Sahabat Sejati

Thursday 27 September 2018

Dakwah, usahakan dirimu semampunya

Berdakwah. Apa yang anda fikir jika perkataan ini menerjah di minda?

 “Aku bukan ustaz.” 

“Itu kerja orang agama, kerja ulama.” 

Betul ke? Atau macam mana? 

Dakwah, menurut bahasa memberi makna seruan, panggilan atau undangan. Manakala dari sudut istilah pula ia bererti menyeru atau mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat kebajikan dan melarang perbuatan munkar yang dilarang oleh Allah SWT dan rasul-Nya agar manusia memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 

Berdakwah atau mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran bukan hanya terletak di bahu orang agama seperti yang difahami oleh sesetengah orang. Ia bukan milik ekslusif atau milik peribadi mereka yang bergelar ulama, ustaz, kadhi dan sebagainya. Bahkan setiap muslim yang merdeka, mukallaf dan yang mengetahui kebaikan yang diajakkan kepadanya serta kemungkaran yang dilakukan pelakunya, maka ia mesti membabitkan diri. 

Allah SWT berfirman: 
"Dan hendaklah ada (tersusun) di antara kamu segolongan umat yang (tetap) menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada yang ma'ruf dan melarang (melakukan) yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Ali-Imraan: 104) 

Dan firman-Nya lagi: 
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan (di tengah-tengah) manusia. (Sifat kamu) menyuruh berbuat yang ma’ruf, melarang melakukan yang mungkar dan beriman kepada Allah...”(Ali-Imraan: 110) 

Maknanya setiap muslim perlu ada tanggungjawab menurut kadar kemampuan yang ada. Seperti yang pernah saya sebutkan, sekecil-kecil dakwah adalah terhadap diri sendiri. Seumpama menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat, dalam masa yang sama berusaha untuk menambah amal kebajikan. 

Namun, tidaklah sepatutnya dakwah kita berada di tahap itu selamanya. Kita mestilah berusaha untuk berdakwah dalam ruang lingkup yang lebih luas, cabang dakwah mestilah sentiasa di ‘upgrade’ dari masa ke semasa. Mula-mula bagi diri sendiri, keluarga seterusnya rakan-rakan disekeliling. 

Atas kesedaran itulah saya cuba untuk mengotakan apa yang dikata. Saya cuba menyahut cabaran dakwah menurut kemampuan yang ada. Tidak keterlaluan saya katakan, apakah terlalu berat untuk menyampaikan kebaikan dalam erti kata berdakwah. 

“Malam ni ada kuliah di surau kampung kita, jomlah pergi,” cukup sebaris ayat. 

“Waktu asar dah masuk, jom ke masjid,” tidak susahkan? 

Atau anda merasa malu? 

Jangan begitu. 

Ataupun jika kita ada kemahiran mengendalikan blog atau web, maka tulislah sedikit sebanyak perkara-perkara yang boleh memberikan manfaat kepada pembaca. Tidak perlu panjang, cukup sekadar sebaris ayat. 

Contohnya kita menulis mengenai keburukan dan larangan fitnah, ambillah contoh kata-kata dari al-Quran atau hadis, atau kita mengambil kata-kata hikmah alim ulama, kemudian letaklah sekeping gambar sebagai hiasan. Begitu juga dengan facebook, twitter dan sebagainya. Cukup mudah. 

Mungkin ada di antara kita yang akan berkata, “macam tu je....lekehnya.” 

"Kalau setakat tu...baik tak payah!" Ada juga yang berkata begini. 

Saya katakan YA! Cukup sekadar itu jika hanyalah kemampuan kita. Itu pun sudah dikira cukup bagus. Jika kita tidak boleh buat semua jangan tinggalkan semua. Kita harus ingat bahawa semua itu boleh menjadi ‘saham’ di akhirat nanti, walaupun kita lihat ianya seperti lekeh atau kecil sahaja. 

Allah SWT berfirman: 
“Barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya (di akhirat). (al-Zalzalah: 7-8) 

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT menyembunyikan empat perkara dalam empat perkara.....Allah menyembunyikan keberkatan dalam sesuatu ibadat.....” 

Kata ulama dalam menafsirkan hadis ini, lakukanlah sesuatu ibadat walaupun ianya tampak kecil di mata manusia, mungkin itulah yang dipandang besar oleh Allah SWT. 

Benar, walaupun hanya sepuluh sen yang kita infaqkan, boleh jadi itulah yang dipandang dan diredhai oleh Allah SWT. 

Perlu diingat 

Namun, sesuatu amat penting untuk difikirkan ialah kaedah kita berdakwah. Menunjukkan akhlaq yang baik dan menyampaikan dengan lembut dan berhikmah tanpa mengguris hati dan perasaan. Kadang-kadang kerana tersilap kaedah menyebabkan matlamat dakwah itu gagal. 

Kita selalu mendengar kata-kata begini: 

“Saya bukan tidak boleh menerima nasihatnya, tetapi caranya yang saya tidak boleh terima.” 

“Kalau nak tegur pun, tegurlah elok-elok. Kami bukannya budak kecil, terus marah-marah je....” 

Firman Allah SWT: 
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Ali-Imraan: 159) 

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah saw dengan tujuan membentuk dan mencorak peribadi sahabat serta pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai, membuahkan hasil membanggakan. 

Setelah ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab jahiliah sebagai masyarakat yang makmur, bertamadun dan mencapai kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan. 

Begitu juga firman-Nya lagi: 
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (an-Nahl: 125)

Nah! berhikmahlah dalam menyampaikan, insya-Allah pasti ada yang terpikat. 

Kebimbangan saya 

Tetapi di sisi yang lain, tersarang kebimbangan di hati jika apa yang saya dakwahkan tidak dapat atau mampu saya lakukan. Contohnya saya mengajak pembaca sekelian sentiasa berpuasa sunat atau pun memperbanyakkan sedekah, tetapi dalam masa yang sama saya tidak melakukan apa yang saya tuliskan itu.

Begitu juga saya amat bimbang jika saya diuji dengan apa yang saya tulis. Contohnya jika saya menulis pentingnya kesabaran dalam menghadapi setiap ujian, maka dapatkah saya bersabar jika ditimpa ujian. Bolehkah saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan berlapang dada, sebagaimana yang saya tulis. Atau saya menyalahi apa yang telah saya tulis. Saya benar-benar bimbang dan takut.

Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran: 
“Apakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu, sedangkan kamu juga membaca kitab. Tidakkah kamu memikirkannya?" (al-Baqarah: 44)

Dalam ayat ini Allah SWT menempelak mereka yang mengingatkan orang lain tetapi dalam masa yang sama mereka melupakan peringatan itu buat dirinya. Tetapi para ulama menyatakan tidak perlu menunggu sehingga diri kita sempurna sepenuhnya, barulah mahu menyampaikan, kerana manusia tidak akan pernah sempurna dan tidak akan cukup kesempurnaan itu.

Bagaimana keindahan Islam dapat disampaikan dan tonjolkan jika mahu menunggu diri sempurna terlebih dahulu. Maka sampaikanlah kebaikan, usahakan amar ma`ruf dan cegah kemungkaran dan dalam masa yang sama secara perlahan-lahan usahakanlah memperbaiki diri.

Sebagaimana pesan Hujjatul Islam Imam Ghazali: "Jangan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan bagi tidak menyampaikan dakwah kepada umat manusia."

Begitu juga Imam Syafie menegaskan: "Andaikan kekurangan diri dijadikan alasan bagi tidak berdakwah, nescaya tiadanya dakwah yang akan berjalan di muka bumi Allah ini."

Dari Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, bahawa aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangan. Jika tiada upaya, maka ubahlah dengan lisan, dan jika tiada kemampuan, maka ubahlah dengan hati. Demikian itu adalah selemah-lemah Iman” (Hadith riwayat Muslim) 

Anda memahami apa itu dakwah?

Jom, kita mulakan! 

Friday 21 September 2018

Rehat Minda: Pesan Murabbi 112

Salam Jumaat.


"ALLAH TAHU KAMU LETIH
ALLAH TAHU KAMU SUSAH
TAPI ALLAH TAKKAN MENGUJI KAMU DI LUAR KEMAMPUANMU"

Wednesday 19 September 2018

Berakhir misi ke 3

Alhamdulillah, misi kemanusiaan mangsa gempa bumi Lombok telah pun berakhir. Kesemua sukarelawan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang yang ke sana telah pun selamat menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Misi menyantuni mangsa gempa bumi Lombok kali ini adalah misi yang ketiga.

Misi pertama pada mula-mula berlaku  kejadian gempa bumi, kemudian diikuti pula pada bulan Zulhijjah bersempena dengan sambutan hari raya korban. Kesemua sukarelawan yang ditugaskan untuk misi tersebut telah menyambut aidil adha di sana bersama-sama dengan para pengunsi. Seterusnya misi terbaru pada awal bulan ini, dan insya-Allah misi keempat dijangka pada pertengahan November depan. Doakan agar semuanya berjalan dengan lancar. 

Kronologi ringkas misi kemanusiaan mangsa gempa bumi Lombok Indonesia kali ini:

Dusun Apitai, Desa Guntur Macan, Kecamatan Gunung Sari, Lombok Barat. Perjalanan 1 jam dari Kota/Bandar Mataram 

1. Penyembelihan untuk aqiqah sebanyak 2 ekor lembu dan 7 ekor kambing. Diagihkan untuk 324 kepala keluarga dari 2 Dusun. 90% rumah musnah. 

2. Penyerahan bantuan al-Quran untuk 5 tempat Belajar Al-Quran (TPA) sebanyak 50 naskhah 

3. Ziarah ke rumah-rumah mangsa gempa dan menginap bersama relawan tempatan di khemah-khemah. 

Lokasi A - Dusun Dangiang Timur, Desa Dangiang, Kecamatan Kayangan, Lombok Barat. Perjalanan 3 jam dari Kota.Bandar Mataram. 

1. Penyembelihan 1 ekor lembu dan 10 ekor kambing. Sebahagian daging dimasak untuk jamuan bersama pengunsi gempa yang berada di sekitar posko Dangian. Kerja-kerja memasak dilakukan oleh relawan YAMCP. 

2. Agihan daging untuk pengunsi di dusun Sengiang, Desa Sesait Kecamatan Kayangan. Jarak kira-kira 5km dari tempat penyembelihan. Daging berjumlah 70 bungkus. 

3. Ziarah ke rumah-rumah mangsa gempa. 

Lokasi: B- Dusun Pandanan, Desa Malaka, Kecamatan Pemenang, Lombok Utara. 

1. Penyembelihan 1 ekor lembu dan 3 ekor kambing. Diagihkan kepada mangsa gempa di kawasan RT 1 dengan jumlah 117 kepala keluarga. 

2. Ziarah ke rumah-rumah mangsa gempa dan menginap bersama relawan tempatan di dalam khemah serta lapangan. 

Lokasi: A- Dusun Boyotan Proyek, Desa Gumantar, Kecamatan Kayangan, Lombok Utara 

1. Penyembelihan 1 ekor lembu dan 11 ekor kambing. Diagihkan kepada penduduk dusun berjumlah 165 kepala keluarga. 

2. Agihan bantuan beras (5kg) dan gula (1kg) kepada penduduk tempatan 165 pek. 

3. Penyerahan bantuan masjid sementara kepada pengurus Masjid Dusun Gumantar, Desa Gumantar. Masjid dibangun dengan keluasan 10X12 

4. Penyerahan bantuan Musolla sementara sekaligus tempat belajar al-Quran, diikuti dengan bantuan naskhah al-Quran dan papan tulis di Dusun Sengiang, Desa Sesait, Kecamatan Kayangan. 

5. Ziarah ke rumah-rumah korban gempa. 

6. Satu team relawan menuju ke Lombok Timur untuk menyerahkan bantuan kepada mangsa korban gempa. 

Allahu al-Musta`an..





Thursday 13 September 2018

Selamat jalan sahabat kami..


Dalam sebak yang menggigit saya melantunkan doa agar Allah SWT mencurahkan rahmat ke atas roh sahabat kami, almarhum Imam Muda Amiril, yang telah meninggalkan kesibukan dunia ini pada hari semalam. Moga Allah SWT berkenan mengampunkan segala kesalahannya dan diterima semua amal kebaikannya.

Kepada keluarga almarhum, moga diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang berat ini. Tentunya Allah SWT mempunyai perancangan yang lain, dan sudah semestinya perancangan Allah adalah yang terbaik.

Al-Fatihah.. 

Tuesday 11 September 2018

Salam Ma'al Hijrah 1440H/2018M


Menanti tahun baru tidaklah lebih utama daripada mengurus masa yang sedang menyulit diri di ketika ini. Hari ini mestilah lebih baik dari semalam dan hari esok pula mestilah lebih baik dari hari ini, begitulah seterusnya hari-hari yang dilewati. Walaupun ia terlalu sukar untuk dipenuhi, namun ia sentiasa menjadi penguat dan peransang kepada diri dan kehidupan pada hari esok. Ia hikmah yang cukup menginsafkan namun menakutkan kerana sedar diri sentiasa diulit kelalaian. 

Setiap dari kita mengimpikan kekuatan dalam melayari kehidupan ini. Kita sentiasa mahukan kekuatan untuk menampal kelemahan dan kesilapan yang sering memayuti diri setiap masa. Tanpa pertolongan dan kasih sayang-Nya tidak mungkin kekuatan itu kita miliki. Kita hanyalah hamba-Nya yang amat lemah. Mudah-mudahan kita diberikan ruang dan kesempatan untuk memperbaiki kesilapan masa lalu...

Salam Ma'al Hijrah 1440H/2018M

Sunday 9 September 2018

Jika hujan berterusan..

Kebelakangan ini hujan sering turun di tempat saya. Bermula waktu petang membawa lajak ke malam. Kadang-kadang renyai, kadang-kadang lebat. Seringkali juga disusuli dengan kilat dan guruh. Sang katak pun turut sama  bersahutan. Mungkin sudah pun di permulaan musim tengkujuh.

"Nampak tanda-tanda macam nak bah besar tahun," tukas seorang teman di tempat kerja. 

Saya hanya mendiamkan diri, Tidak pula cuba bertanya apakah tanda-tanda tersebut, namun di dalam hati terbit kegusaran jika apa yang disebutnya menjadi kenyataan.  Biarlah hujan yang turun ini membawa manfaat kepada kami semua.

"Harap-harap tidak jadi bah," doa sayup jauh di dalam hati.

Terkenang saat diuji dengan bencana alam ini pada akhir 2013 dulu. Bagaimana kami sekeluarga menyertai penduduk lain meranduk air separas paha di dalam gelap malam (bekalan elektrik telah diputuskan bagi tujuan keselamatan) untuk berpindah ke dewan orang ramai. 

Terkenang juga pengalaman tinggal berasakan di dewan orang ramai. Sungguh sangat tidak selesa, tetapi apa pilihan yang ada ketika  itu. Sehinggalah setelah air surut, kami semua pulang ke rumah. Beberapa hari kemudian, saya dan "si kecil haikal yang istimewa" menghidap penyakit gatal-gatal terutama di bahagian betis. Berbirat betis kamu berdua sehingga luka-luka akibat digaru. Akhirnya ia sembuh setahun kemudian setelah beberapa kali mendapat rawatan di klinik.    

Demikianlah secebis kisah bergelar mangsa banjir suatu ketika  dahulu.

Apa pun jika sudah taqdir hujan tahun ini membawa bencana bah, biarlah ia masih di dalam kemampuan kami menghadapinya. Allahu al-musta`an..

Friday 7 September 2018

Thursday 6 September 2018

Alhamdulillah, selesai untuk tahun ini

Alhamdulillah, misi qurban dan aqiqah di luar negara bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang telah dilaksanakan dengan sebaiknya, termasuk juga YAM negeri lain seperti YAM Terengganu, YAM Wilayah, YAM Kedah dan lain-lain lagi. Para petugas yang dihantar untuk menguruskannya di lokasi-lokasi terpilih telah pun pulang menjejakkan kaki di bumi Malaysia yang tercinta ini. Baik yang ke India, Lombok, Kemboja, Marawi, Rohingya, termasuk yang sejauh ke benua Afrika seperti Sudan, Somalia, Chad, Uganda dan sebagainya. 

Alhamdulillah, semua selamat dan tiada apa-apa kesulitan sepanjang misi tersebut melainkan yang kecil-kecil yang bisa ditangani. Perkara biasa dalam apa-apa misi kebajikan di luar negara, pasti  ada sedikit masalah, antaranya karenah birokrasi setempat. Namun, wakil NGO kami dari kalangan penduduk tempatan dapat menyelesaikannya dengan baik.    

Melaksanakan ibadah qurban dan aqiqah di luar negara amat menginsafkan. Memang, lokasi korban yang dipilih biasanya yang benar-benar dhaif. Mengenangkannya, tiba-tiba terasa bersyukur sangat-sangat tinggal di Malaysia. Rasanya di negara kita daging mudah diperolehi. Malahan daging korban tiada masalah di tempat kita, pasti ada yang akan menghantar atau menghadiahinya apabila musim raya korban.

Namun, tatkala menyaksikan apa yang berlaku di tempat yang kami laksanakan ibadah qurban seperti di Kemboja atau Vietnam, boleh diistilahkan "makan daging setahun sekali". Apa tidaknya, jika tiada ibadah korban dilakukan di sana, maka tidak merasalah merka daging pada tahun itu. Benar, boleh dikatakan begitu. 

Begitu juga seperti di Somalia dan Uganda. Melihat mereka 'mengerjakan' kepala lembu sehingga licin tidak bersisa daging yang terlekat benar-benar menghadirkan sebak. Di sesetengah tempat kita (tidak semua), kepala lembu tidak 'laku' kerana tiada siapa yang mahu mengerjakannya. Terpaksalah diberikan kepada mat Bangla yang datang membantu kerana mereka rajin menyudahkannya.

Di Sudan pula, ada amalan penduduk menjemur daging. Ini merupakan kaedah menyimpan daging dek kerana tiada kemudahan peti ais. Selain itu daging yang telah dikeringkan menjadi keras seperti kayu akan dikisar untuk dibuat serbuk. Sepanjang tahun mereka akan berkongsi sup berperisa daging qurban yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Ingat, sup daging mereka hanyalah air semata dengan perisa serbuk daging.

Demikianlah keadaannya. 

Moga Allah SWT menerima ibadah qurban dan aiqah daripada para peserta dan membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran.



Assam India


Mangsa gempa bumi Lombok Indonesia


Afrika


Kem pelarian Rohingya di Coxbazar Bangladesh

Sunday 2 September 2018

Menikmati kenangan di benteng Sungai Kuantan


Menyusuri siar kaki benteng Sungai Kuantan. Menikmati damai dan lembut hembusan angin sore. Tanpa sedar, rupa-rupanya lebih sedekad saya tidak menjejakkan kaki ke sini, terutama setelah stesen bas 'tepi sungai' dipindahkan ke lokasi baru. Perkhidmatan bas 'runcit-runcit telah berpindah ke Jalan Stadium berhampiran Pasar Besar Kuantan, manakala bas ekspres dipindahkan ke Terminal Makmur dan kemudiannya ke Terminal Sentral Kuantan (TSK). Tapak stesen bas tersebut dimajukan menjadi taman rekreasi. Semenjak itu benteng Sungai Kuantan semakin hilang seri dan terluput daripada minda saya.

Baru-baru ini sempena dengan cuti hari kemerdekaan, saya membawa ummu Ikhwan dan si kecil Haikal yang istimewa berkunjung semula ke sini. Bermula dari Taman Esplanade, kami menyusuri laluan pejalan kaki di tepi sungai sehinggalah ke medan makan di hujung laluan. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya tunjuk dan kisahkan kepada mereka. Walaupun sebenarnya ia lebih kepada saya untuk merista bongkah-bongkah memori yang kian terluput di sanubari. 

Pemerhatian saya, banyak benda yang sudah berubah. Termasuklah laluan pejalan kaki, pagar di sepanjang tebing sungai. Arked makan di hujung laluan yang dulunya sentiasa sibuk dengan pengunjung, kini juga sudah pudar serinya. Bot penambang yang menjadi laluan penghubung penduduk di kedua-dua seberang telah pupus tanpa bersisa setelah jambatan Tanjung Lumpur siap sepenuhnya.