Sahabat Sejati

Monday 23 May 2022

Bicara santai: Syawal yang masih berbaki

Assalamulaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, puji dan syukur yang sebanyaknya kepada Allah SWT yang mengizinkan kita semua untuk bertemu kembali. Biarpun pertemuan ini berlangsung cuma di alam maya, namun ia juga termasuk nikmat yang seharusnya disyukuri.

Hampir sebulan tidak mencoretkan apa-apa di lembaran kesayangan ini. Mungkin ada sahabat-sahabat yang tertanya-tanya atau mungkin juga tidak. Jika hilang tidak tersisa terus dilupakan orang. Demikianlah kehidupan di dunia ini.

Alhamdulillah, Ramadhan dan Syawal tahun ini begitu bererti dan meriah sekali. Cukup puas meraikannya bersama kaum kerabat dan teman-teman, kerana boleh dikatakan kondisi hampir normal sepenuhnya ekoran kelonggaran SOP yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan.

Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat dan menghilangkan terus Covid 19 ini daripada tanahair yang tercinta ini dan kehidupan menjadi semakin baik untuk kita nikmati. 

Tahun ini banyak sungguh undangan rumah terbuka Aidilfitri. Samada di kalangan sahabat-sahabat maupun undangan anjuran agensi-agensi. Jenuh juga mahu memenuhi setiap undangan. Maklumlah dua tahun aidilfitri tanpa 'apa-apa' sambutan. Kali ini, haa.. tu dia, lepas geram masing-masing. 

Dalam kemeriahan menyambut raya, memenuhi undangan rumah terbuka, jangan pula lupa untuk 'membereskan' puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Rugi jika tidak melaksanakannya. Jika tidak sempat tahun ini, maka perlu menunggu sehingga tahun hadapan pula. Itupun jika usia masih ada, wallahua`lam.