Sahabat Sejati

Wednesday 31 January 2018

Tuesday 30 January 2018

Gembiranya anakanda Haikal


Meleret senyum 'sikecil Haikal yang istimewa' tatkala dipakaikan cermin mata barunya, seraya menunjukkan ibu jari 'bagus'. Saya yang berada di sebelah turut tersenyum lalu membalas menunjukkan ibu jari ke atas. Cermin mata yang sedia ada sudah tidak sesuai untuk digunapakai kerana beberapa sebab. 

Selain daripada kondisi cermin mata tersebut yang sudah tidak secocok dengan fizikal wajahnya yang semakin membesar, turut menjadi sebab ia perlu ditukar ialah kerana 'power' kantanya sudah tidak sesuai dengan perkembangan anak matanya. Demikanlah nasihat sang perawat pakar yang menjalankan pemeriksaan tempohari. 

Seingat saya cermin mata lama ini sudah digunakan oleh anakanda Haikal sejak tahun 2011. Sudah ada calar-calar pada kedua-dua belah cermin kantanya. Tentu ia akan membataskan jarak penglihatannya. Keputusan diambil, 'wajib' tukar!

Kanta lekap

Sebelum memakai cermin mata, 'sikecil Haikal yang istimewa' menggunakan kanta lekap. Dek kerana keadaannya yang masih kecil lagi ketika itu, doktor menyarankan menggunakan kanta lekap.

"Itu yang lebih sesuai daripada cermin mata." Kata doktor pakar tersebut.

Saya dan Ummu Ikhwan menurut sahaja yang apa terbaik. Doktor pakar lebih tahu daripada kami berdasarkan ilmu yang dipelajari di dalam bidangnya. Cuma kami pula yang menghadapi banyak masalah. Sudah betul nak menjaga dan mengurus pemakaian kanta lekap ini terhadap anakanda Haikal.

Sebelum memakaikan kanta lekap pada mata si Haikal, tangan perlu dibersihkan, begitu juga kanta lekap dicuci dengan pencucinya. Kemudian barulah boleh dipakaikan dengan berhati-hati. Pakai pula tidak sepanjang hari, cuma dalam beberapa jam sahaja. Terutama waktu tidur, mesti ditanggalkan. Penat. 

Pernah beberapa kali kanta lekapnya tertanggal sebelah tanpa disedari. Mungkin jatuh semasa dia menggosok-gosok matanya. Kelam-kabut juga. Puas menelek, akhirnya ketemu di atas lantai. Sampailah satu masa, akhirnya hilang terus tidak bertemu lagi, mahu tidak mahu terpaksa tempah yang baru.  

Setelah si Haikal besar sedikit, barulah doktor membenarkan memakai cermin mata. Terpaksalah (bukan terpaksa dalam erti kata yang sebenar) mengeluarkan RM..RM..RM kerana power kantanya sangat tinggi.  Padanlah dengan harganya.

Tidak mengapalah, bayar lebih sedikit kerana di fikiran saya memakai cermin mata tidaklah serumit memakai kanta lekap dalam aspek menjaganya. Cuma kadang-kadang terbit juga perasaan segan apabila ada orang yang terkejut dengan mimik muka, seraya menegur dengan suara yang agak kuat betapa tebalnya kanta cermin mata anak saya ini.

Namun demikian, itu dulu. Perasaan dulu-dulu. Sekarang tidak lagi, seupaya saya tepis perasaan segan tersebut dengan mengingatkan 'sikecil Haikal yang istimewa' adalah satu anugerah. Ya, satu anugerah yang tidak ternilai harganya.

Satu anugerah..   

Sunday 28 January 2018

Terima kasih Ummu Ikhwan!

'Hujan renyai-renyai di pintu sempadan Terengganu - Pahang di sebelah daerah Kemaman'

Disebabkan ada komitmen lain yang tidak dapat diuzurkan, terpaksalah saya meminta Ummu Ikhwan menghantar anakanda Irsalina balik ke asramanya hari ini. Bagi Ummu Ikhwan pula ia bukanlah suatu yang mendatangkan kerumitan. 

Namun hati kecil saya tersayat rasa kasihan kerana terpaksa membiarkannya memandu ke PPTI di Bakau Tinggi Kemaman, yang memakan jarak hampir 80 kilometer pergi dan balik. Sementelah lagi cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini. Sedang elok matahari memancarkan cahayanya, tiba-tiba diserkup mendung dan disusuli hujan lebat yang membataskan pandangan. 

Jika diikutkan minggu ini bukanlah ‘minggu wajib balik’ bagi anakanda Irsalina, tetapi pada hari Selasa lalu, berlaku insiden yang tidak diingini. Menurut ceritanya, ketika menuruni tangga asrama untuk ke kelas, entah macamana dia tergelincir dan jatuh terduduk. Kondisi selepas hujan menyebabkan tangga tersebut basah dan licin. 

Mujur juga (alhamdulillah) dia sempat berpaut sebelah tangan pada pemegang tangga, jika tidak tentu keadaannya lebih serius lagi setelah punggungnya terhenyak pada tangga batu tersebut. Ekoran itu, pada petang hari yang sama pihak sekolah telah menghubungi kami agar membawanya pulang. 

Keesokan, setelah mengambilnya dari asrama dan langsung singgah di klinik berdekatan rumah kami. Bimbang juga kalau-kalau terdapat kecederaan dalaman apabila dia mengadu sakit dibahagian betis dan pinggang. 

Alhamdulillah, hasil pemeriksaan sang perawat, nampaknya tidak ada kecederaan yang serius. Kami menadah tangan tanda syukur yang bersangatan kepada Ilahi. Pun begitu, anakanda Irsalina dibekali dengan ubat surut bengkak dan penahan sakit, serta cuti sakit selama dua hari. 

Apa pun, setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan pelajaran. Tentunya sebagai hamba yang menjalani kehidupan di atas ketentuan taqdirnya, menerima dengan lapang dada dan penuh keinsafan. Mudah-mudahan apa yang berlaku menjadi kaffarah di atas kelalaian dan kesilapan yang kami lakukan dalam sirah kehidupan ini. 

#Esok kena hantar anakanda Adawiyah balik semula ke asramanya setelah terpaksa pulang ke rumah pada Jumaat lalu, walaupun sama seperti kakaknya, bukan 'minggu wajib balik'. Ini kisah lain pula. Nampak gaya terpaksalah meminta khidmat Ummu Ikhwan sekali lagi.. 

Saturday 27 January 2018

Prinsip-Prinsip Islam Dalam Berinteraksi Dengan Non-Muslim


Sesungguhnya tugas berdakwah bukan sahaja dipikul ke atas pundak golongan ulama` semata-mata, tetapi juga diamanahkan ke atas setiap individu muslim. Samada mereka terdiri daripada golongan karyawan, sasterawan, hartawan, wartawan dan apa pun pengkhususan mereka, kerana berdakwah adalah menyeru manusia kepada Islam.

Umum mengetahui, Islam bukanlah hak milik total bangsa Arab di timur tengah, atau khusus untuk umat melayu di Malaysia, akan tetapi Islam adalah hak semua bangsa manusia di dunia ini kerana ia adalah ciptaan Allah SWT. Maka seruan untuk mengajak manusia seluruhnya kepada Islam adalah tanggungjawab semua pihak untuk mempromosi Islam, terutama golongan non, muslim yang juga berhak menerima Islam.

Walau bagaimanapun tugas dakwah kepada golongan non-muslim ini bukanlah semudah seperti yang disangkakan. Ia mempunyai peraturan, kaedah agar seruan yang disampaikan kepada mereka tidak menyinggung perasaan apatah lagi membuatkan mereka semakin benci kepada Islam.

Justeru, kehadiran buku 'Prinsip-Prinsip Islam Dalam Berinteraksi Dengan Non-Muslim' menepati waktu pada ketika ramai pendakwah yang semakin bercambah dewasa ini kemungkinan kurang pengetahuan, pengalaman ataupun pendekatan yang menyebabkan golongan berkenaan tidak dapat menerima Islam dengan baik.

Maklumat, pendekatan serta Sembilan prinsip yang terdapat dalam buku ini amat membantu pendakwah dalam meniti kejayaan dalam dakwah mereka kepada non-muslim, kerana prinsip-prinsip yang dikemukakan adalah yang terbaik yang pernah diteladankan oleh baginda Rasulullah saw sesuai dengan konsep `Rahmatan lil Alamin'.

Tajuk: Prinsip-Prinsip Islam Dalam Berinteraksi Dengan Non-Muslim
Penulis: Nasir Muhammadiy Muhammad Jad
Penterjemah: Azhar Yahya dan Nizamuddin Isemail
Penerbit: Lajnah Penerbitan Dewan Ulama` PAS Pusat
Harga: RM10.00
Muka surat: 116

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Friday 26 January 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (33)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (32)

Wahyu Terhenti Sementara Waktu

Mengenai lamanya wahyu terhenti, Ibnu Saad membawakan riwayat daripada Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa peristiwa itu terjadi beberapa hari.(1) Ini pendapat yang rajih, bahkan dapat dipastikan kebenarannya dengan mengamati secara mendalam seluruh aspekperbahasannya. Manakala, pendapat yang terkenal bahawa ia terjadi sepanjang tiga tahun atau dua setengah tahun, merupakan pendapat yang sama sekali tidak benar. Namun begitu, bukan di sini tempat untuk menjelaskan bantahannya secara terperinci.

Selama hari-hari kekosongan wahyu, Rasulullah saw berdiam diri dengan perasaan sedih dan penuh tekanan. Jiwa baginda diselimuti kebimbangan dan goncangan yang dahsyat. Dalam kitab al-Ta`bir, al-Bukhari meriwayatkan sebuah nas hadis, "Wahyu terputus beberapa waktu sehingga Rasulullah saw bersedih. Disebabkan itu berkali-kali baginda lari untuk menjatuhkan diri ke puncak gunung.

Setiap kali baginda sampai di puncak gunung, dan telah bersiap-siap untuk melompat, Jibril menampakkan diri dan berkata, "Hai Muhammad, sesungguhnya kamu benar-benar seorang Rasul." Mendengar suara itu, perasaannya menjadi tenang dan jiwanya pun tenteram sehingga baginda pulang.

Namun begitu, setelah pulang dari sana, wahyu tidak juga turun. Keesokan harinya baginda melakukan hal yang sama. Tatkala sampai di puncak gunung, Jibril kembali menampakkan diri dan mengatakan seperti apa yang dikatakan tadi."(2)

RUJUKAN: 

(1) Ibnu hajar al-Asqalani, Fath al-Bary, jil. i, hal. 27 dan jil. xii hal.  360

(2) Sahih al-Bukhari, kitab al-Ta`bir, bab tentang permulaan yang terjadi menjelang turunnya wahyu kepada Rasululah adalah mimpi yang benar, jil. ii. no. 10340

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Thursday 25 January 2018

Kenangan masih basah: Permainan kami, pedil buluh

Bedil@pedil buluh ~ sumber

"Aduhh!"

Sebiji peluru buah palas hinggap di belakang. Perit tidak terkira. Kemudian terjongol kepala si Roslan dari sebalik rumpun senduduk sambil tersengih. Macamana saya tidak perasan dia bersembunyi di situ. Bersenang-senang saya melewati denai tersebut tanpa menyangka ada 'sesuatu' yang sedang membidik sasarannya. Ah, siapa lagi mangsa bidikan, sayalah!

Rasanya sudah merening bintat di belakang. Nyut..nyut.. berdenyut. Mujurlah saya berbaju, jika tidak tentu lebih sakit lagi. Demikian penangan bedil buluh yang berpelurukan buah palas muda.

"Tak boleh jadi, mesti balas," hati meronta-ronta penuh dendam kesumat. Walau apa pun berlaku, dendam mesti dilunas. Dendam budak-budak.

Bedil buluh

Kami lebih petah menyebutnya 'pedil'. Ada sesetengah tempat memanggilnya caplong, ada pula yang memanggil pletokan bambu. Hakikatnya ia benda yang sama.

Teruja saya menyatakan, bahawa ia adalah di antara permainan kami zaman hingusan dulu-dulu. Demikianlah, sesekali merista kisah-kisah silam, sekonyong-konyong terbit rasa bertuah. Mengapa?

Tentunya kerana boleh dikatakan semua permainan yang dimainkan bergantung dengan alam semulajadi. Malahan ia dihasilkan oleh kreativiti sendiri. Begitu juga, ia semestinya dimainkan secara berjemaah. Saling berinteraksi antara sesama manusia dan juga interaksi dengan alam.

Berbeza dengan permainan generasi zaman ini. Permainan gajet dan video yang tidak perlu si pemainnya mengenal erti persahabatan. Cukup sekadar diam bersendirian sambil memetik butang-butang papan kekunci atau memacu 'joystick'. Menghanyutkan si pemain dalam dunia sendiri.

Kadang-kadang saya cuba memikirkan, adakah permainan dulu-dulu yang dimainkan seorang diri tanpa mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling. Entahlah, seingatnya tidak ada atau ada yang telah  terluput diingatan saya.

Kembali semula pada kisah pedil tadi. Pedil buluh terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian laras, pelantak yang kami gelar 'lesung' dan pemegang pelantak.  Bahagian laras dibuat daripada buluh yang berlubang. Panjangnya lebih kurang sekaki. Manakala bahagian pelantak (lesung) dibuat daripada buluh yang yang diraut bulat dan boleh dicucuk ke dalam laras pedil tadi. Ukuran pelantak mestilah pendek sedikit daripada laras bedil tadi. Kadang-kadang kami buat pedil yang mempunyai dua laras.

Peluru pedil terdiri daripada putik buah-buah yang banyak kedapatan di dalam belukar. Buah senduduk, buah palas, buah cenerai, putik kemunting, putik jambu air sesuai dijadikan peluru, Sekiranya tiada putik buah untuk dijadikan peluru, kertas surat khabar yang dibasahkan pun boleh dijadikan peluru. Caranya kertas tersebut digentel bulat-bulat dan muat-muat dengan lubang pedil buluh. Cuma sakitnya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan peluru putik buah.

Dahulu, di TV selalu disiarkan cerita "combat" yang memaparkan tentera Amerika berperang dengan tentera Jerman. Terinspirasi dengan filem tersebut, kami pun sama naik menyandang pedil buluh. Teruja dan bersemangat untuk berperang persis anggota tentera. Habis lunyai semak belukar kami jarah tanpa rasa jeran dan capek.

Demikianlah di antara permainan kami dulu. Pastinya saya akan menyimpan kenangan permainan pedil buluh ini di dalam sanubari sebagai bahan sejarah peribadi buat selama-lamanya.

Monday 15 January 2018

Alhamdulillah, tiba jua masanya..


Alhamdulillah, thumma innal hamdalillah. 

Di usia 13 tahun, akhirnya 'sikecil Haikal yang istimewa' mampu menulis namanya sendiri, kendati sekadar meniru daripada tag nama. Boleh jadi dia sendiri tidak mengerti apa yang ditulisnya itu adalah namanya. Tidak mengapa. Jika itu kemampuannya setakat ini, sepenuh tangan saya merafa` kesyukuran. Sekurang-kurangnya ada peningkatan pada kualiti hidupnya. 

Mungkin bagi sesetengah orang ia suatu yang biasa, tiada apa-apa pun untuk dibanggakan. Namun, bagi saya dan ummu Ikhwan yang membesarkannya, melihat perkembangan hidupnya di depan mata, dengan kesabaran tanpa rasa capek. Justeru, ini satu kegembiraan seharusnya diraikan.    
 
Demikianlah ia termasuk di antara nikmat Ilahi yang seharusnya disyukuri. 

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu..." (Ibrahim: 7)

Sunday 14 January 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (32)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (31) di bawah tajuk: Jibril Turun Membawa Wahyu 

Jabal Nur ~ sumber foto

At-Tobari dan Ibnu Hisyam juga membawakan riwayat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad keluar dari Gua Hira` setelah baginda dikejutkan dengan kedatangan wahyu. Baginda pulang menemui isteri baginda yang tinggal berdekatan dengan Gua Hira`, seterusnya masuk ke Kota Mekah. Dalam riwayat At-Tobari terdapat petunjuk tentang alasan yang menyebabkan nabi keluar dari Gua Hira`, iaitu: 

Rasulullah saw bersabda selepas menyebutkan awal permulaan wahyu, "Tidak ada makhluk Allah yang paling aku benci selain daripada penyair dan orang gila. Aku tidak mampu memandang kedua-duanya. Namun dengan kejadian ini, boleh jadi orang Quraisy akan memanggilku penyair dan orang gila untuk selama-lamanya. Aku menjadi sangat ingin mendaki puncak gunung yang tandus, lalu melompat dari atasnya, kemudian mati dan boleh berehat dengan tenang. Aku keluar dengan segera untuk melakukannya. 

Tetapi, baru sahaja sampai di tengah gunung aku mendaki, aku mendengar satu suara dari langit yang mengatakan, "Hai Muhammad, kamu adalah utusan Allah dan aku Jibril." Maka kuangkat kepalaku melihat ke langit. Kelihatan olehku Jibril dalam rupa lelaki yang putih bersih dengan kedua-dua kakinya memijak ufuk langit. Dia berkata lagi, "Hai Muhammad, kamu adalah utusan Allah dan aku Jibril."

Kuhenti langkah kakiku. Kupandang Jibril. Disebabkan dia, aku jadi lupa keinginanku tadi sehingga aku tidak bergerak ke hadapan dan tidak pula berundur. Aku cuba memalingkan wajahku daripada Jibril dengan melihat ufuk langit yang lain. Namun begitu, aku melihat ke arah yang lain, masih juga aku terlihat Jibril sama seperti tadi. Aku hanya boleh berdiri kaku, tidak dapat bergerak ke hadapan dan tidak pula mundur. 

Khadijah menyuruh orang ramai untuk mencariku. Namun begitu, mereka tidak menemuiku. Bahkan, mereka mencariku hingga ke Mekah, lalu kembali semula menemui Khadijah, sementara aku masih berdiri di tempatku. Selepas itu Jibril menghilang dan aku pun pulang.(1)

Kutemui Khadijah lalu aku duduk di atas pahanya dan bersandar ke badannya. Dia lantas bertanya, "Wahai Abu Kasim, dari mana kamu? Demi Allah, aku telah menyuruh orang ramai untuk mencarimu hingga ke Mekah." 

Aku terus menceritakan apa sahaja yang kualami kepadanya. Khadijah dengan lembut berkata, "Berbahagialah, wahai anak bapa saudaraku dan teguhkanlah hatimu. Demi Zat yang jiwa Khadijah berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi nabi umat ini."(2)

Selepas itu Khadijah pergi menemui Waraqah dan memberitahu kejadian tersebut kepadanya. Waraqah berkata, "Maha Suci Allah. Maha Suci Allah. Demi Zat yang jiwa Waraqah berada di tangan-Nya, sesungguhnya telah datang kepadanya (Muhammad) namus akhbar (tanda kenabian yang besar) yang dulu pernah datang kepada Musa. Sesungguhnya dia adalah nabi umat ini. Sampaikanlah kepadanya agar dia meneguhkan hatinya."

Selepas itu Khadijah kembali dan menyampaikan apa yang dikatakan oleh Waraqah kepada Rasulullah saw. Tatkala baginda meninggalkan isterinya itu dan pergi ke Mekah, baginda bertemu dengan Waraqah. Setelah mendengarnya daripada Rasulullah saw, Waraqah berkata, "Demi Zat yang jiwaku berada ditangan-Nya, sesungguhnya kamu adalah nabi umat ini. Telah datang kepadamu namus akhbar yang dulu pernah datang kepada Musa."(3)

RUJUKAN: 

(1) Lafaz ini dibawakan oleh At-Tobari, jil. ii, hal.  207.

(2) Lafaz ini dibawakan oleh Ibnu Hisyam, jil. i, hal. 237-238.

(3) Diringkaskan daripada Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyah, jil. i, hal. 238.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung...

Saturday 13 January 2018

Moga ia menjadi kerehatan buatmu..

sumber foto ~ FB

Menerima berita pemergian seorang daie muda yang berjasa dan cintakan ummah, pada jam 12.30 tengahari tadi (13.01.2018). Tentunya kita semua bersedih dengan kembalinya Ustaz Murtadha Yusoff yang kita sayangi ke rahmatullah. Setelah 12 hari bertarung, akhirnya hari ini Allah memberikan kerehatan kepadanya. 

Semoga Allah tempatkan beliau bersama para ambiya, syuhada dan solihin, serta menerima segala amalan almarhum dan mengampuni almarhum. Begitu juga semoga Allah SWT memberikan kesabaran dan ketabahan kepada keluarga almarhum dalam menghadapi ujian ini.

 أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Thursday 11 January 2018

Buah katak puru @ buah namnam, terima kasih sahabat..

'Pemberian sahabat yang amat mengujakan'

"Singgah rumah sekejap ye ustaz," sapa Zawawi kepada saya sewaktu kami sama-sama menyarungkan selipar di tangga surau. Malam yang indah dengan taburan bintang di langit, kendati musim tengkujuh belum berakhir. Kami beriringan menuju ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari surau.

Sahabat saya ini di antara yang istiqamah berjemaah di surau perumahan kami. Biarpun masih bertongkat dan terhencot-hencot mengatur langkah, ekoran kemalangan yang menimpanya setahun yang lalu.

Masih saya ingati, ketika menerima berita tragedi yang berlaku, seram sejuk dibuatnya. Bayangkan pada malam kejadian, beliau yang menunggang motosikal, diberitakan telah berlanggar dengan sebuah lori. Kebetulan pula waktu itu musim lori bauksit 'mengganas dan merajai' jalanraya di sekitar tempat kami.

Bimbang, terfikir yang bukan-bukan!

Buah tangan

"Ada apa tu?" Soal saya setelah tiba di hadapan rumahnya. Sedikit kehairanan.

"Adalah nak bagi sesuatu." balasnya seraya tersenyum sebelum menyelinap masuk ke dalam rumahnya. 

Tidak berapa lama dia keluar dengan sesuatu ditangannya.

"Inilah dia, buah katak puru. Kan saya janji nak bagi dulu." ujarnya lagi sambil mengunjuk beg plastik berwarna kuning.

"La, susah-susah je.." saya membalas sambil menggaru-garu kepala. Beg plastik bertukar tangan.

Teringat saya peristiwa dua bulan lalu. Usai bersolat zohor di surau, saya bersama tiga lagi rakan duduk bergebang-gebang kosong di anjung surau tersebut. Tiga sahabat ini berasal dari Utara. Dua dari Kedah termasuk si Zawawi, manakala seorang lagi dari Perlis. 

Bayangkan orang utara berborak sesama sendiri. Aduhai, saya yang bersama mereka, tidak banyak yang dapat saya tangkap butir bicara mereka terutama sahabat dari Perlis itu yang bercakap dengan laju. Akhirnya berlakonlah juga, sesekali mengangguk kepala seperti memahami, begitu juga saya tidak kisah untuk ketawa walaupun tidak faham apakah jenaka yang cuba diperkatakan. 

Macam-macam kisah dan cerita yang dibualkan. Cerita musim hujan, bangunan surau, politik semasa, cat kereta dan sebagainya. Hinggalah masuk bab buah-buahan, daripada yang biasa dimakan sampailah yang jarang ditemui. Ketika itulah terbit kisah buah katak puru. Sesetengah tempat menggelarnya buah namnam. Kata mereka di sebelah Utara memang banyak kedapatan buah ini.

 'Pokok buah katak puru atau namnam' - sumber: google

Terus-terang saya katakan bahawa tidak pernah melihat buah tersebut di depan mata. Hajatnya mahu juga mencicip buah tersebut, bagaimana rasanya. Tetapi nak cari  di mana? Di daerah ini memang belum pernah lagi bersua di mana-mana gerai. Lagipun ia bukanlah sejenis buah yang biasa kedapatan seperti rambutan, duku, durian dan lain-lain. Akhirnya setelah puas bersembang, kami pun bersurai. Manakala kisah buah katak puru terhenti di situ, saya pula tidaklah ambil serius dan telah melupakannya. 

Akhirnya, malam ini tanpa disangka-sangka si Zawawi membawa buah ini dari kampungnya. Bersungguh pula dia mencarinya. Saya tidaklah berharap sangat malahan telah pun lupa mengenainya. Tetapi itulah sahabat. Saya tidak mampu berkata apa..  

Friday 5 January 2018

Bicara santai: Peringatan banjir daripada orang Pahang

'Banjir di Kuantan'

"Dengo ni koi nok ngabo kale aokme mboh nengo, ari ni perentan pejo, keselamatan nombo satu kene jage, bebudok jangan dipalo main dibirei air, kang mencelubu ke air raban, menangeh tok belagu. Air ke lama ke naik ni, pasang radio, tengok tibi dan dengo arohan pehok bekuase, jangan muat babey, mengkale kabo suruh pindoh, pindoh la... Orang te sayang ke awok. Segala kelengkak penting-penting te taruh molek, bubuh tempat tinggi, bender hak mudoh punoh te macang geran tanoh, geran kereta moto, resit beranok, surat nikoh kala boleh bubuh dalang pelasetik, bungkuih leklok, nok muat antak baru bukannye mudoh, biolah rembek sikit kijenye janji selamat. Ini jelah koi nak ngabokan yek, ontok peringatan besame.." (sumber: Grup Whatsapp negerikoi)

#Harap sahabat-sahabat faham ye..

Thursday 4 January 2018

100 Tokoh Wanita di sisi Rasulullah saw


Sesungguhnya setiap apa yang berlaku dalam sejarah hidup Nabi Muhammad saw adalah contoh teladan yang mesti diteladani oleh segenap muslim jika mahu mengharungi hidup dengan lebih baik, itulah yang ditegaskan Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik."

Ini menunjukkan bahawa setiap ruang dalam sirah Nabi itu adalah petunjuk kepada kebenaran, begitulah juga saat baginda bermuamalah dengan para muslimat di zamannya yang dikenali dengan 'Sohabiyyat' / sahabat-sahabat perempuan yang ramai ketika itu, yang menampilkan keperibadian unggul dalam segenap aktiviti harian hidup mereka yang mencecah angka ratusan individu.

Dalam buku "100 Tokoh Wanita di sisi Rasulullah saw" ini adalah antara golongan Sohabiyyat yang merupakan tulang belakang kepada kekuatan Islam pimpinan Rasululah saw, yang banyak memberi input kejayaan dan kemenangan Islam di balik tabir peperangan yang disertai oleh baginda Rasulullah saw.

Jarang sekali kisah atau penceritaan mengenai mereka dibukukan secara terperinci menampilkan nama-nama besar Sohabiyyat samada dalam kalangan Ummahatul Mukminin (isteri-isteri baginda) berdasarkan huruf abjad bagi memudahkan pembaca melakukan pencarian atau individu yang dikira sebagai tokoh penting dalam perjuangan Islam.

Antara nama besar dalam kalangan 100 tokoh wanita ini yang ditampilkan oleh penulis dalam bukunya ini ialah isteri-isteri baginda seperti Saidatina Khadijah binti Khuwailid, Hafsah binti Umar al-Khattab, Zainab binti Jahsy, Juwairiyyyan binti al-Haris dan lain-lain yang boleh disifatkan 'role model' bagi muslimat hari ini yang mendambakan rahmat Allah SWT.

Mudah-mudahan dengan terbitnya buku genre sejarah tamadun manusia ini, menjadi rujukan penting terutama dalam kalangan muslimat hari ini yang sebenarnya sudah ketandusan teladan hingga menjadi wanita-wanita kafirat sebagai 'role model' dalam segenap aktiviti yang sebenarnya terdedah kepada kemurkaan Allah SWT.

Tajuk buku: 100 Tokoh Wanita di sisi Rasulullah saw
Penulis: Hepi Andi Bastoni
Penerbit: Kemilau Publika Sdn Bhd
Harga: SM 33.00 / SS 36.00
Muka surat: 554
Format: Kulit Nipis
Kategori (utama): Rujukan Agama
Kategori (sub): Wanita / Kekeluargaan / Munakahat

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Tuesday 2 January 2018

Entry pertama 2018: Kisah si kecil Haikal hari ini..

'Hari pertama di kelas PPKI SMKB'

Dunia pagi hari ini masih dibungkus kegelapan biarpun jam di tangan sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Lampu-lampu kenderaan di jalanan setia menyorot alam pagi yang bercampur dengan redup hari hujan. Termasuk yang berada di jalanan yang bersimpang-siur pada pagi ini kereta berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran "W..." Pemandunya adalah saya dan ummu Ikhwan berada di sebelah. Manakala di kerusi belakang adalah watak utama iaitu 'si kecil Haikal yang istimewa'.

Alhamdulillah, selesai urusan kemasukan anakanda Haikal di sekolah barunya hari ini. Tiada apa-apa kesulitan, melainkan hujan yang sesekali lebat dan sesekali renyai sejak dua hari lepas. Ianya sedikit sebanyak membataskan pergerakan. Anakanda Haikal pula nampaknya dapat menyesuaikan diri dengan kelas, sekolah dan kawan-kawan barunya. Malahan makin bersemangat dia mahu ke sekolah setelah sekian lama bercuti panjang. 

Anakanda Haikal bertukar sekolah kerana usianya sudah pun 13 tahun pada 2018 ini. Sesuai dengan umurnya, tidak dapat tidak, perlu bertukar ke peringkat menengah. Walaupun sudah naik peringkat menengah, tetapi masih menjadi penghuni setia kelas PPKI atau lengkapnya Program Pendidikan Khas Intergrasi. Tidak kisahlah, asalkan dia turut sama dapat merasai alam persekolahan. Itu pun sudah cukup, bersyukur sangat-sangat.

Usai waktu persekolahan saya 'melarikan' anakanda Haikal ke bandar untuk satu lagi urusan yang tidak kurang peri pentingnya. Tidak lain ialah mahu 'survey' kedai cermin mata. Harap ketemu yang sedikit murah tetapi berkualiti serta menarik. Oh ya, bukan saya yang mahu bercermin mata. Moga-moga saya tidak perlu bercermin mata sekarang ataupun akan datang. Ameenn...

Sebenarnya anakanda Haikal yang perlu menukar cermin mata kerana yang sedia ada sekarang sudah tidak berapa sesuai kondisinya. 'Power' kanta dan saiz bingkai dan beberapa sebab lagi termasuk menggunapakai nasihat doktor pakar, wajarlah ia dibuat baru. Berapa RM-nya untuk ini, entahlah. Harap-harap tidaklah membebankan sangat kosnya. Apa pun, malas saya memikirkan sangat. Hendak atau tidak, suka atau benci, ia tetap perlu ditukar. Jadi, seluk poket bayar sahaja harganya.

Allahu al-Musta`an..