Sahabat Sejati

Monday 31 May 2021

Ada hikmahnya..


 Alhamdulillah.

Keputusan ujian swab pertama di pusat perubatan swasta adalah negatif. Saya melakukan ujian tersebut setelah beberapa hari mendapat maklumat, saya adalah kontak rapat kepada seorang pesakit Covid 19, yang juga merupakan sahabat saya.

Petang itu pula, pihak KKM menghubungi saya meminta untuk datang melakukan ujian swab pada keesokkan hari di dewan Jubli Perak yang menjadi pusat ujian swab di daerah Kuantan. Empat hari kemudian keputusan yang dihantar melalui aplikasi my Sejahtera memberitahu keputusan juga negatif. 

Kelmarin sekali lagi saya hadir untuk melakukan ujian swab kali kedua, dan kali ketiga keseluruhannya. Insya Allah, dalam masa empat hari lagi keputusannya akan didapati. Mohon doa daripada sahabat semua, mudah-mudahan keputusannya tetap negatif. Sekarang ini saya masih lagi menjalani kuarantin di rumah. Jangkamasa lebih kurang 18 hari lamanya. 

Kelmarin juga saya mendapat berita sahabat saya yang dijangkiti Covid 19 telah pun sihat. Beliau yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin telah pun dibenarkan pulang. Malangnya, isteri dan anaknya masih lagi dirawat dan berada di pusat kuarantin yang berlainan. Moga Allah SWT mengurniakan kesabaran kepada beliau.

Bosan juga duduk melepek di dalam bilik keseorangan sepanjang kuarantin. Justeru, untuk menghilangkan kebosanan yang sudah di tahap tepu, tentunya bukulah yang menjadi peneman setia. Banyak juga naskhah lama-lama yang diulang baca. Lepas satu, satu telah dikhatamkan. 

Tetapi, di sudut yang lain, sesekali terfikir, bagus juga kena kuarantin, kalau tidak sulit juga nak menyelak helaian demi helaian majmuk yang sederetan di dalam rak. Maklumlah sibuk (senyum). 

Pilihan saya adalah buku lama terbitan DBP. Bahan bacaan di zaman bersekolah dulu. Teringat zaman  ketika menjadi pengunjung setia perpustakaan sekolah. Allahu, jauh benar zaman itu telah ditinggalkan. Kalaulah ada terowong masa, kalaulah ada..

Saturday 22 May 2021

Percutian dirumah

Ujian adalah pelajaran. Ujian adalah seumpama sang guru yang mahu mendidik jiwa, agar sentiasa bermuhasabah akan kelemahan diri. Allahu al-musta`an



Wednesday 19 May 2021

Senyumannya.. membuatkan kita menangis

 
sumber: IG Cinta Gaza Malaysia

Ya Allah, selamatkanlah saudara-saudara kami di Palestine. Kurniakanlah kekuatan dan kemenangan kepada mereka untuk menghadapi golongan kuffar. Amiinn. 

#savePalestine #Pray4Palestine #Aid4Palestine

Saturday 15 May 2021

Raya 2021 (duduk rumah je)

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبَرَصِ وَالْجُنُونِ وَالْجُذَامِ وَمِنْ سَيِّئِ الأَسْقَامِ

“Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, penyakit gila, penyakit kusta dan daripada segala penyakit berbahaya yang lain.” (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Moga musibah ini diangkat oleh Allah SWT dan kita semua dapat menjalani kehidupna seperti sediakala.

Thursday 13 May 2021

Salam Aidilfitri 1442H

foto hiasan
 

Assalamualaikum wrm. wbt, 

Taqabballahu Minna wa Minkum Solehal A`mal, Kullu`Am wa Antum Bilkhair... (Semoga Allah menerima amal soleh (ibadatnya) dari kami dan juga kalian, setiap tahun kalian sentiasa di dalam kebaikan...) 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Dengan ikhlas hati saya memohon maaf zahir dan batin andai ada khilaf baik tulisan maupun ucapan.

Marilah kita semua kembali kepada kebenaran. Kukuhkan semula tautan ukhuwah,jalinkan semula ikatan yang longgar, rebutlah peluang beramal ibadat sementara usia masih tersisa. 

Sesungguhnya hidup ini tidak akan terduga bila tamat riwayatnya, entahkan sampai bila kita mampu menghirup dan menghembus udara. Kemudian kita akan kembali kepada-Nya.

Tahun ini adalah kali kedua sambutan Aidlfitri diraikan dalam keadaan norma baharu, tetapi ia bukan penghalang untuk menghayati makna perayaan ini, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Justeru, sentiasalah berada di landasan yang diredhai-Nya.

Semoga nikmat Aidilfitri yang disambut tahun ini membawa seribu hikmah dan rahmah buat kita semua..

Friday 7 May 2021

Menyantuni rentan dan gelandangan..

ANDA BERI KAMI SAMPAIKAN.. 

ALHAMDULILLAH, selesai program agihan pek makanan untuk berbuka puasa kepada golongan rentan dan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar Kuantan. 

Yayasan Amal Malaysia Pahang melaksanakannya dengan kerjasama Dapur Infaq Ummah dan sahabat- sahabat NGO yang lain. Lebih dari 250 orang menerima agihan ini.

Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang budiman yang menyalurkan sumbangan melalui Amal Pahang. Kepada anda yang ingin menyumbang untuk tujuan kebajikan seumpama ini boleh menyalurkan kepada kami iaitu ke akaun : Yayasan Amal Malaysia Pahang (Tabung Bencana dan Kebajikan) : Maybank : 5560 1106 8015

 جزاكم الله خير الجزاء

#amalkeranaAllah

 


 


 
 

 
 
 

 
 

 

Sunday 2 May 2021

Sumbangan di kampung orang Asal lagi

Alhamdulillah, telah selesai menyempurnakan amanah.

Menyampaikan sumbangan Bakul Amal / Kit Ramadan kepada 20 keluarga muslim orang asal di kampung Gedung Siam dan kampung Batu 56 Jalan Gambang Paya Bungor Kuantan pada pagi ini.

Moga usaha ini menjadi satu dakwah kepada syiar Islam di sini. Kita sama-sama doakan untuk segala kebaikan..

Selesai sahaja program ini saya bergegas pula ke Taman Negara Kuala Tahan Jerantut bersama seorang rakan untuk tugasan yang lain pula. Seeru 'ala barakatillah..  

 

 

 

Dapat kad raya

'lama tak dpat kad raya'

Sudah lama saya tidak menerima kad raya. Seingatnya hampir dua dekad lamanya, sejak budaya berutus kad raya pupus sama sekali. Seiring dengan kad raya elektronik yang mula mengambil alih peranan. 

Tidak dinafikan, sesetengah orang lebih suka menggunakan kad raya elektronik kerana amat mudah dan tidak perlu mengeluarkan modal. Jika kad raya fizikal banyak yang perlu dilakukan. Bermula dari membeli sehinggalah mengeposnya. 

Namun bagi saya, kad raya fizikal lebih menjadi pilihan kerana nostalgia dan nilai sentimentalnya. Apa pun ia adalah hak dan pilihan masing-masing. Ada pro dan kontra yang perlu dihormati. Tetapi tidaklah pula saya menolaknya! 

Sebenarnya sehingga sekarang saya masih lagi membeli kad raya, walaupun bilangan kedai yang menjualnya sangatlah berkurangan. Jika ke pusat bandar, sekiranya ternampak kedai yang ada menjual kad raya, tanpa berlengah saya pasti membelinya. Bukan untuk dihantar kepada sesiapa tetapi lebih kepada simpanan peribadi, 

Malahan sejujurnya saya katakan, beberapa keping kad raya yang dibeli di zaman sekolah rendah masih lagi saya simpan. Saya membelinya daripada seorang guru yang menjualnya. Harganya dalam lingkungan 20 sen dan yang paling mahal 70 sen bergantung pada saiznya. 

Masih saya ingati, dulu-dulu kad raya digantung pada ranting atau ditampal pada dinding sebagai hiasan untuk menyerikan suasana lebaran. Entahlah, sekarang ini masih adakah lagi yang berbuat demikian. 

Kelmarin, saya menerima sekeping kad raya yang dihantar oleh seorang rakan fb. Terharu sungguh, bercampur gembira. Mula teringat nostalgia silam zaman muda-muda, sewaktu saling berutus kad raya apabila aidilfitri menjelang.