Sahabat Sejati

Showing posts with label program. Show all posts
Showing posts with label program. Show all posts

Friday, 27 February 2026

Tubuh Yang Tewas, Jiwa Yang Terjaga

05 Ramadan 1447H - Melepek. Bukan melepak.

Hari ini aku melepek di perbaringan. Demam urat, batuk dan selsema datang menziarah tanpa jemputan. 

Kebelakangan ini, setiap kali pulang dari misi seberang laut, beginilah jadinya. Tubuh ini seperti menuntut haknya. Seakan berkata, “Aku bukan lagi seperti dahulu.” Akur. Usia tidak pernah menipu. Kudrat tidak lagi sama seumpama dulu. 

Namun dalam lemah itu, ada satu rasa yang tidak pernah lemah, iaitu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkhidmat. 

Aku sedar, misi kemanusiaan bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang memberi walau dalam keterbatasan. Tentang hadir walau diri sendiri belum sempurna. Dan mungkin inilah pelajaran terbesar Ramadan kali ini, bahawa kekuatan sebenar bukan pada tubuh yang tidak pernah sakit, tetapi pada hati yang tidak pernah jemu untuk peduli. 

'Masjid Desa Pante Beureune, di Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya yang dijadikan posko agihan sembako dan uang tunai kepada setiap keluarga. Puing-puing banjir masih kelihatan' 

Jika suatu hari nanti kaki ini tidak lagi mampu melangkah jauh, biarlah doa tetap mampu terbang lebih jauh daripada pesawat yang pernah aku naiki. Kerana akhirnya, yang kekal bukan perjalanan, bukan pujian, bukan gambar-gambar yang sempat dirakam, tetapi kesan kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain. 

Dan andai tubuh ini semakin menua, biarlah jiwa terus muda dalam berbuat baik.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Tuesday, 24 February 2026

Pulang Dengan Jiwa Yang Tidak Lagi Sama

04 Ramadan 1447H

Alhamdulillah. Kaki ini akhirnya menjejak kembali bumi 'Malaya' yang bertuah. Menamatkan musafir ke tanah jiran serumpun. 

Bermula di Aceh Tamiang, kemudian pulang seketika melepas rindu pada keluarga, kemudian terbang kembali menyambung tugas di Aceh, tetapi lokasinya di Pidie Jaya pula. Ia bukan perjalanan yang dekat. Bukan juga perjalanan yang ringan. Ia jauh dari segi jarak, dan lebih jauh lagi dari segi rasa. 

'Sebuah rumah yang telah dibuang lumpur sekelilingnya, tetapi tatkala hujan ia digenangi air pula. Lihat paras lumpur pada dindingnya'

Aku sempat menyambut Ramadan beberapa hari di bumi Aceh. Berpuasa di tanah yang baru saja diuji. Berbuka dengan wajah-wajah yang masih menyimpan luka. Ada perbedaan budaya yang aku raikan iaitu cara mereka menyambut Ramadan, berterawih dan sebagainya. Namun di sebalik semua perbezaan itu, satu perkara terasa sama: iman yang bertahan walau dunia runtuh seketika. 

Ramadan di sana mengajarku sesuatu, bahawa lapar itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi memahami perut-perut yang kosong bukan kerana pilihan, tetapi kerana keadaan. 

'Seorang bocah dihadapan rumahnya. Perhatikan lumpur yang hampir mencecah bumbung dan sudah pun mengeras'

Berbagai pengalaman terpahat di hati. Bau lumpur yang masih teringat, suara kanak-kanak yang tetap ketawa walau rumahnya hilang, wajah-wajah tua yang tidak pernah berhenti mengucap “Alhamdulillah”. Semua itu tidak akan hilang. Ia sudah menjadi sebahagian daripada aku.

Wednesday, 7 January 2026

Misi Kemanusiaan Tamiang Aceh (Part 1): Bermula Perjalanan

Pesawat yang akan kami naiki dijadualkan berlepas jam 8.30 pagi. Semalam, kami menginap di pejabat HQ YAM di Labohan Dagang, ruang yang sederhana, tetapi penuh dengan niat yang besar. Lantai keras menjadi alas tidur, dan doa menjadi selimut yang paling hangat. 

Seawal jam 6.00 pagi, kami sudah berada di KLIA. Langit masih kelabu, mata masih berat, namun hati sudah melangkah jauh meninggalkan tanah sendiri, menuju tanah orang yang sedang diuji. Harapannya satu, moga penerbangan ini tidak tertangguh, moga segala urusan dipermudahkan. 

Kami tidak terus ke Aceh. Destinasi awal kami ialah Bandara Kualanamu, Medan. Dari situ, perjalanan darat menanti. Mungkin tiga hingga empat jam, mungkin lebih, bergantung kepada keadaan jalan dan takdir di sepanjang laluan.  

Keputusan ini bukan tanpa sebab. Pada awal bencana, pemerintah Indonesia tidak membenarkan kemasukan bantuan daripada relawan luar (sekarang telah dibenarkan). Maka kami memilih jalan yang lebih sunyi, turun sebagai pelancong di Medan, kemudian menyambung ke Tamiang Aceh, menyimpan niat sebagai hamba. Bukan untuk menipu, tetapi untuk memastikan bantuan sampai. Kerana dalam keadaan darurat, yang lebih penting bukan siapa kita, tetapi apa yang kita bawa, dan kepada siapa ia ditujukan. 

Bandara Kualanamu, telah menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke Tamiang

Sepanjang penerbangan, doa tidak putus dari bibir. Di antara dengungan enjin dan awan yang berarak perlahan, fikiran saya melayang ke Tamiang Aceh. Bagaimana keadaan mereka di sana? Apakah air sudah surut, atau masih mengurung rumah dan kenangan? Apakah anak-anak masih mampu tersenyum, atau senyum itu sudah lama hanyut bersama arus banjir? 

Perjalanan ini bukan sekadar perpindahan jasad dari satu negara ke negara lain. Ia adalah perjalanan hati, dari selesa kepada peduli, dari tenang kepada tanggungjawab. 

Dan saya tahu, di hujung jalan yang panjang ini, ada manusia yang sedang menunggu, bukan kami, tetapi harapan.

Bersambung Part 2.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca. 

Monday, 24 November 2025

InsyaAllah, tahun ketiga jadi "Geng Sedut Darah'

Medal gangsa 'ADIWIRA PAHANG' daripada HTAA untuk penderma darah kali ke 48. Sahabat saya punya, bukan saya

“HTAA dah bagi tarikh kosong untuk derma darah Ramadan nanti..”
ujar seorang sahabat saya, pagi tadi. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak Unit Tabung Darah HTAA menghantar senarai tarikh kosong kepada kami untuk ditawarkan kepada masjid-masjid yang berminat menjadi tuan rumah. Bagi Ramadan tahun 2026 nanti, ada 10 tarikh semuanya, cukup untuk kami susun satu perjalanan kecil sepanjang Ramadan nanti. 

2025 - Di MTBZ

Ramadan yang bakal tiba ini menandakan masuk tahun ketiga kami di Yayasan Amal Malaysia berkolaborasi dengan HTAA dan masjid-masjid sekitar Kuantan dalam kempen derma darah Ramadan. Dan ya.. ini juga tahun ketiga saya officially menyertai Geng “Sedut Darah”, nama manja kami bagi memudahkan cerita. 

Selalunya, bukan sahaja masjid di sekitar Kuantan yang berminat. Ada juga satu dua masjid dari daerah lain yang akan menghantar permohonan untuk turut serta menjadi tuan rumah. Bila semangat rakyat Malaysia untuk beramal bertemu dengan Ramadan, memang cepat saja jadual penuh. 

2025 - Di MTAA

Kempen Derma Darah Ramadan ini salah satu ikhtiar kecil kami membantu pihak Unit Tabung Darah HTAA menampung bekalan darah yang sering kritikal, terutama bila tiba musim perayaan. Ramai yang bercuti, banyak kes kecemasan, dan keperluan darah meningkat. 

Jadi, apa yang kami buat ini mungkin nampak sederhana.. tapi besar maknanya untuk mereka yang memerlukan. 

2025 - Di MSAS

Setiap Ramadan, selain ibadah dan amal peribadi, kami harap usaha kecil ini menjadi sebab lebih ramai orang dapat diselamatkan. Semoga tahun ketiga ini lebih lancar, lebih meriah, dan lebih banyak pahala yang mengalir untuk semua yang terlibat.

** Kempen derma darah ini diadakan pada sebelah malam. Tahun lalu 8 buah masjid di daerah Kuantan dan 1 di Temerloh.  

Thursday, 6 November 2025

Catatan Hari Ini – Dalam Sakit Ada Didikan

Banner program

Hari ini tubuh masih belum sepenuhnya kuat. Seluruh sendi terasa berat dan tidak selesa, namun saya gagahkan juga melangkah ke tempat bertugas. Ada beberapa amanah yang perlu dibereskan, dan selagi mampu, saya cuba bertahan. 

Dalam hati, saya hanya mampu memohon, “Ya Allah, Engkau yang menganugerahkan penyakit, di sisi Engkau jua penawar kesembuhannya.” 

Hujung minggu nanti saya dijadualkan ke Raub. Sabtu dan Ahad bersama sahabat-sahabat yang lain. Kami akan bermalam di Kampung Orang Asli (KOA) di Sungai Yol. Program dakwah dan kebajikan yang sudah lebih sebulan disusun, turun naik bertemu agensi, ulang-alik ke kampung tersebut, merancang langkah demi langkah. Tentu ada rasa ralat di sudut hati jika akhirnya tidak dapat hadir. 

Sempat singgah beli, untuk acara lelaki dewasa

Namun, jika ini ketentuan-Nya, apa lagi daya kita? Perjalanan hidup ini bukan milik kita sepenuhnya. Kita merancang sekadar hamba, sedang rancangan terbaik tetap milik Allah. Ada masanya kita ingin berlari, tetapi Dia mengajar kita untuk berhenti, berehat, merenung, lalu menyerah diri kepada takdir-Nya. 

Apapun jalannya, redha itu jalan paling tenang. 

Ya Rabb.. sembuhkanlah. Berikanlah kekuatan untuk melangkah lagi.

Allahu al-Musta`an.. 

Sunday, 26 October 2025

Secebis Penat, Selaut Pahala.. Mudah-mudahan

Pagi ini saya ke Megamall, menyertai kempen Derma Darah anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Sebagai urusetia, tugasan kami bermula seawal pagi, memastikan segalanya berjalan lancar dari awal hingga akhir.

Penat? Memang penat. Semalam baru pulang ke rumah, hari ini sudah merempit semula — merempit manja katanya. Tapi dalam setiap langkah, saya teringat pesan seorang murabbi yang selalu menenangkan jiwa: 

“Jika kamu penat berbuat kebaikan, ingatlah penat itu hanya satu perasaan. Ia akan hilang.. tetapi pahalanya akan terus berpanjangan.” 


Hari ini, biarpun tubuh terasa letih, hati terasa lapang. Gembira melihat wajah-wajah penderma yang datang dengan senyum dan keikhlasan. Bahagia juga bertemu rakan-rakan relawan yang sama-sama berjuang dalam diam, memberi tanpa mengharap balasan. 

Terima kasih kepada semua yang terlibat, pihak Unit Tabung Darah HTAA, para penderma, dan para relawan yang sentiasa ada di barisan hadapan kebaikan. 


Moga setiap titis darah yang disumbangkan menjadi titis kasih yang menyelamatkan nyawa, dan setiap langkah yang kita ayunkan hari ini, menjadi langkah menuju redha-Nya.

Petang, zzz.. zzz.. 

Tuesday, 16 September 2025

🇲🇾✨ Selamat Hari Malaysia 2025 ✨🇲🇾

 

Hari ini kita menyambut ulang tahun lahirnya sebuah negara bernama Malaysia, tanah air yang kita cintai, tempat berpijak, tempat berteduh, tempat kita berkongsi suka duka. 

Malaysia bukan sekadar peta di atlas, tapi cerita hati rakyatnya. Dari Sabah ke Sarawak, dari utara ke selatan, kita dipertemukan dalam satu nama, Malaysia. 

Marilah kita terus pupuk kasih sayang, eratkan silaturrahim, dan jadikan perbezaan itu sebagai kekuatan. 

Moga Malaysia terus aman, makmur, diberkati Allah, dan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang penuh kebaikan dan harapan.

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

"Negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan" 

Selamat Hari Malaysia 2025!

Wednesday, 10 September 2025

Ziarah Mahabbah ke KOA Sungai Yol, Raub

Hari ini, saya bersama team YAM Pahang bergandingan dengan YAM Pusat telah menjejakkan kaki ke Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Yol, Raub, dalam satu Ziarah Mahabbah yang penuh makna. 

Tujuan kunjungan ini tidak lain untuk mendapatkan gambaran awal sebelum menjayakan sebuah program bersama masyarakat orang asli yang insya-Allah akan berlangsung pada awal November nanti.  

Turut serta dalam ziarah ini ialah wakil PMOA Jakim, Ustaz Zahirudin, insan yang sabar dan tekun menyelia kerja-kerja dakwah di kawasan ini. 

Perbincangan awal kami bersama Tok Batin Marang membuka banyak ruang pengetahuan. Dari butir bicaranya, tersingkap kehidupan masyarakat di sini. tentang penduduk, kegiatan harian, serta keperluan yang wajar diberi perhatian. 

Jujurnya, saya teruja. Dikelilingi hutan hijau yang mendamaikan, seolah-olah alam turut mengiringi langkah kami dengan bisikan mesra. 

Semoga Ziarah Mahabbah ini menjadi jambatan ukhuwah yang lebih erat. Dan semoga program yang dirancang kelak benar-benar memberi manfaat, membekas indah dalam hati masyarakat orang asli di Sungai Yol.

Tuesday, 29 July 2025

Sungai Pahang - Bersama angin, bersama arus yang sabar.

Dengan sebuah bot tiup sederhana (inflatable boat), aku dan dua rakan mudik perlahan ke hulu Sungai Pahang, sungai tua yang menyimpan rahsia negeri dan cerita bangsa. Airnya keruh keemasan, tidak deras, tetapi tetap punya arah dan cita. Sesekali angin menyapa pipi, menyiram wajah dengan titis halus air yang terpercik dari birai bot yang melanggar arus. 

Di kiri dan kanan, rumah-rumah kayu berdiri setia di tebing, seperti penjaga waktu. Ada yang masih kukuh, beratap zink yang berkarat manja; ada juga yang condong, namun tetap tabah berdiri, mengingatkan aku kepada nenek tua yang sabar menunggu cucu pulang dari perantauan. 

Anak-anak kampung melambai dari pangkin, ada yang menjerit girang melihat botku, seperti melihat sesuatu dari luar dunia mereka. Ayam berkokok, lembu menguak, burung ruak-ruak terbang berkawan di celah semak bakung. Dan jauh di hutan seberang, bunyi seruling alam, mungkin dari burung tukang atau dari masa lalu yang bersiul pada kenangan. 


Aku terus mudik. Dalam diam, aku dengar denyut jantung sungai ini. Ia bukan sekadar sungai. Ia seperti urat nadi orang Pahang, membawa kisah pahlawan, nelayan, petani, dan anak-anak kecil yang membesar dengan mimpi di dalam pelita malam. 

Tiada kota, tiada deruan kenderaan bersimpang-siur. Hanya tenang yang menyapa jiwa, dan alam yang berbicara dengan bahasa sunyi. Di sungai ini, aku tidak mencari ke mana aku mahu pergi. Tapi aku sedang mengingat siapa aku pernah jadi.

Wednesday, 3 October 2018

Selamat berangkat semua!


Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kumpulan pertama Yayasan Amal Malaysia telah pun berlepas ke lokasi kejadian dalam rangka membawa bantuan kepada mangsa-mangsa. Kepada DIA jua diharapkan agar semua yang dirancang dapat disempurnakan dengan jayanya, dan dipermudahkan semua kesulitan.

Umum mengetahui apa yang telah terjadi di Sulawesi tempohari. Selang tidak lama selepas Lombok dilanda gempa bumi, berlaku pula susulan di Sulawesi yang lebih dahsyat lagi. Ekoran gempa bumi yang berlaku,   menyebabkan gelombang tsunami dan mengakibatkan korban jiwa serta kemusnahan harta benda. 

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang termasuk juga negeri-negeri lain pantas menggerakkan pengumpulan dana bagi maksud tersebut. Alhamdulillah, sambutan rakyat Malaysia amat membanggakan. Betapa pemurah dan prihatin warga negara ini dalam bab membantu mereka yang di dalam kesulitan. Satu lagi, apa yang boleh disebut adalah kepercayaan dan keyakinan kepada kami dalam menguruskan sumbangan infaq mereka. 

Hari ini telah berangkat kumpulan pertama membawa bantuan daripada rakyat Malaysia. Moga dipermudahkan semua kerja kebajikan ini. Allahu al-Musta`an.

Wednesday, 19 September 2018

Berakhir misi ke 3

Alhamdulillah, misi kemanusiaan mangsa gempa bumi Lombok telah pun berakhir. Kesemua sukarelawan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang yang ke sana telah pun selamat menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Misi menyantuni mangsa gempa bumi Lombok kali ini adalah misi yang ketiga.

Misi pertama pada mula-mula berlaku  kejadian gempa bumi, kemudian diikuti pula pada bulan Zulhijjah bersempena dengan sambutan hari raya korban. Kesemua sukarelawan yang ditugaskan untuk misi tersebut telah menyambut aidil adha di sana bersama-sama dengan para pengunsi. Seterusnya misi terbaru pada awal bulan ini, dan insya-Allah misi keempat dijangka pada pertengahan November depan. Doakan agar semuanya berjalan dengan lancar. 

Kronologi ringkas misi kemanusiaan mangsa gempa bumi Lombok Indonesia kali ini:

Dusun Apitai, Desa Guntur Macan, Kecamatan Gunung Sari, Lombok Barat. Perjalanan 1 jam dari Kota/Bandar Mataram 

1. Penyembelihan untuk aqiqah sebanyak 2 ekor lembu dan 7 ekor kambing. Diagihkan untuk 324 kepala keluarga dari 2 Dusun. 90% rumah musnah. 

2. Penyerahan bantuan al-Quran untuk 5 tempat Belajar Al-Quran (TPA) sebanyak 50 naskhah 

3. Ziarah ke rumah-rumah mangsa gempa dan menginap bersama relawan tempatan di khemah-khemah. 

Lokasi A - Dusun Dangiang Timur, Desa Dangiang, Kecamatan Kayangan, Lombok Barat. Perjalanan 3 jam dari Kota.Bandar Mataram. 

1. Penyembelihan 1 ekor lembu dan 10 ekor kambing. Sebahagian daging dimasak untuk jamuan bersama pengunsi gempa yang berada di sekitar posko Dangian. Kerja-kerja memasak dilakukan oleh relawan YAMCP. 

2. Agihan daging untuk pengunsi di dusun Sengiang, Desa Sesait Kecamatan Kayangan. Jarak kira-kira 5km dari tempat penyembelihan. Daging berjumlah 70 bungkus. 

3. Ziarah ke rumah-rumah mangsa gempa. 

Lokasi: B- Dusun Pandanan, Desa Malaka, Kecamatan Pemenang, Lombok Utara. 

1. Penyembelihan 1 ekor lembu dan 3 ekor kambing. Diagihkan kepada mangsa gempa di kawasan RT 1 dengan jumlah 117 kepala keluarga. 

2. Ziarah ke rumah-rumah mangsa gempa dan menginap bersama relawan tempatan di dalam khemah serta lapangan. 

Lokasi: A- Dusun Boyotan Proyek, Desa Gumantar, Kecamatan Kayangan, Lombok Utara 

1. Penyembelihan 1 ekor lembu dan 11 ekor kambing. Diagihkan kepada penduduk dusun berjumlah 165 kepala keluarga. 

2. Agihan bantuan beras (5kg) dan gula (1kg) kepada penduduk tempatan 165 pek. 

3. Penyerahan bantuan masjid sementara kepada pengurus Masjid Dusun Gumantar, Desa Gumantar. Masjid dibangun dengan keluasan 10X12 

4. Penyerahan bantuan Musolla sementara sekaligus tempat belajar al-Quran, diikuti dengan bantuan naskhah al-Quran dan papan tulis di Dusun Sengiang, Desa Sesait, Kecamatan Kayangan. 

5. Ziarah ke rumah-rumah korban gempa. 

6. Satu team relawan menuju ke Lombok Timur untuk menyerahkan bantuan kepada mangsa korban gempa. 

Allahu al-Musta`an..





Thursday, 6 September 2018

Alhamdulillah, selesai untuk tahun ini

Alhamdulillah, misi qurban dan aqiqah di luar negara bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang telah dilaksanakan dengan sebaiknya, termasuk juga YAM negeri lain seperti YAM Terengganu, YAM Wilayah, YAM Kedah dan lain-lain lagi. Para petugas yang dihantar untuk menguruskannya di lokasi-lokasi terpilih telah pun pulang menjejakkan kaki di bumi Malaysia yang tercinta ini. Baik yang ke India, Lombok, Kemboja, Marawi, Rohingya, termasuk yang sejauh ke benua Afrika seperti Sudan, Somalia, Chad, Uganda dan sebagainya. 

Alhamdulillah, semua selamat dan tiada apa-apa kesulitan sepanjang misi tersebut melainkan yang kecil-kecil yang bisa ditangani. Perkara biasa dalam apa-apa misi kebajikan di luar negara, pasti  ada sedikit masalah, antaranya karenah birokrasi setempat. Namun, wakil NGO kami dari kalangan penduduk tempatan dapat menyelesaikannya dengan baik.    

Melaksanakan ibadah qurban dan aqiqah di luar negara amat menginsafkan. Memang, lokasi korban yang dipilih biasanya yang benar-benar dhaif. Mengenangkannya, tiba-tiba terasa bersyukur sangat-sangat tinggal di Malaysia. Rasanya di negara kita daging mudah diperolehi. Malahan daging korban tiada masalah di tempat kita, pasti ada yang akan menghantar atau menghadiahinya apabila musim raya korban.

Namun, tatkala menyaksikan apa yang berlaku di tempat yang kami laksanakan ibadah qurban seperti di Kemboja atau Vietnam, boleh diistilahkan "makan daging setahun sekali". Apa tidaknya, jika tiada ibadah korban dilakukan di sana, maka tidak merasalah merka daging pada tahun itu. Benar, boleh dikatakan begitu. 

Begitu juga seperti di Somalia dan Uganda. Melihat mereka 'mengerjakan' kepala lembu sehingga licin tidak bersisa daging yang terlekat benar-benar menghadirkan sebak. Di sesetengah tempat kita (tidak semua), kepala lembu tidak 'laku' kerana tiada siapa yang mahu mengerjakannya. Terpaksalah diberikan kepada mat Bangla yang datang membantu kerana mereka rajin menyudahkannya.

Di Sudan pula, ada amalan penduduk menjemur daging. Ini merupakan kaedah menyimpan daging dek kerana tiada kemudahan peti ais. Selain itu daging yang telah dikeringkan menjadi keras seperti kayu akan dikisar untuk dibuat serbuk. Sepanjang tahun mereka akan berkongsi sup berperisa daging qurban yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Ingat, sup daging mereka hanyalah air semata dengan perisa serbuk daging.

Demikianlah keadaannya. 

Moga Allah SWT menerima ibadah qurban dan aiqah daripada para peserta dan membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran.



Assam India


Mangsa gempa bumi Lombok Indonesia


Afrika


Kem pelarian Rohingya di Coxbazar Bangladesh

Wednesday, 15 August 2018

Misi ke Lombok, moga dipermudahkan..


Susulan kejadian gempa bumi di Lombok Utara, kami (YAMCP) memutuskan untuk melaksanakan ibadah korban dan aqiqah di sana. Persetujuan ahli mesyuarat dicapai, lalu kami namakan program ini dengan "Misi Korban dan Aqiqah Lombok: Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi."

Jika diikutkan pelaksanaan korban di Lombok tiada dalam senarai pada tahun ini. Namun, atas rasa prihatin dengan apa yang telah berlaku, pihak YAMCP merasa terpanggil untuk melaksnakan misi ini. Ia adalah perkara biasa apabila beberapa lokasi dimasukkan di saat-saat akhir. Semuanya mengikut keperluan semasa. Pada tahun lalu Marawi Mindanao dimasukkan pada saat-saat akhir. Begitu juga tahun-tahun sebelumnya.  

Beberapa ekor lembu dan kambing akan dihantar ke sana untuk tujuan ini. Jumlah sebenar belum muktamad lagi. Mungkin sehari dua ini akan beroleh jumlah sebenar setelah pengiraan kos selesai. Oh ya, maksud "menghantar" ialah membawa wang bagi membeli haiwan korban di sana, bukannya membawa haiwan dari sini.

Wakil kami di sana akan menempah terlebih dahulu dan kami akan membayar harganya sejurus tiba  kemudian. Lagipun harga haiwan korban di sana lebih murah termasuk juga di lokasi-lokasi lain yang kami laksanakan ibadah korban dan aqiqah ini. Di Malaysia sahaja yang agak mahal, entahlah. 
 
Insya-Allah, sehari sebelum 'eidul adha wakil YAMCP akan berangkat ke sana. Turut bersama beberapa wakil daripada Yayasan Amal Malaysia (Pusat) yang akan mengetuai misi ini. Mudah-mudahan misi ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan. Allahu al-Musta`an. 

Tuesday, 17 July 2018

Yayasan Amal Malaysia: 'Meeting' dan makan-makan

Mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) pada bulan ini bertempat di YAMCP Resort Maran. Sebenarnya kami bermesyuarat setiap bulan di dua lokasi tetap secara giliran. Pertama di Pejabat YAMCP  Sungai Isap, Kuantan. Mesyuarat di sini lebih 'official'. Manakala bulan berikutnya pula diadakan di rumah rakit 'YAMCP Resort'. Letaknya di pinggit Sungai Pahang, Kampung Pesagi Chenor Pahang. Rumah rakit ini berkembar. Satu dilengkapi dapur, tandas dan ruang makan. Manakala satu lagi seumpama dewan yang berfungsi sebagai tempat solat, tidur dan bersantai-santai. Mesyuarat di sini lebih dalam keadaan santai. Rata-rata di kalangan kami menyukai mesyuarat di sini kerana beberapa sebab..  


Ini adalah antara hidangan yang mesti ada setiap kali mesyuarat di YAMCP Resort. Masakan yang paling 'femes' di daerah Temerloh. Apa lagi jika bukan Patin Masak Tempoyak atau dikenali dengan Patin Gulai Masam di daerah Jerantut. Tetapi yang ini sangat istimewa kerana dimasak dengan cukup bahan  perisanya, yang disediakan oleh sahabat kami yang memang bertaraf 'chef'.  


Satu lagi yang membuka selera. Ikan Tilapia masak lemak kuning. Cukup lemak santan dan pedasnya. Bisa menitiskan peluh di dahi, dan bisa juga menambah kolesterol. Hentam sajalah, bukannya selalu, dua bulan sekali. Itupun jika hadir mesyuarat.


Tersedia menyambut ahli-ahli mesyuarat yang datang dari daerah Kuantan dan lain-lain daerah sejauh daerah Raub.  Jika tidak habis dimakan, terpaksa (bukan terpaksa sebenarnya) bungkus untuk dibawa pulang. Yalah, jika ditinggalkan tiada siapa yang mahu menghabiskan, nanti membazir pula. Sementelah lagi sahabat-sahabat di sini sudah biasa atau 'puas cemuh' makan lauk patin ni. 

 
Individu disebalik apa-apa yang terhidang. Sahabat kami, abang Rashid yang juga salah seorang ALP YAMCP. Seorang yang bagi kami sudah bertaraf 'chef' dengan masakan yang enak sehingga menjilat jari. Salah satu resepinya, gulai patin bakar pernah menjadi johan masakan antara sekolah-sekolah peringkat ASEAN. Salah seorang anak sahabat kami menyediakan resepi tersebut dalam pertandingan itu.
 

Selepas makan nasi dengan lauk-pauk yang sangat membuka selera, kena habiskan pula buah-buah yang ada. Durian dan salak yang dari kebun sahabat di sini. Rambutan belum masak lagi, duku pula belum masuk musimnya.


Acara menghabiskan apa yang ada. 


"Cebok jangan tak cebok ustaz". Sahabat kami, Ustaz Mizi yang baru mendapat 'title' YB dalam PRU 14 baru-baru ini. Memenangi salah satu kerusi DUN yang ditandingi di negeri Pahang. Syabas YB!
 

Selepas makan kena rehat-rehat dulu sebelum mula mesyuarat. Nak bagi nasi turun ke bawah dulu, jika tidak tak selesa nak bermesyuarat. Jadi ambil kesempatan berehat sambil bergebang-gebang di atas perahu fiber. Di rumah rakit ini terdapat 4 buah perahu fiber dengan pelbagai saiz yang digunakan untuk memancing dan menahan pukat di Sungai Pahang ini. 
 
 
Mesyuarat bermula di dewan rumah rakit. Masih ada yang terbaring kekenyangan di rumah rakit sebelah. Jangan sampai tertidur dah la. Tak mesyuarat mana nanti! 

Wednesday, 4 July 2018

Bermulalah kerja-kerja kami..

 

"Phew, alhamdulillah.."

"Banner dah siap, poster pun dah, flyers dan borang pun dah siap. Semuanya sudah di'print'. Tunggu nak sebarkan je.."

Demikianlah rutin saban tahun saya dan sahabat-sahabat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP). Menguruskan persiapan bagi pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah di dalam dan luar negara, termasuk juga pelaksanaan badal haji bagi tahun ini. Kebiasaannya seminggu beraya, makaselepas itu bermulalah kerja-kerja berkaitan program kemanusiaan ini.

Tugasan yang dilakukan termasuklah penyediaan artwork bahan promosi, kemudian mencetaknya dan seterusnya membuat sebaran atau promosi. Sebelum semua ini dapat dicetak dan disebar, ALP (Ahli Lembaga Pengarah YAMCP) yang bertanggungjawab perlu menjalankan survey harga haiwan ternakan serta perbelanjaan-perbelanjaan lain di lokasi yang akan dilakukan program ini. Mudahnya, setiap ALP ada tanggungjawab dan tugasan masing-masing yang telah diamanahkan.

Saya teringat kira-kira 10 tahun yang lalu, bahan promosi disebarkan hanya melalui banner dan poster, termasuk juga melalui pengumuman selepas kuliah dan ceramah oleh para azatizah kami. Amat terhad dan tidak secara menyeluruh. Berbanding sekarang, agak mudah dengan adanya teknologi IT seperti FB, whatssap, telegram dan yang seumpama dengannya. Bayangkan dengan hanya dengan satu klik, tersebar ke seantero alam. Namun begitu, banner dan poster masih lagi relevan dan tidak diabaikan.

Tahun ini Sri Lanka terpaksa digugurkan daripada senarai lokasi program pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah. Setelah bermesyuarat dan berbincang selumatnya,  keputusan ini terpaksa diambil kerana beberapa sebab, antaranya karenah birokrasi di negara tersebut yang agak cerewet. Lagipun sudah banyak NGO kebajikan yang melaksanakan program tersebut baik NGO dari Malaysia maupun sebaliknya, terutamanya dari Indonesia dan Turki.

Walaupun Sri Lanka telah digugurkan, ia telah digantikan dengan negara Uganda. Maknanya ini adalah tahun pertama kami (YAMCP) melaksanakan program ibadah qurban dan aqiqah di sana setelah hampir 15 tahun menjayakannya. Tetapi sebelum ini sudah ada YAM cawangan negeri lain yang melaksanakan di Uganda seperti YAM Terengganu, YAM Kedah dan lain-lain. Biarpun sama di Uganda tetapi berlainan wilayah. 
 
Di antara lokasi pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah pada tahun ini ialah, Rohingya, Sudan, Uganda, India dan beberapa wilayah minoriti umat Islam yang dhaif serta ditimpa musibah. Manakala di dalam negara pula ialah di Sabah dan perkampungan orang asal di Semenanjung. (Sarawak sudah lama digugurkan kerana kos haiwan korban yang amat mahal)

Tentunya harapan kami dalam setiap program kebajikan dan kemanusiaan yang dilakukan ini, di mana sahaja atau bila masanya, agar dipermudahkan dan dinilai sebagai ibadah disisi-Nya.

Mohon doa daripada sahabat-sahabat!

Friday, 29 December 2017

Kunjungan yang menginsafkan (syafakallah duhai sahabatku)


Usai menyantuni anak-anak yatim dan kurang berkemampuan dalam program 'Back 2 School' (B2S) di bandar Temerloh, kami (YAMCP) membawa pula mereka menikmati makan tengahari di arked makanan yang berdekatan. Menu nasi ayam Temerloh menjadi habuan perut yang berkeroncong minta diisi. Alhamdulillah, seronok melihat keceriaan yang terpamer diwajah anak-anak yang diraikan. Kami juga turut tersenyum lebar tanda kepuasan.

Teringat nasihat seorang teman, agar tidak menonjolkan kerja-kerja kebajikan serta kemanusiaan yang dilakukan. Katanya, biarlah tangan kiri tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan. Maksudnya biarlah kebajikan yang dilakukan dengan disembunyikan. Saya sekadar tersenyum, tetapi hati kecil turut mengiyakan apa yang dimaksudkannya. Benar sahabatku, terima kasih atas nasihat yang sangat baik itu!

Dalam berkira-kira, saya menyimpulkan, pada hakikatnya, apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar individu atau menonjolkan diri sendiri semata-mata. Tetapi ianya adalah kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Ada sebab dan alasan mengapa saya sering tonjolkan aktiviti dan program yang melibatkan NGO kami ini.

Bagi saya, ada perbezaan yang ketara di antara sesuatu yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atau organissasi.  Jika dari sudut individu, ia adalah suatu yang boleh diterima, "sembunyikan". Namun, bagi pertubuhan atau organisasi yang bergerak di atas sumbangan orang ramai, setiap program kebajikan perlu ditonjolkan. Mengapa? Ianya agar orang ramai dapat melihat apa yang telah dilakukan dengan setiap sen sumbangan mereka. Malahan, dengan menonjolkan gerak kerja yang dilakukan dapat meraih kepercayaan orang ramai dan korporat untuk terus menyumbang.  

Benar, memang kebaikan yang dilakukan individu perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang ada, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak. 

Ah, jauh pula saya melencong. Apa pun terima kasih sahabat, akan saya ingat nasihat yang dititipkan. Saya mengambil manfaat daripadanya.

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman” (adz-Dzaariyaat: 55)  

Ke kampung Batu Sawar


Destinasi seterusnya adalah kampung Batu Sawar yang terletak di tebing Sungai Pahang. Ia sebenarnya perancangan yang sudah diatur dalam mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang tempohari. Bersama dengan dua lagi sahabat, perjalanan dimulakan. Manakala sahabat di Temerloh tidak ikut serta kerana perlu menghantar pulang anak-anak yatim tadi. Azan zohor sayup-sayup berkumandang tatkala kami bergerak keluar dari pusat bandar.

"Kita solat jamak di Batu Sawar nanti," tukas seorang sahabat, Johari namanya. Seorang yang sangat komited dalam kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan. Beliau baru sebulan pulang dari menyantuni pelarian Rohingya di khemah pelarian di Coxbazar, Bangladesh.

Dari pusat bandar Temerloh, kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki meluncur laju menyusuri aspal jalan menuju ke seberang sungai Pahang. Seterusnya membelok ke kiri memasuki jalan tar yang agak kecil. Sejujurnya saya belum pernah ke kampong Batu Sawar, namun seingat saya ada beberapa tempat yang juga berkongsi nama Batu Sawar seperti di Kuantan dan Kota Tinggi. Tetapi saya belum pernah lagi ke tempat yang bernama Batu Sawar di Kota Tinggi.

Hasrat ke sana semata-mata mahu menziarahi seorang sahabat, Ustaz Suaadi Saad yang sedang terlantar sakit. Dahulunya beliau juga salah seorang daripada ALP Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, orang kuat rumah anak-anak yatim Permata Camar serta aktif berkuliah di masjid dan surau sekitar Kuantan. Ekoran kesakitan yang dihidapi, terpaksalah beliau melupakan semuanya. (insya-Allah, moga buat sementara waktu dan kembali sihat untuk kembali aktif seperti dahulu)

Ketentuan Tuhan, Ustaz Suaadi diuji dengan masalah kesihatan di bahagian tulang belakang. Sekira-kira sudah 4 tahun beliau terlantar kesakitan. Dunianya hanyalah terbaring di atas katil (Alhamdulillah, ketika ini ustaz Suaadi Saad sudah pun boleh duduk perlahan-lahan walaupun dalam keadaan kepayahan untuk mengangkat tubuhnya).

Ujian yang tanggung beliau tambah berganda apabila isterinya meninggal dunia akibat kanser ketika usia sakitnya memasuki tahun kedua. Ekoran tiada siapa yang dapat menjaganya di Kuantan, beliau dan anak-anak dibawa pulang ke rumah orang tuanya di Batu Sawar, Temerloh. Kiranya bagi saya pula ini adalah kunjungan dan ziarah pertama setelah Ustaz Suaadi dibawa pulang ke kampung halamannya.

Sepanjang perjalanan mata saya dihiburkan dengan pemandangan hijau di kiri dan kanan. Tidak terasa kebosanan walaupun jaringan jalan perhubungannya agak sempit dan kadang-kala mendaki jalan yang berbukit.

Rupa-rupanya ia sebuah kampung di pedalaman. Patutlah banyak rumah kayu bertiang tinggi dengan rekabentuk rumah Pahang tradisional. Manakala di sekeliling rumah penuh dengan pokok buah-buahan. Sememangnya saya mengimpikan suasana seperti ini. Tetapi berlainan pula dengan sahabat yang sedang memandu: “Aii, pecoh kepala duduk di sini.” Katanya sambil tersenyum.

Untuk sampai ke kampung Batu Sawar, perlu melewati beberapa kampung yang agak unik namanya. Beberapa nama kampung yang masih melekat di memori saya seperti kampung Berhala Gantang, kampung Sanggang Seberang, kampung Badok, kampung Bintang dan kampung Teluk Sentang. Kampung-kampung ini berada di sebelah kanan mudik Sungai Pahang.

Manakala di sebelah kiri mudik Sungai Pahang terdapat kampung Loyang, kampung Sanggang, kampung Kuala Sanggang dan kampung Jejawi. Beberapa nama kampung lagi tidak sempat saya simpan di dalam kepala kerana asyik dengan panorama di sepanjang perjalanan.

Kunjungan yang menginsafkan

 'Bersama Ustaz Suaadi Saad. Kagum dengan ketabahan beliau'

Sesungguhnya sakit adalah ujian daripada Allah SWT. Seorang Muslim yang ditimpa sakit lalu bersabar dengannya, maka akan diampunkan dosa-dosanya oleh Allah. Malahan ada hikmah yang besar disebalik ujian tersebut. Mungkin hikmahnya dapat kita singkapkan, tetapi banyak pula yang terhijab dan menjadi rahsia Ilahi. Mungkin suatu hari nanti apabila hijab tersebut disingkap, barulah kita mengetahui akan hikmah kebaikannya. Justeru, sesiapa sahaja yang ditimpa ujian sakit, redhalah dengan memperbanyakkan zikir serta istighfar kepada-Nya.  Saya mengingati diri yang dhaif ini.

Sebagai orang Islam, kita sememangnya digalakkan menziarahi mereka yang sakit. Sesungguhnya ia termasuk hak sesama Muslim yang perlu ditunaikan sebagaimana sabda Rasulullah saw. Tatkala melihat seseorang yang terlantar sakit, maka barulah kita menyedari akan peri pentingnya nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Maka sebab itu Nabi saw memerintahkan rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Antaranya hargailah, manfaatkanlah nikmat sihat yang Allah kurniakan dengan menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebelum datang sakit. 

Alhamdulillah, ziarah hari ini saya dan beberapa orang sahabat benar-benar menginsafkan. Hampir tumpah juga airmata saya melihat keadaanya. Saya berpaling ke arah lain lalu menyekanya dengan lengan baju.  Teringat ucapannya satu ketika, "Di perumahan anta, antalah yang ana kenal dan paling rapat.." Benar persahabatan kami sangat akrab, persahabatan yang dibajai dengan ukhuwwah fillah.

Sambil bergebang-gebang, saya menikmati titipan peringatan yang penuh hikmah disampaikan oleh Ustaz Suaadi. Dan yang paling utama, kekaguman dengan kesabaran dan ketabahan beliau dalam menghadapi ujian serta dugaan hidup.

Seputar katanya sebelum kami berangkat pulang, "Kesihatan itu milik Allah, maka Dia berhak mengambilnya tanpa mengira sesiapa. Samada hamba-Nya itu seorang yang taat ataupun engkar. Seorang yang taat akan melihat musibah itu suatu kebaikan walaupun dipandangan makhluk ianya buruk dan tidak baik. Ana redha dengan apa yang berlaku.."  

Syafakallahu duhai sahabatku!

Saturday, 9 December 2017

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Program BTS di Temerloh

Seharian saya dan beberapa rakan berada di daerah Temerloh. Jam 9 pagi diiringi cuaca mendung, kami bergerak dari Kuantan melalui LPT1. Alhamdulillah, kenderaan bergerak lancar menuju destinasi. Manakala sahabat-sahabat dari Maran menunggu di sana. 

Hari ini Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) mengadakan program 'Back To School' (BTS), iaitu meraikan anak-anak yatim serta berpendapatan rendah membeli peralatan sekolah. Program BTS ini adalah di antara program kebajikan yang diadakan saban tahun.  

Objektif utama program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan dengan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.

Usai urusan memilih dan membeli kelengkapan persekolahan, mereka semua diraikan pula dengan jamuan ringan di arked makanan yang berhampiran. Senang sekali melihat kegembiraan yang terpamer di rona wajah masing-masing.

Mudah-mudahan pemberian yang sedikit ini dapat meringankan beban mereka, serta tidak lupa ucapan terima kasih kepada para dermawan yang menyumbang. Jazakallahu khairan jaza'















Friday, 24 November 2017

Moga dipermudahkan...

Alhamdulillahi bissalam. Puji-pujian hanyalah semata buat-Nya. Dialah yang berkuasa mentaqdirkan segala kebaikan buat hamba-Nya.

Kempen sumbangan untuk pelarian Rohingya yang telah dilancarkan sekira-kira empat bulan dahulu berjalan dengan baik. Jumlah 150K yang disasarkan hampir mencapai garisan penamat. Ini semua hasil kerja keras banyak pihak terutama jawatankuasa YAMCP, para asatizah yang membuat kutipan di dalam setiap kuliah dan yang paling utama tentunya para dermawan yang tidak jemu-jemu menyumbang.

Setakat ini, sudah tiga kali YACMP menghantar wakil ke sana bersama-sama dengan NGO lain bagi menyerahkan sumbangan. Melalui sumbangan tersebut, telah dibangunkan beberapa projek yang sesuai bagi kemudahan pelarian. Di antara projek yang sudah dibangunkan ialah pembinaan shelter, surau, sekolah tahfiz, tandas, sumbangan makanan dan peralatan memasak serta berbagai-bagai lagi. 

Kutipan masih lagi berjalan walaupun tidaklah seberapa rancak seperti dahulu. Walaupun selepas sasaran RM150K berjaya dicapai, kutipan akan terus berjalan dan berjalan. Nasib pelarian tidak siapa yang tahu kesudahannya. Justeru, bantuan tetap disampaikan. Malahan NGO dari luar Malaysia juga turut sama menyalurkan bantuan, silih berganti NGO yang datang.

Kempen bantuan musim sejuk Syria

Mengambil manfaat kehadiran Fadhilatus Syeikh Muhammad Ratib an-Nablusi ke Malaysia, kami melancarkan pula bantuan kepada pelarian Syria yang kini sedang menghadapi kedatangan musim sejuk dalam serba kekurangan. Keadaan ini bertambah buruk apabila kerajaan Qatar yang banyak menyalurkan bantuan tidak dapat berbuat demikian seperti sebelumnya kerana menghadapi sekatan.

Untuk kempen ini, pihak YAMCP menyerahkan sepenuhnya diuruskan oleh Persidam. Manakala YAMCP membantu serba sedikit apa-apa yang perlu. Persidam adalah singkatan daripada Persatuan Sinar Damsyik, yang dianggotai oleh mereka yang pernah menuntut ilmu di Syria.

Alhamdulillah, sumbangan sebanyak RM50K telah berjaya dikumpul dalam keadaan masa yang agak pendek. Sumbangan telah diserahkan sebanyak dua kali. Pertama ketika program Multaqa Asatizah dan Pendakwah bersama Syeikh Ratib di Mat`am Abu Aish. Program ini dibuka kepada para asatizah dan mereka yang boleh berbahasa arab, kerana penyampaian sepenuhnya di dalam bahasa arab. 

Manakala penyerahan kedua selepas Syeikh Ratib menyampaikan kuliah maghrib umum salah sebuah masjid di Kuantan. Sahabat saya Ustaz Khairul Azmi al-Hafiz bertindak selaku penterjemah  bahasa.

Moga setiap sumbangan daripada para dermawan mendapat nilaian yang setingginya daripada Allah SWT. 

#Insya-Allah, selepas ini sumbangan untuk umat Islam Marawi, Mindanao.

Saturday, 4 November 2017

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang: Misi bantuan Rohingya masih diteruskan

'Acara kemuncak - Pelancaran dana untuk Rohingya'

Kami (Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang) mensasarkan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM150K. Ianya adalah dana sumbangan untuk mangsa pelarian Rohingya di Coxbazar, sempadan Myanmar - Bangladesh. Melihat pada keadaan terkini, saya berkeyakinan jumlah tersebut mampu dicapai, walaupun berkemungkinan mengambil masa yang agak panjang. 

Alhamdulillah, kerjasama yang sangat baik daripada banyak pihak dalam menjayakan misi ini. Termasuk badan-badan yang mengambil bahagian dalam membuat kutipan iaitu masjid, surau, institusi pengajian, syarikat korporat dan lain-lain.  

Sehingga kini, telah tiga kali rombongan misi bantuan ke sana dengan membawa sumbangan daripada rakyat Malaysia. Alhamdulillah, semuanya dapat disempurnakan dengan jayanya. Jika ada kesulitan pun, ianya dapat diatasi dengan baik. Bantuan seperti pembinaan shelter, tandas, surau, bantuan beras, periuk, waqaf al-quran serta pelaksanaan aqiqah.   

Moga rakyat Malaysia akan terus menyumbang untuk membantu meringankan penderitaan saudara seagama di sana.  

Saturday, 26 August 2017

Moga dipermudah urusan YAMCP

Alhamdulillah, para petugas Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) yang diamanahkan untuk ke India, telah pun berangkat pada hari Rabu. Manakala malam tadi menyusul pula kumpulan kedua ke Sri Lanka. Mereka semua diamanah untuk menguruskan pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah di negara tersebut. 

Pada 29 Ogos ini, kumpulan ke Sudan dan Pedalaman Sabah pula akan berangkat. Mereka bertolak lewat sedikit kerana menguruskan pelaksanaan iabadah qurban dan aqiqah seterusnya menyambut 'eidul adha di sana.

Tengahari tadi, sahabat-sahabat yang berada di Sri Lanka memaklumkan telah selesai menyembelih 2 ekor lembu untuk aqiqah. Kebiasaannya, untuk aqiqah kami akan menganjurkan kenduri. Lokasinya sudah pasti di penempatan muslim yang dhaif. Maka dapatlah penduduk di situ mencicip sedikit seorang apa yang dimasak.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, petugas yang ke India dan Sri Lanka akan menyambut 'eidul adha di sana. Menguruskan pembelian haiwan qurban, serta menyembelih pada pagi 10 dan 11 Zulhijjah, kemudian turut sama menyempurnakan agihan daging qurban. Berbeza pada tahun ini, mereka bertolak awal. Menguruskan pembelian haiwan qurban sebelum menyerahkan kepada wakil YAMCP di sana untuk urusan seterusnya. Setelah selesai, mereka akan pulang sebelum tiba 'eidul adha.

Pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah, termasuk juga badal haji adalah program rutin setiap tahun YAMCP. Ia termasuk dalam misi kemanusiaan sebagaimana misi bantuan ke lokasi-lokasi yang ditimpa bencana seperti Acheh yang dikejutkan dengan tragedi tsunami pada 2004. YAMCP turut menghantar sukarelawan untuk membantu mangsa tragedi menyayat hati tersebut. 

Lokasi pelaksanaan qurban dan aqiqah dilakukan di lokasi penempatan umat Islam yang dhaif. Dhaifnya boleh dikatakan sebagai, "makan daging setahun sekali." Ada di antara lokasi, jika tidak dilaksanakan ibadah qurban atau aqiqah, makan tidak merasa daginglah mereka pada tahun tersebut. Sangat dhaif! Sebak pula mengenangkannya. Berbeza di tempat kita sukar bagaimana pun ada bantuan atau cakna daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Pedalaman Sabah dan Sarawak, perkampungan orang asal adalah lokasi yang biasa di dalam negara. Manakala di luar negara pula seperti India, Sri Lanka, Sudan, Acheh, Mindanao, Kemboja, Vietnam, Pakistan, Somalia, Thailand dan banyak lagi. Namun, tidaklah semua lokasi tersebut diuruskan oleh YAMCP, melainkan ia telah dibahagi-bahagikan kepada setiap cawangan negeri. 

India, Sri Lanka, Sudan, pedalaman Sabah dan Sarawak serta perkampungan orang asal di Semenanjung Malaysia di bawah kendalian YAMCP tahun ini. Moga Allah SWT permudahkan urusan ini. Amiinn...