawan Melayu Pahang yang bangkit menentang penjajahan Inggeris pada 1880-an, hanya seorang daripada mereka yang sempat menyaksikan sendiri detik kemerdekaan negara.

Dia ialah Mat Kilau, anak kepada pembesar Imam Perang Rasu (Tok Gajah), yang bangkit menentang kedatangan Inggeris ke Pahang pada sekitar 1880-an dan 1890-an. Lebih daripada itu, Mat Kilau juga berpeluang melaungkan ungkapan keramat "Merdeka!" pada 31 Ogos 1957, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh rakan-rakan perjuangan seangkatan dengannya seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut atau yang lebih awal seperti Datuk Maharaja Lela dan Dol Said.

Namun, pada hari berkenaan tiada seorangpun daripada puluhan ribu manusia yang berkumpul di Padang Masjid Negeri di Kuantan mengetahui bahawa orang tua yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di kalangan mereka adalah Mat Kilau. 

12 TAHUN ISYTIHAR DIRI
 
Anak angkat Mat Kilau yang kemudian menjadi menantunya, Abu Bakar Awang, 80, berkata sebelum mengisytiharkan dirinya yang sebenar, Mat Kilau sentiasa berdalih setiap kali ditanya tentang asal-usul dirinya, mungkin kerana khuatir beliau belum lagi diampunkan oleh sultan. Semasa kebangkitan itu, Pahang berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muazam Shah.

"Beliau juga mengambil masa hampir 12 tahun selepas merdeka sebelum tampil mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau kerana khuatir sultan belum mengampunkan dirinya yang dianggap sebagai penderhaka," katanya.

Salah seorang anak Mat Kilau, Aminah, 80, yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu 5, Jalan Gambang Kuantan mengesahkan bahawa sebelum perisytiharan tentang identitiya, beliau dan anak-anak lain tidak pernah menyangka bahawa manusia yang bergelar Mat Siam itu adalah pahlawan yang digeruni Inggeris.

Aminah adalah antara empat daripada lima orang anak Mat Kilau yang masih hidup dan tinggal di sekitar Kuantan. Yang lain ialah Sabariah, Abdul Rahman, Salamah dan Razali, manakala anak bongsunya, Zaleha, yang berkahwin dengan Abu Bakar meninggal dunia pada 1978.

Meneruskan ceritanya, Abu Bakar berkata beliau adalah antara orang yang paling gembira apabila mengingat kembali keghairahan luar biasa Mat Kilau menunggu saat-saat perisytiharan kemerdekaan.

"Hari itu (31 Ogos 1957) awal-awal pagi lagi dia sudah bangun dan lepas sembahyang subuh dia terus bersiap untuk ke bandar Kuantan apabila mendapat tahu upacara sambutan juga akan diadakan di peringkat negeri, selain daripada Stadium Merdeka di Kuala Lumpur.

"Saya agak hairan melihat dia beria-ia benar hendak ke Padang Masjid Negeri. Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, saya lihat dia begitu bersemangat sekali untuk turut menyambut hari bersejarah itu," katanya.

GURU SILAT

Abu Bakar yang kini menjadi guru utama Seni Silat Tapak Setia Suci, seni yang diwarisi daripada bapa mertuanya itu, berkata beliau masih ingat pada hari berkenaan Mat Kilau memakai kemeja-T leher bulat warna putih, kot warna kelabu, berseluar panjang dan bersamping serta lengkap berkasut, manakala kepalanya pula berlilit kain cindai.

"Saya sendiri tidak tahu di mana beliau perolehi semua itu dan apakah maksud tersirat di sebalik melilit kain cindai di kepala," katanya.Menurut tradisi, kain cindai iaitu sejenis kain sutera nipis untuk lilitan kepala atau bengkung yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu ketika turun ke gelanggang untuk berhadapan dengan musuh.

Meneruskan ceritanya tentang detik-detik pagi keramat itu, Abu Bakar berkata gelagat bapa mertuanya yang ternyata amat bersemangat itu menyebabkan isteri Mat Kilau, Ajrah Bakar menganggapnya sebagai "buang tabiat".

Selesai bersiap-siap, Abu Bakar dan Mat Kilau keluar rumah dan sama-sama menunggu bas percuma yang disediakan pihak berkuasa sempena sambutan itu.

Walaupun bas berkenaan penuh sesak hingga memaksa ramai yang berdiri dan berhimpit-himpit, Mat Kilau tetap nekad dan seolah-olah tidak sabar untuk ke padang berkenaan.

"Bila sampai di padang kami sama-sama menunggu detik laungan Merdeka. Sempat juga tengok orang berarak... kereta berhias pun ada dan dia (Mat Kilau) hari itu kelihatan cukup seronok," katanya.

Apabila laungan merdeka kedengaran, Mat Kilau turut serta melaungkan merdeka. 

CUBA BERI BAYANGAN
 
Malah ketika berada di padang itu, Mat Kilau ada cuba memberi bayangan kepada Abu Bakar tentang siapa dirinya sebenar dengan berkata: "Tengok, siapa sangka aku juga sempat melihat (negara) merdeka".

Abu Bakar yang tinggal bersama Mat Kilau sejak berusia 18 tahun berkata walaupun tidak berupaya untuk pergi ke Stadium Merdeka di mana perisytiharan kemerdekaan peringkat kebangsaan diadakan, bapa mertuanya tetap berpuas hati kerana dapat turut melaungkan "Merdeka!" di padang Kuantan itu.

Bagi Abu Bakar, laungan itu adalah manifestasi sebenar kegembiraan seorang pahlawan yang terpaksa menjalani liku-liku kehidupan penuh keperitan semata-mata kerana bangkit mempertahankan maruah bangsa dan agama serta kedaulatan tanahairnya.

Beliau juga berharap agar sesetengah teks sejarah disemak atau ditulis semula kerana masih ada kalangan yang terus menganggap Mat Kilau sebagai seorang penderhaka raja.

"Pihak Inggeris yang melabelkan Mat Kilau serta rakan-rakannya termasuk Datuk Bahaman sebagai pemberontak dan penderhaka, semata-mata untuk mengabui mata rakyat agar perjuangan mereka ketika itu tidak mendapat sokongan," kata Abu Bakar yang juga Ketua Kampung Batu 5.

Cucu Mat Kilau, Alhamadi Abu Bakar, 40, berkata datuknya tidak meninggalkan apa-apa harta pusaka kecuali semangat perjuangan dan keberanian untuk diwarisi generasi sekarang dan akan datang agar negara tidak kembali dijajah

DEMIKIANLAH ADANYA KISAH MAT KILAU
 
Semoga kisah ini menjadi satu peransang kepada kita semua untuk menjadi matarantai perjuangan mereka. Sesungguhnya para pejuang terdahulu adalah contoh pejuang yang ikhlas dalam mempertahankan tanahair dari penjajah. Mereka adalah wira yang tak didendang... 

Adaptasi artikel dari cucumatkilau online (25 Julai 2006)