Sahabat Sejati

Showing posts with label maulidur Rasul. Show all posts
Showing posts with label maulidur Rasul. Show all posts

Tuesday, 20 November 2018

Maulid ar-Rasul 1440H/2018M


"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" (al-Ahzab: 21)

Indahnya peribadimu duhai Rasulullah bagaikan pancaran mata air yang tidak pernah kering, untuk diteguk oleh umatmu. 

Sempurna akhlaqmu memancarkan kejernihan budi di atas hamparan kemuliaan. 
Engkau bagaikan permata yang menyinari diri dan umat dengan cahaya kebenaran. 
Umpama pembawa obor penerang hidayah ketika berhala-berhala dijadikan tuhan sembahan. 
Engkau membawa rahmat dan keberkatan di saat dunia gelap diserkup kejahilan. 

Engkau tinggalkan dunia ini setelah lengkap risalah dan aturan. 
Sedangkan kami sentiasa mendakap sebuah kerinduan. 
Syafaatlah kami duhai Rasulullah, di saat gelap-gelita menghadang. 
Sedangkan kami pula tiada kuat untuk menahan... 

Semoga Allah SWT melimpahimu salam kesejahteraan, selama roda kehidupan dunia berjalan. 
Juga kepada ahli keluargamu, beserta seluruh sahabat dan pendukungmu sekelian.

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Ali-Imran: 31)

Salam Maulid ar-Rasul
12 Rabiul Awwal 1440H
20 November 2018

Thursday, 22 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (19)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (18), di bawah tajuk kecil: Menghirup Udara di Perkampungan Bani Saad

foto hiasan ~ sumber

Keldai betina yang ditunggangi berjalan dalam kepayahan lantaran kurus dan telah lemah sehingga Halimah dan keluarganya ditinggalkan rombongan. Walaupun lambat, sampai juga mereka di Mekah dan segera mencari bayi untuk disusukan. Setiap wanita yang ditawarkan bayi bernama Muhammad, menolak untuk menerimanya setelah dikatakan bayi itu yatim. Mereka semua memang mengharap bayi yang masih mempunyai ayah. Kami katakan, "Apa yang boleh dilakukan ibu dan datuknya?" Sebab itulah mereka tidak mahu menerima anak itu.

Setelah mencari di seluruh kota, setiap wanita dalam rombongan kami telah mendapat bayi susuan kecuali Halimah. Tatkala mereka semua telah berkumpul untuk pulang, ketika itu Halimah berkata kepada suaminya, "Demi Allah, aku tidak mahu pulang bersama teman-temanku sementara aku belum mendapat bayi susuan. Demi Allah, aku akan kembali menemui bayi yatim itu dan membawanya." Suaminya menjawab, "Tidak salah kamu melakukan itu. Semoga Allah memberi keberkatan pada kita melalui anak itu."

Halimah datang semula kepada Aminah dan mengambil Muhammad. Sewaktu itu dia tidak merasakan bebannya. Tatkala menggendong Muhammad, semua beban yang ada hilang. bayi itu dibawa menaiki tunggangannya. Bayi itu diletakkan di pangkuan dan meminta susu. Ajaib! Bayi ini tenang meminum air susu Halimah hingga kenyang. Bukan hanya dia, bahkan anak Halimah juga turut menyusu hingga mereka kenyang.

Selepas itu, kedua-duanya tidur nyenyak, padahal sebelum itu kami tidak tidur sedikit pun Suaminya mendekati unta tua dan mendapati puting susu unta itu dipenuhi air susu. Dia lantas memerah air susu unta itu sehingga mereka berdua boleh minum hingga puas dan kenyang. Malam itu, mereka sekeluarga dapat tidur nyenyak."

Pada keesokan pagi, suami Halimah berkata, "Halimah, demi Allah kamu telah mengambil nafas hidup yang penuh berkat." Saya pun membalas, "Demi Allah, memang itulah harapan saya."

"Pagi itu mereka meneruskan perjalanan pulang. Mereka mengenderai keldai betina dengan membawa bayi bernama Muhammad. Demi Allah, ketika itu keldai betina itu berjalan dengan cepat dan bertenaga, melebihi tenaga keldai jantan rombongan yang lain. Ahli rombongan lain berkata, "Hai puteri Abu Dzuaib, tunggulah kami. Bukankah itu ialah keldai betina yang kau tunggangi ketika pergi ke Mekah?" Halimah menjawab, "Demi Allah, benar. Memang ini keldai betina yang kutunggangi hari itu." Mereka terkejut lantas berkata, "Demi Allah, keldaimu sekarang sangat kuat."

"Setelah menempuh perjalanan yang sangat jauh, tiba juga di rumah masing-masing di perkampungan Bani Saad, perkampungan yang belum pernah disaksikan ada tanah yang lebih gersang daripadanya. Tatkala mereka menginjakkan kaki di rumah bersama bayi Muhammad, kambing mereka datang dalam keadaan kenyang dan penuh air susu. Mereka memerah air susunya dan minum hingga kenyang. Kambing orang lain pula, sama sekali tidak mengeluarkan setitis air susu pun.

Perkara itu membuatkan orang lain dalam rombongan kami berkata kepada para penggembala kambing mereka, "Sekarang lepaskanlah kambing-kambing itu agar bebas makan di mana sahaja, seperti yang dilakukan oleh penggembala kambing anak perempuan Abu Dzuaib." Namun begitu, tetapi tidak terjadi perubahan, kambing mereka masih juga kembali dalam keadaan lapar dan tidak bersusu, sementara kambingku pulang dalam keadaan kenyang dan dipenuhi air susu.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

Saturday, 17 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (18)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (17), di bawah tajuk: PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI


foto hiasan (sumber)

Menghirup Udara di Perkampungan Bani Saad

Telah menjadi kebiasaan masyarakat Arab kota untuk mencari wanita penyusu dari desa untuk anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk menjauhkan anak-anak itu daripada pelbagai penyakit yang ada di kota. Diharapkan tubuh anak-anak itu membesar sihat dan kuat, dapat berdiri tegap dan mempunyai akhlak yang baik. Penduduk di pedalaman itu juga dapat mengajar anak-anak di situ bahasa Arab yang baik semenjak masih bayi.

Maka, seperti orang Arab kota yang lain, Abdul Mutalib mencarikan wanita penyusu untuk cucunya. Ketika itulah seorang wanita daripada Bani Saad bin Bakar bernama Halimah binti Abu Dzuaib yang didampingi oleh suaminya yang masih berasal daripada satu kabilah dengannya, bernama Harith bin Abdul Uzza yang dikenali juga dengan nama Abu Kabsyah menawarkan diri untuk menyusui Muhammad.

Tawaran tersebut diterima oleh Abdul Mutalib, maka baginda dibawalah ke perkampungan Bani Saad. Semasa penyusuan Halimah, baginda mendapat tiga saudara susuan, iaitu Abdullah bin Harith, Anisah binti Harith dan Hadzafah atau Judzamah binti Harith. Judzamah digelari dengan sebutan asy-Syaima' dan dia lebih dikenali dengan gelarannya ini berbanding nama asalnya.

Selain mengasuh Rasulullah saw, Halimah pernah juga mengasuh Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutalib, anak bapa saudara baginda. Bahkan, bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib juga disusui dalam kalangan Bani Saad bin Bakar. Penyusuan Hamzah bukan pada Halimah, tetapi pernah satu hari Hamzah disusui oleh Halimah padahal waktu itu Rasulullah saw sedang disusui oleh Halimah. Oleh itu, Hamzah juga adalah saudara susuan Rasulullah saw daripada dua laluan iaitu daripada Tsuwaibah dan Halimah al-Saadiah.(1)   

Sejak bertemu dengan Nabi Muhammad, Halimah mendapat keberkatan yang sehingga membuatkannya kagum. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq, Halimah menjelaskan, dia dan suami membawa anak mereka yang masih kecil dan masih dalam penyusuannya, keluar dari kampung mereka. Mereka bergabung dalam rombongan Bani Saad bin Bakar, pencari anak susuan.

"Ketika itu adalah musim kemarau, Halimah tiada makanan sedikit pun. Dia menunggang keldai betina betina berwarna putih coklat dan membawa unta betina tua milik mereka. Demi Allah, unta itu tidak lagi mengeluarkan susu walau setitis pun. Halimah tidak boleh tidur sepanjang malam kerana anak lelakinya terus menangis kelaparan. Air susunya nyaris kering sehingga tidak cukup untuk menghilangkan rasa lapar anaknya. Tidak ada makanan pula untuk unta betina. Mereka mengharapkan sekiranya ada malam pertolongan dan jalan keluar.  

Rujukan :

(1) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma`ad, jil. 1, hal. 19
 
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Monday, 12 December 2016

Salam Maulid ar-Rasul 1438H/2016M


"Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (al-Anbiya' : 107)

Puji dan syukur ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, serta kepada keluarga dan para sahabatnya.

Allah SWT dengan kasih sayang-Nya telah mengutuskan kepada manusia seorang Rasul sebagai pembimbing dan penunjuk jalan. Sesungguhnya pengutusan ini adalah sebesar-besar rahmat, yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada terangnya obor cahaya hidayah.

Imam al-Qurthubi menyatakan, yang dimaksudkan dengan ‘al-Alamin’ ialah seluruh kejadian selain Allah SWT. Ertinya semua makhluk samada manusia, haiwan, tumbuhan, semua benda termasuk dunia ini dan seisinya, mendapat rahmat dengan kelahiran Rasulullah saw.

Justeru, marilah kita sama-sama memperbanyakkan Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah saw. Moga dengan kehadiran hari yang bersejarah ini akan meningkatkan lagi kecintaan dan kasih sayang kita kepadanya. Begitu juga, semoga kita sebagai umatnya sentiasa diberikan kesungguhan untuk mendalami dan menghayati sirahnya, dan seterusnya membuktikan kecintaan kepada Baginda saw dengan mengamalkan segala sunnahnya di dalam seluruh aspek kehidupan.


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulid ar-Rasul 1438H kepada semua sahabat yang budiman, khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Tiadalah yang lebih menggembirakan melainkan sokongan dan kunjungan sahabat ke sini serta dapat mencicip apa jua nasihat dan manfaat yang ada di dalamnya. Mudah-mudahan ia menjadi amal yang sentiasa mengalir ganjarannya. Bak kata sang murabbi, “Tulislah sesuatu yang sentiasa hidup walaupun engkau telah mati.” 

Walillahil-hamd..

Sunday, 11 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (17)

PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI

Peristiwa Tahun Gajah ~ foto hiasan (sumber)

Kelahiran Insan termulia

Penghulu para nabi; Nabi Muhammad saw dilahirkan daripada Bani Hasyim di Mekah pada Isnin pagi, 9 Rabiulawal pada tahun Peristiwa Gajah atau setelah berlalu 40 tahun pemerintahan Kisra Anusyirwan di Parsi. Ia bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 April tahun 571M, sebagaimana disimpulkan oleh ulama ternama Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri dan pakar ilmu falak Mahmud Pasha.(1)

Ibnu Saad meriwayatkan, ibu baginda iaitu Aminah berkata: “Ketika aku melahirkannya , daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana Syam.” Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah penyataan yang tidak jauh berbeza.(2)

Bahkan ada riwayat yang menyatakan, tanda-tanda kenabian telah kelihatan semenjak baginda lahir, iaitu runtuhnya 14 tiang istana Kisra, padamnya api yang disembah oleh orang Majusi serta musnahnya gereja-gereja yang ada di sekitar tasik Sawa. Riwayat ini disampaikan oleh Baihaqi. Namun begitu, riwayat ini tidak disetujui oleh Muhammad al-Ghazali.(3)

Tatkala baginda lahir, ibunya menyuruh seseorang menemui Abdul Mutalib untuk menyampaikan berita mengenai kelahiran cucunya. Segera Abdul Mutalib datang dengan penuh rasa bahagia, lantas membawa cucunya itu ke dalam Kaabah. Di situ dia memanjatkan doa dan kesyukuran kepada Allah. Abdul Mutalib menamakan cucunya itu dengan nama Muhammad, satu nama yang belum pernah dikenali sebelum itu oleh bangsa Arab. Muhammad dikhatankan oleh Abdul Mutalib pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sebagaimana kebiasaan yang telah diamalkan orang Arab.(4)

Wanita pertama yang menyusui baginda selepas ibunya ialah Tsuwaibah, hamba Abu Lahab, yang ketika itu juga sedang menyusui anak kandungnya sendiri bernama Masruh. Sebelum itu, Tsuwaibah pernah menyusui Hamzah bin Abdul Mutalib. Setelah menyusui baginda, Tsuwaibah juga menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumy.(5)

Rujukan:

(1) Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. I, hal. 38-39. Perbezaan pendapat para ulama dalam menetapkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad pada bulan April disebabkan oleh kepelbagaian versi kalendar Masihi.

(2) Abdullah bin Muhammadal-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 12 dan Muhammad bin Saad, al-Thabaqat al-Kubra, jil I, hal. 63.

(3) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 46.

(4) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 159-160 dan Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw dilahirkan dalam keadaan telah terkhatan – lihat Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4. Berhubung hal ini, Ibnuu al- Qayyim mengatakan dalam Zad al-Ma`ad jil. I, hal. 18, “Tidak ada hadis yang kuat mengenai hal ini (Nabi Muhammad lahir dalam keadaan telah khitan).”

(5) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar al-Sirah al-Rasul, hal. 13.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Saturday, 2 January 2016

Solatullah wa salamuhu `ala Rasulillah (2)


foto hiasan (sumber)

Keluarga Nabi Muhammad saw

Keluarga Rasulullah saw dikenali dengan sebutan usrah Hasyimiyah - dinisbahkan kepada datuk  baginda, Hasyim bin Abd Manaf. Oleh sebab itu, perlu dihuraikan sekilas tentang Hasyim dan keturunan selepasnya.

1. Hasyim

Telah disebutkan sebelum ini, Hasyim ialah orang yang memegang amanah siqayah (melayani keperluan minum jemaah haji) dan rifadah (menyediakan makanan untuk jemaah haji) daripada kalangan Bani Abd Manaf. Amanah itu diberi sejak terjadi kesepakatan antara Bani Abd Manaf dan Bani Abd Dar tentang pembahagian tanggungjawab antara mereka. 

Hasyim ialah seorang lelaki yang amat dipandang tinggi dan kaya-raya. Dialah orang pertama yang menghidangkan tsarid (bubur roti) kepada jemaah haji di Mekah. Nama asalnya Amru. Nama Hasyim diberikan kepadanya kerana tugasnya sebagai hasym al-khubz (menghancurkan roti untuk dimasukkan ke dalam kuah bubur). 

Tradisi masyarakat Quraisy membuat perjalanan perdagangan pada dua musim (musim dingin dan musim panas)  juga dicetuskan pertama kali olehnya. Peranan Hasyim sebagai ketua kaum Quraisy diabadikan dalam sebuah syair:

Amru yang mengolah tsarid bagi kaumnya
Satu kaum yang tertimpa kelaparan hebat di Mekah
Dua perjalanan pun dikuasai olehnya
Perjalanan musim dingin dan musim panas

Ada maklumat yang menerangkan, Hasyim pernah pergi ke Syam untuk berdagang. Tatkala singgah di Madinah, dia menikahi Salma binti Amru, salah seorang keturunan Ady bin Najjar. Dia tinggal bersama Salma untuk beberapa waktu. Kemudian dia meneruskan misi perjalanan ke Syam, sementara Salma ditinggalkan bersama keluarganya dalam keadaan mengandungkan Abdul Mutalib.

Setibanya di Gaza, (sebuah wilayah di Palestin) Hasyim meninggal dunia. Selang beberapa lama, Salma pun melahirkan Abdul Mutalib pada tahun 497 M. Salma menamakan bayinya itu dengan nama Syaibah, lantaran ada uban (Syaibah) di rambut si bayi.(1)

Salma merawat anaknya di rumah ayahnya di Yathrib. Ketika itu, tiada seorang pun daripada keluarga Bani Hasyim di Mekah mendengar khabar kelahiran anak Hasyim. Keseluruhannya, Hasyim mempunyai empat orang anak lelaki, iaitu, Asad, Abu Shaifi, Nadhlah dan Abdul Mutalib. Dia juga mempunyai lima orang anak perempuan, iaitu Syifa, Khalidah, Dhaifah, Ruqayyah dan Junnah.(2)

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 137 dan al-Mansyufuri, Rahmah li al`Alamin, jil. I, hal. 26 dan jil. II, hal 24.

(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 107.  

(Adaptasi daripada ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Tuesday, 29 December 2015

Solatullah wa salamuhu `ala Rasulillah (1)

Kita masih lagi berada di dalam bulan Rabiulawal yang diberkati. Bulan yang sarat dengan berbagai-bagai peristiwa besar yang tercatat di dalamnya. Di antaranya peristiwa agung iaitu kelahiran junjungan besar Rasulullah saw juga di dalam bulan ini. Dengan kelahiran ini maka bermulalah episod pancaran rahmat kepada semua manusia yang mengikuti jalan yang lurus, iaitu jalan Allah SWT. Malahan dicatatkan bahawa Rasulullah saw juga wafat di dalam bulan Rabiulawal ini. Tidak keterlaluan dikatakan selain menyambut kelahiran Rasulullah saw, kita juga sebenarnya turut mengingati akan tarikh kewafatan baginda. 

Tak kenal maka tak cinta. Meneladani Rasulullah saw merupakan satu faktor yang membuatkan hati kita meruntun untuk mencintai baginda. Kenalilah seluruh aspek kehidupannya dengan mempelajari sirahnya. Pada hakikatnya sirah nabawiah merupakan perbuatan yang jelas daripada risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada masyarakat. Dengan risalah ini Rasulullah saw mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama manusia, menuju kepada penyembahan semata-mata kepada Allah SWT. 

Marilah kita soroti peristiwa kelahiran baginda yang mulia sempena berada di bulan Rabiulawal ini. Nasab Nabi Muhammad saw sebagaimana yang termaktub di dalam kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum, karangan Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri: 

Nasab Nabi Muhammad saw terbahagi menjadi tiga bahagian: 

1. Bahagian yang disepakati kesahihannya oleh pakar sejarah dan ahli nasab, iaitu daripada baginda hingga ke Adnan. 

2. Bahagian yang diperselisih oleh mereka yang mengambil sikap tawaquf (diam) mahupun yang mengambil sikap qaul (bercakap), iaitu tingkatan-tingkatan selepas Adnan hingga Nabi Ibrahim. 

3. Bahagian yang tidak diragui mengandungi maklumat yang tidak benar, iaitu daripada Ibrahim hingga ke Adam. Dipaparkan secara terperinci bahagian-bahagian tersebut: 

Bahagian 1: Muhammad – bin Abdullah – bin Abdul Mutalib (Syaibah) – bin Hasyim (Amru) – bin Abdul Manaf (Mughirah) – bin Qushay (Zaid) – bin Kilab – bin Murrah – bin Kaab – bin Luay – bin Ghalib – bin Fihr (digelar dengan sebutan Quraisy) – bin Malik – bin Nadhar (Qais) – bin Kinanah – bin Khuzaimah – bin Mudrikah (Amir) – bin Ilyas – bin Mudhar – bin Nizar – bin Maad – bin Adnan.(1) 

Bahagian 2: Ia adalah tingkatan-tingkatan selepas Adnan (hingga Ibrahim), iaitu: Adnan – bin Ad – bin Humaisa’ – bin Salaman – bin Aush – bin Bauz – bin Qumwal – bin Ubay – bin Awwam – bin Nasyid – bin Juza – bin Baldes – bin Yudlaf – bin Thabikh – bin Jahim – bin Nahisy – bin Makhy – bin Aidh – bin Abqar – bin Ubaid – bin Daa – bin Hamdan – bin Sanbar – bin Yutsrabi – bin Yahzan – bin Yalhan – bin Ur’awy – bin Aidh – bin Daisyan – bin Aishar – bin Afnad – bin Aiham – bin Musurahhar – Nahits – bin Zarah – bin Sammy - bin Mazzy – bin Audhah - bin Aram – bin Qaidar – bin Ismail – bin Ibrahim.(2) 

Bahagian 3: Tingkatan-tingkatan di atas Ibrahim, iaitu: Ibrahim – bin Tarih (Azar) – bin Nahur – bin Saru’ (Sarugh) – bin Ra’u – bin Falikh – bin Abir – bin Syalikh – bin Arfakhsyad – bin Sam – bin Nuh – bin Lamik – bin Matusyalakh – bin Akhnukh (ada yang menyebut namanya Idris) – bin Yared – bin Mahalail – bin Qainan – bin Anusyah – bin Syaits – bin Adam.(3) 

Kelahiran Insan Termulia 

Penghulu para nabi; Nabi Muhammad saw dilahirkan daripada Bani Hasyim di Mekah pada Isnin pagi, 9 Rabiulawal pada tahun Peristiwa Gajah atau setelah berlalu 40 tahun pemerintahan Kisra Anusyirwan di Parsi. Ia bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 April tahun 571M, sebagaimana disimpulkan oleh ulama ternama Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri dan pakar ilmu falak Mahmud Pasha.(4) 

Ibnu Saad meriwayatkan, ibu baginda iaitu Aminah berkata: “Ketika aku melahirkannya , daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana Syam.” Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah penyataan yang tidak jauh berbeza.(5) 

Bahkan ada riwayat yang menyatakan, tanda-tanda kenabian telah kelihatan semenjak baginda lahir, iaitu runtuhnya 14 tiang istana Kisra, padamnya api yang disembah oleh orang Majusi serta musnahnya gereja-gereja yang ada di sekitar tasik Sawa. Riwayat ini disampaikan oleh Baihaqi. Namun begitu, riwayat ini tidak disetujui oleh Muhammad al-Ghazali.(6) 

Tatkala baginda lahir, ibunya menyuruh seseorang menemui Abdul Mutalib untuk menyampaikan berita mengenai kelahiran cucunya. Segera Abdul Mutalib datang dengan penuh rasa bahagia, lantas membawa cucunya itu ke dalam Kaabah. Di situ dia memanjatkan doa dan kesyukuran kepada Allah. Abdul Mutalib menamakan cucunya itu dengan nama Muhammad, satu nama yang belum pernah dikenali sebelum itu oleh bangsa Arab. Muhammad dikhatankan oleh Abdul Mutalib pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sebagaimana kebiasaan yang telah diamalkan orang Arab.(7) 

Wanita pertama yang menyusui baginda selepas ibunya ialah Tsuwaibah, hamba Abu Lahab, yang ketika itu juga sedang menyusui anak kandungnya sendiri bernama Masruh. Sebelum itu, Tsuwaibah pernah menyusui Hamzah bin Abdul Mutalib. Setelah menyusui baginda, Tsuwaibah juga menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumy.(8) 

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah an –Nabawiah, jil. 1, hal. 1-2; Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 5-6 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 11-14 dan 52. 

(2) Syeikh Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri menghimpunkan bahagian ini daripada garis nasab yang diriwayatkan oleh al-Kalby dan Ibnuu Saud setelah melakukan penelitian mendalam. Lihat Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 14-17. Dalam hal ini terdapat perbezaan yang ketara antara pelbagai rujukan sejarah. 

(3) Ibnuu Hisyam, al-Sirah an-Nabawiah, jil. I, hal. 2-4; Ibnuu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 6; al-Thabary, Khulasah al-Siyar, hal. 6; dan al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. II, hal. 18. Beberapa nama disebutkan dengan lafaz berbeza dalam rujukan-rujukan ini. Bahkan, ada rujukan yang tidak mencantumkan sebahagian nama. 

(4) Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. I, hal. 38-39. Perbezaan pendapat para ulama dalam menetapkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad pada bulan April disebabkan oleh kepelbagaian versi kalendar Masihi. 

(5) Abdullah bin Muhammadal-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 12 dan Muhammad bin Saad, al-Thabaqat al-Kubra, jil I, hal. 63. 

(6) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 46. 

(7) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 159-160 dan Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw dilahirkan dalam keadaan telah terkhatan – lihat Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4. Berhubung hal ini, Ibnuu al- Qayyim mengatakan dalam Zad al-Ma`ad jil. I, hal. 18, “Tidak ada hadis yang kuat mengenai hal ini (Nabi Muhammad lahir dalam keadaan telah khitan).” 

(8) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar al-Sirah al-Rasul, hal. 13. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...