Sahabat Sejati

Sunday 28 September 2014

Spa semulajadi, hebat Penciptanya


Saya suka melihat pokok-pokok dan bukit bukau. Saya suka melepaskan pandangan kepada rimbunan hutan hijau di kejauhan. Ketika melihatnya saya terasa jiwa dan fikiran menjadi tenang. Menyedut nafas dalam-dalam dan menghembusnya dengan seribu kepuasan. Mungkin ia pelik bagi sesetengah orang, mungkin juga ia sesuatu yang biasa. Terpulang kepada siapa mahu menafsirkannya. 

Ketika zaman budak-budak dahulu, tidak sedikit pokok-pokok yang menjadi tempat saya melepaskan resah. Ia bagaikan spa semulajadi yang berkesan. Saya memanjat, dan biasanya saya akan memanjat terus ke pucuk yang paling tinggi. Menghirup udara segar, merenung panorama indah di kejauhan, berbalam-balam kehijauan bukit-bukau, gumpalan awan yang memutih bak kapas dan kawanan burung yang berterbangan. Selalu saya menjerit dari atas pokok kepada burung-burung agar membawa saya terbang bersama mereka. Biarpun jeritan saya tidak pernah bersahut, namun saya senang melakukannya. Akhirnya tanpa saya sedari, resah dan gelisah yang bersarang itu berlalu dengan sendiri. Hampir santak senja barulah saya pulang dengan seribu kepuasan. 

Teringat pula pengalaman sewaktu mendaki gunung Tahan beberapa ketika dahulu. Tatkala menjejak kaki di puncaknya, saya melihat sesuatu yang ajaib di hadapan anak mata. Hembusan angin sejuk menemani bersama gumpalan awan putih dan puncak hijau yang berbukit-bukit. Tidak berkedib kedua anak mata saya menikmati panorama yang sangat luar biasa itu. Saya terpegun, seolah-olah mahu melayangkan diri terbang jauh, kemudian hinggap di pepohon nan hijau sayup mata memandang. 

Di dalam al-Quran, Allah SWT banyak menyebut mengenai pohon-pohon. Semuanya sebagai tanda untuk kita berfikir dan mengambil pengajaran. Di antaranya Allah SWT berfirman: 
“Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Luqman: 27) 

Ayat ini menerangkan betapa luasnya ilmu pengetahuan milik Allah SWT. Tidak terjangkau difikiran seorang makhluk sebanyak mana ilmu Allah, bahkan diambil segala pohon dan lautan kemudian ditambah lagi dengan tujuh lautan, maka belum cukup untuk menulis keberadaan ilmu-Nya. 

Kita tidak berilmu. Hakikatnya kita menumpang sedikit ilmu yang dianugerahkan oleh-Nya. Ibarat selautan, maka tidak sampai setitis ilmu pengetahuan yang kita miliki. Hairan, bagaimana jika ada yang merasa sombong dan angkuh dengan ilmu yang dimiliki. Sepatutnya dengan apa yang dimiliki akan menjadikannya semakin tunduk dan bersyukur. Sesungguhnya ayat ini benar-benar memahamkan kita akan keagungan, kekuasaan dan sifat-sifat Allah SWT. 

Hebatnya ciptaan, hebat lagi Penciptanya 

 'Alhamdulillah, tenang masuk hutan'

Apakah yang dirasakan tatkala melihat ciptaan Allah yang hebat dan indah itu. Telah tundukkah hati kepada-Nya. Terasakah di dalam hati kerdil hamba menyaksikan luasnya bumi dan segala isinya. Awan yang tergantung dan langit yang terbentang. Cakarewala yang tidak mampu kita jangkakan penghujungnya. Apakah kita terpesona dengan segala hasil ciptaan-Nya sehingga melupakan kepada sang Pencipta. Seumpama kita menerima hadiah tetapi melupakan yang memberi hadiah tersebut. Hinggakan ucapan terima kasih pun tidak kita lafazkan. Maka, apakah yang mahu digelarkan kepada orang ini..? 

Kita diciptakan sebagai hamba yang semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Pencipta. Justeru, setiap kali melihat keindahan alam ini, hatta melihat kepada sempurnanya ciptaan diri kita maka pujilah Allah dan bersyukurlah di atas anugerah yang besar ini. 

“Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan?” (az-Zariyat: 21)

Saturday 27 September 2014

Jom dengar sajak dalam loghat Pahang, best..

Kelmarin, seperti biasa saya mengunjungi blog seorang sahabat yang saya bahasakan dirinya ‘kakak’. Selalu juga saya melawati blognya setiap kali melayari internet. Sahabat-sahabat juga boleh menerjah ke sana dan tidak akan hampa kerana blognya sentiasa menyajikan entry terbaru. Kebetulan artikel yang ditulis ketika itu ialah syair Pahang (baca disini). Hmm, teruja. Bait-bait susunan bahasa yang indah serta foto-foto yang menarik. 

Saya pernah menulis satu entry mengenai loghat Pahang (baca disini). Sebenarnya negeri Pahang mempunyai loghat yang pelbagai. Mengambil kata-kata Pak Sako, loghat Pahang ni dituturkan ikut aliran sungai, kalau di hulu deras airnya maka cepat cakapnya jika dari bahagian hulu sungai misalnya seperti di daerah Bentong, Raub, gaya percakapan lebih laju, manakala bila melalui kawasan pertengahan Sungai Pahang seperti di Temerloh, gaya percakapan agak perlahan dan bila ke bahagian hilir sungai Pahang seperti di Chenor dan Pekan, gaya percakapan mereka juga akan lebih perlahan atau 'leweh' sedikit. 

Yang istimewanya loghat Pahang ini, kata orang Pahang mereka boleh mengenali dari mana asalnya seseorang itu (daerahnya) bila sahaja terdengar mereka bercakap. Bahkan ada kajian membuktikan bahawa loghat Pahang boleh diterima tetapi hanya orang Pahang sahaja yang boleh mengajuk cakap Pahang...inilah keunikan loghat Pahang. Wallahua`lam, tetapi cubalah, mana tahu kalau-kalau betul. 

Saya ingin berkongsi satu klip video sajak di dalam loghat Pahang, tajuknya 'AYAH'. Cuba dengar dan rasai kelembutan dan keindahan alunan loghat negeri Pahang. Selebihnya, hayati maksudnya yang sangat mendalam...

Rase nok mengalir air mate koi mendengor ke sajok ayoh ni, pepalih weh!

 (kredit: youtube Dj Amiey)

Wednesday 24 September 2014

Lawak - Elak syaitan masuk rumah, jangan gantung kuda laut (Ustaz Azhar Idrus)

Dengar dengan teliti serta fahami. Lawak memang lawak, tetapi ilmu dan pelajaran itu yang penting.


Tuesday 23 September 2014

Bolehkah menggunakan Tangkal yang bertulisan Arab untuk mengelakkan diri dari kejahatan manusia?

Soalan:

Saya seorang perempuan yang sedang dalam pengajian peringkat siswazah lanjutan. Datuk saya membekalkan saya dengan tangkal yang diperbuat daripada rajah-rajah tertentu dan huruf alif ba ta, bercampur aduk dan angka-angka seperti tulisan Arab untuk saya pakai bagi mengelak dari kejahatan manusia. Katanya jangan niat bahawa tangkal itu boleh menolong, mintalah kepada Allah. Tangkal hanya ikhtiar. Datuk sudah menggunakan tangkal itu dan amat mujarab katanya. Bolehkah saya memakai tangkal itu? 

Jawapan:

Permasalahan tangkal adalah masalah lama yang bertapak amalannya dalam masyarakat Arab jahiliyah awal, masuk ke alam Melayu, diterima pakai dan diamalkan oleh masyarakat dahulu hinggalah kepada masyarakat moden sekarang ini. 

Apa yang dilakukan oleh datuk saudari adalah sebahagian daripada kepercayaan masyarakat lama yang dominan dalam masyarakat Melayu. Ketika Rasulullah saw mula menyebarkan Islam kepada masyarakat Arab dan mereka memeluk agama Islam, mereka mengamalkan memakai tangkal. 

Rasulullah saw bersabda (yang bermaksud): "Sesungguhnya jampi mentera (yang tidak Islamik) dan tangkal-tangkal serta ilmu pengasih adalah syirik. (Hadis sahih riwayat Ahmad dan Abu Daud). 

Jelas dalam hadis ini bahawa tangkal adalah istilah asal tamimah atau tamaim adalah satu usaha manusia, gunakan benang, tali atau sebagainya dijadikan sebagai suatu pakaian yang dipakai di pinggang, di leher, di tangan atau sebagainya dengan tujuan untuk menjadi pelindung seperti yang datuk saudari sebutkan.

Memakai tangkal seperti ini, disepakati oleh ulama-ulama Islam bahawa ianya adalah haram dan boleh membawa kepada syirik atau senang difaham ianya berdosa besar. Tentang kata-kata yang mengatakan dengan 'niat untuk menolong mintalah kepada Allah, tangkal hanya ikhtiar', itu adalah mengelirukan kerana niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram. 

Saya umpamakan alasan ini sama seperti, orang yang berniat hendak ke Mekah, tetapi tiada wang, maka dia mencuri wang untuk pergi ke Mekah. Atau orang yang hendak berkahwin tidak cukup wang, maka rasuah diambil untuk menyempurnakan perkahwinan. 

Tamimah atau tangkal adalah haram dan bersosa besar memakainya, kerana kita telah menjadikan makhluk yang bernama tangkal boleh menjaga kita daripada sesuatu yang tidak diingini. 

Dalam Islam telah pasti tiada yang boleh memberi memanfaat atau memudaratkan manusia melainkan Allah SWT sahaja. 

Tangkal tidak boleh menjaga manusia, jika dibakar ia akan hangus, digunting atau ditarik nescaya ia akan putus. Hakikatnya ia tidak bernyawa dan tidak bergerak, sudah tentu dia tidak boleh menolong kita. 

Jika datuk saudari beranggapan bahawa ianya membantu, sebenarnya Allah SWT lah yang memeliharanya, tetapi kebetulan dia memakai tangkal. 

Atau jika berlaku sesuatu yang ketara ganjil pada pemakai tangkal itu jika hendak dikaitkan juga tangkal itu memberi kesan, maka ada kemungkinan tangkal itu ada makhluk halus yang jahat, mengambil kesempatan untuk menyesatkan manusia dengan melakukan perkara-perkara yang aneh dan ganjil untuk meyakinkan manusia kepada keunikan pemakai tangkal. 

Jika ini berlaku, manusia telah terjebak ke dalam perangkap syaitan dan iblis yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia dari jalan Allah SWT dengan menggunakan saluran tangkal sebagai sesuatu yang menjayakan usaha mereka menyesatkan manusia. 

Maka nasihat saya, jangan sesekali memakai tangkal, bergantunglah kepada Allah, untuk berlindung diri dari perkara yang tidak baik, bacalah ayat-ayat yang dikenali sebagai al-muawwiyat iaitu Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday 20 September 2014

Baik dan buruk pasti ada balasan

“Kena curi!”

Separuh terkejut saya tatkala diberitahu oleh tuan Imam ketika kami sama-sama menyarung selipar seusai sembahyang isyak tadi. Angin malam yang berhembusan terasa dingin menyentuh pipi. Langit pula bersih dengan taburan bintang.

“Bila hilangnya?” Saya kembali bertanya seraya menoleh ke dalam surau menerusi jendela kaca. Kelihatan dua ‘speaker box’ yang dilekatkan pada dinding di kiri dan kanan mihrab telah pun tiada, yang tinggal hanya wayar penyambung yang berjuntaian.

“Subuh tadi, bilal yang sedar sewaktu nak azan,” jelas tuan Imam lagi. Beberapa orang ahli jemaah menyertai perbualan kami. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak perasan pula subuh tadi speaker tu tiada. Agaknya dalam jam 2 atau 3 pagi diorang buat kerja tu.” Jawab saya. Terbayang kegigihan pihak AJK surau berusaha mencari dana untuk membeli ‘speaker box’ tersebut, termasuk juga keperluan-keperluan yang lain.

Itulah kisah subuh tadi.

Dua biji ‘speaker box’ milik surau perumahan saya telah hilang. Sebelum ini tabung derma surau entah berapa kali dipecahkan oleh pencuri. Saya pun sudah tidak larat mahu mengiranya. Entahlah, siapalah yang hati kering sanggup merembat harta benda milik surau.

Nak digelar ‘setan’, tak tergamak pula, lagipun agak keterlaluan. Tetapi perangainya dah pun sama. Walaupun kita tak boleh melihat rupa setan, tetapi perangainya kita boleh nampak. Inilah contohnya. Memang, gejala mencuri harta benda milik surau atau masjid sudah menjadi ‘viral’. Mana-mana surau atau masjid tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk menyimpan barangan. Kalau tidak dikunci, alamat meloponglah jawabnya. 

Baik dan buruk ada balasan


Firman Allah SWT:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” (al-Kahfi: 103-104)

Allah Maha Mengetahui apa yang zahir dan tersembunyi. DIA yang menciptakan syurga dan neraka dengan tujuan sebagai destinasi akhir manusia. Keduanya sebagai kemuncak balasan terhadap apa yang dilakukan di dunia. Fikirkanlah, jika tiada syurga maka rugi dan sia-sialah amalan orang beriman dan beramal soleh. Manakala jika tiada neraka, maka akan bermaharajalelah orang yang jahat dan ahli maksiat. Oleh itu, dengan ada keduanya membuktikan keadilan Allah SWT. Buat baik dibalas baik, begitulah sebaliknya.

Allah SWT berfirman:
“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (al-Fussilat: 46)

Jangan sekali-kali kita fikir segala perbuatan maksiat yang dilakukan tidak akan diketahui. Setiap manusia ada pencatit yang amanah. Kejahatan yang dilakukan akan dicatit oleh `Atid tanpa yang tertinggal. Bahkan pula setiap anggota badan akan menjadi saksi terhadap perbuatan dan tingkahlaku. Baik atau buruk, semuanya disebut tanpa selindung. Maka bagaimanakah kita boleh terlepas wahai sang pelaku maksiat?

“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (YaaSin: 65)

Fikir-fikir...

Friday 19 September 2014

Kuliah Maghrib Perdana UAI


Pengumuman!

Kepada semua warga Kuantan, jangan lupa untuk menghadiri KULIAH MAGHRIB PERDANA, yang akan disampaikan oleh daie sejuta ummah @ al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Majlis ilmu ini akan diadakan pada hari Ahad, 21 September 2014. Bertempat di Masjid Al-Imam Ash-Shafie KOTASAS, Indera Mahkota, Kuantan.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Tuesday 16 September 2014

Di sini tanah tumpah darahku...


NEGARAKU
 
Negaraku 
Tanah tumpahnya darahku, 
Rakyat hidup bersatu dan maju, 
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan, 
Raja kita selamat bertakhta, 
Rahmat bahagia 
Tuhan kurniakan. 
Raja kita selamat bertakhta 

#Selamat menyambut hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia walau dimana berada. Sayangilah negara kita, kerana di sini tanah tumpah darah warga merdeka. 

Saturday 13 September 2014

Bantulah mereka seadanya, agar nanti ada jawapan untuk itu


Rancangan Majalah 3 pada minggu lepas memaparkan kisah pembantaian Regim Zionis ke atas penduduk Palestin ketika Ramadhan baru-baru ini. Kali ini tiada lagi kelibat sang presiden yang sentiasa menyokong perjuangan mereka. Tiada presiden Mohammad Morsi di belakang perjuangan rakyat Palestin. Yang tinggal cuma Fattah as-Sisi, si boneka Amerika dan sekutunya. 

Siapa yang tidak didakap rasa sayu dan sebak, melihat kesan serangan yang menggila. Operasi bersepadu darat, laut dan udara meranapkan segalanya. Runtuhan bangunan yang berserakan. Mangsa serangan yang terdiri daripada orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak. Ada yang telah gugur syahid dan yang terlantar di hospital. Tuhan sahaja yang mengetahui betapa penderitaan mereka semua. 

Ketika artikel ini ditulis, keadaan di Palestin agak tenang sedikit. Ini berikutan tempoh gencatan senjata di antara pihak Briged al-Qassam dan Zionis sedang berlangsung. Regim Zionis terpaksa menerima semua syarat yang diletakkan oleh pihak Briged al-Qassam. Mungkin merasakan mereka diambang kekalahan, lalu dalam keadaan terdesak untuk mengelakkan rasa hina dan malu, mereka mencadangkan gencatan senjata. Mudah-mudahan dengan gencatan senjata ini memberikan ruang kepada pihak Briged al-Qassam menyusun dan memperkuatkan kembali barisan hadapan mereka. 

Tetapi hati saya tercuit sejenak, entah sampai bilakah gencatan senjata ini akan dipatuhi oelh pihak Regim Zionis. Bukankah mereka puak yang tidak boleh dipercayai? Bila-bila masa mereka boleh mencabuli perjanjian yang telah dimeterai. Sejarah lampau tidak muat untuk menceritakan betapa jahatnya perbuatan mereka. Semoga segala perancangan tipu daya mereka terhumban ke atas batang tubuh mereka sendiri. Sesungguhnya Allah SWT sebaik-baik perancang tipu daya. 

Menerusi laman FB, saya melihat klip video seorang pejuang Briged al-Qassam menyatakan bahawa mereka telah dipilih oleh Allah SWT mewakili umat Islam di seluruh dunia untuk mempertahankan bumi al-Quds. Maka, mereka tidak akan memaafkan setiap orang Islam yang tidak mengambil peduli akan perjuangan mereka. Maksudnya, orang Islam yang sekelumit pun tiada rasa prihatin dan berniat mahu membantu perjuangan suci itu. 

Untuk membantu mereka tidak memerlukan kita turut memikul senjata bersama mereka. Apatah lagi mereka juga tidak meminta berbuat demikian. Namun, cukuplah dengan kita menghulurkan sumbangan yang termampu. Ya, sekadar yang termampu. Mudah-mudahan dengan sekadar seringgit yang kita infaqkan itu akan dipandang dengan nilaian yang tinggi di sisi Allah SWT. 

Ataupun sekurang-kurangnya kita menghulurkan bilah-bilah doa buat mereka semua. Ya, jangan lupa untuk berdoa kepada mereka setiap kali selesai solat. Mudah-mudahan dengan doa tersebut, Allah menetapkan hati mereka untuk berjuang, serta diberikan kemenangan dalam mempertahankan bumi yang menjadi kuburan para Nabi dan kiblat pertama umat Islam. 

Bukanlah sesuatu yang sukar untuk berdoa. Tadah tangan dan mintalah agar Allah memenangkan rakyat Palestin. Jika ini pun tidak mampu untuk dilakukan, Muslim apakah yang layak digelar kita ini. Lebih dari itu apakah pula jawapan yang mahu kita berikan kepada Allah SWT ketika ditanya apakah sumbangan kita dalam membantu saudara seaqidah di sana. Ya, saya bimbang jika kita tiada jawapan untuk itu. 

Ukhuwwah Islamiyyah merentasi sempadan 

 'Bersama Syeikh Dr Muhammad Mahmud Siyam yang merupakan mantan Rektor Universiti Islam Gaza serta mantan Imam Masjidil Aqsa'

Ukhuwwah di dalam Islam merupakan satu jalinan yang menghubungkan sebahagian umat Islam dengan sebahagian yang lain. Ia merupakan satu ikatan yang mengikat hati-hati mereka atas dasar ketaatan kepada Allah SWT. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana sabda Rasulullah saw: 

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah.” (Riwayat Ahmad) 

Oleh itu, tidak memadai dengan kita menjadi Muslim, tetapi dalam masa yang sama tidak menghiraukan Muslim yang lain disekeliling. Bukankah di antara kesan-kesan dari seruan Islam dan kemesraannya di dalam jiwa manusia ialah merasa tanggungjawab terhadap orang lain dengan membantu serta suka mengambil berat akan urusan mereka. 

Rasulullah saw bersabda: 
“Barangsiapa yang berpagi-pagi dan fokus keutamaan dalam dirinya perihal dunia semata-mata, tiadalah Allah punyai apa-apa urusan untuknya, dan barangsiapa yang tidak mengambil tahu berkenaan urusan kaum Muslimin yang lain, tidaklah mereka dalam kalangan mereka (muslim)." (Riwayat at-Thabrani, Majma' az-Zawaid, 10/248; terdapat perawi bertaraf Matruk) 

Marilah kita sama-sama membantu saudara kita di Palestin semampu yang mungkin. Mudah-mudahan ada jawapan kita di akhirat kelak. “Ya Allah, aku telah membantu saudaraku di Palestin menurut kemampuanku...” 

Renungilah kata-kata Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya: “Sesungguhnya Jerusalem bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, walaupun mereka adalah orang-orang yang paling berhak terhadapnya. Dan bukan pula milik orang Arab sahaja, walaupun mereka adalah orang-orang yang paling dituntut membelanya, tetapi Jerusalem adalah milik setiap Muslim di manapun ia berada, di timur, di barat, utara dan selatan, baik dia sebagai pemerintah atau pun rakyat, baik dia seorang terpelajar ataupun buta huruf, kaya, miskin, lelaki, perempuan sesuai dengan kemampuan mereka masing-masing.” 

Allahu al-musta`an...

Friday 12 September 2014

Daging setahun sekali...

(klik imej untuk pembesaran)

Ibadah Qurban dan Aqiqah Misi Kemanusiaan 1435H anjuran Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Pahang kembali lagi. Program tahunan yang telah pun memasuki tahun yang ke 10. 

Ibadah qurban dan aqiqah seperti biasa dilakukan di lokaliti umat Islam yang boleh dikatakan agak miskin dan dhaif. Sebab itulah tajuk artikel 'Daging setahun sekali'. Itulah hakikatnya, jika tidak diadakan ibadah qurban atau aqiqah di tempat mereka, maka bilakah lagi agaknya mereka hendak merasa makan daging. Alhamdulillah, dengan program ini maka dapatlah mereka mencicip daging qurban, walaupun setahun sekali.  

Jom qurban dan aqiqah bersama Yayasan Amal Malaysia!

Thursday 11 September 2014

Benarkah Ruh orang yang telah meninggal dunia boleh menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumahnya atau kampung halamannya?

Soalan:

 Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?

 ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?

 iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup. 

Jawapan:

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu. 

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya. 

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur. 

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),"Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.

"Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar. 

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen. 

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan. 

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu. 

Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah. 

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam. 

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia." Ayat al-Quran lain ada menyebut,"Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.

"Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab). 

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari. 

Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur. 

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh. 

Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati. 

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kononnya diambil daripada orang yang telah mati. 

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam. 

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini. 

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh. 

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat. 

Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia. Waallahu'alam. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

A pada A, F pada A

  (foto hiasan tiada kena-mengena dengan artikel)

Peperiksaan UPSR kertas Sains di seluruh negara terpaksa ditunda pada 30 September 2014, gara-gara kertas soalan peperiksaan yang bocor. Rasanya semua telah mengetahui akan berita ini. Boleh dikatakan setiap tahun pasti berlaku insiden ini. Baik UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Kalau dulu-dulu tidak terdengar pun perkara sebegini. Hmm, semakin canggih dunia dan kehidupan, semakin hilang moral kemanusiaan.

Siapalah yang punya angkara...  

"Bijak tetapi tidak jujur menipu, jujur tetapi tidak bijak ditipu. A pada Akademik tetapi F pada Akhlak..."

Dunia-dunia...

*Namun hikmah tetap ada. Takkan apa yang Allah SWT taqdirkan sia-sia sahaja. Sekurang-kurangnya dapatlah calon peperiksaan mengulangkaji semula, kan panjang lagi masa tu... (dengar cerita kertas peperiksaan Bahasa Inggeris pun bocor juga) 

Wednesday 10 September 2014

Lawak - Isteri saya hitam (Ustaz Azhar Idrus)

Dengar dan faham...


Tuesday 9 September 2014

PIMPIN AKU KE SYURGA


Tajuk : PIMPIN AKU KE SYURGA
Penulis : Afdholul Rahman
Penerbit : Karya Bestari 
Muka surat : 384
Harga : RM19.90

Secara umumnya, naskhah PIMPIN AKU KE SYURGA ini mengumpulkan 64 buah artikel yang bertemakan anak muda dan perubahan. 

Isu anak muda yang sering kali dikaitkan dengan perubahan. Ini disebabkan anak muda semangat yang membara dan tenaga yang kuat untuk merealisasikan cita-cita. Bahkan, kita semua pasti melalui fasa-fasa hidup sebagai seorang anak muda. Kita ini akan, sedang dan telah melaluinya. 

Anak muda yang sedang berada di fasa ini merupakan tulang belakang kepada corak masyarakat pada masa hadapan. Jika tulang belakang ini dijaga sebaiknya, maka masyarakat yang lahir pastilah baik juga. Jika patah tulang ini, maka rosaklah masyarakat yang akan datang. Maka itu, anak muda hari ini perlu dijaga dan dididik dengan sewajarnya bagi membentuk peribadi yang diingini Sang Pencipta. 

Kita mahukan anak muda yang ada padanya iman, yang, mampu mencetuskan perubahan kepada dunia. Ramai sudah orang yang melalui masa muda, tetapi mensia-siakannya begitu sahaja. Ada yang dihabiskan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Sedangkan semua itu telah memperkecilkan potensi yang ada pada diri. Justeru, isu anak muda dan perubahan tidak mungkin dipisahkan. 

Itulah yang cuba disampaikan melalui buku ini bahawa anak muda sangat berkait rapat dengan perubahan. Tetapi, biarlah perubahan itu digerakkan di atas paksi iman.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan

Monday 8 September 2014

Alhamdulillah, jom beramal (kerana Allah)

'Alhamdulillah, ini vestnya...'

Beberapa hari lepas saya telah menerima vest Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia, yang disampaikan oleh Tuan Haji Nasrun Amir Abdullah selaku Setiausaha Agungnya.

Alhamdulillah, tiada pujian yang selayaknya saya panjatkan melainkan kepada Allah SWT. Dengan ini, secara rasminya saya telah menjadi sebahagian ‘keluarga’ besar Yayasan Amal Malaysia. Tentunya kegembiraan yang dirasai ini saya zahirkan dengan tahmid dan takbir kepada-Nya.

Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah badan bukan Kerajaan berdafar yang berorientasikan Amal Kebajikan. Gerak kerja Amal adalah bertebaran seluruh dunia. Moto Amal adalah "Working for Humanity, Serving God". (blog Yayasan Amal) (FB Yayasan Amal)

Sebelum ini saya menganggotai Jabatan Amal dan masih menganggotainya serta salah seorang AJK-nya. Sahabat-sahabat tahu Jabatan Amal? Atau dulu lebih dikenali dengan nama Unit Amal. Pernah diberi gelaran ‘Tentera Merah’ oleh TM Johor kerana khidmat cemerlang membantu mangsa banjir di Kota Tinggi sedikit masa dahulu.

Jabatan Amal juga merupakan satu badan kebajikan, cuma ia lebih tertumpu di dalam negara. Sekarang ini Jabatan Amal semakin dikenali apabila seorang Pak Menteri mempopularkannya di dalam satu ucapannya. Saya lihat di dalam FB ramai sahabat-sahabat yang menukar foto profil dengan berpakaian Unit Amal. Hmm, tak pasal-pasal dikenali ramai.

Yayasan Amal dan Unit/ Jabatan Amal tidak banyak bezanya. Jabatan Amal duduk di bawah Yayasan Amal. Ibarat ayah dan anak sahaja. Cuma skop kebajikanYayasan Amal lebih luas meliputi seluruh dunia.

Jika ada yang bertanya, mengapa mesti menyertai mana-mana pertubuhan untuk membuat kebajikan? Tidakkah berseorangan juga boleh membuat kebajikan? Ya, untuk membuat kebajikan tidak menjadi syarat mesti menyertai mana-mana kumpulan atau golongan. Saya memahami perkara itu, seorang diri pun boleh juga. Tetapi saya melihat dalam ruang lingkup yang berbeza. Dengan duduk di dalam organisasi, maka gerak kerja akan menjadi lebih teratur, tersusun serta kerja-kerja kebajikan yang dilakukan dapat diluas lebarkan ruangnya. Apatah lagi Yayasan Amal Malaysia ini amat aktif dengan kerja-kerja kebajikan bukan hanya di dalam negara, malah turut di luar negara.

Ini terbukti dengan penyertaan beberapa misi kemanusiaan di negara yang ditimpa musibah seperti di Acheh, Pakistan, Gaza dan sebagainya. Paling tidak, setiap tahun Yayasan Amal Malaysia akan mengadakan ibadah korban di lokaliti umat Islam seperti di wilayah Assam India, Kemboja, Darfur Sudan, Mindanao, Sri Lanka, dan termasuk juga di dalam negara seperti perkampungan orang asal Semenanjung serta pedalaman Sabah dan Sarawak.

Catatan ini hanyalah sekadar coretan biasa. Tiada apa-apa niat yang terselindung. Hanya perkongsian bahawa saya sangat menyukai kerja-kerja amal dan kebajikan sejak di zaman bergulat di medan tempur menuntut ilmu. Tidak sekali-kali terdetik di hati, “Ohh, hebatnya aku, banyak buat misi kebajikan.” Tidak sekali-kali. Selebihnya untuk sama-sama sebagai dorongan kepada sahabat-sahabat yang lain untuk membuat kebajikan. Tidak kira dalam apa jua lapangan, sendirian atau berjamaah. Yang penting kita berusaha untuk membantu sesama manusia.

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (al-Baqarah: 271) 

Saya tahu besarnya ganjaran mereka yang membantu orang lain yang di dalam kesusahan. Teringat kata-kata sang murabbi suatu masa dahulu: “Sesungguhnya tidak ramai orang menjadikan hidupnya untuk orang lain dan menjadikan hidupnya untuk menggembirakan orang lain. Tidak ramai yang melupakan kesusahan sendiri semata-mata untuk menerbitkan senyum di bibir orang lain.”

Sungguh dalam makna kata-kata ini.

Namun, saya juga sangat mengerti. Sedikit rasa riak yang terpancar walau sekecil separuh debu, mampu menghangus leburkan pahala yang dikumpul. Alangkah malangnya jika suatu hari nanti tatkala bertemu Allah SWT, kita sangka banyaknya pahala yang dibawa. Rupa-rupanya kantung amalan kosong dan muflis. Tidakkah ketika itu menyesalnya kita. Wal`yazubillah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir." (al-Baqarah: 264)

Saturday 6 September 2014

Mudah-mudahan berjaya


Ramai pula jemaah masjid malam ini. Budak-budak pun sama naik ramainya. Hairan juga sekejap. Sebenarnya masjid di tempat saya ini memang sentiasa ramai dan meriah dengan jemaah. Maklumlah masjid yang sentiasa subur dengan program-program keagamaan. Termasuklah kuliah maghrib, kuliah subuh, forum, kem ibadah dan sebagainya. Tidak hairanlah ia sentiasa menjadi kunjungan sesiapa yang sukakan majlis ilmu. Tetapi malam ini saya lihat amat luar biasa ramainya. Ada juga wajah-wajah yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Opss, mari bersangka baik. Mungkin mereka bersembahyang di surau atau di masjid lain. Mana kita tahu… 

Itupun mereka datang juga ke masjid, tak apalah atas tujuan apa. Boleh jadi ia menjadi permulaan taufiq kepada mereka untuk datang ke masjid.

Ohh, patutlah rupa-rupanya pihak masjid dan sekolah mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada minggu depan. Sebab itulah juga saya lihat banyak botol-botol air di tepi dinding hadapan masjid. Ada yang besar dan ada yang kecil dengan beraneka jenis botol. 

Alhamdulillah, ini juga termasuk usaha yang baik. Mudah-mudahan terang hati yang meminumnya. Tetapi jika diharapkan pada air penerang hati sahaja, tetapi belajar dan mengulangkaji tidak, solat dan berdoa juga tidak, maka ia tidak memberi makna. Jangan diharap kejayaan akan diperolehi, melainkan ia satu keajaiban. Air penerang hati hanyalah sebagai alat dan salah satu daripada usaha, tetapi ia perlu disekalikan dengan belajar, berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT. Selepas itu redha dengan apa keputusan yang didapati. Insya-Allah…

Thursday 4 September 2014

Tasbahu `ala al-khair... melelapkan mata, merehatkan jasad dan minda

'melelapkan mata sebentar, merehatkan jasad dan minda'

Mengantuk sangat rasanya. Kelopak mata seolah-olah disangkut pemberat. Hampir-hampir mahu bersambung keduanya. Hajat dihati mahu mencoretkan sedikit cetusan rasa di dalam pondok kecil abuikhwan ini. Saya gagahi jua melayan ’MAHU’ biarpun tidak punyai ‘MAMPU’.

Hmm.. Nampak gayanya sudah 3 hari saya tidak bertandang ke pondok kecil abuikhwan, alasan biasa, dek kerana kesibukan yang entah apa-apa.

Di dalam satu hadis disebutkan dua nikmat terbesar yang sering disia-siakan ialah nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Dua nikmat ini amat berkait rapat kerana hilang salah satu daripadanya maka yang satu lagi tidak akan memberi erti. Ada orang yang dikurniakan tubuh badan yang sihat tetapi tiada masa lapang sehingga tidak mampu untuk ke masjid atau mendatangi majlis ilmu. Ada pula yang tidak sibuk tetapi kesihatan pula tidak mengizinkan, lalu hanya terbaring di atas katil. Oleh itu, hargai dan pergunakanlah dengan sebaiknya kedua nikmat ini.

Sihat jasad, sihat akal

Demikianlah lemahnya makhluk bernama manusia. Sekuat mana pun ia, tidak akan dapat mengalahkan rasa mengantuk. Rasa mengantuk adalah fitrah, ubatnya adalah tidur. Dengan melelapkan mata, merehatkan jasad dan minda. Tubuh yang lemah akan diserang dari luar dan dalam. Dari luar diserang oleh kuman dan bakteria. Dari dalam diserang oleh makhluk bernama jin. Demikianlah apabila tubuh letih, maka akal dan emosi turut terganggu.

Rupa-rupanya tidur adalah sejenis ubat kepada tubuh. Dengan tidur akan mengembalikan semula tenaga dan kekuatan baik jasad maupun rohani. Ingat kisah peperangan Badar. Allah mengurniakan rasa mengantuk dan tidur kepada para pejuang Islam sebelum mereka bertempur keesokan harinya. Mereka bangkit dengan tubuh yang sihat dan segar serta semangat yang hebat. Akhirnya mereka memperolehi kemenangan yang gemilang menumpaskan tentera kufur.

Diceritakan dalam Kitab ar-Rahiq al-Makhtum, Rasulullah saw menghabiskan masa malam dengan melakukan solat berhampiran sebatang pokok yang ada di sana. Sementara tentera Islam tidur pada malam itu dengan jiwa yang tenang dan diterangi bintang di langit. Rasa kepercayaan terhadap diri mereka bertambah. Mereka beristirehat dengan cukup pada malam itu dan berharap agar mereka dapat melihat khabar gembira pada esok hari seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Firman Allah SWT:
“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan)." (al-Anfaal: 11)

Ketika itu adalah malam Jumaat, 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.

Salah satu perkara yang menarik adalah hari raya pertama yang dirayakan oleh Muslimin dalam hidup mereka adalah hari raya yang jatuh pada bulan Syawal tahun kedua Hijrah setelah kemenangan yang mereka raih pada peperangan Badar. Maka kebahagiaan yang diberikan oleh Allah setelah umat Islam mendapat pertolongan daripada Allah amat terasa.

Betapa syahdunya pemandangan solat yang dilaksanakan solat yang dilaksanakan Muslimin setelah mereka keluar dari rumah dengan bertakbir, bertahlil dan bertahmid. Hati mereka mekar dipenuhi dengan perasaan cinta kepada Allah dan rindu kepada rahmat dan keredhaan-Nya, setelah Allah melimpahkan rangkaian nikmat kepada mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan-Nya.
 
 Dan akhirnya Allah mengingatkan mereka tentang semua itu dengan firman-Nya:

"Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur." (al-Anfaal: 26) 
(al-Rahiq al-Makhtum)

Alhamdulillah. Cukuplah setakat ini, mata pun sudah semakin mengantuk. Izinkan saya mengalah kepada fitrah, belayar jauh ke alam mimpi. Melelapkan mata merehatkan jasad dan minda.. 

Tasbahu `ala al-khair...

Monday 1 September 2014

Orang yang telah mati kembali semula ke rumah dan ada yang mendakwa telah bercakap dengan simati, bolehkah perkara sebegini berlaku?

Soalan:

Heboh di tempat saya baru-baru ini, bahawa seorang yang mati dan dikebumikan, beberapa hari kemudian, ada orang mendakwa menemui si mati dan bercakap dengannya. Malah ada anggota keluarga si mati yang mengakui sedemikian. Ustaz, adakah hal seperti ini boleh berlaku dan adakah si mati itu, benar-benar rohnya boleh menemui keluarga mereka. 

Jawapan:

Pada Harakah beberapa keluaran lepas, saya telah jelaskan bahawa orang yang telah mati, ruh mereka berada dalam alam barzakh sehinggalah dibangunkan semula pada Hari Kiamat besar. Ertinya,orang-orang telah meninggal dunia, tidak mungkin kembali sebagaimana orang hidup. 

Pada saya, apa yang saudari sebutkan berlaku, hal seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada kerosakan, atau sekurang-kurangnya cacat akidah, tidak boleh mempercayai orang yang telah kembali ke alam kubur boleh kembali ke dunia, boleh menziarahi keluarga atau bercakap-cakap semula dengan orang yang mengenalinya. 

Meskipun hal ini ada possibility, tetapi tidak mungkin berlaku dalam alam realiti. Yang mereka berjumpa itu bukan orang yang telah mati, besar kemungkinan itu adalah sejenis makhluk halus yang al-Quran mengistilahkannya sebagai Qareen. 

Dalam Surah Fussilat, ayat 25 (mafhumnya),"Dan kami tetapkan bagi mereka teman-teman (Qareen) yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan (hukuman) asal, pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia bahawa sesungguhnya mereka adalah golongan yang rugi." 

Ayat ini merujuk kepada adanya, makhluk halus yang dipanggil Qareen atau Quranah (jin yang menjadi sahabat baik kepada manusia). 

Dalam Surah an-Nisa, ayat 38 (mafhumnya),"....Dan sesiapa yang menjadikan syaitan itu kawan setianya, maka dia mendapat kawan setia yang amat jahat." 

Pada Hari Kiamat bila insan dibangkitkan, dan mendapati dirinya termasuk dalam golongan yang derhaka terhadap Allah S.W.T, mereka saling menyalahkan antara satu sama lain, terutamanya menyalahkan Qareennya (syaitan yang menjadi kawan mereka). Seperti yang disebut dalam Surah Qaaf, ayat 27 (mafhumnya),"Berkatalah (syaitan yang menjadi kawan baik manusia), 'Wahai Tuhan kami! aku tidak menzaliminya, akan tetapi dia sendirilah yang melakukan kesesatan yang amat jauh (terhadap-Mu)." 

Banyak ayat-ayat yang berkenaan Qareen seperti Surah as-Saffaat (51), Surah Zukhruf (38), Surah Qaaf (23) dan ayat-ayat lain. 

Qareen berbeza istilahnya daripada ifrit, jin, syaitan dan sebagainya, kerana Qareen ini dirujuk sebagai makhluk halus yang berdampingan dengan manusia sehingga menjadi kawan rapat yang boleh bantu membantu. 

Malah Allah memberi penjelasan bahawa manusia berlindung dengan jin seperti disebut dalam Surah Jin ayat 6 (mafhumnya),"Dan bahawa sesungguhnya ada kalangan laki-laki manusia, berlindung dengan laki-laki daripada jin, maka bertambah-tambahlah kejahatan syaitan ke atas manusia." 

Ayat ini merujuk kepada persahabatan yang begitu rapat antara manusia dengan jin, sehingga menganggap jin ada kuasa, ada kebolehan untuk melindungi manusia, mereka berlindung dengan jin, mereka tidak berlindung dengan Allah. 

Ini adalah Qareen, sehingga sesudah mati manusia itu pun, jin ini boleh menyerupai seperti mereka untuk menyesatkan manusia dan mencederakan aqidah manusia, wallahu a'lam. 

(Sumber: Bersama Dato Harun Din)