Sahabat Sejati

Thursday 29 April 2021

Nuzul al-Quran 1442H

 

17 Ramadhan.

Allah memuliakan Ramadhan untuk kita. Al-Quran adalah di antara kemuliaan Ramadhan kerana diturunkan di dalamnya. Tadahlah tangan untuk menyambut al-Quran, syukurilah kedatangannya. Bacalah ia, fahamilah ia dan amalkan dalam kehidupan. 

Sesungguhnya bulan Ramadhan inilah peluang yang terbaik bagi kita untuk mengelakkan kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang meninggalkan Al-Quran. Apa yang penting kita mesti memastikan adanya peningkatan di setiap Ramadhan yang kita lalui dan yang kita tinggalkan.

Selamat menyambut hari Nuzul al-Quran 1442H kepada semua sahabat-sahabat.

Monday 26 April 2021

Bakul Amal untuk orang Asal Batu 14 Jalan Gambang Kuantan.

Alhamdulillah, telah menyempurnakan sumbangan Bakul Amal sempena Ramadhan kepada 15 keluarga Orang Asal yang beragama Islam di halaman surau Kg Orang Asal Batu 14, Jalan Gambang Kuantan.

Di kampung ini terdapat 60 keluarga orang asal dan 15 daripadanya beragama Islam.

Moga usaha ini menjadi satu dakwah kepada syiar Islam di sini. Kita sama-sama doakan untuk segala kebaikan.







Thursday 22 April 2021

Mana nak cari...

 Buah melaka 2021...

Mulut kita...

Mulut kita sering mengupas tentang tuntutan berlapang dada. Tapi hati kita selalu sahaja sempit bila berbeza. 

Mulut kita sering bersyarah tentang pedulikan apa kata manusia, yang penting Allah ada. Tapi hati kita selalu tidak tenteram bila ada orang mengata. 

Mulut kita sering berbicara tentang pentingnya ikhlas walau manusia tidak tahu. Tapi hati kita tak tertahan-tahan meronta-ronta ingin juga orang tahu. 

Mulut kita lantang berceramah tentang dosa mengumpat dan mengata. Tapi sebaliknya kita seakan berselera memakan daging saudara. 

Mulut kita sangat fasih menerangkan bab keutamaan wehdah dalam fiqh ikhtilaf. Tapi, tingkah kita sepertinya suka kepada telingkah. 

Wahai diri, peringatan buatmu (aku) 

Salam 10 Ramadhan 1442H..

Friday 16 April 2021

Persoalan puasa (2)

1 - Soalan: 

Bagaimana kes pesakit buasir? Adakah batal puasanya? 

Jawapan: 

Lelaki atau perempuan yang terkena penyakit buasir terpaksa menolaknya dengan menggunakan jari ketika qadha’ hajat adalah batal puasanya mengikut nas Hanafi. Syeikh Hasanain Makhluf menambah, yang mengharuskan berbuka dan hendaklah qadha’ selepas sembuh penyakit. Walaupun begitu, al-Baghawi dan al-Hawarizmi berpendapat, tidak batal puasa dan inilah yang dii’timadkan oleh al-Azraie. Saya (peng.) bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh al-Baghawi, al-Hawarizmi dan al-Azraie kerana orang ini dari sudut yang lain adalah sihat. 

 

2 - Soalan:

Apakah hukum menggunakan eye-mo? 

Jawapan:

Menggunakan titisan seperti eye-mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Ini kerana ia tidak mengenyangkan dan menghilangkan dahaga sebaliknya ia adalah keperluan untuk kesihatan. 

 

3 - Soalan:

Apakah hukum suntikan melalui urat dan bukan melalui rongga terbuka? 

Jawapan:

Suntikan melalui urat tidaklah membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah al-Azhar pada tahun 1948, apa-apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka, tidaklah batal puasa. 

Dalam hal ini, Ijmak ulama masa kini bahawa suntikan yang mengandungi rawatan dan boleh memberi tenaga, tidaklah batal puasa, seperti dinukilkan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya, Fiqh al-Siyam, (hal. 100). Hal ini juga dikemukakan oleh Syeikh al-Azhar Mahmud Shaltut, Syeikh Muhammad Salamah Jabr dan Syeikh Ali Tantawi. 

Ini berbetulan dengan kalam Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut: “Jika dimasukkan uat ke dalam daging betis atau ditusuk dengan pisau dan lainnya sehingga sampai ubat tersebut kepada otak, nescaya tidak batal puasa tanpa khilaf kerana ia tidak termasuk dalam anggota rongga terbuka.” Saya (peng.) menyokong pendapat ini.

Haa....tak pose..!

 

Wednesday 14 April 2021

Sepanjang Februari dan Mac..

Alhamdulillah, sepanjang Februari dan Mac saya telah membeli sejumlah buku. Setelah menghitung, rupa-rupanya jumlah yang telah dibeli sebanyak 55 buah. Ada bermacam-macam genre, ada sejarah, agama, novel, fiksyen dan horror, ada buku lama dan ada buku baru.

Kesemua buku ini saya beli melalui atas talian. Maklumlah, zaman sekarang ini sangat mudah. Semuanya di hujung jari. Bukan hanya buku, boleh dikatakan semua benda boleh dibeli melalui atas talian.

InsyaAllah, saya akan cuba meluangkan masa untuk membacanya.  

#RamadhanKareem1442H

Tuesday 13 April 2021

Ramadhan 1442, selamat memburu taqwa

foto hiasan (sumber)


Assalamualaikum warahmatullah. 

Begitu pantas masa bergulir. Bagaikan tidak tersedar Ramadhan kembali bertamu. 

Dari Ubadah bin Shamit, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat at-Thabrani) 

Sesungguhnya puasa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa Ramadhan adalah proses melatih kita mengawal diri. 

Kita tidak makan bukan kerana tiada makanan. Kita tidak minum bukan kerana tiada minuman. Kita tidak makan dan minum kerana mentaati perintah Allah SWT, walaupun ketika itu kita mempunyai segudang makanan dan minuman. Itulah latihan mengawal diri. 

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia 

Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah. 

Justeru, dikesempatan ini dengan penuh syukur saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak 1442H khusus buat pengunjung pondok kecil abuikhwan, serta kepada semua yang bertaut persaudaraan atas ikatan kalimah Laa Ilaaha Illallaah. 

Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan untuk melakukan apa sahaja kebaikan dan kebajikan di dalam bulan ini. Dan semoga Allah SWT menerima baik segala amal dan kebajikan yang dilakukan dengan sebaik-baik penerimaan dan ganjaran 

Selamat memburu taqwa!

Monday 12 April 2021

Menjelang Ramadhan

Kita telah pun berada di hari-hari terakhir bulan Sya'ban. Bermakna dalam beberapa hari lagi kita akan memasuki gerbang Ramadhan yang dirindui. Saya percaya orang beriman pasti merasa gembira dengan kedatangan bulan yang diberkati ini.

Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini terdapat sedikit kelonggaran berbanding tahun lalu. Keputusan pihak berkuasa membenarkan solat tarawih dilakukan di masjid dan surau walaupun masih mengekalkan penjarakan, namun ia amat melegakan. Begitu juga dengan amalan tadarus dibenarkan dengan mematuhi SOP yang telah digariskan.

Walaupun demikian, tazkirah tarawih masih tidak dibenarkan lagi di tempat saya (negeri Pahang). Terkilan juga rasa dihati dengan arahan tersebut, memandangkan bazar Ramadhan diberi kebenaran pula. Ramai kalangan sahabat saya terpaksa membatalkan jadual kuliah mereka setelah dari awal menyusunnya. 

Terdengar beberapa rungutan kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku. Apa boleh buat,  keputusan pihak berkenaan wajib dipatuhi. Mereka mempunyai alasan yang tersendiri. Moga apa yang telah diputuskan menatijahkan kebaikan kepada semua.

Kadang-kadang sambil mengelamun seorang diri, teringat suasana Ramadhan dulu-dulu. Bilakah agaknya senua ini akan berakhir. Bilakah kita semua akan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala. Entahlah saya tidak mampu menjawabnya. 

Namun saya percaya semua ini pasti akan berakhir, kerana Tuhan tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan bersama penawarnya. Bilakah masa ia akan berakhir? Hanya Dia yang Maha Mengetahui. 

Saya yakin..

Monday 5 April 2021

Persoalan puasa (1)

1 - Soalan: 

Apakah hukum memakan pil kecil diletak di bawah lidah untuk orang yang gila atau sakit jiwa? 

Jawapan: 

Orang yang gila atau sakit jiwa yang membawa kepada pengsan dan seumpamanya, memerlukan penggunaan pil kecil yang diletakkan di bawah lidahnya hingga menjadi tenang. Dalam hal ini, sebahagian ulama menganggap hukumnya tidak batal puasa kerana ia bukan bersifat makanan dan mengenyangkan, tetapi ubat yang tidak sekali-kali menghilangkan lapar dan dahaga. Hal ini diharuskan. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal.73). Walaupun begitu, amat perlu ditanya kepada pakar perubatan untuk mengetahui implikasi dan kesan jika mengambil atau tidak ubat tersebut. 

 

2 - Soalan: 

Apakah hukum berbekam pada masa puasa? 

Jawapan: 

Berbekam pada siang hari pada bulan Ramadan menjadi khilaf. Yang masyhur dalam kalangan ramai sahabat dan tabiin bahawa ia tidak batal puasa berdasarkan kepada nas. Dikatakan Sa’d bin Abi Waqas R.A melakukan bekam. Begitu juga al-Zubair bin al-Awwam R.A, Ummu Alqamah dan lain-lain. Kecualai Imam Malik dan Abu Hanifah menganggap berbekam hukumnya batal puasa. Manakala Ata’ berpendapat, wajib kifarah. 

Pendapat yang masyhur adalah jumhur yang tidak makruh berbekam jika tidak membawa kelemahan kepada orang yang berpuasa. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal. 65-66). Saya (peng.) lebih cenderung kepada pendapat supaya tidak berbekam ketika berpuasa untuk keluar dari sebarang khilaf. 

 

3 - Soalan 

Apakah hukum meletakkan minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit.

Jawapan: 

Meletakkan atau melumuri minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit, sekalipun yang berpuasa merasainya pada halkumnya, tidaklah batal puasanya. Inilah fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Hasanain Makhluf (Mantan Mufti ad-Diyar al-Misriyyah). Saya (peng.) sependapat dengan fatwa mantan Mufti Mesir ini. Ini kerana ia termasuk dalam darurat dan bukan bersifat makan dan minum.