Sahabat Sejati

Wednesday 28 December 2016

Monday 26 December 2016

Mungkin sebagai azam 2017, mungkinlah..

 'Si Haikal turut membantu membersih dan menyusun semula buku-buku'

Benar.. Semakin hari, minggu, bulan dan tahun, masa membaca saya semakin merosot. Kesibukan masa dengan program di sana-sini , kepenatan yang ‘melemahkan’ tubuh badan serta berbagai alasan lagi yang tercipta. Sedangkan jika difikirkan alasan-alasan tersebut bukanlah sesuatu yang patut menjadi menghalang untuk membaca dan menelaah. Letaknya pada satu perkataan iaitu 'mahu'. 

Petang tadi, sempat saya memberi motivasi kepada ahli keluarga (termasuk saya) supaya menjadikan hobi dan minat pada membaca. Saya kongsikan pengalaman tatkala bergulat di medan menuntut ilmu. Zaman yang terlalu banyak saya isikan dengan membaca. Saya sebutkan kepada mereka kelebihan membaca. Kesannya kepada kemahiran berbahasa, keupayaan menulis, pengetahuan am, keupayaan berfikir, otak dan sebagainya. 

Saya sebutkan juga kepada mereka yang saranan membaca adalah perintah pertama daripada Allah SWT, di dalam peristiwa malaikat Jibril menyuruh Rasulullah saw dengan "Iqra'" (bacalah). Sedangkan dalam masa yang sama Allah SWT mengetahui bahawa Rasulullah tidak tahu membaca, namun diperintahkan juga. Tentunya ada sesuatu yang sangat istimewa pada membaca.

Justeru, sekarang saya cuba menyusun kembali jadual pembacaan dan memotivasi diri untuk kembali konsisten membaca. Termasuk juga keperluan menyusun masa. Untuk seterusnya, mungkin juga saya perlu bermula dahulu dengan sebuah buku yang kecil dan nipis serta ringan isinya sebagai 'tonik' perangsang. 

Saya melihat kepada cabaran fenomena generasi kini yang banyak mengadap peti televisyen, komputer dan gajet, melihat paparan berwarna-warni yang bergerak-gerak dan menarik. Lantas menjadikan mereka (termasuk saya) hilang minat apabila mengadap buku yang hanya ada tulisan hitam dan paparan kertas putih yang statik. Semoga perkongsian motivasi ini, boleh diserap oleh mereka dengan baik. Juga untuk diriku sendiri. Insya-Allah wa bi iznih (Mungkin sebagai azam memasuki 2017)

***
Iqra` adalah fi’il amar (kalimat perintah), ia tidak dijelaskan objeknya (maf ‘ul bih). Di dalam ilmu Nahu bererti bahawa perintah tersebut tidak ditujukan pada objek tertentu, akan tetapi memiliki makna yang bersifat umum. Sedangkan menurut ilmu balaghah. kalimat perintah ini tidak bersifat mutlaq, tetapi muqayyat (bersyarat). Maksudnya, perintah iqra (membaca) pada konteks ayat bukanlah membaca yang bebas nilai, tetapi harus “Dengan nama Tuhan yang Maha Menciptakan”. Inilah perbezaannya, iaitu membaca yang bernilai ibadah dengan membaca yang sia-sia.

Prof. Buya Hamka menafsirkan perintah iqra ‘sebagai berikut: “Bahawa perintah iqra’ (bacalah) menghendaki perpindahan dan pasif menjadi aktif dan diam kepada bergerak. iaitu; “Bacalah yang tertulis, sehingga pengetahuan dan keahlian bertambah. Bacalah yang ditentukan, diajarkan oleh utusan Tuhan. Sampai kamu sendiri mengerti dan yang mendengar memahami. Bacalah yang termaktub dalam rahsia alam yang beraneka warna, agar kamu menjadi sedar dan mendapat sinar iman."

Wallahu Jalla wa `Ala a`lam.

Merenung, memerhati dan berfikir - update

foto hiasan ~ sumber

Perjalanan hidup manusia dari dahulu hingga kini menempuh berbagai-bagai peristiwa. Apa sahaja yang berlaku adalah sejarah yang melukiskan putaran roda kehidupan manusia yang dengannya tersimpan hikmah dan pelajaran. 

Semua peristiwa yang berlalu itu harus kita mengerti dan kita pelajari sehingga kita memahami bahawa itulah didikan dari Allah SWT. Untuk itu, apa pun yang berlaku baik ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?” 

Fikirkanlah, semua yang berlaku ke atas kita pasti ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah. Kuncinya adalah BERFIKIR. 

Manusia perlu kepada Tuhan. Justeru, mereka perlu mengenal Tuhan. Kenal dengan merenung dan memerhati ayat-ayat Allah yang dibaca. Begitu juga kenal dengan memerhati dan berfikir akan kejadian alam ini. Semua ini akan memutikkan rasa kehebatan Allah SWT dan begitu kerdil dan lemahnya diri kita. 

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Aali-Imraan: 191) 

Inilah yang cuba saya selami. 

Pokok cili tumbuh disebelah pokok mempelam. Tegak di atas tanah yang sama, menyedut air dan galian yang sama tetapi berbeza rasa. Cili rasanya pedas manakala mempelam rasanya manis. Tidak pula cili menjadi manis kerana duduk di sebelah pokok mempelam. 

Saya memerhati seekor ibu ayam memimpin anak-anaknya mencari makan. Mencakar-cakar tanah dan berketak memanggil anak-anaknya. Jika ada yang mengganggu, si ibu akan mengejarnya dengan kepak yang mengembang. Saya takjub melihat kasih sayang ini. 

Demikianlah kebesaran Allah SWT. Fitrah manusia, memerhati dan berfikir untuk memahami rahsia alam dan kehidupan. Seterusnya menghadirkan cinta, kasih dan taat pada-Nya. Justeru, renungilah hakikat kehidupan ini, andai kita punya mata hati pasti kita akan memahami.

"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" (al-Baqarah:76)

Saturday 24 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (20)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (19), di bawah tajuk kecil: Menghirup Udara di Perkampungan Bani Saad.

foto hiasan ~ sumber

"Selama dua tahun menyusui Muhamad, Halimah dan keluarga sering mendapat rezeki yang banyak dan kebaikan daripada Allah. Ketika telah putus susu, Muhammad pun membesar menjadi anak lelaki yang gagah dan kuat, tidak seperti anak-anak yang lain. Bahkan, sebelum genap dua tahun, perwatakan fizikalnya telah menjadi besar."

Selepas putus susu, Halimah menghantar Muhammad pulang kepada ibunya walaupun sebenarnya Halimah ingin Muhammad tinggal bersamanya. Ini adalah kerana Halimah dapat menyaksikan sendiri betapa kehadirannya telah mengundang hujan keberkatan. Maka, disampaikan keinginannya itu kepada ibunya.

Saya meminta kepada ibunya, "Bolehkah kamu izinkan anak ini terus tinggal bersama kami sehingga dia lebih besar lagi? Sebabnya saya khuatir dia terkena penyakit yang ada di Mekah." Saya terus merayu Aminah sehingga akhirnya dia mengizinkan Muhammad terus bersama-sama kami."(1)

Demikianlah, Muhammad saw tetap tinggal di perkampungan Bani Saad sehingga baginda menginjak usia empat atau lima tahun, sehingga terjadinya peristiwa pembelahan dada baginda.(2)

Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas, Rasulullah saw didatangi oleh malaikat Jibril ketika baginda sedang asyik bermain bersama teman-teman sebayanya. Jibril lalu membaringkannya, kemudian membelah dadanya. Jibril mengeluarkan jantung baginda, lalu mengeluarkan segumpal darah (hati) daripada bahagian jantung itu. Jibril berkata kepada baginda:

"Inilah bahagian syaitan yang ada pada dirimu." Jibril lalu mencuci gumpalan darah itu menggunakan air zamzam dalam sebuah bekas emas. Selepas mencucinya, Jibril membalut kembali gumpalan darah itu sehingga keadaannya pulih seperti semula lalu dikembalikan ke tempatnya. Sementara kanak-kanak yang bermain bersama-sama baginda telah lari menemui Halimah. Mereka menceritakan. "Muhammad telah dibunuh."

Dalam situasi ketakutan, mereka mendatangi Nabi Muhammad saw. Sampai di sana, baginda terus menyambut mereka dengan senyuman berseri-seri.(3)

Rujukan:

(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. i, hal. 162-164.

(2) Inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti ahli sejarah. Namun begitu, apabila ditelaah daripada riwayat Ibnu Ishaq, kelihatan bahawa peristiwa itu terjadi ketika usia baginda tiga tahun - lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. i, hal. 164-165.

(3) Sahih Muslim, bab tentang Israk-Mikraj, jil. i, hal. 92.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

'Makan angin dengan si Haikal'

'Alhamdulillah, dah siap, boleh balik!'

Cuti hari ini. (Khamis)

Cuti bukan sebab mahu berjalan ke mana-mana, kerana yang itu pada hujung minggu. Tetapi cuti hari ini seperti biasa menunaikan temujanji anakanda Haikal di HTAA. Hari ini giliran klinik Pediatrik pula mengambil tempat. Klinik Pediatrik atau bahasa mudah klinik kanak-kanak. Sesuatu yang biasa, saya akan mengambil cuti jika ada temujanji si Haikal di hospital. Saya tidak mengambil 'timeslip' kerana tidak mahu berlaku kelam-kabut nanti. Maklumlah, tidak tahu cepat atau lambat siapnya. Jadi, baik ambil cuti sehari terus.

Selalunya saya ke HTAA dengan menunggang motosikal sahaja. Bukannya apa, sedang nak 'mencilok' ke sana kemari. Lagi satu jika ke hospital sukar juga mahu mendapatkan 'parking'. Kadang-kadang sampai dua kali pusing pun masih tidak mendapat petak kosong. Mahu meletak kenderaan 'kokse-kokdang' nanti kena saman pula. Tetapi jika hari hujan, mahu tak mahu kena jugalah memulas stering. 

Seawal jam 8.30 pagi saya dan si Haikal sudah pun tercongok di hadapan kaunter walaupun waktu berjumpa doktor pakar pada jam 10 pagi. Letak kad temujanji di dalam kotak kad temujanji, duduk di kerusi yang disediakan, menunggu nama dipanggil untuk menerima angka giliran dan seterusnya menunggu angka dipanggil untuk berjumpa doktor. Jika cepat sampai, cepatlah dapat nombor giliran.

Ramai juga orang di klinik Pediatrik hari ini (kebiasaan begitu). Mujurlah saya datang awal, jadi dapatlah nombor 8. Beginilah rutin saya sejak 11 tahun yang lalu, HTAA, IJN, termasuk juga klinik swasta jika ada masalah kesihatan yang biasa-biasa seumpama demam, batu dan selsema. Alhamdulillah, setakat ini ia tidak menjadi masalah. Lepas selesai temujanji, pergi mencicip roti telur dan air milo kegemaran si Haikal di kedai makan berhadapan masjid Negeri. Kemudian pusing-pusing sekejap dalam pusat bandar, barulah pulang. Seronok! Sudah 11 tahun kan..  Alah bisa, tegal biasa kata peribahasa lama.

Thursday 22 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (19)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (18), di bawah tajuk kecil: Menghirup Udara di Perkampungan Bani Saad

foto hiasan ~ sumber

Keldai betina yang ditunggangi berjalan dalam kepayahan lantaran kurus dan telah lemah sehingga Halimah dan keluarganya ditinggalkan rombongan. Walaupun lambat, sampai juga mereka di Mekah dan segera mencari bayi untuk disusukan. Setiap wanita yang ditawarkan bayi bernama Muhammad, menolak untuk menerimanya setelah dikatakan bayi itu yatim. Mereka semua memang mengharap bayi yang masih mempunyai ayah. Kami katakan, "Apa yang boleh dilakukan ibu dan datuknya?" Sebab itulah mereka tidak mahu menerima anak itu.

Setelah mencari di seluruh kota, setiap wanita dalam rombongan kami telah mendapat bayi susuan kecuali Halimah. Tatkala mereka semua telah berkumpul untuk pulang, ketika itu Halimah berkata kepada suaminya, "Demi Allah, aku tidak mahu pulang bersama teman-temanku sementara aku belum mendapat bayi susuan. Demi Allah, aku akan kembali menemui bayi yatim itu dan membawanya." Suaminya menjawab, "Tidak salah kamu melakukan itu. Semoga Allah memberi keberkatan pada kita melalui anak itu."

Halimah datang semula kepada Aminah dan mengambil Muhammad. Sewaktu itu dia tidak merasakan bebannya. Tatkala menggendong Muhammad, semua beban yang ada hilang. bayi itu dibawa menaiki tunggangannya. Bayi itu diletakkan di pangkuan dan meminta susu. Ajaib! Bayi ini tenang meminum air susu Halimah hingga kenyang. Bukan hanya dia, bahkan anak Halimah juga turut menyusu hingga mereka kenyang.

Selepas itu, kedua-duanya tidur nyenyak, padahal sebelum itu kami tidak tidur sedikit pun Suaminya mendekati unta tua dan mendapati puting susu unta itu dipenuhi air susu. Dia lantas memerah air susu unta itu sehingga mereka berdua boleh minum hingga puas dan kenyang. Malam itu, mereka sekeluarga dapat tidur nyenyak."

Pada keesokan pagi, suami Halimah berkata, "Halimah, demi Allah kamu telah mengambil nafas hidup yang penuh berkat." Saya pun membalas, "Demi Allah, memang itulah harapan saya."

"Pagi itu mereka meneruskan perjalanan pulang. Mereka mengenderai keldai betina dengan membawa bayi bernama Muhammad. Demi Allah, ketika itu keldai betina itu berjalan dengan cepat dan bertenaga, melebihi tenaga keldai jantan rombongan yang lain. Ahli rombongan lain berkata, "Hai puteri Abu Dzuaib, tunggulah kami. Bukankah itu ialah keldai betina yang kau tunggangi ketika pergi ke Mekah?" Halimah menjawab, "Demi Allah, benar. Memang ini keldai betina yang kutunggangi hari itu." Mereka terkejut lantas berkata, "Demi Allah, keldaimu sekarang sangat kuat."

"Setelah menempuh perjalanan yang sangat jauh, tiba juga di rumah masing-masing di perkampungan Bani Saad, perkampungan yang belum pernah disaksikan ada tanah yang lebih gersang daripadanya. Tatkala mereka menginjakkan kaki di rumah bersama bayi Muhammad, kambing mereka datang dalam keadaan kenyang dan penuh air susu. Mereka memerah air susunya dan minum hingga kenyang. Kambing orang lain pula, sama sekali tidak mengeluarkan setitis air susu pun.

Perkara itu membuatkan orang lain dalam rombongan kami berkata kepada para penggembala kambing mereka, "Sekarang lepaskanlah kambing-kambing itu agar bebas makan di mana sahaja, seperti yang dilakukan oleh penggembala kambing anak perempuan Abu Dzuaib." Namun begitu, tetapi tidak terjadi perubahan, kambing mereka masih juga kembali dalam keadaan lapar dan tidak bersusu, sementara kambingku pulang dalam keadaan kenyang dan dipenuhi air susu.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

Tuesday 20 December 2016

DIA yang Maha Pemberi - update

Satu kisah... 

Seorang lelaki berangkat berjihad di jalan Allah, sementara dia meninggalkan isteri dan anak-anaknya. Beberapa wanita tetangganya yang lemah iman berkata kepada isteri lelaki tersebut: "Wahai ibu yang malang, apabila Allah mentakdirkan maut untuk suamimu dan menjadi syahid, maka siapakah yang akan menghidupi dan menjga anak-anakmu?" 

Wanita mukminah ini hanya menjawab perkatan mereka dengan keras, sepenuh iman dan keyakinan: "Aku hanya mengenal suamiku sebagai seorang yang hanya dapat makan. Aku tidak pernah mengenalnya sebagai yang menurunkan rezeki. Apabila orang yang hanya dapat makan itu telah mati, maka Yang Maha Pemberi rezeki akan tetap hidup." 

Dia yang Maha Pemberi 

Sesungguhnya kehidupan semua makhluk di langit dan bumi sangat bergantung kepada kurniaan Allah SWT. Tanpa kurniaan-Nya, makhluk yang terdiri daripada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya mana mungkin dapat menjalani kehidupan ini. Jika kita hitung segala pemberian-Nya, pasti tidak akan terhitung kerana banyaknya dan luasnya pemberian itu. Seumpama samudera yang tidak bertepi, terlalu banyak. Walaupun kita cuba nisbahkan dengan seluruh isi kandungan alam semesta ini, pun tidak dapat menyamainya. 

Allah SWT berfirman: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim: 34) 

Justeru, manusia tidak sesekali boleh mendakwa atau mengatakan bahawa hidup di dunia ini adalah semata-mata kebijaksanaan dan usaha keras mereka. Jika ada yang berkata demikian, sesungguhnya dia telah terlupa bahawa kebijaksanaan juga adalah dari Allah SWT. Maka insaflah diri dengan bermuhasabah dengan mengingatkan diri..

"AKU TIDAK PUNYA APA-APA, SEMUANYA ADALAH KURNIAAN ALLAH SWT." 

Dengan kurniaan yang melimpah-ruah itu seharusnya membuatkan kita insaf dan kenal akan hakikat diri kita. Semuanya akan menjadikan kita semakin bertaqwa dan bersyukur kepada Allah SWT. Namun begitu, terdapat sesetengah manusia yang hanya melihat kepada nikmat ataupun kurniaan, tetapi mereka lupa kepada pemberi nikmat tersebut. Ini adalah sifat yang amat buruk. Seumpama kita menerima hadiah dari seseorang, dan kita amat bergembira, tetapi dalam masa yang sama kita tidak mempedulikan si pemberi tersebut sehinggakan ucapan terima kasih pun kita terlupa. Wajarkah begini? Tentu tidak bukan? 

Oleh itu, marilah kita mensyukuri nikmat rezeki yang tidak terhitung ini. Air, udara, cahaya matahari, anak-anak yang soleh, rumah tangga yang bahagia, hati yang tenteram dan sebagainya. Tidak mampu untuk dihitung banyaknya. Sesungguhnya Dia benar-benar Maha Pemberi! 

"Tanyakan kepada Bani Israel: "Berapa banyaknya tanda-tanda (kebenaran) yang nyata, yang telah Kami berikan kepada mereka. Dan barang siapa yang menukar nikmat Allah setelah datang nikmat itu kepadanya, maka sesungguhnya Allah sangat keras seksa-Nya." (al-Baqarah: 211)

Fikir-fikir!

Saturday 17 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (18)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (17), di bawah tajuk: PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI


foto hiasan (sumber)

Menghirup Udara di Perkampungan Bani Saad

Telah menjadi kebiasaan masyarakat Arab kota untuk mencari wanita penyusu dari desa untuk anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk menjauhkan anak-anak itu daripada pelbagai penyakit yang ada di kota. Diharapkan tubuh anak-anak itu membesar sihat dan kuat, dapat berdiri tegap dan mempunyai akhlak yang baik. Penduduk di pedalaman itu juga dapat mengajar anak-anak di situ bahasa Arab yang baik semenjak masih bayi.

Maka, seperti orang Arab kota yang lain, Abdul Mutalib mencarikan wanita penyusu untuk cucunya. Ketika itulah seorang wanita daripada Bani Saad bin Bakar bernama Halimah binti Abu Dzuaib yang didampingi oleh suaminya yang masih berasal daripada satu kabilah dengannya, bernama Harith bin Abdul Uzza yang dikenali juga dengan nama Abu Kabsyah menawarkan diri untuk menyusui Muhammad.

Tawaran tersebut diterima oleh Abdul Mutalib, maka baginda dibawalah ke perkampungan Bani Saad. Semasa penyusuan Halimah, baginda mendapat tiga saudara susuan, iaitu Abdullah bin Harith, Anisah binti Harith dan Hadzafah atau Judzamah binti Harith. Judzamah digelari dengan sebutan asy-Syaima' dan dia lebih dikenali dengan gelarannya ini berbanding nama asalnya.

Selain mengasuh Rasulullah saw, Halimah pernah juga mengasuh Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutalib, anak bapa saudara baginda. Bahkan, bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib juga disusui dalam kalangan Bani Saad bin Bakar. Penyusuan Hamzah bukan pada Halimah, tetapi pernah satu hari Hamzah disusui oleh Halimah padahal waktu itu Rasulullah saw sedang disusui oleh Halimah. Oleh itu, Hamzah juga adalah saudara susuan Rasulullah saw daripada dua laluan iaitu daripada Tsuwaibah dan Halimah al-Saadiah.(1)   

Sejak bertemu dengan Nabi Muhammad, Halimah mendapat keberkatan yang sehingga membuatkannya kagum. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq, Halimah menjelaskan, dia dan suami membawa anak mereka yang masih kecil dan masih dalam penyusuannya, keluar dari kampung mereka. Mereka bergabung dalam rombongan Bani Saad bin Bakar, pencari anak susuan.

"Ketika itu adalah musim kemarau, Halimah tiada makanan sedikit pun. Dia menunggang keldai betina betina berwarna putih coklat dan membawa unta betina tua milik mereka. Demi Allah, unta itu tidak lagi mengeluarkan susu walau setitis pun. Halimah tidak boleh tidur sepanjang malam kerana anak lelakinya terus menangis kelaparan. Air susunya nyaris kering sehingga tidak cukup untuk menghilangkan rasa lapar anaknya. Tidak ada makanan pula untuk unta betina. Mereka mengharapkan sekiranya ada malam pertolongan dan jalan keluar.  

Rujukan :

(1) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma`ad, jil. 1, hal. 19
 
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Tuesday 13 December 2016

Fikir-fikir: Anda tidak akan...

Anda tidak akan faham perasaan kasih ibu atau bapa kecuali bila anda sendiri telah menjadi ibu atau bapa.

Anda tidak akan mengerti hati seorang tua kecuali bila anda juga telah menginjak usia senja.

Anda tidak akan menyelami erti kesusahan dan kemiskinan kecuali jika anda pernah hidup susah dan miskin.

Anda tidak akan mengerti nikmat lapang masa kecuali jika anda mengalami saat-saat kesibukan.

Anda tidak akan mengerti harga kesihatan kecuali jika anda telah terlantar kesakitan di perbaringan.

Anda tidak akan mengerti nikmat kehidupan kecuali setelah anda menemui sang kematian. 

Fikir-fikir...

Monday 12 December 2016

Salam Maulid ar-Rasul 1438H/2016M


"Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (al-Anbiya' : 107)

Puji dan syukur ke hadrat Ilahi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah saw, serta kepada keluarga dan para sahabatnya.

Allah SWT dengan kasih sayang-Nya telah mengutuskan kepada manusia seorang Rasul sebagai pembimbing dan penunjuk jalan. Sesungguhnya pengutusan ini adalah sebesar-besar rahmat, yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada terangnya obor cahaya hidayah.

Imam al-Qurthubi menyatakan, yang dimaksudkan dengan ‘al-Alamin’ ialah seluruh kejadian selain Allah SWT. Ertinya semua makhluk samada manusia, haiwan, tumbuhan, semua benda termasuk dunia ini dan seisinya, mendapat rahmat dengan kelahiran Rasulullah saw.

Justeru, marilah kita sama-sama memperbanyakkan Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah saw. Moga dengan kehadiran hari yang bersejarah ini akan meningkatkan lagi kecintaan dan kasih sayang kita kepadanya. Begitu juga, semoga kita sebagai umatnya sentiasa diberikan kesungguhan untuk mendalami dan menghayati sirahnya, dan seterusnya membuktikan kecintaan kepada Baginda saw dengan mengamalkan segala sunnahnya di dalam seluruh aspek kehidupan.


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulid ar-Rasul 1438H kepada semua sahabat yang budiman, khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan ini. Tiadalah yang lebih menggembirakan melainkan sokongan dan kunjungan sahabat ke sini serta dapat mencicip apa jua nasihat dan manfaat yang ada di dalamnya. Mudah-mudahan ia menjadi amal yang sentiasa mengalir ganjarannya. Bak kata sang murabbi, “Tulislah sesuatu yang sentiasa hidup walaupun engkau telah mati.” 

Walillahil-hamd..

Sunday 11 December 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (17)

PERINGKAT KELAHIRAN HINGGA USIA 40 TAHUN, SEBELUM MENJADI NABI

Peristiwa Tahun Gajah ~ foto hiasan (sumber)

Kelahiran Insan termulia

Penghulu para nabi; Nabi Muhammad saw dilahirkan daripada Bani Hasyim di Mekah pada Isnin pagi, 9 Rabiulawal pada tahun Peristiwa Gajah atau setelah berlalu 40 tahun pemerintahan Kisra Anusyirwan di Parsi. Ia bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 April tahun 571M, sebagaimana disimpulkan oleh ulama ternama Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri dan pakar ilmu falak Mahmud Pasha.(1)

Ibnu Saad meriwayatkan, ibu baginda iaitu Aminah berkata: “Ketika aku melahirkannya , daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana Syam.” Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah penyataan yang tidak jauh berbeza.(2)

Bahkan ada riwayat yang menyatakan, tanda-tanda kenabian telah kelihatan semenjak baginda lahir, iaitu runtuhnya 14 tiang istana Kisra, padamnya api yang disembah oleh orang Majusi serta musnahnya gereja-gereja yang ada di sekitar tasik Sawa. Riwayat ini disampaikan oleh Baihaqi. Namun begitu, riwayat ini tidak disetujui oleh Muhammad al-Ghazali.(3)

Tatkala baginda lahir, ibunya menyuruh seseorang menemui Abdul Mutalib untuk menyampaikan berita mengenai kelahiran cucunya. Segera Abdul Mutalib datang dengan penuh rasa bahagia, lantas membawa cucunya itu ke dalam Kaabah. Di situ dia memanjatkan doa dan kesyukuran kepada Allah. Abdul Mutalib menamakan cucunya itu dengan nama Muhammad, satu nama yang belum pernah dikenali sebelum itu oleh bangsa Arab. Muhammad dikhatankan oleh Abdul Mutalib pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sebagaimana kebiasaan yang telah diamalkan orang Arab.(4)

Wanita pertama yang menyusui baginda selepas ibunya ialah Tsuwaibah, hamba Abu Lahab, yang ketika itu juga sedang menyusui anak kandungnya sendiri bernama Masruh. Sebelum itu, Tsuwaibah pernah menyusui Hamzah bin Abdul Mutalib. Setelah menyusui baginda, Tsuwaibah juga menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumy.(5)

Rujukan:

(1) Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyufuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. I, hal. 38-39. Perbezaan pendapat para ulama dalam menetapkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad pada bulan April disebabkan oleh kepelbagaian versi kalendar Masihi.

(2) Abdullah bin Muhammadal-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 12 dan Muhammad bin Saad, al-Thabaqat al-Kubra, jil I, hal. 63.

(3) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 46.

(4) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 159-160 dan Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. I, hal. 62. Namun begitu, ada pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw dilahirkan dalam keadaan telah terkhatan – lihat Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4. Berhubung hal ini, Ibnuu al- Qayyim mengatakan dalam Zad al-Ma`ad jil. I, hal. 18, “Tidak ada hadis yang kuat mengenai hal ini (Nabi Muhammad lahir dalam keadaan telah khitan).”

(5) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hlm. 4 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar al-Sirah al-Rasul, hal. 13.

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Friday 9 December 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 89

Salam Jumaat Mubarakah.


"Kalau kamu kenal nilai sebenar harga dirimu, 
kamu tidak akan hinakannya dengan maksiat. 
Sesungguhnya Allah menghalau iblis dari rahmat-Nya kerana ia tidak sujud kepada dirimu. 
Alangkah peliknya bagaimana kamu boleh berdamai dengan musuh dan tinggalkan kekasih."

~Imam Ibnu Qayyim

Wednesday 7 December 2016

Telah 11 tahun usianya pada hari ini, alhamdulillah.

'Si kecil haikal yang istimewa'

Dia lahir di HTAA pada hari Rabu, jam 7.55 pagi, tanggal 7.12.2005 bersamaan 5 Zulkaedah 1426H. Pada kad kelahirannya ada tercatat .............

Penyakit apakah ini? Aku tidak tahu tetapi pernah mendengar. Seorang jururawat bertanya kepada isteriku, apakah sebelum ini tidak mengambil suntikan imunisasi? Jawab isteriku, sudah! Tetapi mengapa boleh terjadi sindrom ini kepadanya. Sedangkan abang dan kakak-kakaknya tidak pula. Tidak patut terjadi secara logiknya, ulas jururawat itu lagi kehairanan. Aku cuma mengangguk. Apalah kudrat yang ada pada sang makhluk, semuanya di dalam genggaman kekuasaan-Nya. Apa yang berlaku tentu dengan hikmah kebaikan, aku meredakan perasaan. 

Dan kenyataannya aku saksikan dia tidak seperti kanak-kanak lain. 
Telinganya tidak bisa mendengar. 
Mulutnya tidak bisa bertutur. 
Matanya tidak mampu mengecam tanpa bantuan cermin mata berkanta tebal. 
Jantungnya tidak berdegup seperti kanak-kanak lain. 
Derapan langkahnya tidak segagah orang lain. 
Ah, ada lagi.. 
Tangannya seringkali terhayun-hayun dan terketar-ketar menampakkan dia tidak seperti kanak-kanak normal yang lain. 

Sehingga kadangkala aku merasa aib tatkala ada mata-mata yang memandang tanpa berkerdip. Kepelikan barangkali. Tetapi yang pasti dia sentiasa menjadi penenang jiwa dan penyejuk mata. Dan aku sebagai bapanya hanya terdaya mencicip rasa simpati dengan panjatan doa yang tiada sama sekali rasa jemu. Bersimpuh menadah tangan memohon dan merayu agar sentiasa kuat sehingga akhirnya. 

Teringat saat-saat itu. Dua minggu sebelum kelahirannya, ‘dia’ sudah pun ‘dimasukkan’ ke hospital bersama ummu Ikhwan. Saat dilahirkan beratnya hanyalah 1.35 kilogram, kecil. Sehubungan itu, dia dimasukkan ke dalam inkubator selama 2 minggu kemudian 3 minggu lagi di wad NICU. Selama itulah ummu Ikhwan setia menemani.  Manakala aku menguruskan keluarga dirumah disamping melawat setiap hari ke hospital setelah habis waktu bekerja.

Teringat pula aku dan ummu Ikhwan dipanggil ke bilik doktor. Sebelum diserahkan borang pendaftaran OKU, kami diberikan sedikit nasihat berupa kaunseling. Bimbang jika kami berdua tidak dapat menerima kenyataan. Ada kes ibu bapa tidak dapat menerima apa yang berlaku dan mahu memberikan bayinya keada sesiapa sahaja, ujar doktor tersebut.  Aku dan ummu Ikhwan saling berpandangan dan tersenyum. Kami menerima dengan hati yang terbuka, Besar tapak tangan nyiru kami tadahkan, seumpama begitu. Ia adalah satu anugerah! Ya, satu anugerah...

 '31 May 2012, persediaan sebelum menjalani pembedahan kali ke tiga di HTAA'

Pada usianya 3 bulan kami diminta oleh pihak hospital untuk membuat rujukan di IJN kerana terdapat tanda-tanda masalah pada jantungnya. Sehingga kini kami masih membuat rujukan di IJN. Begitu juga di HTAA, tempat dia dilahirkan, kami perlu membawanya 3 kali sebulan di setiap klinik hospital yang berbeza. Susah? Ada juga, tetapi kata orang lama “alah bisa tegal biasa”. Sudah 11 tahun berulang-alik, jadi seronok pula. 

Pada usia 5 tahun dia masih tidak mampu bertatih. Jika ingin bergerak dia akan menunjal-nunjalkan kakinya, lalu bergeraklah dia ke sana ke mari dalam keadaan mengundur. Hati kecil seorang ayah, apakah anakku ini tidak akan dapat berjalan? 

Allah Maha Pengasih, usianya 7 tahun dia mula mengatur langkah walaupun perlahan-lahan sambil bergayut pada apa yang dapat dicapai. Walaupun begitu, rawatan masih diperlukan dan kami berulang-alik ke pusat perubatan. Sampai bila? Entahlah, biarlah taqdir yang menentukannya. Padaku dia adalah amanah yang tidak akanku siakan. Kami sekeluarga akan terus menjaganya selagi ada hayat dikandung badan. Insya-Allah.

Dialah ‘si kecil Haikal yang istimewa’. Telah 11 tahun usianya pada hari ini. Alhamdulillah. 

##sekadar perkongsian

Wordless Wednesday: Anda sendiri menafsirkan (3)


Bahagia dengan memberi (update)

"Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92).

Anas ra. berkata: Abu Talhah seorang yang terkaya dari sahabat Ansar di Kota Madinah. Beliau mempunyai sebuah kebun kurma yang paling disayangi yang terletak berhadapan dengan masjid, bernama Bairuha`. Di dalamnya mengalir satu sumber air yang jernih, dan Rasulullah saw selalu masuk meminum sumber airnya.

Berkata Anas ra. lagi: Tatkala turunnya ayat "Kamu belum mendapat kebaikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sukai. Apa sahaja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Ali-Imraan: 92) maka datanglah Abu Talhah kepada Rasulullah saw lalu berkata, :Ya Rasulullah! Allah telah menurunkan ayat ini kepadamu, dan harta yang paling ku kasihi adalah kebun Bairuha` ini. Oleh itu aku mahu menafkahkannya kepada Allah, semoga ia menjadi tabungan disisi Allah nanti."

Maka berkata Rasulullah saw, "Itulah harta yang menguntungkan, itulah harta yang menguntungkan (berlaba). Dan aku telah mendengar semua yang telah engkau katakan, maka aku berpendapat lebih kamu jadikan ia sedekah kepada kerabatmu yang terdekat."

Abu Talhah berkata, "Baik ya Rasulullah."

Maka Abu Talhah segera membahagi-bahagikan di kalangan kerabatnya.

Sesungguhnya Islam agama yang mementingkan amalan sosial. Ia menyeru penganutnya agar sentiasa memikirkan kehidupan sesama mereka. Inilah yang dinamakan 'ehsan' iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain. Kerana itulah Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang berada di dalam kesempitan.

Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi saw jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya. Seorang Muslim tidak akan mendapat kebaikan kecuali jika menafkahkan sebahagian hartanya untuk manfaat orang lain, inilah yang dimaksudkan oleh ayat di atas. Demikianlah betapa indahnya Islam dalam mengurus kasih sayang sesama mereka.

Mari memberi 

Amalan sedekah merupakan perbuatan yang terpuji di sisi Islam. Semenjak awal kedatangan Islam, Rasulullah saw menunjuk contoh dengan bersedekah dan memotivasi para sahabat supaya menjadikan bersedekah sebagai amalan. 

Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai contohnya, telah menafkahkan seluruh harta kekayaannya untuk digunakan pada jalan Allah SWT. Apabila ditanya oleh Rasulullah saw apa yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya, beliau menjawab; Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dengan sahabat-sahabatnya yang lain seperti Zubir bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi. Mereka ini adalah ahli perniagaan yang berjaya dan memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi mereka tidak pernah lupa menafkahkan hasil perniagaan mereka untuk kepentingan Islam. 

Jiwa dan keimanan mereka amat kental sehingga tidak mampu ditewaskan oleh harta kekayaan yang mengelilingi kehidupan mereka. 

Rasulullah saw bersabda: "Daripada Abu Zar ra. bahawasanya segolongan manusia dari sahabat Rasulullah saw berkata kepada baginda: "Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (kaya) telah mendapat pahala (lebih banyak daripada kami). Mereka solat sebagaimana kami solat dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka. 

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu suatu untuk bersedekah? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala." (Muslim). 

Secara umumnya Rasulullah menyebut amalan bersedekah itu banyak cabangnya, tidak khusus hanya kepada harta sahaja. Tetapi yang paling penting ialah sikap kita apabila bersedekah. Bersedekah disertai dengan keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah. 

Firman Allah swt: “Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan kelakuan yang menyakiti (hati penerima) seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu batu itu menjadi licin kembali. Tidak suatu pun yang dapat mereka peroleh dari usahanya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Baqarah-264). 

Marilah kita sama-sama merenungi peringatan ini. Kehidupan kita di dalam masyarakat memerlukan di antara satu sama lain. Kita tidak mungkin dapat hidup berseorangan, oleh itu janganlah kita terlalu bersifat ananiyah (mementingkan diri sendiri). Marilah kita singkirkan sifat kikir yang ada di dalam diri kerana ia adalah sifat mazmumah dan amat merugikan kita. 

Berkata Yahya bin Muaz: "Tiada dalam hati orang-orang yang pemurah selain kasih walaupun mereka orang-orang yang fasik. Dan orang-orang kikir itu hanya mempunyai kemarahan, walaupun mereka orang-orang yang baik." 

Nah! Mari kita berkasih sayang melalui sedekah, kita pasti bahagia.

Friday 2 December 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 88

Salam Jumaat.


"Ada perkataan yang...
lebih keras daripada batu
lebih pahit daripada kesabaran
lebih panas daripada api.
 
Sesungguhnya hati itu adalah ladang
Tanamlah padanya perkataan yang baik
Kalau tidak tumbuh semuanya,
sebahagian pasti tumbuh."

~Wasiat Luqman al-Hakim