Sahabat Sejati

Wednesday 31 December 2014

Bicara santai: 2014......Selamat datang 2015


Setiap dari kita mengimpikan dan mahu mendakap kecemerlangan dalam hidup. Walau siapa pun dia, peringkat mana sekalipun, sekiranya mempunyai akal yang waras pasti mempunyai cita-cita ke arah itu. Tinggal lagi bagaimana dan tahap kesungguhan untuk mencapainya. 

Beberapa jam lagi jendela 2014 akan melabuhkan tirainya. Selepas itu kita akan menyelak jendela 2015 yang akan dicoretkan dengan catatan baru. Tentunya 2014 yang ditinggalkan sarat dengan 1001 peristiwa suka duka yang menjadi kenang-kenangan. Tahun baru semestinya sinonim dengan azam baru. Masuk sahaja tahun baru, maka kedengaranlah daripada bibir-bibir empunya azam. Salah? Tidak. Lagipun setiap orang berazam dengan azam yang baik. Tidak pernah kedengaran lagi ada yang berazam dengan azam yang ‘entah apa-apa’. Jika ada tentu orang tersebut “mabuk pil kuda”, pinjam kata-kata Ustaz Azhar Idrus. 

Azam memberi maksud kemahuan dan keinginan. Saya menambah satu lagi, azam juga boleh bermaksud dengan niat. Maka niat yang baik akan memperolehi pahala. 

Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah saw bersabda: 
“Sesiapa yang berniat untuk berbuat kebaikan tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya 1 kebaikan (pahala) yang sempurna, jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan untuknya 10 hingga 700 kebaikan, bahkan boleh lebih banyak lagi. Sesiapa yang berniat untuk berbuat kejahatan tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya 1 kebaikan yang sempurna, jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan 1 keburukan (dosa) untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Saya memuji orang yang sentiasa berazam setiap tahun. Bagi saya ia mempunyai kemahuan untuk menjadi orang yang lebih baik. Cuma sebaiknya azam dilafazkan hendaklah diletakkan target untuk mencapainya. Taklah jadi macam azam hangat-hangat tahi ayam! 

Hmm, khabarnya sambutan tahun baru 2015 dibatalkan untuk menghormati musibah yang menimpa mangsa banjir. Tentunya ia satu keputusan yang tepat dan menunjukkan tanda keprihatinan yang amat tinggi. Lagipun apalah faedahnya sambutan tahun baru tersebut. Konsert, pergaulan bebas, selepas itu... Sama sahaja apa yang berlaku setiap tahun. Saya menulis berdasarkan pengalaman. Setiap tahun saya menyertai misi dakwah samada malam tahun baru, malam merdeka, hari kekasih dan sebagainya. Begitulah pemandangannya. 

Dengar ceritanya pula ia akan digantikan dengan program Malam Cinta Rasul 2015 yang terisi di dalamnya zikir dan munajat, qasidah munajat, kutipan tabung bantuan mangsa banjir dan sebagainya. Jika ditanya, saya beranggapan program Malam Cinta Rasul 2015 pun tidak perlu diadakan buat masa ini.  Tentu ada yang tidak senang dengan apa yang saya katakan ini. Sabar dulu!

Saya tidak maksudkan tidak boleh buat tetapi biarlah dibuat pada masa dan keadaan yang lain. Untuk menganjurkannya pun memerlukan kos yang agak besar, maka lebih baik kos tersebut digunakan untuk membantu mangsa banjir yang sangat menderita ketika ini. Sahabat-sahabat boleh melihatnya di internet. Sedih dan sebak. 

Jika keadaan sudah stabil dan sesuai maka buatlah program tersebut. Tiada apa-apa masalah. Oh, itu hanya pandangan saya sahaja. Jangan kata saya wahabi pula. Senyum.

Selamat menyambut 2015. Semoga hari ini lebih daripada semalam.

Monday 29 December 2014

Kenangan masih basah: Rindunya kuih pasung yang dulu


Kuih pasung. Ditempat saya, kuih yang berbentuk kon ini dikenali dengan nama itu. Turut dikenali dengan nama tepung pasung, tetapi semasa kecil dahulu saya senang memanggilnya dengan nama kuih tiga segi. Mungkin sebab bentuknya yang seperti itu. Saya tidak pasti pula di tempat lain ia digelar dengan nama apa. 

Diperbuat daripada tepung beras sebagai bahan asas dan terbahagi kepada dua bahagian. Sebelah atas berwarna putih dan lebih nipis daripada bahagian bawah yang berwarna coklat. Dibalut dengan daun pisang sebelum dikukus sehingga masak. Sama seperti saya 30 tahun lalu, kebanyakan kanak-kanak menyukai bahagian bawah kerana rasa manis gula melaka berbanding bahagian atasnya yang tawar berlemak. 

Kuih pasung dan stesen bas tepi sungai

 (sumber: KGKP)

Usia-usia begini, saya terkenangkan arwah emak yang selalu membeli kuih ini. Lazimnya ia menjadi antara buah tangan yang mahu dibawa berkunjung rumah nenek. Sebelum menaiki bas berwarna hijau gelap di stesen bas Kuantan, yang lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan stesen bas tepi sungai, bonda singgah dahulu gerai kecil yang sederetan dengan kuih-muih yang beraneka. 

Kadang-kadang jika bas belum sampai, kami akan mengisi perut terlebih dahulu di situ. Menunya tidaklah mewah, mi goreng atau kuih-muih berserta air bandung. Sambil menikmati rezeki Tuhan, anak mata tidak berkedip keasyikan melihat bot penambang yang membelah arus Sungai Kuantan untuk menghantar penumpang ke seberang. 

Sekarang ini bot penambang yang menjadi pengangkutan utama ke Tanjung Lumpur dan Perkampungan Peramu telah pun pupus sejak terbinanya jambatan yang merentasi Sungai Kuantan. Stesen bas di tepi sungai Kuantan itu juga telah tiada. Malah, gerai-gerai kecil itu juga telah hilang tanda. Semuanya menjadi rata ditolak jentera besi. 

Khabarnya akan dibangunkan bangunan hotel di situ. Saya tidak tahu apakah nasib peniaga-peniaga kecil tersebut, kemanakah mereka berpindah setelah pihak kerajaan negeri mewartakan kawasan itu untuk dibangunkan. Wallahu a`lam. 

Tersentuh saya memikirkan kedai gunting milik pakcik tua di Medan Pelancong bersebelahan stesen bas tersebut. Tempat yang kerap saya kunjungi untuk bergunting rambut sewaktu bersekolah menengah dahulu, kebiasaannya tatkala hampir sesi persekolahan dibuka. Bayarannya cuma 3 ringgit. Tukang gunting yang saya panggil pakcik itu sangat peramah orangnya. Ada sahaja isu yang menjadi ulas bicaranya dengan orang yang sedang menanti giliran. Kadang-kadang saya sengaja menidurkan diri kerana tidak berminat dengan apa yang mereka sembangkan. Kawasan Medan Pelancong itu juga turut lenyap menjadi mangsa asakan arus pembangunan. 

Ahh, jauh pula saya melalut mengenang cerita lama. 

Kuih pasung, hari ini

“Kuih ni dulu memang abi suka. Selalu sangat abi suruh tok wan beli kalau nak pergi rumah nyang.” Saya memberitahu anak-anak pada suatu hari. 

Anak-anak mengangguk. 

“Tapi sekarang rasanya dah tak sama macam dulu.” Saya menyambung lagi. 

Hari ini jarang-jarang dapat saya menemui kuih pasung ini. Jika ada pun sekali-sekala dijual di pasar malam. Ada masa-masanya saya beli juga, sementelah pula si kecil ‘Haikal’ amat menggemarinya. Saya pula, sekadar mahu mengambil rasa dan mengenang masa. Selain daripada saiznya yang semakin susut, rasanya juga nyata berbeza. Sudah tidak seenak seperti 30 tahun yang lalu. 

Kuih pasung, ia bagaikan menjadi satu imbasan sejarah. Umpama terowong masa untuk mengenang hari-hari semalam yang semakin terluput dek usia menuju birai senja. Segala imaginasi, kadang-kadang saya bawa ke tidur. Realitinya ia sentiasa menerbitkan rasa rindu kepada zaman itu. Mata saya berkaca. 

Al-fatihah buat ayahanda dan bonda..

Sunday 28 December 2014

Perniagaan ajaib yang tiada risiko kerugian, ayuh! (Peringatan buat diri saya)

 Banjir di LPT Temerloh (sumber: whatsApp)

Hujan itu rahmat,tetapi bila berlebihan ia akan mengundang banjir. Cuaca panas itu rahmat, jika berlebihan ia boleh menjadi kemarau. Angin yang bertiup nyaman itu rahmat, jika berlebihan akan bertukar menjadi puting beliung. Hatta, makanan yang disuap ke dalam mulut pun, jika berlebihan akan mengundang penyakit. Apa sahaja jika ia berlebihan akan mengundang musibah. Sama-sama kita merenungi dan menginsafi diri akan semua yang berlaku. 

Bencana banjir yang berlaku di penutup tahun 2014 ini, benar-benar menguji keimanan. Baik yang ditimpa musibah tersebut ataupun sebaliknya. Bagi yang diuji dengan musibah ini, ianya benar-benar mengukur sejauhmana kesabaran dan ketabahan menghadapinya. Tidak mudah untuk melihat harta benda yang dimiliki musnah serta kehilangan ahli keluarga sekelip mata. Tentunya segenap kekuatan diperlukan untuk menerimanya dengan berlapang dada. 

Manakala bagi yang tidak terkesan dengan musibah banjir ini, ia menguji pula kesediaan untuk sama-sama menghulurkan bantuan menurut kesanggupannya. Harta, tenaga, masa dan sebagainya sangat diperlukan ketika ini. Oleh itu, dalam kita bermuhasabah akan segala musibah dan ujian yang berlaku, janganlah pula kita lupa akan fadhilat dan kebesaran ganjaran membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan. Setiap amal yang dilakukan akan menjadi lampu yang menerangi kegelapan kubur yang menyeramkan itu. 

Jom berniaga yang tiada risiko kerugian 

Firman Allah SWT: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi pedihnya.” (as-Saff: 10) 

Lihatlah. Allah menyeru dan bertanya. Allah SWT tidak menyeru kepada semua orang, tetapi Dia menyeru kepada segolongan sahaja iaitu orang-orang yang beriman. Dia bertanya apakah orang-orang yang beriman ingin melihat satu perniagaan yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Mengapa orang-orang yang beriman. Tentunya orang-orang yang beriman sahaja yang percaya akan adanya azab api neraka yang sangat dahsyat itu. Maka sudah semestinya seruan ini akan disahut oleh orang-orang yang beriman. Oleh itu mahukah kita menyahut seruan yang datangnya daripada Penguasa langit dan bumi? 

Lalu kita tertanya-tanya apakah perniagaan tersebut. 

Allah SWT menyambung lagi firman-Nya: 
“(Iaitu) Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (as-Saff: 11)

Nah! Inilah perniagaannya. Allah menyatakan ‘barang dagangan’ dalam perniagaan tersebut ialah beriman kepada Allah, beriman kepada Rasul-Nya dan berjuang dengan harta dan diri.

Imam Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: “Jihad atau berjuang dengan harta dan diri yang dinyatakan dalam ayat 11 surah as-Saff bukanlah terikat kepada jihad peperangan sahaja. bahkan ia mencakupi seluruh perjuangan dalam kehidupan.”

Imam ar-Razi pula menulis di dalam tafsirnya: “Perniagaan adalah pertukaran sesuatu dengan sesuatu yang daripada pertukaran itu mengharapkan keuntungan. Berniaga hendaklah melepaskan si saudagar daripada kerugian dan berniaga memerlukan kesabaran, maka perniagaan yang ditunjukkan oleh Tuhan ini sangat memerlukan kepercayaan dengan seluruh sikap hidup dan ucapan dengan lidah. 

Sebagaimana perniagaan yang mengakibatkan untung atau rugi, demikianlah pula perniagaan dengan Tuhan ini, barangsiapa yang bermodal dengan iman dan amal yang soleh dia pasti mendapat ganjaran dan laba yang berlipatkali ganda. Dan barangsiapa yang tidak mahu percaya dan tidak pula beramal soleh, jelaslah dia akan menyesal dan mendapat kerugian yang besar.”

Sanggupkah kita mengeluarkan harta benda dan meluangkan masa kita semata-mata mahu menggapai redha Allah dan termasuk orang-orang yang ‘berniaga’ dengan Allah? Kita sendiri mempunyai jawapannya. Tepuk dada tanya iman.

Susah? Sukar?

Tentunya. Sebab itulah Allah menyeru hanya kepada orang-orang yang beriman. Kerana sukarnya lalu Allah SWT mengganjarkan sebaik-baik keuntungan kepada sesiapa yang mahu menyahut seruan itu. Apakah yang diperolehi kepada yang menyahutnya?

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya:
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” (as-Saff: 12)

Demikianlah ganjarannya. Itulah kemenangan yang agung dan besar. Allah akan mengampunkan dosa-dosa. Kemudian dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan serta dijauhkan daripada azab neraka yang pedih (lihat as-Saff: 10).

Apakah yang lebih bernilai selain daripada keampunan daripada Allah SWT. Tentunya kita tidak akan dapat menilai akan harganya. Setiap daripada kita sangat mendambakan keampunan Allah. Demikianlah yang sentiasa kita panjatkan di dalam doa yang terlafaz. Pengampunan dosa bererti mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Pengampunan dosa juga memberi erti berjaya memasuki syurga Allah SWT.

Belum habis lagi keberuntungan tersebut, kerana ia adalah kejayaan di akhirat. Allah SWT memberitahu pula akan ganjaran yang diperolehi daripada laba dunia iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang yang telah dekat.

Firman Allah SWT:
“Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Peniagaan ini sangat sukar tetapi mahal harganya. Apakah kita mahu menyambutnya. Bukankah perniagaan ini tiada risiko kerugian. Semuanya keuntungan sahaja. Sekali lagi ditegaskan semuanya keuntungan. Marilah kita menyahutnya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Ada yang mahu ‘berniaga’ dengan Allah?

Hanya yang beriman sahaja mampu menyambut pelawaan ini.

“..Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Ayuh teman-teman. Ringankan tangan, hulurkanlah sumbangan kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah bencana banjir. Hadirkan senyuman di setiap wajah mereka, Allah pasti menghadirkan senyuman kepada kita pula suatu hari nanti. 









Saturday 27 December 2014

Bicara santai: Baik sangka dan buruk sangka

 foto hiasan (sumber)

Alhamdulillah, sebaik-baik pujian adalah milik-Nya. Cuaca cerah sedikit hari ini, sang matahari masih sudi memancarkan cahayanya. Harap-harap cerahnya hingga ke petang. Sementelah lagi hari ini cuti, maka dapatlah memaksimakan aktiviti luar yang agak ‘tersangkut’ dek kerana hujan. Bolehlah mengeringkan pakaian di jemuran, menampal mana-mana yang atap yang ketirisan bocor. Tetapi melihat keadaan langit, saya tidak yakin cerah hingga ke petang. Tak apalah, serahkan sahaja kepada Yang Kuasa. Apa yang ditaqdirkan, itulah penerimaan kita. 

Membaca muqaddimah di atas nampak seperti saya maksudkan panas baik, manakala hujan tidak baik. Nampak begitu? Eh, jangan silap faham. Saya tidak maksudkan cuaca cerah baik, hari hujan tidak baik. Bila cuaca cerah maka, sebut alhamdulillah. Kalau hari hujan maka tiadalah alhamdulillah. Oh, bukan begitu. Samada hujan atau panas semuanya alhamdulillah, semuanya ada kebaikan untuk semua orang. 

Memang. Hujan lebat mungkin tidak menyenangkan bagi sesetengah orang tetapi menyeronokkan pula bagi sesetengah orang. Waktu hujan dianggap waktu tidur walaupun waktu siang. Tetapi ada orang yang atap rumahnya bocor, ada yang tidak dapat keluar mencari rezeki terutama para penoreh getah. Lalu hujan yang kita katakan rahmat mereka rasakan macam ‘kiamat’. 

Hari panas pun begitu. Ada yang senang dengannya, ada pula yang gusar tidak tentu hala. Pendekata, dalam semua perkara tidak semua orang boleh menerima sesuatu dengan senang melainkan pasti ada segelintir yang memprotes tidak bersetuju. 

Ayuh, berbaik sangka 

 foto hiasan (sumber)

Apa untungnya berbaik sangka. Mari kita beranalogi. Ketika kita sedang terperangkap di dalam kesesakan jalanraya, tiba-tiba ada kenderaan yang meluncur laju di lorong kecemasan. Tentu kita berasa geram dan marah tetapi kita segera bersangka baik bahawa pemandu tersebut mungkin sakit perut, mungkin isterinya mahu bersalin atau boleh jadi apa sahaja kecemasan. Tetapi boleh jadi pemandu itu tidak sakit perut, tidak ada apa-apa kecemasan pun. Tetapi kerana kita berbaik sangka, kita tidak menjadi tertekan, marah atau terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Ya, secara pantas, sifat berbaik sangka sudah memberi manfaat kepada kita. 

Inilah antara hikmah disebalik berbaik sangka. Tentunya banyak lagi manfaatnya. Ia mungkin tidak berupaya menjadikan orang yang jahat itu baik, tetapi sekurang-kurangnya kita yang bersangka baik akan memfokuskan kepada kebaikan bukan kelemahan dan keburukan. 

Jika berbaik sangka sesama manusia sudah memberi manfaat yang besar. Apatah lagi jika berbaik sangka kepada Allah SWT, tentu lebih-lebih lagi manfaatnya. Walaupun mungkin apa yang terjadi seperti tiada keberuntungan pada saat berlakunya kejadian itu, namun yakinlah ia tetap ada kebaikannya biarpun kita tidak mampu menafsirkannya. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ia seumpama kita berperang dengan fitrah dan kemahuan diri. Kebanyakan manusia apabila sesuatu yang tidak baik pada pandangan matanya, maka automatik ia akan memikirkan sesuatu yang tidak baik di dalam kepalanya. Jarang benar jika ada yang berfikir sebaliknya. Fitrahnya begitu. 

Sudah tidak mampu berbaik sangka?? 

Namun, ada juga perkara berlaku dan dalam masa yang sama kita sudah tidak mampu untuk bersangka baik. Mungkin ada di antara kita pernah melaluinya. Contohnya perbuatan buruk yang dilakukan secara terang-terangan. Walaupun sudah dinasihat dan ditegur dengan berbagai cara, namun ia masih dilakukan seolah-olah seperti mencabar atau menpersenda-senda. Sakit hati bila berhadapan dengan situasi begitu, apa yang mahu dilakukan? Marah, diam? Tanyalah firasat hati. Anda tentu ada jawapannya...

Taman Syurga: Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus


Assalamualaikum warahmatullah.

Big Boh kembali lagi. Insya-Allah kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk mengikuti kuliah maghrib pengajian kitab Jam`ul Jawami` yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus.

Pendakwah yang dijoloki dengan 'Murabbi Sejuta Ummah' ini akan menyampaikan kuliah maghrib ini pada hari Isnin, 29 Disember 2014 dan bertempat di Masjid PPD Soi, Jalan Pantai Sepat (Belakang Tenun DiRaja Kuantan). Kepada para peniaga yang ingin mendapatkan tapak jualan, sila hubungi nombor telefon yang tertera pada poster.

Mudah-mudahan dengan kehadiran semua akan memeriahkan lagi majlis ilmu ini.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Friday 26 December 2014

Rehat Minda: Pesan Murabbi 6

Salam Jumaat


"Apabila kamu  merasa sempit dengan dunia (banyak masalah)...

Jangan mengadu: "Wahai Tuhan... aku berhadapan dengan masalah besar..."

Sebaliknya ungkaplah: "Wahai masalah... aku memiliki Tuhan Yang Maha Besar."

Wednesday 24 December 2014

Bersabarlah saudaraku, semoga Allah membalasinya dengan sebaik-baik kurnia...

Banjir di Gua Musang (sumber)

Semenjak dua menjak ini whatssap saya dihujani dengan gambar-gambar dan info berkenaan musibah banjir terutamanya daripada group skuad BAIM dan Jabatan AMAL Pahang. Paling ketara whatssap group AMAL yang menghimpunkan wakil-wakil Jabatan AMAL di seluruh daerah/parlimen dalam negeri Pahang. Banyak gambar dan info terkini yang dikongsi melibatkan banjir yang berlaku di dalam negeri Pahang. Ada juga gambar dari negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu. 

Saya menumpang sedih dan simpati dengan apa yang telah menimpa kepada mangsa banjir. Sedikit sebanyak saya memahami perasaan mereka kerana pernah mengalami situasi demikian, walaupun tidaklah seberat dengan apa yang mereka alami. Tidak ramai yang mampu bertahan tatkala melihat rumah dan harta benda musnah dihanyutkan air.Tentu ada juga rasa sedih dan cuak walaupun kadang-kala ia tidak kelihatan pada rona wajah. 

Musibah banjir yang menimpa adalah ujian Allah kepada hamba-Nya yang telah ditetapkan. Sebagai Muslim yang beriman, kita wajib menerimanya dengan tabah dan sabar. 

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”(al-Hadid: 22) 

Tentunya saya hanya dapat meluahkan kata-kata tetapi ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Saya memahaminya. Namun apakan daya, itulah sesuatu yang mesti diterima samada setuju atau pun tidak. Mudah-mudahan kita tidak sampai hilang pedoman dan berputus asa dalam kehidupan ini dengan apa yang telah berlaku. Jauh sekali berprasangka buruk dan menyalahkan Allah SWT. 

Buat mereka yang ditimpa musibah, semoga Allah SWT melipatgandakan kesabaran dan ketabahan anda serta dikurniakan sebaik-baik kurnia di atas kesabaran tersebut.

Sunday 21 December 2014

Alhamdulillah, selesai sudah hari ini...


Hari Anugerah Kualiti PASTI Malaysia melabuhkan tirai pada hari ini. Kawasan Indera Mahkota mewakili Negeri Pahang yang menjadi tuan rumah tahun ini. Alhamdulillah, dalam keadaan suasana cuaca musim tengkujuh, ia dapat dijayakan dengan baik. Petang tadi setiap kontijen negeri telah pun berangkat pulang ke destinasi masing-masing, termasuk yang datang sejauh dari Sabah dan Sarawak. Semoga masing-masing selamat sampai ke destinasi yang dituju. 

Terbayang pula kepenatan para petugas. Lazimnya memang begitu kepada tuan rumah program. Seminggu terakhir sebelum program merupakan kemuncak membuat persiapan. Masing-masing dengan tugasan yang telah diputuskan dalam mesyuarat. Ada yang protokol, keselamatan, hebahan dan sebagainya. 

Saya pula diamanahkan untuk mengurus penginapan. Tiga negeri di bawah seliaan saya iaitu kontijen Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis. Setiap negeri ada petugas yang menguruskannya. Kami ditugaskan mencari homestay yang sudah semestinya berhampiran dengan tapak program, itu memang menjadi pilihan. Maklumlah selepas itu perlu menjadi jurupandu arah ke tempat program. Sekiranya dekat, cukup sekali sahaja menunjuk jalan. Kemudian berurusan dengan tuan punya homestay serta sebagai pemudahcara jika terdapat apa-apa masalah berkaitan tempat penginapan. 

Saya memilih homestay di taman perumahan saya yang juga dekat dengan tempat program diadakan. Bukannya apa, senang nak berkejar ke sana jika ada apa-apa masalah kepada penginap terutama pada malam hari. Apa yang merisaukan saya ialah jika berlaku banjir, manalah tahu. Tahun lepas seluruh taman ini ditenggelami air termasuk rumah saya. Harap-harap tahun ini tidak berlaku. Apa pun, segala urusan diserahkan kepada Allah SWT, Dia yang lebih mengetahui apa yang nyata dan sembunyi. 

Alhamdulillah, program telah pun selesai. Saya juga telah pun menyerahkan kunci ketiga-tiga homestay tersebut. Selepas ini bolehlah berehat melepaskan kepenatan sebelum ada lagi program lain yang akan datang.

Friday 19 December 2014

Hujan mengingatkan saya pada sesuatu...


Hujan lebat seusai kuliah maghrib di surau perumahan saya. Langit menghitam menyelubungi sehingga tiada kelihatan cahaya seri bulan.

Musim hujan menyelimuti Pantai Timur waktu ini. Banyak tempat yang telah dinaiki air ekoran hujan yang tiada henti. Musim hujan juga dengan irama sang cengkerik dan sahutan katak menjadi paluan ingatan yang menjadi kenang-kenangan. Semua ini menghantar saya ke gerbang perasaan kerinduan. Benar, hujan mengingatkan saya pada sesuatu. Tentunya ‘sesuatu’ itu sering menjadikan hati ini berdetik lalu saya tersenyum sendirian.

Zaman kanak-kanak. Hujan umpama ‘anugerah’ istimewa. Titisannya yang gugur ke bumi sentiasa dinanti-nanti. Mandi hujan tidak pernah padam daripada kamus kehidupan ketika itu. Menyeronokkan. Berkejaran, menggelongsor dan bergelak ketawa di halaman rumah pusaka ayahanda. Biarpun telah kecut jari-jemari, menggigil berlaga gigi, selagi tidak dijerit emak dari beranda rumah pusaka.

Hujan yang ‘mengganas’ di luar juga membangkitkan selera makan. Selesai mengeringkan badan setelah puas ‘beraya’ di tengah halaman, nasi putih bersama ikan kering serta berkuahkan kicap manis menjadi santapan. Biarpun itu sahaja yang ada, namun rezeki Tuhan dicicip tanpa bersisa. Kadang-kadang emak menghidang ubi kayu rebus dicicah dengan kelapa yang digaul dengan sedikit garam dan gula. Ubi kayu emak tidak pernah berbayar. Emak menanamnya di belakang dapur empat, lima perdu. Alhamdulillah ia sentiasa cukup untuk kami sekeluarga. Adakalanya emak menanak pulut yang bersanding dengan ikan kering yang pastinya membuka selera.Oh, alangkah indahnya mengingati waktu itu.

Hujan masih galak menerjah bumi. Bumbung rumah saya menyambutnya dengan irama yang membingitkan tetapi menghiburkan. Termasuk juga sahutan katak dan cengkerik malam. Semuanya bagaikan hiburan yang menyerap masuk saya ke dalam nostalgia lama. Ia umpama suatu perjalanan terowong masa untuk mencari hari-hari semalam yang semakin terluput diingatan dan kabur oleh perjalanan masa. Sedangkan jiwa memendam rasa sambil merintih merindukannya. 

Namun, bagi anak kota mungkin ia bukan alunan muzik yang menggiur dan memberahikan. 

Hujan mengingatkan saya pada sesuatu... 

Mandi hujan 

Ubi kayu rebus dan kelapa yang digaul dengan sedikit garam dan gula 

Nasi putih dan ikan kering 

Dan semestinya... 

Arwah ayahanda dan bonda yang tidak pernah berkurang kasih sayangnya...

Thursday 18 December 2014

Taman Syurga: Kuliah Maghrib al-Fadhil Ustaz Yusof Embong


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada yang berdekatan dan berkelapangan, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Yusof Embong. Seperti biasa, kuliah Ustaz Yusof Embong akan menggunakan alat bantu siaraya untuk memudahkan proses pemahaman dan pencerahan. Kuliah akan diadakan di Masjid Qaryah Balok pada tarikh 18 Disember 2014.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Sabda Rasulullah saw:
“Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu. (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Wednesday 17 December 2014

Taman Syurga: Kuliah Maghrib "Keadilan Dalam Tamadun Islam"


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada muslimin dan muslimat yang berdekatan dan berkelapangan, dijemput untuk mendengar kuliah maghrib yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Suhaimi Md Saad yang bertajuk "Keadilan Dalam Tamadun Islam". Bertempat di Masjid Qaryah Balok, Kuantan pada tarikh 17 Disember 2014. Mudah-mudahan dengan kehadiran semua akan memeriahkan lagi majlis ilmu ini.

"Jom, semarakkan majlis ilmu"

Hujan oh hujan...

“Skuad BAIM telah diaktifkan. Kepada semua sukarelawan diminta bersedia untuk menerima arahan selanjutnya.” 

Awal pagi. Mesej yang masuk ke dalam kotak pesanan henfon saya melalui aplikasi wassap group. Di luar hujan masih berguguran dari langit sejak pagi semalam, tetap tidaklah berterusan turun. Sesekali reda juga dalam sejam dua, kemudian turun semula.

Hmm, mungkin sahabat-sahabat tertanya-tanya, apa pula BAIM ni, macam nama orang je? BAIM adalah singkatan kepada skuad Bencana Alam Indera Mahkota. Ia di bawah kendalian sepenuhnya Parlimen Indera Mahkota yang merangkumi Dun Beserah dan Dun Semambu. 

'Disember 2013, salah sebuah rumah mangsa banjir'

Skuad ini telah ditubuhkan sejak 5 tahun lalu khusus untuk membantu mangsa bencana banjir. Para sukarelawan akan dihantar ke tempat-tempat yang dinaiki air untuk memberi bantuan yang sewajarnya. Termasuklah membantu berpindah, mengangkat barang, menyediakan makanan dan sebagainya. Begitu juga bantuan selepas banjir seperti membersihkan rumah-rumah mangsa.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertainya sebagai sukarelawan. Keseronokkannya terasa apabila melihat ada goresan senyuman yang terukir pada wajah-wajah mereka yang ditimpa musibah. Puas hati tatkala dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung. Oh, bukan mahu menunjuk-nunjuk amal yang sedikit ini, cuma satu perkongsian pengalaman. Mudah-mudahan ia menjadi galakan kepada sahabat-sahabat yang lain, itu sahaja. Saya sangat menyedari, sebesar debu riyak yang terbit mampu menghangus leburkan pahala yang dikumpul. Wal`yazubillah. 

Teringat banjir pada tahun lalu. Boleh dikatakan banjir yang agak buruk pernah berlaku. Saya mengagak berdasarkan pengalaman. Banyak tempat yang tidak pernah dinaiki air, tiba-tiba ditenggelami air. tahun Termasuklah taman perumahan saya, setelah 7 tahun mendudukinya tetapi pada lepas ia menerima nasib yang sama. Apa pun, setiap yang berlaku pasti ada kebaikan kepada umat manusia. Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya melainkan sentiasa mendahului rahmat-Nya. Tentunya setiap musibah yang menimpa ada hikmah yang tersurat dan tersirat. 

Ketika sedang menaip entry ini, di luar hujan masih turun dengan lebatnya. Harap-harap air tidak naik. Tetapi jika banjir pun, mudah-mudahan diberikan kekuatan untuk menghadapinya dengan berlapang dada. Insya-Allah.

Tuesday 16 December 2014

Taman Syurga: Pengajian Tafsir al-Quranul Karim


Assalamualaikum warahmatullah.

Kepada semua yang berdekatan dan berkelapangan dijemput untuk hadir bersama dalam kuliah maghrib, slot pengajian tafsir al-Quran, yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mokhtar Senik. Kuliah tafsir nin akan diadakan pada 16 Disember 2014, bertempat di masjid Qaryah Balok, Kuantan, yang sememangnya masjid yang sangat subur dengan majlis-majlis ilmu. 

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Friday 12 December 2014

Rehat Minda: Pesan Murabbi 5

Salam Jumaat...


Kegembiraan akan mengetuk pintu hatimu tanpa hitungan.
Cukup hanya dengan bersangka baik kepada Allah Maha Penganugerah.

Thursday 11 December 2014

Taman Syurga: Pengajian Kitab Mustika Hadis


Fitrahnya, manusia tidak berilmu dan tidak akan pernah cukup ilmu melainkan apa yang diajar oleh Allah SWT melalui perantaraan Rasul-Nya. Kemudian disambung pula oleh para alim ulama` setelah kewafatan baginda saw.

Ketika jasad masih berteman kesihatan dan lapang masa, maka lembut-lembutkanlah hati untuk berjalan mencari ilmu. Usirlah perasaan malas dan jemu yang mendampingi diri, jika tidak pasti akan menyesal kemudian hari.

Kata cerdik pandai:
"Sebagaimana bumi yang hidup dengan air dari langit, demikianlah hati yang memerlukan wahyu dari langit jua untuk hidup."

Benar, hujan yang turun dari langit Ilahi melembutkan tanah yang keras dan daripadanya tumbuhlah berbagai-bagai tanaman. Justeru, wahyu dari langit akan melembutkan hati-hati yang keras dan menumbuhkan sifat-sifat mengenal Tuhan. 
     
Oleh itu, carilah ilmu biarpun telah lewat usiamu. Kerana jiwa yang sakit itu akan 'menyakitkan' empunya diri. Kerana jiwa yang mati itu akan 'mematikan' empunya jasad.

Jom, semarakkan majlis ilmu!

Wednesday 10 December 2014

Bolehkah bersahabat dengan orang bunian dan bolehkah kita berguru dengan orang bunian ini?

Soalan:

Ditempat saya, ada orang mendakwa, bahawa dia bersahabat dengan orang bunian, kerana orang bunian ini katanya, jauh lebih Islam dan orang yang alim, jauh mengatasi manusia. Mereka boleh memberi bantuan kepada manusia dan boleh mengajar ilmu tinggi yang dipunyai oleh alim ulama kita. Betulkan dakwaan itu, wujudkah alasan syarak yang boleh menerima dakwaan ini? 

Jawapan:

Bunian adalah segolongan makhluk halus yang wujud. Mengenai persahabatan dengan manusia, saya merujuk kepada fakta al-Quran. Makhluk halus dicipta Allah untuk hidup dalam masyarakat mereka dengan cara serta kebolehan dan adat resam tersendiri. Makhluk halus berbeza daripada manusia dari sudut rupa bentuk, kebolehan dan keinginan. 

Islam menyarankan agar manusia hendaklah bersahabat dengan manusia juga. Kita tidak diharuskan pada umumnya untuk bersahabat dengan makhluk halus. 

Saya menegaskan, bahawa saya tidak sampai kepada keputusan muktamad tentang bunian. Saya tidak pasti mereka masuk dalam golongan mana, sama ada qareen, jin, syaitan atau iblis. 

Mereka adalah makhluk halus. Namun saya lebih dekat untuk menamakan mereka sebagai qareen. Sebab ia bermakna sahabat atau kawan. Kalau ini boleh diterima, al-Quran menyatakan bahawa makhluk halus ini sanggup menjadi pelindung kepada manusia, tetapi kesanggupan mereka (untuk menolong) lebih banyak mengundang padah. 

Firman Allah (mafhumnya), "Dan sesungguhnya telah adalah. lelaki di kalangan manusia meminta perlindungan dan bantuan daripada lelaki jin, maka dengan demikian itu jin-jin ini telah menjadi lebih bongkak, lebih takbur daripada manusia." (Surah al-Jin ayat 6). 

Dengan ayat ini kita difahamkan bahawa memang boleh berlaku persahabatan antara manusia dan jin. Tetapi kesan buruknya akan diterima oleh manusia. 

Ini ada kaitan dengan jawapan saya terdahulu, dalam peperangan Badar, Suraqah bin Malik yang berjanji menolong kuffar menentang Islam. Yang lari itu bukan Suraqah tetapi iblis yang menyerupai manusia. 

Mengenai Qareen, Firman Allah (mafhumnya),"Dan sesiapa yang menjadikan syaitan itu baginya kawan setia, maka dia telah mendapat sejahat-jahat kawan. (Surah an-Nisa, ayat 38). 

Secara logiknya, baik bagaimanapun makhluk halus ini, satu masa nanti kita akan berselisih dengan mereka, pada ketika itu, mereka akan melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap kita kerana manusia tidak dapat melihat mereka. Atau sekurang-kurangnya rasa selesa hidup manusia akan hilang kerana takut kawan yang telah menjadi musuh akan datang melakukan sesuatu tindakan buruk. 

Mengenai kehebatan ilmu, saya sukar untuk menerima makhluk halus ini lebih alim daripada manusia. Pada saya makhluk yang terbaik adalah manusia. Jika makhluk halus ini lebih baik, tentulah mereka lebih layak menjadi khalifah di muka bumi. 

Dalam alam manusia Allah melantik Nabi dan Rasul menjadi utusan Allah daripada Adam a.s hingga Muhammad saw. Dalam hadis menyebut berapa ramai Rasul dan Nabi dari kalangan manusia. 

Nabi Muhammad saw sebagai utusan terakhir adalah Nabi dan Rasul ke semesta alam, termasuk untuk makhluk halus. 

Ada disebut dalam beberapa hadis, bahawa Allah SWT pernah mengutuskan Rasul dari kalangan jin untuk kelompok mereka sahaja, bukan untuk manusia. Bagaimanapun Rasul itu dibunuh oleh jin pada zaman itu. 

Firman Allah (mafhumnya),"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak Adam dan Kami beri layanan kepada mereka di daratan dan di lautan, diberikan rezeki yang baik-baik kepada mereka dan Kami lebihkan mereka berbanding dengan makhluk lain yang Kami jadikan dengan berbagai kelebihan." (Surah al-Isra' ayat 70). 

Ulama besar Sheikh Abdul Wahab as-Sya'rani pernah menyebut dalam kitab-kitabnya bahawa ketika mengajar ilmu agama kepada murid di zamannya, telah ditanya oleh makhluk halus dengan suatu tulisan yang sampai kepadanya. 

Surat itu menyebut, "Kami dalam masyarakat jin telah bertanya ulama-ulama besar dari kalangan kami, bolehkah atau tidak Allah SWT menganugerahkan kepada makhluk pengetahuan yang sama dengan pengetahuannya ataupun tidak boleh? Kami telah tanya soalan ini kepada ulama kami, tetapi mereka tidak boleh menjawabnya." 

Sheikh Abdul Wahab as-Sya'rani menjelaskan, tidak mungkin, Allah tidak akan melakukan sesuatu perkara yang berlawanan dengan kekudusannya, iaitu tidak ada apa pun yang sebanding dengan-Nya.

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Sunday 7 December 2014

Selamat hari lahir duhai ‘insan istimewa anugerah Tuhan’


07 Disember adalah hari ulangtahun kelahiran Wan Muhammad Imamuddin Haikal. Hari ini genap 9 tahun usia anak ke-4 saya ini. Seperti biasa kami sekeluarga akan membuat sedikit majlis untuk meraikannya. Malahan saya menjadikannya salah satu acara yang wajib bagi semua anak-anak. Bukan sambutan yang mewah, sekadar sederhana, hanya makan-makan kami sekeluarga dan memberi hadiah. Apa yang saya mahukan ialah agar anak-anak merasa dihargai dan disayangi. 

Tentu sahabat tertanya-tanya dengan tajuk entry ini. Apa pula yang menjadi anugerah istimewa itu? Jika sahabat-sahabat perasan, apabila saya menulis mengenai anak saya yang ke-4 ini, saya akan membahasakannya dengan ‘si kecil Haikal’. 

Anak saya yang ke-4 ini memang berbeza dengan kanak-kanak lain yang seusia dengannya. Kami sekeluarga merasa sungguh bertuah dengan kehadirannya. Sebab itulah saya menggelarnya sebagai anugerah istimewa. Tentunya istimewa dimata dan hati kami sekeluarga. 

Insya-Allah, akan saya coretkan ‘sesuatu’ mengenai anakanda yang bernama Wan Muhammad Imamuddin Haikal ini...insan istimewa anugerah Tuhan. 

Selamat hari lahir anakandaku, semoga sentiasa menjadi penyejuk mata dan hati abi dan ummi serta adik-beradik yang lain. Aminn...

Saturday 6 December 2014

Kunci Kejayaan Minda


Buku ini merumuskan kunci-kunci untuk kejayaan disampaikan dalam format yang mudah dan ringkas tetapi tepat. Rasulullah saw dan para sahabat dijadikan role model yang unggul. Dr. Abdullah ‘Aidh al-Qarni seolah-olah berkata kepada anda:

“Jika mereka yang hidup ribuan tahun dahulu boleh cemerlang, kenapa anda pada hari ini yang hidup dalam 100% kemewahan dan kemudahan tidak mampu menghasilkan 10% pun daripada usaha mereka.”

Analogi yang digunakan sungguh tepat dan dekat dalam kehidupan seharian. Kerendahan hati hamba meletakkan pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Kita merasakan kehidupan ini sungguh berharga dan tidak mungkin akan mensia-siakannya lagi. Semangat kita dirobek dari lubuk hati untuk terbang tinggi melangit ke angkasa.

Penulis adalah Dr. Aidh Abdullah al-Qarni, pengarang buku La Tahzan, antara buku yang mendapat jualan tertinggi di peringkat antarabangsa.

Buku ini membawa pemikiran al-Quran dan Hadis dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Garapan contoh-contoh yang menarik juga turut termuat di dalamnya. Kalau anda rasa anda sudah hebat, anda akan jumpa orang yang lebih hebat di dalam buku ini. Apabila anda selesai membaca buku ini anda akan rasa diri anda di angkasa dan melihat bumi ini kecil seperti sepinggan nasi yang sedia untuk disantap dengan sekali suap.

Selain itu, fakta yang terdapat di dalam buku ini juga bakal membuatkan pembacanya tersenyum memikirkan kebenaran yang cuba diterjemahkan oleh penulis menerusi kata-kata indah bersulam madah. 

Beberapa kunci dan panduan dikhaskan untuk pelajar, pendakwah, guru, mufti, ibu bapa, penulis dan sebagainya. 

Tajuk : Kunci Kejayaan Minda
Penulis : Dr `Aidh Abdullah al-Qarny
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd 
M/surat : 168
Harga : RM25.90

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!

Friday 5 December 2014

Rehat Minda: Pesan Murabbi 4

Salam Jumaat..


Ya Allah,
Lapangkan dada semua orang yang menghadapi kesempitan..
Terangkan hatinya dengan cahaya-Mu..
Tampunglah keretakannya..
Wahai Tuhan yang Maha Kuasa..

#Mood: Amin.. aminn..

Wednesday 3 December 2014

Selidik dulu teman-teman!


Terkejut besar juga pada mulanya saat mesej menerjah daripada whatssap group. Biar betul, sukar mahu mempercayainya. Apatah lagi keduanya antara murabbi yang amat saya kagumi. Keilmuan, kepetahan bahasa dan gaya penyampaian memang memikat halwa telinga. Namun, isu yang satu ini meresahkan saya. Iskk..takkan tergamak mereka berdua melakukan onar begitu. Fitnah kut. Tetapi, setelah saya amati memang itu yang tertera di halaman 32 buku tersebut.

Sebenarnya ia adalah isu tulisan kontroversi di dalam buku hasil tulisan al-Fadhil Ustaz Nidzam Abd Kadir dan al-Fadhil Ustaz Zamri Zainuldin. Buku tersebut berjudul "Beginilah al-Quran Mengajar Kami". Di halaman 32 tercatat:
"Ada tafsiran menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw bukanlah nabi yang akhir. Ayat ini bukan bermaksud demikian. Lafaz al-Khatam bukanlah bermakna penutup tetapi perhiasan. Ini kerana al-Khatam bermakna cincin. Oleh itu, ada lagi nabi baru selepas Nabi Muhammad saw."

Jika dibaca berkali-berkali pun memang nampak akan ketidakbenarannya. Malah pendapat ini memang sangat menyesatkan. Haru betul kalau macam ni. Mengapa mereka berdua boleh menulis begitu? 

Alhamdulillah, mujur saya sempat bertenang. Akhirnya saya menemui jawapan yang dicari-cari setelah menggodek-godek di internet. Rupa-rupanya ada yang tidak bertanggungjawab melakukan 'printscreen' hanya sekerat-sekerat, tidak mengambil tulisan tersebut daripada permulaan. Maka jadilah apa yang mengelirukan dan menggemparkan sepertimana sekarang. 

Apakah niat sebenar orang yang melakukannya, wallahua`lam. Samada dengan niat mahu memfitnah atau sebaliknya, hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu jawapannya. Yang parahnya apabila ia di 'copypaste' dan dikongsi di facebook, whatssap, twitter dan sebagainya. Maka bersambung-sambunglah berita yang tidak benar itu. Bayangkan berapa banyak dosa orang yang melakukan dosa berantai ini. Allahu rabbi. 

Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian. Selidikilah dahulu setiap berita yang didapati akan kesahihannya. Bimbang jika kita termasuk dalam orang-orang yang menyambung fitnah tanpa disedari. 
Berikut jawapan al-Fadhil Ustaz Zamri Zainuldin mengenai isu ini:            
"2-3 hari ini tersebar di laman sosial seperti whatsapp tentang isi kandungan muka surat 32 buku tulisan saya dan ustaz nizam "Beginilah al-Quran Mengajar Kami" yang telah disalah ertikan maksudnya oleh ramai orang awam.

Saya mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan kekeliruan ini kerana ia melibatkan soal akidah. Jika dibaca pada MUKA SURAT 32 SAHAJA, ayat itu menerangkan tentang tafsir al-Quran yang mengatakan; 

1. Ada lagi Nabi Baru selepas Nabi Muhammad. 
2. Wajib taat kepada pemimpin kafir dan jahat. 

Sedangkan sebenarnya ayat-ayat dalam perenggan tersebut sedang menerangkan tentang CONTOH KITAB TAFSIR YANG SESAT DAN SALAH. 

Saya Ulang. CONTOH KITAB TAFSIR YANG SESAT DAN SALAH. 

Boleh lihat gambar kerana tajuk tersebut berada pada MUKA SURAT 31. Jadi, sudah tentu ayat pada perenggan tersebut (MUKA SURAT 32) menerangkan tafsir al-Quran yang salah dan sesat. 

Justeru di sini saya menyeru semua sahabat-sahabat untuk: 

1. Menyampaikan perkara ini jika ada kawan-kawan yang telah tersalah faham. 

2. Mengambil langkah berhati-hati sebelum menyebarkan ilmu agama di laman sosial. Bimbang disalah gunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. 

3. Memahami semua berita, maklumat dan ilmu dalam konteks yang betul, secara menyeluruh. Bukan sekerat-sekerat. 

#Alhamdulillah, selesai.

Tuesday 2 December 2014

Nasi lemak hijau, setiap butir adalah milik-Nya...


Alhamdulillah, terima kasih Tuhan. Pujianku untuk-Mu kuharapkan biarlah sejumlah pujian-Mu atas diri-Mu sendiri. Namun tidaklah dapat ku memuji-Mu melainkan atas junjung kasih taqdir-Mu jua. 

Pagi ini, masih diberikan keizinan untuk mencicip limpahan nikmat rezeki-Nya. Harapannya sentiasa ada walaupun kadang-kadang ia terlalai untuk diungkap dalam doa. Insan... lalai dan lupa adalah fitrah hariannya. 

Di manakah kita mahu mencari kesempurnaan diri, kecuali dari DIA yang Maha Sempurna. Kadang-kala kita merasakan kita telah sempurna dengan mata benda nikmat dunia, tetapi kita terlupa yang sempurna adalah DIA. Kita hanya meminjam kesempurnaan dengan bergantung kepada belas ihsan-Nya. Kita hanya tampak sempurna daripada pandangan mata makhluk yang sangat lemah. Bahkan kesempurnaan yang sedikit dari mata makhluk itulah sering menjadi bibit-bibit menumbuhkan parasit kesombongan dalam diri. Kadang-kadang... 

Sebungkus nasi lemak hijau diganding dengan milo kosong menjadi santapan halwa tekak. Menu dari warung kecil sahabat karibku. Nasi lemak yang dibungkus cantik bersama ramuannya, terutama ikan bilis yang dibelah dan dibuang kepala serta isi perutnya membuka nafsu seleraku. Sejak dari kecil saya memang tidak dapat menelan nasi lemak yang ikan bilisnya tidak dibuang kepala serta tidak dibersihkan isi perutnya. Mungkin kerana telah terkesan dengan nasi lemak arwah emak yang ikan bilisnya mesti dibuat begitu. 

Alhamdulillah. Mudah-mudahan rezeki yang masuk ke dalam perutku hari ini dan hari-hari seterusnya menjadi sumber kekuatan untuk sentiasa beribadat dan bersyukur kepada-Nya. Manakala rezeki yang diperolehinya hari ini dan hari-hari seterusnya menjadi sumber keberkatan dan kemurahan untuk membantu orang lain pula. 

Syeikh Dr Muhammad Naim Yasin menulis di dalam bukunya yang berjudul, IMAN: Rukun-rukunnya, Hakikatnya & Pembatalannya: “Tauhid Rububiyyah merupakan pengakuan bahawa Allah SWT sahajalah yang mencipta, memilik, menghidup, memati, memberi manfaat, memberi mudharat, mengenan doa ketika kesusahan hamba, berkuasa penuh terhadap mereka, mengurniakan sesuatu dan menarik sesuatu daripada mereka, kepunyaan Allah segala urusan makhluk dan segala titah perintah.” 

Firman Allah SWT: 
“Ingatlah, kepunyaan Allah sahajalah segala makhluk dan segala titah perintah, maha berkat Allah Tuhan sekalian alam...” (al-A`raaf: 54) 

Ada sesuatu yang sedikit tercalar pagi ini. Hairan dan termenung panjang takala menonton klip video yang telah pun menjadi viral di alam maya. Seorang yang bergelar doktor mengatakan bahawa setiap butir beras yang dimakan adalah kerana jasa-jasa si.... Astaghfirullah, saya cuba memaksa untuk bersangka baik bahawa dia menuturkannya dalam keadaan jahil atau tidak sedar. Dalam masa yang sama tiada niat dihatinya mahu mengampu atau membodek. Walaupun pada hakikatnya saya tidak mampu untuk berbuat demikian. 

Mahu berpolitik? Tidak sekali-kali. Tetapi saya resah dan gelisah tatkala mengingatkannya. Ini bukan perkara kecil. Ya, ia melibatkan persoalan aqidah dan pegangan. Jika aqidah ‘tercedera’ maka perkara lain turut mengalami luka. Itulah yang sangat saya bimbangkan. Tentunya saya lebih mengingatkan diri saya sendiri agar berhati-hati dalam berbicara. 

Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan segala kesalahan kita semua. 

Firman Allah SWT: 
“Katakanlah, siapakah yang memberikan kamu rezeki daripada langit dan bumi, atau siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan, siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, mengeluarkan yang mati daripada yang hidup dan siapakah yang mentadbirkan segala urusan? Nanti mereka akan menjawab: “Allah”. Oleh itu, katakanlah: maka tidakkah kamu bertaqwa?” (Yunus: 31) 

Allahu rabbi...